6 Okt 2011

Mufti Perak Nasihat Putrajaya: Beri Kelantan Peluang ‘Uji’ Hudud

Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan pentadbiran Najib agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan” selepas kerajaan pusat terus dengan pendiriannya menyekat langkah sedemikian atas alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mufti Perak, Putrajaya perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan hudud memandangkan undang-undang jenayah syariah Islam itu sudah digubal pada 1993.

“Kerajaan pusat perlu beri peluang kepada Kelantan untuk laksanakan hudud, Nik Aziz juga kata sudah bersedia... saya setuju dan sokong, cuma dari segi prosedur pelaksanaan perlu lengkap, lagipun nanti kalau kerajaan pusat tak benarkan nanti orang marah.

“Benarkan Kelantan laksanakan hudud, hudud bukan perkara senang nak dilaksanakan kerana banyak perkara perlu dipatuhi... benarkan sebagai percubaan untuk kita yang lihat bagaimana ia dilaksanakan dan kadar jenayah di Kelantan selepas ia dilaksanakan kemudian baru kita nilai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Harussani yang sebelum ini berusaha mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya sejak selepas pilihan raya umum 2008 menegaskan, hukum hudud adalah tuntutan Islam dan ia perlu dilaksanakan sekiranya sudah bersedia.

“Kita nak kurangkan kadar jenayah, sekarang kalau kita lihat kalau merompak hukuman disebat dan dipenjara, jual dadah juga sama, tapi adakah mereka sudah insaf tapi kalau kudung tangan sudah pasti mereka akan berfikir dua kali... Islam laksana hudud, saya setuju,” katanya.

Beliau juga berkata, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

“Bukan Islam tiada kena mengena dalam hukum agama Islam, ia tidak akan dikenakan kepada bukan Islam,” katanya.

Ditanya mengenai hukum hudud tiada dalam sistem perundangan negara, Harussani berkata “hal undang-undang saya tidak tahu, saya tak mahu cakap tapi saya setuju dilaksanakan hudud.”

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini menegaskan untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.

Beliau turut meletakkan harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.

Selain itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu.

Pada 24 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS pada 1994.

Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Katanya, kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Ekoran satu kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari sebelum respons Najib itu, Nik Aziz memohon Najib agar menarik balik surat 1994 dan membenarkan kerajaan negerinya melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama. -TMI

Ulasan GB

Demikian apabila suara hati kebenaran dikeluarkan, sekalipun mufti itu bukan ahli PAS, tetapi hati kecilnya tidak menolak kebenaran yang perlu diluahkan: bahawa berilah peluang kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.

GB sudah ulas sebelum ini. Kata GB:

Kata Mahathir: "Dalam satu kes melibatkan seorang Islam dan seorang bukan Islam, orang Islam dihukum potong tangan dan bukan Islam dijel....adilkah itu. Bagi Nik Aziz adillah, bagi saya tidak adil.

"Kalau nak potong tangan, sama-sama kena potong tangan, kalau jel, sama-sama masuk jel. Jenayah sama hukuman pun patut sama.

Memang benar sebarang undang-undang atau hukum sepatutnya dikenakan "sama" untuk semua penduduk tak kira hukum Islam atau bukan.

Tetapi jika Mahathir & UMNO yang mengaku Islam sendiri menolak hudud, bagaimana hendak meyakinkan orang bukan-Islam terhadap hukum tersebut?

Itu sebab mengapa PAS hendak menjalankan hukum hudud kepada umat Islam terlebih dahulu. Untuk memperlihatkan keindahan dan keadilan undang-undang Islam. Kemudian apabila ianya diterima oleh semua, ada kemungkinan yang bukan Islam juga akan tertarik dan akan meminta hukum itu dilaksanakan kepada mereka.

Sama seperti perbankan Islam satu ketika. Pada awalnya masyarakat bukan Islam prejudis terhadapnya, tetapi apabila ia dilaksanakan, ramai pula yang bukan Islam turut menyertai sistem kewangan dan perbankan Islam yang tiada riba malah perbankan konvensyenal juga turut menyediakan produk-produk Islam
.


