13 Okt 2011

Prof Aziz Bari Libas Golongan Yang Tak Faham Undang-undang

Shah Alam, 13 OKT : Pakar Perlembagaan Malaysia Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata beliau hanya mempersoal titah seorang Raja Melayu dan bukan menghina institusi Raja-Raja Melayu seperti yang didakwa media pro-Umno.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata Perlembangan memberinya hak untuk membincang titah tersebut dan mereka yang mengkritiknya sebenarnya tidak faham undang-undang.

"Saya tak kata pertikai Tuanku, tak ada. Saya tak kata dia tak ada kuasa. Saya kata kuasa tu memang ada, saya tak pertikaikan. Tiba soal kewajaran, soal keadilan dalam isu ni macam mana. Itu saja."

"Iyalah yang dakwa menghina itu dia. Kalau dia faham peruntukan perlembagaan itu dia tak kata begitu. Dia orang sudah melabel kita macam tu, saya nak buat macam mana."

Dr Aziz berkata demikian ketika dihubungi TV Selangor apabila diminta mengulas langkah beberapa Ahli Parlimen BN yang mendesak supaya tindakan tegas diambil ke atasnya ekoran rencananya semalam yang disiarkan di portal Malaysiakini yang berjudul "Tidak Salah Kritik Raja-raja".

Aziz dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak mempertikaikan kuasa ketua agama. Apa yang diperkatakan ialah kewajaran sesuatu tindakan itu dari segi undang-undang dan Perlembagaan.

"Saya dah kata, saya tak pertikaikan kuasa ketua agama. Saya cuma sebut soalnya adakah kewajarannya ada. Itu boleh. Kalau tengok akta hasutan pun jelas. Kalau kita setakat mencuba nak memperbaiki, nak improve kata orang apa salahnya."

Beliau kecewa kata-katanya telah dipusing oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan politik.

‘Orang ni dah twist sentence.... Itu yang sedihnya. Kalau orang yang macam Zulkifli Nordin yang pernah jadi peguam fikir macam itu. Apa jadinya. Ini nak mengapi-api, nak menghasut namanya. Nak memanaskan keadaan yang tak panas."

Dr Aziz memuji sikap terbuka seorang Putera Diraja Negeri Sembilan Tunku Zain Al Abidin Tuanku Muhriz.

Tunku Zain dalam kenyataan kepada portal berita Malaysia Kini hari ini antara lain berkata, titah diraja boleh dibincangkan oleh ahli akademik dan media, selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan yang sebenar.

Tambah Dr Aziz, beliau memberi komen sedemikian kerana kes siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) membabitkan sensitiviti agama lain.

Di dalam titahnya Isnin lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata tindakan JAIS menepati skop undang-undang agensi itu.

Sebelum ini, siasatan JAIS terhadap DUMC atas dakwaan ia cuba berdakwah kepada orang Islam dikecam oleh ahli politik Pakatan Rakyat dan NGO.

"Satu lagi yang kita kena faham ialah soal ini dia melibatkan soal agama lain. Jadi dalam soal itu kita kena tengok jugak. Kalau dah sampai kedudukan agama lain terancam dalam soal ini dalam kedudukan soal gerejanya diceroboh, macam mana. Dan bukti tak ada."

Beliau berpendapat jika tidak cukup bukti lebih baik kes sedemikian ditutup kasar, jangan dipanjang-panjangkan kerana ia mempunyai impilasi negatif.

"Saya kata macam ini, kalau bukti tak ada tutup saja. Tutup buku. Apa pulak bukti tak ada masih lagi kita seolah-olah melihat orang-orang ini beralah. Macam mana. Itu yang saya kata mana ada dalam dunia ini undang -undang kata macam tu. Kalau tak ada bukt , tutup buku, itu saja. Tang mana lagi kita nak cuba seolah-olah nak menunjukkan orang ini masih bersalah walaupun tak ada bukti. Itu yang saya katakan."

