Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Ji Meng dipercayai akan melompat parti untuk menyertai PKR di satu majlis hujung minggu ini.
Chua telah memanggil mesyuarat tergempar MCA Bakri malam ini di mana beliau dijangka melepaskan jawatan ketua bahagian berkenaan.
Difahamkan timbalannya, Sia Ka Tuan, dijangka akan memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.
Chua, 64, bekas menteri kesihatan dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 23 tahun yang lalu.
Beliau bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewaskan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting pada 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kemasukan Jui Meng ke dalam PKR untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan pembangkang yang kini berdepan dengan krisis dalaman dan kebangkitan semula BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysiakini melaporkan Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.
Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.
Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.
Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.
Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.
Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teo.
Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.
Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.
Ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.
Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.
SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.
Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.
Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.
"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.
Para ADUN dan Exco kerajaan negeri Selangor diminta jangan “mencuci pakaian kotor” mereka di depan orang ramai kerana ia menyebabkan rakyat negeri ini mendapat isyarat negatif.
Exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali dalam kenyataannya meminta rakan-rakannya menyelesaikan masalah mereka melalui meja rundingan bukannya melalui media sebagaimana yang sedang berlaku sekarang.
Halimah bimbang kalau-kalau serang menyerang antara mereka sekarang telah menyebabkan undi untuk Pakatan Rakyat di Manek Urai turun.
Halimah berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkannya dalam blog beliau, drhalimahali.blogspot.com dengan tajuk "Pandangan Saya".
Halimah, ADUN Selat Klang, adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Tingi, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor.
Menurut Halimah, dalam pilihan raya kecil Manek Urai, sekali lagi PAS dan Pakatan Rakyat telah diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memimpin.
Walaupun dengan majoriti yang lebih kecil, namun lebih separuh rakyat Manek Urai memberikan kepercayaan terus kepada PAS, katanya,
Namun begitu, beliau berkata, dalam kegembiraan PAS dan rakan-rakannya menerima kemenangan itu, beliau selaku Exco kerajaan negeri Selangor ingin merakamkan kebimbangan beliau kalau-kalau apa yang berlaku di negeri ini telah menghantar isyarat negetif kepada pengundi di Manek Urai.
Ini kerana, lebih 100 pengundi Manek Urai tinggal di negeri ini dan mereka pulang mengundi dalam pilihan raya tersebut, tulisnya.
"Tindakan kita mencuci pakaian kotor di tempat awam (wash dirty linen in public) amat tidak sesuai sekali dengan semangat kita berpakat dalam Pakatan Rakyat.
"Sehubungan itu, saya menyeru para pemimpin Pakatan khasnya ADUN dan Anggota Parlimen Selangor agar berbincang dengan baik dan bukannya menyelesaikan masalah kita di depan awam khasnya dalam media," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan harapan kepada rakyat "bukannya memberikan mereka kerungsingan melihat kita bergaduh di khalayak ramai sebagaimana yang berlaku sekarang."
"Saya bimbang, apa yang berlaku di Selangor dan lain-lain tempat sekarang telah memberikan kesan di Manek Urai dan bakal memberi kesan yang lebih besar lagi selepas ini.
"Saya menyokong penuh cadangan YB Lim Kit Siang agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga nama baik kita bersama," katanya.
Baru saja selepas BN kalah tipis di Manek Urai, satu Malaysia hari ini terkejut dengan langkah kerajaan menaikkan harga tambang untuk kenderaan awam iaitu bas dan teksi seluruh negara.
Tambang bas ekspres dibenar dinaikkan 2 sen dari 6.5 sen sekilometer kepada 8.5 sen sekilometer mulai 1 Ogos ini.
Sementara tambang bas henti-henti di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dinaikkan antara 25 sen hingga 70 sen menjadikan tambang baru antara RM1 hingga RM3.10 sen.
Kadar tambang bas sekolah berhawa dingin dibenarkan naik sehingga 30 peratus.
