31 Jan 2013

“Mengapa Polis Tembak Mati Isteri Saya?”


Seorang pemandu lori menuntut siasatan bebas mengapa isterinya ditembak mati oleh polis selepas berlaku kejar mengejar kereta dua minggu lalu di kawasan perumahan dan berakhir dengan kejadian tembak.

Insiden berlaku pada 18 Januari pada jam 8.30 malam, apabila Pua Bee Chun, seorang suri rumah berusia 22 tahun bersama rakannya, dikejar polis semasa memandu di Taman Sentosa di sini.

Foo Voon Kong, 26 tahun memberitahu wartawan bahawa isterinya, menurut bedah siasat, mati akibat peluru menusuk ke bahagian jantung.

“Ada 24 lubang peluru di tepi pintu keretanya,”
kata Foo.

“Saya diberitahu oleh seseorang, saya ingat dia bergurau dan meminta agar tidak bergurau. Kemudian dia bawa saya ke tempat kejadian dan apabila saya tiba, isteri saya sudah dalam beg mayat,” kata ayah kepada dua orang anak itu.

“Polis tembak isteri saya,” katanya lagi.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak memberi sebarang keterangan mengapa Pua, yang dikatakan seorang yang baik ditembak mati. Foo membuat laporan polis dan beliau mahu tindakan diambil ke atas polis Klang kerana gagal memberitahu sebab menembak isterinya.

Kematian Pua berlaku dalam pada pelbagai pihak mendesak Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) selepas kemarahan orang ramai dia atas dua kematian melibatkan polis bulan ini.



Dua minggu lalu polis dituduh memukul pengawal keselamatan berusia 41 tahun C. Sugumaran ketika tangannya digari dan didakwa dipukul beramai-ramai oleh polis dan sejumlah 20 orang awam lain.

Kematian Sugumaran adalah sebahagian dari kes kematian melibatkan polis, termasuk kematian dalam tahanan Chang Chin Te awal tahun ini, A. Kugan dan R. Gunasegaran pada 2009, dan kematian dalam kejadian tembakan seorang lelaki berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah pada tahun 2010.

Dalam semua kes, polis menafikan sebarang salahlaku.

Dalam kes Pua, polis sekali lagi dituduh cuba menyembunyikan kesalahan apabila Foo mendakwa rakaman yang dirakam oleh kamera litar tertutup dirampas dan dipadamkan.

"Dengan memadamkan bukti itu sudah menjadi kesalahan jenayah," kata ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga tersebut.

Menurut Foo, kamera tersebut kepunyaan penduduk di kawasan tersebut apabila peristiwa tembak itu berlaku. Lelaki berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak menerangkan bagaimana polis memadamkan rakaman.

Ahli parlimen Kelang dari DAP Charles Santiago menuntut Bukit Aman membuat siasatan bebas ke atas insiden ini dan polis Klang. "Dari melihat 24 lubang peluru kita dapat tahu polis ini menembak sesuka hati," kata Santiago lagi.

Gobind berkata keluarga mangsa akan mengumumkan apa tindakan yang akan dilakukan, termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas polis.

Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, terdapat "lebih 1,500 tahanan mati ketika ditahan pihak berkuasa.

Gobind dan Santiago berkata peningkatan kematian melibatkan polis mengukuhkan sebab mengapa IPCMC perlu ditubuhkan, cadangan yang ditunggu-tunggu oleh kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang sejak 2006. -TMI


“Mengapa Polis Tembak Mati Isteri Saya?”


KLANG 31 JAN : Seorang pemandu lori mahu Polis Diraja Malaysia berterus terang dan menyiasat bagaimana isterinya, Pua Bee Chun, 22, mati dipercayai ditembak anggota mereka.

Bee Chun dipercayai mati ditembak ketika berada di dalam sebuah kereta di Jalan Bendahara, Taman Sentosa, Klang pada 18 Januari.

Menurut Foo Voon Kong, 27, isterinya dipercayai mati selepas ditembak dari belakang badannya. Kereta tersebut dipercayai ditembak sebanyak 24 kali.

