6 Ogo 2010

Musa Hassan Wajar Dibersarakan

IGP tidak pasti kontraknya akan disambung

Tan Sri Musa Hassan berkata beliau tidak pasti sama ada kontraknya sebagai Ketua Polis Negara yang berakhir pada 12 September ini akan disambungkan untuk kali ketiga.

Ketika diajukan soalan itu oleh wartawan pada satu majlis di Putrajaya, Musa enggan mengulas khabar angin bahawa kontraknya itu mungkin disambung lagi.

"Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya,” kata Musa yang kemudiannya beredar.

Kontrak Musa, 59, sebelum ini dilanjutkan selama dua tahun pada 2007 dan disambung lagi untuk setahun pada 2009.

Ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mahmood Adam berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bagi melanjutkan kontark Musa.

“Kalau ada apa-apa, kita yang pertama akan mengetahui tetapi setakat ini kita tiada maklumat (berhubung sambungan kontrak itu),” katanya ketika dihubungi.

Khabar angin kontrak Musa akan dilanjutkan timbul baru-baru ini kerana ada pihak yang mendakwa ketiadaan calon yang sesuai untuk dilantik sebagai ketua polis negara yang baru.

Menurut khabar angin itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya berpuas hati dengan prestasi Musa.

Pihak pembangkang, bagaimanapun membantah tempoh Musa sebagai ketua polis negara dilanjutkan. Ini khususnya kerana pembabitannya dengan perbicaraan liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

Beberapa kenyataannya sebelum ini juga menimbulkan pelbagai kontroversi dan kritikan. Terbaru, pada April lalu, beliau mencadangkan polis berundur daripada meronda berikutan bantahan orang ramai berhubung cara polis menangani kes seorang remaja, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis. -mk

Ulasan GB

Musa Hassan. Itu namanya. Dikenali pertama kali oleh rakyat Malaysia sebagai pengangkut tilam di dalam kes liwat Anwar. Kemudian dinaikkan pangkat, naik, naik sampai pegang Ketua Polis Negara.

Beliau mempunyai rekod yang paling hodoh sebagai KPN, malah beliau menipu kelulusannya. SIla ikuti laporan di bawah:

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa hari ini membuat laporan di Balai Polis Damansara Utama, di sini terhadap keterangan palsu Ketua Polis Negara Musa Hassan yang mendakwa beliau (Musa) mempunyai kelulusan Ijazah Undang-Undang.

"Musa telah melakukan kesalahan jenayah dengan memberi keterangan palsu kepada mahkamah berhubung kelulusan akademiknya,” kata Sivarasa yang turut diiringi oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata, “apa yang dibuat oleh Musa adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 191 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 Kanun yang sama.”

Menurut beliau, Musa mendakwa beliau memiliki Ijazah Undang-Undang ketika memberi keterangan bersumpah dalam satu pembicaraan kehakiman iaitu dalam perkara Pendakwa Raya melawan Anwar Ibrahim dalam Wilayah Persekutuan Perbicaraan Kes No: 45-48-98 dan 48-49-98 pada 14 Disember 1998.

“Pada hal, beliau sendiri ketahui bahawa beliau hanya memiliki kelulusan Diploma in Law (diploma biasa) sahaja dan tidak pernah memiliki Ijazah Undang-Undang daripada mana-mana Universiti dalam atau Luar Negeri,” katanya.

Sivarasa berkata, “kenyataan palsu Musa ini bersifat material kerana ianya mempengaruhi kredibiliti dan keboleh-percayaan peribadi beliau dalam pembicaraan kehakiman ini.


GB pernah mengulas hal ini dimana GB menyatakan:

Jika benar Musa Hassan menipu mengenai kelulusan akademiknya berarti wang gaji yang diterimanya selama ini tidak sah dan perlu dibayar semula kepada Perbendaharaan Negara.

Selain itu ia adalah "wang haram" kerana gaji yang diperolehi adalah tidak bersih kerana terdapatnya unsur penipuan untuk membolehkan beliau menjawat jawatan KPN.

Bagaimana seorang anak kepada seorang ustaz (Hassan Azahari) boleh memakan harta dengan cara yang tidak betul dan bersih?

Sistem Kehakiman Negara Ketinggalan Zaman. Laksanakan Sistem Juri.