Muka Melecur Akibat Rawatan Laser

Impian seorang suri rumah untuk mencantikkan wajahnya melalui rawatan laser bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mengalami kesan melecur dan kerugian RM5,000.

Wanita dikenali sebagai Chao, 45, mendakwa beliau menjalani rawatan tersebut di pusat kecantikan di Kluang.

Menurutnya, dia melakukan rawatan tersebut dengan lima peringkat.

Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan kelima, hidungnya mengalami kesan melecur.

“Saya membuat aduan kepada doktor tersebut dan dia menawarkan rawatan dua rawatan percuma bagi mengatasi masalah tersebut malah berjanji keadaan akan pulih selepas itu.

“Tetapi pada 13 Mei lalu, selepas menjalani rawatan terakhir kesan melecur tersebut bertambah teruk,” katanya di Wisma MCA di sini semalam.

Menurutnya, dia mengadu mengalami rasa sakit serta mukanya kepanasan tetapi tidak diendahkan doktor.

“Saya membuat aduan sekali lagi, tetapi pusat kecantikan tersebut menasihatkan saya supaya menjalani rawatan muka dan memujuk untuk membeli produk kecantikan wajah bagi tagani masalah itu, ” katanya.

Menurutnya, dia menerima surat peguam mendakwa, tindakannya membuat aduan itu menjejaskan nama baik pusat kecantikan itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan melihat apa tindakan sewajarnya yang boleh diambil bagi membantu mangsa. berhubung perkara itu.

“Kita harap pusat kecantikan tersebut dapat menyelesaikan masalah itu secara baik bersama mangsa.

“Jika tidak kita akan mengambil tindakan yang perlu,” katanya.

BN Boleh Kalah Dalam PRU13 - Chandra Muzaffar

Barisan Nasional (BN) bukan sekuat yang disangka. Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar yang berkata demikian menjelaskan, BN boleh dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) jika pembangkang menggunakan strategi yang betul.

Pada 2008, pembangkang sudah berjaya menafikan penguasaan dua pertiga BN dalam Dewan Rakyat. Ini kali pertama berlaku dalam sejarah negara, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga.

“Pada saya, kekalahan BN di banyak kerusi pada masa itu bukan atas sebab pembangkang kuat tetapi kerana berlaku masalah dalam BN sendiri,” katanya.

Antara sebab itu, kata Chandra yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada PKR) ialah kerana pemimpin BN sering menganggap mereka berada dalam zon selesa dan akan sentiasa mendapat sokongan rakyat.

“Mereka terlupa pada masa itu faktor ekonomi tidak berpihak kepada mereka. Kenaikan harga minyak menyebabkan hidup rakyat semakin terhimpit, menyebabkan mereka marah kepada kerajaan. Undi protes banyak membantu memenangkan calon pembangkang pada pilihan raya itu,” katanya.

Chandra berkata, pemimpin BN bagaimanapun kini dilihatnya sudah tersedar bahawa mereka perlu sentiasa mendekati rakyat untuk memastikan apa yang berlaku pada PRU-12 tidak lagi berulang.

“Kita dapat lihat keadaan semakin baik bagi BN yang dibuktikan menerusi kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini,” katanya.

Menurut Chandra, undi orang Melayu yang kembali semula kepada BN semakin meningkat, begitu juga orang India.

“Ini menunjukkan BN berada di landasan yang betul,” katanya.

Berbanding kerusi Parlimen yang menurutnya BN berpeluang untuk kembali menguasai majoriti dua pertiga, Chandra bagaimanapun mengakui sukar untuk meramal keupayaan BN merampas semula pemerintahan negeri yang kini di bawah PR.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan meramalkan peluang BN untuk menang dan kekal berkuasa jika PRU-13 diadakan dalam masa terdekat, boleh dianggap tipis.

Katanya, ini berikutan masih wujud pelbagai gejala negatif dalam parti komponen utama BN, Umno seperti budaya cantas mencantas yang kini berada pada tahap kritikal.