Tambang bas mini naik 20 sen, bas pengantara 20 sen.
Kadar tambang teksi akan dinaikkan dari RM2 kepada RM3 untuk tiga minit pertama, manakala tambahan 10 sen akan dikenakan bagi setiap 115 meter perjalanan.
Banyak pihak membidas langkah kerajaan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di sini, sebentar tadi dan menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menipu rakyat sewaktu "menghadiahkan bonus" sempena sambutan 100 harinya sebagai PM.
"Yang akan menderita hasil kenaikan tambang kenderaan awam ini adalah rata-ratanya penduduk miskin yang mengharapkan pengangkutan awam untuk sebarang perjalanan dan kenaikan harga yang diumumkan hari ini benar-benar mencerut leher mereka," ujar seorang aktivis masyarakat.
"Apa ertinya semua ini, apa ertinya slogan RAKYAT DIUTAMAKAN jika sebenarnya Najib dan Muhyiddin serta kerjaan BN bertindak sewenang-wenang untuk menekan dan menindas rakyat dengan kenaikan tambang pengankutan awam?" tambahnya lagi.
Sementara itu, beberapa ahli politik kesal dengan langkah kerajaan BN yang menipu rakyat kerana ia dilakukan di saat Parlimen sudah tamat persidangan dan Manek Urai sudah tamat pilihanraya.
"Ia adalah perulangan taktik kotor sewaktu menaikkan harga minyak di zaman Abdullah (sekarang Tun) apabila mengumumkan kenaikan harga minyak selepas Dewan Rakyat tamat persidangannya dan bukan sewaktu Parlimen bersidang kerana khuatir akan menerima bantahan wakil rakyat Pakatan Rakyat," tegas seorang tokoh politik PAS di sini.
"Rakyat perlu sedar taktik kotor UMNO BN ini yang sengaja mengumumkan selepas pilihanraya Manek Urai untuk menarik sokongan pengundi kerana mereka tahu jika mengumumkannya sebelum pilihanraya itu sudah pasti rakyat akan menolak mereka dengan kekalahan yang teruk. Oleh itu rakyat perlu sedar hal ini untuk tidak mengundi BN lagi di dalam mana-mana pilihanraya," tegasnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SORM) meneruskan sikap kebinatangan mereka apabila dilaporkan lima pegawainya menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah di bangunan Sekretariat Negeri di sini semalam.
Pegawai berkenaan dikatakan mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.
Dalam serbuan kira-kira 5 petang, SPRM turut merampas sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) dari pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seri Kembangan itu yang terletak di tingkat 15 bangunan berkenaan.
Setiausaha politik Yong, Teoh Beng Hock, turut ditahan oleh pegawai SPRM untuk disoal.
Yong adalah antara tujuh ADUN dan anggota Exco yang disiasat oleh SPRM kerana didakwa menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling. Difahamkan SPRM memulakan siasatan selepas menerima aduan daripada pihak yang mendakwa mereka tidak menerima wang daripada peruntukan itu.
Selain Yong, enam lagi ADUN yang turut disiasat ialah Teresa Kok (DAP-Kinrara), Elizabeth Wong (PKRBukit Lanjan), Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya), Dr Cheah Wing Wah (DAP-Damansara Utama), Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).
Pada sidang akhbar sebelum itu, Yong berkata tiga pegawai SPRM datang ke pusat khidmat beliau di Sri Kembangan kira-kira 12.30 tengah hari untuk mencari dokumen.
"Mereka (SPRM) tidak mendapat keizinan saya tetapi muncul begitu saja," kata Yong, sambil menambah beliau tidak tahu apa yang pegawai berkenaan benar-benar mahu.
Yong berkata SPRM perlu memberi penjelasan kenapa hanya penyokong kerajaan sahaja yang disiasat dan tertanya-tanya sama ada agensi berkenaan didesak untuk berbuat demikian oleh pembangkang (Barisan Nasional).