Keputusan Mahkamah Rayuan Sahkan Teori Konspirasi Umno-BN Terhadap Anwar

Keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan nota perubatan Hospital Kuala Lumpur bagi membantu pembelaannya dalam perbicaraan Fitnah II, membuktikan kes ini tidak lagi mengambil pendekatan undang-undang, tetapi bertindak di luar amalan perundangan Malaysia dan negara Komanwel serta sekali gus mengesahkan teori konspirasi.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menjelaskan mendapatkan bahan bukti adalah asasi pihak yang dituduh dan keputusan mahkamah mencerminkan prinsip ini telah dinodai.

Apatah lagi permohonan Anwar dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah yang dipinda pada 2006 yang membenarkan pendakwaan mendedahkan bukti kes secara automatik sebelum perbicaraan.


"Tidak pernah terjadi sebelum ini pihak pembelaan dinafikan hak ke atas dokumen berkaitan sedangkan ia merupakan prinsip asas, iaitu pihak yang didakwa mempunyai hak penuh untuk membuat pembelaan sebaik mungkin.

"Ada wujud satu pepatah perundangan yang mengatakan 'Adalah lebih baik melepaskan sepuluh orang yang bersalah, daripada menghukum seorang yang tidak bersalah,'" kata beliau.

Yusmadi menjelaskan, mahkamah sepatutnya memberikan 'benefit of doubts' atau 'keraguan pertuduhan' kepada mereka yang didakwa kerana keraguan yang muncul sepanjang perjalanan kes tersebut memungkinkan kes ini digugurkan.

Tegas beliau perkembangan yang berlaku dalam perbicaraan tersebut setakat ini secara jelas mengesahkan teori dan persepsi wujudnya konspirasi untuk menjatuh dan mencemar karier politik Ketua Umum KEADILAN itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Clement Allan Skinner hari ini menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan nota perubatan daripada tiga doktor HKL. -SK


Rayuan Anwar untuk nota perubatan ditolak

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapatkan nota-nota perubatan dari tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang merawat pengadu kes liwatnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datin Paduka Zaleha Zahari yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan panjang berhubung takat bidang kuasa.

"Ia tidak menolak hak tertuduh. Untuk menjawap soalan oleh perayu, sama ada ia menolak hak tertuduh, jawapan kami adalah negatif.

“Justeru, kami menolak rayuan itu,” katanya

Zaleha berkata mahkamah juga bersetuju dengan penghujahan yang dibuat oleh Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Hakim-hakim lain yang bersidang hari ini adalah Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Clement Allan Skinner.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu menolak permohonan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan semua laporan perubatan yang disediakan oleh tiga doktor yang terlibat.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam keputusannya berkata tidak ada peruntukan atau asas undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan.

Permohonan itu dikemukakan oleh peguam Anwar pada 4 Jun lalu.


Beliau meminta semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, emel, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian oleh ketiga-tiga doktor yang telah memeriksa pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Selain itu, peguam Anwar juga mahu pihak pendakwa menyerahkan peralatan yang lazim digunakan semasa ujian untuk serangan seksual diberikan kepada mereka.

Pihak pembela juga ingin mendapatkan maklumat berhubung kelayakan dan pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan yang merawat Saiful - Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Dr Mohd Razali adalah pakar bedah di HKL yang telah memeriksa bekas pembantu Anwar dengan pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam dan pakar patologi forensik Dr Siew.

Semasa pemeriksaan utama, Dr Mohd Razali mengesahkan berlaku penetrasi zakar berdasarkan laporan kimia yang menunjukkan kehadiran air mani pada empat kapas kesat yang diambil daripada Mohd Saiful.

Anwar juga gagal bagi mendapatkan dokumen utama termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bagi semakan keputusan Mahkamah itu yang tidak menyebelahinya pada 2 Februari tahun ini.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Seorang pakar forensik yang didatangkan khas dari Australia oleh pihak pembela, Dr David Wells, sebelum ini mengadu bahawa beliau tidak dapat menjalankan tugasnya jika dokumen berkenaan tidak dibekalkan.

Profesor dari Victoria Institute of Forensic Medicine itu berkata peranannya sebagai penasihat pihak pembela akan terjejas tanpa dokumen berkenaan.

Prosedur lazim bagi kes jenayah adalah bagi pihak pendakwa membekalkan semua dokumen berkaitan kepada pihak pembela sebelum permulaan perbicaraan. -mk


Ulasan GB

Sistem kehaikman yang digunakan di negara ini sudah ketinggalan. Laksanakan sistem juri. UMNO BN takut untuk melaksanakan sistem juri kerana mereka tidak akan dapat memperkudakan institusi kehakiman negara lagi nanti.

