25 Jun 2009

Isu Ke Manek Urai : Lim Kit Siang Bidas Politik Sempit Najib

Penasihat DAP Lim Kit Siang membidas gesaan Perdana Menteri Najib Razak kepada PAS supaya menghidupkan semula cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, kononnya demi kepentingan bangsa melayu dan Islam.

Lim menyifatkan gesaan itu bukan sahaja mencerminkan politik sempit tetapi dan mencondong kepada perpaduan satu kaum sahaja.

"Adakah beliau merestui jika perbincangan mengenai perpaduan antara kaum Cina diadakan oleh parti BN dan pihak lain ..begitu juga jika perbincangan yang sama antara kaum India, Iban atau Kadazan? tanya Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kit Siang berkata gesaan Najib itu membelakangkan slogan 1Malaysia yang dicanangnya sebagai komitment pentadbiran beliau untuk memupuk perpaduan kalangan pelbagai kaum.

"Kita sepatutnya mengadakan perbincangan perpaduan rakyat Malaysia dan Pakatan Rakyat bersikap terbuka jika mahu diadakan perbincangan bersama bagi semua isu-isu demi kepentingan negara," tambahnya lagi.

Beliau juga melontar persoalan samada parti-parti komponen BN akan terus menerima konsep 1Malaysia dalam keadaan UMNO begitu cenderung mahu menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PAS.

Beliau mencabar pemimpin parti komponen Bn membuat pendirian terbuka dengan kesungguhan UMNO untuk menjalin kerjasama politik dengan PAS atas alasan memelihara kepentingan Melayu.

"Adakah Ong Tee Keat (Presiden MCA) dan Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan) bersetuju bahawa perbincangan perpaduan Melayu tidak bercanggah dengan 1 Malaysia? Mengapa mereka membisu mengenai perkara ini? tanya Kit Siang.

Najib terus memainkan isu kerajaan perpaduan sebagai modal politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu yang semakin pudar terhadap UMNO. PAS telah pun secara rasmi menolak perlawaan itu dan menyatakan komitment penuh untuk memperkasakan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif yang berwibawa bagi menggantikan BN.

Dalam satu kenyataan bersama Isnin lalu, ketiga-tiga pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP menolak cadangan kerajaan perpaduan sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan yang semakin mendapat dokongan rakyat.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Isu Ke Manek Urai : Kekejaman Polis Dera Tahanan Mesti Disiasat

Isteri A. Gnanaprakasom, yang mati dalam lokap polis awal bulan ini mahu satu inkues dijalankan terhadap kematian mengejut suaminya.

M. Manamegala berkata suaminya, Gnanaprakasom, yang bekerja sebagai pendawai, 53, tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sebelum meninggal dunia secara mengejut.

Gnanaprakasom telah ditahan pada 10 Jun atas tuduhan pecah rumah di Sungai Buloh.

“Beberapa hari selepas ditahan oleh polis, dia mati dalam tahanan, duit dan telefon bimbitnya kepunyaan dia hilang.

“Siapa yang mahu bertanggungjawab atas kematian dia. Sekarang siapa yang mahu menjaga anak-anak saya,” kata ibu kepada tujuh anak ini di lobi Parlimen hari ini.

Dia bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat.

Turut serta menyerahkan memorandum tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa.


Isu Ke Manek Urai : Ketua Pemuda Gerakan Ketinggalan Zaman

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menyifatkan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang ketinggalan zaman apabila terus mengajak orang menyertai BN.

"Semua sekarang nak tinggalkan Umno dan BN untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat. Tiba-tiba dia pula ajak masuk BN, pelik sungguh," kata Azizan kepada media dalam satu majlis di Gurun hari ini.

Azizan mengulas gesaan Tan yang meminta DAP dan PKR menyertai BN bagi membentuk kerajaan baru di Kedah dengan meninggalkan PAS.

Ini kerana, kata Tan, kerajaan Kedah dibawah pimpinan PAS sekarang meminggirkan orang bukan Melayu di Kedah.

Menurut Azizan, Tan ketinggalan dalam banyak hal termasuk isu kouta 50 peratus untuk orang Melayu apabila tanah rezab Melayu diambil untuk projek perumahan di bandar Alor Setar.

Tan juga, kata Azizan, ketinggalan dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong.

Sebelum ini, Azizan berkata, yang tidak adil adalah kerajaan BN sebelum ini yang telah meluluskan tanah rezab Melayu untuk projek perumahan tetapi menetapkan hanya 20 peratus sahaja kouta untuk orang Melayu.

"Ini tanah rezab Melayu, bukan tanah pegangan bebas. Untuk tanah pegangan bebas, mana ada syarat itu," katanya.

Dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong pula, pusat yang terletak di Pasar Mergong ini, walaupun telah bergerak selama lebih 30 tahun, namun ia tidak pernah mempunyai lesen yang sah dari pihak berkuasa tempatan.

Aktivitinya pula mendapat bantahan orang Melayu yang turut ke pasar ini kerana bahan-bahan buangannya dibuang dalam tong sampah yang sama dengan penggunaan lain dan sebahagiannya dialirkan ke sungai berdekatan.

Ekoran bantahan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar telah mengarahkan pusat penyembelihan ini dipindahkan ke tempat lain.

Ekoran itu, persatuan peniaga babi ini telah membuat rayuan kepada Menteri Besar Kedah untuk memberikan tempoh kepada mereka sebulan untuk mendapatkan tempat baru.

"Menteri Besar telah menulis surat kepada Datuk Bandar Alor Setar agar rayuan mereka ini diterima. Jika selepas sebulan mereka tidak dapat kawasan baru, itu masalah mereka kerana mereka yang meminta tempoh sebulan," kata Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid yang dihubungi hari ini.

Menurut Helmi, satu kawasan baru telah dikenalpasti untuk dijadikan tempat penyembelihan babi ini iaitu di satu kawasan dalam Kampung Cina Pendang.

"Pejabat MB telah bersetuju dengan tapak baru ini jika mendapat kelulusan khasnya dari Jabatan Veterinar. Surat juga telah dihantar kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang agar permohonan ini diluluskan jika mendapat sokongan dari jabatan-jabatan berkaitan," beritahu Helmi.

