26 Mei 2010

AMK Perak – Dedah Konspirasi ‘Sogok Wang’ Untuk Keluar Parti

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mengesan wujud percubaan untuk memancing beberapa pimpinan dan bekas Exco AMK Negeri untuk melompat parti dengan taktik kotor berupa sogokan wang dan tawaran projek.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua AMK Negeri Abdul Yunus Jamhari yang mendakwa taktik kotor ini diketuai bekas Ketua AMK Cabang Parit Faizal Effandi Hashim dengan membuat panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi tujuan tersebut.

Menurut Abdul Yunus, tindakan Faizal ini adalah manifestasi di atas kekecewaannya ekoran tidak dilantik menggantikan tempat Anuar Zakaria yang meletakkan jawatan pada penghujung 2009.

"Berikutan itu beliau (Faizal) mula menabur fitnah memburukkan parti dan menimbulkan kacau bilau dikalangan anggota AMK," kata beliau pada sidang media di Wisma Keadilan di sini hari ini.

Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau mendakwa wujud penglibatan Jamaluddin Mohd Radzi, wakil rakyat Behrang dari PKR yang melompat parti, memperalatkan Faizal sebagai orang perantaraan.

Tawaran imbuhan yang lumayan

"Jamaluddin memperalatkan Faizal untuk memancing anggota-anggota AMK dengan tawaran imbuhan yang lumayan," terang beliau.

Beliau mendedahkan satu perjumpaan sulit diatur oleh Faizal pada 22 Mei lalu di salah sebuah kondominium di Ipoh yang dihadiri oleh Jamaluddin serta beberapa anggota AMK.

"Dari maklumat dalaman yang diperolehi butiran perbincangan adalah berkisar tentang keperluan meninggalkan perjuangan PKR dan kaedah untuk keluar parti.

"Sebelum pulang anggota AMK yang terlibat telah diberikan wang saku RM300.00 seorang," kata beliau yang mendedahkan konspirasi tersebut.

Tambah beliau, AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bermaruah itu dan akan membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini jelas melanggar undang-undang negara dan setelah beberapa bukti dan saksi diperoleh kita akan buat laporan kepada pihak polis dan SPRM," katanya.

Lembaga Disiplin Parti

Sementara itu, Abdul Yunus memberitahu AMK juga telah menyiapkan laporan berkaitan untuk dihantar kepada Setiausaha Agung dan Lembaga Disiplin Parti agar tindakan tegas segera diambil sebagai peringatan dan langkah pembersihan dari elemen ‘lompat parti’ yang cukup negatif ini.

Beliau menyifatkan tindakan konspirasi bersama Umno ini dilihat sebagai usaha yang sia-sia kerana umum mengetahui wakil rakyat yang melompat parti mempunyai masalah peribadi dan kewangan yang serius.

Maka sokongan wakil rakyat tersebut kepada Umno tidak mampu menggembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.

"Umum mengetahui mereka (wakil rakyat yang lompat parti) mempunyai masalah peribadi dan kewangan yang serius. Maka sokongan mereka terhadap Umno “ibarat sokong membawa rebah”.

"Ini kerana imej yang sedemikian tidak mampu melonjak kembali sokongan terhadap Umno setelah rakyat menolak mereka dalam pilihanraya umum yang lalu dan dalam siri-siri pilihanraya kecil yang berikutnya," kata beliau.

"Kehadiran ramai pimpinan AMK Negeri termasuk yang telah membuat pendedahan pada hari ini membuktikan bahawa AMK Negeri Perak tetap kuat dan setia bersama PKR.

"Kita sedar perjuangan kita selama ini bukanlah berdasarkan kepentingan peribadi ataupun amalan politik kolot warisan budaya Umno tetapi atas rasa tanggungjawab terhadap negara," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan AMK Negeri Chan Ming Kai, Naib Ketua PKR Negeri A Ganeson dan Setiausaha PKR Negeri Anuar Zakaria.

Berikut ialah laporan mereka yang membuat pengakuan:

* Abdul Jamil b. Abdul Halim – Ketua AMK Sungai Siput Pada 18 Mei 2010 (Selasa) telah menerima panggilan telefon daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sejumlah wang. Beliau akan mengaturkan pertemuan dengan para pemimpin Umno dalam waktu terdekat.

* Yahya b. Sijari – Ketua AMK Bagan Datoh Pada 18 Mei 2010 (Selasa) telah menerima sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dengan mengatakan inilah peluang terbaik untuk mencari kesenangan untuk diri sendiri.