Waspada: Wang Palsu Berlegar, Penjual Burger Dah Terkena

Peniaga Burger Buat Laporan Polis Terima Duit Palsu

YAN, Seorang peniaga Rabu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini setelah mensyaki menerima duit palsu daripada seorang remaja lelaki yang membeli burger di gerainya semalam.

Azhar Ahmad, 36, dari Kampung Titi Raga berkata remaja itu membayar dengan wang RM50 bagi enam burger yang dibelinya.

Katanya kejadian itu berlaku kira-kira 10 malam dan waktu itu terdapat ramai pelanggan sedang menunggu giliran untuk mendapatkan burger masing-masing menyebabkan beliau tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap status duit itu.

"Budak lelaki tersebut datang dengan sebuah kereta. Dia yang pandu bersama seorang kawan, dan dia telah memesan sebanyak enam biji burger berharga RM11.

Setelah siap dia bagi duit tersebut, pada masa dia bagi duit, saya dapat rasa lain macam sahaja apabila pegang duit itu, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa sebab masa itu pelanggan ramai, sibuk siapkan pesanan semua," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Azhar berkata beliau menyedari bahawa duit itu disyaki duit palsu selepas 20 minit kemudian, setelah selesai memenuhi pesanan semua pelanggan yang datang pada malam tersebut. -- BERNAMA

Guna Wang Palsu: Wanita Dihadapkan Ke Mahkamah

SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan menggunakan sekeping wang palsu RM100 untuk membeli sepasang kasut di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, pada Ahad lepas.

H. Malini, 21, dari Sungai Petani, Kedah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.30 malam pada 2 Oktober lepas dan dituduh mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin.

Malini, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia perlu membayar sewa bilik sebanyak RM450 dan tidak mengetahui bahawa wang itu adalah palsu.

Hakim Mohd Fadhir kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes. -BERNAMA



RUU Kg. Baru: PR Kalah Di Parlimen Kerana Ramai MP Pakatan Yang Ponteng. Suweh!

Pakatan gagal sekat rang undang-undang Kg Baru

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat gagal menyekat Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 apabila rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagian.

Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 72 ahli parlimen menyokong manakala hanya 28 yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua.

Undian belah bahagian dibuat selepas Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) mengemukakan usul itu kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia (kiri), yang kemudiannya membenarkan undian itu selepas berpuas hati usul itu memenuhi syarat Peraturan Mesyuarat yang memerlukan persetujuan 15 anggota parlimen.

Suasana agak kecoh sebaik loceng dibunyikan apabila ahli parlimen Pakatan yang kelihatan 'terlalu yakin' akan dapat menggagalkan rang undang-undang itu mengejek wakil kerajaan yang mula berlari masuk untuk memenuhkan korum.

Bagaimanapun, sebaik sahaja keputusan diumumkan Pandikar Amin, beberapa anggota pembangkang yang kecewa terus meninggalkan dewan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika menggulung rang undang-undang itu berusaha keras mempertahankan peruntukan dalam rang undang-undang itu bagi penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Beliau menegaskan bahawa penubuhan perbadanan itu tidak sesekali berniat untuk mengambil tanah sesiapa di kawasan tersebut.

Katanya dengan nada penuh emosi berkata, penubuhan perbadanan itu sebaliknya hanya sebagai pemudah cara untuk membangun dan memajukan orang Melayu di kawasan itu.

Menurutnya kerajaan sudah meluluskan empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang semuanya berkepentingan bumiputera iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), Perbadanan Putrajaya dan Permodalan Hartanah Berhad untuk membangunkan Kampong Bharu dan mempastikan kepentingan Bumiputera terpelihara.

"Kita tidak memberi ruang syarikat swasta untuk ambil alih tanah orang Melayu di Kampong Bharu kecuali dengan persetujuan mereka.

"Kalau tak ada perbadanan, bagaimana hendak bantu mereka yang tidak mampu untuk membangunkan sendiri tanah masing-masing," tegasnya.

Rang undang-undang itu yang dikemukakan untuk bacaan kali pertama pada Isnin antara lain bertujuan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dengan tanggungjawab melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu.

