1 Mac 2009

Peguam: Sidang Tergempar DUN Perak Sah!

Peguam kepada V.Sivakumar, Chan Kok Keong menyatakan bahawa Sidang tergempar DUN Perak yang dipanggil oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar, adalah SAH.

Menurut Chan, Speaker DUN Perak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memanggil sidang tergempar dewan undangan negeri. Chan menyatakan bahawa sidang dewan undangan negeri Perak hanya ditangguhkan pada November tahun lalu dan oleh kerana itu Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan tergempar 3 Mac ini.

Persidangan tersebut memenuhi segala peruntukan Perintah Tetap Dewan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan serta perjalanan parlimen yang biasa terpakai di dalam negara-negara komanwel.

"Speaker mempunyai kuasa yang cukup untuk memanggil persidangan yang ke 4 dari seksyen pertama dewan undangan negeri Perak"

Chan juga menyatakan beliau telah merujuk kepada pakar perlembagaan Tommy Thomas (gambar) yang bersetuju bahawa Speaker V.Sivakumar mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

Beliau menambah Sivakumar akan memanggil beberapa orang peguam lagi untuk menerangkan hal-hal perundangan kepada ahli-hli dewan semasa sidang tergempar itu nanti.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, YB Khalil Idham Lim (gambar) mempertikaikan kesahihan kenyataan akhbar itu samada ia benar-benar datang dari Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dan percaya bahawa kenyataan akhbar tersebut bertujuan untuk mengkambing hitamkan Setiausaha Dewan.

Beliau menyatakan bahawa Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri adalah seorang yang memegang dua jawatan yang berbeza tugas dan peranannya dan mendakwa bahawa ada usaha untuk mengagalkan sidang ini oleh Penasihat Undang-undang kerajaan negeri.

Mengikut Khalil, kenyataan tersebut jelas atas arahan pihak tertentu. Beliau tahu sangat bahawa Abdullah tidak akan melakukan sesuatu tindakan melainkan berpandukan kepada undang-undang dan perlembagaan.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan petang ini yang dikatakan datang dari Abdullah Antong Sabri menampakkan pelbagai percanggahan dan amat mengelirukan.

Menurut kenyataan itu Speaker gagal untuk mematuhi Peraturan Tetap 8(1) yang menyatakan notis 14 hari diperlukan sebelum dimulakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan mesyuarat dewan.

Tetapi kenyataan akhbar itu tidak menjelaskan sehingga akhir Peraturan Tetap 8(1) tersebut iaitu:

"Sekurang-kurang empat belas hari sebelum dimulakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan semula mesyuarat Dewan, Setiausaha Dewan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli suatu notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyuran memanggil dewan dengan syarat bahawa dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan dan dalam keadaan demikian notis itu hendaklah dikeluarkan dengan seberapa segera yang boleh."

Apabila DUN Perak Dihalang Bersidang...

Sebelum ini kita dah paparkan di dalam satu undian SMS, 97% menyatakan tindakan Speaker Perak yang memanggil sidang tergempar DUN sebagai SAH.

Kami juga membuktikan deretan justifikasi mengapa rakyat membuat keputusan sedemikian.

Tetapi petang ini Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Lumpur hari ini berkata, cadangan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada Selasa ini adalah tidak sah.

Menurut kenyataan itu, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bukan disebabkan kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh Najib.

Berbelit-belit sudah alasan untuk menghalang sidang tergempar DUN ini.

Seorang pakar Perlembagaan dari UIAM, Profesor Dr Abdul Aziz Bari pernah mengulas mengenai hal yang sama sebelum ini.

Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

“Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong”, jelas beliau ketika dihubungi.
Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.

“Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu,” tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.

“Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi,” tambahnya lagi.

Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata “pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN”.

Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.

Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Aziz menjelaskan, “Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan.

Pandikar Amin dipetik di dalam media sebagai berkata speaker dewan harus adil dan tidak memihak.

Aziz menambah di sisi perlembagaan, Anwar sebenarnya tidak perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008 kerana Abdullah adalah ketua kerajaan dan bukan ketua dewan.

“Mungkin apa yang Anwar lakukan itu sekadar strategi politik, tetapi ia bukan satu syarat. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai budaya politik yang ganjil dan tidak mesra perlembagaan dan strategi seperti itu perlu,” ujar Aziz. Abdullah bagaimanapun menolak mentah-mentah sidang tersebut. Pandikar Amin juga enggan memberi laluan.

Aziz berpendapat di dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong bertanggung jawab menitahkan sidang kerana isu sokongan majoriti amat penting dan ia adalah nyawa bagi sesebuah kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

“Pada saya ini selaras dengan kehendak peruntukkan yang berkenaan, khususnya Perkara 43(2)(a), 43(4) dan 55(1) di baca bersama,” tambahnya. Keadaan yang sama wujud di Perak sekarang, kata Aziz.

