27 Ogo 2015

KDN & Polis Perlu Patuh Keputusan Mahkamah: BERSIH Tidak Haram

Baru-baru ini pihak KDN dan Polis telah mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan BERSIH pada 29/30 Ogos ini adalah haram sedangkan ia ternyata membelakangkan keputusan Mahkamah sebelum ini yang menyatakan BERSIH tidak haram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai 2012 telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri waktu itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan BERSIH, dengan tiada perintah tentang kos.

Empat belas jawatankuasa pemandu BERSIH waktu itu yang diketuai oleh Datuk S Ambiga telah menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai responden.

Datuk Seri Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, sejurus sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2012.

Dalam penghakiman 30-muka surat itu, hakim menyentuh sejarah permohonan yang mencabar keputusan Hishammuddin mengisytiharkan gabungan NGO itu sebuah pertubuhan haram.

Walaupun perisytiharan itu dibuat, tambahnya, pihak berkuasa masih terus bertemu dengan pegawai BERSIH.

"Terdapat rundingan antara pemohon dan responden (kerajaan) mengenai lokasi perhimpunan pada 9 Julai," katanya.

"Ada majlis mengadap ( Yang di-Pertuan Agong oleh) pemohon pertama dan tiada celaan terhadap BERSIH (dalam menjalankan) aktiviti (perhimpunan 9 Julai 2011) seperti yang dijadualkan."

Mahkamah telah mengambil notis kehakiman bahawa Hishammuddin telah membuat suatu pernyataan awam untuk membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili responden, berkata Peguam Negara akan diberi taklimat dan untuk arahan selanjutnya.

Azizan serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsulbol Hassan, mendakwa bahawa keputusan mahkamah itu menjadikan BERSIH balik ke peringkat asalnya (perlu didaftarkan).

Bagaimanapun, peguam BERSIH, K Shanmuga - yang tampil bersama peguam Tommy Thomas dan Honey Tan - berkata keputusan itu bermakna gabungan itu adalah sah di sisi undang-undang.

"... Keputusan menteri dalam negeri adalah tidak rasional kerana, setelah mengisytiharkannya sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara, beliau dan pihak berkuasa telah bertemu dengan pegawai BERSIH,"
kata Shanmuga.

Pengerusi bersama BERSIH yang juga Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, ketika ditemui di luar mahkamah berkata: "Proses perundangan ini sepatutnya tidak dijalankan kerana ia membuang masa, tenaga dan dana am.

Hakim Rohana telah jelas menyatakan bahawa keputusan untuk mengharamkan BERSIH 2.0 adalah menceroboh hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya.

Sementara itu, seorang peguam pemohon, K. Shanmuga memberitahu pemberita dengan keputusan itu, BERSIH 2.0 bukan lagi sebuah pertubuhan haram.

Justeru itu sebarang kenyatan yang menyatakan perhimpunan BERSIH adalah haram adalah kenyatan-kenyataan yang menghina keputusan mahkamah.

Sementara itu mengenai ugutan dan ancaman polis untuk menangkap peserta BERSIH juga tidak sepatutnya berlaku. Negara kita ada undang-undang. Polis tidak boleh sembarangan melarang dan menangkap peserta perhimpunan kerana semasa perhimpunan BERSIH 2.0 mahkamah pernah memutuskan polis bersalah menahan dan menangkap beberapa aktivis.

Malah kerana tindakan polis menangkap sesuka hati, pihak kerajaan Malaysia telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar gantirugi kepada aktivis berkenaan.

Berikut ialah berita-beritanya:-


Bersih 2.0 - Mahkamah Putuskan Kerajaan Bersalah Tangkap Naib Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Ganti rugi itu adalah berhubung dengan kes saman yang difailkan oleh mereka selaku plantif terhadap tangkapan yang tidak sah ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 di KL Sentral.

Sebelum itu Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa rayuan kerajaan Malaysia terhadap keputusan saman kedua-dua plantif adalah dibenarkan berhubung ganti rugi sahaja.

Kedua-dua plaintif telah berjaya dalam tindakan saman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan diputuskan ganti rugi sebanyak RM70,000 tiap seorang atas tangkapan salah dan tidak sah tersebut.

Kedua-dua plantif diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil Noor, Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan Rasul.

Manakala Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Habibah Haron.



