11 Dis 2013

Siapa Sudah Sembunyikan Amir Bazli Yang Ditumbuk Zahid Hamidi?

Peguam Karpal Singh menggunakan rangkaian politik untuk mengesan anak guamnya, Amir Bazli Abdullah yang masih terikat dengan kes tuntutan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyerangnya.

Amir Bazli, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, gagal menghadirikan diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember lalu untuk prosiding kesnya di hadapan hakim hingga menyebabkan peguamnya bimbang di mana ahli perniagaan itu berada kini.

Pengerusi DAP itu turut mendapatkan bantuan daripada Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu untuk mencari Amir Bazli.

Karpal berkata, beliau mendapatkan bantuan Mohamed atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu kerana ahli politik itu mempunyai rakan dan ahli parti yang mungkin tahu di mana anak guamnya berada.

“Beliau berjanji untuk menghubungi beberapa rakannya dan ahli parti untuk mengesan anak guam saya yang perlu hadir di mahkamah hujung bulan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mohamed memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau sudah mengarahkan beberapa rakan untuk mencari di mana ahli perniagaan itu berada kini, berdasarkan kepada alamat terakhirnya.

Amir Bazli sepatutnya hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember lalu untuk memaklumkan kepada Hakim Vernon Ong mengenai terma penyelesaian kes membabitkan dirinya dan Ahmad Zahid.

Karpal terdahulu sudah menghantar surat berdaftar menerusi Pos Malaysia dan satu lagi nota menerusi firma kurier tetapi tidak mendapat balasan daripada Amir Bazli.

“Saya diberitahu bahawa tidak ada orang berkenaan di alamat itu. Amir Bazli juga tidak dapat dihubungi menerusi telefon bimbitnya,” katanya.

Peguam veteran itu berkata, sebelum 18 Julai, Amir Bazli boleh dihubungi dengan mudah menerusi telefon bimbit dan akan datang ke firma guamannya dalam tempoh singkat apabila diberitahu.

Karpal memohon penangguhan terakhir dan mahkamah membenarkannya. Hakim menetapkan 31 Disember ini dan berharap Amir Bazli akan hadir di mahkamah.

“Saya sudah meminta peluang terakhir dengan harapan dapat mengesan Amir Bazli dan jika gagal, mahkamah mungkin akan membatalkan tuntutan samannya terhadap defendan (Ahmad Zahid),” katanya.

Bulan lalu, Karpal menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membuka semula tuntutan saman terhadap Ahmad Zahid berikutan proses pengantaraan berjalan tanpa kehadiran peguam.

Pada 18 Julai, Ahmad Zahid dan Amir Bazli bertemu dengan pengantara, Rohani Ismail yang juga hakim mahkamah sesyen di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Sejurus selepas proses pengantaraan selesai, kedua-dua pihak mendakwa isu saman itu sudah diselesaikan tetapi peguam mereka tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian.

Rohani didakwa memberitahu kedua-dua pihak untuk merahsiakan terma penyelesaian.

Karpal bagaimanapun tidak menerima penyelesaian itu berikutan tuntutan saman Amir Bazli sudah ditetapkan untuk perbicaraan pada Ogos.

Amir Bazli terus menghilangkan diri selepas 18 Julai dan tidak menghubungi Karpal sejak itu.

Karpal berkata, beliau tidak gembira kerana tidak dimaklumkan mengenai pelaksanaan pengantaraan itu dan berkata, “duluan berbahaya belum terbuka”.

Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi perlu dimaklumkan mengenai apa yang berlaku dalam proses pengantaraan itu walaupun kes itu dikatakan sudah selesai.

“Biar dia (Amir Bazli) datang sendiri ke mahkamah dan memberitahu hakim apa yang berlaku. Jika dia gembira dengan terma penyelesaian itu, biar ia direkodkan untuk membolehkan kes itu ditutup. Jika tidak, tarikh baru perbicaraan akan ditetapkan,” katanya.