"Rancangan politik kerajaan adalah untuk menghumban Anwar ke penjara supaya pembangkang menjadi kucar-kacir dan tidak bersedia. Kemudiannya, pilihan raya mengejut diumumkan dan mereka akan menang dengan mudah,” kata duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, melalui rencana pengarangnya yang disiarkan di The Wall Street Journal - akhbar yang paling tinggi edarannya di Amerika.

Menurut Malott adalah mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebuh-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikankepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka.

"Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik,” katanya.

Dalam artikelnya itu juga, Malott mendakwa kerajaan BN sekarang dibelenggu oleh pelbagai masalah dan mereka bertekad untuk mengurung Anwar agar segala kepincangan itu tidak dihebohkan.

Saman Ekor Perlu Dimasukkan Di dalam Manifesto PRU Pakatan Rakyat

Polis Tidak Ada Hak Arah JPJ Senarai Hitamkan Penerima Saman Ekor

Hanya pihak mahkamah yang boleh menentukan sama ada seseorang yang menerima saman kesalahan trafik itu bersalah atau sebaliknya dan bukan polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan Polis DiRaja Malaysia mengarahkan JPJ menyenarai hitam mereka yang menerima saman adalah salah di segi undang-undang disamping PDRM dilihat mendesak JPJ melakukan kesalahan.

"Notis saman ekor yang dikeluarkan oleh PDRM bukannya saman tetapi merupakan notis pemberitahuan. Dalam notis itu penerima perlu menjawab dalam masa tujuh hari selepas itu ia di bawa ke mahkamah untuk ditentukan bersalah atau tidak," jelas beliau.

Tambah Mahfuz apa yang dirisaukan tindakan PDRM itu boleh mewujudkan budaya rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

"Apa yang dibimbangkan keputusan menyenarai hitamkan pemandu akibat kesalahan saman ekor boleh mengundang gejala rasuah dan juga penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pegawai terbabit. Selain itu juga ia menggalakkan jenayah lain seperti lesen dan cukai jalan palsu.

"Saya berharap Menteri Pengangkutan menggunakan kuasanya mengarah JPJ agar tidak menyekat pembaharuan lesen bagi mereka yang menerima saman ekor. Kita mahu menteri sedar dan tahu notis saman ekor oleh PDRM bukan saman dan bukti bersalah.

"Tindakan menyenarai hitam kesalahan saman ekor bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan yang membenarkan seseorang menggunakan hartanya, jadi jelas tindakan itu melanggar peruntukan Perlembagaan," tegas Mahfuz lagi.

Sebelum itu Mahfuz melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat menemui Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang menerima saman ekor.

"Kita telah sedia maklum oleh pegawai kepada Menteri bahawa beliau bersedia untuk berjumpa dengan kita. Kita juga dimaklumkan wakil Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis DiRaja Malaysia akan turut serta dalam perbincangan," kata Mahfuz diperkarangan Kementerian Pengangkutan semalam.Mahfuz yang tiba bersama peguam lalu menyerahkan memorandum Setiausaha Akhbar kepada Menteri, Yeong Kah Choon dipejabat beliau.

Mahfuz yang mempengerusikan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan mengadakan satu pertemuan dengan mangsa saman ekor dan yang telah disenarai hitamkan pada 9 Ogos bagi memberi khidmat nasihat undang-undang.

Bagi kawasan Wilayah Persekutuan dan Selangor, perjumpaan akan diadakan di auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) manakala bagi mereka yang di Melaka dan Negeri Sembilan, pertemuan akan diadakan di Seremban.

Kase juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri dan membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung isu yang sama.

Turut serta semada penyerahan memorandum termasuk Yang DiPertua PAS Putrajaya, Nazir Zakaria, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah dan Penasihat Undang-undang Kase, Zulhazmi Shariff.

Ulasan GB


hazbj: Cadangkan pada majlis pakatan...JADIKAN HAPUS SAMAN EKOR SEBAGAI SATU DARI MANIIFESTO PRU KE-13(mesti)


GB bersetuju dengan saranan sdr. hazbj di atas.

UMNO BN bakal terlentang lantarannya. PDRM dan JPJ bakal berputih mata.