Beliau berkata “jika sidang DUN tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh DUN dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan.”

Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, “itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya.”

Aziz berkata sokongan majoriti itu terpakai kepada Zambry dan Mohamad Nizar. Beliau menjelaskan soal sokongan majoriti itu boleh dibangkitkan di dalam dewan bila-bila masa sebagaimana yang biasa dilakukan di United Kingdom umpamanya.

“Katakan Zambry kalah kali ini, beliau boleh lepas ini membawa usul undi tidak percaya terhadap Mohamad Nizar pula kalau beliau berasa sokongan ahli dewan terhadap beliau bertambah. Begitu juga dengan ahli dewan yang lain yang berasa mereka mempunyai sokongan yang cukup. Proses ini dizinkan malah dikehendakki oleh perlembagaan,” tegasnya.

Konklusinya: biarkanlah, apa-apa pun rakyat tetap berkuasa dengan undi yang ada nanti semasa pilihanraya. Makin bertambah nampaknya simpati dan sokongan rakyat kepada Nizar dan PR.

Jika BN Kalah Salahkan SPRM dan KPN!

Pelbagai kritikan, pelbagai teguran... terutama terhadap SPRM dan Polis yang tidak profesyenal serta melakukan pendakwaan terpilih. Kesemua kritikan dan aduan tidak diindahkan, malah diperlekehkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Polis Negara.

Mereka masih terbuai dengan mimpi memegang jawatan mereka sampai mati, yang kerjanya membodek dan mengampu kerajaan yang sedia ada sekalipun kepincangannya telah diketahui oleh masyarakat umum.

Mereka begitu cepat bertindak jika aduan itu datangnya dari anggota parti politik kerajaan, sebaliknya akan melengah-lengahkan malah begitu banyak dibakulsampahkan sahaja dengan alasan tak cukup bukti jika ia datang dari bukan pihak kerajaan. Bagi yang melibatkan aduan terhadap pemimpin pembangkang, tiba-tiba belum apa-apa lagi, mereka akan mewarwarkan segera: sudah ada bukti kukuh, jika tiada bukti pastikan juga bukti yang lemah itu diperkukuhkan dengan apa cara sekalipun.

Itulah budaya mereka. Itulah persepsi yang ada terhadap mereka kini.

Daripada kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, jelaslah kepada rakyat bahawa mentaliti mereka hanya berada di tahap itu. Mereka laksana lembu-lembu - tiada perkataan lebih murni selainnya - untuk menjelaskan cara mereka bertindak dan bekerja.

Apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghadiahkan lembu kepada SPRM sebagai tanda protes mereka kerana SPRM didakwa mengamalkan double standard, Ketua Pesuruhjaya SPRM menjawab ia adalah penghinaan kepada kerajaan. Katanya mereka telah buat laporan polis mengenai hal itu dan kini terserah kepada polis. Menghina kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka adalah satu kesalahan, tambahnya

"Mereka menggunakan lembu untuk memperolokkan orang lain. Itu bukan sesuatu yang baik. Pada saya, itu memperolokkan kami... mereka memperkatakan tentang profesionalisme tetapi mereka sendiri tidak profesional. Mereka emosional. Kita baru membuat sedikit penguatkuasaan dan mereka sudah mula berkata macam-macam tentang kita. Sebelum ini, apabila kita menangkap orang-orang daripada kerajaan dan sektor swasta, mereka tidak pula berkata apa-apa."

Terus terang kami ingin nyatakan itu bukan memperolokkan. Tetapi memang sungguh. Kami tidak emosional, tetapi ia manefestasi dari satu kehampaan tentang cara anda bekerja.

Jika tidak percaya ayuh kita ke gelanggang rakyat dan lakukan undian/bancian tentang persepsi rakyat terhadap SPRM? Jika ianya menunjukkan bahawa persepsi rakyat rata-rata menyatakan SPRM itu lembu yang dicucuk hidung, anda mesti letak jawatan malah dipecat terus dari kedudukan anda yang menikmati segala bayaran dari hasil yang diperolehi dari rakyat. Anda berani?

Ahmad Said Hamdan berkata lagi:

Mereka ini sebenarnya bukan bertujuan untuk membuat laporan. Mereka lakukannnya untuk memalukan orang. Mereka lebih suka jika SPRM gagal kerana mereka boleh katakan, kerajaan berat sebelah. Jika mereka serius dalam membuat laporan, mereka akan melaporkan dan diam. Bagaimanapun, jika kita tidak menjalankan tugas, barulah mereka boleh 'hentam' kita. Tetapi mereka telah memalukan orang melalui media terlebih dahulu. Adakah itu adil?