Sementara itu, hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah sangat baik, kata anggota Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

"Oleh itu, saya yakin pancingan Tan itu tidak akan dimakan oleh sahabat-sahabat saya dalam PKR atau DAP. Orang sekarang nak tinggal BN dan nak masuk Pakatan," kata beliau.

Tentang isu-isu yang dibangkitkan, Firdaus yakin ia akan adapat diselesaikan dengan baik Oleh MB Kedah.

"Sabarlah, isu babi ini sensitif dan tidak siapa mahu babi diternak atau disembelih di sebelah rumah mereka sekarang dengan wabak selsema babi ini. Jadi kena bersabarlah supaya kawasan yang dijadikan kawasan ternak dan sembelih itu nanti benar-benar sesuai," katanya. -malaysianinsider

Nizar Zambry : 10 ADUN Serah Memo Kepada SUHAKAM

10 ADUN Perak menyerahkan memorandum berhubung keganasan polis menggunakan kekerasan menangkap 29 peserta mogok lapar anjuran DAP dalam usaha mendesak pembubaran DUN negeri Perak.

Memorandum terbabit diserahkan kepada Timbalan Suhakam, Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun di pejabat Suhakam di Menara Tun Razak Kuala Lumpur pagi tadi.

ADUN PAS Titi Serong, Khalil Idham Lim berkata penyerahan memorandam tersebut bertujuan melaporkan kepada Suhakam berhubung keganasan polis dan seterusnya menubuhkan suruhanjaya menyiasat insiden itu.

"Kami daripada Adun Perak datang ke Suhakam untuk lapor kekerasan polis kepada apa- apa perhimpunan anjuran DAP Perak. Pakatan telah adakan mogok lapar pada 26 Mei lalu. Kami datang serah memorendum tentang bagaimana rakyat dan kami sebagai pemimpin dinafikan hak untuk berkumpul yang sah dari segi undang- undang." Kata Idham Lim.

Pakatan Rakyat, 26 Mei lalu melancarkan program mogok lapar dan puasa sunat di Wisma DAP, Perak dalam usaha menggesa kerajaan Barisan Nasional membubarkan DUN untuk diadakan pilihanraya negeri.

Bagaimanapun, belum sempat program itu dilaksanakan, polis diketuai Ketua Jabatan Siasatan IPD Ipoh, DSP Glenn Sinnapah tiba dan bertindak merampas sebuah belon besar yang tertera perkataan 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan DUN' berharga RM2000.

Tindakan tersebut dibuat atas alasan kononnya ianya satu kesalahan di bawah akta hasutan. Sekurang- kurangnya 5 orang pekerja syarikat pengurusan acara ditahan dalam kejadian kira- kira 7.30 pagi itu.

Kumpulan ADUN dan penyokong pakatan kemudian berhasrat untuk hadir ke mahkamah tinggi ipoh dan pada ketika itulah mereka beri tempoh 3 minit untuk bersurai namun dengan hanya kiraan 1,2,3 polis bertindak menangkap mereka.

Majlis berakhir dengan penangkapan 8 orang ADUN antaranya, Ahli Parlimen Ipoh Barat; M. Kulasegaran, ADUN Tronoh; V. Sivakumar, ADUN Malim Nawar; Keshvinder Singh, ADUN Pasir Pinji; Thomas Su, ADUN Mengelembu; Lim Pek Har, ADUN Jalong; Leong Mee Meng, ADUN Teja; Chang Lih Kang dan ADUN Simpang Pulai; Chan Ming Kai.

"Polis bertindak sesuka hati. Orang kata bukan 'polis diraja malaysia' tapi 'polis raja di malaysia'. Pagi itu 5 pekerja syarikat pengurusan acara ditangkap. Bila wartawan tanya kenapa tahan mereka ? Polis menjawab sebab ada perkataan Daulat Tuanku dan ia boleh menghasut. Sejak bila perkataan 'Daulat Tuanku' adalah perkataan menghasut ? " Kata Ngar Kor Ming.

Dalam pada itu, ADUN Tronoh yang juga speaker Perak Pakatan Rakyat, V.Sivakumar melahirkan rasa kecewanya terhadap isntitusi polis yang tidak melangkaui batas politik dalam melaksanakan tugas mereka.

"Pada masa itu semua sedang bersurai. Kami sedang menuju ke kereta masing- masnig. Polis bagi amaran 1,2,3 dan kemudian tangkap kami. Pada pandangan saya tangkapan ini telah dirancang dengan tujuan menakut- nakutkan rakyat. Kami ditangkap sampai petang. Ia sesuatu yang tak patut. Sungguh mengecewakan." Ujar Sivakumar.

Seorang penyokong Pakatan Rakyat, Faisal Umar Ridzuan yang menyertai mogok lapar terbabit menceritakan kekerasan polis terhadapnya walaupun dia langsung tidak melawan arahan mereka.

"Saya ditugaskan jaga speaker. Saya dikasari oleh polis. Digari selama 15 minit. Sebelum digari saya ditangkap oleh 3 anggota polis yang mengeluarkan ayat 'tali barut cina' dan 'anjing DAP'." Tambah Faisal

Dalam pada itu, Timbalan Suhakam, Simon Sipaun memberi jaminan pihaknya akan membawa isu ini dalam mesyuarat bulanan suahakam 1 julai ini.

Berita : TVA Video : TVPAS


Isu Manek Urai : Harussani Promosikan Perkauman Melampau

Banyak pihak hari ini menyelar kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang diisifatkan oleh mereka sebagai kenyataan yang mempromosikan semangat perkauman dan assabiyah melampau di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berbilang kaum.

Harussani yang kecewa dengan kegagalan pembentukan Kerajaan Perpaduan PAS-UMNO menyatakan bahawa beliau sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) kerana beliau sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu.

Hal ini dapat difahami kerana sperti yang pernah didedahkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang bahawa Harussani adalah orang yang bertanggungjawab cuba memecah belahkan Pakatan Rakyat Perak satu ketika apabila mencadangkan kerajaan campuran dibentuk dengan cuba memujuk wakil-wakil PAS untuk bersatu dengan UMNO bagi pembentukan kerajaan negeri Perak.

Sementara itu Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Harussani Zakaria tidak terdedah dengan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini, demikian dilaporkan oleh harakahdaily.

"Kalau betullah PAS menjadi punca balah, maka Nabi Muhammad saw juga menjadi punca masyarakat Arab ketika itu berbalah.

