Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menimbang semula keputusan memecat Johari Kassim sebagai Anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai.
Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohammed Hashim berkata Johari telah menyesali tindakannya dan sanggup berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Kita berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakannya terhadap Johari kerana hukuman itu dilihat agak terlalu keras," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PKR negeri di sini semalam.
Pada 4 Jun lalu, Johari mengetuai lapan anggota majlis dari PKR memboikot majlis angkat sumpah presiden MPSP yang baru.Zahrain berkata dari maklumbalas yang beliau terima daripada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, Lim bersedia untuk berjumpa semua ahli PKR tidak lama lagi.
Sementara itu, Zahrain menyerahkan kepada lembaga disiplin parti untuk membuat keputusan ke atas dua pemimpin PKR negeri, Cheah Kah Peng dan Peter Lim Eng Nam yang didakwa cuba merasuah calon Bebas, Aminah Abdullah ketika pilihan kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Mei lalu.
"Jawatankuasa yang ditubuhkan menyiasat dakwaan itu sudah menghantar laporan ke PKR pusat yang akan merujuk kepada lembaga disiplin parti untuk membuat keputusan," katanya.
Ketika kempen pilihan raya kecil Penanti, Aminah mendakwa kedua-dua pemimpin PKR itu menawar jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang jika menarik diri.
Aminah juga mendakwa beliau ditawarkan wang tunai dan jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika menang tetapi perlu menyertai semula parti itu. Pilihan raya kecil itu dimenangi oleh Mansor.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi amaran akan memberhentikan projek pembangunan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, di sini, jika pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, terus mengancam untuk merobohkan rumah dan enggan membayar pampasan kepada penduduk di situ, demikian lapor Bernama.
"Jangan cuba untuk uji kesabaran kerajaan negeri. Saya tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek pembangunan itu," katanya sambil menjelaskan kerajaan negeri bersedia menanggung risiko membayar ganti rugi kepada pemaju jika terpaksa membatalkan projek itu.
Ditanya mengapa beliau enggan menemui penduduk kampung itu, Lim berkata: "Saya sudah serahkan tugas ini kepada Mansor (Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman) dan Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II, Prof.Dr P. Ramasamy).
"Jadi saya tidak mahu orang mempersoalkan kebolehan mereka," katanya.
Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan penduduk di kampung itu supaya berpindah.
Di dalam perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng 'turun padang' dan bersemuka dengan penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, bagi menyelesaikan isu penempatan itu yang semakin kusut.
Komponen Pakatan Rakyat (PR) itu mahu Guan Eng memberi perhatian khusus bagi menyelesaikan isu berkenaan, bukannya hanya menyerahkannya kepada dua Timbalan Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri.
Desakan itu diputuskan pada mesyuarat PKR Pulau Pinang yang dipengerusikan Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim di sini, malam tadi.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Zahrain berkata, PKR mahu masalah yang dihadapi penduduk Kampung Buah Pala diselesaikan secara terbaik dengan mengambil kira semua fakta dan aspek.
"Kita minta Ketua Menteri memberi tumpuan istimewa, bukan hanya menyerahkan kepada timbalan dan Exconya. Ini bukan isu kaum India dan saya rasa rakyat ada hak dan mereka tidak harus dianiyai.
"Saya mendesak Ketua Menteri kerana beliau adalah ketua kerajaan dan dihormati di Pulau Pinang. Isu ini boleh diselesaikan jika beliau turun padang dan jumpa penduduk," katanya.
Zahrain berkata, jika ada sebarang penyelewengan dan salah laku terhadap urusan berkaitan pemilikan tanah di Kampung Buah Pala, kerajaan negeri perlu mendedahkannya.
Beliau juga berharap Guan Eng tidak mendengar khabar angin saja berkaitan isu berkenaan, sebaliknya mengkaji secara terperinci sebelum membuat keputusan.
"Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri yang perlu bertindak mengikut konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya.
Kira-kira 300 penduduk Kampung Buah Pala perlu mengosongkan penempatan yang berusia lebih 100 tahun ini sebelum 3 Ogos ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan oleh Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.
