20 Mac 2015

[VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud


Bangunkan Islam sebelum laksana hudud Oleh Shamsul Muda

Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang 'Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini' yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.

Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut.

Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini.

Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum itu.

Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.

Merujuk kepada kaedah Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.

Fakta itu menyatakan, 'sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.

Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.

Gambaran yang jelas tentang kuantiti hukum hakam dan tuntutan-tuntutan Islam ini boleh diperolehi melalui tinjauan ke atas pembahagian ulama terhadap jenis-jenis hukum hakam Islam.

Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.

Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).

Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).

Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.


Sementara kedudukannya dalam ‘jadual’ perlaksanaan pula ialah pada kedudukan atau tertib terakhir, seperti yang telah dinyatakan Qaradhawi.

Pandangan Qaradhawi ini turut dikongsi oleh Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, seorang tokoh terkenal pergerakan Ikhwanul Muslimin masa kini, yang juga merupakan pengarang Risalah al-Ta'lim, Syarh Usul al-'Isyreen dan lain-lain.

Dengan ungkapan yang jelas, Muhammad Abdullah al-Khatib mengatakan,"hudud dalam Islam...datang pada [kedudukan] penghujung [proses] pensyariatan [hukum] kerana Islam lebih prihatin terhadap tangan manusia [daripada dipotong akibat mencuri], kehormatan, hak milik dan kehidupan mereka keseluruhannya".

Justeru, beliau menolak dakwaaan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan hukum hudud berada pada kedudukan teratas dalam ‘jadual perlaksanaan Islam’ berbanding hukum hakam yang lain.

Beliau menyatakan, "[hukum] hudud sebagaimana yang kamu lihat dengan syarat-syaratnya yang ketat, dan dengan [syarat] menyediakan keperluan-keperluan asas kepada setiap individu umat ini [sebelum melaksanakannya], datang pada [kedudukan] penghujung hukum hakam [Islam dari segi perlaksanaan], bukannya pada permulaannya, seperti yang didakwa sesetengah [pihak]". (Lihat http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=82931&SecID=391)

Qaradhawi bagaimana pun tidak pula menyatakan dengan jelas, dalil yang menjadi asas kepada pandangan beliau ini. Namun, boleh difahami daripada bicara beliau ketika diwawancara oleh setesen satelit, al-Jazeera pada 10 Januari 2011 itu, dalilnya ialah waktu turun ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukuman-hukuman hudud, iaitu zina, qazaf, mencuri, dan hirabah.

Menurut beliau, ayat-ayat tersebut-yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud- adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan.

Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.

Bagi menyokong pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hudud ini, Qaradhawi juga dilihat berdalilkan dengan hakikat bahawa Islam tidak beria-ia mahu menghukum manusia yang melakukan kesalahan hudud. Hakikat ini adalah jelas kerana amalan Nabi SAW dan hadis-hadis Baginda sendiri menyatakan hal ini.

Jika demikian, umat Islam perlulah bergerak seiring dengan amalan Nabi SAW dari segi mengelak mengenakan hukuman hudud, meskipun ke atas orang yang datang membuat pengakuan secara sukarela.

Ini boleh dilakukan dengan berusaha menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup.

Dari sinilah, perlunya hukum hakam Islam berkaitan kewajipan menjaga kebajikan rakyat, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu, didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.

Dengan berbuat demikian, umat Islam telah bergerak seiring dengan amalan Nabi dari segi berusaha mengelak sedaya mungkin daripada mengenakan hukum hudud ke atas pesalah.

Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.

Justeru, dalam keadaan perlaksanaan Islam secara menyeluruh ini belum selesai dalam sesebuah Negara Islam, hudud bukan sahaja tidak dilaksanakan, bahkan tidak juga diwartakan sebagai undang-undang Negara yang boleh dilaksanakan, sehinggalah urusan perlaksanaan Islam secara menyeluruh tadi selesai dijayakan.

Demikianlah yang difahami daripada penjelasan dan kenyataan-kenyataan Qaradhawi yang turut disokong oleh Muhammad Abdullah al-Khatib, yang disertakan petikannya dalam tulisan ini.

Pemahaman ini nampaknya selaras dengan tindakan Syaidina Umar r.a menangguhkan perlaksanaan hukum hudud secara total pada musim kelaparan, meskipun di kalangan rakyatnya tentu ada orang yang kaya atau berada yang terselamat daripada bencana kelaparan tersebut.