"Ini kerana PAS meniru apa yang dilakukan Nabi Muhammad saw. Apakah Nabi Muhammad saw menjadi punca belah. Sedangkan apa yang berlaku punca pecah belah datang daripada orang yang lawan Islam," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu bertanya sekarang siapa punca berpecah belah, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular.

Menurutnya, orang Islam kena tengok semula sejarah, adakah Nabi Muhammad saw menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajaran dibawanya.

"Kalaulah Nabi Muhammad saw menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah.

"Sedangkan baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah,"
katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, PAS ditubuh di Pulau Pinang oleh alim ulama yang asal berada dalam Umno.

Namun katanya mereka keluar daripada Umno dan menubuh sebuah parti Islam pada 1951.

Beliau juga berkata, Umno ialah United Malay National Organization yang memperlihatkan parti itu berjuang berteraskan kaum.

"Jadi mengapa dia sibuk dengan kita, sedangkan dia parti Melayu. Pelawalah orang Melayu seramai yang boleh kerana mereka parti orang Melayu.

"Tetapi sekarang mengapa pula orang Melayu sudah ramai yang lari daripada Umno. Orang Melayu sudah lari kepada PAS, KeADILan dan DAP," tambahnya.

Menurutnya juga Umno selama ini secara jelas menyebut agama lain dan politik lain dalam perjuangan mereka.

Sedangkan beliau berkata, Islam meminta manusia berpadu sama ada dengan orang Melayu, Cina dan India.

"Kalau perpaduan sebenar biarlah semua kaum dalam BN dan Pakatan Rakyat berpadu," katanya.

Oleh itu beliau meminta supaya mufti terbabit supaya lebih baik menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi Umno supaya tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

"Berapa sen harga kaum Melayu atau bangsa Arab di Padang Mahsyar kelak. Dalam keadaan PAS masuk Perikatan dahulu lalu dengan dijemput pun PAS ditendang keluar.


"Inikan pula kita yang cuba sorong-sorong kepala. Sebab itu saya tengok sehari dua ini Umno macam orang gila talak pula," katanya.

Sebelum ini ketika mengadakan pertemuan dengan warga pendidik di Kuala Krai, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut perpaduan hanya diminati antara PAS dan Umno sahaja dan bukan melibatkan parti lain.

Isu Manek Urai : Hishamuddin Tersasul Kata Usaha Pinda Kerajaan..

Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein gagap dan tersasul beberapa kali ketika menjawab soalan mengenai pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat telah menanyakan soalan bertubi-tubi kepadanya menyebabkan Hishamuddin tidak mampu untuk menyembunyikan fakta bahawa beliau adalah menteri tidak mempunyai jati diri untuk berdepan dengan pelbagai rasa tidak puashati ahli-ahli parlimen terhadap jawapan yang tidak meyakinkan yang diberikan di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Hishamuddin yang satu ketika pernah menjadi fokus negara tatkala beliau memegang Menteri Pelajaran yang menyebabkan isu PPSMI tidak berjaya diselesaikan kini telah ditukarkan sebegai Menteri Dalam Negeri juga menampakkan beliau lansung tidak mempunyai kapbiliti dan kaliberiti untuk menjadi seorang menteri di dalam kabinet Malaysia.

Menurut beliau sebanyak 33 akta di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk amalan buang daerah akan dinilai dan dikaji semula bagi melihat kesesuaiannya dengan perkembangan semasa, sebelum dipinda.

Sedangkan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat meminta akta-akta yang dinyatakan tersebut terutama Akta Keselamatan Dalam Negeri bukan sepatutnya sekadar dipinda malah mesti dihapuskan.

Di dalam keributan itu, Hishamuddin kemudian tersasul dengan menyatakan..

"kita nak jawab usaha-usaha kerajaan untuk pinda kerajaan.."

yang kemudian diperbetulkan menjadi "usaha-usaha kerajaan untuk pinda Akta".

Kali kedua beliau tersasul lagi dengan menyatakan:

"beberapa perkara yang sedang difikirkan... tempoh tahanan selama 60 tahun"

yang kemudian diperbetulkan menjadi "tempoh tahanan selama 60 hari".

Hishammuddin berkata, beliau berharap dapat membawa usul pindaan ISA pada sidang parlimen akan datang selepas kajian mengenainya selesai.



Isu Manek Urai : Aduan Polis Pemuda UMNO Buka Pekung Sendiri

Banyak pihak hari ini menyifatkan aduan polis yang dibuat oleh Pemuda Umno Kelantan berhubung satu kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis sebagai tindakan yang mendedahkan pekung UMNO sendiri.

Malaysiakini yang memetik laporan Bernama menyatakan kenyataan Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS, didakwa berbaur hasutan dan boleh mewujudkan ketegangan dalam kalangan rakyat, lapor Bernama.

Aduan itu dibuat oleh ketua Pemuda, Anuar Safian, di balai polis Kota Bharu pada 10.30 pagi tadi dengan diiringi kira-kira 100 anggota pergerakan itu (angka sebenar mengikut seorang sahabat yang kebetulan lalu hanyalah disekitar 20-30 orang) yang membawa beberapa sepanduk mengecam tindakan PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Di dalam membuat aduan berkenaan Pemuda UMNO tidak menyedari bahawa merekalah yang perlu ditahan dan didakwa kerana membawa sepanduk yang menimbulkan dan menyemarakkan api perkauman di kalangan rakyat.

Mereka ingin sangat mengetahui "berapa ramaikah yang telah dibunuh dan diperkosa oleh Umno sejak penubuhannya" yang mudah sahaja bagi PAS membuktikannya dengan apa yang mereka pemuda-pemuda UMNO Kelantan telah lupa mengenai peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali pada 19 November 1985 oleh Kerajaan UMNO Barisan Nasional dengan menggunakan 4,000 tentera bersenjata menyerang dan membunuh Ustaz Ibrahim Libya di rumahnya, di Kampung Memali Mukim Siong Baling Kedah. Seramai 14 ahli dan penyokong PAS syahid, 8 cedera parah parah dan 161 termasuk kanak-kanak ditahan.