Saya kira jawapan itu untuk anda juga. Tujuan anda menyatakan secara terbuka anda mempunyai bukti yang kukuh terhadap Menteri Besar Selangor mengenai isu 46 ekor lembu dan penyeggaraan kereta peribadi adalah bertujuan memalukan orang. Jika anda serius membuat siasatan, anda menyiasat dan diam. tetapi anda telah memalukan orang melalui media terlebih dahulu. Adakah itu adil?

Cakap tak serupa bikin!

Begitulah juga dengan kenyataan-kenyataan memualkan dari Ketua Polis Negara yang menyatakan bahawa polis tidak zalim.

Pelbagai bukti telah dirakam dan ditunjukkan bahawa sikap sesetengah anggota polis bersikap zalim yang hingga kini tidak diambil tindakan.

Umum mengetahui, tindakan dan siasatan terpilih juga telah menjadi amalan PDRM. Apabila UMNO berhimpun, berdemo, membuat laporan, anda mendiamkan diri malah dalam beberapa kes PDRM seolah-olah dilihat "bekerjasama penuh" terhadap mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kononnya mereka diprovokasi dan seumpamanya. Tetapi jika perkara yang sama dilakukan oleh pihak pembangkang sepantas kilat anda mengecap ia sebagai perhimpunan haram dan berlakulah tindakan-tindakan anggota anda membelasah dan menahan mereka. Tidak zalimkah anggota anda di dalam kes Kugan? Tidak zalimkah namanya apabila anggota anda membiarkan pemuda UMNO menyerang OKU seperti Karpal Singh yang berkerusi roda di perkarangan Parlimen?

Kami telah lama mengingatkan anda berdua untuk berkhidmat untuk negara secara profesyenal dan tanpa berat sebelah. Anda merasa puas hati kerana telah dapat menyenangkan hati "tuan-tuan" anda yang memegang tampuk kerajaan. tetapi anda berdua lupa bahawa rakyatlah yang menjadi "penentu akhir" siapakah yang bakal diletak dan dinobatkan sebagai pemegang tampuk kerajaan.

Justeru itu jika UMNO-BN yang selama ini anda berdua letakkan seluruh jiwa dan raga anda untuk berkhidmat untuk mereka dan bukannya untuk rakyat, maka rakyat sepastinya akan membuat keputusannya dengan bijak nanti untuk memilih siapa yang bakal mereka inginkan memegang tampuk kerajaan.

Berkali kami nyatakan bahawa kami para blogger tidak pernah berhasrat dan betindak untuk menghasut rakyat membenci SPRM atau pun polis, namun tindakan anda sendiri berdualah yang menyebabkan rakyat begitu benci dan jijik terhadap institusi yang anda pegang kini.

Jika BN gagal di dalam setiap kali pilihanraya, anda berdua juga adalah diantara faktor utamanya!

Polis Bertindak Double Standard - Gobind

Polis disifatkan telah mengamalkan "double standard" sewaktu bertindak untuk menyuraikan sekumpulan individu, yang berhimpun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang datang untuk membuat laporan secara beramai-ramai berhubung layanan tidak adil kepada salah seorang tahanan ISA, P. Uthayakumar.

Menurut Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, polis menahan 17 orang termasuk Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam. Gobind Singh telah bertindak sebagai peguam kepada mereka yang ditahan.

Gobind mempersoalkan tindakan polis yang didakwanya mengamalkan sikap "double standard" di dalam melakukan kerja mereka dimana mengapa tindakan dilakukan hanya kepada golongan bukan-UMNO sedang ahli-ahli UMNO yang berhimpun tidak lansung disentuh dan diambil tindakan. Gobind merujuk kepada tindakan pemuda UMNO yang berkelakuan samseng beberapa hari lalu di parlimen serta tindakan ahli-ahli UMNO yang berhimpun dan membuat laporan polis beramai-ramai sebelum ini.

Antara ditahan termasuk seorang wanita yang dihantar ke hospital kerana dilaporkan telah jatuh pengsan. Bagaimanapun polis enggan mengulas lanjut mengenainya.

Pihak polis membenarkan kira-kira 50 orang yang terdiri daripada lima anggota keluarga Uthayakumar dan 45 wakil iaitu lima orang bagi setiap negeri termasuk ahli-ahli Parlimen memasuki IPD untuk membuat laporan masing-masing.

Bagaimanapun mereka yang menunggu di luar IPD pula diminta meninggalkan pekarangan premis tersebut.

Ramai yang mematuhi arahan tersebut tetapi kira-kira 30 orang enggan berbuat demikian.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga mula melepaskan air ke arah kumpulan tersebut sedangkan ianya tidak perlu dilakukan kerana bilangan itu tidak ramai sedangkan anggota unit FRU lebih ramai masa itu.