Voon Kong mendakwa segala usaha untuk mendapat penjelasan daripada polis tentang bagaimana dan kenapa isterinya mati menemui jalan buntu.

Di dalam satu sidang media di sini hari ini, Voon Kong berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan isterinya pada 5 petang pada hari kejadian sebelum isterinya keluar rumah.

Katanya, beliau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) menyuruh Bee Chun pulang untuk makan malam dan keluar ke pasar malam bersama kedua anak mereka.

“Bagaimanapun, beliau (isteri) kata tidak dapat pulang, apabila saya menghantar sms kali kedua bertanya dia dimana, isteri saya tidak membalas sms itu.

“Kira-kira jam 8.30 malam, saya menerima panggilan telefon dari rakan saya memberitahu beliau ternampak isteri mayat isteri saya.

“Apabila saya sampai ditempat kejadian, saya lihat ramai orang awam dan polis, mayat isteri saya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Doktor memaklumkan, isteri saya ditembak melalui belakang badannya,” katanya di dalam sidang akbar di pejabat khidmat MP Klang.

Beliau mendakwa polis tidak menjalankan tugas mereka secara profesional dengan melulu menembak isterinya.

“Semua bukti seperti baju, kamera litar tertutup (CCTV) dan kereta yang dinaiki isteri saya diambil polis.

“Saya percaya isteri saya ditembak dengan 24 das tembakan berdasarkan kesan tembakan di pintu kereta dan bahagian belakang kereta,” katanya.

Voon Kong menambah, beliau difahamkan isterinya ditembak ketika di dalam sebuah kereta jenis Waja bewarna perak bersama seorang lelaki yang merupakan kawannya.

Lelaki tersebut dipercayai ditahan polis dan satu laporan polis telah dibuat oleh Voon Kong pada 19 Januari lalu di Balai Polis Klang.

Sementara itu, MP Klang, Charles Santiago berkata kes itu merupakan yang ketiga berlaku selepas kematian pengawal keselamatan C Sugumaran dan kes Amirul Rasyid yang membabitkan polis.

“Kini, semua bukti berkaitan dengan pembunuhan hilang. Jika semua bukti ini tiada bagaimana hendak bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Selain itu, MP Puchong, Gobind SinghDeo mahu polis menjalankan siasatan yang adil dan Perdana Menteri perlu campur tangan dalam kes itu.

“Polis tidak boleh menghukum mangsa dengan terus menembaknya, kini polis sudah tidak memberi perlindungan kepada rakyat.”
-SH

Nizar: Zambry Menabur fitnah Setelah Gagal Jawab Penyelewengan Tanah Di Perak

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, banyak tanah Perak diseleweng kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Zambry Kadir didedahkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi isu tersebut gagal dijawab.

“Bila Umno BN gagal jawab isu, mereka timbulkan pula fitnah kononnya Tuan Guru Nik Aziz (Nik Mat) merasuah pemimpin DAP Perak untuk berikan saya jawatan Menteri Besar dengan memberikan tanah Kelantan.

“Fitnah ini jelas menghina kedudukan Sultan Perak yang berkuasa mutlak melantik Menteri Besar dan pemimpin Umno BN yang celupar fitnah dan mereka patut didakwa segera,” kata Adun Pasir Panjang itu di hadapan lebih 5,000 hadirin.

Pelbagai bangsa termasuk Orang Asal dari Chenderiang dan Kampung Batu Berangkai, Kampar hadir pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Perak, Temoh Stesen, Tapah, malam kelmarin.

Nizar berkata, himpunan rakyat Tapah yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas merupakan mesej sokongan kepada Ketua Umum KEADILAN itu bahawa rakyat mahukan perubahan.

Turut hadir, Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Adun Hutan Melintang, S Kesavan; Adun Sungkai, A Sivanesan; Adun Keranji, Chen Fook Chye dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Mustafa Kamil Ayub.

Mengulas suasana aman ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu, Nizar berkata, himpunan boleh aman jika tiada provokasi dari Umno BN.