Tidak ada pula pihak yang membantah tindakan beliau itu dengan berhujjah bahawa hukum hudud perlu diteruskan seperti biasa, dengan membebaskan orang yang sabit mencuri disebabkan kelaparan dan mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang terbukti mencuri bukan kerana desakan kelaparan.

Syaidina Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau menangguhkan perlaksanaan hudud di musim kelaparan secara total.

Syaikh Qaradahwi, dengan pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hukum hudud ini, sesungguhnya telah membuat satu anjakan penting dalam diskusi dan wacana hudud, iaitu membuka perbincangan berkenaan aspek berkaitan hukum hudud yang tidak dibincangkan secara serius di negara ini, iaitu kaedah perlaksanaan hukum hudud dalam masyarakat.

Semoga dengan pandangan tokoh besar Islam ini, wacana hudud di negara ini tidak terus dikurung atau dilihat dikurung dalam skopnya yang lama, yang hanya berlegar di sekitar kewajipan melaksanakan hukum hudud, keadilan hukum hudud, kesesuaiannya dalam masyarakat majmuk dan seumpamanya.




ULASAN GB

Demikian penjelasan Ketua Ulama Sedunia, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi. Sudahkah PAS (terutama PAS Kelantan dan ahli MSU) merujuk kepada beliau sebelum membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang diluluskan oleh DUN Kelantan yang lalu?

Kita terperangkap dengan kegopohan PAS melakukan pindaan enakmen tersebut. Dan kita akan dituduh sebagai penentang hudud sekiranya tidak menyokong pindaan tersebut. Sedangkan jelas dari kenyataan Al-Qardhawi bahawa “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

Itu sebab mengapa kita perlu prioritaskan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan disamping menghapuskan kezaliman melalui Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum kita dapat melaksanakan hudud.

Dan sebab itu juga penting kita menguasa Putrajaya terlebih dahulu. Semua ajensi kerajaan sudah dapat dita kawal...sistem pendidikan pun kita kawal dan subjek hudud boleh diperkenalkan dan ditekankan di peringkat sekolah. Media main peranan untuk menerangkan hudud dan kebaikan-kebaikannya. Sedikit demi sedikit nanti rakyat akan faham mengapa hudud itu wajib dilaksanakan. Bila kita dah ada kuasa..tekanan dan halangan dari mana-mana pihak hatta DAP sekaipun dapat kita kurangkan bila kita berjaya meyakinkan mereka Islam itu adil kepada semua.

Apa yang berlaku kini adalah disebaliknya. Timbul suara-suara pimpinan tertinggi PAS kata, hudud lebih penting dari Putrajaya, hudud lebih penting dari pakatan Rakyat dan seumpamanya macamlah UMNO 100% akan sokong hudud yang nak dibentangkan di Parlimen nanti...

Mereka yang hendak melaksanakan hudud sebelum rakyat dibangunkan dengan ciri kehidupan Islam adalah umpama orang yang turun berlari dari Bukit Uhud untuk merebut ghanimah, sedankan Islam belum betul-betul menang lagi. Akhirnya, musuh mengambil peluang merebut Bukit Uhud dan kemudian menghancurkan umat Islam yang berebut ghanimah itu. Bezanya ialah kalau di dalam Perang Uhud Rasulullah saw sendiri memerintah jangan turun dulu untuk merebut ghanimah, tetapi di dalam isu sekarang, pemimpin tertinggi PAS sendiri yang menyuruh turun rebut ghanimah!

Bangunkan dahulu kehidupan Islam. Itu penegasan Al-Qardhawi. Apakah Kelantan sudah beres membantu dan mebangunkan penduduk yang telah terlibat dengan banjir baru-baru ini contohnya? Kajian Merdeka Center sebelum ini adalah betul.

Dalam tinjauan yang dilakukan terhadap 1008 pengundi, 84% daripadanya bersetuju usaha pemulihan pasca banjir diutamakan Kelantan pimpinan PAS dan pandangan sama turut disuarakan sejumlah majoriti besar (81%) pengundi Melayu-Islam seluruh Semenanjung Malaysia.

"Cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk menarik perhatian terhadap enakmen kanun jenayah hudud ini tidak akan meningkatkan kedudukan parti memerintah negeri (PAS) di kalangan pengundi Kelantan ataupun pengundi beragama Islam di peringkat nasional.

"Perkara ini mengimbas semula prestasi teruk parti tersebut semasa Pilihan Raya Umum 2004 di bawah manifesto 'Negara Islam' yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu dan hampir kalah di Kelantan," kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan, hari ini.