Perbadanan itu juga berperanan untuk menggalak, merangsang, meningkat, memudah dan menyelaras pembangunan dalam kawasan Kampong Bharu.

Semasa sesi perbahasan sebelum itu, dakwaan 'jual Melayu' yang dilontarkan seorang anggota Parlimen kerajaan kepada wakil rakyat PAS mencetuskan pertikaman lidah dan menjadikan sesi perbahasan rang undang-undang itu yang 'panas'.

Keadaan itu berpunca apabila Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mencelah perbahasan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), mendakwa perbentangan rang undang-undang itu sebagai cubaan Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk menggadaikan orang Melayu.

Ekoran itu, Bung Moktar membalas dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa PAS yang sebenarnya menjual orang Melayu kerana parti itu mendewa-dewakan komunis sebagai pejuang.

"Yang menjual orang Melayu ialah PAS...dalam dewan ini Melayu pun kena jual...Batu (Tian Chua) jual. Hasrat murni kerajaan diputar belit.

"Kita (Barisan Nasional) tidak akan aniaya Melayu, Cina, India. Kita bangun bersama-sama untuk masa depan negara kita," katanya.

Dakwaan Bung Mokhtar itu menyebabkan beberapa ahli parlimen Pakatan bangun untuk membantah dan mendesak ahli parlimen Kinabatangan itu menarik balik kenyataannya menyebabkan keadaan menjadi hingar-bingar.

Pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang berterusan kira-kira lima minit sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee bertindak mengetuk penukul keadilan sebanyak tiga kali dan meminta semua ahli parlimen bertenang.

Bagaimanpun cubaan Ronald gagal mententeramkan keadaan apabila masih ada ahli parlimen yang terus bertikam lidah, termasuk Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) yang mengemukakan Peraturan Mesyuarat dan meminta Bung menarik balik kenyataannya kerana mendakwa Bung Mokhtar telah mengeluarkan banyak kenyataan yang menghina.

"Sepanjang perbahasan, Kinabatangan tuduh kita dijual sedangkan perbahasan berhubung Kampong Bharu. Yang hendak dijual ialah orang Kampong Bharu oleh Umno.

"Dia keluarkan banyak perkataan menghina, saya rasa ia satu cara perbahasan yang tak Parlimentarian," katanya.

Keadaan itu menyebabkan Ronald terpaksa mengambil ketetapan bahawa tidak ada sebarang pelanggaran Peraturan Mesyuarat berlaku, kerana berpendapat Bung Mokhtar tidak bermaksud menjual sesiapa, sebaliknya menyifatkan ahli parlimen Shah Alam itu membuat terjemahan secara literal.

- Bernama

Sementara itu, bercakap di lobi Parlimen malam tadi, Mahfuz berkata PAS sekali lagi menegaskan, pembangunan Kampung Baru perlu dibuat dengan cara yang telus supaya tidak ada mana-mana pihak khasnya pemilik tanah yang terasa mereka dizalimi.

Sehubungan itu, katanya yang dipetik Harakahdaily, PAS mempertikaikan kewujudan tiba-tiba empat GLC yang akan menguruskan pembangunan Kampung Baru malam tadi sedangkan rang undang-undangnya baru semalam diluluskan.

Empat GLC berkenaan adalah Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad dan satu lagi akan dinamakan dalam masa terdekat.

"Bagaimana sudah ada senarai GLC yang akan terlibat dalam perbadanan ini sedangkan Rang Undang-undang baru diluluskan sekejap tadi," katanya.

Mahfuz berkata, Pakatan Rakyat tidak menolak pembangunan namun mahu ianya diuruskan secara telus dan melibatkan wakil penduduk sendiri.

"Beberapa kali kita tegaskan, kita tidak menolak pembangunan di kawasan Melayu tapi kita tidak mahu pembangunan itu akhirnya meminggirkan orang Melayu sendiri.

"Esok media arus perdana akan mainkan Pakatan Rakyat tolak pembangunan dan tak mahu Melayu maju.Kita nafikan perkara itu dan kita minta kerajaan benar-benar ikhlas nak majukan kawasan Melayu, bukan komersil semata-mata," katanya.

