26 Okt 2013

RM8.8 Bilion Untuk Polis Tak Mampu Bendung Jenayah Berbanding Hudud

PDRM terima RM8.8 bilion untuk kurangkan kadar jenayah

Dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara, kerajaan memperuntukkan RM8.8 bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata peruntukan itu menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam selain komited dalam membanteras jenayah.

Dalam membanteras jenayah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi melengkapkan PDRM dengan senjata api, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik.

"Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan RM20 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan menambah 200 buah motosikal lagi untuk Unit Rondaan Bermotosikal PDRM tahun depan menjadikannya 2,000 buah motosikal dalam tempoh dua tahun.

"Tahun ini, kerajaan bersetuju menambah 800 buah motosikal dengan peruntukan RM200 juta," katanya.

Perdana Menteri berkata bagi memperkasa perkhidmatan PDRM, kerajaan akan membina dan menaik taraf ibu pejabat polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kuarters kakitangan dengan peruntukan RM128 juta.

Peruntukan itu termasuk pembinaan IPD baharu di Pasir Mas (Kelantan), Kota Setar (Kedah), Johor Baharu Selatan (Johor), Sipitang (Sabah), Nusajaya (Johor) selain pembinaan balai baharu di Pengerang (Johor), Tongod (Sabah) dan Country Homes Rawang (Selangor). – Bernama

ULASAN GB

Berapa banyak pun peruntukan disalurkan untuk PDRM, ia tidak dapat membendung gejala jenayah yang berluluasa berbanding dengan hukum hudud yang ditentang oleh kerajaan UMNO BN.

Malah peruntukan berbilion-bilion itu akan meningkatkan lagi jenayah ketirisan dan penyelewengan seperti kes yang berlaku di dalam Kementerian Pertahanan di dalam skandal Scorpene.

Apa sebenarnya agenda Najib menaikkan peruntukan untuk PDRM?

PRK Sungai Limau: Macai UMNO Kantoi Memfitnah Calon PAS


Isteri Azizan nafi dakwaan blog

ALOR SETAR - Calon Pas bagi PRK Dun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat diakui mempunyai pertalian saudara bau-bau bacang dengan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Perkara ini disahkan sendiri oleh isteri Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah ketika dihubungi, semalam.

Faekah berkata, hubungan kekeluargaan antara Azizan dan Mohd Azam adalah pada sebelah moyang yang merupakan sepupu.

“Sepupu Azizan yang juga anak kepada Tok Ndak Nab (Zainab) di Sungai Limau mengesahkan hubungan itu. Tok Ndak Nab dan bekas Adun Sungai Limau, Ahmad Awang adalah dua beradik, di mana Ahmad adalah bapa saudara Azizan,” katanya.

Menurutnya, pertalian itu wujud di sebelah keluarga lelaki moyang Azizan dengan moyang Mohd Azam.

“Hanya Azizan yang menetap di Sungai Limau selepas aktif dalam politik, tidak dinafikan Azizan mempunyai ramai saudara mara di situ,” katanya.

Faekah berkata, Mohd Azam adalah seorang pemimpin yang baik dan beliau sering berada di pejabat Pas kawasan Jerai ketika aktif bersama Pemuda Pas.

“Sejak Mohd Azam belum berkahwin, dia memang rapat dengan Azizan. Saya dan ahli keluarga tidak pernah keluarkan kenyataan dakwa Mohd Azam berbohong mengenai perkara itu,” katanya.

Sejak kelmarin, beberapa blog tempatan mendakwa Mohd Azam berbohong kerana tidak mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Azizan, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan adik beradik Allahyarham, sebaliknya dikatakan mempunyai hubungan saudara dengan bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Mohd Azam dikatakan anak sepupu kepada Phahrolrazi, yang pernah berseteru dengan Azizan ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar Kedah. Justeru, Mohd Azam dikaitkan dengan golongan pemberontak dan musuh politik Azizan apabila ada hubungan dengan Phahrolrazi.

Phahrolrazi ketika dihubungi, tidak menafikan wujud pertalian kekeluargaan dengan Mohd Azam, namun menyangkal dakwaan Mohd Azam adalah kroni beliau untuk menentang Azizan dalam diam.