Selepas pelaksanaan pengantaraan itu, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa Amir Bazli memohon maaf kepadanya dan beliau juga memaafkan ahli perniagaan itu kerana menuduhnya.

Amir Bazli memfailkan tuntutan saman terhadap Ahmad Zahid pada Julai 2007 menuduhnya yang pada ketika itu memegang jawatan timbalan menteri menumbuknya di muka di Kelab Rekreasi Country Heights Kajang, Selangor.

Beliau berkata, Ahmad Zahid juga mengugut untuk membunuhnya dan beliau dikurung secara salah di rumah Ahmad Zahid di Country Heights.

Ahmad Zahid menafikan tuduhan itu dan berkata Amir Bazli mereka-reka keseluruhan cerita itu.

Beliau kemudian memfailkan tuntutan balas menyatakan beliau dimalukan dan mengalami trauma secara emosi akibat tuduhan Amir Bazli itu.

Amir Bazli turut membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid tetapi tiada tindakan diambil oleh pendakwa raya hingga mendorong ahli perniagaan itu memfailkan tuntutan saman.

[PANAS] JPM Arah Astro Awani Buang Artikel Mengenai Rosmah


Ekoran panggilan telefon dari Pejabat Perdana Menteri, laman web Astro Awani online telah menarik balik satu berita mengenai cadangan bekas Ketua Pengarang New Straits Times Datuk A. Kadir Jasin yang mencadangkan agar isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dilantik sebagai menteri.

Berita itu tidak ada lagi dalam laman web sejak tengahari semalam selepas disiarkan sehari sebelum itu. Namun begitu tulisan asal kadir masih disiarkan oleh laman ini.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan Astro Awani memaklumkan, ia dibuang atas arahan Pejabat Perdana Menteri.

Namun pengarang laman ini ketika dihubungi enggan memberikan sebarang pengesahan dan meminta pihak atasannya menjawab persoalan ini.

Kadir pula ketika dihubungi menegaskan beliau tidak tahu-menahu arahan penarikan balik penyiaran berita tersebut.

Beliau enggan memberi komen lain mengenai hal itu dan berkata artikelnya yang bertajuk "PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa" yang disiarkan Ahad lalu adalah pandangan sebagai rakyat jelata dan wartawan.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai adanya arahan menarik balik berita Astro Awani atau mana-mana portal media, maka pertanyaan itu saya tidak boleh jawab.

"Bagaimanapun artikel adalah berdasarkan atas hak saya sebagai wartawan dan rakyat yang bebas menyuarakan apa sahaja asalkan ia tidak melanggar undang-undang dan peraturan dalam perlembagaan," katanya.

Beliau juga turut menjelaskan catatannya dalam blog boleh digunakan oleh mana-mana media untuk diubah menjadi berita asalkan pihak tersebut memetik sumber artikel yang diperolehi.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 memuji isterinya, Rosmah, di atas jasanya kepada negara.

Selain, bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, Najib mendedahkan Rosmah juga dikatakan berjasa kerana berjaya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Mesir akibat disyaki sebagai pengintip dengan hanya menggunakan pengaruhnya menelefon isteri Presiden Mesir Suzanne Mubarak (isteri kepada Hosni Mubarak).

Lebih dari itu, Rosmah juga dikatakan mengguna pengaruhnya dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk membebaskan pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir semasa kebangkitan Arab Spring untuk memasuki negara itu tanpa menggunakan visa.

Susulan dari itu Kadir dalam tulisan diblognya, mencadangkan Rosmah perlu diberi jawatan menteri, malah mungkin jawatan perdana menteri.

Mengulas kenyataan Najib yang memuji isterinya ketika Perhimpunan Agung Umno itu, Tokoh Wartawan Negara itu berkata, pendedahan perdana menteri menyebabkan kedudukan Menteri Luar dan menteri lain harus dikaji kerana ternyata ia tidak setanding dengan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa. -TMI

ULASAN GB

Selepas tersiarnya tulisan A.Kadir Jasin di balam blognya The Scribe, beberapa portal telah meyiarkan semula tulisan tersebut diantaranya The Malaysian Insider dan astro awani.

