17 Dis 2010

Pandikar Amin Tidak Wajar Sembunyi Di sebalik Kerusi Speaker - ALIRAN

Pandikar jangan bersembunyi disebalik kerusi Speaker, kata Aliran

PETALING JAYA: Aliran Kesedaran Negara (Aliran) mempertikaikan kredibiliti Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai seorang Speaker Dewan Rakyat apabila gagal menjalankan fungsinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Presidennya, P Ramakrishnan berkata, kegagalan Pandikar melakukan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu sekaligus membuktikan prinsip keadilan dan hak asasi seseorang ahli Parlimen turut diketepikan.

Merujuk kepada penggantungan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim bersama tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), (PKR-Gombak) Azmin Ali, dan (PKR-Subang) R Sivarasa selama enam bulan daripada tugas, Aliran berkata situasi itu hanya menyebabkan sistem doktrin pengasingan kuasa di negara ini hanya menjadi satu bahan cemuhan.

"Pengerusi jawatankuasa ini adalah Speaker Parlimen. Mengikut rekod hansard, Speaker memberi jaminan kepada Anwar beliau akan diberikan peluang untuk mempertahankan dirinya dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Namun sebagai pengerusi mesyuarat, beliau tidak mengotakan janjinya dan tidak membenarkan Anwar membuat sebarang penjelasan malah tidak membenarkan Anwar melantik peguam bagi mempertahankan dirinya.

"Beliau tidak boleh mendakwa ada satu usul daripada ahli jawatankuasa mengatakan tidak perlu mendengar penjelasan Anwar… dan kemudian memasukkanya sebagai undi walaupun beliau tidak boleh mengundi dalam jawatankuasa itu, tidak ada merit dalam kenyataannya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramakrishnan berkata, Pandikar sepatutnya mempunyai kuasa mengarahkan jawatankuasa memerhatikan prinsip keadilan, namun beliau mencemarkan tugasnya dengan membenarkan dirinya bertindak sesuka hati.

Ini kerana menurut beliau, Pandikar sepatutnya boleh menggunakan kuasa budi bicaranya sebagai Speaker untuk membuat sebarang keputusan walaupun beliau tidak boleh mengundi.

"Bukankah beliau juga mempunyai beberapa kuasa tertentu sebagai pengerusi bagi memastikan jawatankuasa dikendalikan dengan adil secara akar umbi?

"Pandikar merupakan pengerusi dewan semasa usul dikemukakan untuk menggantung Anwar daripada tugasnya sebagai ahli parlimen selama enam bulan.

"Bagaimana beliau boleh bersikap neutral dalam isu ini semasa beliau mempengerusikannya sebagai sepaker? Jadi bermakna dakwaan Karpal itu betul bahawa beliau kehilangan kuasa moral dalam mempengerusikan Dewan," katanya.

Begitu juga dengan nasib Karpal, Azmin, dan Sivarasa apabila Ramakrishnan mempersoalkan mengenai keputusan yang dikenakan terhadap mereka tanpa sebarang notis tunjuk sebab dikemukakan dan diberi peluang untuk membela diri.

Melihat kepada keadaan ini, beliau berkata undian yang didalangi majoriti ahli parlimen Barisan Nasional jelas membuktikan BN kini terdesak mahu mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum satu jumlah yang gagal dicapai oleh mereka semasa PRU 2008.

"Apa yang berlaku di Perak kini berlaku dalam Dewan Rakyat. Peristiwa semalam melihat kepada sistem demokrasi negara menjadi sebaliknya.

"Corakmya sama, caranya licik. Tindakan ini jelas menunjukkan satu cubaan untuk memperolehi kerus majoriti dua pertiga yang gagal diperoleh BN semasa pilihan raya umum 2008," katanya. -FMT

Bekas Suami Daphne Iking Terkejut Isobel Bukan Anak Kandungnya

Bekas Suami Daphne Iking Terkejut Isobel Bukan Anak Kandungnya

KUALA LUMPUR: Bekas suami kepada pengacara, Daphe Iking memberitahu, bahawa beliau terkejut semasa mengetahui bahawa anak perempuan mereka, Isobel Daniella bukanlah anak kandungnya.

Ryan Chong Yiing Yih, 32, menambah, beliau telah membawa Isobel, 2, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan darah di sebuah klinik di Petaling Jaya, dekat sini selepas mengesyaki perkara tersebut.

"Sampel spesimen tersebut kemudian dihantar ke Australia untuk diuji dan daripada laporan perubatan tersebut menerangkan bahawa saya bukan bapa kepada Isobel," katanya.

Katanya lagi, darah beliau dan Daphne adalah jenis O tetapi Isobel mempunyai darah kumpulan A.

Terdahulu, Ryan yang memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini Jumaat, memaklumkan perasaan syak timbul selepas terbaca e-mel antara Daphne dengan Darren Choy Khin Ming di komputer bekas isterinya.

Katanya lagi, dalam e-mel itu Daphne menulis bahawa seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Kamajit telah memberitahu bahawa wajah Isobel mirip dengan wajah Darren, seorang ahli perniagaan.

Pada prosiding sama, Ryan turut mengemukakan kiriman e-mel dan salinan perbualan antara Daphne dan Darren yang didakwa berlaku di ruang siber.

Antara e-mel tersebut bertarikh antara 13 September 2006 dan 3 Jun 2008 dan mengandungi ayat-ayat seperti ‘I love you’ dan ‘you are my baby’.

Ryan juga memberitahu, beliau mengetahui Daphne dan Darren ada membuat rancangan untuk bercuti di Indonesia untuk melakukan hubungan intim.

Turut dikemukakan di mahkamah ialah invois percutian di sebuah hotel di Bali, Indonesia yang didakwa antara Daphne dan Darren.

Ryan sedang memberi keterangan terhadap Darren, 45, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman peribadinya kerana didakwa memikat Daphne yang semasa itu masih berstatus isterinya.

Ryan berkahwin dengan Daphne pada 27 Januari 2007 di Bali.

Darren didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat supaya Daphne atau nama sebenarnya Daphne Eleanor Iking, 31, melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di B-13-2, The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail, di sini, antara Julai 2007 dan September 2008.