“Saya dan Mohd Azam tidak rapat berikutan jarak usia. Kami adalah dua sepupu. Ingin saya tegaskan pemilihan beliau sebagai calon tiada kaitan dengan saya, termasuk dakwaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, Mohd Azam tidak perlu mengambil aura beliau mahupun Azizan untuk membina karier politiknya, sebaliknya berdikari dengan kemampuan sendiri.

“Datuk Mohd Azam, iaitu Haji Abdul Hamid Ibrahim adalah adik kepada Tok Guru Haji Aziz di Pendang. Haji Aziz adalah datuk saya,” katanya. -SH

[GEMPAR] Di Perak Ada Ikan Bermulut Buaya


Gunung Semanggol - Penduduk sekitar Bukit Merah di sini gempar dengan penemuan seekor ikan pelik bermulut buaya oleh seorang nelayan sungai setelah terperangkap di dalam bubu dawai miliknya.

Dalam kejadian jam 9.00 pagi di Batu 39, Jalan Keretapi Bukit Merah, nelayan itu, Abu Zabar Husin,75, berkata, dia terkejut dengan penemuan ikan itu kerana spesies ikan itu sangat pelik dan mengakui baru pertama kali melihatnya.

Menurutnya, malam sebelum kejadian berlaku, dia telah memasang bubu di sebuah parit berhampiran rumahnya dan pergi semua ke lokasi itu pada sebelah pagi untuk melihat hasil tangkapan ikan.

“Ketika hendak mengangkat bubu, saya melihat keadaannya bergoncang kuat seolah-olah telah menahan banyak ikan.

“Saya mula membayangkan hasil tangkapan lumayan, bagaimanapun saya terkejut mendapati seekor ikan bermulut buaya terperangkap di dalamnya,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Abu Zabar berkata, bubu ikan yang ditangkapnya hampir terlepas dari dakapan setelah dia menyangka haiwan yang terperangkap di dalamnya adalah anak buaya.

“Bagaimanapun, ikan itu mati tidak lama selepas itu setelah keadaannya terlalu lemah.

“Berita penemuan ikan itu mula tersebar dalam kalangan penduduk kampung dan rumah saya seakan-akan pesta apabila dikunjungi orang ramai tidak henti-henti sehingga kini,” katanya.

Abu Zabar berkata, seorang pegawai dari Jabatan Perikanan yang mengunjungi rumahnya mengesahkan bahawa ikan yang ditemui adalah dari spesies ‘Alligator Gar’ iaitu spesies ikan dilindungi dan amat jarang ditemui di perairan Malaysia.

“Saya percaya ikan seberat hampir dua kilogram dan sepanjang hampir satu meter itu berkemungkinan sesat berikutan banjir yang berlaku di beberapa buah negeri,” katanya. -SH

ULASAN GB

Sesungguhnya di dalam setiap kejadian Allah itu, taida satu pun yang sia-sia.

Berbillion Ketirisan Tak Diatasi, Rompak Pula Rakyat Dengan GST!

Pakatan Rakyat akan bantah GST besar-besaran

Pakatan Rakyat (PR) ternyata tidak senang dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kini sedang merancang untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata mesyuarat segera akan diadakan membabitkan semua parti komponen PR iaitu PAS, PKR dan DAP bagi membincangkan isu GST dan tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan demonstrasi membantah pelaksanaan itu.

“Saya bersetuju untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran. Kita mungkin akan mengadakan demonstrasi.

“Seperti yang dijangka GST akan dikenakan untuk tampung belanja kerajaan. Sepatutnya kerajaan mulakan dengan perangi ketirisan seperti dalam Laporan Audit Negara 2012 kerana pembaziran berlaku di sana sini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata PR akan memperjuangkan suara 52 peratus rakyat Malaysia yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Majlis Presiden PR akan membincangkan pendekatan bantahan terhadap GST.

“Selain berhujah di Dewan Rakyat, pendekatan lain dalam membantah pelaksanaan itu akan diadakan termasuk mengadakan perhimpunan aman atau cara lain yang mampu untuk mencapai objektif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, PR akan memberikan penerangan kepada rakyat terutama golongan bawahan mengenai impak pelaksanaan GST dalam kehidupan mereka.

“Jika ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) ada sikap mementingkan nasib golongan bawahan, mereka pasti akan menolak GST,” katanya.

Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke, berkata PR membantah GST dan gabungan itu akan melakukan bantahan bagi memperjuangkan nasib rakyat.

“DAP bersama PR akan bantah GST, kita akan putuskan bersama,” katanya.