* Mohd Uzaimi b. Mohd Yusof – Ketua AMK Gerik Sekitar Mac 2010 telah menerima panggilan telefon dan sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan projek. Beliau akan mengaturkan pertemuan dengan pemimpin Umno dalam waktu terdekat.

* Mohd Yusri b. Yaacob – Ketua AMK Lumut Pada 19 Mei 2010 (Rabu) telah menerima panggilan telefon dan sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sogokan wang. Beliau akan mengaturkan pertemuan dengan para pemimpin Umno dalam waktu terdekat.

* Azzemi b. Adnan – Ketua AMK Tapah Sekitar Mac 2010 telah menerima panggilan telefon dan sms daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sogokan wang.

* Manichalvan a/l Muniandy – Bekas Ketua AMK Beruas Pada 18 Mei 2010 (Selasa) telah menerima panggilan telefon daripada Faizal memujuk untuk keluar parti dan menawarkan sogokan wang. -FMT

Tidak Ada Undang-Undang Bolehkan Raja Petra Dibicarakan di UK

Tidak ada peruntukkan undang-undang yang membolehkan Kerajaan Malaysia membicarakan bloger Raja Petra Raja Kamarudin di Britain walaupun penulis itu sendiri mahukan begitu, demikian menurut Naib Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee.

Katanya, Raja Petra perlu dibawa balik ke Malaysia untuk dibicarakan. Dan untuk berbuat demikian, perlulah dilihat terlebih dahulu sama ada wujudnya perjanjian penyerahan balik (extradition) di antara kedua-dua buah negara.

Itu pun, kata Lim, bergantung kepada sejauh manakah Kerajaan Britain merasakan wujudnya keperluan untuk mereka menyerahkan Raja Petra kepada Kerajaan Malaysia. Salah satu daripada faktor yang biasanya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Britain ialah sama ada orang yang mereka serahkan itu akan mendapat perbicaraan yang adil.

Hujung minggu lalu, Raja Petra telah muncul dalam satu forum di London dan mencabar Kerajaan Malaysia supaya membicarakannya di United Kingdom. Ini kerana katanya, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk membuktikannya bersalah dan bukanlah sebaliknya.

Raja Petra kini berhadapan dengan dua waran tangkap kerana gagal hadir pada perbicaraan yang melibatkan kes hasutan pada April dan Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, peguam Norman Fernandez turut bersependapat dengan Lim bahawa Raja Petra memang tidak boleh dibicarakan di United Kingdom.

"Tidak ada peruntukkan yang membolehkan dia dibicarakan oleh Kerajaan Malaysia di United Kingdom. Dia bukanlah seorang penjenayah perang...," ujar Fernandez.

Oleh itu, kata Fernandez, kenyataan Raja Petra hanyalah untuk mempersendakan Kerajaan Malaysia selepas dia berjaya meloloskan diri keluar dari Malaysia.

Malah kata Fernandez lagi, tidak ada siapapun yang tahu apakah status Raja Petra di negara tersebut.

"Jika dia masuk dengan pas pelawat, bermakna kehadirannya di negara itu hanyalah terhad untuk waktu-waktu tertentu sahaja atau dia mungkin memasuki Britain dengan menggunakan dokumen khas atau sebagai seorang pelarian...," kata Fernandez lagi.


Cabaran RPK kepada kerajaan: Buktikan saya bersalah di UK!

Raja Petra Kamarudin (RPK) akhirnya muncul di BPP Law School, London untuk mencabar kerajaan Malaysia agar membuktikan beliau bersalah di United Kingdom, tetapi bukan mengurungnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau mereka nak main, main ikut peraturan saya! Bak pepatah, kalau nak tumbangkan musuh, ajak dia main di gelanggang kita. Gelanggang saya di sini, United Kingdom!" Demikianlah kata-kata RPK sambil berseloroh ketika dijemput oleh Solicitor’s International Human Rights Group untuk berucap di BPP Law School, semalam.

Semasa menjawab soalan dari bawah pentas, RPK mendakwa sebaik sahaja beliau dibebaskan pada Februari tahun lalu, pendakwa raya telah memohon agar mahkamah menggugurkan penghakiman tersebut. Namun, permohonan itu tidak terjawab sehingga kini. RPK menjangka dirinya mungkin ditahan semula.

