Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang diarahkan membayar saman RM2,000,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon PKR DUN Bukit Besi, Terengganu.
Selain itu, Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Ini berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.
Bagaimanapun, Peguam PAS, Asmuni Awi ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu esok.
"Kita menerima perintah itu hari ini dan kita akan failkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu esok juga.
"Saya yakin perintah ini boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes ini," kata Asmuni kepada The Malaysian Insider.
Abdul Hadi disaman oleh Shamsul ekoran dakwaan Abdul Hadi bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu.
Ekoran dakwaan itu, PAS telah meletakkan calonnya di tiga kerudi DUN di Terengganu yang sepatutnya ditandingi oleh PKR.
Ia menghasilkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan PKR ditiga DUN Di Terengganu termasuk Bukit Besi yang ditandingi Shamsul.
Sebelum ini, menjelang pilihan raya kecil Kuala Besut, Shamsul meminta Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf berikutan kenyataannya menjelang pilihan raya umum itu kerana orang ramai menganggap beliau yang didakwa Abdul Hadi itu.
“Saya minta (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, dedahkan siapa yang dia fitnah sebagai pengedar pil kuda dan sokong komunis ketika berceramah di Tebakang, Alor Limbat, ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” kata Shamsul dalam sidang media itu.
Ekoran kegagalan Abdul Hadi berbuat demikian, beliau telah memfailkan saman itu.
Permohonan saman Shamsul diuruskan oleh Tetuan Vasudevan & Co yang berpangkalan di Kajang, Selangor. -TMI
ULASAN GB
Gempar sekejap malam tadi apabila berita di atas tersiar.
GB terima beberapa email & SMS yang meminta GB mengulas hal tersebut dan kita terpaksa memohon kepada Allah swt untuk menjelaskan yang benar itu benar, yang batil itu batil... sepertimana yang kita selalu doakan:
اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah
Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).
Baik. Ulasan GB ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama soal penghakiman ingkar.
Presiden PAS dikatakan telah gagal memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh bEKAS calon PKR Bukit Besi dalam PRU 13 lalu, Mohd Shamsul Mat Amin, 27 tahun ke atas Presiden Pas kerana menuduh calon PKR, termasuklah dirinya sebagai pengedar pil kuda.
Bagi GB, bekas calon PKR tersebut berhak berbuat demikian (sekalipun lebih mulia untuk Shamsul merujuk terlebih dahulu kepada kepemimpinan tertinggi PKR sebelum mengambil tindakan tersebut) dan Presiden PAS juga berhak membuat pembelaan.
Tetapi malangnya sekalipun saman malu itu telah dikemukakan, Presiden PAS mengabaikannya dan tidak melakukan pembelaan. Jadi di sini salah siapa? Di manakah peguam-peguam PAS? Mengapa tidak melakukan sebarang pembelaan? Tidak mendapat arahan atau apa?
Ia menyangkut soal "professionalisme". Acapkali GB sudah suarakan hal ini. Dulu semasa pemilihan PAS di Muktamar bagaimana bekas Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong memperolehi maklumat mengenai jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon sedangkan ia adalah maklumat sulit.
Petikan:
Di dalam TMI, Zulkifli Sulong melaporkan:
Semasa pencalonan diterima, Tuan Ibrahim dilaporkan mendapat pencalonan terbanyak iaitu lebih 50% daripada 103 pencalonan yang sah daripada kawasan di seluruh negara.
Husam pula dikatakan mendapat pencalonan kedua terbanyak. Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum. Pihak jawatankuasa pemilihan PAS yang diketuai Asmuni Awi hanya memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima kepada calon berkenaan sahaja.
Bagaimana Zulkifli boleh mengetahui jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon SEDANGKAN dah diberitahu:
"Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum."
ika ia tidak didedahkan kepada umum bagaimana beliau boleh mengakses maklumat tersebut? Apakah Asmuni Awi yang membocorkan kepadanya?
Tiada tindakan selepas GB dedahkannya. Tetapi Allah tidak buta dan tidsak lupa. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan apabila berlaku kesilapan teknikal pada kertas undi bagi Ahli Jawatankuasa iaitu terdapat nama calon yang tiada dalam kertas undi sehingga memaksa Asmuni Awi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan! Demikian aturan Ilahi. Yang tidak professionalisme di dalam kerjanya akan terhukum.
Kini soal Presiden PAS disaman. Sungguh menghairankan apabila Lajnah Undang-undang tidak mengambil tindakan untuk melakukan pembelaan sehinggalah diarahkan membayar saman RM2,000,000! Nak kena hukum lagi nampaknya. Tak mahu belajar dari pengalaman lalu.
Kedua mengenai isu pil kuda. (Bukan saja pil kuda tetapi konon ada calon tankap muat, ada calon julang gambar Lenin, gambar Stalin, letak gambar Karl Marx dalam markas). Tetapi TIADA BUKTI dikemukakan.
Sehingga menyebabkan keluarnya "watikah" yang diterima oleh beberapa orang ahli PAS untuk bertanding yang akibatnya berlaku pertembungan 3 penjuru.
Setiausaha Agong telah membuat kenyataan tidak tahu menahu wujudnya "watikah" berkenaan dan ternyata Presiden PAS telah dipujuk (diperdaya?) untuk mengeluarkan watikah tambahan selain dari yang dikeluarkan secara rasmi oleh parti.
Siapa yang melakukan keraja-kerja tidak beretika ini? GB dimaklumkan bahawa individu berkenaan adalah kaum keluarga Presiden sendiri - iaitu menantunya - yang bernama Zaharuddin Muhammad.
GB juga dimaklumkan bahawa menantunya itu adalah salah seorang ahli Majlis Syura PAS Pusat.
Kita juga jadi hairan tiba-tiba namanya tersenarai sebagai Ahli Majlis Syura - satu jawatan tertinggi di dalam hirarki jemaah. Siapa yang menentukan keahlian ahli Majlis Syura PAS Pusat? Bagaimana perlantikannya dilakukan? Bila jadi menantu Presiden, boleh pegang jawatan apa sajakah dalam parti? Tiada ulamak yang lebih senior yang layakkah? Begitu rendahkan mertabat Majlis Syura PAS Pusat yang sepatutnya menjadi kata pemutus di dalam setiap hal bersangkutan soal hukum di dalam parti?
Sungguh aneh. Namun Allah menetapkan berjalannya hukum kebenaran dan keadilan. Disaman RM2 juta. Salah siapa?
Telah lama GB peringatkan bahawa PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.
Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.
Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.
GB sudah mengulas sebelum ini iaitu sejak tahun 2009 lagi dan menjadi kenyataan sekaran ini. Petikan:
Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.
Kesimpulannya, PAS perlu bangun dari lamunan. Professionalisme perlu dipertingkatkan. Lanjah Undang-undnag dan Majlis Syura PAS perlu diperkasakan. hanya yang layak perlu dilantik. PAS yang dulu bukan PAS yang sekarang. PAS dulu, kamu boleh main-main, sekarang tidak lagi...
Selain itu kerja-kerja tidak beretika perlu disekat dan orang-orang yang menjadi duri dalam daging perlu diambil tindakan.
Presiden perlu akur dan perlu kembali kepada ajaran Rasulullah: "Demi ALLAH, sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya."
Sang menantu itu perlu dihukum. Jika tidak dihukum maka hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan juga!
Wallahu 'alam.