Ulasan GB

Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 72 ahli parlimen menyokong manakala hanya 28 yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua.

Hanya 28 sahaja ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menentang RUU Kg. Baru? GB tertanya-tanya kemana perginya ahli-ahli parlimen PR yang lain yang kesemuanya berjumlah 75 orang?

Banyak kali kejadian di dalam undi belah-bagi, PR kalah di dalam Dewan Rakyat yang sepatutnya tidak berlaku jika kesemua ahli parlimen PR komited dan tidak ponteng.

Contoh yang nyata ialah kelulusan Akta DNA, penggantungan Gobind dari Dewan Rakyat, penolakan Bajet 2010 dan kini Akta Kg. Baru.

Cakapnya berdegar-degar tetapi tidak berakhlak/berdisiplin. Mutu kerjanya tahap mediocre. Itulah hakikat yang ada pada ahli parlimen Pakatan Rakyat!

Rakyat pilih kamu sebagai wakilnya untuk bekerja melawan BN di Parlimen, bukan untuk ponteng atau tidur. Diberi gaji dan elaun beribu-ribu, buat kerja kamu tak mahu. Teruk punya ahli parlimen. Ramai YB yang ponteng ini yang kena maki dengan rakyat sebab kamu-kamu telah menghampakan rakyat yang memilih dan mengundi kamu, para blogger yang tak dikenang oleh PR juga hampa dan kecewa kerana bersusah payah para blogger PR berkempen dan "berjuang" setiap hari setiap malam sepanjang tahun melawan BN untuk memenangkan kamu. Bukankah tahap binatang apabila kamu menang tapi kini tiba-tiba kamu khianat? Sama tahapnya kamu dengan wakil rakyat katak yang melompat itu. Sesen tak guna.

Mereka ini perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada para penyokong mereka sebelum mereka dihumban keluar dari parlimen di dalam pilihanraya akan datang. GB bagi amaran: jangan main-main dengan dengan rakyat!

GB sudah ulas dulu di dalam kes Akta DNA. Petikan:

Sikap sambil lewa serta tidak bertanggungjawab ahli parlimen Pakatan Rakyat amat diksalkan apatah lagi apabila terdapatnya kes-kes yang memerlukan penglibatan mereka seperti undian belah bagi seperti di atas.

Akta DNA tersebut mampu ditolak oleh Parlimen seandainya pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir kesemuanya sewaktu pengundian dijalankan tetapi hampir separuh dari mereka mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negara.

Kita kesal dan kita meminta agar wakil rakyat yang tidak hadir tanpa sebab yang menasabah itu didedahkan supaya mereka meletakkan jawatan lantaran pengkhianatan mereka kepada pengundi Pakatan Rakyat, atau setidak-tidaknya mereka tidak perlu lagi di pilih di dalam pilihanraya akan datang.


Firman Allah s.w.t.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Al-Anfal :27

Kes Adik Balik Pakai Baju Terbalik: Bekas Atlet Cuba Rogol Gadis 15 Thn Dalam Tandas

Kuala Terengganu - Seorang bekas atlet olahraga dan bola baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Terengganu mengakui, akibat terpengaruh dengan filem lucah yang ditonton sebelum ini, mendorong dirinya cuba merogol teman wanitanya yang baru berumur 15 tahun di dalam tandas perempuan di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, 25 September lalu.

Pengakuan itu diluahkan tertuduh, Mohd Norazlan Razak, 20, dari Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu semasa disoal hakim, Datuk Zainal Abidin Kamarudin sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Selepas mendengar dan mempertimbangkan rayuan tertuduh, Zainal Abidin membenarkan tertuduh yang sebelum ini pernah mewakili Terengganu dalam MSSM dari 2005 hingga 2008 itu, dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran sebanyak RM2,000 oleh seorang penjamin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 25 September lalu jam antara 4 pagi hingga 5 pagi bertempat di dalam sebuah tandas perempuan di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, tertuduh telah cuba merogol mangsa, 15, tanpa kerelaannya.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang boleh di penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan disebat, serta bagi Seksyen 511 Kanun Keseksaan pula, tempoh penjara yang dikenakan tidak lebih daripada setengah daripada tempoh yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela Sofian Ariffin.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu tukang masak cuba merogol mangsa yang dikenali sejak dua tahun itu di dalam tandas perempuan di Bukit Keluang Beach Resort, Besut dengan menindih mangsa selepas membuka seluar dan baju yang dipakainya.