Sebelum itu, pada 18 Januari 1985 tercetus pula apa yang disebut ‘Peristiwa Berdarah Lubuk Merbau’ sehari sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil Parlimen Padang Terap. Dikatakan di mana lebih 200 ahli UMNO menyerang pekerja pilihan raya PAS di Felda Lubuk Merbau, menyebabkan 7 cedera parah, dan seorang bernama Osman Talib meninggal dunia, esok harinya.

Dan mengenai persoalan Umno disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin, Ketua Pemuda itu bertanya berapa ramaikah yang telah disesatkan oleh Umno.

Untuk menjawabnya kita nyatakan kalau ingin dibuktikan penghinaan dan penolakan UMNO terhadap Islam necaya blog ini terlalu sempit ruangnya untuk disenaraikan semua kisah pencabulan UMNO terhadap Islam dulu, kini dan selamanya.

Namun yang di bawah ini memadai:





Isu Manek Urai : SPRM Tidak Sepatutnya Double Standard

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa agar bersikap ‘tidak pilih bulu’ dan telus dalam isu siasatan politik wang yang membabitkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, SPRM telah menunjukkan sikap yang tidak adil kepada rakyat dengan menangguhkan siasatan terhadap perkara yang telah terbukti jelas kesalahannya.

Menurutnya, perbuatan SPRM tersebut jelas menunjukkan badan yang dianggap bebas oleh kerajaan itu telah dipergunakan demi menjaga kepentingan individu yang tertentu dalam kepimpinan Barisan Nasional(BN).

“Apa yang dapat dilihat sekarang ialah siasatan yang dilakukan hanya menumpukan kepada kes yang lebih menyebelah kepada Pakatan Rakyat (PR). Jika melibatkan kepentingan BN, siasatan tidak serancak apa yang dilakukan kepada PR,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang menyatakan SPRM sedang memperhalusi siasatan berhubung dakwaan politik wang bagi pencalonan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kes yang melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang didakwa menyalahgunakan kuasanya diselesaikan dengan cepat oleh SPRM berbanding kes-kes besar yang lain dilaporkan.

Se:mentara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw mahu SPRM melakukan siasatan berdasarkan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada mereka, bukan disebabkan tekanan daripada kerajaan.

Menurutnya, SPRM haruslah bertindak membuat siasatan terutamanya kes yang berprofil tinggi dengan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka melaksanakan tugas dengan adil dan saksama.

“SPRM yang mempunyai fungsi tugas yang lengkap oleh undang-undang seharusnya tidak menggunakan kuasa mereka dengan dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana mereka sepatutnya menunjukkan kredibiliti mereka,” katanya.

Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, sekiranya siasatan tidak mempunyai sebarang bukti, maka pihak penyiasat tidak akan mampu berbuat apa-apa.

“Semua kes memerlukan bukti. Kika tiada bukti, kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi jangan sembunyikan bukti tersebut,” katanya.


Isu Ke Manek Urai : Falsafah Perundangan Ketepikan Hak Rakyat, Penduduk Kg.Pala Menderita

Di dalam satu keputusan yang mengejutkan, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan penduduk Kampung Buah Pala atau High Chapparal di Pulau Pinang untuk menggantung keputusan Mahkamah Rayuan mengarahkan penduduk mengosongkan segera kampung tersebut.

Keputusan itu membuka laluan kepada syarikat yang telah diberikan konsesi untuk tanah itu oleh kerajaan Umno-BN yang lalu untuk mengusir keluar penduduk berkenaan bagi tujuan komersil.

Pakatan Rakyat telah menubuhkan sebuah badan petugas khas dalam usaha menyelamatkan kediaman 400 penduduk berkenaan yang rata-rata golongan berpendapatan rendah yang kebanyakkannya bekerja sebagai buruh.

Tiga hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tersebut setelah berpendapat penduduk Kampung Pala tidak layak mencabar keputusan Mahkamah Rayuan kerana kononnya mereka menduduki tanah itu secara haram.

Mahkamah menolak hujah peguam penduduk Kampong Pala bahawa tanah itu milik kerajaan persekutuan dan mereka menetap di situ dengan kebenaran daripada pihak berkenaan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengejut itu walaupun tidak dibekalkan keputusan bertulis oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan hari ini memberi tamparan hebat kepada usaha penduduk menuntut hak milik tanah yang mereka duduki sekian lama tetapi dijual oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2007 kepada Syarikat Pembangunan Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd dengan nilai RM3 juta

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Mohammad Yusoff yang mengetuai badan petugas Pakatan Rakyat itu melahirkan kekecewaannnya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang dianggap terlampau menekan penduduk terbabit.

Menurutnya, hakim boleh menangguhkan keputusan mahkamah rayuan atas dasar keprihatinan terhadap isu rakyat tetapi keputusan sebaliknya menyebabkan arahan pengosongan berkuat-kuasa serta merta.

“Keputusan mahkamah bermakna penduduk Kampung Pala sudah kehilangan hak dan ruang untuk mencari keadilan di mahkamah sivil namun begitu, para penduduk boleh mencuba mencari jalan jain seperti membawa isu ini ke mahkamah jenayah” ujarnya kepada TVAntara hari ini.

Yusmadi berpendapat mahkamah sewajarnya memberi peluang perbicaraan penuh kepada isu ini kerana terdapat banyak persoalan berkaitan kesahihan pemilik tanah Kampung Pala.

“Peguambela penduduk Kampung Pala berhujah bahawa tanah Kampung Pala merupakan hak milik kerajaan persekutuan tetapi disangkal peguam lawan yang menjelasakan tanah tersebut milik kerajaan negeri” kata Yusmadi lagi.

Katanya, perbezaan fakta tersebut perlu diteliti secara mendalam terlebih dahulu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat yang tertindas.

Bagi Yusmadi keputusan mahkamah tersebut merupakan perkembangan falsafah perundangan yang tidak baik kerana mengetepikan hak rakyat.

Justeru beliau memohon kerajaan negeri Pulau Pinang bertindak segera membantu menyelesaikan kemelut yang membelenggu penduduk Kampung Pala bagi membuktikan komitmen mereka membantu rakyat.

Ulasan GB

Nampaknya mahkamah sebagai tempat untuk rakyat memperolehi keadilan dan menjadi payung kebenaran semakin hari semakin terhakis. Tidak ada apa lagi yang tinggal akibat dari pemerkosaan yang dilakukan oleh hakim-hakim yang ternyata korup yang masih ramai mendiami "Palace Of Justice". Keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ini jelas menampakkan ketempangan jurispruden disamping falsafah perundangan yang meletakkan kepentingan rakyat dan keadilan ke dalam tong sampah.

