2 Nov 2011

Lagi Murid Keracunan Selepas Minum Susu Kotak 1Malaysia

Kuala Nerang: Seramai 24 murid Sekolah Kebangsaan Seri Bakti, Padang Terap di sini yang mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang, hari ini.

Kejadian membabitkan 16 murid perempuan dan lapan lelaki dari Tahun Dua hingga Tahun Lima yang mengadu mengalami simptom itu selepas minum susu kotak di sekolah mereka pagi ini.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata, sehingga 1.30 tengah hari tadi, lapan orang iaitu empat lelaki dan empat perempuan masih ditahan di wad, manakala yang lain sudah dibenarkan pulang.

"Keadaan lapan murid terbabit adalah stabil," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, mereka mula mengalamai keadaan itu kira-kira 9.15 pagi, iaitu selepas sejam setengah meminum susu kotak berkenaan.

"Jabatan Pelajaran masih menyiasat kejadian itu, manakala susu yang dibekalkan pula masih baru dan belum sampai tarikh luput," katanya.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat, ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah mengambil sampel susu tersebut untuk ujian.

"Kita tidak menolak keracunan dialami pelajar terbabit berpunca dari susu kotak yang mereka minum. Kebanyakan pelajar itu mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Kenapa tak mahu sebut susu yang dibekalkan itu sebenarnya adalah susu kotak 1Malaysia? Takut Malu? Takut rahsia terbongkar mengenai susu yang rendah mutunya itu yang dibekalkan kepada pelajar luarbandar?

Sebelum ini pernah dilaporkan lebih 50 orang murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Hwa dan 20 murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kong Min di Pahang muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas meminum susu sekolah "1Malaysia". Sekarang di Kedah pula.

Laporan dibawah:

Kerajaan 1 Malaysia Hadiahkan Muntah, Sakit Perut Serta Cirit Birit Melalui Susu 1 Malaysia

KUANTAN, 20 Mei - Pendedahan Pahang Daily Online (PDO) berkaitan lebih 50 orang murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Hwa dan 20 murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kong Min dekat sini muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas meminum susu sekolah "1Malaysia" pada 18 Mei lalu benar-benar telah mengejut semua pihak terutamanya Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP).

Khabarnya semalam, rombongan JPNP telah membuat tinjauan ke sekolah terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang insiden ini. Malah, mereka terkejut kerana ia didedahkan di blog ini sedangkan pihak media sebenarnya masih belum dapat menghidu kejadian pada hari itu. Paling mendukacitakan, terdapat maklumat mengatakan pihak JPNP cuba menyiasat siapakah "guru" yang telah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak kami. Mereka sepatutnya menyelesaikan masalah yang mengganggu para pelajar itu, sebaliknya mereka pula cuba untuk menyiasat pemberi maklumat yang berkenaan. Soalnya, kenapa mereka mahu menjejaki pemberi maklumat sedangkan pokok utamanya ialah menyelesaikan masalah yang berlaku. Kami tidak teragak-agak akan mendedahkan nama-nama pengawai terbabit jika mereka terus menekan pihak sekolah mendedahkan siapakah yang memberikan maklumat berkenaan insiden itu. Kami cuba menyiasat rahsia besar disebalik isu susu sekolah 1Malaysia yang menjadi kontroversi ini.

Projek Susu Di Bolot Kroni Najib Serta Muhyiddin

Difahamkan pada dasarnya projek susu sekolah adalah projek yang mulia dan dilaksanakan hampir di seluruh dunia. Iran adalah negara yang mengeluarkan perbelanjaan tertinggi di dunia untuk menjayakan projek susu sekolah ini. Kejayaan projek susu sekolah di China dan Thailand umpamanya telah melahirkan generasi muda yang lebih tinggi dan tegap, begitu juga di Eropah dan Amerika.

Berkaitan projek susu sekolah di Malaysia sebenarnya projek itu lebih kepada untuk mengkayakan kroni UMNO BN sebenarnya, tetapi mereka menggunakan alasan yang murni iaitu untuk melahirkan generasi muda yang lebih sihat dan cergas.

Adalah dipercayai syarikat yang dapat kontrak membekal susu sekolah di Pahang ini sememangnya adalah kroni kepada Perdana Menteri, Najib Razak itu sendiri. Semua ini memang satu projek untuk memperkayakan kroni-kroni beliau sebenarnya. Justeru itu kualiti susu yang diimport dari Korea ini adalah meragukan, kerana harga yang diterima mereka adalah lebih murah berbanding susu yang dibekalkan dari Sabah dan kawasan lain di negara kita. Bayangkan susu yang dimport dari Korea lebih murah dari susu tempatan?. Sungguh tidak masuk dek akal dan pasti ada sesuatu yang tidak betul berkaitan kualiti susu dari Korea ini sebenarnya.

Besar kemungkinan susu yang dibeli dari Korea sudah hampir tamat tempoh dibekalkan oleh syarikat terbabit (yang dapat projek susu 1Malaysia). Kerana dipercayai pihak syarikat berkenaan telah pergi ke seluruh kilang susu di Malaysia untuk mendapat harga yang paling murah tetapi tiada syarikat di Malaysia yang sanggup membekalkannya. Lantaran itulah mereka terpaksa import susu dari Korea yang kualitinya diragui.


Najib dan Muhyiddin gembira lancarkan projek susu sekolah 1Malaysia
Rupanya kroni masing-masing yang mendapat untung besar dari projek itu


[Difahamkan, syarikat yang membekalkan susu terbabit diberikan peruntukan sehingga mencecah RM700 juta ringgit oleh kerajaan untuk melaksanakan projek susu 1Malaysia ini.