Kelmarin, balif mahkamah menampal notis di setiap rumah berhubung arahan pengosongan itu. Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penduduk terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemaju.
Jumaat lalu, penduduk kecewa dan marah apabila hasrat mereka untuk berjumpa dengan Guan Eng bagi menyerahkan memorandum supaya menyelesaikan isu berkenaan tidak kesampaian kerana Ketua Menteri enggan berjumpa mereka.
Kampung Buah Pala yang dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang yang berusia lebih 100 tahun dikatakan satu-satunya perkampungan tradisi kaum India yang masih ada di negeri ini.
Di dalam satu undian SMS Edisi 7 malam ini, 77% responden berpendapat keretakan Pakatan Rakyat di Kedah boleh dikategorikan sebagai kecil dan cuma 23% menyatakan disebaliknya.
Ia memberikan nafas lega bagi pemimpin-pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat bukan sahaja di Kedah malah diseluruh negara kerana sepastinya isu berkenaan akan gagal dipergunakan oleh UMNO BN untuk meraih sokongan rakyat kepada mereka.
Sementara itu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP dijangka akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata mesyuarat itu akan diadakan selepas mendapat maklum balas daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, esok.
"Saya percaya surat (daripada DAP Kedah) telah dihantar ke ibu pejabat (DAP). Saya belum baca surat itu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi sempena pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia, di sini, hari ini.
Rabu lepas, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar.
Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.
Di dalam perkembangan berkaitan wakil rakyat tunggal DAP di Kedah Lee Guan Aik hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.
Sebagai ADUN bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.
Lee, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.
"Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya DAP negeri sedang menunggu jawapan balas dari DAP pusat mengenai keputusan mereka berundur dari Pakatan Rakyat di negeri tersebut.
Lee berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada PAS pada pilihan raya umum lepas. "Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa Menteri Besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAs) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru", katanya.
Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Ahmad Kassim menafikan bahawa kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan turut ikut jejak DAP di negeri itu.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, perkara itu merupakan propaganda pihak tertentu yang ingin melihat Pakatan Rakyat (PR) berpecah.
"Kita tidak pernah berhasrat untuk keluar dari PR, saya jamin pimpinan dan ADUN PKR di Kedah tidak pernah terlintas untuk melakukan perkara sedemikian.
"Dalam PR kita boleh menyelesaikan perkara ini sesama kita dan tidak perlu mencanangnya diluar keluarga PR," katanya ketika dihubungi di sini.
Aku sebenarnya dah malas sampai tahap gaban dah. Tah apa nak jadi politik Malaysia ni, tak faham aku. Dah rasa tak larat nak ikut. Aku dah sampai malas nak fikir.
Patutnya sehari dua ni banyak benda boleh aku ulas, boleh aku tulis kat sini. Terlalu banyak sebenarnya, atau lebih tepat lagi terlampau banyak.
Tambah pulak hari ni, dengan isu babi di kedah, isu Cikgu Bad 'putus' hubungan dengan DPP, isu wacana dah jadi kerjasama, isu bubar DUN Perak pun riuh jugak.
Patutnya masa ni semua kepala dok tumpu kat Manik Urai, PRK Manik Urai memang la tak berapa penting untuk politik Malaysia. Apa pun keputusannya Kelantan tetap akan PAS Perintah. Cumanya sapa yang kalah akan dapat malu.
Kalau PAS kalah dah tentu-tentu kena kutuk dengan Umno dan penyokong Pakatan Rakyat pun akan ada jugak yang kalau tak belasah berdepan pun tapi perli-perli mesti ada punya.
Kalau Umno yang kalah, itu biasa, habih-habih pun riuh la sehari dua. Lepas tu senyap la balik, kalau nak riuh balik pun tunggu ada PRK pulak. Aku rasa akan ada lagi PRK lepas ni, mungkin banyak lagi kut sebelum sampai PRU 13.
PRK Manik Urai pun aku tak tau lagi boleh pi ka dak. Patutnya aku dah ada kat sana, tapi apa boleh buat, keadaan belum mengizinkan dan besar kemungkinan jugak.