Lazimnya artikel The Malaysian Insider akan menjadi perhatian untuk GB ulas semula, namun pada hari berkenaan, tergerak hati GB untuk memilih menyiarkan tulisan di astro awani. Boleh baca di SINI.

Apa sebabnya GB memilih tulisan di astro awani dan bukan The Malaysian Insider mengenai isu ini? Kerana sukar sekali untuk melihat astro awani menyiarkan tulisan yang kritikal berbanding The Malaysian Insider atau malaysiakini atau harakahdaily.

Apabila astro awani berani menyiarkan semula tulisan A.Kadir Jasin tersebut, GB mendapati wujudnya fenomena suara dari silent majority yang mengesahkan rakyat telah meluat dengan sikap Najib yang membela perlakuan melampau isterinya Rosmah Mansor. Jika tidak masakan astro awani sendiri turut sama di dalam penyiaran semula tulisan wartawan terbilang itu.

Kini JPM pula kelam kabut memandai-mandai arahkan astro awani buang artikel berkenaan. Ya, astro awani terpaksa patuh, tetapi hukum kebenaran dan keadilan tidak akan dapat ditolak lantarannya. Bahawa sememangnya semakin hari semakin ramai yang menyedari perbuatan melampau Rosmah Mansor. Ingat, yang menulis artikel itu bukan calang orang. A.Kadir Jasin, bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times. Bukan Sakmongkol, MSO, Aspan, Shahbudin atau tukartiub yang sememangnya telah diketahui sentiasa melemparkan pandangan yang kritikal terhadap isu semasa. Yang menyiarkan semula ialah astro awani. Bukan juga oleh KiniTV atau TVPAS!

Apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawai JPM yang memaksa astro awani keluarkan tulisan itu tidak akan sekali-kali memadam rasa meluat rakyat terhadap isteri PM tersebut. Dan apa yang GB katakan dulu, Najib Bakal Jatuh Tergolek Kerana Rosmah semakin hampir menjadi kenyataan.

p/s Sekalipun artikel itu telah dibuang dari portal astoawani ia tetap boleh diakses di google cache. Itu kebebalan pegawai di JPM tentang sistem dan teknologi maklumat.

Sama juga dengan kes dengan Hamidah Osman yang disaman Khalid Samad. Mahkamah Rayuan memutuskan memang sah Hamidah telah memfitnah Khalid. Sekalipun Hamidah telah membuang artikel berkaan ia tetap boleh diakses siap dengan gambar fitnah itu melalui webarchive.

Khalid Samad Menang Kes Saman Terhadap Hamidah Osman

Kuala Lumpur- Mahkamah Rayuan hari ini mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman Khalid Abdul Samad terhadap bekas Adun Sungai Rapat di Perak, Datuk Hamidah Osman yang menyiarkan gambar Ahli Parlimen Shah Alam itu memakai salib.

Dalam keputusannya itu, mahkamah mengarahkan Hamidah membayar kos RM50,000 di samping mengarahkan Penolong Kanan Pendaftar untuk menilai taksiran ganti rugi yang perlu dibayar kepada Khalid.

“Mahkamah mendapati tulisan dan gambar yang disiarkan adalah fitnah. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah silap dan diketepikan,” kata Hakim Mohamad Ariff Md Yusof yang mengetuai panel tiga hakim.

Dua lagi hakim adalah Mah Weng Kwai and Abang Iskandar Abang Hashim.

Pada 12 Julai lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim Hamzah menolak saman Khalid terhadap Hamidah kerana Khalid didakwa gagal mengemukakan dokumen asal yang mendakwa dia difitnah.

Beliau juga mengarahkan Khalid membayar kos RM20,000 kepada Hamidah.