Bukankah jumlahnya itu sungguh besar dan tidak sewajarnya pembaziran wang rakyat dibuat sebegitu rupa. Malah, terdapat sumber mengatakan projek tersebut sebenarnya dimonopoli oleh kroni pemimpin tertinggi UMNO sendiri iaitu bagi wilayah selatan kroni TPM Muhyiddin Yassin, bagi negeri Pahang dan wilayah tengah pula diberikan kepada kroni PM Najib Razak. Sementara itu bagi wilayah Trengganu dan Kelantan ianya diberikan kepada sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.

Maknanya pembekalan susu di Kelantan dan Trengganu dilihat agak telus kerana ia bukan tender yang diberikan kepada individu. Soalnya, jika benar dakwaan itu maka wajarlah ia ditamatkan serta merta kerana jelas sekali mereka sanggup menipu rakyat dalam hal ini. Lebih mengejutkan susu tersebut juga tidak mempunyai tanda halal JAKIM yang telah disahkan sebenarnya ]. -PDO


[Video] Pesawat Boeing 767 Air Poland Mendarat Cemas Tanpa Roda

PPesawat Boeing 767 milik syarikat penerbangan Poland, LOT, mengalami masalah ketika melakukan pendaratan cemas di Bandar Warsaw, Poland, pada 1 November 2011 waktu tempatan. Namun, juruterbang berjaya mendaratkan pesawat itu tanpa roda dengan selamatnya.

Pesawat ini baru saja menempuh perjalanan dari Bandar Newark di New Jersey, Amerika Syarikat dengan membawa 230 penumpang. Semuanya selamat.

Ketika pendaratan, terjadi gesekan antara bahagian bawah pesawat dengan landasan. Ia menimbulkan sedikit percikan api. Namun, tidak menimbulkan masalah yang serius.

Sebaik sahaja setelah pesawat berhenti, pasukan penyelamat segera mendekatinya. Kelihatan pasukan pemadam kebakaran segera menyembur pesawat dan sekelilingnya dengan air bagi menghindari terjadinya kebakaran.

Menurut penyelidikan sementara, pesawat mengalami kerosakan sistem hidroliknya, yang berfungsi mengoperasikan sirip sayap dan roda. Sistem alternatif juga hanya mampu mengaktifkan sirip sayap dan tidak pada roda. -vivanews



Daratkan Pesawat Tanpa Roda, Pilot Dipuji

Ibarat adegan dalam sebuah filem, pilot sebuah syarikat penerbangan Poland secara dramatis berhasil mendaratkan pesawat Boeing 767 berpenumpang 231 orang menggunakan lambung pesawat kerana roda pesawat tidak dapat berfungsi. Namun, pendaratan berlangsung baik dan tak ada seorangpun tercedera dalam pendaratan darurat tersebut.

Menurut pejabat berita Reuters, peristiwa ini terjadi di Bandar Warsaw, Poland pada Selasa 1 November 2011 waktu setempat. Pesawat milik syarikat LOT ini menempuh perjalanan dari Bandar Newark di New Jersey, Amerika Syarikat, menuju Warsaw.

Juruterbang Tadeusz Wrona mulai merasa ada yang tidak kena pada sistem hidrolik pesawatnya setengah jam setelah berlepas dari landasan. Ia berkali-kali memberitahukan para penumpang mengenai hal ini lewat awak pesawat, dan ketika itulah para penumpang mulai panik.

"Saya mulai menangis, dan pemuda di sebelah saya juga. Saya fikir saya akan segera mati," kata Krystyna Dabrowska, salah seorang penumpang. "Suasana sempat hening. Banyak sekali yang lalu mulai menangis," tambah Hubert Waz.

Kaya Pengalaman

Sesuai dengan prosedur, pilot harus menunda pendaratan selama sejam. Selama penundaan itu pilot memutar-mutarkan pesawat sekeliling kota sambil membuang semua sisa bahan bakar agar ketika mendarat darurat, pesawat tidak berisiko terbakar.

"Saya berdoa semoga pilot tidak kehilangan kendaliannya kerana kami mulai berputar-putar. Mengerikan sekali! Kami para penumpang berhutang segalanya pada pilot kerana usahanya yang cemerlang," kata seorang penumpang, Teresa Kowalik.

Pilot Wrona yang berusia 50an akhirnya mampu mendaratkan pesawat dengan sempurna. JamRekod perkhidmatan terbangnya yang tinggi sebagai pilot senior syarikat LOT yang ahli dalam hal peluncuran membuatnya mampu melakukan hal itu.

"Pendaratannya berlangsung sangat sempurna seolah-olah pesawat mendarat dengan roda. Kami baru menyadari pesawat mendarat darurat setelah keluar dan melihat kepulan asap serta percikan api dari badan pesawat," puji Andrzjec Pinno.

Penumpang dikeluarkan menggunakan pintu darurat dan dibawa ke pusat perubatan selama beberapa jam, sebagaimana disiarkan dari Washington Post. Setelahnya, mereka baru diperkenankan berkumpul dengan para sanak famili yang sudah menunggu kehadiran mereka dengan cemas di bandar.

Aksi heroik pilot Wrona dan awak pesawat menerima pujian dari Presiden Polandia, Bronislaw Komorowski, yang merancang memberi penghargaan pada para awak pesawat setelah berbincang dengan pilot melalui sambungan telefon.

"Untuk semua yang turut terlibat, saya mengucapkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya," kata Komorowski.




Bila Polis Khianati Tanggungjawabnya, Bencana Besar Kepada Negara

Selepas aduan 'dicabul', pengadu pula didakwa

Tujuh tahun yang lalu, seorang pengurus akaun membuat aduan bahawa dirinya dicabuli oleh 11 anggota polis tetapi mendakwa langsung tidak dimaklumkan berhubung sebarang siasatan.

Namun, kira-kira tengah malam, semalam, pihak polis akhirnya bertindak - tetapi sebaliknya wanita itu pula ditahan.