RPK berkata dirinya sanggup berdepan dengan pendakwaan pada bila-bila masa, tetapi enggan melayan seandainya beliau perlu dikurungkan di bawah ISA.

Biarpun RPK pernah dicabar untuk pulang ke mahkamah Malaysia dan membuktikan dirinya tidak bersalah, beliau tetap berkeras, "Penuntut fakulti perundangan tahun pertama juga tahu bahawa tanggungjawab pendakwa raya adalah untuk membuktikan tertuduh bersalah, bukannya tertuduh membuktikan dirinya tidak bersalah. Kalau mereka ingin membuktikan saya bersalah, datanglah ke mahkamah UK!"

Salah seorang hadirin membandingkan situasai antara RPK dengan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, "Kamu dan Anwar Ibrahim berdepan dengan keadaan yang sama. Seorang memilih untuk terus berada dalam negara, seorang lagi memilih untuk terbang ke London. Siapakah pula antaranya yang lebih mungkin untuk mengelakkan diri dari malapetaka?"

Secara terus terang RPK mendakwa Anwar Ibrahim telah bertekad untuk menetap di Malaysia dan menentang sehabis-habisnya, kerana Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri seterusnya. Namun, RPK menyatakan bahawa dirinya tidak berniat untuk menjadi ahli politik.

London telah menjadi medan perang antara kerajaan dan pembangkang di Malaysia, lantaran populasi warga Malaysianya yang agak tinggi. Ahli politik Malaysia seperti Menteri Besar Negeri Perak Zambry Abd Kadir, Anwar Ibrahim, Mohd Nizar Jamaluddin dan lain-lain lagi pernah mendarat di kota antarabangsa ini untuk memberi ucapan politik. Kini, blogger terkenal di Malaysia, RPK turut tampil berkongsi pengalaman dirinya ketika ditahan di bawah ISA.

ISA bukan warisan penjajah British

RPK menafikan bahawa ISA adalah akta yang diwarisi daripada penjajah British, ketika beliau memulakan ucapannya. ISA diluluskan selepas tiga tahun negara kita mencapai kemerdekaan. RPK menambah, ISA dibentangkan oleh bekas PM Abdul Razak pada tahun 1960 (TPM ketika itu), dibantah oleh pemimpin Parti Progresif Rakyat, D. R.Seenivasagam.

Abdul Razak ketika itu memujuk D. R.Seenivasagam dengan alasan bahawa ISA diperlukan untuk menangkis serangan komunis, namun ISA kini telah menjadi alat kerajaan untuk menekan mereka yang berbeza pandangan dan menakut-nakutkan pegawai kerajaan, kata RPK.

Menurut RPK, OKT (orang kena tahan) akan diasak dengan pelbagai tuduhan dalam tempoh penahanan 30 hari pertama, malah berdepan dengan ancaman agar OKT mengaku salah. RPK berkata surat pengakuan salahnya setebal 200 muka surat, antaranya termasuklah "membunuh Presiden Kennedy". Beliau akan dibebaskan seandainya mengaku bersalah, dan meletakkan tandatangan pada setiap muka surat, untuk 30 salinan surat pengakuan yang setebal 200 muka surat.

30 hari kemudiannya, OKT akan diseksa, supaya berpaling tadah untuk menyokong kerajaan. Malah, OKT akan digoda dengan pangkat, wang, rumah banglo dan sebagainya. RPK membahagikan OKT kepada dua kategori, iaitu sebahagiannya akan menerima ganjaran setelah kompromi. Selebihnya pula akan diarah untuk terus kekal dalam pembangkang sebagai "trojan horse" BN. Kuda Trojan ini akan mencetuskan perselisihan dalam pembangkang untuk mencungkil rasa benci pengundi, malah RPK terus menyindir bahawa Zulkifli Nordin adalah antara yang terjatuh dalam kategori ini.

Disambut dengan penghormatan

Selain itu, RPK juga mendedahkan penyeksaan yang berlaku ketika penahanan di bawah ISA. Ketika mengulas pilihan raya kecil yang berlangsung di Malaysia setelah dibangkitkan oleh hadirin, RPK berkata pertubuhan antarabangsa harus menghantar pemerhati untuk memantau perjalanan PRK di Malaysia, yang mana penyelewengannya semakin berleluasa.