Beliau turut bertanya sama ada SPRM turut menyiasat penggubal undang-undang negeri dalam kerajaan BN sebelum ini yang membelanjakan peruntukan tahunan mereka berjumlah RM500,000 hanya dalam masa dua bulan sebelum pilihan raya umum Mac 2008.
Banyak pihak berpendapat bahawa tindakan SPRM tersebut keterlaluan dan ia hanya menjadi alat Barisan Nasional dan UMNO untuk menekan pemimpin Pakatan Rakyat.
Beberapa orang pemerhati politik melihat bahawa perlantikan begitu ramai tokoh-tokoh tertentu menduduki pelbagai jawatankuasa di dalam SPRM tidak memberi makna apa-apa jika SPRM terus menjadi badan yang boleh dicucuk hidungnya oleh pihak tertentu.
"Perlantikan mereka hanya kosmetik, mereka belum pun bermesyuarat SPRM dah pun bergerak jauh melakukan siasatan tanpa perlu merujuk mana-mana jawatankuasa yang dibentuk," tegas mereka.
Sementara itu, ada pihak yang meminta supaya Ketua Pemuda PAS YB Salahuddin Ayub dan Timbalan Presiden DAP, YB Tan Seng Giaw menkaji semula kedudukan mereka sebagai ahli jawatankuasa SPRM jika gagal untuk menahan SPRM dari terus menjadi perkakas UMNO meneruskan tradisi membuli rakyat.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata beliau puas hati dengan keputusan mahkamah yang mengarah pendakwaraya menyerahkan bukti yang disembunyikan kepada pasukan peguambela.
Membacakan keputusan kes pada jam 2.30 petang tadi, Hakim Zabidin Md Diah menyanggah hujah pendakwaraya yang mendakwa mahkamah tidak boleh memaksa pihak pendakwaraya menyerahkan bukti-bukti bukan dokumen.
Hakim Zabidin berkata tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang yang menghalang pihak pendakwaraya atau menyekat mahkamah dari mengemukakan bukti-bukti yang relevan kepada pasukan pembelaan.
Mahkamah dengan ini mengarahkan pihak pendakwaraya harus menyerahkan akuan dari tujuh saksi yang akan ditampilkan oleh pendakwaraya, ujian rawatan perubatan dan nota pakar kimia dalam masa satu minggu.
Peguambela Anwar juga diberi keizinan untuk menonton sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Saiful di kondo kejadian pula, sekiranya salinan pendakwaraya tidak jelas.
Manakala sampel dan spesimen DNA gagal diperoleh atas "sebab-sebab keselamatan", begitu juga rakaman video testimoni penuduh, Saiful Bukhari Azlan, kepada polis pada 30 Jun 2008.
Anwar berkata walaupun kes tuntut bukti memihak kepada beliau, namun mengingatkan pasukan pembelaannya berwaspada ekoran pengalaman lalu berhubung manipulasi bukti oleh pihak pendakwaraya.
Pendakwaraya berkata pihaknya akan merayu kepada keputusan mahkamah ini, seraya membantutkan lagi persediaan Anwar menghadapi kes Liwat II.
Pada hari ini 16 Julai 2009 (khamis) semua umat Islam di Malaysia berperluang menyemak arah kiblat di rumah sendiri, masjid, surau ataupun tempat - tempat solat yang lain.
ISTIWA 'AZAM
Istiwa 'Azam ini bermaksud fenomena apabila matahari berada tepat di titik zenit kaabah ketika melintasinya. Fenomena ini hanya berlaku 2 kali setahun iaitu :
1. Pada 28 Mei ( jam 5.16 petang ) 2. Pada 16 Julai ( jam 5.28 petang )
Cumanya anda jangan keliru apabila isu semakan arah kiblat diwarwarkan, dengan andaian bahawa arah kiblat sentiasa berubah. Pendapat atau andaian sebegini adalah tidak benar sama sekali kerana Kaabah tidak pernah beralih, justeru kiblat tidak akan berubah. Apa yang dimaksudkan dengan peluang menyemak arah kiblat adalah bagi mereka yang belum melakukannya atau mungkin untuk sekadar kajian. Bagi yang telah melakukannya sebelum ini, semakan semula adalah tidak perlu, kecuali atas sebab-sebab keraguan atau sebagainya. (contoh: pembinaan semula, pemasangan semula karpet dsb.)