Faizzal Dipenjara Kerana Adu Kesalahan Pegawai Atasan

Bekas TUDM dakwa dipenjara kerana adu kesalahan pegawai atasan

Nasib bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Faizzal Jinong Abdullah masih tidak terbela, meskipun lebih daripada 20 laporan polis, malah aduan dibuat terhadap Kementerian Pertahanan. Faizzal mendakwa bahawa dirinya pernah dihumban ke penjara, malah keluarganya diberi layanan yang buruk kerana cubaannya untuk mengadu kesalahan pegawai atasan.

Justeru itu, ahli parlimen Parit Buntar-PAS, Mujahid Yusof Rawa tampil bersuara untuk menggesa agar kerajaan memberi layanan yang sewajarnya kepada bekas tentera, "Adalah menjadi satu perkara yang amat dikesalkan sekiranya layanan yang diberikan kepada seorang pesara tentera yang telah begitu lama berkhidmat dinafikan haknya untuk mendapat keistimewaan dan layanan yang sepatutnya."

Pemimpin PAS ini berkata, "Pihak berkuasa khususnya Kementerian Pertahanan haruslah mengambil insiatif dengan menjalankan siasatan tanpa melindungi mana-mana pihak yang bersalah. Buktikan ketelusan yang ada dalam perkhidmatan tentera dengan membawa mereka yang bersalah ini ke muka pengadilan."

Air dan elektrik diputuskan

"Persoalannya kenapakah penderaan dan penindasan perlu dilakukan sekiranya tiada perkara yang hendak disembunyikan oleh mana-mana pihak? Oleh kerana itu sekiranya pihak berkuasa telus dan jujur untuk melaksanakan undang-undang yang ada maka bawa mereka yang bersalah itu ke hadapan tanpa melindungi mereka dalam apa jua cara," katanya lagi.

Mujahid berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar bersama-sama dengan bekas TUDM, Faizzal Jinong Abdullah yang mendakwa telah ditindas dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya selepas persaraan beliau pada bulan Oktober 2008 yang lalu.

Faizzal yang telah berkhidmat selama 23 tahun mulai merasakan beliau dan keluarga ditindas dan diberi layanan yang buruk ketika bersama pasukan tersebut semasa mereka tinggal di kuarters tentera di Blok F4(0-2) di Kuching, Sarawak.

"Saya sekeluarga bukan saja dianiayai dengan bekalan elektrik diputuskan selama tiga bulan dalam keadaan gelap bersama enam orang anak yang berusia antara 5 hingga 17 tahun, tetapi juga dihumban ke dalam penjara apabila cuba untuk mengadu kesalahan pegawai atasan kepada pihak yang berkuasa," kata Faizzal.

Faizzal menceritakan kronologi peristiwa ini, "Sehingga ini lebih dari 20 laporan polis telah dibuat di Negeri Sembilan dan juga Sarawak, tetapi tiada satu pun yang diambil tindakan. Pihak berkuasa membuat spekulasi dan menuduh saya tidak bekerjasama dengan mereka dalam program persaraaan tetapi sebaliknya mereka cuba menghalang saya dari membongkar penyelewengan yang berlaku sehinggalah pelbagai kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan bukan saja terhadap saya tetapi juga keluarga."

Puluhan laporan polis

Isterinya Che Murni Dara Mat Zain turut menunjukkan bukti puluhan laporan polis yang telah dibuat bagi menuntut supaya mereka diberi pembelaan yang sepatutnya tetapi segalanya tidak berlaku.

"Aduan kepada Komander di Pengkalan Tentera Udara di Kuching dan juga di ibu pejabat TUDM di Kuala Lumpur pernah kita lakukan. Begitu juga kepada Kementerian Pertahanan tetapi tiada apa-apa tindakan yang mereka ambil bagi membawa mereka yang menganiayai kami."

"Sebaliknya pelbagai cara dan bentuk penderaan mereka lakukan. Ini termasuklah menghumban suami saya yang telah begitu lama berkhidmat dalam tentera ke dalam penjara sebelum ini. Saya dan anak-anak diterbangkan secara spontan ke Semenanjung tanpa pengetahuan suami yang ditahan tanpa pembelaan," kata Che Murni Dara Mat Zain.

"Kemudian kami ditempatkan di sebuah rumah di Negeri Sembilan tanpa mempunyai bekalan air dan elektrik sedangkan anak-anak saya masih kecil dan bersekolah. Penindasan ini bukan saja setakat ini, sebaliknya ia berterusan apabila kad pengenalan awam suami saya yang sepatutnya mencatatkan juga nombor tentera beliau sebelum ini tidak dicatatkan walaupun kami menghadapi kesukaran yang begitu payah bagi mendapatkan kad pengenalan tersebut sebelum ini," katanya lagi.