“Polis memberi kerjasama hari itu. Rusuhan yang tercetus sebelum ini semua berpunca dari Umno BN yang gemar melihat keganasan untuk memastikan mereka terus berkuasa,” ujar bekas MB Perak yang dirampas jawatannya itu secara haram oleh BN. -KD

"Percepatkan Tindakan Ke Atas Ibrahim Ali" - Abu Talib

Pihak berkuasa harus mempercepatkan tindakan terhadap Datuk Ibrahim Ali berhubungan dengan gesaannya untuk membakar bible, kata bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang lantang itu dilaporkan menggesa agar kitab suci penganut agama Kristian itu dibakar dalam satu sidang media di Pulau Pinang pada 19 Januari.

“Isunya bukan pembakaran bible. Apa yang menjadi isu adakah beliau mengucapkan kata-kata tersebut?” kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah baru-baru ini.

“Jika ya, sama ada kata-kata tersebut berunsur hasutan menurut Akta Hasutan dengan membacanya secara keseluruhan dan dalam konteks ianya dibuat. Jadi, sama ada bible telah dibakar adalah tidak ketara walaupun membantu dalam pendakwaan kes itu jika beliau didakwa,” katanya.

Bekas peguam tertinggi kerajaan itu berkata laporan polis yang dilakukan pengadu terhadap kenyataan provokatif Ibrahim berkait dengan pertikaian mengenai penggunaan kalimah “Allah” yang masih belum selesai semenjak empat tahun lalu.

Beliau mengatakan tidak ada sebab penguatkuasa undang-undang berlengah-lengah membuat keputusan sama ada mahu mendakwa atau tidak ahli parlimen bebas itu yang telah dituduh mencetuskan ketegangan di antara penganut agama Islam Malaysia dan penganut agama lain.

“Polis mengatakan mereka merakamkan kenyataan dari saksi yang relevan. Sudah tentu mereka tidak perlukan masa yang begitu banyak untuk melengkapkan penyiasatan dan membuat keputusan jika mereka komited kepada penyiasatan yang adil dan saksama.

“Demi keadilan kepadanya bersihkan beliau segera jika beliau tidak bertindak bertentangan dengan Akta Hasutan 1948 atau untuk perkara itu, mana-mana undang-undang yang terpakai,”
kata lelaki berusia 73 tahun itu yang menjawat jawatan peguam negara selama 13 tahun dari 1980 hingga 1993, merujuk kepada Ibrahim.

Majlis Peguam dan ahli parlimen pembangkang Karpal Singh telah mendesak kerajaan untuk mendakwa ahli parlimen Pasir Mas itu kerana menghasut akan tetapi Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengatakan tindakan hanya akan diambil kepada Ibrahim jika bible telah dibakar, dan kenyataan Ibrahim tidak membimbangkan beliau.

Menekankan tentang isu ini, Abu Talib berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bekerja untuk memansuhkan undang-undang kuno, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - yang telah secara meluas digunakan sebagai alat untuk menindas perbezaan pendapat – untuk mempercepatkan perjalanan sistem keadilan di negara ini dan selaras dengan dasar hak asasi manusia antarabangsa.

“Demokrasi, menjadi kerajaan dari, untuk dan oleh rakyat, menunjukkan penduduk perlu diberi perkhidmatan dan yang dipilih adalah hamba, dan bukan sebaliknya,” kata Abu Talib yang pernah mempengerusikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pejabat Peguam Negara dan pasukan polis telah dikutuk oleh orang ramai baru-baru ini dengan pembangkang Rakyat Pakatan (PR) menuduh dua institusi awam itu bekerja dengan musuh politik mereka Barisan Nasional (BN), bagi memastikannya terus berkuasa.

Pejabat Peguam Negara di bawah pimpinan Abdul Gani diserang dengan tuduhan mengamalkan pendakwaan terpilih, termasuk daripada bekas penjawat awam lain seperti bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim.