Balik pada cerita politik semenjak dua menjak ni, aku malas dah nak layan sebenarnya, lagi baik aku 'layan' kerja yang banyak tertangguh, yang tak siap laig, yang patutnya siap semalam-semalam.
Mungkin lepas ni aku dah malas nak ulas dah isu-isu politik ni kut. Aku rasa aku nak main copy & paste aja laa. Tak larat nak 'buang' masa buat ulasan, kecuali kalau ada isu-isu yang menarik minat aku nak 'layan'. -cenangau
Mereka kata hendak keluar… keluarlah" demikian kata-kata Menteri Besar Kedah, Dato Seri Azizan Abdul Razak dan kini cabaran tersebut disambut apabila wakil rakyat tunggal DAP di Kedah Lee Guan Aik hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.
Bezanya ADUN DAP di Kedah dengan ADUN DAP Jelapang Perak yang melompat ialah beliau tidak menjadi penyokong kepada BN.
Sebagai ADUN bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.
Lee, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.
Lee berkata berkata kerajaan negeri pimpinan PAS mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada PAS dalam pilihanraya umum lepas.
"Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa menteri besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru", katanya.
Pengerusi DAP negeri Thomas Su berkata selain Lee yang akan bertindak seperti ADUN bebas, tiga ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan jika DAP pusat bersetuju dengan keputusan mereka.
Walau bagaimanapun banyak pihak masih mengharapkan agar isu tersebut dapat diselesaikan apabila Majlis Presiden Pakatan Rakyat bermesyuarat bagi mengelesaikan kemelut politik Kedah tersebut.
Calon Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, 50, menyifatkan pemilihannya sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk dipikul bagi meneruskan perjuangan menegakkan Islam.
Bendahari Pas Kawasan Kuala Krai yang lebih mesra dengan panggilan ‘Abe Je’ dalam kalangan masyarakat setempat berkata, kerana itu beliau berasa ‘gerun dan takut’ apabila dipilih untuk memikul amanah tersebut yang kelak pasti akan ditanya sama ada ia dilaksanakan dengan baik di akhirat nanti.
Berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) katanya, mereka yang dipilih sebagai calon parti itu sebaliknya berasa gembira kerana memikirkan ‘projek’ dan peruntukan yang bakal diterima terutama jika menang pada pilihan raya.
“Sebagai orang Pas, saya dan kita semua tahu, bila diminta bertanding, ia merupakan satu amanah yang amat berat.
“Sebut sahaja amanah, kita orang Islam takut dan gerun kerana di akhirat nanti, kita akan ditanya adakah tanggungjawab dan amanah ini telah dilaksanakan dengan sempurna,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Belia Kampung Peria, dekat sini, kelmarin.
Beliau bagaimanapun berazam akan menunaikan amanah dan tanggungjawab itu sebaik mungkin sekiranya memenangi pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 14 Julai ini.
Hadir sama Bendahari Dewan Pemuda Pas Kelantan yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Bharu, Wan Azimin Wan Adnan dan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zain.
Mohd Fauzi berkata, kehidupan hariannya sebagai pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai sebelum ini ‘cukup senang’ kerana tugasnya di pasar selesai pada jam 10 pagi sebelum datang semula pada sebelah petang hanya untuk mengutip wang.
“Tetapi (bertanding pilihan raya) ini cukup sukar dan banyak tanggungjawab yang perlu dipikul kerana amanah untuk meneruskan perjuangan bagi menegakkan Islam terletak atas bahu saya.
“Kalau saya seorang, memang tidak mampu saya nak pikul tanggungjawab ini tanpa bantuan,” kata Mohd Fauzi yang menyatakan masih terkejut dengan pemilihannya kerana beliau tidak pernah menyimpan niat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu memandangkan masih ramai lagi yang lebih layak.
Justeru beliau berharap, Pemuda Pas yang memainkan peranan penting dalam menentukan kekuatan dan kelemahan parti itu akan dapat membantunya untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.
