24 Mei 2015

Tak Suka DAP Tapi Tak Sanggup Tinggalkan Pakatan, Ini Sebabnya...


Putus dengan DAP, masa depan PAS di Selangor pudar - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Memutuskan hubungan dengan DAP tidak akan menguntungkan PAS sama ada di Selangor atau seluruh Malaysia, kata penganalisis politik.

Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata jika PAS memutuskan hubungan dengan DAP, Pakatan Rakyat masih boleh memerintah Selangor biarpun dengan majoriti yang kecil.

"Pakatan Rakyat masih lagi boleh membentuk kerajaan di Selangor biarpun tidak mendapat dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri.

"Tetapi jika perkara ini berlaku, yang rugi adalah PAS kerana yang jelas mereka akan hilang kuasa dan ia akan memberi gambaran kepada rakyat tentang sikap PAS dalam politik hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Dr Shaharuddin berkata jika PAS mengambil keputusan untuk bersendiri ia sebenarnya tidak menguntungkan parti Islam itu dalam perjuangan mereka.

Ini kerana, penerimaan masyarakat terutama yang bukan beragama Islam terhadap PAS banyak bergantung kepada kerjasama yang dibentuk bersama DAP dan PKR,
kata Dr Shaharuddin.

Jelas beliau, PAS akan rugi dari segi politiknya kerana usaha menjalinkan kerjasama dengan DAP bukan satu perkara yang mudah mahu dilaksanakan.

"Untuk PAS bekerjasama dengan DAP mengambil masa yang lama, jadi peluang yang ada sepatutnya dijaga demi kepentingan bersama.

"Kalau PAS bersendiri ia cuma akan mendapat sokongan orang Melayu bukan sokongan rakyat berbilang kaum.

"Jika hujah digunakan bahawa PAS ada dewan himpunan yang terdiri dari berbagai kaum dan juga NGO-NGO bukan Islam yang menyokong PAS, ini semua kerana kerjasama dalam Pakatan Rakyat itu, bertahaluf dengan DAP,"
katanya lagi.

Dr Shaharuddin menjelaskan, masyarakat bukan Islam akan melihat tindakan PAS memutuskan hubungan dengan DAP sebagai sikap yang tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam.

Katanya, dalam situasi sistem dua parti yang semakin diterima, keputusan PAS untuk bersendirian perlu difikirkan semasak-masaknya.

"Jika PAS memilih untuk bekerjasama dengan UMNO juga perlu diperhalusi sebaik-baiknya kerana perlu dilihat kekuatan pihak yang mahu dijalinkan kerjasama itu," jelas beliau.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya sedia untuk memutuskan hubungan dengan DAP ekoran sikap pemimpin parti itu dalam membentu kabinet bayangan.


Serangan Hadi alasan PAS sertai Umno, kata Guan Eng

Lim Guan Eng hari ini mendakwa tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerang DAP baru-baru ini hanya helah parti Islam itu untuk dijadikan alasan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dan menyertai Umno.

Setiausaha agung DAP itu berkata, beliau terkejut dan sedih dengan serangan terkini Hadi terhadap parti itu, sambil menambah, pemimpin PAS itu kini "hilang akal" dan harus meninggalkan PR jika itu yang sebenarnya beliau mahu.

"Semua tuduhan itu tidak berasas dan tidak masuk akal. Ia kelihatan seolah-olah seperti satu usaha mencari alasan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno-BN," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Umno, parti Melayu utama dalam Barisan Nasional (BN), sekian lama merupakan musuh utama PAS dalam persaingan mendapatkan undi Melayu-Islam.

"Sekiranya beliau hendak membentuk kerajaan perpaduan dengan mereka, silakan. Tetapi jangan menyerang dan membuat tuduhan palsu terhadap DAP. "

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, mengulas komen Hadi semalam mengatakan PAS bersedia memutuskan hubungan dengan DAP berikutan langkah DAP mengumumkan menubuhkan kabinet bayangannya sendiri tanpa dianggotai PAS dan PKR.

Hadi berkata, kabinet bayangan DAP tidak realistik, dan memberitahu parti itu ia tidak boleh sekadar melindungi kepentingan kelompok tertentu.

DAP sebelum ini memutuskan hubungan dengan Hadi, walaupun masih mengekalkan hubungan kerja dengan PAS.

Dalam serangan balasnya kepada kenyataan Hadi, Lim berkata presiden PAS itu mengambil kesempatan dari situasi sekarang untuk menyerang DAP, yang dianggapnya langkah "tidak beretika" sesama parti sekutu.