Ceramah ini diadakan pada jam 2 petang di London, semalam, menarik kehadiran antara 300 hingga 400 orang. Hadirin berdiri dan menyambut ketibaan RPK dengan tepukan gemuruh. Malah, ada yang meminta tandatangan RPK selepas ceramah tersebut. -MR

Anak Samy Vellu: UMNO Gunakan Pembunuhan Politik Pecahbelahkan MIC


S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mempertahankan tuduhannya kelmarin bahawa Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC termasuk kini menyokong kempen puak anti-Presiden MIC.

“Apa yang saya perkatakan adalah isi hati orang bukan Melayu, dalam hal ini yang membabitkan ahli-ahli MIC dan masyarakat India... untuk itu, jika Tan Sri Muhyiddin mengatakan saya biadap, saya dilabelkan biadap, biarkan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Australia.

“Saya masih berpegang kepada apa yang saya cakap (kelmarin),” kata beliau ringkas tengah malam tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Vell Paari kononnya Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadap.

Timbalan Presiden Umno menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari, anggota terbaru yang dilantik menyertai Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap,” katanya.

Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Mengulas lanjut pendiriannya ketika dihubungi pagi ini, Vell Paari berkata, beliau tiada masalah untuk memohon maaf kepada kepimpinan Umno jika apa yang diperkatakan itu sesuatu yang salah dan dibuat secara sembarangan dan tanpa alasan munasabah.

“Saya seorang yang berpendirian untuk mengatakan sesuatu itu betul jika betul, dan jika salah tetap salah... oleh itu jika ada kesilapan, saya akan mengaku ia sebagai satu kesilapan, dan akan memohon maaf.

“Begitu juga dalam keadaan ini, jika apa yang dikatakan itu (tuduhan ke atas Umno) adalah salah, adalah kesilapan, saya sanggup memohon maaf. Tetapi kita kena tahu apa yang sebenarnya berlaku sepanjang dua tahun lalu?” kata beliau sambil menambah, wujud banyak perkara yang menyinggung dan menguris perasaan ahli-ahli MIC dan masyarakat India.

“Adakalanya perkara-perkara itu menyebabkan wujud satu persepsi MIC tidak berbuat apa-apa sehingga mereka mendakwa kepimpinan tidak buat kerja,” katanya.

Sambil mendakwa reaksi Umno dan pemimpin parti itu sejak dua hari lalu sebagai sesuatu yang memang telah dijangkakan, Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings ini, sayap pelaburan MIC itu menambah, “mereka hanya tersinggung dengan satu perkataan yang saya gunakan iaitu Umno menjadi punca kepada masalah dalaman MIC.”

“Saya minta mereka, tolonglah... mereka perlu meletakkan diri mereka dalam kasut MIC dan melihat isu yang berlaku dari perspektif MIC,” katanya.

“Tolong lihat pada keperitan dan keseksaan yang masyarakat India lalui apabila kerajaan melaksanakan sesetengah dasar yang tidak adil... saya lihat pada perkara-perkara ini yang tidak menfaatkan masyarakat India... jadi saya menyampaikan apa yang terpendam dalam hati mereka,” katanya.

Melabelkan orang India pendatang, pengemis.... bukankah ini semua menyinggung perasaan mereka? Adakah mereka datang ke sini (Malaysia) sebagai pengemis?

“Jangan pandang sepi undi masyarakat India, yang mula kembali kepada BN,” katanya lagi.

“Jika perkara ini tidak diambil kira, jangan salahkan kami apabila mereka mengundi pihak lain (dalam pilihan raya),” kata beliau.

“Saya tidak berminat untuk apa-apa jawatan dalam politik,” katanya menjawab dakwaan bahawa beliau adalah pihak yang ada kepentingan dalam parti dan sebab itu membuat tuduhan sedemikian.

Vell Paari menambah, sepanjang dua tahun lalu “banyak pihak luar telah dibenarkan menggunakan nama Umno dan Perdana Menteri untuk menyerang MIC dan kepimpinannya.

“Laporan-laporan media khususnya media online dengan jelas menggunakan nama Umno sejak dua tahun lalu, mereka menyerang kami (MIC)... mengapa Umno tidak muncul dengan menafikan dakwaan-dakwaan sedemikian?

“Umno diam apabila wujud laporan-laporan macam itu, menyebabkan orang ramai membuat persepsi bahawa Umno di belakang mahu menjatuhkan ayah saya (Samy Vellu) dari MIC.