Darren dipercayai merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jka sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Ryan diwakili peguam-peguam Wong Kian Kheong dan Chris Lim manakala peguam-peguam Akbardin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Darren.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung Isnin ini. -mstar

Ahli Tabligh Mati Lemas Di Dungun

Ahli tabligh mati lemas

DUNGUN – “Dengan segala keringat yang ada, saya cuba menolaknya ke tepi beberapa kali, namun arus deras menyebabkan kami hanyut ke tengah semula. Seketika kemudian saya mengalami kekejangan otot menyebabkan saya terpaksa melepaskannya dari pelukan sebelum berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri.

“Akhirnya dia tenggelam dan hilang dari pandangan. Saya benar-benar terkilan kerana gagal menyelamatkannya.”

Demikian menurut Muhamad Sulaiman, 30-an, saksi kejadian yang turut berhadapan detik mencemaskan ketika cuba menyelamatkan rakannya, Bahaman Md Yusof, 26, daripada dihanyutkan ombak ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya di Pantai Batu Pelanduk, Kampung Kuala Abang, dekat sini, pagi semalam.

Muhamad berkata, tragedi yang mengorbankan nyawa sahabat karibnya itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mereka sedang mandi di tepi pantai setelah tiba bersama jemaah tabligh untuk aktiviti keagamaan di Masjid Kuala Abang.

Mayat mangsa ditemui jam 12.20 tengah hari semalam oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, untuk dibedah siasat.

“Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut,” katanya.

Konspirasi SPR: MB Kedah Tunggu Jawapan

Pas masih tunggu respon SPR

ALOR SETAR - Pas Kedah mempertikaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masih belum menerima maklum balas berhubung bantahan yang dibuat mengenai pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga, yang didakwa berlaku penipuan.

Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bantahan yang dibuat Oktober lalu seolah dipandang remeh SPR, malah didakwa tidak berpandukan prosedur yang digariskan SPR apabila pihak yang membuat bantahan tidak dipanggil untuk soal siasat.

“Saya hairan kerana sehingga hari ini, tiada maklum balas daripada SPR mengenai isu ini, sedangkan bantahan telah dikemukakan secara rasmi. Saya masih menunggu jawapan daripada SPR berhubung dakwaan yang saya dedahkan itu,” katanya, ketika dihubungi.

Pada 19 November lalu, Azizan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap SPR berhubung pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga, yang dipamerkan 27 Oktober lalu kerana didakwa berlaku penipuan.

Azizan berkata, pihaknya telah pun membuat bantahan rasmi terhadap SPR, mendakwa penipuan daftar pemilih berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, antaranya di Kem Bukit Kayu Hitam, serta Kompeni Batalion 304 Askar Wataniah di Belantek dan Kem Gubir, membabitkan isteri-isteri anggota tentera.

Azizan mendakwa SPR tidak telus kerana berdasarkan daftar pemilih yang dipamerkan itu, nama-nama pengundi baru terbabit adalah isteri-isteri anggota tentera. Turut menimbulkan keraguan apabila terdapat nama yang dipamerkan itu menetap di kawasan lain, tetapi namanya didaftarkan di kem tersebut.

“Sepatutnya wakil kita yang membuat bantahan sudah dipanggil untuk beri keterangan dan tunjukkan bukti. Sampai sekarang saya masih tunggu, jangan fikir kami berdiam diri bermakna sudah lupa dan akan ketepikan isu itu, saya akan tetap bangkitkan semula apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memberi lebih masa kepada SPR untuk meneliti perkara terbabit, namun tidak menetapkan tempoh tertentu, sebaliknya bercadang mengambil tindakan susulan yang lebih serius sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian.

“Buat masa ini saya hanya mahu tunggu jawapan SPR, jika mereka masih tidak endah, saya akan fikirkan cara lain,” katanya. -SH

DPPWP Anjur Kempen Protes Kenaikan Harga Bahan Api & Gula

Pemuda PAS KL lancar kempen protes harga bahan api, gula naik

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan turun padang mengedarkan risalah membantah kenaikan harga bahan api dan gula yang diumumkan Putrajaya awal bulan ini.

Ia akan dilancarkan di pekarangan Kompleks Sogo di sini pukul 5 petang esok.

Kempen turun ke padang itu mengajak rakyat mengajar kesombongan kerajaan pusat Barisan Nasional yang dianggap sewenang-wenangnya menaikkan harga barang-barang keperluan itu tanpa prihatin pada derita hidup kalangan rakyat bawahan, kata pemangku Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen.

“Rakyat khususnya golongan bawahan menanggung derita yang tidak berkesudahan akibat kenaikan ini.

“Dalam keadaan kerajaan baru bercadang mengkaji kenaikan gaji sesetengah pekerja kerajaan, harga barang terus melambung. Apakah nasib rakyat khususnya warga kota bagi menampung kehidupan mereka,” kata beliau.

Herman berkata, sayap PAS itu mengajak rakyat agar bersama-sama berubah dengan mengajar kesombongan kerajaan Umno-BN melalui kuasa undi dan suara mereka.

“Hanya dengan cara ini dapat mengajar kerajaan BN agar berubah dan prihatin terhadap rakyat,” katanya.

Menurut Herman, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga akan menjelajah ke seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengedarkan risalah kesedaran mengenai kenaikan harga barang asasi rakyat tersebut.

“Pemuda PAS Wilayah mengharapkan agar warga yang prihatin untuk turun bersama-sama pelancaran kempen dan edaran risalah pada hari tersebut,” katanya.

Berkuat kuasa 4 Disember lalu, kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kg bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg. -TMI

MTUC Mahu Kerajaan Henti Potong Subsidi

MTUC: Bayar gaji minimum, henti pemotongan subsidi

Malaysia tidak mampu pengurangan subsidi lebih lanjut kerana sebahagian besar rakyat di negara ini hidup di bawah garis kemiskinan, kata Kongres Kebangsaan Kesatuan Malaysia (MTUC).

Dibebani harga barangan keperluan yang terus naik, maka adalah wajar kerajaan memperkenalkan dasar gaji minumum, kata presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.

Sambil merujuk kajian yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia tahun lalu, Syed Shahir berkata 34 peratus golongan yang makan gaji sekarang berpendapatan kurang RM720 sebulan dan berada di garis kemiskinan negara.

"Tiada kerajaan penyayang yang akan menaikkan lagi kos hidup sehingga membebankan rakyat.

"Kerajaan Malaysia sekarang ini tidak peduli... mereka terus menaikkan harga barangan keperluan asas yang diperlukan untuk terus hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula, semuanya akan menyebabkan kesan inflasi.