Menyentuh tindakan Ahli-ahli Parlimen mencabar beliau menyertai politik, Prof Dr Aziz dalam ketawa berkata bahawa dia tidak berminat menyertai politik dan mencabar ahli politik yang mencabarnya agar menjadi golongan akademik sepertinya.

"Nak mencabar saya berhenti pasal apa. Kenapa saya harus berhenti. Saya tak minat poltik. Saya bukan nak kedudukan dia. Kalau dia rasa nak lawan saya masuk ke sinilah, cuba jadi ahli akademik. Apa pulak saya lawan dia. Bila masa saya nak lawan dia. Apa pula timbul soalan berhenti politik masuk bertanding. Ini apa ceritanya."




Nak Tangkap, Tangkaplah, "Serah Kalah" Tidak Sama Sekali - Bob Lokman

Penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman hari ini menegaskan beliau tidak akan “menyerah kalah” dengan hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi keterangan, sebaliknya “lebih rela ditangkap” selepas ditahan Isnin lalu kerana memberi kuliah agama tanpa tauliah.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman memberitahu bahawa beliau tidak akan pergi ke pejabat Jais atas alasan agensi agama itu tidak melaksanakan dasar Islam secara keseluruhan, tetapi lebih memihak kepada dasar pemerintahan Umno-BN.

“Kalau nak tangkap saya, tangkaplah, nak heret sekalipun, tapi saya tak kan pergi menyerah kepada mereka,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Laporan media hari ini menyebut Jais akan mendapatkan perintah waran tangkap daripada mahkamah terhadapnya seandainya enggan hadir memberi keterangan kepada agensi itu.

Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, selebriti yang berusia 47 tahun itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan mematuhi perintah hadir terhadapnya.

“Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian.

“Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap,” katanya.

Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat.

Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut “mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.” Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor.”

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Bob Lokman menambah, dengan pergi ke pejabat Jais, perjuangan agama yang dipegangnya selama ini seakan hancur kerana jabatan itu sendiri tidak melaksanakan syiar Islam dengan telus.

“Ini soal akidah, prinsip dan kepercayaan, saya yakin dengan perjuangan saya, Bilal Bin Rabbah sendiri menerima tentangan hebat waktu diseksa kerana Islam,” kata beliau.

Beliau ditahan Jais selepas menceritakan pengalamannya menerima hidayah Islam di Hulu Langat awal minggu ini.

“Saya yakin kepada agama, kepada al-Quran, sekiranya saya tidak menentang, mereka tidak akan tahu wujudnya ketidakadilan dalam pentadbiran mereka, sekiranya orang PAS sendiri tidak tidak bersetuju, tak apa... saya yakin dengan kepercayaan saya,” tegasnya.

Menurut Bob Lokman lagi, dia yakin penguasa Jais dan kadi yang menahannya pada malam itu datang sebagai ‘wakil’ Umno, yang cuba menghalang usaha dakwah dilakukannya demi kepentingan politik.

“Saya bukan nak masuk politik, (atau) jadi wakil rakyat, saya nak bantu orang-orang Islam negara kita ini, mengaku kenal Allah, kenal Islam, tapi sebenarnya Islam pada nama, pada Melayu sahaja,” katanya lagi.

“Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan kehadiran saya di sana kerana menganggap saya menggugat mereka, tapi saya hanya bercerita soal akidah, berdakwah di jalan Allah, saya juga menolak sikap kadi Hulu Langat yang tidak profesional, yang lebih pentingkan diri daripada membantu mengembalikan akidah dan iman umat Islam di landasan yang betul,” katanya lagi. -TMI

Ulasan GB

Tahniah dan syabas Bob. Demi mempertahankan kebenaran, kita tempuh segala ujian dan cabaran.



Terbukti SPR Penipu: Kini Mengakui 40,000 Nama Di Daftar Pengundi Meragukan

SPR akui 40,000 nama di daftar pengundi 'meragukan'

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.

"Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya.

"Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus di Shah Alam hari ini.

Abdul Aziz menyifatkan sebagai kecil bilangan 40,000 nama yang tidak dapat dipastikan kesahihan maklumatnya itu dan SPR dalam proses memperbaikinya.