Katanya, sokongan padu semua terutama Pemuda amat diperlukan bagi memastikan kerusi DUN itu kekal di tangan Pas dan kesinambungan perjuangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Allahyarham Ismail Yaakob dapat diteruskan.
Pemilihan Mohd Fauzi dianggap tepat dan mendapat sokongan menyeluruh, malah ramai dalam kalangan ahli parti itu termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan beliau merupakan bayangan kepimpinan Allahyarham Ismail.
Biarpun tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi seperti calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, Mohd Fauzi dianggap pilihan paling popular di peringkat akar umbi dengan pendekatannya yang mudah mesra dengan masyarakat.
Malahan, Mohd Fauzi yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Guchil dilihat mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kepimpinan politik berbanding Tuan Aziz yang baru dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai pada pemilihan parti itu, November 2008 lalu. -SH
Biar pun banyak pihak menggesa supaya pelawaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditolak, surat rasmi berhubung perkara itu tetap dihantar semalam.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, surat pelawaan untuk mengadakan debat itu telah dikirim kepada Najib semalam yang turut menyatakan dua tajuk perdebatan berkenaan.
“Berdebat itu ada dua tajuk sahaja, pertamanya kenapa UMNO tolak Islam sedangkan Islam datang daripada Allah. Matahari, hujan, udara, oksigen juga datang daripada Allah dan semuanya dia (UMNO) terima tetapi kenapa Islam dia tolak dan apa logiknya.
“Keduanya, kenapa UMNO lawan Pas sedangkan Pas terang-terang dalam perlembagaannya (parti) Islam dan kita (Pas) buat cara Islam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Bertani Satu Ibadah di Padang Majlis Daerah Dabong, dekat Manek Urai Lama, semalam.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap berhasrat mengadakan debat itu kerana cara tersebut adalah satu daripada tiga saluran berdakwah yang disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran selain dakwah dengan cara bijaksana dan nasihat.
Menurutnya, kaedah dakwah dengan bijaksana telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri apabila mentadbir Kelantan mengikut ajaran Islam termasuk dari segi berbaik-baik dengan agama lain, pengurusan kewangan, sosial dan budaya.
Katanya, cara berdakwah kedua iaitu nasihat boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara seperti ceramah, kuliah, usrah dan temu ramah dengan akhbar dengan syarat mesti melibatkan peringatan tentang syurga dan neraka.
“Dalam sembahyang kita ada minta supaya Tuhan pimpin kita ke jalan yang betul dan Tuhan kata, jalan yang betul ini ialah jalan orang yang dia beri nikmat seperti nabi, cara nabi memerintah, berumahtangga, cara nabi bercakap, cara guna duit kerajaan dan cara guna duit sendiri, cara ini yang kita (Pas) buat di Kelantan dan ini kita panggil mauizah (nasihat),” kata Nik Abdul Aziz.
Mengulas saranan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya Pas dan UMNO mengadakan muzakarah dan bukannya debat, beliau berkata, cara itu (muzakarah) sudah beberapa kali diminta oleh Pas sejak zaman Tun Abdul Razak lagi namun tidak pernah ‘menjadi’.
“Sekarang ini saya (nak) buat mujadalah (berdebat), dia (UMNO) nak terima, alhamdulillah dan kalau dia tak nak terima, dia punya pasal,” kata Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, mengulas pelawaan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana ilmiah terbuka dengan Pemuda UMNO, Nik Abdul Aziz berkata, dia menyokong penuh cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai salah satu cara untuk berdakwah.
Katanya, dia juga menyerahkan kepada Pemuda Pas untuk menentukan tajuk wacana itu asalkan ia tidak lari daripada prinsip untuk menegakkan Islam.
Semalam saya telah mengulas di radio GB.fm di dalam rancangan Isu Semasa mengenai persoalan perobohan bangunan pusat penyembelihan khinzir Mergong Kedah dan saya menampilkan hujah berdasarkan nas syarie betapa salahnya tindakan tersebut.