Masih diancam dan diugut

Faizzal yang kini menetap di Jawi, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan masih lagi menerima ancaman dan ugutan dari pihak tertentu yang membuat panggilan bagi mengancam keselamatan beliau dan keluarga.

"Sekiranya mereka yang bersalah masih tidak dibawa ke muka pengadilan di atas segala penyelewengan dan skandal yang mereka lakukan, maka selagi itulah ancaman dan ugutan akan terus kami sekeluarga terima."

"Oleh kerana itu adalah menjadi harapan saya dan keluarga bagi mendapat pembelaan yang sepatutnya dari pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan kami supaya dapat hidup aman dan damai dalam sebuah negara yang merdeka dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan," tambahnya lagi. -MR

Permit SK : Pegawai KDN Pembohong

KDN Tidak Bercakap Benar

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad didakwa tidak bercakap benar berhubung isu surat jawapan daripada Suara Keadilan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Menurut laporan media semalam Zaitun berkata pihak KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan kali pertama dan pihaknya tidak lagi menerima penjelasan daripada lidah rasmi KEADILAN itu walaupun diminta berbuat demikian.

Katanya lagi, KDN belum membuat keputusan sama ada akan menggantung terus akhbar tersebut atau membiarkan sahaja permit penerbitannya tidak diperbaharui.

Mengulas perkara ini Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib menjelaskan komen Zaitun tersebut tidak bersandarkan fakta dan dianggap satu pembohongan.

"Pada 28 Jun pihak Suara Keadilan dipanggil bertemu dengan Ketua Setiusaha KDN dan selepas sahaja tamat perbincangan, saya telah diserahkan surat tunjuk sebab berhubung artikel 'Felda Bankrap'.

"Surat bertarikh 29 Jun tersebut telah kami jawab dan diserahkan kepada pejabat KSU pada 30 Jun, iaitu sebelum mesyuarat yang membincangkan permohonan memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan.

"Pada 2 Julai pula kami menerima satu lagi surat daripada KDN yang menyatakan pihak kementerian tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan berhubung surat tunjuk sebab," jelas Dzulkarnain.

Tambah beliau surat tersebut tidak memerlukan jawapan kerana ia dianggap sekadar makluman bahawa KDN tidak menerima penjelasan Suara Keadilan disamping menyatakan pihak akhbar juga tidak menjawab tiga surat peringatan yang dihantar sebelum ini.

"Selepas itu KDN menghantar surat yang ketiga bertarikh 9 Julai meminta pihak kami menjawab surat mereka bertarikh 2 Julai.

"Itu pun kami telah menghantar surat jawapan dengan tangan pada 12 Julai kepada pejabat KSU juga. kami ada salinan yang mempunyai cop serta tarikh penerimaan daripada pejabat KSU. Jadi saya musykil apabila Zaitun memberi penjelasan yang berbeza kepada pihak media mengenai isu ini.

"Bagi Suara Keadilan, kami telah jawab kesemua surat KDN. Hanya KDN sahaja yang sehingga kini masih tidak memberikan salinan tiga surat peringatan yang kononnya mereka hantar kepada kami sebelum ini," ujar beliau lagi.Dzulkarnain berkata sehingga kini KDN masih membisu dan tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan surat jawapan Suara Keadilan bertarikh 12 Julai tersebut.

"Kami masih menunggu kalau-kalau KDN masih tidak berpuas hati terhadap penjelasan lanjut kami berhubung isu Felda. Kalau tidak berpuas hati beritahu kami. Kami akan berikan lagi penjelasan lanjut. Sementara menunggu keputusan muktamad daripada KDN pihak KEADILAN akan terus menerbitan akhbar tidak berkala setiap minggu.

"Saya harap KDN telus dalam hal ini dan tidak bermain politik dan tidak tunduk kepada tekanan politik. Jalankan tugas secara profesional kerana rakyat memerhati segala tindak tanduk KDN," tegas Dzulkarnain.

Permit penerbitan Suara Keadilan tidak diperbaharui pihak KDN setelah ia tamat tempoh sahlaku pada 30 Jun lalu walaupun permohonan telah dikemukakan oleh KEADILAN sejak 11 Mac 2010. -SK