KAEDAH PENYEMAKAN 1. Pacakkan satu tiang di kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya sebagaimana di dalam gambarajah.
2. Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus,
3. Tempat yang dipilih untuk menyemak arah kiblat hendaklah tempat yang tidak terlindung dari sinaran matahari,
4. Tepat pada masa yang telah ditetapkan, bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak berkenaan adalah bertentangan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, maka arah kiblat ialah yang menghadap ke barat.
5. Selain dari tiang yang dipacakkan, kita juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang diyakini tegak dan lurus untuk menyemak arah kiblat.
* Umat Islam adalah disarankan agar memastikan jam yang digunapakai adalah tepat bagi kesempurnaan semakan.
Sebarang keraguan arah kiblat bagi Masjid dan Surau hasil dari semakan tersebut boleh menghubungi Unit Falak Syarie, Pejabat Mufti Negeri Sabah, di talian No. 088 – 218322/268427 hanya mereka yang berada di negeri Sabah sahaja. Bagi negeri - negeri lain bolehlah rujuk kepada Jabatan Mufti negeri masing - masing. -hotpowers
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak tanggapan kemenangan tipis Pas dengan hanya majoriti 65 undi pada pilihan raya kecil Manek Urai, Kuala Krai disebabkan rakyat kini menolak perjuangan parti itu.
Sebaliknya beliau menegaskan kemenangan Pas itu disebabkan rakyat di Dewan Undangan Negeri terbabit sudah muak dengan gejala rasuah yang diamalkan Barisan Nasional (BN) lalu mereka terus memilih Pas.
“Walaupun menang dengan majoriti kecil, rakyat tidak tolak Pas. Tetapi sebab rasuah" UMNO guna rasuah untuk menang sebab itu rakyat tolak.
“Gejala rasuah berleluasa dalam pilihan raya kecil ini. Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri yang menyebut jika UMNO memang akan dibina jambatan, itu rasuah terang-terang,” katanya pada sidang media, di pejabatnya semalam.
Menurutnya, apa yang dikesalkan Kerajaan Pusat hanya akan membina jambatan baru di DUN Manek Urai jika memenangi kerusi N41 itu sedangkan ia kawasan Kesedar dan Kerajaan Persekutuan boleh membinanya pada bila-bila masa.
Katanya, janji yang ditabur itu hanya untuk mempermainkan rakyat kerana bajet yang dinyatakan bagi pembinaan jambatan berkenaan RM7 juta sedangkan beliau berpendapat projek itu menelan belanja sekurang-kurangnya RM15 juta.
Beliau berkata, sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan secara terbuka pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua namun sehingga kini masih terbengkalai.
Mursyidul Am Pas itu turut menyebut mengenai projek sistem pengairan oleh Kerajaan Pusat di Pengkalan Pasir, Pasir Mas yang belum siap sehingga sekarang.
“Banyak lagi pemberian rasuah kepada rakyat sepanjang di Manek Urai yang kita terima laporan seperti wang tunai RM5,000 dipercayai diberikan kepada warga tua, pinjaman RM10,000 pula untuk golongan muda dan sebagainya.
“Oleh itu Pemuda Pas Kelantan sudah membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suhakam dua hari lalu berhubung perkara itu.
Nik Abdul Aziz juga mendesak Kerajaan Pusat mengadakan jalan raya baru antara Kuala Krai dan Gua Musang berikutan kesesakan terus yang dialami sepanjang pilihan raya kecil itu sehingga menyusahkan pengguna.