Hashim dalam penghakimannya berkata, dakwaan Khalid yang mengatakan artikel yang diterbitkan oleh Hamidah adalah fitnah merupakan satu perkara yang subjektif dalam sesuatu tuntutan.

Khalid menyaman Hamidah pada 23 Disember, 2011 berhubung penyiaran gambar yang menggunakan teknik tindih gambar yang disiarkan melalui blog Hamidah pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan murtad.

Mahkamah Rayuan sahkan Hamidah fitnah Khalid

Mahkamah Rayuan hari ini telah membenarkan rayuan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad terhadap Datuk Hamidah Osman yang merupakan bekas Ahli Exco Negeri Perak dengan kos RM50,000 dan gantirugi untuk ditaksirkan.

Mahkmah rayuan yang diketuai oleh Yang Arif Datuk Mohd Ariff Yusof bersama Yang Arif Datuk Mah Weng Kwai dan Yang Arif Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara memutuskan bahawa, kandungan artikel yang bertajuk 'Umat Islam Perlu Bersatu' yang diterbitkan di laman blog Hamidah, http://hamidahosman.blogspot.com memfitnah Khalid.

Artikel tersebut turut memaparkan gambar "super impose" Khalid memakai pakaian paderi kristian yang mengandungi lambang salib dan juga memegang staff yang juga mengandungi lambang salib.

Di dalam artikel tersebut Hamidah juga menuduh Khalid Samad dengan tuduhan-tuduhan berikut.

[Perenggan 8]

"Golongan yang menyokong penggunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, Yb Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian menggantikan perkataan 'God' di dalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh di sudut hantinya dengan keputusan mahkamah ini."

[Perenggan 12]

"Selepas ini jangan pula hairan jika kita melihat tulisan Gereja Allah bagi menggantikan House of God dihadapan rumah-rumah ibadat kristian diseluruh negara. Ini akan menjadi lambang kepada perbuatan melacurkan agama oleh puak-puak yang mengaku pejuang Islam seperti PAS."

[Perenggan 18]

"Sekalung tahniah buat parti pas kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat islam di negara ini."

Khalid diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin.

Manakala Hamidah diwakili oleh Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Writ Saman difailkan pada 23 Disember 2011 lalu manakala keputusan Mahkamah Tinggi pada 2 Julai 2013.

Di dalam keputusannya Mahkamah Rayuan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan Khalid gagal membuktikan bahawa artikel di blog Hamidah tidak mempunyai gambar super imposed tersebut.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan tuduhan tuduhan di perenggan 8, 12 dan 16 artikel Hamidah adalah fitnah ke atas Khalid dan Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan ianya tidak memfitnah Khalid.

Kes ini juga amat menarik kerana buat pertama kali Mahkamah Rayuan mendengar tentang isu artikel dari blog yang dikeluarkan (removed) dari blog tetapi masih boleh dicapai dari www.archeive.org.

Zahid Yang Terlondeh Sebelum Sempat Dedah Hal Mat Sabu


Syiah: Mat Sabu tidak gentar pendedahan Zahid Hamidi

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tidak gentar dengan pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan fahaman Syiah.

Mohamad Sabu tidak gentar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dengan fahaman Syiah.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, beliau sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan parti Islam itu baru-baru ini.

“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu ketika ditemui The Malaysian Insider, malam tadi.

Mohamad berkata, sejak menyertai PAS pada awal 1980-an, beliau sudah biasa dipenjarakan termasuk dua kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 dan semasa Operasi Lalang pada 1987.

“Peguam masih lagi kaji tindakan susulan yang akan dilakukan. Kita tunggu dulu pendedahan dia,” katanya merujuk kepada Ahmad Zahid. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid memaksudkan dirinya kerana Timbalan Presiden PAS bukan jawatan nombor dua dalam parti Islam itu.

“Di dalam PAS, jawatan tertinggi adalah Mursyidul Am yang dipegang oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Manakala jawatan kedua tertinggi adalah Tuan Guru Datuk Haron Din,”
katanya.

