14 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 14 Februari 2009

Kerajaan haram BN Perak pimpinan Dr.Zambry Abdul Kadir kini berada di hujung tanduk apabila beliau bersama enam Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah Selasa lepas akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu ini oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar.

Sivakumar yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Dr. Mah Hang Soon, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin telah dihantar pada pagi semalam melalui Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong.

Zambry yang masih cuba memperlekehkan Sivakumar menyatakan bahawa Sivakumar perlu mengtahui apa yang dia perbuat. Sementara itu, V Sivakumar di atas kapisitinya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap kepada Menteri Besar baru Perak dan enam Exco jika mereka tidak hadir perbicaraan khas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

2 berita yang disiarkan di Kelab GB sebelum ini dirujuk di sini dan di sini.

PEMUDA DAP BUAT ADUAN POLIS TERHADAP UMNO

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini membuat laporan polis terhadap UMNO dan Naib Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin kerana menganjurkan perhimpunan haram di Padang Sultan Abdul Jalil di sini, Isnin lalu.

Naib Pengerusi DAPSY, Wong Kah Woh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning berkata, berdasarkan laporan media, ucapan Khairy pada perhimpunan secara jelas berniat menggalakkan kekerasan digunakan terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Saya terkejut selepas mengetahui UMNO dan Khairy dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan haram di tempat terbuka tanpa campur tangan polis.

"Kandungan ucapan Khairy mempunyai niat untuk mencetuskan keganasan dan menggugat ketenteraman awam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan IPD itu.

Beliau berkata, polis perlu mengambil tindakan secara adil ke atas semua pihak tanpa mengira parti politik bagi membuktikan mereka adalah polis untuk rakyat.

KARPAL SINGH PERTIKAI PERLANTIKAN ZAKI TUN AZMI SEBAGAI PENGERUSI SURUHANJAYA PERLANTIKAN HAKIM

Karpal Singh yang sebelum ini pernah mempertikaikan perlantikan Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara hari ini mendesak kerajaan mengkaji semula perlantikan Hakim Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Zaki Tun Azmi, menurut Karpal pernah membuat pengakuan emberi rasuah kepada staf mahkamah ketika bertindak sebagai peguam dua dekad lalu.

Sehubungan itu, Karpal berkata, dari segi moral Zaki sewajarnya telah membuat laporan berhubung kejadian tersebut yang diakui berlaku pada 1987.

KETUA PEMUDA PAS SIFATKAN SPR MENGIKUT TELUNJUK UMNO

Ketua Pemuda PAS, YB Salehuddin Ayub hari ini mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memilih 7 April 2009 sebagai tarikh pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Apa yang jelas tarikh 7 April dikemukakan memang di atas desakan pemimpin UMNO khususnya yang mereka akan bertarung dalam gelanggang mereka pada akhir bulan Mac nanti," kata Salehuddin.

Dalam pada itu, Salehuddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda yang disandangnya di dalam Muktamar akan datang untuk memberi laluan kepada pemimpin muda.

ISTERI PANDITAHN TIDAK SAH SEBAGAI PRESIDEN IPF

Barisan Progresif India (IPF) yang mendakwa mempunyai kira-kira 300,000 anggota, dilanda krisis apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan bahawa pemilihan Puan Sri Jayashree Pandithan sebagai presidennya pada 14 Dis 2008 adalah tidak sah.

Dalam sepucuk surat bertarikh 30 Jan 2009 kepada parti itu, Pendaftar Pertubuhan Datuk Md Alias Kalil memaklumkan bahawa pelantikan Jayashree tidak mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Beliau juga mengisytiharkan penggantungan timbalan presiden IPF V. Senggutuan dan naib presiden parti M. Mathyalagan serta pengeluaran notis tunjuk sebab kepada 12 anggota majlis tertinggi parti berkenaan oleh Jayashree pada Disember tahun lepas, tidak sah.

IKATAN ANAK-ANAK PERAK DI PERANTAUN MINTA SIDANG KHAS MAJLIS RAJA-RAJA

Ikatan anak-anak Perak di Perantauan (IKAPP) menuntut satu sidang khas majlis raja-raja (DURBAR) diadakan untuk mengkaji semula keputusan Sultan Azlan Shah memperkenankan penubuhan kerajaan baru Perak serta menuntuk pembubaran DUN Perak supaya pilihanraya di adakan semula.

Tandatangan diambil sebagai referendum kerana dilihat bahawa baginda Sultan Perak tidak bertindak neutral (berkecuali) dan sikap yang dilakukan dan keputusan yang diperkenankan sedemikian rupa akan mencemarkan kemuliaan insitusi beraja.