Syed Shahir berkata kerajaan tidak sensitif kerana kebanyakan isi rumah rakyat Malaysia tidak dapat menampung kenaikan barangan keperluan itu.

Kerajaan katanya, tidak sepatutnya memotong subsidi untuk menjimatkan dana awam tetapi sebaliknya mengamalkan pentadbiran berjimat-cermat.

"Kerajaan mesti mencari jalan lain bagi memotong perbelanjaannya seperti mengurangkan perbelanjaan pertahanan dan mengurangkan rasuah, termasuk memberikan kontrak yang nilainya 'lebih tinggi' kepada kroni di semua peringkat.

"MTUC mengingatkan kerajaan supaya mengambil kira kebajikan dan masa depan rakyat, termasuk pekerja dan keluarga mereka sebagai tanggungjawab utama mereka,” katanya lagi. -mk

Undang-undang Syariah Sedia Ada Tidak Cukup Mantap Tangani Kes Zina

Undang-undang Islam tak cukup mantap tangani kes zina, kata pakar

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Undang-undang jenayah Syariah perlu dikaji semula agar sistem kehakiman itu mempunyai kuasa menyeluruh sebagai pencegah gejala zina dan pembuangan bayi yang terus mendapat perhatian masyarakat.

Pensyarah Jabatan Undang-undang Islam Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Paizah Ismail berkata, undang-undang jenayah Syariah yang diamalkan bukan undang-undang bertujuan untuk merealisasikan syariat Islam sepenuhnya.

“Sebaliknya, ia merupakan undang-undang yang berperanan untuk menampung kekurangan yang ada pada undang-undang konvensional dalam hal keagamaan.

“Kerana itulah peruntukan-peruntukan dalamnya lebih bersifat untuk menjaga kepentingan keagamaan bagi umat Islam di negara ini dan bukan melaksanakan undang-undang jenayah Islam sepenuhnya,” kata beliau pada Muzakarah Fatwa “Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.

Melihat kepada kes zina dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa, Paizah berkata undang-undang jenayah Syariah gagal untuk berperanan sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menangai gejala itu.

“Mungkin agak janggal untuk mengatakan undang-undang jenayah Syariah di Malaysia sekarang tidak cukup mampu berperanan sebagai satu faktor pencegah gejala perzinaan dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

“Tetapi itulah hakikatnya, meskipun syariat Islam yang menjadi asas kepada undang-undang mempunyai hukuman yang cukup berkesan bagi menghadapi gejala seperti itu, namun syariat tidak diikuti sepenuhnya oleh undang-undang tersebut.

“Tambahan pula rakyat Malaysia termasuk orang Islam masih prejudis terhadap keadilan syariat Islam, realiti ini telah meletakkan undang-undang jenayah Syariah di tempat yang salah,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan sedikit bidang kuasa dan tradisi mahkamah yang kurang mantap, undang-undang jenayah Syariah tidak boleh menyumbang ke arah menyelesaikan masalah zina dan pembuangan bayi.

“Kesan pelaksanaan mungkin ada tetapi sedikit sekali, hasilnya tidak lebih daripada rutin yang tidak mampu mempengaruhi perkembangan masyarakat.

“Justeru dalam menghadapi realiti yang serius seperti soal perzinaan dan pembuangan bayi, undang-undang yang cukup berkesan diperlukan kerana syarat ini tidak dapat dipenuhi undang-undang jenayah syariah sekarang.

“Peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalamnya tidak mampu memberi kejutan kepada remaja dan penuntut terlibat supaya lebih berhati-hati agar tidak akan berhadapan dengan hukuman berat yang sukar dipikul,” katanya. -TMI


Remaja di flat terdedah zina

KUALA LUMPUR – Remaja yang tinggal di kawasan flat kos rendah dikenal pasti antara mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada perbuatan zina dan pembuangan bayi.

Ketua Sub-Unit Seksualiti, Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Mohd. Hassan berkata, jarak rumah yang terletak berhampiran antara satu sama lain boleh mendorong kepada perbuatan tersebut.

“Mungkin disebabkan tinggal berdekatan, mereka terdedah melakukan seks bebas di rumah. Lebih-lebih lagi, apabila ibu bapa tiada di rumah kerana bekerja syif atau melakukan sehingga dua atau tiga pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Muzakarah Pakar Menangani Zina Serta Pembuangan Bayi Di Kalangan Remaja Dan Pelajar Sekolah di sini semalam.

Dalam pada itu, Hamizah memberitahu, dasar untuk membendung masalah perzinaan masih kurang jelas. dasar sedia ada lebih menjurus kepada pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial sahaja tetapi kurang memberi perhatian kepada perzinaan dan salah laku seksual. -kosmo


Elak Asap Rokok, Terpaksa Hidu Sampah, Kata Lutfi

Muhyiddin, Anwar dan Wikileaks Oleh Ahmad Lutfi Othman

Hampir semua parti politik yang dijangka mengadakan pemilihan kepemimpinan pusat pada 2011 menangguhkan agenda penting itu. Tumpuan tentulah mahu difokuskan sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13. Pertandingan dalam parti seringkali mengundang perpecahan, atau sekurang-kurangnya melemahkan kesatuan. Walaupun tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2013 tetapi semua pihak berkepentingan pastinya tidak mahu mengambil risiko.

Umno yang memulakan tradisi penangguhan ini. Selepas 1999, pemilihan MKT Umno tidak lagi dijalankan tiga tahun sekali, tetapi hampir lima tahun, iaitu menyamai usia sesebuah kerajaan. Malah tempoh kerajaan di Malaysia lebih pendek daripada penggal barisan kepemimpinan Umno berkuasa.

Selepas Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar Ibrahim pada September 1998, sebagai langkah mempertahankan kuasanya yang dilihat goyang, kita jarang didedahkan dengan spekulasi kerusi no. 1 dan no. 2 dalam Umno akan dicabar. Era singkat Abdullah Ahmad Badawi juga nampak damai di permukaan. Beliau terpaksa melantik Najib Razak sebagai timbalannya, setelah ditunjuk Mahathir.

Muhyiddin memang regu Najib dalam Team Wawasan 1993, iaitu pasukan yang dibentuk Anwar (bersama Muhammad Muhd Taib dan Rahim Tamby Chik) ketika menawarkan perubahan bagi menghadapi Ghafar Baba (bersama Abdulah dan Sanusi Junid). Meskipun pada awalnya dilihat lebih dekat dengan Abdullah, namun Muhyiddin jugalah merupakan tokoh paling lantang mendesak Perdana Menteri kelima itu meletakkan jawatan lebih cepat daripada jadual awal, selepas prestasi buruk BN dalam PRU12.