Beliau terpaksa bermalam di lokap polis sementara menunggu dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan menghalang polis daripada melaksanakan tugas.

Wong Bee Fong, 39, dikatakan menghalang tugas L/Kpl Mohd Faudzi Abdul Aziz di ibu pejabat Pasukan Gerakan Awam di Batu 9, Cheras, kira-kira jam 2.30 pagi pada 13 Ogos, 2004.

Beliau minta dibicarakan di Mahkamah Majistret Kajang di Putrajaya.

Bee Fong didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tiga bulan penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut peguam, Keppy Wong beliau dibenarkan ikat jamin RM2,000 yang dibayar oleh majikannya.

"Apa yang terjadi kepada negara hari ini? Mereka (polis) boleh memaklumkan kepada beliau mengenai pertuduhan berkenaan tetapi sebaliknya menangkap beliau di tengah-tengah malam," katanya kepada Malaysiakini.

"Sudahlah dirinya dicabul kehormatannya, sekarang beliau terpaksa meringkuk di lokap pula.”

Bee Fong mendakwa bahawa beliau ditahan semasa sekatan jalan oleh polis di Taman Connaught, Kuala Lumpur kerana disyaki memandu ketika dalam keadaan mabuk.

Selepas berunding, dakwanya, beliau meminta anggota polis untuk mengembalikan lesen memandunya dan mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota polis berkenaan didakwa enggan berbuat demikian dan sebaliknya meminta rasuah sebanyak RM3,000.

Beliau kemudiannya memandu ke arah balai polis Batu 9 balai di Cheras, tetapi berkata sebuah kereta Proton Wira berwarna perang mengekorinya dan memaksanya mengubah haluan ke bangunan Pasukan Gerakan Awam.

Semasa Bee Fong keluar dari keretanya, 11 anggota polis didakwa menghampiri dirinya dan mula meraba tubuhnya. -mk



Guru dakwa polis abai 15 laporan 'serangan'

Sejak bulan Februari lalu, seorang guru di Sungai Nibong, Pulau Pinang, telah membuat tidak kurang daripada 15 laporan polis yang mendakwa bahawa bekas teman lelaki beliau menyerangnya secara fizikal, tetapi dakwanya, pihak berkuasa gagal bertindak.

Dakwanya, serangan bermula selepas dia berpisah dengan lelaki itu. Ini termasuk dipukul, cuba dicekik dan juga cubaan untuk membakar rambutnya.

Guru, berusia 29 tahun itu juga mendakwa dia ditipu sebanyak RM15,000 sebelum menamatkan hubungan selama enam tahun mereka.

Laporan terakhir dibuat di balai polis Jelutong pada 16 Ogos lalu dan dia juga telah menyerahkan kepada pihak polis sesalinan gambar lelaki itu dan ugutan yang dihantar menerusi mesej teks telefon bimbit.

Dalam satu mesej teks, katanya, bekas teman lelakinya menulis: “B ****, jika awak tidak tarik balik laporan atau terus buat laporan, awak akan berakhir di penjara. Tidak lama lagi periksa kereta awak, awak akan ditangkap kerana memiliki dadah.”

"(Polis) tidak menyoal dia ... Saya telah hilang kepercayaan (terhadap mereka)," katanya selepas membawa masalahn itu kepada peguam dan juga ADUN Batu Uban S Raveentharan.

Pada sidang akhbar hari ini di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Raveentharan berkata guru itu bimbangkan keselamatan dirinya.

Integriti polis

Ini kerana lelaki itu dikatakan mampu mengetahui dengan serta-merta setiap kali laporan polis dibuat ke atas dirinya.

Sebaik sahaja dia keluar dari balai polis, dia akan menerima mesej teks yang menyatakan, “Ini adalah nombor laporan polis, apa yang awak mahu lakukan sekarang?”

"Mengapa boleh ada kebocoran di balai polis ...? Siapakah ejen yang menjual maklumat kepada penyerang? Integriti polis kini dipersoalkan," kata Raveentharan.

"Selepas 15 laporan polis, mengapa tiada tangkapan dibuat? Sama ada pihak polis tidak tahu melakukan tanggungjawab atau mereka tidak mahu untuk menangkapnya."

Raveentharan seterusnya mendakwa suspek berkenaan dipercayai mempunyai pengaruh yang kuat kerana mampu menghalang polis daripada mengambil tindakan.

Sambil memberikan contoh, katanya seorang pegawai polis dari Farlim telah bersetuju untuk membantu pengadu.

Peguam juga diancam

Tetapi selepas beliau berjumpa dengan guru itu di balai polis, katanya: "Di luar balai ini, saya hanya rakyat biasa, saya juga takut dengan keselamatan saya."

Raveentharan mendakwa dirinya sendiri juga telah menerima ancaman kerana mewakili guru itu.

"Dia letakkan notis pada cermin kereta saya dan mengancam nyawa anak saya yang berusia 11 tahun," katanya.

"Dia juga tahu sekolah dan kelas di mana anak saya sedang belajar."

Ketika dihubungi, ketua polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaacub (kiri) dalam satu mesej teks berkata bahawa beliau sedang berada di luar negara, tetapi akan mengkaji perkara itu apabila kembali minggu depan.

Pada masa yang sama, katanya, usaha-usaha sedang dijalankan bagi memastikan bahawa guru itu dilindungi. -mk

Lembu-lembu Kenyang Bersuara Pertahankan Projek Anak Beranak "Fidlot"

Najib Nafi Dakwaan Salah guna Pinjaman RM250 Juta Untuk Projek Fidlot

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menafikan dakwaan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Agroscience Sdn Bhd. Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata pinjaman itutelah diluluskan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk melaksanakan projek Pusat Fidlot Nasional.