Tinjauan baru-baru ini terhadap lima institusi awam oleh Merdeka Center menyaksikan polis adalah yang paling tidak dipercayai dikalangan pengundi kali pertama Pilihan Raya 2013, berbanding kedua-dua kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sistem kehakiman, badan penggendali pilihan raya dan parti politik.

Ahli-ahli politik dan pemimpin gereja telah membidas Ibrahim, pengasas dan presiden Perkasa kerana didakwa menyemarakkan kebencian agama diantara orang Islam dan bukan Islam.

Islam adalah kumpulan agama terbesar di Malaysia sebanyak 60 peratus, manakala minoriti Kristian hanya di bawah 10 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengecewakan pemimpin gereja dengan khutbah Jumaat lepas, di mana ia memberi amaran kepada umat Islam di seluruh negara “musuh-musuh Islam” akan cuba untuk mengelirukan mereka supaya mempercayai semua agama berkongsi tuhan yang sama.

Pemimpin Islam dan Kristian di sini bertelagah di atas penggunaan perkataan Arab “Allah” walaupun penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 memerintahkan Islam tidak mempunyai hak eksklusif kepada perkataan “Allah”.

Perdebatan timbul semula bulan lalu selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusannya sempena Hari Natal mendesak kerajaan persekutuan agar menarik semula pengharaman terhadap penggunaan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu.

Kumpulan gereja Sabah juga telah mendakwa kebebasan beragama Bumiputera Kristian diserang sambil menegaskan kebanyakan penganutnya datang daripada Malaysia Timur dan menggunakan bahasa Melayu.

Kumpulan penganut agama Buddha telah menggesa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk campur tangan menyelesaikan pertikaian tentang penggunaan kalimah “Allah” daripada terus berlarutan. -TMI

[VIDEO] Utusan Kena Lagi, Sedia Bayar Ganti Rugi Pada Azan Ismail

laporan fitnah: Utusan sedia bayar ganti rugi pada Azan Ismail

KUALA LUMPUR 31 Jan: Keputusan kes saman fitnah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail terhadap Utusan Malaysia ditangguh ke 5 Februari ini untuk menentukan sama ada diteruskan atau mencapai penyelesaian di luar mahkamah.

Kes yang bermula sejak 2010 itu sepatutnya diumumkan keputusan hari ini. Bagaimanapun Utusan sedia untuk membayar gantirugi.

Setelah berbincang, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menangguh kes sehingga tarikh tersebut.

“Pengamal media perlu kembalikan integriti berita mereka, terutama media arus perdana yang ketika dulu sangat tinggi integritinya, tetapi sekarang terlalu terpengaruh memainkan peranan sebagai penyokong kuat kerajaan,” jelas Azan mengulas keputusan itu.

Azan menuntut Utusan membuat permohonan maaf terbuka sebagai bukti mereka menyedari kesilapan dan perlu menyiarkan berita dengan telus.

“Saya tidak langsung memikirkan jumlah wang yang mereka mahu bayar, tapi mereka perlu menyedari apa yang mereka buat dan memberitahu kesilapan mereka kerana menyiarkan berita tidak benar,” katanya ditemani peguam, A Vasudevan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Menurutnya, pada 5 Februari, skala permohonan maaf akan ditentukan pihak mahkamah, dan jika Pengerusi KEADILAN Terengganu itu tidak berpuas hati, kes akan dibicarakan secara terbuka.

Azan memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap editor, Zulkiflee Bakar dan Utusan pada April 2010 ekoran penyiaran artikel bertarikh 6 Mac yang mendakwa beliau keluar KEADILAN dan turut meletakkkan gambar beliau bersama ahli politik yang keluar sebelum itu.

Pada 8 Mac 2010, Utusan sekali lagi menyiarkan berita kononnya Azan tidak keluar KEADILAN tetapi meletak semua jawatan termasuk sebagai Timbalan Pengerusi KEADILAN Terengganu dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri ketika itu -KD

Himpunan Dah Berjalan Aman, Najib Dah Ucap Terima Kasih, Apasal Polis Masih Buru...,

Buru peserta HKR bawa anak, polis ikut telunjuk Umno

KUALA LUMPUR 30 Jan: ‘Kepantasan’ polis mengenal pasti peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu yang membawa kanak-kanak sepatutnya diamal apabila memburu penjenayah.