Maknanya, Muhyiddin secara berani membawa suara hati Mahathir, yang meletakkan kekalahan BN itu sepenuhnya ke atas bahu Abdullah. Sejak itu, Muhyiddin dilihat rapat dengan Mahathir. Berbanding Abdullah, tentulah Mahathir lebih menyenangi Najib. Namun ia tidak menghalang beliau - secara tertutup - untuk melanjutkan kritikannya, termasuk kepada pemerintahan Najib.

Secara luaran, sokongan terhadap Najib nampak padu. Tiada tanda-tanda beliau akan dicabar daripada dalam. Walaupun usia Muhyiddin lebih tua berbanding Najib, dan dijangka tidak akan menggantikan ketuanya itu, kesetiaannya mungkin boleh dipersoal. Semasa Anwar disingkirkan, Muhyiddin dianggap rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain itu, Muhyiddin juga dianggap lebih pintar, percaya kepada keupayaan diri dan mempunyai kekuatan intelektual tersendiri berbanding Najib. (Malah, ada pemerhati politik melihat isterinya, Rosmah Mansor, lebih ke hadapan dalam isu atau keadaan tertentu). Sementara Najib pula lebih mudah dipengaruhi dan tidak tetap dalam pendirian. Dalam hal ini, Mahathir tentunya lebih cenderung dengan perwatakan Muhyiddin.

Di peringkat barisan Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein memang cukup rapat dengan Najib. Seorang mempunyai hubungan kekeluargaan dan seorang lagi pengikut setia. Naib Presiden seorang lagi, Shafie Apdal, dijangka bermasalah untuk mengekalkan kedudukannya. Rasanya Najib tiada sebarang masalah dengan Zahid, apatah lagi Hisham.

Di waktu "aman", Muhyiddin mungkin tidak menimbulkan kesukaran kepada Najib dan boleh menjadi regunya yang baik. Bagaimanapun, politik selalu mengundang krisis dan ia mungkin muncul secara tiba-tiba. Jika Najib mengharapkan timbalannya yang setia membuta-tuli - sepertimana Mahathir menginginkan Anwar mengikut apa jua kehendaknya - Muhyiddin bukanlah orangnya.

Bagi mengelak Umno ditohmah parti bangsawan baru, Najib lebih selesa dengan Zahid berbanding Hisham, sementalahan pula sepupunya itu gagal menunjukkan prestasi yang baik. Kementerian yang diterajui Hisham kerap menimbulkan masalah walaupun beliau ditempatkan di kementerian-kementerian strategik, seperti Pelajaran dan Dalam Negeri.

Nasib Umno-BN dalam PRU13 seumpama telur di hujung tanduk. Walaupun begitu, ia tetap tidak mampu mengendurkan keghairahan para pemimpinnya untuk mempersiapkan kelengkapan awal bagi pemilihan kepemimpinan parti untuk sessi akan datang.

II. Usah ghairah kuasai Putrajaya

Selamat bersidang perwakilan Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua, Ahad ini. Sementara banyak pihak mengharapkan perbahasan lebih tertumpu untuk memperkemaskan strategi menguasai Putrajaya dan mengambil alih kerajaan, elok juga beberapa peringatan agar pengukuhan ke atas pemerintahan tiga negeri sedia ada dimantapkan, diberi perhatian serius.

Saya tidak bimbang Kelantan," kata seorang veteran politik. "Tapi, kita tidak boleh pandang mudah-rendah usaha BN untuk tawan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Usaha pembaharuan di negeri-negeri ini belum nampak merata. Masa berbaki menjelang pilihan raya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan perubahan ke atas kehidupan rakyat. Biar mereka terkesan dengan gaya Pakatan Rakyat memerintah. Potensi besar kita di Perak harus diimbangi dengan sokongan lebih meluas pengundi Melayu. Biar kerajaan negeri nanti mewakili semua kaum."

Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Mungkin ramai yang marah sebab saya seperti antiklimaks. Tak mengapalah ...," tambahnya lagi sambil meminta saya agar mencatatkan, "tolong ingatkan pemimpin dan wakil rakyat Pakatan, penyakit yang menimpa Umno-BN kini sudah menjalar kepada kita, iaitu wabak jangkitan KUASA." (Beliau menekankan supaya saya menulis kalimah "kuasa" dalam huruf besar).

Pencapaian kerajaan negeri kita belum boleh dianggap cemerlang. Apatah lagi sebaran media kita tidak mencukupi dan kurang berkesan," rungutnya lagi.

Saya juga tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, yang juga dikenali sebagai strategis DAP: "Sebenarnya jika kekuatan kita benar-benar tinggi, kita hasratkan untuk menawan Putrajaya, tetapi agenda mengekalkan apa yang telah kita menang itu sangat penting."

Pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah pula tidak mahu krisis dalaman KeADILan dipandang ringan pimpinan Pakatan. Beliau membandingkan masalah dalaman yang turut melanda PAS, tetapi katanya, pemimpin parti Islam itu "berjaya menyelesaikan dengan cukup cermat dan bijaksana". Tambahnya, ia barangkali akibat daripada KeADILan yang masih belum dapat menguasai dan membentuk satu organisasi yang benar-benar kukuh dari aspek pentadbiran dan pengurusan.

III. Najib dan Altantuya di Wikileaks

Kalau pendedahan Wikileaks hanya menyentuh komen bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes sodomi yang didakwa terhadap Anwar semata-mata, tentulah media dan pemimpin Umno-BN riuh-rendah "7 hari 7 malam" menjajanya bagi meraih kepentingan politik. (Secara kebetulan ataupun terancang, Utusan Malaysia rancak menyerang personaliti Ketua Pembangkang itu dengan menemubual kembali Ummi Hafilda Ali, aktor penting di sebalik fitnah besar terhadap Anwar 12 tahun lalu).

Bukankah sejak awal lagi kes liwat itu "direkacipta" Dr Mahathir semata-mata demi survival kuasanya, dan ia tiada kena mengena langsung dengan soal moral ataupun perundangan? Imej Anwar, yang dilihat seteru paling ketat BN dalam PRU13 nanti, cuba direndahkan sehina-hinanya, terutama pada kaca mata orang Melayu, iaitu khalayak yang masih dipercayai mungkin memberi sokongan kepada Umno.