65 undi yang membuat UMNO sangat marah dan kecewa. Masih kalah, hanya 65 undi? Ini sudah gila, kata mereka dengan kecewa. Semua pembangunan sudah dijanjikan, malah jambatan baru berharga RM7 juta akan mula dibina keesokan hari jika UMNO menang, masih ditolak kebaikan UMNO?
Padahal sudah diberi wang tunai seribu seorang untuk tanam semula getah dan kelapa sawit. Masih tidak berterima kasih? Tetapi walaupun masih ramai orang jahat di Manek Urai yang tolak UMNO, kini sudah ramai pula yang cerdik dan berperangai baik memilih UMNO.
Jadi rakyat (semua rakyat, bukan di Manek Urai saja) sudah menerima semula UMNO sebagai pembela bangsa, dan tahu betapa murah hatinya UMNO kepada rakyat. Dalam pilihan raya 14 Julai 2009 itu, UMNO yang pemurah itu tidak cukup wang, kerana ramai sangat rakyat yang perlu diberi wang RM300 sebagai upah mengundi mereka, yang datang dari jauh untuk pulang memangkah UMNO.
Kalau wang cukup ketika diperlukan, sudah pasti UMNO menang. Bagus juga UMNO tidak menang, satu rahmat bagi UMNO, kerana jika mereka menang dengan membayar RM300 kepada setiap pengundi, maka sudah sah mereka menggunakan rasuah untuk menang pilihan raya.
Sekarang mereka belum sah lagi rasuah, hanya sah menggunakan wang saja. Tetapi itu pun salah faham, bukan betul-betul pakai wang. Kata Ketua Wanita UMNO Kuala Krai, Rohani Abdul Majid (nama ini mesti diingati), wang RM300 itu untuk petugas UMNO yang berkempen untuk calon UMNO, untuk penampal poster, untuk perayu undi dan sebagainya. Wang RM300 (angka ini mesti disebut) untuk kerja sepuluh hari. Kata wanita itu, tuduhan UMNO bayar RM300 itu salah maklumat.
Kerana pekerja UMNO ramai, kita lihat ramai orang berhimpun di sebuah rumah untuk mengambil wang RM300 itu. Tuan rumah, yang tidak bernama, memberitahu “wang politik itu” (dia sebut begitu) daripada Datuk Aziz (gelarannya kepada calon UMNO Tuan Aziz Tuan Mat) untuk pengundi yang pulang dari luar Manek Urai.
Calon dan Ketua Wanita UMNO tidak bercanggah maklumat, hanya memberitahu dengan ikhlas wang memang keluar RM300 seorang. Untuk siapa dan untuk apa fikir sendirilah. Tapi memang ada orang yang dapat wang, yakni yang tahu di mana boleh dapat wang itu. Inilah perubahan besar dalam UMNO, dari tidak mengaku menggunakan wang, di Manek Urai mereka terang-terang mengaku memang menggunakan wang untuk menang pilihan raya.
Inilah kejujuran UMNO satu-satunya yang hanya berlaku di Manek Urai, tidak di tempat lain. Walaupun hanya di Manek Urai UMNO mengaku menggunakan wang, pada hakikatnya wang memang menjadi umpan yang ampuh kepada UMNO, dan digunakan dengan bijaksana sekali.
Itulah perubahan besar dalam UMNO, iaitu pengakuan mereka menggunakan wang, kerana didesak oleh rakyat Manek Urai yang tahu mereka tertipu selama ini. Mereka masih menunggu cerita sebenar tentang penipuan royalti minyak kepada Kelantan, tidak dibangkitkan sepatah pun di Manek Urai, hatta oleh PETRONAS yang membisu hingga sekarang. Tidak seorang pun penganalisis politik yang pandai-pandai memandai-mandai itu menyebut perubahan dan pengakuan UMNO ini, kerana mereka tahu jika mereka bercakap benar mereka akan menerima nasib seperti wartawan TV7 bernama Florence Looi, pengacara “Point of View” di TV7 yang meminta salah seorang tamunya memberi markah kepada PM One Malaysia, dan tamu yang jujur betul bendul itu memberi markah C atau D saja untuk pentadbiran PM One Malaysia dalam masa 100 hari pertamanya.