Mengenai persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, beliau berkata proses itu akan dibuat selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ini kerana SPR memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk berbuat demikian, katanya.

Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, Abdul Aziz berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu terutama negeri-negeri yang mempunyai bilangan kerusi negeri yang angkanya genap.

"Kita hendak menukarkan DUN yang mempunyai jumlah kerusi genap kepada ganjil bagi mengelak kemungkinan berlakunya situasi kemenangan 50-50," katanya.

Abdul Aziz berkata mengikut ramalan SPR, PRU ke-13 akan menjadi lebih mencabar berdasarkan kepada senario politik semasa.

"Parti kerajaan memerintah akan berusaha sedaya upaya pertahan kuasa mereka dan parti pembangkang pula akan berusaha sedaya upaya ambil alih pucuk pimpinan negeri ataupun negara. Dalam dua pertembungan ini, kita ramalkan PRU ke-13 akan jalan rancak dan sengit," katanya.

Mengenai taklimat hari ini, Abdul Aziz berkata ia bertujuan memberi penerangan awal kepada pegawai pengurus dan penolong mereka tentang tugasan dan tanggungjawab mereka sewaktu menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Taklimat hari ini, yang pertama seumpamanya adalah bagi negeri Selangor. Ia akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata taklimat itu adalah hanya untuk melatih petugas SPR agar sentiasa berada dalam keadaan siap sedia dan tidak semestinya bermakna "PRU ke-13 terlalu hampir".

Katanya SPR memerlukan sekurang-kurangnya 160,000 petugas untuk pilihan raya umum ke-13 nanti berbanding 150,000 pada pilihan raya umum lalu. - Bernama



820,156 pemilih baru tahun lalu, naik tiga kali banding 2009
October 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Okt — Bilangan pengundi baru yang didaftarkan sepanjang tahun lalu telah meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah direkodkan pada 2009, antara lain dipercayai didorong oleh spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13 dan peranan aktif parti-parti politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima seramai 820,156 orang sebagai pemilih baru tahun lalu berbanding hanya 276,621 tahun sebelum itu.

Angka lebih 800,000 itu menyamai persekitaran ketika 1999.

Dalam jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dari DAP bahawa jumlah permohonan pendaftaran baru berbeza dari tahun ke tahun kerana ia bergantung kepada kesedaran warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih.

Selain itu katanya, ia juga berkait dengan sentimen keadaan politik semasa.

“Berdasarkan trend, jumlah permohonan adalah rendah dalam tempoh selepas berakhirnya pilihan raya umum dan akan berlakunya peningkatan yang ketara dalam jumlah permohonan apabila masyarakat umum menjangkakan tarikh pilihan raya sudah semakin hampir,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini The Malaysian Insider ada melaporkan bahawa pendaftaran bagi setiap suku sepanjang setahun lalu telah mengalami peningkatan drastik berbanding tempoh satu tahun selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Masih ada lebih tiga juta orang belum mendaftar sebagai pengundi.

Menjawab soalan Liew mengenai bilangan pegawai SPR yang ditugaskan di seluruh negara untuk memproses pendaftaran pemilih baru, beliau memberitahu bahawa SPR mempunyai 132 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat secara tetap.

Di samping itu, sehingga Ogos lalu, SPR melantik seramai 10,865 Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang terdiri daripada 2,845 wakil parti politik, 3,992 wakil jabatan dan 779 wakil pertubuhan.

Mereka membantu SPR menerima permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.

“Pelantikan ini adalah bagi tempoh tertentu dan penamatan boleh dilakukan pada pada bila-bila masa bergantung pada syarat-syarat yang ditetapkan SPR,” katanya.

Sementara itu, peruntukan yang ditetapkan untuk tujuan pendaftaran pemilih berjumlah RM500,000. -TMI


Laporan sebelum ini




Ulasan GB

Bukankah pendusta dan penipu namanya tu apabila baru sekarang membuat pengakuan yang 40,000 nama di dalam daftar pengundi adalah meragukan?