Ini adalah kesan serta akibat campurtangan pihak legislatif secara rampan ke atas judiciari sehingga maruah institusi kehakiman semakin tercemar dan hakim-hakim yang membiarkan diri mereka diperkudakan serta gagal menjalankan amanah untuk mempertahakan kebenaran dan keadilan menjadikan rakyat sebagai mangsa.



Isu Ke Manek Urai : Fantasi Kerajaan Perpaduan UMNO Akhirnya Berkubur

Demi kepentingan nasional, mungkin; namun untuk memenuhi keperluan Barisan Nasional (BN), mustahil. Demikian tegas dan jelasnya pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu kerjasama dengan BN

Seharusnya ketegasan ini dapat menyimpulkan betapa kukuhnya tautan semangat, azam dan wawasan di kalangan saf kepemimpinan Pakatan Rakyat. Walau cuba disergap dengan silap mata media bahwa ada kecenderungan di kalangan komponen Pakatan Rakyat untuk bekerjasama hatta menubuhkan Kerajaan Perpaduan, mereka tidak mudah keliru atau hilangan kawalan.

Memang benar Presiden Pas, Hadi Awang ada mengisytiharkan kesediaan partinya untuk bersemuka dengan mana-mana pihak, termasuk Umno dan BN. Namun itu adalah langkah untuk mencari perpaduan dan kesepakatan dalam hal kepentingan rakyat. Maka apa yang dimaksudkan oleh Hadi sengaja dimanipulasi untuk mengatakan beliau mahu dan bersedia berunding menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Jauh panggang dari api!

Memang begitu lazim politik. Sepotong ayat boleh ditafsir beberapa lapis makna dan maksud. Bagaimanapun kali ini, kebeningan perjuangan dan matlamat politik Pakatan Rakyat amat menyerlah. Sidang media bersama di antara Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang di bangunan Parlimen 22 Jun lalu benar-benar menjadi obor yang benderang bagi semua.

BN seharusnya dapat dipimpin oleh obor perjuangan Pakatan Rakyat yang cukup terang ini. Obor ini dinyalakan oleh keikhlasan dan ketelusan. Kenyataan Hadi diapi-apikan oleh pihak tertentu, terutamanya media arus perdana untuk menggerhanakan hubungan dan juga melakar keretakan dalam Pakatan Rakyat.

Lelucon ini sudah tentunya untuk memenuhi keperluan dan kepentingan BN terutamanya Umno yang hayat politiknya tinggal “nyawa-nyawa ikan”. Betapa tidaknya, tiap kali Umno bersuara politik, rakyat, khususnya orang Melayu sukar mempercayainya. Namun sebagai badan politik Umno masih perlu terus bersuara; tidak kira dalam isu apa jua. Malangnya, suara Umno sering sumbang dan serba tidak kena.

Inilah sahaja pilihan yang ada dan yang mampu dilakukan Umno. Ia berharap suara ini akan kelihatan sebagai satu realiti dan bukan fantasi. Maka diciptakanlah impian sebuah Kerajaan Perpaduan. Konsep ini dijaja sebagai bertolak daripada keperluan dan kepentingan nasional. Bagi yang lemah semangat dan lemah daya penakulan politik, impian ini akan segera mendorong mereka untuk menjadikannya realiti. Oleh itu mereka akan mudah menggerakkan dayausaha untuk menyokong pelaku-pelaku projek Kerajaan Perpaduan supaya menjadikannya satu kenyataan.

Ini sebenarnya matlamat Umno dan Barisan Nasional. Ia ingin menggerakkan naluri massa supaya “memaksa” dan “menekan” setiap aktor dalam rundingan Kerajaan Perpaduan dengan memberikan sokongan kepada mereka. Melalui jalan ini Umno berharap rakyat akan terpandang kembali akan kewujudan Umno dan memberi sokongan kepadanya supaya menjadikan impian Kerajaan Perpaduan satu kejayaan.

Sebagai satu strategi politik, pendekatan Umno-BN ini bertujuan serampang dua mata. Pada satu perspektif ia mahu mengabsahkan kewujudan Umno-BN dan pada dimensi lain, ia diharap dapat mengkucar-kacirkan saf pimpinan Pakatan Rakyat dan meleburkan perpaduan di kalangan penyokongnya.

Umpan Umno-BN ini tidak mengena. Majlis Pimpinan Perpaduan Rakyat adalah lebih berwibawa dan bijaksana daripada apa yang dapat dibaca oleh Umno-BN serta pakar strategi medianya. Meskipun pada pusingan awalnya kelihatan apa yang dirancang Umno-BN ini hampir berjaya, namun kecekapan, kecekalan dan hemah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengatasi semuanya.

Sekaligus ini membuktikan bahawa mungkin pada usianya, majlis ini boleh dianggap terlalu muda namun hakikatnya ia sudah jauh melepasi umur pembentukan atau formatifnya. Majlis ini dengan tenang dan bergaya mengisytiharkan kepada kawan dan lawan bahawa ia adalah satu entiti yang sarat dengan integriti dan berhemah tinggi. Pakatan Rakyat makin popular di mata rakyat. Kenyataan ini amat sukar dan tidak dapat dihadami oleh naluri BN. Deklarasi 22 Jun yang dibuat di bangunan Parlimen adalah amat simbolik. Inilah pakatan kental yang layak menguasai dan mewarisi demokrasi Malaysia pada waktu yang terdekat ini. - TVA

Isu Ke Manek Urai : Menangani Sikap Double Standard Speaker Parlimen

Seringkali berlaku keadan di Dewan Rakyat Speaker telah bertindak wewanangan di dalam menjalankan tugasnya serta membuat keputusan secara diskriminasi dan berat sebelah.

Setiap kali yang menjadi mangsa adalah wakul rakyat pembangkang, dan dengan kesalahan yang sama malah lebih teruk, seseorang penyokong kerajaan tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Setakat ini, telah banyak kali berlaku insiden wakil rakyat pembangkau diarahkan keluar dewan, malah ada yang digantung tanpa gaji dan elaun, misal yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Semalam Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dibuang dari Dewan Rakyat untuk sehari kerana mengingkari arahan Timbalan Speaker Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk duduk ketika perbahasan.