“Mengapa sekarang apabila saya mengatakan Umno digunakan (oleh kumpulan Mugilan), mereka marah dengan saya
... oleh itu, sekali lagi saya hendak mengatakan bahawa jika dakwaan saya itu tidak betul, saya sedia memohon maaf.

“Sekarang Tan Sri Muhyiddin sudah menafikan Umno tidak terlibat, bagus... oleh itu, apa yang saya mahukan ialah mereka telah menafikan perkara ini dari dulu lagi, yang ia tidak terlibat sebagaimana dilaporkan oleh media dan orang-orang tertentu sebelum ini,” katanya.

Mengenai pandangan bahawa beliau menyerang Umno kerana merupakan anak kepada Presiden MIC, Vell Paari berpendapat, “hanya saya, sebagai seorang anak (lelaki), faham sumbangan dan cabaran dilalui oleh ayah saya (Samy Vellu) dalam memimpin MIC.”

“Apakah saya seorang anak tidak boleh mempertahankan ayah saya? Apabila Tun Dr. Mahathir diserang, siapa yang mempertahankan beliau, anak beliau (Datuk) Mukhriz, siapa yang keluar parti (Umno) bersama Dr. Mahathir? Anak dan isteri beliau.

“Jadi, hanya seorang anak yang berada dekat dengan mereka (ayah) dan faham perjalanan politik ayah mereka,” katanya lagi.

Malah Vell Paari juga menyenaraikan alasan keperitan dilalui MIC apabila Umno dikatakan mahu meletakkan V. Mugilan yang dipecat minggu lalu sebagai calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor berbanding Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang disyorkan oleh MIC.

Selain itu katanya, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. Subramaniam yang juga Naib Presiden terpaksa melalui situasi sunggguh ‘sukar’ apabila kerajaan memutuskan mengubah sistem pengambilan subjek peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“MIC, Palanivel dan Subramaniam... semua melalui situasi yang pahit, tetapi mereka tidak faham kedudukan kami,
” katanya.

Dasar baru mengehadkan subjek peperiksaan SPM didakwa menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat India. -TMI

Gantung ADUN : BN Bakal Dihukum Di Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertolak dengan jet dari Kuantan sesudah merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan menjelang senja, ke bandar 270,000 penduduk itu.

Tetapi beliau tidak pun menjejakkan kaki ke Dewan Suarah, tempat undi dijumlahkan dan pemenangnya diisytiharkan. Hasrat beliau tentu untuk meraikan kemenangan BN yang benar-benar ingin membuktikan bahawa kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang turun berkempen tiga kali, diterima oleh rakyat.

RM400 juta ditaburkan

Namun, Muhyiddin difahamkan bertolak balik ke Kuala Lumpur sebelum jam 9 malam sesudah mengetahui bahawa calon DAP, Wong Ho Leng mendahului calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Robert Lau Hew Yiew.

Keyakinan BN untuk memenangi kerusi itu bukan tidak berasas, mengambil kira jumlah wang yang disalurkan dan janji yang ditaburkan kepada pengundi. Dikatakan lebih RM400 juta dijanjikan untuk pelbagai projek pembangunan bagi menakluki minda dan jiwa pengundi.

Pada hari terakhir sebelum hari mengundi 16 Mei lalu, pemimpin BN mendapat maklumat daripada risikan dan instrumennya bahawa calon mereka masih mendahulu DAP sekitar satu peratus.

Presiden SUPP Tan Sri George Chan Hong Nam dan pemimpin BN Sarawak menyifatkan kekalahan itu sebagai kekalahan kecil. Bagi mereka, seekor ayam yang berkokok tidak semestinya menandakan hari akan siang.


Mereka menasihati DAP supaya tidak terlalu yakin dan angkuh dengan kemenangan itu. Bagi BN, itu bukan bermakna bahawa kunci ke Petrajaya dan Putrajaya akan terlepas daripada tangan mereka.

Bagi DAP kemenangan itu memberi keyakinan dan semangat tinggi untuk melebarkan pengaruhnya dalam pilihan raya negeri nanti. Dalam pilihan raya lalu DAP mememenangi kerusi di bandar Kuching, Meradong dan Bukit Assek, Sibu.

Seterusnya, Miri?

DAP menyimpan azam tinggi untuk menakluki kerusi negeri dan Parlimen di Miri yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN. Tetapi dengan trend dan pola pengundian yang diperlihatkan di Sibu, terutama dalam kalangan pengundi Cina, dapatkah SUPP, parti tertua Sarawak itu terus dengan keyakinan bahawa Miri akan terus dikuasainya?