Sedangkan sebelum ini beliau sendiri yang membuat kenyataan bahawa kesilapan SPR hanyalah 0.0001 peratus berbanding 12.4 juta pengundi?

Justeru itu kita merasakan bahawa keseluruhan SPR ini perlu disiasat. Tiada satu pun perkataan mereka boleh dipakai kerana sekali lencong keujian, seumur hidup tidak boleh dipercayai.

GB yakin angkanya melebihi 40,000. Malah mungkin melebihi 400,000. Maka sebab itu SPR kini sedia untuk menghapuskan 40,000 nama berkenaan kerana daftar pemilih itu masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Bersihkan daftar pemilih, malah bersihkan SPR sebelum pilihanraya umum ke 13 dipanggil!

[Bergambar] Satu Pertiga Thailand Diisytihar Zon Bencana Akibat Banjir

Bangkok: Thailand pada Rabu mengisytiharkan satu pertiga wilayah negaranya sebagai zon bencana akibat kejadian banjir terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa dekad.

Ia turut memaksa pengeluar automobil Toyota di sini memberhentikan pengeluaran kereta-keretanya yang terjejas daripada bencana tersebut.

Kerajaan Thailand menyasarkan untuk mempercepatkan operasi menyelamat selepas 281 orang terkorban dan berjuta penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda sejak dua bulan yang lalu.

“Kerajaan telah mengisytiharkan semua wilayah yang terjejas akibat banjir sebagai zon bencana kritikal bagi membolehkan gabenor-gabenor berkenaan meningkatkan penguatkuasaan bagi memberikan lebih banyak barangan dan mengurus belanjawan,” kata Timbalan Perdana Menteri Yongyuth Wichaidit.

26 daripada 77 wilayah negara itu kini terjejas teruk manakala ibu kota Bangkok pula dijangka dilanda banjir besar menjelang pertengahan bulan ini.

Pegawai-pegawai terbabit telah mendirikan benteng di sekitar lapangan terbang utama dan beberapa kawasan lain bagi melindungi bandar raya yang mempunyai 12 juta penduduk itu.

Sebahagian daripada penduduk juga mula menyimpan stok guni pasar, makanan yang tidak mudah rosak dan beberapa barangan keperluan lain sebagai persiapan.Beberapa kawasan di utara bandar raya ini mula dinaiki air sedalam beberapa meter.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berpesan kepada penduduk yang tinggal di luar kawasan yang dibenteng itu untuk bersiap sedia menghadapi banjir tersebut.

“Jika kawasan dalaman Bangkok dilanda banjir, ia hanya akan terjejas sedikit tetapi kita perlu memikirkan nasib mereka yang tinggal di luar kawasan yang dibenteng,” katanya kepada pemberita yang ditemui di pusat operasi menyelamat mangsa banjir di lapangan terbang, di sini, Rabu.

Beliau dijadualkan untuk menghadap King Bhumibol Adulyadej bagi membincangkan krisis tersebut.

Pengeluar automobil Jepun itu berkata pengeluaran kereta di tiga buah kilangnya yang terjejas terpaksa diberhentikan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini.

Toyota berkata, walaupun banjir itu tidak menjejaskan operasi tiga buah kilangnya di Samrong, Gateway dan Ban Pho secara langsung, ia masih mengganggu pembekalan alat gantinya.

Operasi pengeluaran automobil itu diberhentikan sejak Isnin dan syarikat tersebut hanya akan menentukan keputusan untuk menyambung semula operasi mereka pada Sabtu ini.

Banjir terburuk itu turut melanda negara jiran termasuk Kemboja sehingga mengorbankan lebih 200 orang. - AFP











Buku Sesat Kelab Taat Suami: Jadi "Orang Roh" Untuk Kenikmatan Seks Berganda

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyekat pengedaran buku “Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia” yang diterbitkan oleh Kelab Taat Suami kerana didakwa mengarut dan memalukan.