Isu tersebut menuntut setiap diri kita menyemak semula samada tindakan yang dilakukan itu samada bertepatan dengan nas syari'e atau pun tidak supaya kesilapan yang sama tidak berulang. Apa tah lagi isu itu telah dieksploitasi dan dimanipulasikan oleh UMNO BN untuk memaparkan seolah-olah Pakatan Rakyat sudah berada di ambang keruntuhan.
Persoalan pokoknya:Perobohan pusat penyembelihan babi di Mergong yang sudah beroperasi tanpa lesen lebih 30 tahun lalu dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah merobohkan bangunan itu selepas mendapat bantahan dari penduduk sekitar kerana membuang sisanya ke dalam tong sampah dan dalam sungai berdekatan.
Ada yang berhujjah dan berhelah untuk mewajarkan tindakan perobohan bangunan tersebut dengan menyatakan isu ini adalah persoalan undang-undang semata-mata, tiada isu keagamaan atau bangsa.
Namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:
Aktiviti penyembelihan babi telah diberhentikan pada 26 Jun 2009. Ini bererti pihak berkenaan (pemilih bangunan tersebut) telah mengambil sikap untuk mematuhi undang-undang. Ia adalah sikap terpuji dan bererti mereka tunduk dan patuh kepada arahan kerajaan negeri untuk tidak menjalankan lagi operasi berkenaan.
Justeru kenapa pula kita mengambil sikap melampaui batas dengan merobohkan bangunan mereka?Itu bukannya bangunan awam tetapi hak milik persendirian dan sebarang perobohan perlu meminta izin dari pemiliknya.
Ada nas yang melarang kita untuk tidak melampaui batas di dalam mengambil sesuatu tindakan.
Sungguh banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang mengharamkan kita melakukan kezaliman dan memburukkan orang kafir yang telah menerima sistem kerajaan Islam (al-dzimmah) apatah lagi mereka sama-sama mempunyai wakilnya sekalipun seorang di dalam kerajaan di negeri Kedah.
Dasar kepada konsep toleransi yang menguasai sifat orang-orang Islam dalam pergaulan mereka dengan orang-orang yang menganut agama lain adalh terpancar melalui arahan Al-Quran untuk kita menerima perbezaan kehidupan beragama sertai meraikan perbezaan itu.
Firmanullah:
"Jikalau Tuhanmu mengkehendaki tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu tetapi mereka sering berselisih pendapat" (Hud :118)
Seseorang Islam tidak boleh membenci orang yang bukan Islam kerana ia adalah satu celupan Allah dan setiap kehendak Allah (untuk seseorang itu menjadi Islam atau kafir) adalah di dalam lingkungan rahsia Dia yang mempunyai hikmmah yang tidak dapat diselami oleh akal manusia. Dengan sebab itu seseoang Muslim tidak sepatutnya memikirkan untuk memaksa manusia kesemuanya menjadi orang-orang Islam belaka. Apatah lagi untuk membenci yang bukan Islam bersandarkan kepada sifat qaumiah. Ini didasarkan kepada Firmanullah:
"Dan jika Tuhanmu mengkehendaki tentulah beriman semua orang yang ada di mukbabumi ini. Maka apakah kamu hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang beriman semuanya?" (Yunus:99)
Kita tidak boleh membenci orang bukan Islam dan sebagai seorang mukmin kita hendaklah berlaku adil serta tidak mempunyai ciri membenci mereka mengikut sentimen keagamaan jauh sekali "kebangsaan".
Firmanullah s.w.t.
"Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil. Belaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa." (Al-Maidah : 8)
Firmannya lagi:
"Allah tidak menghalang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Mumtahanah:8)
Ada juga beberapa hadith yang memberi ingatan supaya jangan dizalimi orang yang bukan Islam yang terdiri daripada 'ahl-al-'ahd dan ahl-dzimmah. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesiapa yang menzalimi seorang kafir yang berada di bawah kerajaan yang diperintah oleh Islam (mu'ahad) atau mengurangi haknya atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kekuasaannya atau mengambil suatu yang menjadi miliknya tanpa kerelaan hatinya, maka aku adalah penentangnya di hari kiamat." (Riwayat Abu Dawud dan Al-Baihaqi).