Bagaimanapun, perbuatannya terbantut selepas menerima panggilan telefon daripada kakak mangsa yang menghubunginya untuk meminta bantuan mencari mangsa yang disedari hilang di rumah kira-kira jam 4 pagi, susulan pintu dapur didapati tidak berkunci serta mendapati mangsa tiada di dalam bilik tidurnya selepas dibuka menggunakan kunci pendua.

Walaupun mangsa telah pulang ke rumah sejurus mengetahui dirinya dicari keluarga, namun perbuatan tertuduh berjaya dihidu oleh keluarga mangsa selepas mendapati mangsa telah memakai seluar serta baju terbalik.


Setelah didesak, akhirnya mangsa menceritakan kejadian sebenar kepada keluarganya lalu kakaknya itu telah membuat laporan polis di Balai Polis kampung Raja, Besut dan hasil pemeriksaan Pegawai Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan mendapati terdapat sedikit kesan kemerahan pada bahagian luar kemaluan mangsa tetapi tiada sebarang kesan koyakan serta kesan kemasukan pada kemaluan mangsa. -SH

Berita sebelum ini
klik untuk baca






Mahkamah Tolak Sepina Ke Atas Najib & Rosmah, Implikasi Pertemuan Najib-Hakim?

Liwat II: Mahkamah tolak sepina ke atas Najib, Rosmah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu.

"Justeru, saya benarkan permohonan itu dan arahkan perbicaraan disambung,” katanya.

Najib dan Rosmah diwakili oleh peguam Ghazi Ishak, Hisyam Teh Poh Teik, Salehuddin Saidin, M Athimulan dan Affifuddin Mohd Afifi.

Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina.

Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula.

Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan. -mk

Ulasan GB

Ia sudah dijangka. Ini adalah implikasi dari pertemuan Najib dengan para hakim pada awal bulan September lalu. GB sudah ulas dahulu di SINI. Petikan:

Istana Keadilan masih mengikut telunjuk eksekutif. Itulah persepsi rakyat.

Bagaimanakah hakim-hakim boleh bertindak dengan adil dan saksama jika mereka kini sedang tidak dapat membebaskan diri dari rasa "terhutang budi" kepada Perdana Menteri dengan menjemputnya untuk bersama-sama di dalam satu pertemuan di Istana Keadilan?

Muslihat apa yang ada disebaliknya? Malah rakyat berpendapat lawatan Najib dilihat cuba untuk memanipulasi institusi kehakiman. Hakim-hakim hendak dijadikan pak angguk-pak angguk kepada kehendak PM? Kedatangan Najib ke Istana Keadilan dilihat untuk "membeli" minda para hakim supaya mudah untuk diperlembukan.


Walau apa pun, integriti Najib selaku Perdana Meenteri telah tercemar dan hancur berkecai. Pertama kali seorang PM disepina untuk hadir ke mahkamah, kemudian takut untuk menghadirinya, sekalipun pada awalnya beliau "telah campurtangan" dengan mengadakan pertemuan dengan Saiful yang kononnya pertemuan itu untuk membincangkan biasiswa untuk Saiful menyambung pelajarannya. Penipuan yang amat ketara.

Najib boleh lepas sekali. Tetapi bukan setiap kali. Najib boleh lepas hari ini. Tetapi bukan hari-hari depan yang menanti.


Tonton Video Lucah: Enam Remaja Ditahan

Kangar: Enam remaja lelaki termasuk empat pelajar yang ponteng sekolah ditahan polis ketika sedang asyik menonton video lucah di sebuah premis di Pangsapuri Seri Sena dekat sini Rabu.