Demikian sinis Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua membidas tindakan polis dilaporkan mengeluarkan 14 gambar ibu bapa yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke HKR di Stadium Merdeka.

“Ini hanya tindakan terdesak kerajaan dengan mengerahkan polis sebagai orang suruhan. Umno BN tidak akan senang hati melihat rakyat berkumpul di HKR.

“Membawa anak-anak mereka adalah hak ibu bapa. Tapi kenapa perhimpunan BN tidak pernah menyatakan larangan bawa kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau mempersoal sikap kerajaan yang memberi jaminan bahawa perhimpunan HKR adalah aman dan selamat, tetapi menghalang kanak-kanak hadir.

“Kalau sudah beri jaminan, kenapa timbul pula isu tidak boleh bawa kanak-kanak. Saya kesal sikap polis yang sibuk mengejar isu ini berbanding soal keselamatan orang awam.

“Hasil daripada tangkapan atau denda tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada polis. Ini semua muslihat politik Umno sahaja,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Polis hari ini dilapor mengeluarkan gambar mereka terbabit yang didakwa membawa kanak-kanak ke himpunan itu.

Menurut polis, perbuatan itu melanggar Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman denda maksimum RM20,000 di bawah PAA, dan denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Kanak-kanak. -KD


Najib: 'Terima kasih kepada pembangkang'


KUALA LUMPUR - Sambil mengucapkan "terima kasih kepada pembangkang", Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung secara aman, anjuran Pakatan Rakyat (PR), di Stadium Merdeka Sabtu lalu, menjadi testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dipetik Bernama, Najib berkata, ia membuktikan kemampuan semua pihak tidak kira pihak berkuasa mahu pun penganjur mematuhi peruntukan dan semangat akta itu.

"Pendek kata, apa yang berlaku menunjukkan bahawa islah dan reform kepada apa yang kita lakukan adalah tepat sekali.

"Terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian persidangan transformasi perundangan berhubung dengan keselamatan dan hak asasi di sini, hari ini.

Buat pertama kali satu perhimpunan anjuran pihak pembangkang diadakan di Stadium Merdeka. Penganjur menyasarkan penyertaan kira-kira sejuta orang. Ia dipercayai dihadiri sekitar 100,000 orang.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang turut dikenali dengan kod #KL112 dibenarkan oleh polis dengan 27 syarat manakala pengurusan Stadium Merdeka hanya membenarkan hadirin tidak melebihi 30,000 orang.

Ia yang berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang berakhir dengan pengisytiharan deklarasi 10 perkara.
-SH


Ulasan GB

Orang bawa anak pergi perhimpunan aman, bukan bawa pergi pub, bukan bawa pergi disko, bukan bawa pergi jomheboh, bukan bawa pergi perhimpunan haram...

Itu jika UMNO BN yang bawa kanak-kanak, apa pasal tak mahu cari, apasal tidak ambil tindakan, apa pasal tak heboh dan siar seluruh negara?

Jika Najib sendiri sudah berterima kasih kepada pihak pembangkan kerana perjalanan perhimpunan yang aman, kenapa polis berlebih-lebihan pula memburu sianu dan siani? Bukankah itu bermakna polis meludah ke muka Najib? Atau Najib sendiri yang hipokrit suruh polis bertindak? Yang mana satu

Grafik dari facebook

Ambil Tindakan Undang-undang Jika Ada Pihak Halang S'ngor Ambil-alih Perkhidmatan Air

Selangor ambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari

Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan bahawa kita akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air.

Justeru, dalam surat tersebut kita telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas.

Dalam perkembangan berkaitan, kita mendapat aduan rakyat bahawa Syabas telah mengedarkan risalah yang mengkritik kerajaan Selangor dalam isu air. Hasil dari siasatan awal yang kita lakukan didapati kenyataan Syabas tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas, Ir V Subramaniam.