Arahan itu dikeluarkan beberapa minit sebelum sidang Dewan Rakyat berhenti untuk rehat pukul 1 tengah hari semalam.

"Saya tidak tahu apa kesalahan saya sehingga saya dibuang dari Dewan... saya hanya berdiri untuk minta laluan bagi mencelah (Ahli Parlimen-BN) Pasir Salak (Datuk Tajuddin Abdul Rahman)," kata Pua ketika ditemui di lobi Parlimen.

"Beliau (Timbalan Speaker) minta saya keluar, saya keluar lah," katanya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berharap Wan Junaidi akan menarik balik keputusan bagi membolehkan Pua mengambil bahagian dalam sesi perbahasan sebelah petang nanti.

Ketika Tajuddin berbahas, Pua bangun dan mengajukan soalan apabila wakil Pasir Salak itu mengatakan kononnya ahli-ahli Parlimen terpaksa membahaskan pelbagai perkara walaupun tidak arif dalam sesetengah isu.

Kejadian berlaku ketika Parlimen membahaskan usul pembahagian semula peruntukan bagi beberapa kementerian ekoran penyusunan Kabinet baru-baru ini.

Usul itu dibahaskan sejak kelmarin.

Kita tidak mempertikaikan kuasa Speaker untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahi peraturan, namun persoalan kini kenapa DOUBLE STANDARD?

Nampaknya Speaker dan Timbalan Speaker tidak menghormati dan tidak mematuhi etika kerjanya untuk berlaku adil dan saksama sewaktu menjalankan tugasnya dan "tidak menghormati pilihan rakyat". Sekalipun seseorang ahli parlimen itu dari pembangkang tidak ada sebab dan adalah tidak wajar bagi seseorang Speaker atau tumbalannya bertindak dengan cara diskriminasi dan pilihkasih.

Ketidak-mampuan mereka mengawal diri serta menjalankan amanah secara jujur dan saksama telah menyebabkan maruah jawatan Speaker itu menjadi terlalu hanyir.

Mungkin selepas ini pihak wakil rakyat Pakatan Rakyat perlu memikirkan langkah-langkah berpatutan bagi mempastikan kemuliaan dewan dihormati oleh pihak Sepaker dan timbalannya supaya mereka tidak melakukan tindakan secara sewenang-wenang. Tiada cara lain kecuali memberikan undi tidak percaya kepada Speaker sepertimana yang kumpulan mereka (UMNO BN) lakukan di Perak. Mungkin kali pertama gagal tetapi jika berterusan kita lakukan akhirnya akan tercampaklah nanti speaker-speaker itu dari kerusinya.

Jika tidak berjaya juga, maka keputusan di tangan rakyat untuk memindahkan pihak UMNO BN mengambil tempat sebagai pembangkang pula tidak berapa lama lagi.


MANEK URAI : MEDIA UMNO BN MASIH CARA LAMA

Propaganda media jajahan Umno dan BN khususnya dalam isu kerajaan perpaduan telah menyebabkan ramai orang politik yang melatah dan melompat. Lenggok berita dan gaya laporan, bukan sahaja memukau pembaca malah upaya memecahbelahkan keutuhan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun isu itu tidak tembus mempengaruhi pengundi di Manek Urai yang lebih menumpukan kepada kerja-kerja mencari rezeki semata-mata.

Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah mengakui propaganda media tidak sampai kepada pengundi dan rakyat akar umbi di sana. Ikuti temubual SALMIYAH HARUN bersama beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Sejauhmana mainan media yang mahu memecahbelahkan ahli dan penyokong PAS dengan isu kerajaan perpaduan mempengaruhi pengundi Manek Urai?

Pengundi di Manek Urai tidak membaca suratkhbar. Propaganda media tidak berjaya mempengaruhi pengundi dan penyokong PAS di Manek Urai. Memandangkan mereka di kalangan pekebun kecil, dan kerja kampung, mereka tidak ada masa membaca suratkhbar.
Jadi kita bernasib baiklah. Propaganda media perdana tidak sampai kepada pengundi dan rakyat akar umbi. Manek Urai dikira terselamat daripada isu yang sedang heboh dimainkan oleh media arus perdana.


Terkini, kalau Dato' boleh jelaskan berdasarkan pemerhatian, macam mana gerak kerja Umno di Manek Urai?

Umno masih tercari-cari tapak di Manek Urai. Ini kerana mereka sedang menghadapi masalah pertikaian calon. Apa yang Umno cuba buat misalnya beberapa hari lalu, Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Syafie Apdal dengan Menteri Pertanian, Dato' Mustapa Mohamed turun di Sungai Sok, Chuchuh Putri, Peria dalam Manek Urai. Apa yang didapati orang yang sama yang mengikuti (membontoti) mereka.

Agak ramailah orang yang hadir tetapi saya dimaklumkan orang tempatan hanya lapan orang tetapi mereka yang ramai itu adalah di kalangan ahli rombongan mereka. Cara mereka buat itu baguslah, menampakkan suasana orang ramai semasa pimpinan turun melawat biarpun orang yang sama.

Pemuda BN ada menuduh PAS Kelantan membuat pendekatan politik samseng dalam ceramah dan mengapi-apikan sehingga menimbulkan suasana provokasi. Bagaimana dakwaan ini Dato'?

Kalau BN kata kita samseng, kita tidak boleh cakap apalah. Cumanya PAS Kelantan memang bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Dun Manek Urai dan akan lawan Umno sampai mati. Bukan bergaduh.

Tetapi makna kita berlawan ini, kita lawan sampai mati yang mana sampai akhir hayat kita lawan Umno. Sama ada dia mati atau kita mati. Bukan sehingga bunuh membunuh. Saya menggerakkan jentera dan berpesan kepada ahli, kita lawan sampai mati.

Kalau Umno mentafsirkan ia satu pergaduhan fizikal ianya tidak kenalah. Kita hendak menerangkan satu sikap perjuangan di kalangan pemuda PAS bahawa sampai mati kita akan tetap lawan Umno. Jadi kita harap Umno pun hendak lawan PAS sampai dia mati jugalah. Jadi kita tidak mahu Umno itu menjadi kawan kita. Kita nak lawan dia.