Beliau menjelaskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan Pusat Fidlot Nasional, menjemput enam syarikat untuk mengemukakan cadangan pelaksanaan pembangunan industri daging tempatan dan sekaligus meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan.

Jawatankuasa pemilihan syarikat peneraju, yang ditubuhkan untuk membuat pilihan syarikat yang memberi cadangan terbaik dan berpandu kepada kriteria dikehendaki, telah memilih Agroscience Sdn Bhd, katanya.

Menurut Najib sehingga 31 Julai 2011, jumlah pengeluaran pinjaman kepada NFCialah sebanyak RM181.9 juta bagi membiayai pembangunan kandang, bangunan, kilang baja, kilang makanan dan sebagainya. "Tujuan pinjaman itu adalah untuk membangunkan projek tersebut bagi menampung keperluan daging negara kepada tahap sara diri sebanyak 38 peratus," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan sama ada berlakunya penyalahgunaan pinjaman mudah berjumlah RM250 juta kepada AgroscienceSdn Bhd pada 2003.

NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan daging dari luar negara.

Najib berkata syarikat NFC telahpun membangunkan Pusat Fidlot Nasional dan kini mengeluarkan produk daging tempatan yang berkualiti tinggi pada tahap komersial.

Produk pengeluaran NFC dijual di pasar raya seperti Jaya Jusco, Giant, Carrefour, Cold Storage, pasar segar, kilang pemprosesan daging, restoran dan pasar runcit di seluruh negara.

NFC kini menjalankan peningkatan kapasiti pengeluaran fidlot dari 6,000 ekor lembu kepada 12,000 ekor lembu manakala kapasiti penyembelihan di pusat penyembelihan kepada 200 ekor lembu sehari dan pembangunan itu dijangka siap pada awal tahun depan, katanya. - BERNAMA

PKR mahu Shahrizat perjelas projek fidlot

PKR menuntut menteri pembangunan wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil supaya menjelaskan projek ternakan lembu fidlot yang dijalankan anggota keluarga menteri kabinet itu – dengan kos didakwa 22 kali lebih tinggi daripada unjuran kementerian pertanian.

PKR turut menuntut Shahrizat menjelaskan jualan daging lembu daripada projek tersebut kepada restoran mewah yang juga didakwa milik keluarga menteri berkenaan, katanya lagi.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata kaitan berkenaan boleh dilihat melalui profail syarikat restoran berkenaan.

Katanya lagi, fidlot berkenaan juga tidak berjaya walau dijelaskan sebaliknya oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Noh Omar semalam dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat.

"Kita persoalkan sasaran yang menteri kata telah dipenuhi. Ternak 8,000 ekor lembu dalam masa tiga tahun ini, petani di kampung mana-mana pun boleh buat. Tidak perlu ada 250 juta," katanya dalam sidang media di bangunan parlimen petang ini.

Syarikat Agro Science Industries Sdn Bhd – salah sebuah daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjayakan Pusat Fidlot Kebangsaan – telah diberikan sejumlah pinjaman daripada RM250 juta yang diperuntukkan dan juga geran sebanyak RM6 juta melalui kementerian pertanian, menurut Noh dalam jawapannya di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas pekrara itu, Rafizi berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menetapkan sasaran supaya Pusat Fidlot Kebangsaan menyediakan sebanyak 276,000 ekor lembu fidlot setahun.

Beliau mendakwa, sasaran berkenaan boleh dilihat melalui kertas dasar projek berkenaan yang diletakkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Walhal, Noh dalam jawapannya semalam berkata projek berkenaan tidak menemui kegagalam memandangkan syarikat Agro Science berjaya membekalkan sejumlah 8,016 ekor lembu sepanjang 2008 hingga 2010.

"Mengikut RMK9, projek itu perlu ternak sekurang-kureang 60,000 ekor lembu, bina satu ladang komersil bebas dengan 20,000 ekor lembu setiap tahun, dan juga bina 310 ladang satelit dengan 600 ekor setahun (setiap ladang)," kata Rafizi lagi.

Tambahnya, jumlah sasaran bilangan lembu itu juga selari dengan jumlah sasaran bekalan daging yang ditetapkan untuk Pusat Fidlot Kebangsaan – sebanyak 50,000 tan daging menjelang 2009 atau 40 peratus daripada permintaan daging Malaysia.

Rafizi turut membidas jawapan Noh bahawa tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan projek berkenaan kepada Agro Science.

"Menteri jawab tiada konflik kepentingan kerana ada enam syarikat terbabit. Tetapi ada perbezaan besar antara tender terbuka dengan enam piohak membuat pembentangan kepada kerajaan.

"Ianya bukan proses yang telus. Apa yang berlaku, ada enam syarikat menghubungi kerajaan buat cadangan (dan) menteri kata cadangan yang dibuat oleh (keluarga) menteri Datuk Shahrizat ini terbaik.

"Lainlah kalau kerajaan buat iklan besar 'ada (pinjaman) RM250 juta dan 500 ekar untuk pelihara lembu, siapa hendak pelihara lembu.' Itu (barulah) tender terbuka yang telus," katanya lagi. -mk




Perlantikan Nalakarupan Sebagai Senator Adalah Lanjutan "You Help Me, I Help You".

Nallakaruppan Angkat Sumpah Sebagai Senator

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk S. Nalakaruppan adalah antara tiga individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, di sini, Rabu.

Nalakaruppan, 65, dilantik buat pertama kali bersama Bendahari MIC Datuk Jaspal Singh, 49, dan Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Chiew Lian Keng, 47.

Ditemui pemberita kemudian, Nalakaruppan berkata amanah yang diberikan itu akan digunakan sebaiknya bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat di negara ini didahului.

Abu Zahar ketika mengalu-alukan anggota baru Dewan Negara itu, berharap mereka dapat memahami lafaz sumpah yang dibuat serta menghayati dan mendukung Perlembagaan negara.