Selepas beberapa tahun spekulasi, kerajaan akhirnya memperkenalkan GST yang akan bermula secara rasmi pada April 2015, dalam pembentangan Bajet 2014 oleh Najib yang juga menteri kewangan petang tadi.

Najib berkata, GST akan menggantikan dua jenis cukai iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal di paras dua peratus. – TMI


Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan berbilion wang rakyat


Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat. “Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan. “Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin. “Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai. “Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui. Katanya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya. “Dia (Kerajaan) bukan sahaja mengenakan GST pada 2015, tapi telah hapuskan subsidi gula 30 peratus, saya tak tahu apakah jumlah ini akan jimat tetapi ini hanya menambahkan beban rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu. -tvselangor



GST menyebabkan rakyat makin susah, kata NGO dan peguam


PETALING JAYA: Rakyat golongan bawahan semakin terbeban ekoran keputusan kerajaan melaksanakan sukai perkhidmatan kerajaan (GST) sebanyak enam peratus pada bulan April tahun 2015.

Harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi semakin mahal, harga makanan akan meningkat secara berperingkat mulai sekarang walaupun kerajaan mengumumkan ia akan dilaksanakan 17 bulan lagi.

“Dengan itu kehidupan rakyat menjadi lebih susah, kerajaan berniaga dengan rakyat,” kata Fariz Musa, Ketua Kordinator Jingga 13, sebuah NGO tempatan.

Bagaimanapun, dalam Bajet 204 yang dibentangkan di parlimen petang tadi, GST bukan kepada perkhidmatan tertentu seperti pengangkutan awam dan barangan makanan asas.

Peguam dari Temerloh, Nizam Hamid berkata, masa tidak sesuai untuk melaksanakan GST kerana masih ramai rakyat yang berpendapat rendah, serta masih ada yang miskin tegar.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh membandingkan dengan negara Singapura yang melaksanakan GST kerana rakyat negara itu mempunyai pendapatan yang tinggi.

Katanya, di negara itu tidak ada rakyat miskin tegar, pendidikan dan perkhidmatan berkelas dunia.

“Tetapi berapa ramai rakyat Malaysia yang masih hidup di bawah tahap kemiskinan tegar,” tanyanya.

Nizam berkata, kini syarikat peguam diarahkan mengenaikan cukai enam peratus kepada pelanggan untuk dibayar kepada kastam.

Sebelum ini, katanya, cukai sedemikian hanya dikenakan kepada firma guaman yang besar.

Nizam juga mendakwa pengenalan GST itu adalah cara mudah kerajaan untuk mendapatkan wang rakyat.

“Saya percaya wang itu adalah untuk menampung kos pengurusan sebanyak 82% berbanding 12% untuk pembangunan dalam bajet tersebut,” katanya lagi.

Seorang pekerja syarikat pengangkutan, Afandi Anuar berkata, golongan berpendapatan rendah sepertinya akan merasakan keperitan hidup berganda apabila GST dilaksanakan serta subsidi gula dikurangkan 36 sen.

“Sudah tentu harga makanan akan melambung, harga minuman akan naik. Teh o yang sekarang RM1 segelas barangkali mencapat RM1.50 sen.

“Bonus setengah bulan gaji secata otomatik menyebabkan kenaikan harga makanan, ini yang berlaku setiap tahun,” katanya yang berusia 56 tahun.
-FMT


"Saya Mahu Negara Kita Laksanakan Hukum Hudud Walaupun Saya Bukan Islam"

Walaupun pemimpin negara semakin galak berdebat mengenai perlaksanaan hukum hudud, namun adakah perkara itu terkesan di hati masyarakat?

Kebelakangan ini semakin banyak kes tembak, bunuh dan rogol yang telah menjadi igauan masyarakat kita tanpa mengira agama, bangsa, umur dan jantina, dan mungkin anda yang akan menjadi mangsa seterusnya.

Orang ramai mula mempertkaikan penguatkuasaan pihak berkuasa, namun secara adilnya PDRM juga perlukan masa untuk memberkas penjenayah, menyiasat dan selebihnya terserah kepada tindakan undang-undang yang tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia.

Pernahkan kita terfikir alternatif undang-undang hudud yang dicadangkan parti pembangkang mampu mengekang masalah jenayah ini? Persoalannya adakah masyarakat bukan Islam dapat menerimanya?