21 aktivis bebas tuduhan perhimpunan haram


Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menggugurkan pertuduhan terhadap 21 orang peserta yang didakwa berhimpun secara haram dan tidak mematuhi arahan polis dalam perhimpunan sambutan tahun pertama Bersih dan vigil anti ISA pada November 2008.

Pendakwaan terhadap peserta gagal untuk membuktikan prima facie berikutan kegagalan pihak polis menunjukkan peranan yang dimainkan oleh peserta dalam perhimpunan tersebut.

Mereka telah dikenakan pertuduhan dibawah Seksyen 27 Akta Polis yang jika disabit kesalahan membawa hukuman antara RM2,000 sehingga RM10,000 dan/ atau penjara tidak lebih dari setahun.

Pada awal tahun ini Seksyen 27 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman.

Dalam kenyataan ringkasnya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, keputusan mahkamah tersebut menunjukkan bahawa kesemua 21 orang peserta tidak seharusnya didakwa.

“Saya juga ingin menegaskan dan berharap agar Peguam Negara tidak membuat rayuan bagi keputusan ini,” ujar beliau.

Menyifatkan keputusan ini sebagai tepat, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, “Keputusan mahkamah ini sebagai kemenangan kepada kebebasan berhimpun dan menunjukkan bagaimana undang-undang sebelum ini menindas.”

Antara yang bebas dari pertuduhan tersebut antaranya ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Exco Negeri Selangor Ronnie Liu, ADUN Kampung Tunku Lau Weng San dan Ahli Majlis MBPJ Tiew Way Keng dan yang lain ialah seorang peguam S Ashok Kandiah, Paulino Francesco Miranda, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, Mohd Fasya Mohd Tajudin, K Thengaran, Ong Boon Keong, Goh Jin Kiat, Henry Hor @ Henry James Hor, and Goh Chien Yee, Johny Andu @ Abu Bakar Adnan, K Raman, G Ramish, Augustine Gan Liam Tee, Andrew Ng Yew Han, Lim Cheng Inn, Ooi Suan Huah dan Ambrose Poh Teik Huat,

Kesemua mereka dituduh mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di hadapan bangunan MBPJ pada 9 Oktober 2008 untuk sambutan ulangtahun pertama Bersih dan vigil anti ISA. -HD (19/09/2012)



Bersih 1: Mahkamah bebaskan Tian Chua, Mat Sabu


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu (Mat Sabu) dan Naib Presiden PKR Tian Chua daripada tuduhan menyertai perhimpunan haram semasa Bersih 1.0 pada November 2007.

Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Datuk Jagjit Singh Bant Singh dalam keputusannya berkata, kedua-dua tertu berjaya menimbulkan keraguan munasabah semasa memberikan keterangan berhubung insiden di hadapan Istana Negara.

Sementara itu Jagjit dalam hujahnya berkata, pihaknya bersetuju dengan keterangan bahawa Tian Chua (SD8) dan Mat Sabu (SD10) pada hari terbabit hanya berjalan kaki ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang diPertuan Agong (YDPA).

Malah, semasa kejadian mereka tidak dihalang polis untuk menyerahkan memorandum.

“Mereka berada dalam himpunan di hadapan Istana yang tidak dihalang polis sebaliknya polis bagi mereka masa untuk serahkan memorandum.

“Tujuannya bukan untuk memudaratkan, maka saya berpendapat kedua-dua tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah tehadap kes pendakwaan,” kata Jagjit.

Unit Amal tidak bersalah

Hakim turut menerima hujah lima tertuduh lain yang bertugas sebagai Unit Amal pada hari itu tidak menyertai himpunan tersebut, tetapi hanya bertugas menjaga keselamatan peserta dan mengutip sampah.

Keputusan itu sekaligus membebaskan mereka daripada hukuman penjara maksimum enam tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967.

“Kami bersyukur dan berterima kasih atas sokongan rakyat.

“Saya berpendapat sebarang kes yang melibatkan himpunan yang tidak bersenjata perlu digugurkan.

“Peguam Negera perlu pertimbang semula untuk tarik balik kes perhimpunan aman yang berdasarkan Akta Polis terdahulu kerana sekarang sudah ada Akta Perhimpunan 2012,” kata Mat Sabu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Sementara itu, Tian Chua berkata kemenangan ini membuktikan perjuangan rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bebas sejak enam tahun lalu bukanlah perkara yang sia-sia.

“Terbukti perjuangan Bersih sejak dulu tetap relevan dan kita akan teruskan sehingga matlamat memulihkan sistem pilihan raya terlaksana,” katanya.