Muka belakang buku kontroversi “Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia” terbitan Kelab Taat Suami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk seri Jamil Khir Baharom berkata perbincangan mengenai hubungan seks dalam buku berkenaan walaupun secara halal antara suami dan isteri adalah tidak wajar kerana ditonjolkan dengan cara tidak beradab dan boleh mengundang tanggapan negatif.

“Apatah lagi apabila membicarakan mengenai khayalan yang Allahyarham Asaari Muhammad atau Abuya (bekas pemimpin Al-Arqam) sedang melayari hidup di alam sendiri dan akan menguruskan isterinya untuk dibawa ke alam roh, ini hal karut,” katanya.

Kelab itu mencetuskan kontroversi apabila pelancarannya diumumkan awal Jun lalu.

Jamil Khir menambah, “kita akan siasat dengan teliti kandungan buku ini dan melihat sejauh mana tindakan yang boleh diambil, termasuk kepada Kelab Taat Suami yang diketuai Hatijah Aam (isteri Asaari) ini.”

Buku itu dilaporkan mengulas mengenai seks suami isteri secara terperinci.

Buku 115 muka surat yang dikatakan panduan kepada isteri dan pengantin baru untuk melayan suami di ranjang, turut menyiarkan gambar Hatijah atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah, yang mendakwa ketika dunia menyangka Abuya sudah meninggal dunia, pengikutnya kini bangkit memperjuangkan seks Islam.

Sementara itu bekas pengikut Al-Arqam Mohd Zawawi Aman berkata buku berkenaan yang diterbitkan di Pasir Puteh, Kelantan kira-kira dua bulan lalu hanya dijual kepada ahli dengan harga RM50 senaskhah. -TMI

Ulasan GB

Demikianlah, akhirnya Allah mendedahkan kesesatan kumpulan Al-Arqam - dimana perjuangan daripada zikir-zikir yang mereka amalkan berakhir dengan perjuangan atas katil.

Begitulah diantara cara-cara bagaimana si iblis memperdaya manusia.

Jangan pula selepas ini ada yang mencari-cari buku tersebut.

Kedua jauhilah ajaran-ajaran yang menyimpang dari aqidah As-sunnah wal-jamaah.

Sabda Nabi saw:

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).
(Imam Malik).


[Bergambar & Video] Kedutaan Malaysia Di Jakarta Diserang

Isu sempadan Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat yang dihangatkan oleh media tempatan telah menyebabkan sekumpulan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi dan bertindak liar depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada Rabu sehingga merosakkan cermin pos pengawal.

Kumpulan dari Forum Betawi Rempug (FBR) yang berjumlah kira-kira 650 orang berdemonstrasi selama satu setengah jam mulai pukul 1 petang Rabu, melempar benda keras seperti batu, kayu dan buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan.

Ini menyebabkan cermin pos pengawal dan beberapa lampu pagar kedutaan pecah hingga melukakan sembilan anggota polis yang berkawal di situ.

Para penunjuk perasaan itu dikatakan membantah tindakan Malaysia yang didakwa kononnya mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Kumpulan itu dipimpin Pengarah FBR Edwan Hamidy.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia tidak melayani sebarang nota bantahan dari kumpulan itu kerana mendakwa tuduhan mereka itu tidak benar.

Para penunjuk perasaan menjadi marah apabila dihalang oleh pihak polis daripada memasang bendera FBR di pintu pagar bangunan pejabat kedutaan itu sehingga mereka bertindak liar merempuh anggota polis.

Pasukan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka bagi mengawal keadaan daripada menjadi bertambah buruk.

Isu pertikaian sempadan itu berlaku apabila Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat Tb Hasanuddin hujung minggu lalu mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, yang didakwa telah diambil oleh Malaysia.

Dakwaan beliau bagaimanapun segera disangkal beberapa menteri kabinet Indonesia kerana ia tidak berasas.

Mereka ialah Menteri Penyelaras Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Djoko Suyanto; Menteri Luar Marty Natalegawa; Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi; dan Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro.

“Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada 1891, 1915 dan 1928,” kata Marty.