Seandainya tindakan referendum tidak diindahkan, pihak IKAPP akan menimbangkan untuk membawa hal ini ke peringkat antarabangsa.


Speaker Boleh Keluarkan Waran Tangkap

Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah Selasa lepas akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar.

Sivakumar yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Dr. Mah Hang Soon, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin telah dihantar pada pagi semalam melalui Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong.

Katanya, keputusan tersebut adalah ekoran surat aduan yang diterimanya daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Wong Kah Woh pada Khamis lepas yang meminta supaya ketujuh-tujuh ADUN Barisan Nasional (BN) tersebut dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina Dewan.

Sivakumar enggan untuk mendedahkan namun beberapa akhbar hari ini melaporkan Wong di dalam suratnya telah mendakwa proses perlantikan Zamby sebagai menteri besar dan barisan exconya bertentangan dengan Undang-undang Negeri Perak.

Sementara itu Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, pada sidang akhar di sini, hari ini menyatakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap kepada Menteri Besar baru Perak dan enam Exco jika mereka tidak hadir perbicaraan khas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Rabu ini.

Beberapa orang peguam turut berpendapat bahawa Speaker boleh mengambil tindakan ke atas Zambry dan barisan exconya seperti menggantung keahlian dewan kesemua yang terlibat tanpa gaji seperti mana yang pernah berlaku ke atas Teng Chang Khim pada April 25, 2005, dimana beliau telah digantung dari Dewan Undangan Selangor setelah dituduh bersikap biadab kepada Speaker Datuk Seri Onn Ismail waktu itu.

Sementara itu penganalisis politik menyatakan bahawa kerajaan haram BN Perak tidak akan berkekal lama. "Easy come easy go" - satu kata-kata hikmat yang digunakan yang bermaksud "sedang dapat senang terlepas" bagi menggambarkan keadaan Menteri Besar dan barisan exco BN yang dinaikkan melalui kaedah tidak bermoral oleh Najib dan pihak istana yang kedudukan mereka kini "bagai telur di hujung tanduk".

Mengapa Salahkan Rakyat?

Krisis perlembagaan di Perak timbul apabila Sultan membuat pilihan yang salah dan jelas memihak kepada BN. Sultan ada pilihan lain yang lebih nuetral, iaitu dengan membubarkan Dewan Undangan Perak dan menyerahkan semula kepada rakyat Perak untuk membuat pilihan melalui pilihan raya yang adil dan bebas, tetapi yang peliknya baginda tidak memilih jalan tengah itu.

Dalam pilihan raya Mac 2008, rakyat telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Perak. Biarpun majoriti penguasaan kerusi agak kecil, iaitu 31 Pakatan Rakyat berbanding 28 BN, namun ia sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat berhak memimpin. Dalam sistem demokrasi, kelebihan satu undi memberi makna kemenangan dan ia tidak boleh dipertikai lagi.

Pencetus segala kemelut politik di Perak adalah Sultan sendiri. Ketika mana seluruh rakyat jelata tertumpu dan mengharapkan kebijaksanaan baginda mencari jalan keluar yang boleh memuaskan hati semua pihak, saya hairan mengapa Sultan Azlan Shah memilih untuk menyokong BN. Kewibawaan institusi raja-raja Melayu yang selama ini dilihat berada di atas daripada percaturan politik terjejas dengan teruk sekali. Sultan Azlan Shah, bekas Ketua Hakim Negara, mengetepikan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan dengan itu meletakkan baginda dalam kancah kontroversi yang begitu merugikan.

BN memang cukup takut untuk berdepan dengan rakyat. Sebab itu mereka cuba untuk mengelak dari mengadakan pilihan raya. Mereka lebih suka membeli Adun-Adun Pakatan Rakyat dengan tawaran lumayan, kalaupun tidak dengan ugutan dan ancaman. Mereka umpama perompak dan penyamun, yang mengetepikan hak rakyat untuk memilih pemimpin.

Yang peliknya, mengapa Sultan tidak menggunakan segala kebijaksanaan baginda untuk memilih penyelesaian yang tidak akan menyinggung mana-mana kelompok atau parti yang bersaing untuk meraih kuasa? Saya tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa Sultan seolah-olah sudah dibeli oleh orang-orang politik. Raja-Raja Melayu masih dianggap sebagai pelindung untuk semua rakyat berteduh. Jika benar dakwaan Sultan sudah tidak lagi boleh berperanan memayunngi rakyat, maka ini bermakna kita sudah menempuh satu era gelap yang membawa negara mundur ke belakang.