Hampir-hampir wartawan itu dibuang kerja, tapi yang pasti dia dengan serta-merta diberi tugas kecil saja, sebagai hukuman kerana berani bertanya dan meminta pendapat benar tamunya. Dia memang dilarang mengajukan pertanyaan itu, jadi dia telah melanggar disiplin organisasinya yang tidak membenarkan kebenaran dinyatakan oleh sesiapa sekali pun, kecuali jika kebenaran itu untuk berbohong. Yang penting dalam pilihan raya Manek Urai baru-baru ini bukan kemenangan PAS, walaupun kemenangan itu penting bagi PAS.
Yang penting ialah UMNO tidak berbohong untuk menabur wang, misalnya dengan membina jambatan, memberi wang subsidi kepada penanam getah atau kelapa sawit, memberi derma kepada orang miskin (kata penganalisis yang bodoh di TV ketika mengulas perkara ini, pemberian wang ini membuktikan UMNO jujur dan sangat murah hati untuk membantu rakyat miskin), membaiki jalan raya, memberi derma kepada masjid dan banyak lagi yang dihadiahkan oleh UMNO, tidak hanya 11 Hadiah Rakyat yang diproklamirkan oleh PM One Malaysia sehari sebelum hari mengundi.
Selama ini UMNO menolak dengan keras sebarang tuduhan ke atas mereka bahawa mereka menggunakan wang, dalam bentuk semu (bentuk mimpi, seperti membina jambatan di Manek Urai) atau betul-betul. Kini mereka mengaku dengan ikhlas mereka memang menggunakan wang yang banyak. Hanya mereka masih segan hendak memberitahu berapa banyak wang yang dipakai. Ada anggaran melebihi RM300 juta, ada pula yang baik hati berkata tidaklah sebanyak itu membazir wang untuk kawasan yang diakui akan kalah, jadi angkanya tak sampai pun satu juta. Adalah barangkali RM100 ribu saja. Hanya musuh UMNO, kata mereka, menukar ribu menjadi juta, kerana angkanya tidak berubah.
Mana boleh menipu sampai begitu besar dengan wang rakyat, cacing pun akan marah kerana tempat orang mendapat wang itu dipijak lumat sampai cacing pun lari. PAS pula bagaimana? Memanglah PAS papa kedana, tidak ada wang, jadi mereka lempar batu kepada Puteri UMNO, sampai ada yang patah gigi. Kata ketua UMNO, kami tidak tahu ada dua orang pekerja PAS dari Perak yang dibelasah teruk oleh pekerja UMNO, sampai masuk hospital. Itu hanya khabar angin saja, tidak benar kerana tidak ada bukti. Kami ada bukti orang yang baling batu itu sudah ditangkap polis. Ke mana pun hendak mengelak, kata orang UMNO, yang jahat tetap PAS juga, bukan kami yang tabur wang. Lagi pula kami mengaku, hanya salah maklumat saja.
Tapi itu sudah dibetulkan, jadi kami sebenarnya tidak menabur wang sedikit pun, hanya menabur janji saja (sambil tersengih), macam orang PAS juga. Jadi sudah jelas kami hanya ikut apa yang PAS buat, bukan kami buat betul-betul ... Ada satu cerita yang lebih menarik, yang tidak pernah disebut di mana-mana sekali pun. Ini cerita bohong, tetapi benar-benar berlaku. Ceritanya perihal Tok Guru Nik Aziz beri cuti sehari di Kelantan, yang benar-benar terjadi. Tujuannya supaya semua pengundi Manek Urai yang bekerja di seluruh daerah Kelantan boleh kembali mengundi. Dan mereka pergunakan cuti itu dengan betul, sehingga yang keluar mengundi melebihi 87 peratus.