Perjanjian yang ditandatangani antara Belanda dan Inggeris itu telah menetapkan garis sempadan kedua-dua negara itu dan sejak sekian lama tidak ada sebarang pertikaian mengenainya.

Sehubungan kejadian itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Indonesia berikutan kerosakan yang berlaku.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pihaknya akan meminta penjelasan bagaimana kekacauan itu boleh tercetus sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

“Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hampir setiap tahun berhadapan dengan kumpulan penunjuk perasaan sehingga berlaku pelbagai kerosakan pada aset negara.

“Nota diplomatik yang akan dikirim ini ialah bagi meminta penjelasan daripada kerajaan Indonesia bagaimana mereka dapat membantu kita menyelesaikan isu ini,” katanya di Jakarta.

Pengiriman nota diplomatik itu adalah selaras dengan Konvensyen Vienna yang menetapkan bahawa pihak berkuasa sesebuah negara harus melindungi harta benda setiap pejabat perwakilan asing di negara berkenaan. -Bernama









Upah Ayam Goreng Selepas Rogol Cucu

Kulim - Tidak serik dipenjara kerana kesalahan merogol, seorang datuk sanggup melakukan perbuatan sama terhadap cucunya yang juga murid tahun tiga dan masih bersekolah.

Lebih menyedihkan mangsa hanya diberi upah ayam goreng setelah suspek memuaskan nafsunya.

Mangsa dikatakan sering tidak ke sekolah menyebabkan gurunya bertanya tentang masalah yang dihadapinya.

Mangsa kemudiannya menceritakan apa yang berlaku dan guru berkenaan yang terkejut dengan pengakuan itu membawa mangsa menjalani pemeriksaan di hospital. Doktor menasihatkan supaya laporan polis dibuat.

Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada waris mangsa dan suspek datang ke balai polis bersama mangsa untuk membuat laporan polis dengan menuduh bapa mangsa melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Polis yang menjalankan siasatan ke atas datuk dan bapa mangsa berasa curiga lalu meminta mangsa menceritakan kisah sebenar. Barulah kanak-kanak itu mengaku dia diarahkan oleh datuknya untuk menuduh bapanya.

Setelah menjalankan siasatan terhadap datuk mangsa, akhirnya suspek mengaku melakukan perbuatan itu terhadap cucunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, sebelum ini suspek pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan merogol.

“Dia pernah menerima hukuman 12 sebatan dan dipenjarakan sebelum ini. Suspek juga baru dibebaskan dari penjara. Apa yang dilakukan oleh suspek adalah satu kesalahan serius dan kes akan disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya. -SH

Bajet 2012 Kerajaan Persekutuan Banyak Kelemahan - Pakar Ekonomi

Terdapat berbagai kelemahan belanjawan kerajaan persekutuan terutama membabitkan pembayaran sekali (one-off payments) seperti RM3,000 kepada sesetengah pegawai, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Berhad Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Jelasnya, bayaran sekali bukan langkah penyelesaian yang bersifat kekal didalam menangani masalah ekonomi.

“Ia tidak diinstitusikan sebagai “safety-net mechanism” atau mekanisme jaringan keselamatan yang rakyat boleh bergantung harap,” katanya dalam rancangan “Terus Terang” di TV Selangor hari ini.

Di dalam belanjawannya kerajaan persekutuan antaranya memperuntukan bayaran khas RM3,000 kepada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang telah tamat kontrak.

Azrul (gambar) berkata dari segi keseimbangan belanjawan, pembayaran sekali yang terlalu banyak akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan sekaligus melambatkan lagi proses mengurangkan defisit fiskal negara.

“Pemberian one-off kepada rakyat perlu mempunyai alasan dan rasional yang kukuh serta pada kadar atau jumlah yang munasabah,” katanya.

Sebagai contohnya, Azrul mempertikaikan jusifikasi memberi RM100 kepada semua 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga ke Tingkatan 5, kerana ia boleh berlaku ketirisan.

Antara ketirisan yang dilihat Azrul ialah, anak-anak bukan warga Malaysia juga akan mendapat bantuan ini dan yang mungkin dapat untung adalah syarikat-syarikat telekomunikasi.