Malangnya, keghairahan itu tertunda disebabkan Wikileaks turut memuatkan "maklumat" tentang Najib, yang pastinya begitu "menggerunkan" Perdana Menteri. Laporan hasil pandangan peribadi pegawai diplomatik Singapura itu menyebut tentang "masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa dan Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa". Ia secara jelas mengaitkan Najib dengan skandal pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, dengan menekankan "Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu".

Sebenarnya pendedahan laman kontroversi itu sekadar bersumberkan komen peribadi orang-orang tertentu dalam kabel sulit yang dipintas, tetapi belum dapat dipastikan kesahihan faktanya. Media yang dikawal mutlak Umno pula hanya menyiarkan apa yang dirasakan menguntungkan pemiliknya, dan meninggalkan kandungan yang mampu merosakkan imej taukehnya itu. Ibarat orang kelemasan, apa jua yang dianggap mampu menyelamatkannya akan dipergunakan seoptimum mungkin.

Saya tidak menjangkakan komen-komen dalam Wikileaks itu akan membawa masalah besar buat Anwar. Beliau sudah melalui tribulasi yang jauh lebih dahsyat-kejam dan dapat melepasinya. Bagaimanapun, rasa ingin tahu rakyat terhadap isu yang disensasikan itu wajar dimanfaatkan untuk menggemblengkan satu momentum baru, yang tidak terbatas kepada persoalan batang tubuh Anwar. Masyarakat yang dahagakan ketepatan maklumat lebih terdorong untuk mengikuti penjelasan Anwar, dan ini boleh membantut misi jelajah Najib ke seluruh negara yang dijangka bermula awal tahun depan.

Saya tidur masih nyenyak. Makan makanan enak. Isteri masih cantik dan setia. Alhamdulillah. Mereka mahu melemahkan kita, lagi banyak kita diserang, Alhamdulillah lagi banyak rakyat datang kepada kita," kata Anwar ketika menyampaikan ceramah di tapak pasar malam Taman Melati di Wangsa Maju, 14 Disember lalu, mengulas serangan media berikutan pendedahan Wikileaks.

IV. Lebih baik hidu bau sampah

Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung, saya mudah sesak nafas apabila tersedut asap rokok. Ramai pula kawan-kawan perokok tegar sehingga saya selalu semput dan sukar bernafas. Alhamdulillah ramai perokok yang mula faham tentang bahaya menimpa ke atas orang yang tidak merokok tetapi terpaksa menghidu asap ketagihan mereka.

Malam minggu yang lalu, saya mengajak anak-anak dan isteri minum di restoran mamak. Teringin sekali menikmati capati. Kebetulan ada siaran langsung bolasepak Inggeris. Kerusi hampir penuh. Ada meja kosong di tengah-tengah. Belum pun pesanan tiba, asap rokok berkepul-kepul di kiri-kanan kami. Terpaksa saya menarik keluarga keluar. Mujur ada lima kerusi menanti di tepi longkang.

Lari daripada asap rokok, kami dikelilingi bau tengik sampah. Apa nak buat...

Markaz Diserbu Ketika Ceramah

Derbu markas ketika ceramah

SEBAHAGIAN pengikut kumpulan yang diserbu JAIS di Taman Sri Gombak malam kelmarin.

GOMBAK - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya membongkar satu kumpulan ajaran sesat yang dipercayai mengamalkan fahaman Syiah dalam satu serbuan di Taman Sri Gombak di sini malam kelmarin.

Antara ajaran kumpulan tersebut dikatakan menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa.

Pengikut ajaran tersebut juga percaya bahawa dosa mereka akan terhapus jika sanggup memukul dan mencederakan diri sendiri dengan rantai besi.

Ajaran yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu itu dikatakan lebih berbahaya daripada ajaran Al-Aqram (pertubuhan haram) kerana pengikutnya menganggap darah orang Islam yang lain adalah halal dan jika dibunuh dianggap sebagai jihad.

Dalam serbuan pukul 10.15 malam di premis kedai empat tingkat di Taman Sri Gombak itu, seramai 200 pengikut kumpulan tersebut termasuk wanita dan kanak-kanak warga tempatan sedang taksub mendengar ceramah yang disampaikan dalam bahasa Iran oleh seorang penceramah jemputan dari negara itu.

Turut serta dalam ceramah tersebut ialah seorang lelaki yang merupakan penterjemah.

Lebih mengejutkan, ada di kalangan pengikut ajaran tersebut terdiri daripada kakitangan awam serta pensyarah. -kosmo


Pukul badan guna rantai sucikan dosa

GOMBAK: Memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam adalah antara 23 penyelewengan agama diamalkan kumpulan ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Taman Sri Gombak di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.50 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam itu, kira-kira 200 orang, termasuk kakitangan awam, pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) ditahan.

Turut ditahan wanita dan kanak-kanak ketika masing-masing sedang mendengar ceramah disampaikan seorang lelaki warga Iran yang dipercayai ketua fahaman berkenaan.

Bagaimanapun, berpuluh lagi melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat itu sambil melaungkan takbir sebaik menyedari markas itu diserbu 80 pegawai dan anggota JAIS.

Difahamkan, setiap ahli kumpulan dibekalkan tiga batu sebesar kurma yang diletakkan di depan sejadah dan ketika sujud dahi jemaah perlu menyentuh batu itu.

Penyelewengan lain dilakukan kumpulan ajaran sesat itu ialah menziarahi kubur Saidina Husain sebagai ganjaran ke syurga, menghina isteri-isteri Nabi SAW serta mengharuskan sembahyang jamak pada bila-bila masa.

Petang semalam, lelaki warga Iran berusia 48 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang dekat sini, bagi perintah jaminan sementara pendakwa syarie menyiapkan kertas siasatan.
Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin membenarkan mereka dijamin RM2,000 seorang dengan dua penjamin dan memerintahkan lelaki Iran menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta tidak dibenarkan ke luar negeri sehingga tarikh sebutan akan datang.

Saiful kemudian menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan kes.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, mempertikaikan arahan pihak berkuasa agama yang dinyatakan dan diberikan melalui fatwa.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAIS, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, berkata ciri-ciri kesalahan kumpulan itu termasuk Imam adalah maksum, kemunculan Imam Mahadi bersama orang mati untuk memberi keadilan, menyanjung Saidina Ali secara keterlaluan dengan menambah dalam Syahadah serta menghalalkan dan mengamalkan nikah mutaah (perkahwinan kontrak).