Dengan ini Syabas mengeluarkan risalah ini tanpa mendapat persetujuan dan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah Syabas.

Sehubungan itu, sebagai pemegang saham dalam Syabas, kerajaan Selangor mendesak supaya diadakan siasatan dalaman terhadap Subramaniam kerana bertindak melebihi kuasa yang dibenarkan.

Kerajaan Negeri Selangor juga telah dimaklumkan bahawa mutaakhir ini berlaku kekerapan kejadian paip bocor yang memberi kesan terhadap pembekalan air kepada rakyat.

Kerajaan Negeri Selangor akan memantau perkara ini dengan serius demi menjaga kepentingan rakyat dan memastikan lebih 5 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas dengan gangguan bekalan air akibat kegagalan Syabas menyelenggara paip dengan baik dan berkala.

Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor

Ulasan GB

JIKA pihak kerajaan pusat cuba berdolak dalik dan cuba menghalang kerajaan Selangor mengambil-alih perkhidmatan air, GB suka mencadangkan kepada pihak kerajaan Selangor supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menghalang termasuk TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kerana beliau yang telah membuat kenyataan umum bahawa "Pusat tidak sekat Selangor ambil alih konsesi air".


Rakyat ingin melihat ketegasan K'jaan Selangor di bawah MB Tan Sri Khalid Ibrahim setelah kerajaan PR Selangor sentiasa ditipu, dibuli, diperdaya, diperbodoh, dipersenda dan dipermainkan oleh Kerajaan Pusat bersama konco-konconya.

[AZAB DUNIA] 7 Tahun Koma Ariel Sharon Masih Disambung Mesin Pernafasan

BaitulMaqdis– Bekas Perdana Menteri Israel yang tidak sedarkan diri selama tujuh tahun selepas diserang angin ahmar disahkan tidak mampu pulih semula.

Pun begitu, dia masih dilihat mampu memproses maklumat dan otaknya menunjukkan banyak aktiviti.

Pendedahan mengejutkan itu dibuat doktor yang melakukan ujian baru-baru ini ke atas pemimpin itu yang berusia 84 tahun.

Pasukan perubatan yang membuat ujian ke atas Ariel Sharon minggu lalu berkata, imbasan menunjukkan bekas pemimpin itu memberi tindak balas kepada gambar keluarganya dan rakaman suara anak lelakinya.

Mereka, bagaimanapun menekankan, tidak jelas sejauh mana Sharon memahami apa yang ditunjukkan kepadanya sambil menekankan dia tiada peluang pulih seperti biasa.

“Kami terkejut melihat aktiviti otaknya. Dia dapat maklumat dan memprosesnya. Dia dengar apa yang dikatakan.

“Sejauh mana tahap dia memahami, kami tidak dapat kata dengan pasti tetapi petunjuk menggalakkan,” kata ketua Pusat Sains Saraf Zlotowski di Universiti Ben-Gurion,i Beersheba, Dr Alon Friedman.

Sharon berada di kemuncak kuasa politiknya pada awal 2006 apabila serangan angin ahmar melumpuhkannya. Sharon koma sejak itu dan disambungkan kepada mesin pernafasan.

Keluarganya berkata, kadang-kadang dia membuka mata dan menggerakkan jari, tetapi tiada banyak maklumat didedahkan mengenai keadaan Sharon. Tiada siapa juga berkata kognitifnya kembali berfungsi.

Minggu lalu, sepasukan saintis Israel dan Amerika Syarikat mengadakan beberapa pemeriksaan ke atasnya di Hospital Soroka di Beersheba, menggunakan mesin imbasan MRI yang baru dibangunkan untuk menilai fungsi otaknya.

Friedman berkata, prosedur dua jam itu antara yang pertama dilakukan ke atas pesakit yang mengalami pendarahan otak. Ia juga jarang dilakukan ke atas pesakit pada usia Sharon.

Untuk rekod, pada tahun 1956, Ariel Sharon pernah bersumpah;

“Saya bersumpah, saya akan bakar setiap bayi dilahirkan di Palestin. Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan…” -Mynewshub