"Saya ingatkan diri saya dan kita semua agar marilah kita semua berazam untuk memartabat dan memperkasakan Dewan Negara sebagai dewan yang bermaruah, dan adalah sia-sia pelantikan ini jika senator tidak berdebat untuk kepentingan negara dan rakyat," katanya. -BERNAMA

Apa jasa Nalla kepada negara, kaum India

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) difahamkan bahawa Datuk K S Nallakaruppan dilantik sebagai senator dan dijadualkan mengangkat sumpah esok di Dewan Negara.

“Mipas ingin mempersoalkan adakah ia suatu majlis yang harus dibanggakan?” soal setiausaha agungnya, Barathidasan Saminathan (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, Nalla menubuhkan Parti Bersatu India Malaysia (Miup) setelah keluar daripada PKR, malangnya Miup tidak menyertai pilihan raya umum ke-12 kerana ia hanya menumpukan kepada kerja-kerja dalaman parti sahaja.

Selain itu, ujarnya Miup bukanlah sebuah parti majoriti yang mewakili masyarakat India.

“Mipas ingin bertanya apakah sumbangan Datuk Nalla untuk masyarakat India dan negara?

“Pernahkah beliau membawa apa-apa perubahan dari segi ekonomi, sosial dan politik?” soalnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan apakah sumbangan Nalla terhadap pembangunan negara dan isu-isu semasa seperti masalah setinggan, peluang perniagaan, pembelajaran, novel Interlok, perjuangan penduduk Ladang Bukit Jalil untuk mendapatkan tanah seluas 4 ekar, kempen sejarah sebenar dan banyak lagi isu-isu semasa masyarakat India yang harus ditangani.

Bagi Mipas, katanya Nallakaruppan hanyalah merupakan bekas ‘rakan tenis’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Adakah untuk itu beliau dilantik sebagai senator?” soalnya lagi.-HD


Ulasan GB

Pertama, perlantikan S. Nalakaruppan sebagai senator adalah lanjutan dari elemen rasuah ialah kenyataan "you help me, i help you" yang dipopularkan oleh PM, Najib Tun Razak.

Nalakaruppan merupakan bekas sahabat rapat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga rakan karib bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.

Nallakaruppan juga pernah bergiat dalam PKR pimpinan isteri Anwar - Presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail - pada 2007 tetapi keluar parti kira-kira setahun selepas itu.

Beliau terkenal ahli politik yang lantang mengkritik kepimpinan Anwar dan PKR.

Najib walaupun pernah menyatakan beliau tidak takut untuk berhadapan dengan Anwar, namun hakikatnya, beliau masih tidak dapat menyembunyikan apa yang ada di ahti kecilnya, bimbang, takut, ragus-ragu, waswas, gementar ... dirinya dan partinya bakal terhumban dari Putrajaya.

Maka itu serangan-serangan politik dan psikologi dilakukan ke atas Ketua Pembangkang terseut dengan melantik orang-orang yang "berjasa" kepadanya di dalam melakukan serangan ke atas Anwar seperti Ezam Mohd Noor. Mungkin selepas ini jika Zulkifli Nordin tidak terpilih sebagai calon BN, beliau juga bakal disenatorkan, itupun kalau UMNO BN mampu menang di dalam PRU13 nanti.

Kedua, Pakatan Rakyat perlu membuat sedikit homework terhadap perlantinkan senator-senator kerana apa yang kita lihat seolah-olah tidak berlaku keseimbangan di dalam perlantikan senator-senator ini. Berapa sebenarnya ahli-ahli dari Pakatan Rakyat yang telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan berapa pula dari Barisan Nasional? Apakah nisbahnya perlu memihak dengan begitu besar kepada BN sehinggakan mereka boleh melantik sesuka hati bilangan senator yang mereka kehendaki tanpa perlu untuk merujuk kepada nisbah ahli Dewan Rakyat?

Kita jangan bersikap tidak apa atau leka dalam hal-hal sedemikian.

Bob Lokman: Buktikan Saya Bersalah Dan Saya Rela Ke Penjara

Pelakon dan pelawak terkenal, Bob Lokman tetap dengan pendirian tidak bersalah walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya minggu lalu berhubung dakwaan mengadakan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Bob Lokman yang dihubungi The Malaysian Insider lewat malam tadi memberitahu, beliau masih belum dimaklumkan atau dihubungi Jais mengenai perkembangan itu.

Katanya, dia bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya Jais tetap dengan pendirian mahu menangkapnya kerana jabatan agama itu berkuasa untuk berbuat demikian.

“Jais ada kuasa, mereka boleh ambil tindakan undang-undang, walaupun merasakan saya tidak bersalah. Tapi saya tidak akan membantah sekiranya mereka datang menangkap saya,” katanya.

“Saya masih belum tahu bagaimana proses tangkapan itu akan dibuat, tapi saya akan memberi kerjasama. Sekiranya melibatkan pihak polis, saya akan ikut prosedur mereka (polis),” kata beliau yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman.

Sehubungan itu tambah Bob Lokman, beliau juga rela dipenjarakan sekiranya dia didapati bersalah di mahkamah.

“Kalau mahkamah memutuskan saya bersalah, saya rela dipenjarakan, saya tidak mampu untuk membayar denda, nak penjara, saya terima,” katanya yang tidak bercadang untuk menggunakan khidmat peguam bagi membela diri jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Jelasnya, beliau juga akan memberi keterangan di mahkamah untuk mempertahankan diri berhubung insiden penangkapannya di Hulu Langat tempoh hari.

“Saya tetap akan mempertahankan diri dengan memberikan keterangan yang benar (di mahkamah jika didakwa), saya tetap tidak akan mengaku bersalah,” tegas beliau yang menyertai PAS pada 19 Februari lalu.