Sehingga kini bagaimana sikap pengundi atas pagar, apakah tanpa undi mereka akan menjejaskan majoriti yang diperolehi PAS?

Pengundi atas pagar di Manek Urai tidak ramai. Lebih kurang 20 peratus. Ini satu kawasan kubu kuat PAS. Allahyarham Pak Su Weil (Bekas Adun Manek Urai) sudah lima penggal menjadi wakil rakyat di sini.

Kini jentera parti sudah berkampung di Manek Urai. Semua PAS kawasan di Kelantan yang membantu sembilan peti undi ini sedang berkampung dan menjalankan kerja-kerja pilihan raya.

Masing-masing sewa rumah di sini, baik Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama berkampung bersama jentera peti undi. Kita berkubulah bagi mempertahankan undi yang sedia ada itu. Jentera parti bagi negeri-negeri akan hadir tetapi belum sepenuhnya lagi datang.

Bagaimana pula dengan dakwaan mengatakan ada jentera pilihan raya PAS dari beberapa buah negeri dihalang turun ke Manek Urai, memadai petugas dari Kelantan sahaja?

Negeri-negeri sudah ada pengagihan jentera pilihan raya. Cuma mereka belum sampai lagi. Pada 13 Jun lalu jentera setiap negeri sudah hadir di Kelantan untuk menerima taklimat daripada jentera pilihan raya parti negeri.

Ada di kalangan mereka menetapkan tarikh masing-masing untuk turun ke Manek Urai. Sebabnya kita kena faham ini satu pilihan raya yang tempoh masanya agak panjang. Apabila Pak Su Weil meninggal pada 22 Mei 2009, mengikut peraturan pilihan raya kena diadakan dalam tempoh 60 hari. Tempoh tamat pada 22 Julai dan SPR membuat pilihan raya pada 14 Julai bermakna seminggu sahaja lagi hendak tamat tempoh.

Tidak pernah lagi SPR buat macam ini. Kita tidak menggesa jentera negeri untuk datang awal sampai akhir ianya terlalu lama. Jadi mungkin jentera negeri akan hadir kemudian sikitlah, memandangkan jentera parti Kelantan sudah berkampung.

PAS Kelantan tidak pernah halang sesiapa datang untuk membantu. Dakwaan itu tidak benar dan mungkin ia propaganda Umno untuk mengalahkan PAS dengan memecahbelahkan jentara pilihan raya kita.

Bagaimana dengan pengundi yang menetap di luar Manek Urai atau luar Kelantan, apakah PAS sudah ada strategi untuk membawa mereka balik mengundi pada 14 Julai nanti?

Itu kita sudah uruskan bagi jentera di peringkat peti undi dan peringkat Dun malah mereka ini sentiasa dihubungi sama ada melalui surat atau penggilan telefon. Kita akan mengadakan satu perjumpaan dengan pengundi luar di Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini, bahkan tambang menambang itu akan diuruskan oleh jawatankuasa pengundi luar.

Kita mengharapkan SPR betul-betul menekankan kepada majikan termasuk kementerian Pelajaran agar mewajibkan majikan memberi cuti kepada pengundi ini. Isunya SPR sendiri yang mengundang masalah apabila badan itu sengaja membuat hari mengundi pada hari bekerja (Selasa). Jadi kita betul-betul mengharapkan SPR memberi arahan kepada majikan bagi memberikan cuti satu hari.

Pada padangan Dato' mengapa pengundi luar ini perlu balik pada hari mengundi walaupun ada yang beranggapan menang atau kalah di Manek Urai ianya tidak begitu penting?

Kita sebagai orang Kelantan misalnya di Manek Urai, rakyat kenalah buktikan bagaimana tanggungjawab kita sebagai pengundi walaupun ada sedikit kesusahan kena mengambil cuti. Saya tidak nafikan budaya orang Kelantan ada dua hari yang mustahak dalam setahun iaitu Hari Raya dan hari pilihan raya. Jadi mereka yang betul-betul anak Kelantan pastinya mereka tidak akan 'miss'.

Apakah PAS sudah bertemu dengan calon yang sesuai untuk kerusi yang ditinggalkan oleh Pak Su Weil ini?

Isyallah seminggu lagi Tuan Guru Nik Aziz akan mengisytiharkan calon bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat di Manek Urai. Majlis ini akan diadakan berdekatan rumah Pak Su Weil.

Apakah calon yang akan dikemukakan itu mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Pak Su Weil?

Nak cari pimpinan seperti Pak Su Weil ini sudah tentulah sukar, tidak ada. Dia (Allahyarham) ni... satu-satunya individu yang sukar diganti, dan tidak ada yang boleh menandingi Allahyarham. Satu pun tidak ada.

Hendak mencari pemimpin macam Allahyarham ini sudah tidak ada bukan sahaja di Manek Urai bahkan di dalam PAS. Allahyarham ini sungguh istimewa. Kalau ada rakyatnya mengadu misalnya "Pak Su ada harimau di belakang rumah saya". Pak Su Wel akan pergi sendiri sambil membawa senapang untuk tembak harimau.

Dia akan mengambil berat setiap masalah rakyatnya di Manek Urai. Ada perkara yang saya tidak pernah beritahu sesiapa, menurut Adun Dabong yang rapat dengan keluarga Allahyarham ini, selepas dua tiga hari Pak Su Weil meninggal apabila beliau menyemak semula geran tanah Pak Su Wel ini hanya ada dua geran sahaja sedangkan tanah Allahyarham ini banyak.

Tanah tapak rumah, tanah tapak markas PAS, tanah kebun, rupa-rupanya geran tanah ini berada di mahkamah kerana membuat jaminan untuk rakyatnya yang menghadapi masalah. Ini satu pengorbanan Allahyarham yang cukup terharu. Beliau sanggup guna geran tanah untuk selesai masalah rakyat.

Nampaknya media jajahan BN memainkan isu kononnya PAS tidak menaikkan poster Presidennya, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Manek Urai. Sebaliknya hanya menaikkan poster MB Kelantan sahaja. Boleh jelaskan sikit?

Di Manek Urai ni terutama di Kelantan, poster Tok Guru Nik Aziz ni mempunyai 'comercial value' yang tinggi. Mereka yang biasa dengan pengendalian pilihan raya di Kelantan, mengakui inilah cara untuk menarik undi.