ARiF merupakan jentera utama Harapan Baru di dalam membantu kelancaran gerakerja semua peringkat.

Kami ARiF Melaka memerlukan sumbangan dan bantuan kewangan daripada tuanpuan untuk kami melakukan gerakerja berkenaan. Oleh kerana kami masih baru, sumbangan diperlukan untuk menampung kos pakaian, membeli peralatan komunikasi, peralatan lalulintas dan sebagainya.

Kami amat berbebsar hati jika tuan/puan dapat menghulurkan sumangan kepada kami. Segala sumbangan diserahkan kepada pemegang amanah ARiF Melaka.

MOHD AZWAN AHMAD
a/k Maybank : 104013154427

Hantarkan makluman bank-in melalui SMS/WA ke 016-981 1315 (H.ANUAR)

Semuga Allah membalas segala jasa baik tuan/puan semua.





IKLAN BERBAYAR




[ULANGSIAR] Ingat Pesanan TGNA: Hadir BERSIH Itu Wajib!!!

Nik Aziz: Hadir BERSIH Wajib.

Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hadir ke perhimpunan BERSIH pada 28 April ini wajib kerana ia diadakan untuk menentang ketidakadilan proses pilihan raya yang tidak selari dengan Islam.

"Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang," ujarnya kepada akhbar rasmi PAS Harakah di pejabatnya di Kota Baharu.

Setiausaha akhbar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata, pemimpin nombor satu dalam parti Islam itu akan turun bersama dalam perhimpunan pada Sabtu ini.

Malah, kata Nasaie Ismail, PAS juga telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli untuk turun beramai-ramai ke himpunan tersebut.

Mengulas soal pengundi hantu, yang termasuk dalam tuntutan BERSIH, Nik Aziz berkata ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.

"Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya.

"Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya," beliau dipetik sebagai berkata.

Kemenangan 'haram'

Justeru, tambahnya ‘wajib' rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai menjayakan BERSIH 3.0 untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.

Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya ‘haram' di sisi Islam.

"Malah segala elaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakil rakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.

"Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,"ujarnya lagi.

Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong penganjuran perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai penganjuran Bersih 3.0 adalah manifestasi keprihatinan rakyat terhadap kelemahan tatacara pengendalian pilihanraya di negara ini.

“Pilihanraya adalah wahana untuk mengangkat pemimpin yang didokong oleh rakyat.

“Pilihanraya juga merupakan mekanisme berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat serta aliran politik dalam sesebuah negara secara harmoni sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, tambahnya adalah amat penting institusi serta tatacara pengendalian sesebuah pilihanraya beroleh kepercayaan serta keyakinan yang tidak berbelah bagi dari rakyat.

Sehubungan itu, Abim menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seharusnya mengambil sikap proaktif dan lebih serius untuk menangani sebarang aduan serta desakan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 serta masyarakat terhadap isu-isu berkenaan.

“Dalam hal ini Abim ingin mendesak SPR agar menngamati setiap tuntutan serta aduan yang dikemukakan seperti pembersihan senarai pengundi, penambahbaikan terhadap pengendalian undi pos, akses media yang saksama untuk semua parti di samping membendung budaya politik kotor dan ganas menerusi pengukuhan institusi-institusi awam yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, SPR tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh dalam menangani sebarang aduan serta tuntutan yang dikemukakan, kerana ia merupakan manifestasi terhadap tingginya kesedaran sivil dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap hak politik mereka.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian (menangani aduan serta tuntutan yang dikemukakan dengan sewajarnya) tidak sahaja akan membentuk persepsi negatif terhadap SPR, bahkan ia menafikan peluang untuk badan terbabit memperbaiki serta mengembangkan tatacara pengendalian pilihanraya yang lebih cekap dan berintegriti.

“Menilai suasana politik semasa yang banyak dipengaruhi dengan teka teki PRU 13 yang akan datang, Abim merasakan isu penambahbaikan pengendalian pilihanraya seharusnya diberikan keutamaan yang paling tinggi oleh SPR serta pihak-pihak yang berkenaan,” katanya.

Menurut Amidi lagi, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengeruhkan suasana politik semasa serta bakal menjejaskan peranan PRU13 sebagai wahana pengurusan perbezaan pendapat serta aliran politik secara harmoni dan berkesan.