Ujar Bob Lokman, beliau percaya tindakan Jais mahu menangkapannya sebagai satu usaha agensi itu mahu menjatuhkan golongan pendakwah sepertinya, seolah-olah mereka mendatangkan ancaman.

“Sepatutnya Jais memberi bantuan dan sokongan kepada golongan yang menyampaikan dakwah, bukannya menjatuhkan mereka,”
katanya.

Namun begitu, pendakwah bebas ini juga yakin kebenaran untuk dirinya akan terbongkar dan percaya isu ini mempunyai hikmah tersendiri.

Laporan semalam menyebut Jais telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Bob Lokman berikutan kegagalannya hadir di pejabat agensi agama itu untuk memberi keterangan berhubung tindakannya menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata waran tangkap itu telah dikeluarkan Jumaat lalu.

“Pihak kami sedang menjejakinya supaya dia boleh ditahan untuk disoal siasat bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dirinya,” katanya.

Jabatan itu kini dalam proses melaksanakan tindakan undang-undang bagi membolehkan Bob Lokman hadir di mahkamah dan kemudian dilepaskan dengan jaminan serta membolehkan proses mengambil keterangan dibuat.

Beliau berkata demikian mengenai Bob Lokman yang ditahan Jais bulan lepas di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat ketika sedang menyampaikan ceramah agama kepada kira-kira 70 jemaah di masjid itu.

Bob Lokman disiasat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah dan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -TMI

Laporan sebelum ini
Klik untuk baca



Terengganu Dilanda Ribut, Ombak Besar

Kuala Terengganu: Permulaan musim tengkujuh dan jangkaan banjir besar di Pantai Timur semakin terasa dengan hujan berterusan dan ribut menyebabkan pokok tumbang, manakala ombak besar menghakis pantai hingga merobohkan jalan dan wakaf, termasuk di Tok Jembal di sini.

Gambar: MOHD Syafiq (kanan) dan Alias terkejut melihat wakaf terbalik dipukul ombak dan beberapa pokok rhu tumbang akibat ombak besar tengah malam semalam di pantai peranginan Tok Jembal, Gong Badak, Terengganu.

Ombak besar di pantai Tok Jembal kelmarin menyebabkan satu daripada wakaf di pantai peranginan itu runtuh dihakis ombak, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kemungkinan kerosakan lebih besar.

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Syafiq Mohd Khairuddin, 20, berkata sehari sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakan berkunjung ke pantai yang terletak berhampiran institusi pengajian itu untuk berehat sambil mengulang kaji pelajaran.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati wakaf itu sudah tumbang menyembah bumi dihakis ombak, petang kelmarin.

Pelajar Jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi berkata, hakisan itu begitu cepat kerana sebelum ini jarak pantai dengan wakaf sejauh kira-kira 20 meter.

“Keadaan amat menakutkan dan kami bimbang kemudahan di pantai ini lenyap ditelan ombak sekiranya tiada tindakan menghalang ombak daripada terus menghakis kawasan itu,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, tiga kereta dan sebuah motosikal remuk apabila pokok mangga dipercayai berusia lebih 30 tahun tumbang menghempap kenderaan itu serta tiang elektrik di Jalan Tok Lam, semalam.

Saksi, Ahmad Idhan Muda, 35, berkata pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman kuat di depan kedai membabitkan kemalangan, apabila meluru keluar terperanjat melihat kenderaan terbabit dihempap pokok.

Katanya, ketika kejadian pada jam kira-kira 2.30 petang itu, dia dan rakan sekerja berada dalam premis dikejutkan bunyi kuat sehingga bekalan elektrik bangunan itu terputus.

“Syukurlah tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika pokok itu tumbang tiada penumpang dalam kenderaan,” katanya, semalam.

Pemilik kereta Proton Saga, Rohayu Awang, 30, berkata dia meletakkan kenderaan di tempat letak kereta bagi menghantar bapanya yang mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran tempat kejadian pada jam 2.10 petang.

“Saya sedih tapi bersyukur ketika kejadian anak-anak tiada dalam kereta, jika tidak saya tak tahu apa akan terjadi,” katanya. -BH

3 kenderaan dihempap pokok, tiang elektrik

KUALA TERENGGANU: “Saya tergamam melihat pokok mangga dan tiang elektrik tiba-tiba tumbang sebelum menghempap kereta saya dan dua kenderaan lain serta sebuah motosikal,” kata Rohayu Awang, 30, pemilik Proton Saga yang rosak teruk dalam kejadian pokok tumbang di sini, semalam.

Kejadian mengejut pada jam 3.25 petang itu turut memusnahkan tiga kenderaan lain iaitu Naza Citra dan van Nissan Vanette serta sebuah motosikal Yamaha SS100 yang diletak di tepi Jalan Tok Lam di sini, apabila dihempap sebatang pokok dan tiang elektrik di kawasan berkenaan.

Rohayu berkata, kereta itu milik bapanya yang baru dibeli awal Februari lalu dan ketika kejadian dia ke klinik berhampiran untuk menjemput bapanya yang menjalani rawatan kencing manis kira-kira jam 2.10 petang.

“Nasib baik kejadian berlaku sebelum saya sempat masuk semula ke kereta,” kata guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merchang, Marang.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca baik dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Rozairi Abdul Rahman yang dihubungi semalam, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan menasihatkan orang ramai tidak meletakkan kenderaan mereka berhampiran pokok bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan keadaan cuaca tidak menentu.


Saiful Apek Didakwa Ambil Dadah

Petaling Jaya: Pelakon komedi, Saiful Apek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan mengambil dadah jenis ganja, tahun lalu.

Pelakon tersebut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid. Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 42, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, di sini.