Lebih ramai ialah pengundi di luar Kelantan, terutama yang bekerja di Kuala Lumpur dan lain-lain bandar. Bilangan mereka yang boleh pulang kecil saja, untuk mendapat wang RM300 sebagai wang tambang. Jumlah lebih besar tidak boleh pulang kerana mereka bekerja. Inilah cerita menarik yang sangat penting diketahui. Mereka ini tidak dibenarkan pulang. Tidak perlu mengundi. Dulu pun mereka bertindak khianat tidak mengundi UMNO bila dibenarkan pulang dengan mengadakan hari mengundi para hari cuti. Dengan kerjasama SPR, UMNO dengan sengaja (agaknya tidak berniat jahat kerana kejahatan itu sudah dikhaskan kepada Pakatan Rakyat) menjadikan hari bekerja sebagai hari mengundi untuk memastikan PAS kalah.
Tetapi ternyata Tok Guru Nik Aziz lebih cerdik dan lebih berani, lalu menjadikan “peristiwa mengundi di Manek Urai” sebagai hari cuti umum. Walaupun pengundi PAS tidak diberi imbuhan wang, mereka tetap pulang untuk mengundi. Jadi UMNO sudah membuat silap besar. Tidak saja mereka berbohong, mereka dengan sengaja menggunakan kuasa untuk menetapkan hari mengundi pada hari yang menguntungkan mereka. Itu pun mereka kalah. Memang benarlah kata ulama dan orang tua-tua, yang terkutuk dan berniat jahat akan tetap terkutuk selama-lamanya. Tidak ada kata-kata yang lebih manis dari itu, walaupun PAS sudah hilang hampir 2000 majoriti. - Mohd Affandi Hassan
Kedah bakal pesat membangun selepas ini apabila menerima projek hub penapisan minyak terbesar di negara ini yang bernilai RM35.7 bilion.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menyaksikan pelancaran projek itu melalui majlis menandatangani perjanjian antara Merapoh Resources Corporation dengan para pelabur mereka.
Merapoh oil refinery di Yan, Kedah yang bernilai US$10 billion (RM35.7 billion) akan mempunyai kapasiti penapisan sebanyak 350,000 tong minyak sehari, sekali ganda kemampuan kilang yang kedua terbesar di Malaysia iaitu di Melaka.
Kilang ini akan dibangunkan oleh Merapoh Resources Corporation dan dananya akan disokong oleh pelabur antarabangsa.
Kilang ini akan menapis minyak mentah dari Timur Tengah untuk diekspot kemudiannya ke China.
Azizan berkata, kerajaan negeri menjangka, pelaburan untuk industri minyak dan gas akan bernilai RM80 bilion di masa depan dengan terbinanya hub ini. - siasahdaily
Malaysiakini melaporkan satu kajian pendapat yang telah dijalankan oleh sebuah badan bebas - Merdeka Centre - mendapati sokongan tinggi rakyat Selangor terhadap pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.
Kajian itu juga mendapati kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah mendapat penilaian tinggi dalam kajian tersebut.
Menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor, kajian tersebut yang dijalankan dari 5 Jun hingga 15 Jun lalu, mendapati 60 peratus rakyat negeri itu merasakan kerajaan negeri berada dalam hala tuju yang betul.
Manakala 63 peratus puas hati dengan prestasi menteri besar dengan hanya 19 peratus tidak puas hati.
Seramai 64 peratus rakyat Selangor puas hati dengan prestasi kerajaan Pakatan Selangor selepas memenangi pilihanraya umum tahun lalu, manakala 22 peratus tidak puas hati.
Mengikut pecahan kumpulan etnik pula, kajian itu mendapati 59 peratus Malayu, 69 peratus Cina dan 69 peratus India puas hati.
Menurut kenyataan itu lagi, mengikut komen yang diperolehi, antara sebab mereka berpuas hati ialah kerana program kebajikan kerajaan, ketelusan dan pentadbiran yang cekap serta menolak amalan rasuah.
Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, tambahnya, kerajaan negeri memperkenalkan agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor', termasuklah beberapa program kebajikan seperti Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, 20 meter padu air percuma kepada rakyat, dana pendidikan anak pekerja ladang dan Hadiah Anak Masuk Iniversiti.
"Dalam urusan pentadbiran ekonomi negeri pula, 58 peratus berpuas hati di mana 13 peratus amat berkeyakinan manakala 45 peratus menyatakan yakin," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, kerajaan negeri mendapatkan perkhidnmatan Merdeka Centre untuk menjalankan kajian berkenaan bagi menilai pandangan dan persepsi rakyat Selangor terhadap prestasi pentadbirannya.
"Kajian ini juga mengenal pasti beberapa bahagian yang perlu diperbaiki, termasuk sistem komunikasi, mewujudkan kesedaran tentang program yang telah dilancarkan, mengurangkan karenah birokrasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.
"Kerajaan Negeri amat beterimakasih di atas keyakinan yang diberikan oleh rakyat Selangor dan dan kepercayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kepimpinan negeri bagi meningkatkan lagi mutu pentadbiran yang berlandaskan agenda "Merakyatkan Ekonomi Selangor", katanya.
Baru melepasi tempoh 100 hari pentadbirannya dalam kerajaan persekutuan, pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak semakin parah mengamalkan korupsi apabila menawarkan pembinaan jambatan bagi memenangi hati pengundi dalan PRK Manek Urai.
Tawaran yang dibuat Timbalannya, Muhyiddin Yassin untuk membina jambatan gantung Manek Urai bernilai sehingga RM10juta merupakan bukti jelas rasuah yang diberikan UMNO-BN kepada rakyat.
Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim berkata, satu laporan Polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan aduan juga telah dikemukakan kepada SPRM untuk menyiasat.
"Kita tengok sejak Najib ambil alih, walaupun beberapa liberalisasi kewangan dibuat.
Dari segi media, polis, ugutan, rasuah politik, jaminan pembayaran, lebih teruk dan parah dari dulu. Dalam keadaan itu kita masih bertahan," katanya.
"Nasihat saya pada sahabat saya Muhyiddin, teruskan membina jambatan,"katanya.
Mengulas mengenai jumalah majoriti undi yang merost, Anwar berakata, keadaan itu tidak menjejaskan PR sebaliknya menunjukkan kekuatan Pakatan walaupun diasak dengan jutaan ringgit yang dijanjikan UMNO.
"Tidak, kemenangan dalam mana-mana pilihanraya, itu menang namanya. UMNO nak kata dia menang dalam kalah atau kalah dalam menang, tidak. Kalah, kalah dan menang, menang. PAs menang," katanya
Katanya, parti komponen PR akan mengadakan pertemuan Jumaat ini untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan.
Anwar berkata, BN yang mengatakan mereka mempunyai kemenangan moral dalam PRK Manek Urai tidak layak membicarakan mengenai perkara berkenaan.
Menurutnya, walaupun memperkenalkan dasar liberalisasi namun, Najib tidak langsung menyentuh mengenai korupsi, ketelusan dan kebebsan sistem kehakiman.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, Anwar berkata, suruhanjaya berkenaan jelas berat sebelah.
"MACC begitulah kalau dipihak pembangkang ada sedikit laporan atau tidak ada diserang begitu. Sistem, tidak berubah, bawah Najib pun malah lebih lagi penguatkuasa dan polis dan SPRM mengambil tindakan yang jelas berat sebelah dan tidak adil.
"Kes berbilion ringgit PKFZ, belian senjata semua ditutup tidak siasat, kita bawa puluhan kes dalam parlimen tidak disiasat. Ini menunjukkan sikap keangkuhan kuasa. "Saya mengutuk sikap tidak profesional SPRM kendalikan siasatan mereka, menyusahkan pelbagai pihak," katanya.