Sabda baginda lagi:
"Sesiapa yang menyakiti seseorang kafir yang duduk di bawah pemerintahan Islam, maka akulah musuhnya dan sesiapa yang menjadi musuhnya nescaya aku akan memusuhinya di hari kiamat kelak."
Sabdanya lagi:
"Sesiapa yang menyakiti seorang dzimmah maka sesungguhnya ia telah menyakitiku dan sesiapa menyakitiku sesungguhnya ia telah menyakiti Allah".
Abu Yusof telah meriwayatkan dalam kitab "Al-Kharaj" apa yang terdapat dalam perjanjian Rasulullah s.a.w. dengan penduduk Najran; "Untuk Najran dan wilayah pemerintahan Allah dan tanggungjawab RasulNya mengawal harta benda mereka, agama mereka, tempat ibadat mereka dan setiap apa yang mereka miliki, sedikit atau pun banyak..."
Saidina Umar Al-Khattab sewaktu pemerintahannya sering mengambil berat terhadap sebarang perlanggaran hak bukan-Islam oleh pegawai-pegawai Islam di bawahnya dan akan sering menyoal setiap orang yang datang menemuinya yang berasal dari wilayah-wilayah yang telah menyatakan ketaat-setiaannya kepada pemerintahan Islam kerana beliau amat bimbang kalau-kalau ada diantara orang-orang Islam yang menyakiti mereka.
Dalam satu pesanan Umar kepada Abu Ubaidah bin Al-Jarrah:
"Hendaklah kamu menahan orang-orang Islam daripada menzalimi orang bukan Islam dan dari melakukan apa-apa kemudharatan terhadap mereka dan laranglah orang-orang Islam daripada memakan atau memusnahkan harta benda mereka."
Dr. Yusof Al-Qardawi menyatakan "sesiapa yang mencuri harta benda seseorang bukan Islam ia dipotong tangannya, sesiapa yang merampasnya dikenakan denda dan harta yang dirampas dipulangkan kepada tuannya dan yang merosakkan hartanya dibayar setimpal dengan harganya".
Kita belum lagi dapat menjalankan sistem kerajaan Islam seperti mana dituntut oleh Allah dan RasulNya namun perjalanan ke arah itu sedang dimulai dengan diberikan kemenangan kepada kita untuk mentadbir beberapa negeri supaya kita dapat menunjukkan sistem keadilan Islam agar ianya menjadikan bukan-Islam mengkagumi dan menerima sistem Islam.
Namun apa yang berlaku di Kedah memaparkan keadaan di sebaliknya. Di saat mereka (bukan Islam) cuba secara beransur untuk mengikuti dan memahami kita (dengan memberhentikan aktiviti penyembelihan khinzir di tempat yang mendatang masalah) kita mengambil sikap keras untuk merobohkan premis mereka sesudah itu.
Ia laksana menembak musuh yang sedang mengangkat tangan menyerah kalah. Sungguh hinanya kita dan itu zalim namanya.
Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w.
"Doa orang yang dizalimi itu - biarpun ianya seorang kafir - tidaklah ada di hadapannya apa-apa hijab" (Riwayat Ahmad di dalam Masnadnya).
Sekalipun hendak dilakukan apa-apa projek atau perancangan lain di tapak tersebut, ia mestilah dengan keizinan dan kerelaan pemilik bangunan dan tanah berkenaan tanpa mengira muslim atau non-muslim, bukan meroboh dan merampas sesuka hati. Ia tidak lansung diizinkan oleh Islam.
Saya dengan dengan rendah hati meminta Kerajaan Kedah dan sekalian yang mewajarkan tindakan merobohkan bangunan milik bukan Islam yang telah memberhentikan kegiatan penyembelihan itu mengemukakan dalil-dalil syarie yang mewajarkan tindakan itu dilakukan di dalam satu wacana ilmiah (meminjam istilah orang muda dalam PAS).