Episod hitam Sultan dianggap memihak BN apabila timbul krisis politik hendaklah dipadamkan segera. Apatah lagi kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai sultan yang dihormati rakyat tidak wajar dicemarkan hanya kerana perselisihan politik antara BN dan Pakatan Rakyat. Justeru, setiap raja-raja Melayu harus sentiasa cermat sebelum memutuskan sesuatu perkara. Rujukannya adalah Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Pilihannya pula tidaklah sepayah mana.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sudah menghadap memohon perkenan baginda untuk membubarkan Dun. Sultan Azlan Shah yang terkenal arif dan bijaksana itu, hanya perlu memperkenankanya atau tidak memperkenankan. Baginda boleh membiarkan Nizar terus sebagai menteri besar sehinggalah ia diputuskan melalui usul tidak percaya yang akan dibawa ke persidangan Dun tidak lama lagi. Bagaimanapun ramai mengharapkan Sultan Azlan membubarkan sahaja Dun untuk mendapatkan kembali mandat rakyat. Memang tidak ada dalam kuasa baginda untuk memecat seseorang menteri besar, apatah lagi tambah sebab dan alasan yang kukuh.

Keadaan sekarang memang sudah kelam-kabut. Nizar dan anggota Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tentu tidak akan duduk diam selepas mereka dilucutkan jawatan. Reaksi mesti ada, masakan mereka duduk diam melongo. Sesiapa pun pasti akan memberi reaksi atau tindak-balas jika dizalimi atau dianiaya. Kita ada undang-undang yang mesti dipatuhi, tidak kira ia seorang Sultan atau rakyat biasa.

Jika rakyat sudah mula mempersoalkan kewibawaan Sultan, mungkin kerana dipengaruhi "Mat Kemian" yang sering masuk-keluar Istana, maka janganlah mudah untuk melabelkan rakyat yang hina itu sebagai penderhaka pula!


Pak Tam Mat, Jitra


Masalah Besar Kerajaan Haram BN Perak

Masalah pertama di hari persidangan dewan undangan negeri yang bakal menyaksikan Menteri Besar dan exco kerajaan Perak yang baru dinobatkan akan berdepan dengan satu masalah besar: Speaker Dewan Undangan Negeri Perak masih lagi ADUN DAP dari Tronoh, V. Sivakumar.

Sekalipun jumlah ADUN BN pada masa itu ialah 28 mengatasi 1 kerusi ADUN Pakatan Rakyat yang tinggal 27 (tak termasuk 1 lagi kerusi Speaker), namun jawatan Speaker tidak boleh dilucutkan sekalipun dengan usul undi tidak percaya. Demikian kata Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang juga seorang peguam.

Jawatan Sepaker kosong hanyalah jika V.Sivakumar meletakkan jawatannya sebagai ADUN atau dia sudah tidak layak dari memegang jawatannya atau meletakkan jawatannya secara sukarela.

Sivakumar dibolehkan, jika beliau mahu, menghalang bekas ADUN-ADUN Pakatan Rakyat yang melompat, iaitu yang telah "meletakkan jawatannya" dari menghadiri persidangan, dan ia sepastinya akan mengurangkan majoriti BN di dewan undangan negeri berkenaan.

Speaker Negeri sebelum ini telah mengisytiharkan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Osman Jailu dan Jelapang Hee Yit Foong telah mengosongkan kerusinya selepas beliau menerima surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN berkenaan.

Sekiranya Sivakumar meletakkan jawatannya kerana apa-apa sebab, Dewan Undangan Negeri akan dikira "badan perundangan yang tergantung" kerana Undang-undang batang tubuh negeri Perak memperuntukkan dewan tidak boleh bersidang sewaktu kekosongan speaker kecuali untuk tujuan perlantikan seorang speaker.

Dengan tidak mempunyai suara majoriti yang jelas, Menteri Besar kerajaan BN Datuk Dr Zambry Abdul Kadir tiada pilihan lain selain memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri dan mendapat perkenan pihak Istana untuk satu pilihanraya baru bagi negeri Perak.

Namun dengan sentimen rakyat Perak yang kini jelas menolak BN, mereka pasti cuba mengelakkan pilihanraya diadakan dengan apa cara sekalipun.

"Saya percaya mereka terpaksa memilih untuk mengekalkan Sivakumar," tambah Teng.