Saya adalah di antara yang bernasib baik terlibat dalam hal ini sejak pilihan raya tahun 1982. Pada masa itu, kita sebagai pemuda mencetak gambar Tok Guru Nik Aziz yang mengenakan serban di atas bahu. Apa yang berlaku misalnya satu imam di Masjid Mukim Manek Urai berkata "tengok (lihat) gambar Tok Guru Nik Aziz ni dapat pahala".

Kalau kita perhatikan betul-betul Tok Guru Nik Aziz ni bukan sahaja mendengar kuliah dia dapat pahala tetapi tengok muka dia pun dapat pahala. Inilah membuatkan poster Tok Guru ini mempunyai nilai komersil yang tinggi dari rakyat.

Jadi gambar Tok Guru Nik Aziz sahaja yang ada nilai untuk tarik pengundi di sini. Dalam hal ini kita hanya menilai dari sudut nilai komersil sebagai cara menarik pengundi di Manek Urai. Kita betul-betul eksploit gambar Tok Guru untuk pancing undi.

Tidak timbul kononnya poster Tok Guru Haji Hadi Awang diketepikan. Itu hanya mainan media Bn untuk runtuhkan kita.

Apa pandangan Dato', kononnya dikatakan terdapat sekatan terhadap petugas-petugas PAS dari luar Kelantan untuk bertugas di Manek Urai?

Dakwaan itu tidak benar. Oleh kerana saya sendiri selaku mewakili perwakilan negeri Kelantan di dalam mambahaskan ucapan dasar Presiden telah membuat jemputan secara terbuka kepada semua PAS negeri-negeri hadir mengikut susunan yang telah pun ditetapkan dan kami telah pun meyewa rumah-rumah untuk menempatkan petugas-petugas luar seluruh negara dan sewaan rumah dibiayai oleh PAS kawasan dari Kelantan.

Kami juga menyediakan makan minum yang juga dibiayai oleh PAS Kelantan. Saya yang buat jemputan di sini dan saya hendak mengulangi jemputan kepada semua ahli PAS agar dapat turun ke Manek Urai. Beberapa jentera negeri sudah ada misalnya dari Pulau Pinang. Bagaimanapun, rumah yang kami sewakan tidak mencukupi, akhirnya kami tambah beberapa rumah sewa lagi.

Benarkah terdapat halangan terhadap pimpinan yang pro kerajaan perpaduan berkempen di Manek Urai? Maaf Dato' kerana bertanyakan soalan ini tetapi ada kedengaran desas-desus ini...

Kita sendiri di Dun Manek Urai tidak tahu siapa yang sokong, siapa yang pro, siapa yang anti... tidak tahu! Sebab perkara ini hanya di kalangan pimpinan, jadi macam mana kita nak sedar sedangkan kita tidak tahu. Rakyat tidak tahu.

Semua di alu-alukan hadir ke Manek Urai. Cumanya di sini rakyatnya terlalu 'localize', kawasan pedalaman. Petrol station ada satu, pejabat pos tak ada langsung. Rakyat di sini agak tidak terdedah kepada suasana yang lebih mencabar.

Kita kena berhati-hati untuk tidak mengocakkan suasana itu. Maknanya kita lebih banyak gunakan tenaga tempatan dan gunakan pergerakan kempen rumah ke rumah dan juga kena kita banyak gunakan ceramah kelompok.

Jadi ceramah besar ialah yang melibatkan Menteri Besar Kelantan, sebelum pencalonan ada dua dan selepas itu pun ada dua lagi ceramah besar. Ceramah secara menyeluruh memang tidak berlaku. Saya sekali lagi menafikan bahawa ada sekatan seperti yang saudari maksudkan itu. Kita tegaskan sesiapa sahaja di kalangan pimpinan PAS atau Pakatan Rakyat boleh masuk dan berkempen di Manek Urai.

Kerajaan UMNO BN Beri Tanah Kepada Jean Todt?

Kementerian Pelancongan hari ini enggan menjelaskan kepada Parlimen kenapa Jean Todt iaitu tunang pelakon terkenal Michelle Yeoh diberikan kontrak lumayan RM900,000.

Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata alasan bahawa bayaran itu untuk khidmat Todt menarik rakyat asing menetap di sini di bawah kempen “Malaysia- rumah kedua ku” tidak masuk akal.

Ini kerana misi itu dilaksanakan sepenuhnya oleh wakil pejabat Pelancongan Malaysia di seluruh dunia, tambah beliau.

Selain menerima hampir sejuta ringgit setahun, Todt turut ditawarkan tanah di Pulau Besar Terengganu, kata Azmin .

Azmin mendesak kerajaan mendedahkan butir-butir perjanjian Kementerian Pelancongan dan Todt supaya rakyat mengetahui bagaimana RM900,000 dibelanjakan.

Menteri Pelancongan Datuk Ng Yen Yen melantik Jean Todt sebagai ‘duta’ Pelancongan Malaysia untuk tempoh setahun dalam usaha kerajaan menarik 2,000 pelancong menetap di negara ini.

Azmin menampilkan dokumen yang menunjukkan yuran perkhidmatan Jean Todt sahaja mencecah RM593,400. Kos itu termasuk wang untuk tambang perjalanan, perbelanjaan dan wang saku.

Selain itu Umno-BN turut membayar Todt RM388,000 untuk bercuti di dalam negara, kata Azmin.

“Mengapa sejumlah RM593,000 dibayar kepada Jean Todt untuk membuat promosi ini,” tanya Azmin.

“Kalau kita tengok pecahan yang saya dapat, kos untuk tambang kapal terbang dari Eropah ke Kuala Lumpur ke Eropah mencecah RM180,000 ringgit. Ini tidak termasuk kos penginapan yang mencecah RM80,000 untuk tiga malam,” tambah Azmin.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib bagaimana pun enggan menjawab pertanyaan Azmin.

Azmin berkata beliau mempunyai maklumat terperinci mengenai pemborosan yang berlaku tetapi mahu memberi peluang kepada UMNO-BN menjelaskan perbelanjaan sebegitu besar.

“Saya mahukan kerajaan memberi jawapan dengan tepat. Saya harap kementerian dapat beri jawapan secepat mungkin kerana ini sesuatu yang mudah dan mereka boleh menjelaskan dengan segera,” kata beliau.