Menurut Azrul peruntukan sebanyak RM530 juta itu sebaik-baiknya disalur ke tabungan biasiswa atau pinjaman pendidikan.

Rancangan “Terus Terang” akan disiarkan di TV Selangor pada Jumaat 12 tengahari dengan ulangan pada hari Ahad jam 6 petang. -tvsnews



Empat Pelajar Jururawat Dicekup Berpesta Seks

Kelas’ seks empat gadis

KUALA LUMPUR: Empat gadis bakal bergelar jururawat yang ponteng kuliah di sebuah kolej swasta di Klang, Selangor, sejak beberapa hari lalu, ditahan selepas didapati ‘berpesta seks’ bersama pasangan masing-masing di sebuah bilik asrama kolej berkenaan, malam kelmarin. Gambar hiasan

Dalam serbuan dilakukan pengurusan kolej berkenaan jam 7 malam, dua daripada pelajar perempuan terbabit dilaporkan dicekup dalam keadaan separuh bogel dan dua lagi berpakaian lengkap, manakala empat lelaki berusia awal 20-an bersembunyi dalam tandas asrama kolej.

Difahamkan, biarpun menyedari pemeriksaan mengejut dilakukan pihak pengurusan kolej, keempat-empat lelaki terbabit gagal menyelinap keluar menyebabkan mereka bersembunyi di dalam tandas bagi mengelakkan dicekup, namun gagal.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, pihak pengurusan kolej menerima banyak aduan salah laku keempat-empat gadis terbabit daripada pelajar lain dan pensyarah sejak seminggu lalu.

“Antara salah laku yang dilaporkan ialah tidak hadir kelas dan sering membawa lelaki masuk ke asrama sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan pelajar lain.

“Rentetan daripada aduan berkenaan, satu pemeriksaan mengejut dilakukan pihak kolej selepas dimaklumkan terdapat empat lelaki dipercayai kekasih kepada keempat-empat pelajar terbabit menyelinap masuk ke asrama kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Menurut sumber, pemeriksaan yang dilakukan empat kakitangan terdiri daripada pihak pengurusan kolej yang diiringi anggota polis itu membuahkan hasil apabila keempat-empat lelaki terbabit ditahan ketika bersembunyi di dalam tandas asrama berkenaan. -hm


Wanita Maut Disamun Dan Dilanggar Dengan Keretanya Sendiri

Sayang kereta nyawa melayang

Gambar KESAN darah Moy Lay yang dilanggar dan diseret oleh penjenayah yang menyamun kereta mangsa di Jalan Kapar, Klang kelmarin.

KLANG - Malang nasib seorang wanita apabila dia bukan saja gagal menyelamatkan kereta Toyota Altis miliknya daripada dilarikan penyamun malah berakhir dengan nyawanya melayang akibat dilanggar dan digilis oleh penjenayah yang tidak berhati perut dalam kejadian di Jalan Kangar 92, Jalan Kapar di sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 7.15 malam itu, mangsa Teoh Moy Lay, 52, mati akibat cedera di beberapa bahagian badan selepas dilanggar dan diseret sejauh 54.8 meter.

Lebih menyayat hati, kejadian tersebut disaksikan oleh suami dan anak Moy Lay selepas mereka berlari keluar dari rumah sebaik mendengar jeritan mangsa.

Mengimbas tragedi itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis mengesyaki kedua-dua suspek itu mengekori Moy Lay yang memandu kereta Toyota Altis bernombor pendaftaran BKV 3882 yang bekerja di sebuah syarikat kredit dan kereta terpakai di ibu negara sehingga sampai di hadapan rumah mangsa.

Menurut beliau, sampai di rumah mangsa, salah seorang suspek turun dari keretanya sebelum bertindak menaiki kereta mangsa.

Ketika itu mangsa baru turun dari keretanya dan enjin tidak dimatikan kerana mahu membuka pintu pagar. -kosmo

Ulasan GB

Ada moral di situ, iaitu di perenggan terakhir.