Semalam, Ahmad Zahid berkata, beberapa bukti bahawa pemimpin PAS terlibat dengan fahaman Syiah akan diterangkan secara terperinci dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.

Katanya, sidang akhbar itu akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin yang didakwa terlibat itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam fahaman Syiah.

"Kenapa dia takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti dia nak cakap apa?

“Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya, semalam.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak mahu umat Islam berpecah-belah seperti negara lain hanya kerana fahaman mazhab berbeza.

Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS.

"Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab memegang portfolio agama.

Jamil Khir berkata, pembuktian kukuh perlu dibuat untuk menuduh seseorang itu penganut Syiah.

Katanya, ajaran Syiah bukan melibatkan parti semata-mata, kerana ia adalah berdasarkan iktikad seseorang penganut fahaman berkenaan.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Jakim sudah ada bukti untuk menahan Mohamad, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

"Elok tanya Zahid. Elok tanya polis,” katanya. -TMI


Nik Aziz: Sebelum serang Syiah, bersihkan dahulu “taring daripada daging mangsa”


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bangkit menempelak pihak yang menyerang Syiah dengan berkata: "Jika Syiah menipu, nasional sekular apa kurangnya."

Nik Aziz berkata:"Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala.

"Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa,"
sindir Nik Aziz.

Beliau juga mencabar pihak berkuasa supaya melakukan tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik jika mahu membanteras Syiah.

"Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat," kata bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tanpa menamakan sesiapa Nik Aziz dipercayai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangkap “orang nombor dua PAS” atas dakwaan syiah.

Ketika dikatakan orang nombor dua PAS itu adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Zahid berkata, beliau tidak pernah menyebut nama Mohamad Sabu.

Nik Aziz berkata, beliau terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah dan menyatakan ciri utama Syiah ialah menipu.

"Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.

“Tidakkah menipu namanya apabila mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut,”
katanya.

Beliau berkata, Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad dan ciri akidah mereka ada ditulis dan diterangkan oleh ulama Sunnah dalam banyak penulisan.

Sehubungan itu, katanya, ulama berperanan untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah.

Nik Aziz berkata, beliau menyokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini tetapi meletakkan alasan membanteras Syiah supaya umat Islam tidak berpecah menunjukkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang.

"Justeru, janganlah mendabik dada diri sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah.

"Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan," katanya. – TMI



Kalau berpura-pura tanda Syiah, dalam Umno pun ramai penganutnya


Dalam reaksi awalnya mengenai dakwaan yang dibuatnya di penggulungan Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu bahawa orang nombor dua dalam PAS iaitu Mohamad Sabu mengamalkan ajaran Syiah, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukti terperinci mengenainya akan dibuat dalam sidang akhbar khas yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya akan mendedahkan bukti-bukti mengenai dakwaan yang dibuatnya itu dan pemimpin yang didakwa itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam amalan Syiah itu.

"Kenapa dia perlu takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti, dia nak cakap apa? Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," tegas Naib Presiden Umno itu lagi.

Adoyai, takkan sikap berpura-pura boleh dikaitkan dengan Syiah!

Sementara menunggu sidang akhbar khas itu diadakan dan bukti-bukti lain didedahkan, sehingga ini pemahaman Ahmad Zahid ialah orang-orang yang berpura-pura sudah boleh dikategorikan sebagai pengamal ajaran Syiah. Tidakkah ini lawak jenaka jadinya?

Mengaitkan sikap dan perangai berpura-pura sebagai elemen Syiah adalah terlalu dangkal dan lemah. Pura-pura ialah salah satu sikap dan perangai manusia. Ia tidak ada kena-mengena dengan agama atau amalan Syiah. Berpura-pura juga tidak mengenal agama, bangsa dan warna kulit.