“Justeru, Abim menyeru setiap rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan agar sama-sama turun secara aman untuk menghadiri Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara yang tercinta ini,” ujarnya lagi.
-HD


Persada seru ahli turun Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) sebagai sebuah NGO bebas menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah memastikan PRU di Malaysia telus, bersih dan profesional.

Persada juga berpendapat, penganjuran Himpunan Bersih 3.0 'Duduk Bantah' adalah satu tindakan yang proaktif dalam mencapai hasrat murni seluruh masyarakat yang cintakan keadilan dan integriti.

"Ia sesuatu yang harus disokong dan didokong oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira anutan agama mereka batasan kaum, pegangan ideologi politik dan sahsiah," demikian tegas Setiausaha Agong Persada Razali Mat Ail.

Katanya, Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini tidak harus dilihat sebagai satu tindakan politik tertentu tetapi menjangkau lebih daripada itu.

Jelasnya kepada Harakahdaily, semua pihak perlu melihat dari pelbagai aspek lain yang lebih penting terutamanya dalam mendesak pengendalian proses pilihan raya yang harus diperbaiki untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hasil yang bersih dan adil.

"Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh kerajaan yang diberi mandat secara sah telus dan adil perlu diperbaiki dan tidak diragui," katanya.

Justeru, Persada juga ingin menyeru ahli-ahlinya untuk turut mengambil bahagian secara aktif dalam usaha ke arah mobilisasi rakyat bagi menjayakan Perhimpunan Bersih 3.0 dan menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah menjadi hak rakyat Malaysia.
-HD


Auntie Bersih seru golongan tua sokong BERSIH 3.0

Anne Ooi, yang lebih dikenali sebagai 'Auntie BERSIH', menggesa golongan tua keluar beramai-ramai Sabtu ini bagi menyokong desakan BERSIH bagi pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam klip video yang disiarkan di Facebook Ahad lepas, Anne, 66, menyeru mereka bangkit menyokong perhimpunan tersebut.

Beliau berharap lebih ramai golongan tua mengambil pendirian mengenai isu penting itu.

"Saya minta orang tua, 60 tahun macam saya, jangan biar pada budak-budak, polis selalu tangkap mereka, bantai mereka," katanya.

Walaupun sudah berusia ketika menyertai kempen reformasi sistem pilihan raya, Auntie Anne tegas dalam menyatakan komitmennya menyokong gerakan tersebut.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, 77, turut dipaparkan klip video tersebut di mana beliau berkata pengalaman usia boleh digunakan dengan bijaksana.
-mk




Ulasan GB

Meminjam kata-kata dari TG Nik Aziz semasa Bersih 2.0 dahulu:

"Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

Buktinya: Musa Hassan dan Hishamuddin Hussein manusia paling hebat menentang BERSIH 2.0 dahulu< Musa terpaksa mengakhiri kerjaya polisnya dengan hina dan tidak disambung lagi perkhidmatannya sebagai KPN (bakal disaman pula oleh bekas pengarah Jabatan Siastan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff kerana didakwa menganiayanya dan merosakkan sistem kehakiman). Dan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengisytiharkan gabungan proreformasi pilihan raya BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram tahun lalu telah dimalukan oleh keputusan mahkamah yang memutuskan memutuskan bahawa BERSIH adalah entiti yang sah dan justeru itu perhimpunan BERSIH tidak haram. .

Itulah Hukum Kebenaran dan Keadilan yang berjalan ke atas mereka yang menghalang kebangkitan rakyat.

Nota: Tulisan diatas adalah ulangsiar entri di blog ini pada 26 April 2012. Harap maklum.





ARiF merupakan jentera utama Harapan Baru di dalam membantu kelancaran gerakerja semua peringkat.

Kami ARiF Melaka memerlukan sumbangan dan bantuan kewangan daripada tuanpuan untuk kami melakukan gerakerja berkenaan. Oleh kerana kami masih baru, sumbangan diperlukan untuk menampung kos pakaian, membeli peralatan komunikasi, peralatan lalulintas dan sebagainya.

Kami amat berbebsar hati jika tuan/puan dapat menghulurkan sumangan kepada kami. Segala sumbangan diserahkan kepada pemegang amanah ARiF Melaka.

MOHD AZWAN AHMAD
a/k Maybank : 104013154427

Hantarkan makluman bank-in melalui SMS/WA ke 016-981 1315 (H.ANUAR)

Semuga Allah membalas segala jasa baik tuan/puan semua.





IKLAN BERBAYAR