Bagi kesalahan itu, pelakon yang pernah membintangi filem Senario The Movie 4 dan Sifu & Tongga itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai tiga orang anak itu boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan terhadap pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berira Harian 2003 dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh dan Fadilah Shah Abdul Latiff.

Turut didakwa di mahkamah sama ialah tiga rakan Apek, termasuk Pengurus Gitu-Gitu Production Sdn Bhd, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, dan dua pekerja sambilan kru produksi itu, Shaiful Baharom, 24, serta Noremy Mohamad, 28.

Semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama.

Ahmad Ishrakh Saad menawarkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh, bagaimana mahkamah membenarkan jaminan pada jumlah RM2,500 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 23 Disember depan.

Di mahkamah sama, seorang lagi rakannya, Mohamad Shafarul Abdul Rahim, 25, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 0.09 gram di rumah bernombor 306, Blok C, Sunway Court Apartment, Jalan PJS 7/13, Bandar Sunway pada pukul 10 malam, 12 Jun tahun lalu.

Mohamad Shafarul juga didakwa memiliki alat perkakas yang digunakan dalam menyediakan dadah itu untuk digunakan, iaitu satu bekas plastik di tempat, masa dan tarikh sama.

Manakala bagi tuduhan ketiga, lelaki itu didakwa mengambil dadah jenis ganja di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, pada pukul 11 malam, tarikh sama.

Ahmad Solihin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,500 terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga kesalahan berkenaan dan dua tahun pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pada prosiding itu, semua tertuduh diwakili oleh peguam bela Mohd Fadly Hashim.

Media sebelum ini melaporkan Saiful Apek ditahan bersama empat rakannya lain atas kesalahan dadah di sebuah apartmen pada 12 Jun tahun lalu. -mstar

AWAS: Kenyataan Idris Jala Untuk Naikkan Harga Minyak Dan Barang Keperluan.

Idris Jala: Malaysia masih ada risiko jadi muflis

KUALA LUMPUR, 1 Nov ― Datuk Seri Idris Jala hari ini menegaskan semula bahawa Malaysia masih berhadapan dengan risiko menjadi negara muflis dalam satu dekad lagi jika ia membelanjakan wang yang dipinjam untuk perbelanjaan-perbelanjaan operasi seperti subsidi berbanding menggunakannya bagi tujuan pelaburan.

“Jika ekonomi kita mengalami pertumbuhan kurang empat peratus dan jika kita tidak memotong perbelanjaan operasi kita, jika kita pinjam pada kadar 12.5 peratus, jika hutang tahunan kita meningkat 12.5 peratus dan pulangan kita pula tidak berkembang, maka ia akan berlaku,” kata Jala hari ini selepas mengumumkan perkembangan terkini mengenai pelaburan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau mencetuskan kebimbangan yang sama tahun lalu ketika ramai membicarakan mengenai isu subsidi, yang kemudiannya menjadi kontroversi.

Hutang kebangsaan Malaysia meningkat 12.3 peratus untuk mencecah RM407 bilion tahun lalu, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan minggu lalu.

Meskipun ekonomi mengalami pertumbuhan 7.2 peratus tahun lalu, defisit fiskal tahun lalu mengekalkan hutang awam lebih 50 peratus berbanding kadar KDNK bagi tahun kedua berturut-turut.

Pakar ekonomi juga berkara bahawa pertumbuhan ekonomi negara boleh perlahan ke paras 3.6 peratus tahun depan daripada kadar 4.3 peratus yang dijangkakan tahun ini ekoran risiko kemelesetan berganda global.

Bagaimanapun kata beliau, Malaysia tidak akan melalui kemelesetan tetapi akan melalui perkembangan ekonomi yang perlahan ekoran merebaknya krisis kewangan di Eropah.

Katanya, jangkaan beliau tidak bermakna Putrajaya akan berhenti daripada membuat pinjaman.

“Kita harus membuat pinjaman dengan syarat wang itu digunakan untuk pelaburan berbanding untuk perbelanjaan operasi,” kata beliau lagi.

“Kita harus memastikan pinjaman kita sepadan dengan pelaburan,” katanya lagi.

Ulasan GB

Sebenarnya kita sudah dapat membaca... kenyataan Idris Jala tersebut adalah justifikasi kerajaan Najib untuk melakukan "penyelarasan subsidi" sekali lagi - dalam erti kata menarik subsidi daripada beberapa barang keperluan dan sekali gus bererti kenaikan harga bagi barangan tersebut.

Beliau menggunakan alasan bahawa negara mungkin bankrap jika negara terus memberikan subsidi... ke atas barangan keperluan.

GB ingan tegaskan kepada Idris Jala yang telah membutakan matanya mengenai Laporan Audit 2010 bahawa: kebankrapan negara BUKAN disebabkan oleh subsidi tetapi adalah disebakan oleh ketirisan, rasuah, pembaziran, ketidak-cekapan, ketidak-berkesanan yang menjadi amalan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib kini.

Justeru itu jangan jadikan alasan pemberian subsidi sebagai sebab negara jadi bankrap. Tetapi adalah diakibat dari faktor-faktor kerajaan BN sendiri yang projek NKRAnya hanya mitos dan gimik yang sedap didengar tetapi hampas belaka.

Buka lembaran Laporan Audit 2010 itu dan perbaiki segala kepincangan yang didedahkan. Ambil tindakan segera ke atas pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan yang inefficient dan uneffective terutama yang melakukan korupsi.

Sekiranya itu tidak dilakukan, tunggu sehingga hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya: BN should get out from Putrajaya!



Piket MTUC 3 Nov Diteruskan. Tak Timbul Isu "Haram Atau Tak Haram"

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan tidak timbul soal “haram atau tidak haram” sebaliknya tindakan berpiket Khamis ini adalah hak pihaknya sebagai sebuah badan induk demi mempertahankan para pekerja daripada implikasi buruk pindaan Akta Kerja 1955.