Dalam Islam ada orang yang berpura-pura, di kalangan bukan Islam pun ada. Di kalangan orang putih atau di kalangan orang Afrika pun ada sikap itu. Begitu juga di kalangan bangsa dan agama lain.

Pendeknya, sikap dan perangai berpura-pura ini boleh didapati di mana-mana saja. Ia ada di Amerika, di negara-negara Arab, di zaman dahulu, zaman sekarang dan zaman akan datang. Di negara kita pun ramai yang berpura-pura.

Ia juga tidak mengenal Islam atau bukan Islam, Syiah atau bukan Syiah.

Di dalam PAS ada yang berpura-pura, malah di dalam Umno juga mungkin lebih ramai jumlahnya. Bagi yang pernah bertanding apa-apa jawatan dalam Umno, sama ada di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi, tentu amat faham tentang perangai berpura-pura ini.

Adakah ini bermakna dalam Umno juga ramai penganut Syiah?

Suatu ketika, pernah seorang pemimpin Umno yang bertanding jawatan Pengerusi Tetap Umno Malaysia melahirkan rasa kecewanya dengan sikap perwakilan Umno yang bersikap berpura-pura di depannya dengan mengatakan telah memberikan undi kepadanya sedangkan beliau akhirnya kalah juga.

Kata pemimpin tersebut, kalau ikutkan yang bersalam dan mengaku memberi undi kepadanya, jumlahnya hampir 1,500 orang tetapi akhirnya undi yang diperolehinya tidak sampai pun 300 jumlahnya. Apakah mereka itu penganut Syiah belaka?

Sudah tentulah tidak masuk akal untuk mengatakan berpura-pura itu salah satu elemen Syiah kerana sikap itu bersifat umum dan ada pada semua kelompok manusia, dan bukannya ciri mutlak orang Syiah.

Sebagai Menteri Dalam Negeri yang berani membuat dakwaan secara terbuka kepada Mat Sabu sebagai pengamal Syiah, Ahmad Zahid tidak seharusnya cuba berselindung dengan memberi hujah atau bukti yang longgar dan umum mengenai dakwaan yang dibuatnya sehingga akhirnya tafsiran umum ialah beliau sengaja membangkitkan isu itu sekadar untuk meraih publisiti semata-mata.

Ini kerana dengan hujah atau bukti yang longgar, sudah tentu orang yang dituduh dengan mudah saja menangkis dakwaan itu dan penyudahnya dakwaan mengenai Syiah yang dibangkitkannya itu hanya menjadi mainan dan berlegar-legar di media sahaja.

Dalam kes Mat Sabu ini, kalau sekadar satu atau dua kejadian Timbalan Presiden PAS itu pernah bersikap berpura-pura saja sebagai bukti yang ada untuk menuduhnya mengamalkan ajaran Syiah, lebih baiklah ianya tidak didedah atau digembar-gemburkan kepada umum. Bukti-bukti yang lebih kukuh, konkrit dan jelas haruslah dikemukakan.

Jika setakat itu saja asasnya yang menjadi pegangan Ahmad Zahid, bermakna ramailah pengamal Syiah ini, termasuk sebahagian besar ada di dalam Umno sendiri.
- shahbudindotcom


ULASAN GB

Dulu tuduh Mat Sabu agen komunis, sekarang Syiah... apa ada heran Mat Sabu pada itu semua?

Nak dedah dedahlah... kita nak tengok juga apa yang Zahid nak dedahkan. Nak tengok kot-kot jika ada video tunjuk Mat Sabu tenyeh dahinya di batu sewaktu sujud... atau ada rakaman pernikahan mut'ah dengan perempuan lain...

Yang di bawah ini ajaran Islam jenis apa pulak yang mengizinkan sentuhan dengan bukan-muhrim wahai Zahid?


Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan. Belum sempat kamu rencanakan pendedahan terhadap tuduhan palsu kamu, Tuhan mendedahkan dahulu untuk menunjukkan siapa sebenarnya kamu!