Gambar: Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Mohd Noordin (dua dari kanan) dan para pegawainya memberi kaunsel kepada remaja sekolah yang ditangkap menonton video lucah sewaktu masa sekolah di flat Seri Sena. Gambar NST

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Noordin berkata mereka yang berumur antara 13 dan 17 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 11 pagi hasil maklumat orang ramai.

Beliau berkata empat pelajar itu adalah dari dua sekolah menengah di sini manakala dua lagi remaja merupakan bekas pelajar yang dibuang sekolah.

Bercakap kepada pemberita di sini, Abdul Rahman berkata polis turut merampas kira-kira 60 keping VCD lucah dan tiga motosikal.

Video-video lucah itu dipercayai dibeli dari pasar malam tertentu di sekitar negeri ini, katanya. -Bernama

Projek MRT: Milik Rakyat Biasa Diambil, Rumah Kenamaan Dielak

Projek MRT Selamatkan Rumah VIP Tetapi Harta Rakyat Marhaen Diambil.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersikap berat sebelah apabila sanggup menukar laluan terowong Mass Rapid Transit (MRT) untuk menyelamatkan rumah seorang kenamaan.

Walhal pemilik rumah dan perniagaan lain di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, seperti di Taman Tun Dr Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan diberi notis yang tanah mereka akan di ambil bagi laluan projek tersebut.

Perkara ini dibongkar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang berkata pelan asal terowong MRT akan merentasi rumah kenamaan itu tetapi laluannya telah dirombak bagi menyelamatkan kediaman tersebut.

Arahan supaya laluan itu dilencongkan dikeluarkan meskipun kerja-kerja sudah dijalankan. Kontraktor yang terlibat diarah supaya mengubah laluan terowong daripada menghampiri hartanah tersebut, Tony Pua berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Tony Pua yang mewakili gagasan pembangkang mendesak kerajaan agar menjelaskan perkara tersebut yang sedia maklum projek tersebut menggunakan wang rakyat. Kerajaan mesti menjelaskan hiprokrasi dan sikap dwi-standard,katanya.

Projek prasarana terbesar itu telah menerima tentangan dari beberapa pihak, terutama pemilik kediaman dan perniagaan yang terpaksa memindahkan hak-milik hartanah mereka kepada kerajaan bagi memberi laluan.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan insiden itu secara tidak langsung mencerminkan sikap sebenar SPAD yang bertindak seolah-olah di bawah pengaruh politik.

Lebih malang lagi, Nurul berkata, perlakuan SPAD ini menunjukkan bahawa individu yang mempunyai hubungan diberi pertimbangan istimewa oleh kerajaan dengan mengabaikan nasib beratus-ratus pemilik hartanah yang turut tersenarai dalam pengambilan tanah sewenang-wenangnya oleh SPAD.



Ibu Tergamak Humban Bayi Ke laut Takut Kena Cekup

Lebih rela humban bayi

TAWAU: Panik dan terlalu takut dicekup pihak berkuasa, seorang ibu hilang pertimbangan sehingga sanggup mencampakkan bayi lelakinya berusia enam bulan ke laut semata-mata untuk menyelamatkan diri apabila diserbu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana disyaki mengemis di pesisiran Pantai Sabindo, di sini, semalam.

Bagaimanapun, bayi itu diselamatkan penguat kuasa JKM yang bertindak spontan terjun ke laut sebaik menyaksikan kejadian menyayat hati itu jam 10 pagi.

TERSELAMAT...bayi berusia enam bulan diselamatkan penguat kuasa JKM manakala ibunya ditahan, semalam.

Difahamkan, wanita berusia 30-an terbabit mengemis di kawasan itu sambil membawa bayi dan dua lagi anaknya masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua anak pengemis terbabit melarikan diri apabila terjun dan berenang hingga ke tengah laut bagi mengelak ditahan penguat kuasa.

Penolong Pengarah JKM Tawau, Asnah Kassim, berkata operasi dua jam itu berjaya menahan 23 individu termasuk 13 kanak-kanak yang berusia enam sehingga 60 tahun. -hm

Bukan Makanan, Tapi Kondom Dihantar Untuk Mangsa Banjir Di Thailand

Thailand telah mengedarkan sejumlah kondom kepada mangsa-mangsa banjir bagi mengelak peningkatan kehamilan yang tidak dirancang.