Badan induk kesatuan sekerja itu memutuskan untuk mengadakan piket yang kedua, kali ini peringkat nasional.

Justeru, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata, Kementerian Sumber Manusia khususnya Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam perlu membezakan antara pertikaian perhubungan perusahaan dan perhimpunan aman menuntut kepentingan pekerja dipelihara.

Katanya, MTUC sedar bahawa piket minggu ini bukan satu pertikaian perhubungan perusahaan, sebaliknya protes pergerakan kesatuan sekerja membantah tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mengambil keputusan yang dilihat akan merugikan kaum pekerja dalam jangka panjang.

“Menjadi hak menteri, apa yang mahu diperkatakan. Apa yang kami putuskan adalah hak kami. Kita berhak untuk mengambil tindakan jika tindakan atau keputusan kerajaan nampak mengetepikan hak pekerja,” kata beliau dengan menekankan bahawa “tidak timbul soal haram atau tidak haram.”

“Saya mendapati kenyataan menteri juga mengatakan jika hendak mengadakan perhimpunan aman, boleh diadakan.

“Jadi, betul apa dikatakan oleh menteri, kami hanya mengadakan perhimpunan aman... terima kasih kepada menteri kerana faham, cuma kami panggil sebagai piket, di mana bagi MTUC piket juga satu bentuk perhimpunan aman,” kata Khalid lagi.

Katanya, MTUC juga telah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara dan ketua-ketus polis negeri mengenai hasrat mahu mengadakan piket di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara.

“Kami telah memaklumkan bahawa MTUC hendak mengadakan piket secara aman dan minta kerjasama pihak polis,” katanya. Surat makluman telah dihantar minggu lalu.

Dalam satu ucapan di ibu negara malam tadi, Dr Subramaniam berkata MTUC tidak ada hak untuk mengadakan piket berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja 1955 kerana ia bukan satu pertikaian perhubungan perusahaan.

“Dari segi undang-undang, mereka tidak boleh mengadakan piket berhubung isu ini. Mereka hanya boleh berpiket berkaitan dengan pertikaian perhubungan perusahaan, membabitkan antara majikan dan pekerja.

“Ini adalah isu dasar kerajaan. Jika mereka berpiket, mereka bertindak bertentangan dengan undang-undang,” kata beliau,

MTUC memutuskan piket nasional pada mesyuarat majlis am pada 10 Oktober lalu. Piket pertama berkaitaan rang undang-undang itu telah diadakan pada 3 Oktober lalu di kawasan bangunan Parlimen.

Selepas tiada sebarang reaksi positif daripada kerajaan termasuk pertemuan dengan menteri itu minggu lalu, MTUC mahu meneruskan piket kebangsaan bagi memberi penjelasan kepada orang ramai khususnya kaum pekerja mengenai kesan pindaan Akta Kerja.

MTUC juga meletakkan harapan pada anggota Dewan Negara untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.

Piket 3 Oktober lalu diadakan bagi mendesak Kementerian Sumber Manusia menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011) di Parlimen tetapi desakan dan rayuan MTUC tidak dilayan pihak kerajaan.

MTUC mendakwa ia tidak membantah keseluruhan pindaan Rang Undang-undang Kerja sebaliknya hanya beberapa peruntukan baru termasuk sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Subramaniam berulang kali mempertahankan tindakan itu sebagai salah satu cara melindungi pekerja negara ini.

Mengulas lanjut, kata Khalid, MTUC merupakan badan gabungan yang terdiri daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang ada hak untuk membantah apa sahaja dasar dan keputusan majikan dan kerajaan, yang memberi kesan dan impak negatif.

“Kami merupakan badan induk yang mewakili pekerja negara ini, yang jumlahnya kira-kira enam juta orang, kami berhak untuk membuat bantahan,” katanya lagi. -TMI


Anggota KEADILAN digalak sertai piket MTUC 3 Nov

KUALA LUMPUR: KEADILAN menggalakkan anggotanya menyertai piket anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 3 November ini bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955.

Perkara itu disahkan Ketua Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani Abdul Hamid yang membawa usul itu ke mesyuarat ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), semalam.

“Parti (KEADILAN) turut bersetuju agar Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang sudah dilulus akan dibubarkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat sebagai kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dihubungi keadilandaily.com hari ini.

Badan induk kesatuan sekerja yang dianggotai 390 gabungan dan mewakili 802,323 ahli itu merancang untuk mengadakan piket di peringkat nasional kali kedua, selepas mengadakannya di kawasan bangunan Parlimen bulan lalu.

Pergerakan itu mendakwa Rang Undang-undang berkenaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu memberi laluan mudah kepada majikan mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja kontrak berbanding tenaga kerja kekal.

Rang Undang-undang itu kini menunggu giliran untuk dibahaskan di Dewan Negara.

MTUC sebelum ini turut memberi amaran keras kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa undi melibatkan 5.7 juta pekerja akan menjadi penentu terhadap sokongan ketika pilihan raya umum ke-13, melainkan pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi itu ditarik balik.

Pada 28 Oktober lalu, sebanyak 107 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara turut membantah pindaaan undang-undang itu kerana memudarat hak pekerja serta mendesak kerajaan Malaysia menarik balik undang-undang itu serta-merta.

Menurut Abdullah, menerusi rang undang-undang berkenaan, pekerja kontrak berdepan kemungkinan tidak dibayar gaji kerana tidak memiliki pekerjaan tetap.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani berkata, sebanyak 16 lokasi sudah ditetapkan di seluruh negara dengan piket berlangsung serentak di setiap negeri.

“Di Selangor, piket bakal diadakan di Seksyen 15 dan Teluk Panglima Garang. Manakala di Wilayah Persekutuan kemungkinan berlangsung di Jalan Raja Laut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.