Mike (bukan nama sebenar), seorang penganut agama Sikh secara terang-terangan bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak yang ingin melaksanakan hukum hudud walaupun bukan beragama Islam.

Mempunyai kerjaya dalam industri hiburan sebagai pengawal keselamatan selama lebih 20 tahun, Mike mengakui pandangannya mengenai hudud adalah berpunca daripada jenayah yang semakin liat berlaku kini.

"Terlalu banyak jenayah yang berlaku dan dengan kerja saya sekarang, Saya telah melihat banyak jenayah berlaku di hadapan mata.

Bercerita mengenai pengalamannya, Mike yang mempunyai anak perempuan berusia 17 dan 13 tahun turut mengakui hanya hukum Islam itu mampu membendung masalah jenayah.

"Saya sendiri adalah mangsa ragut, ia berlaku dihadapan enam rakan saya, namun perkara itu terlalu cepat dan saya agak peragut itu telah dilatih kerana teknik yang digunakan untuk menjatuhkan saya sangat berkesan.

"Terlalu banyak....jadi kita perlukan undang-undang baru untuk selamat dan apabila saya mendengar mengenai hudud, jadi saya fikir itu yang sebaiknya.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan terhadap penjenayah melalui undang-undang hudud mungkin boleh memberi kesedaran kepada mereka dan seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah.

"Kalau mereka merompak, potong saja tangan...baru lah kita sebagai orang awam akan rasa selamat bila berjalan di mana-mana sahaja.

Ditanya bagaimana cara untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam melalui undang- undang itu, beliau berkata kesedaran melalui pendidikan adalah perlu.

"Melalui pendidikan, seharusnya dinyatakan secara meluas apa itu hukum hudud, bagi saya jika itu dapat membantu mengurangkan masalah jenayah ia patut dilaksanakan.

Jelas Mike, selain daripada melaksanakan hukum Hudud, cara yang dirasakan berkesan mengelakkan jenayah adalah mengawal pergerakan kanak-kanak dan remaja di bawah umur.

"Apabila ibu bapa tidak mempunyai pendidikan yang sewajarnya untuk mendidik anak mereka, jadi saya bersetuju sekirnya remaja di bawah umur 17 sepatutnya dikawal oleh ibu bapa dan tidak dibenarkan keluar rumah sepas pukul 10 malam.

"Dan penjaga harus mengawal pergerakan mereka khususnya remaja, malah ada diantara pelanggan pusat hiburan yang membawa anak mereka yang dibawah umur ke tempat sebegitu. Untuk apa?," soalnya.

"Jadi caranya adalah penguatkuasaan, tetapi walaupun undang-undang yang ada sekarang sudah ketat tetapi jenayah semakin banyak dan penyelesaiannya adalah dengan melaksanakan hukum hudud," katanya ketika ditemubual mD.

Relevenkah hudud di Malaysia?

Hukum Hudud adalah terletak dalam Akta Mahkamah Syariah namun boleh dipinda sekiranya mendapat persetujuan daripada Parlimen.

Beberapa tahun lepas, undang-undang telah membenarkan enakmen Mahkamah Syariah seperti tindakan yang di kenakan ke atas Kartika Sari yang minum arak di khayalak ramai.

Antara lain adalah penjara atau pun denda bagi hukuman murtad dan minum arak.

Sementara itu, pendakwah bebas Dr. Mohd Asri Zainal Abidin berkata hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

"Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam," katanya dalam blog Minda Tajhid milik beliau.

Namun begitu, beliau turut menjelaskan masih banyak jenayah yang tidak tersenarai dalam hukum hudud.

Katanya, kesalahan jenayah yang mengaitkan keselamatan awam juga boleh dihukum melalui hukum hudud.

"Dosa pertama adalah dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri.

"Manakala dosa kedua adalah yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya", katanya.

Kelmarin, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelaksanaan undang-undang syariah secara berperingkat di negara itu termasuk hukuman rejam hingga mati bagi kesalahan zina.

Hukuman termasuk rejam sampai mati ke atas mereka yang berzina, potong tangan bagi kesalahan mencuri, sebat untuk kesalahan menggugurkan janin hingga kepada perbuatan minum minuman keras.

“Insya-Allah, dengan pelaksanaan undang-undang ini, tanggungjawab kepada Allah berjaya dilaksanakan,” titah baginda. -mD