Kumpulan itu berhimpun semula buat kali ketiga lalu berhadapan dengan tindakan FRU, tetapi akhirnya meninggalkan kawasan IPD.

Sehubungan itu, polis menetapkan ruang lingkup kawasan larangan demi keselamatan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata, rancangan 500 individu untuk membuat laporan secara beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini dianggap sebagai perhimpunan haram dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya.

Kata beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri di dalam perhimpunan tanpa permit yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam, tegas beliau.

Sekumpulan 500 individu yang merupakan penyokong tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) P.Uthayakumar merancang untuk membuat laporan polis beramai-ramai di IPD Brickfields esok kerana mendakwa pihak berkuasa mengabaikan kesihatan Uthayakumar yang berada dalam tahanan.

Beliau berkata tindakan membuat laporan polis beramai-ramai dilihat sebagai satu cara untuk mempersendakan tugas pihak polis kerana menurutnya walaupun hanya satu sahaja laporan dibuat, ia tetap akan disiasat seadil-adilnya.

Katanya, polis tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk membuat laporan polis tetapi bukan secara beramai-ramai.

Namun orangramai mempertikaikan kenyataan polis berkenaan kerana banyak aduan-aduan yang dilakukan oleh mereka yang bukan dari kalangan UMNO lansung tidak disiasat dan diambil tindakan sedangkan jika UMNO melaporkan polis begitu cekap dan akan bertindak seperti lipas kudung.

Dalam pada itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan tindakan polis menahan Ahli Parlimen Kapar.

"Beliau hanya datang untuk membuat laporan kerana merasakan berlaku ketidakadilan kepada rakan di Kamunting dan ditahan kerana menyebabkan kesesakan di kawasan itu (Brickfields).

"Mereka (polis) boleh jaga lalu lintas... pada hal sebelum ini, saya pernah melihat perhimpunan Umno di Pulau Pinang, polis menjaga kesesakan lalu lintas dan tiada yang ditahan," katanya.




Gaji: Siapa Yang Berhak, Nizar atau Zambry?

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) akan melakukan siasatan untuk menentukan samada dan elaun-elaun berkaitan sepatutnya dibayar kepada menteri besar dan exco dari Barisan nasional atau dari Pakatan Rakyat.

Selain Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, PAC turut memanggil barisan exco mereka untuk memberi keterangan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada pukul 4 petang, 5 Mac ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC boleh mengeluarkan arahan untuk waran tangkap terhadap individu yang enggan hadir.

"PAC yang mengadakan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Kewangan negeri, di sini semalam memutuskan terdapat dua perkara sepanjang krisis kerajaan negeri yang perlu ditangani segera iaitu berkaitan pelantikan tiga penasihat Menteri Besar baru dan Ketua Penerangan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Canning itu berkata, PAC mempersoal pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S Veerasingam (Penasihat Hal Ehwal Masyarakat India) dan Datuk Najmuddin Elias AlHafiz sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama serta pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Perak.

Beliau berkata, pelantikan itu dianggap luar biasa dan membabitkan penggunaan sejumlah wang yang besar kerana ia memerlukan pembayaran gaji atau elaun tertentu yang sememangnya menggunakan wang kerajaan negeri.

"Oleh itu, timbul persoalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak berkenaan iaitu apakah dasar undangundang yang diguna dalam pelantikan itu, rasional dan tujuan pelantikan serta emolumen yang dibayar termasuk gaji, elaun dan kemudahan lain yang disediakan," katanya.

Wong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Perak berkata, PAC turut mempersoal manfaat daripada pelantikan itu kerana dua daripada mereka iaitu Chang dan Veerasingam bukan Adun, manakala kelayakan dua wakil rakyat iaitu Mohd Najmuddin dan Hamdi sebagai anggota pentadbiran negeri adalah diragui.

"PAC juga akan menuntut penjelasan berhubung kedudukan Zambry dan Mohammad Nizar sebagai menteri besar serta barisan exco masing-masing pada mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan krisis politik sekarang PAC perlu mengambil berat dan memastikan barisan exco mana harus dibayar gaji dan elaun serta kemudahan lain seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Wong berkata, jika keadaan memerlukan, PAC juga akan memanggil Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bagi memberi penjelasan mengenai perkara yang sama.

"Notis pemberitahuan berhubung mesyuarat itu akan dikeluarkan Setiausaha PAC yang juga bertindak sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri," katanya.

Wong berkata PAC akan mengemukakan cadangan kepada jabatan kewangan negeri dan dwan undangan negeri.

“Mereka mempunyai tanggungjawab melaksanakan cadangan yang kami berikan nanti,” tambahnya.

PAC dianggotai oleh tujuh orang ahli, lima orang dari Pakatan Rakyat dan dua dari Barisan Nasional.