Ketika itu mangsa baru turun dari keretanya dan enjin tidak dimatikan kerana mahu membuka pintu pagar.

Justeru itu berwaspadalah selalau.

[Bergambar & Video] Banjir Terburuk Dekad Ini Di Thailand. 100 Buaya Terlepas Dari Sangkar

Banjir Besar, PM Thailand Akui Bangkok Tidak Bersedia

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra mengakui banjir yang berlaku ketika ini, gagal ditangani oleh Pemerintah Kota Bangkok. Yingluck menyatakan Bangkok sebagai ibu kota Thailand, tidak bersiap sedia menghadapi banjir.

Sistem pencegahan banjir di mata adik mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra tersebut, belum selesai seluruhnya. Beliau menambah, pemerintah sedang berhadapan dengan faktor masa untuk menghadapi jumlah air yang terus bertambah. Demikian diberitakan Bangkok Post, Selasa (11/10/2011).

Pemerintah Metropolitan Bangkok (BMA) menyatakan, pihaknya sudah mendirikan hampir 200 tempat penampungan bagi warga yang terkena kesan banjir. Dianggarkan, Bangkok memerlukan tiga tembok anti banjir, guna menghalang air dari masuk ke kota itu.

Tembok anti banjir ini akan dibangunkan di wilayah pemukiman Muang Ake di Pathum Thani. Tembok serupa juga akan dibangunkan di Rangit Khlong 5 dan wilayah Taling Chan, yang berada tepat di belakang Universiti Mahidol.

Tembok ini nantinya akan menghalang air dari wilayah dataran yang lebih tinggi dan mengalihkannya melalui daerah pinggiran Bangkok di sebelah timur dan barat. Pengalihan ini membuat air langsung menuju ke laut.

PM Yingluck menyatakan tembok anti banjir di Muang Ake akan dibangunkan sepanjang 10 kilometer. Sementara tembok yang berada di Rangsit Khlong 5 akan memerlukan kira-kira 1.5 juta kampit pasir.

Kerana pemerintah diberitakan kehabisan kampit pasir, perdana menteri perempuan pertama Thailand ini juga mencari kemungkinan bahawa kampit tersebut akan disediakan oleh pihak swasta.

Banjir yang terjadi di Thailand sudah berlangsung hampir dua bulan lamanya. Bencana ini menyebabkan kira-kira 253 jiwa warga Negeri Gajah Putih tersebut terkorban.

Diterjang Banjir, 100 Buaya Thailand Terlepas

BANGKOK - Kira-kira 100 ekor buaya Thailand terlepas dari sangkarnya ketika banjir. Peristiwa ini menyebabkan keresahan bagi warga Thailand yang waktu ini sedang berjuang untuk menghadapi banjir maut tersebut.

Buaya-buaya itu terlepas dari Penangkaran Uthai Thani akibat banjir yang melanda Thailand akhir-akhir ini.

Petugas margasatwa dan Jabatan Pemuliharaan Thailand ketika ini sedang mencuba untuk mententeramkan para penduduk, mereka menyatakan, buaya yang lepas adalah buaya yang masih kecil, yang panjangnya belum mencapai 1 meter.

"Tolong, jangan panik, buaya ini bukanlah buaya buas seperti di alam liar. Mereka juga takut terhadap manusia," ujar pejabat Jabatan Pemuliharaan Thailand, Thirapat Prayoonsit, seperti dikutip News Core, Selasa (11/10/2011).

Pemerintah Thailand saat ini juga sudah menggunakan beberapa pawang buaya untuk menangkap buaya-buaya yang terlepas tersebut.

Banjir di Thailand sudah mengorbankan lebih dari 250 orang. Langkah besar pun diambil oleh Pemerintah Thailand untuk menyelamatkan 12 juta warga yang terkena banjir.

Selain di Thailand, banjir ini juga melanda Kamboja dan Vietnam. Banjir di tiga negara Asia Tenggara tersebut juga sudah menelan lebih dari 500 korban nyawa