Kajian antara 21 hingga 30 Januari 2015, melibatkan 60% pengundi Melayu, 30% pengundi Cina dan 10% pengundi India yang dipilih secara persampelan rawak berstrata (random stratified sampling) mengikut kaum, jantina dan negeri kediaman.

Hanya 11% responden Melayu saja yang mahu undang-undang hudud diluluskan pada tahun ini manakala 8% daripadanya tidak pasti.

"Penemuan kajian ini selari dengan hasil kajian Merdeka Center yang dilaksanakan pada April 2014. Dalam kajian tersebut, didapati majoriti (58%) responden Melayu-Islam merasakan negara Malaysia ini belum bersedia untuk melihat kanun jenayah hudud dilaksanakan," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mula bersidang hari ini bakal membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).
-petikan TMI

Justeru itu fokus prioritas sudah salah. Hudud di Kelantan pula lebih diutamakan daripada Putrajaya dan Pakatan Rakyat. Sedangkan Rasulullah saw sendiri meletakkan hudud sebagai yang terakhir. Begitu mudah "ulama-ulama" PAS ditipu dengan permainan politik UMNO.

UMNO Sokong Hudud Hanya Untuk Pecah-belahkan Pakatan Rakyat


Hudud mungkin tak sempat ke sidang Parlimen kali ini, kata Shahidan

Rang undang-undang persendirian berkaitan hudud yang ingin dibawa PAS ke Parlimen berkemungkinan tidak sempat dibacakan pada sidang Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini, Shahidan berkata senarai jadual persidangan setakat ini tidak menyatakan rang undang-undang persendirian itu akan dibawa.

"Mungkin tidak sempat sebab program kita sudah penuh.

"Kita 9 April Parlimen sudah habis, macam mana pun kita tengok senarai, dalam senarai tiada," kata Shahidan.

Persidangan Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ke-13 Parlimen kali ini bermula 9 Mac lalu dan akan berakhir 9 April hadapan.

Sidang Dewan Rakyat mesyuarat kedua penggal ke-13 untuk tahun ini pula dijangka akan berlangsung bermula 18 Mei hingga 18 Jun hadapan.

"Saya ingat ia terpulang kepada Speaker (Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia), ini rang undang-undang persendirian," katanya yang juga ahli Parlimen Arau.

Kerajaan negeri Kelantan berjaya melakukan pindaan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) hari ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu sebulat suara menyokong usul pindaan berkenaan.

Usul pindaan enakmen berkenaan yang dibacakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob semalam mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan melalui undian suara yang tiada menyatakan bantahan terhadap enakmen berkenaan.

Ahmad semasa menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata, pelaksanaan hukum syariah di Kelantan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi kefahaman rakyat mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan. – TMI


ULASAN GB

Meskipun kesemua ADUN UMNO menyokong pndaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) , namun ia masih belum dapat dikuatkuasakan kerana pindaan perlu dibuat di peringkat Parlimen untuk membolehkannya dilaksanakan.

Sekarang dah tersangkut. Belum apa-apa lagi dah ada MP-MP UMNO BN menolaknya. Menteri di JPM seperti dilaporkan di atas, menyatakan RUU itu tidak dapat dibacakan pada persidangan Parlimen kali ini, satu usaha untuk melengah seterusnya menggagalkan RUU itu di bawa ke parlimen kerana UMNO BN tahu jika dibawa ke Parlimen parti itu akan ditentang hebat oleh rakan-rakan komponennya, MCA, gerakan, MIC dan lain-lain.

MP Pulai pula telah berterus-terang sudah menolaknya.

Jadi apakah ertinya kesemua ini....

Perkara pokok ialah UMNO BN berjaya mengharu-biru dan memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, tiada ketegasan dan tidak istiqamahnya Presiden PAS sendiri terhadap hudud. Dahulu Presiden PAS sendiri yang menyatakan "Hudud Bukan Keutamaan". Sekarang, ini, terimalah dan akurlah jawapannya....Hukum kebenaran dan keadilan tidak pernah menipu!



Jangan persalahkan orang lain. PKR dan DAP berhak untuk tolak hudud. Itu kenyataan Presiden PAS juga. Yang PAS sekarang tiba-tiba percaya sangat UMNO menyokong hudud itu apa pasal....tunggu esok apa kenyataan ketua no 1 UMNO, DS Najib pula...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mengeluarkan kenyataan berkenaan pendirian Putrajaya berhubung Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) -petikan TMI

Mengapa PAS tak cerdik cerdik lagi berpolitik??