Lima buah helikopter mula memindahkan bekalan perubatan termasuk kondom daripada Kementerian Kesihatan di Bangkok ke tujuh buah lokasi di Lop Buri.

"Para sukarelawan memberitahu kami bahawa penduduk kampung tidak dapat melakukan sebarang perkara semasa banjir, justeru bagi mengelak satu pertumbuhan pesat bayi, kami menambahkan kondom," kata seorang pegawai di Institut Perubatan Kecemasan Thailand, lapor AFP.

Banjir monsun yang luarbiasa kali ini telah mengorbankan 237 nyawa dan melanda tiga perempat negara Thailand, termasuklah bandar Chiang Mai di utara dan ibu kota lama Ayutthaya, yang kedua-duanya merupakan destinasi pelancong yang popular.

Jutaan rakyat mengalami kehilangan dan kerosakan tempat tinggal akibat banjir yang ada diantaranya sehingga beberapa meter dalamnya.

Pihak tentera telah dikerah untuk menyelamatkan mangsa-mangsa dan kem-kem dibuka untuk menempatkan .mangsa-mangsa banjir

Pihak berkuasa juga sedang berusaha untuk mengatasi banjir dari melanda Bangkok, namun pihak peramal kajicuaca meramalkan keadaan ribut petir akan terus berlaku.

Menteri Sains dan Teknologi, Plodprasop Suraswadi mengakui bahawa kerajaannya sedang mengalami ketewasan dalam "berperang".

“Kita tak berupaya untuk menahan hujan dari turun dan sukar untuk mengalirkan air ke laut. Kami sudah lakukan segala-galanya namun ia tidak memadai,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, laporan menyatakan banjir besar telah melanda 46 kilang di Kawasan Perindustrian Saha Rattana Nakorn di Ayutthaya.

Anggaran kos kerosakan akibat banjir kali ini mencecah 30 billion baht.

Bebaskan Tahanan ISA & Ordinan Darurat Dan Bawa Penyeksa Ke Muka Pengadilan - GMI

Bawa penyeksa tahanan ISA ke muka pengadilan

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Kerajaan BN digesa agar tidak menggubal akta baru yang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dengan prinsip keadilaan dan hak asasi manusia seperti tahan tanpa bicara, tiada semakan mahkamah dan kuasa yang melampau.

Kerajaan juga digesa membentangkan usul mansuhkan ISA di Parlimen pada sesi kali ini atau sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihanraya dan memansuhkan terus undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinat Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya (DDA).

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam desakannya turut menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan ISA dan EO dengan serta merta atau mendakwa mereka di mahkamah terbuka.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga mereka.

Menurut beliau, semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, kerajaan, menteri berkenaan dan polis amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir.

"GMI menggesa kerajaan patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti pengganas dan melakar pelan jangka masa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan.

"Kerajaan juga digesa patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political RIghts (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (Cat)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

GMI, menurut beliau, turut menggesa pembangkang di Parlimen untuk mendesak kerajaan untuk melaksanakan kesemua tuntutan itu dalam membentangkan usul mansuhkan ISA dan EO dan seterusnya memansuhkan akta tersebut.

Kesemua gesaan itu terkandung dalam memorandum GMI yang diserahkan oleh beliau kepada Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

Memorandum tersebut turut diserahkan oleh beliau kepada Ketua Pembangkang yang diterima oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagi pihak Ketua Pembangkang.

Dalam memorandum tersebut, beliau antara lain berkata, GMI yang dianggotai lebih 80 NGO menyambut baik perkembangan dalam Kerajaan BN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA dan E0.

"Kami berpendapat ini sebagai kejayaan di atas kesedaran dan desakan rakyat serta usaha mangsa dan keluarga tahanan ISA sendiri yang berterusan membela diri mereka, walaupun berdepan dengan cabaran dan ancaman kerajaan dan polis yang mempertahankan kezaliman ISA," katanya. -hd