Katanya, kumpulan itu dikenal pasti dua tahun lalu dan dikategorikan sebagai serius kerana mereka menyebarkan fahaman Syiah secara sembunyi dan menggunakan pelajar Malaysia yang belajar di republik itu dengan menawarkan biasiswa serta memberi hadiah berupa buku.

“Malah, apabila ada pembesar Iran melawat negara ini, mereka mengadakan kempen dan penerangan berhubung fahaman itu sebelum membuat lawatan ke pusat pengajian tinggi tempatan untuk menyebarkan fahaman mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau menyifatkan tangkapan kelmarin adalah yang terbesar dalam sejarah JAIS dan tidak menolak kemungkinan orang ramai berminat menyertai ajaran itu kerana membenarkan perkahwinan mutaah yang menjurus kepada perkhidmatan seks.

Muhammad Khusrin berkata, daripada 200 yang ditahan, 128 masih berada dalam tahanan, manakala selebihnya kanak-kanak dan remaja dibebaskan. -bh


Wanita Bogel Naik Bas Di Singapura

Singapura - Seorang wanita bogel dilihat menaiki sebuah bas di Bedok kelmarin, lapor asiaoneNews semalam.

GAMBAR yang disiarkan asianoneNews menunjukkan aksi seorang wanita bogel yang menunggu dan menaiki sebuah bas di Bedok, Singapura kelmarin.

Gambar-gambar wanita itu berbogel menaiki sebuah bas dengan membawa beg di bahunya disiarkan di laman berita akhbar berkenaan.

Beberapa saksi memberitahu akhbar Lianhe Wanbao bahawa mereka melihat seorang wanita pertengahan umur menanggalkan pakaiannya sehelai demi sehelai semasa dia mendekati sebuah perhentian bas di Bedok pada petang kelmarin.

Akhbar berbahasa Cina itu melaporkan bahawa perhentian bas tersebut dipenuhi dengan orang ramai yang merenung aksinya.

Lima minit selepas menunggu, sebuah bas tiba dan beberapa saksi menyatakan dia berjalan di depan orang ramai untuk menaiki bas berkenaan.

Pemandu bas itu menghubungi polis apabila melihat wanita itu menaiki basnya dalam keadaan bogel.

Ekoran situasi itu, pemandu bas tersebut mengarahkan semua penumpang lelaki duduk di kerusi depan manakala wanita berkenaan duduk di kerusi bahagian belakang bas.

Salah seorang penumpang memberikan sehelai jaket kepada wanita tersebut untuk menutup tubuhnya.

Anggota-anggota polis kemudiannya menahan wanita tersebut dalam episod yang berlaku selama 45 minit.

Kejadian terbaru itu mencetuskan persoalan di negara berkenaan sama ada semakin ramai penduduk suka berbogel di tempat awam.

Sebelum wanita itu, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an didapati berbogel di restoran MacDonald's di Queensway, Singapura untuk memesan secawan kopi.

Namun, dia kemudiannya turut ditangkap polis pada awal minggu ini. - Agensi

CheguBard: Kita Jangan Asyik Sapu Sampah Ke Bawah Karpet

Che'GuBard setia tetapi demokrasi harus diselamatkan dalam parti

Beberapa hari ini saya dihujani email, sms dan panggilan telefon bertanyakan mengenai betulkah saya meninggalkan KEADILAN dan menyertai sebuah parti lain bersama Zaid Ibrahim. Malah ada sms dari beberapa nombor (hantu) tak dikenali dengan sengaja menghantar masej sindiran-sindiran yang agak kasar.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Zaid yang telah memilih "kenderaan" politik baru baginya. Saya dan teman-teman menghormati pendirian yang beliau ambil dengan menyertai AKIM dan kemudian melalui mesyuarat agong tergempar beliau terpilih sebagai Presiden dan keputusan diambil menukar parti tersebut kepada Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA).

Sekurang-kurangnya beliau melilih untuk terus berjuang demi rakyat dan pertahan prinsip yang beliau yakini. Sebagai seorang yang pro-demokrasi saya mengajak diri saya dan semua melihat perkembangan ini dari persepsi positif. Saya juga berharap Zaid dapat menggunakan "kenderaan" politik baru yang beliau ada ini untuk menyemarakkan demokrasi, mendidik rakyat terbanyak mengenai hak seterusnya memperkasa rakyat. Saya juga yakin selagi beliau dan teman-temanya berpegang pada prinsip memperjuangkan rakyat maka beliau punya peranan dan kekuatan penting dalam lanskap politik negara. Saya ada sedikit keyakinan beliau bukan seperti kawan-kawan yang lain yang keluar dari KEADILAN yang hanya dijadikan alat regim seperti sebelum ini.

Saya dengan ini ingin menjawab dengan tegas tohmahan yang dilemparkan kononnya saya meninggalkan parti dan dipujuk oleh Zaid dengan bayaran tertentu. Sememangnya sejak dari ketika proses pemilihan saya sudah difitnah menerima wang dari Zaid sebanyak RM400,000 kononya bagi menyokong beliau.

Mungkin menghormati saya Zaid tidak pernah pun mempelawa saya menyertai beliau keluar parti dan memasuki parti lain. Saya juga tegaskan kesetiaan saya kepada KEADILAN tidak pernah goyah. Cuma kritikan yang saya lontar ialah demi kebaikan parti ini. Saya tidak mahu jika terdapat masalah kita asyik "menyapu" semua masalah dibawah karpet.

Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayngkan negara ini kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya.

Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam keadilan belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN suibur mekar maka kita perlu keberanian mendesak.

Saya menerima nasihat Setiausaha Agung iaitu sabar dan jangan buat bukan-bukan. Namun sampai bila saya harus menanti...

Saya tegaskan ini bukan persoalan kewangan atau jawatan kerana itu saya tegaskan saya tolak semua lantikan. Tanpa jawatan pun kita sebenarnya mampu menyumbang terhadap gerakan kalau kita mahu.

Namun saya juga ingin berpesan kepada teman-teman saya yang bersama berkongsi aspirasi ini agar turut bersabar dengan sindiran dan cubaan provokasi pihak tertentu... mereka ialah golongan yang tidak mahu suara pendesak ada dalam KEADILAN, mereka mahu kita lakukan sesuatu tak terkawal untuk mudah mereka mencari alasan menyingkirkan kita.