"Kita dituduh melantik ahli Parlimen dari satu kaum sahaja di dalam kabinet bayangan itu, katanya kita hendak mengambil alih negara.

"Tetapi, DAP ada ahli Parlimen dari berbagai kaum, tidak seperti PAS yang hanya ada satu kaum. Bila saya tengok Hadi, dari sehari ke sehari, beliau semakin kelihatan seperti seorang pemimpin Umno," kata ahli Parlimen Bagan itu.

Lim berkata, Hadi nyata tidak lagi berminat bekerja bersama PR, memberi contoh keengganannya menyokong presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

"Tidak mengapa kalau beliau tidak hadir semasa berkempen, tetapi beliau enggan sokong calon PKR.

"Bagaimana dia boleh kata dia masih menyokong PR? Jelas sekali yang hatinya tidak lagi bersama PR.

"Ramai orang bila lihat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak mahu lagi menyokong (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) tetapi Hadi masih mahu menyokongnya," katanya.

Hadi, kata pemimpin DAP itu, perlu cukup "berani" menyatakan sokongannya kepada Umno dan BN, bukannya dengan bertindak menyerang DAP.

"Buat secara terbuka, bertindak berani katakan beliau mahu sertai Umno. Tetapi janganlah guna taktik kotor dan buruk-burukkan DAP.

"Ini bukan ciri-ciri pemimpin PAS yang disegani ramai," katanya.

Beliau juga menegaskan beliau bukan perdana menteri dalam kabinet bayangan DAP seperti didakwa pengkritik, termasuk Hadi.

"Ya, saya tidak ada portfolio, tetapi saya bertanggungjawab atas semua ahli Parlimen DAP. Saya sudah katakan sebelum ini, anda perlu tanya ketua pembangkang mengenai peranan perdana menteri dalam kabinet bayangan."
-TMI



KABINET BAYANGAN DAP TIDAK PERNAH WUJUD

DAP tidak pernah mengumumkan kabinet bayangan seperti yang digembar gemburkan media.

Kami hanya memperkenalkan portfolio kepada 37 ahli parlimen DAP untuk menjadi jurucakap dalam bidang masing-masing

Ini dibuat supaya DAP dapat memenuhi tanggungjawab kita kepada rakyat sebagai ahli parlimen untuk membahas secara membina mengenai topik masing-masing.

Ahli Parlimen DAP adalah berbilang kaum dan semua kaum tersenarai dalam portfolio tersebut.

Kalau mana-mana pihak mahu menuding jari dengan membuat tuduhan melulu DAP angkuh dan sombong membuat kabinet bayangan sendiri, dia mesti ingat bahawa setiap jari yang mereka tunjukkan, empat jari lagi menghala kepada diri mereka sendiri

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP


ULASAN GB

GB lebih suka Presiden PAS, Hj Hadi Awang membuat keputusan dengan tegas untuk keluar Pakatan Rakyat. Tidak berdolaik-dalik.

Dengan mebuat keputusan sedemikian akan memudahkan perwakilan membuat keputusan di dalam muktamar nanti samada untuk menyokong langkah Haji Abdul Hadi berkenaan atau sebaliknya.

Tak suka DAP satu hal, sanggup pula membuat fitnah terhadap mereka. Islam membenarkan demikian?

Walau bagaimanapun kini perwakilan sudah ada alternatif, seorang calon Presiden bertaraf ulama yang telah membuat kenyataan tegasnya bahawa PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.



Mat Taib Juga Bakal Tinggalkan PAS Jika Haji Hadi Masih Kekal Presiden


Mat Taib nak ucap sayonara kepada PAS

Dalam satu lagi perkembangan yang mungkin menggembirakan golongan konservatif dalam PAS, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mungkin menjadi tokoh terkini meninggalkan parti berkenaan.

Menyatakan rasa kecewanya kepada PAS, Muhammad berkata, parti itu seolah-olah tidak lagi mempedulikan penyokong bukan Islam di negara ini.

Dalam forum Mencari Pemimpin Baru Malaysia di Petaling Jaya hari ini, Muhammad berkata, pemimpin PAS ketika ini mengabaikan pendekatan pernah diambil bekas mursyidul am mereka, allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kata Muhammad, Nik Aziz menunjukkan rasa kasih dan hormat kepada semua pihak tanpa mengambil kira agama dan suku bangsa mereka.

"Kita mahukan seorang tokoh alim seperti allahyarham Nik Aziz sebagai pemimpin. Semua orang suka dia. Orang Buddha suka, Hindu suka. Sekarang ni lain. Kini kita nampak tak lagi nampak macam tu," katanya.