Namun Speaker pula mempunyai bidangkuasa yang luas di dalam dewan dan kehadiran Sivakumar sepastinya menjadi duri yang memeritkan untuk kerajaan haram BN dan Zambry selaku Menteri Besarnya.

"Sesuatu keputusan Speaker terhadap sesuatu Arahan Tetap tidak boleh dicabar kecuali dengan jalan mengemukakan satu usul (yang terpaksa melalui satu proses yang panjang termasuklah perbahasan di dewan berkenaan)."


Tarikh Pilihanraya Kecil Untuk Selamatkan Najib?

SPR semalam mengumumkan tarikh pilihan raya kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau yang kosong awal minggu ini akan diadakan secara serentak 7 April ini, manakala tarikh penamaan calon pula diadakan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Penganalisis mengaitkan tarikh penamaan calon (29 Mac) yang dibuat iaitu sehari selepas Perhimpunan Agong UMNO (Perhimpunan UMNO ialah dari 26 - 28hb Mac) kepada sifir politik Najib memastikan tiada kemelut baru untuk dirinya di ambang beliau mengambil alih kepimpinan UMNO.

Setelah kalah pada pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu serta gagal membendung kemarahan rakyat apabila melancarkan rampasan kuasa di Perak, Najib tidak boleh menanggung risiko tewas lagi pada pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkifli Ahmad berpendapat bahawa ia terpaksa dilakukan untuk mengelakkan pemberontakan di dalam UMNO kerana jika UMNO kalah di kedua-dua pilihanraya kecil itu, maka Najib sudah tidak ada sedikit pun maruah untuk mengambil-alih kepimpinan dari Pak Lah.

Ramai mempertikaikan penafian SPR yang menyatakan ia tiada katan sama sekali dengan UMNO apabila Najib secara tiba-tiba muncul dengan kenyataannya dari Miri Sarawak menyatakan bahawa tempoh masa yang panjang untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau diadakan akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan juga pembangkang yang menunjukkan bahawa Najiblah yang telah meng"okestra"kan keputusan SPR tersebut.

Pakatan Rakyat akan mempertahankan dua kerusi itu yang dimenangi oleh PAS dan seorang calon bebas yang kemudiannya masuk Parti Keadilan Rakyat.

Najib sekali lagi akan memimpin kempen BN pada pilihanraya kecil berkenaan, kali ini sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, jika perancangan politiknya berjalan mengikut jadual. .

Jika tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, selepas menggunakan segala jentera kerajaan, media arus perdana dan dana awam, kebolehan Najib memimpin UMNO, BN dan negara akan disangsi dan dipertikaikan dengan lebih hebat.








Serah Kediaman Rasmi Bukan Erti Mengalah

Keputusan untuk keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar serta menyerahkan kenderaan rasmi bukan lah petanda Pakatan Rakyat mengalah dan kecewa, kata Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mohammad Nizar berkata tindakan itu hanyalah semata-mata mematuhi arahan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Perak.

“Sedikit pun tidak dengan penyerahan ini, memudaratkan apa-apa tindakan yang kami buat sebelum ini termasuk ikhtiar untuk mendapatkan deklarasi daripada Mahkamah Tinggi. Tidak menjejaskan sama sekali.

“Ia bukan sebarang petanda apaapa elemen bahawa kami menyerah, kami kecewa atau apa jua elemen yang kami ini mahu mengalah,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini selepas memfailkan permohonan mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Ditanya apakah yang akan beliau dilakukan sementara menunggu keputusan mahkamah, Mohammad Nizar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, berkata beliau akan meneruskan tugas harian seperti biasa sebagai Menteri Besar dan begitu juga barisan Exconya yang lain.

Mohammad Nizar, yang hadir ke mahkamah itu bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berkata bahawa pihaknya mahu menuntut hak agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya dapat diadakan semula.

“Kami masih berpegang kepada permohonan saya sebagai Menteri Besar, pada waktu berkenaan. Oleh kerana kami merasakan mengikut lunas undang-undang adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kerajaan yang sah, maka menggunakan peruntukkan yang ada, kami memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan (Perak) untuk membubarkan DUN negeri Perak dan diadakan pilihan raya di seluruh 59 DUN Perak supaya hak rakyat diberikan untuk mereka memilih kerajaan,” katanya.

Ditanya alasan beliau memfailkan permohonan di mahkamah Kuala Lumpur dan tidak di Ipoh, Mohammad Nizar berkata beliau dinasihatkan oleh panel peguamnya bahawa ia adalah “lebih baik dan jernih dan lebih cerdik kalau mereka datang ke sini”.