Ingat KEADILAN ini parti rakyat, ia parti kita... kerana itu saya dan teman-teman yang berkongsi aspirasi terus menjalankan program di perbagai peringkat. -chegubard

Ulasan GB

Bersama Mustaffa Kamil Ayub, Che'gubard mampu untuk mengembalikan dan meletakkan identiti PKR ke tempatnya yang lebih murni setelah integriti dan imej PKR tercemar teruk akibat kedurjanaan pimpinan PKR yang sedia ada melaksanakan konspirasi sehingga menjadikan imej PKR begitu teruk tercemar sekarang ini.

Di dalam tulisan GB sebelum ini, harapan kini adalah kepada pemimpin seperti mereka, yang mempunyai ketrampilan merubah PKR dengan satu pewarnaan yang lebih holistik. Setidak-tidaknya itu harapan sebahagian besar ahli-ahli PKR jika mahu parti dipimpin oleh tokoh yang boleh menjadi role-model.



ADUN Tenang Kembali Ke Rahmatullah

Ahli Dewan Undangan Negeri N05 Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia

ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada jam 1.10 awal pagi ini. Allahyarham berusia 59 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang lelaki.

Menurut Umno Online, Allahyarham diirawat di Hospital Ampang Puteri kerana penyakit kencing manis sejak 24 November lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menjalani rawatan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan Allahhyarham yang juga ketua Umno Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selepas mengadu tidak sihat dan terlantar hampir sebulan.

Pada 24 November lalu, Allayarham memohon dipindahkan ke hospital swasta di ibu negara itu.

Tenang dilihat sebagai kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum 2008, apabila Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 49.66 peratus pengundi Melayu, manakala Cina 38.13 peratus, India 12.11 peratus dan bangsa-bangsa lain 0.10 peratus.

Awal petang semalam, Bernama memetik setiausaha Umno Labis, Abdul Razak Abdul Rashid, sebagai berkata Sulaiman dirawat di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan dalam keadaan stabil.

Katanya, Sulaiman, 59, menghidap demam biasa sekembalinya daripada menghadiri majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada petang 23 November dan dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat pada hari yang sama setelah doktor mendapati kadar kandungan gula dalam badannya tinggi.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri pada hari berikutnya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menjalani rawatan selanjutnya.

Abdul Razak berkata beliau difahamkan oleh pihak hospital keadaan Sulaiman adalah stabil namun perlu menjalani rawatan lanjut kerana disyaki terdapat kuman dalam darahnya. -mk

Ulasan GB

Al-fatihah... semuga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah s.w.t.

Dan TENANG, bakal melalui pilihanraya kecil di dalam tempoh 60 hari. Ia adalah medan pertarungan UMNO dan PAS.

Sejak malam tadi, beberapa blogger PR telah menyiarkan berita kematian ADUN Tenang. Malah ada yang gembira kerana akan wujud satu lagi PRK.

Saya tidak faham kenapa ada blogger PR tiba-tiba melompat kegembiraan. Apakah DUN itu boleh dimenangi oleh PR? Atau hanya kerana blogger PR selama ini memang terbiasa, teruja dan ghairah bersorak semata-mata apabila setiap kali berlakunya PRK tanpa mengira samada kita boleh menang atau akan ditimpakan lagi kekalahan dan kehinaan seperti Bagan Pinang, Hulu Selangor, Batu Sapi dan Galas?

Bilalah blogger-blogger PR ni nak cerdik ...
Grow up blogger PR!



Penemuan-penemuan Muslim Yang Mengguncang Dunia

Penemuan-penemuan muslim yang mengubah dunia

Kehidupan moden tak lepas dari penemuan-penemuan ilmuwan muslim. Projek 1001 kembali mengingatkan sejarah 1000 tahun warisan muslim yang dilupakan.

“Ada sebuah lubang dalam ilmu pengetahuan manusia, melompat dari zaman Renaisance langsung kepada Yunani,” ujar Pengerusi Yayasan Sains, Teknologi dan Peradaban Profesor Salim al-Hassani pemimpin 1001 Penemuan.

Penemuan 1001 di Pameran Museum Sains London mendedahkan banyak perkara yang menegaskan kembali sumbangan peradaban non-barat, seperti kerajaan muslim yang suatu waktu pernah meliputi Spanyol dan Portugis, Itali selatan dan terbentang seluas daratan China.

Inilah penemuan muslim yang luar biasa:

1. Operasi Bedah



Sekitar tahun 1000, seorang doktor Al Zahrawi menerbitkan 1500 halaman ensiklopedia berilustrasi tentang operasi bedah yang digunakan di Eropah sebagai rujukan pakar perubatan selama lebih dari 500 tahun. Diantara banyak penemuan, Zahrawi yang menggunakan larutan usus kucing menjadi benang jahitan, sebelum menangani operasi kedua untuk memindahkan jahitan pada luka. Dia juga yang dilaporkan melakukan operasi caesar dan menciptakan sepasang alat penyepit untuk pembedahan.

2. Kopi



Saat ini warga dunia meminum sajian khas tersebut tetapi, kopi pertama kali dibuat di Yaman pada sekitar abad ke-9. Pada awalnya kopi membantu kaum sufi tetap terjaga ibadah larut malam. Kemudian dibawa ke Kaherah oleh sekelompok pelajrt yang kemudian kopi disukai oleh seluruh kerajaan. Pada abad ke-13 kopi menyeberang ke Turki, tetapi baru pada abad ke-16 ketika kacang mulai direbus di Eropah, kopi dibawa ke Itali oleh pedagang Venice.

3. Mesin Terbang



Abbas ibn Firnas adalah orang pertama yang mencuba membuat konstruksi sebuah pesawat terbang dan menerbangkannya. Di abad ke-9 dia melakarkan sebuah perangkat sayap dan secara khusus membentuk layaknya kostum burung. Dalam percubaannya yang terkenal di Kordova Spanyol, Firnas terbang tinggi untuk beberapa saat sebelum kemudian jatuh ke tanah dan mematahkan tulang belakangnya. Desain yang dibuatnya secara tidak terduga menjadi inspirasi bagi seniman Itali Leonardo da Vinci ratusan tahun kemudian.

4. Universiti


Pada tahun 859 seorang putri muda bernama Fatima al-Firhi mendirikan sebuah universiti tingkat pertama di Fez Maroko. Saudara perempuannya Miriam mendirikan masjid indah secara bersamaan menjadi masjid dan universitas al-Qarawiyyin dan terus beroperasi selama 1.200 tahun kemudian. Hassani mengatakan dia berharap orang akan ingat bahwa belajar adalah inti utama tradisi Islam dan cerita tentang al-Firhi bersaudara akan menginspirasi wanita muslim di mana pun di dunia.