Sebelum ini, kata Muhammad lagi, beliau sangat berminat dengan PAS.

"Sekarang dah tak minat sangat dah," katanya.

Dah cabut awal

Beliau yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor antara Ogos 1986 hingga April 1997 berkata, faktor itu menjadi antara pendorong anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tamrin Ghafar (gambar, kiri) meninggalkan PAS tahun lalu.

"Sahabat saya Thamrin dah cabut lari awal-awal. Dia (Tamrin) kata (PAS sekarang) mengarut. Tapi saya bertahan lagi.

"Tengok bulan enam (Jun) ni macam mana," kata beliau merujuk kepada muktamar tahunan PAS yang dijadual diadakan di Kuala Selangor.

Muktamar kali ini membabitkan pemilihan semua peringkat pimpinan, termasuk presiden.

Ia dianggap antara yang paling sengit dalam sejarah kerana melibatkan dua kumpulan utama, iaitu golongan yang digelar proulama dan sederhana. -TMI


Mat Taib: Ada yang tak kena pada PAS

"Kalau rasa masuk PAS hanya untuk mendapatkan keredaan Allah, Putrajaya tak penting, saya rasa ada yang tak kena dengan dia," kata Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kemunculan kumpulan ulama tertentu dalam PAS yang bermati-matian mempertahankan presiden mereka dan menolak bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk mengalahkan kerajaan.

Bagaimanapun bekas Naib Presiden UMNO itu tidak menyebut sebarang nama dalam kenyataan berkenaan.

Menurut Muhammad PAS kini kekurangan pemimpin muda yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin dalam negara.

"Walaupun ada tokoh muda yang baik dan alim menyetai PAS, mereka tidak memiliki kualiti sebagai pemimpin nasional," katanya.

Kumpulan itu, katanya, mungkin mahir menjadi imam dalam solat atau acara keagamaan namun gagal memahami isu semasa seperti skandal 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta hubungan antarabangsa.

Itu pun tak tahu

"Boleh baca ayat al-Quran, hafal ini itu (di luar negara), balik jadi pemimpin. Tapi golongan muda ni kalau mintak terangkan 1MDB, tak tahu. Pasal GST tak berani. Pasal hubungan antarabangsa tak faham.

"Kenapa Turki hantar kapal perang nak bantu pelarian Rohingya pun tak tau," katanya.

Menurut Muhammad, kalau seseorang itu menjadi ketua hanya kerana tahu membaca al-Quran dan hadis semata-mata tanpa memahami realiti, ia tidak memadai untuk diangkat sebagai pemimpin.

Sementara itu Muhammad juga menyatakan rasa kecewa terhadap pertelingkahan dalam Pakatan kerana gabungan itu sepatutnya menjadi alternatif terbaik menggantikan BN.

Katanya, dengan berpecah-belah, Pakatan terlepas peluang berkenaan.

"Bagus kalau ada sistem dua parti - Pakatan dan BN.

"Mana-mana yang mampu memberikan yang terbaik wajar mentadbir negara," katanya.
-mk


ULASAN GB

Seorang demi seorang melahirkan kekecewaannya terhadap kepimpinan Haji Hadi. Haji Hadi kini sudah menjadi satu LIABILITI besar kepada PAS.

Jika sebelum ini Almarhum Nik Aziz dan Ust Fadzil Mohd Noor berusaha gigih untuk meramaikan ahli PAS dan mewujudkan jembatan hubungan diantara PAS dengan kaum bukan Islam, tapi Haji Hadi dilihat sebagai pemimpin yang telah memusnahkan segala apa yang telah diusahakan oleh kedua-dua tokoh berkenaan.

Ini diperburukkan lagi dengan kewujudan pentaksub-pentaksub Haji Hadi bekerja siang dan malam menyebarkan fitnah, melempar kata-kata nista terhadap kumpulan pro-pakatan rakyat.

Kemunculan Ustaz Ahmad Awang adalah diharapkan memberikan sinar baru kepada perjuangan PAS. Semuga Ustaz Ahmad Awang akan memenangi jawatan Presiden PAS yang baharu menggantikan Haji Hadi yang kini benar-benar dilihat sebagai tokoh yang sudah "expired" ( satun tuduhan yang pernah dilemparkan sendiri olehnya terhadap rakan-rakan komponen PR yang lain di satu ketika dulu), dan Haji Hadi sememangnya sudah tidak mampu untuk menggalas slogan PAS FOR ALL.