5. Aljabar


Kata aljabar berasal dari judul kitab ahli matematik terkenal Persia abad ke-9 ‘Kitab al-Jabr Wal-Mugabala’, yang diterjemahkan ke dalam buku ‘The Book of Reasoning and Balancing’. Membangun akar sistem Yunani dan Hindu, aljabar adalah sistem pemersatu untuk nombor rasional, nombor tidak rasional dan gelombang magnitud. Matematikawan lainnya Al-Khwarizmi juga yang pertama kali memperkenalkan konsep angka menjadi bilangan yang bisa menjadi kekuatan.

6. Optik


“Banyak kemajuan penting dalam studi optik datang dari dunia muslm,” ujar Hassani. Diantara tahun 1000 Ibn al-Haitham membuktikan bahwa manusia melihat objek dari refleksi cahaya dan masuk ke mata, mengacuhkan teori Euclid dan Ptolemy bahwa cahaya dihasilkan dari dalam mata sendiri. Ahli Fizik hebat muslim lainnya juga menemukan fenomena pengukuran kamera di mana dijelaskan bagaimana mata gambar dapat terlihat dengan hubungan antara optik dan otak.

7. Muzik

Muzik muslim memiliki pengaruh signifikan di Eropah. Di antara banyak instrumen yang hadir ke Eropah melalui timur tengah adalah lute dan rahab, nenek moyang biola. Skala notasi musik modern juga dikatakan berasal dari alfabet Arab.

8. Berus Gigi


Menurut Hassani, Nabi Muhammad SAW mempopularkan penggunaan berus gigi pertama kali pada tahun 600. Menggunakan ranting pohon Miswak, untuk membersihkan gigi dan menyegarkan nafas. Substansi kandungan di dalam Miswak juga digunakan dalam ubat gigi moden.

9. Engkol


Banyak dasar sistem automatis moden pertama kali berasal dari dunia muslim, termasuk pemutar yang menghubungkan sistem. Dengan menukarkan gerakan memutar dengan gerakan lurus, pemutar memungkinankan objek berat terangkat relatif lebih mudah. Teknologi tersebut ditemukan oleh Al-jazari pada abad ke-12, kemudian digunakan dalam penggunaan basikal hingga kini

10. Penemuan Sabun di Dunia Islam


Salah satu penemuan penting yang dicapai umat Islam di era keemasan adalah sabun. Sejak abad ke- 7 M, umat Muslim telah mengembangkan sebuah gaya hidup higienis yang mutakhir. Menurut Ahmad Y Al-Hassan dalam bukunya berjudul, Technology Transfer in the Chemical Industries, kota-kota Islam seperti Nablus (Palestin), Kufah (Irak), dan Basrah (Irak) telah menjadi pusat industri sabun.‘’Sabun yang kita kenal hari ini adalah warisan dari peradaban Islam,’’ papar Al-Hassan. Menurut Al-Hassan, sabun yang terbuat dari minyak sayuran, seperti minyak zaitun serta minyak aroma, pertama kali dihasilkan para ahli kimia Muslim di era kekhalifahan. Salah seorang sarjana Muslim yang telah mampu menciptakan formula sabun adalah Al-Razikimiawan legendaris dari Persia.

‘’Hingga kini, formula untuk membuat sabun tak pernah berubah,’’ cetus Al-Hassan. Sabun yang dibuat umat Muslim di zaman kejayaan sudah menggunakan pewarna dan pewangi. Selain itu, ada sabun cair dan ada pula sabun basuh tangan. Bahkan, pada masa itu sudah tercipta sabun khusus untuk mencukur kumis dan janggut. Harga sabun pada 981 M berkisar tiga Dirham (koin perak) atau setara 0,3 Dinar (koin emas). Resepi pembuatan sabun di dunia Islam juga telah ditulis seorang doktor terkemuka dari Andalusia Sepanyol Islam bernama Abu Al-Qasim Al-Zahrawi alias Abulcassis (936-1013 M).

11. ROBOT
Patung-patung bergerak al-Jazari


Banyak yang menyangka Robot pertama diciptakan oleh sang genius Leonardo da Vinci di tahun 1495. Tapi lihat ini di Wikipedia. Di tahun 1206, seorang ilmuwan bernama Al-Jazari sudah menciptakan sebuah ”mesin” yang bisa bergerak-gerak menggunakan tenaga air berbentuk manusia.

Ini, adalah salahsatu Robot pertama dalam sejarah manusia. Khususnya adalah robot pertama yang diprogram secara mekanis, the first programmable humanoid robots. Robot-robot ini berbentuk musisi yang secara otomatis boleh memainkan alat muzik bila dihidupkan. Lihat di Wikipedia : Robot, History of Robots. Para ilmuwan Islam sudah membuatnya jauh sebelum Leonardo Da Vinci.

12. Rumus graviti universal



Penemuan "Hukum Graviti Universal" oleh Newton (Principia, 1687) dianggap sebagai salah satu puncak tertinggi dari seluruh eskalasi kecerdasan spesies manusia. Tapi lihat juga ini di Wikipedia. Seorang ilmuwan bernama Muhammad Ibn Musa di abad 9 sudah menciptakan hipotesis akan adanya suatu Daya Tarik raksasa dalam pergerakan benda-benda luar angkasa. Ilmuwan Islam bahkan sudah mendahului Newton.

13. Angka 0, 1-9



Bayangkan saja angka-angka standar 0, 1-9 yang sekarang digunakan di seluruh dunia. Angka-angka ini diperkenalkan pertama kalinya oleh ilmuwan Islam. Nama ilmuwan genius itu adalah Al-Khwarizmi.

Dia juga menciptakan sistem penghitungan aljabar, yang dalam bahasa Inggris antarabangsa dikenal sebagai Algebra, yang diambil dari judul buku Al-Khwarizmi, Hisab al-jabr w’al-muqabala. Al-Khwarizmi dianggap sebagai Bapak Aljabar Dunia.

Dan Algorithma (algorithm) yang tentu menjadi inti flowchart pemecahan masalah dan sistem sebuah program komputer, berasal dari nama Al-Khwarizmi. Al-Khawrimi adalah seorang genius yang merubah seluruh dunia.