Dari segi pecahan undi, pengundi Cina menyumbang sebanyak 66.7 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Dalam pilihan raya kecil lalu, terdapat peningkatan yang ketara, daripada 62 peratus pada pilihan raya umum 2008 kepada 69 peratus menyokong DAP.

Mati-matian pemimpin SUPP dan pemimpin negeri mengatakan bahawa trend di Hulu Selangor dan di Semenanjung tidak mungkin berlaku di Sibu dan Sarawak. Kekalahan di Sibu merupakan tamparan hebat kepada SUPP dan pimpinan Ketua Menteri. Bagi SUPP, ia merupakan pil pahit yang perlu ditelannya menjelang pilihan raya negeri.

Mereka lupa bahawa pengundi Cina di Sarawak sebenarnya mendahului pengundi Cina di Semenanjung apabila enam kerusi bandar dikuasai SUPP terlepas ke tangan DAP pada 2006.

Mereka bagai tersentak apabila pengundi Cina langsung tidak mempedulikan rayuan dan gula-gula yang dihulurkan oleh Najib menjelang pilihan raya, termasuk bantuan RM18 juta kepada sekolah Cina dan sekolah menengah bantuan Methodist.

Mac, April 2011 - Pilihan Raya Sarawak?

Bagi mereka, bantuan itu adalah hak mereka, dan datang terlalu lewat ketika banyak lagi sekolah serupa tidak menerima bantuan di seluruh Sarawak.

Peningkatan sebanyak 4 peratus undi di kalangan orang Iban juga bukanlah sesuatu yang signifikan dan dapat dibanggakan sangat jika diambil kira jumlah menteri dan pemimpin politik BN yang turun ke bawah dan jumlah peruntukan yang disalurkan di kalangan penghuni rumah panjang ketika tempoh berkempen.

Kemenangan DAP menyebabkan SUPP semakin risau akan nasibnya dalam pilihan raya negeri yang kini perlu dianjakkan.

Besar kemungkinan pilihan raya Sarawak diadakan sekitar bulan Mac atau April tahun depan. Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri sejak 29 tahun lalu, dan baru meraikan hari jadi ke-74 pada 21 Mei lalu, tidak akan berani mengambil risiko parti BN itu terus dilibas oleh DAP.

Ketua Menteri paling lama memerintah di Malaysia itu ingin membuktikan bahawa kepemimpinan beliau terus diterima oleh 2.5 juta rakyat Sarawak, dan kegagalan BN memenangi sebarang kerusi bukan petanda bahawa rakyat benci kepada beliau biarpun terdapat kain rentang di Sibu yang berteriak 'Undi SUPP=Undi Taib' dan 'Bye-bye to Taib's Dynasty'.

Mungkinkah SUPP akan dicampakkan oleh masyarakat Cina sama seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung? Jika parti yang ditubuhkan pada 1959 itu gagal mmembaiki kelemahannya dan gagal memenuhi aspirasi masyarakat Cina, jangan hairan ia akan menerima padah.

SUPP bakal menghadapi tentangan sengit di kerusi bandar dan berdepan dengan kekalahan di beberapa kerusi lain termasuk di Pelawan, Sarikei dan Dudong. Dalam pilihan raya negeri 2006, SUPP hanya menang tipis di kerusi terbabit.

Jika perkara ini berlaku, DAP dapat menambahkan jumlah kerusi kepada sembilan dalam pilihan raya negeri yang dijangka semakin sengit berbanding 2006.

Dalam pilihan raya itu nanti, BN berdepan dengan pati komponan Pakatan Rakyat yang bersatu, terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan PAS.

Semua kerusi pasti ditandingi, berbeza daripada sebelumnya apabila sebahagian kerusi dimenangi tanpa bertanding. Dengan kerjasama dan persefahaman parti komponen Pakatan Rakyat, BN tidak mungkin diberi laluan mudah. SUPP yang dibelenggu masalah kepemimpinan dan intrig dalaman dijangka gagal menyelesaikan masalah itu dan membaiki imejnya dalam tempoh singkat.

Kini, Pakatan Rakyat semakin mendapat momentum sesudah wakil rakyatnya, Dominique Ng (PKR-Padungan) dan Chong Chien Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung selama 12 bulan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu lalu. Seorang lagi ADUN Ting Tze Fui (DAP- Meradong) bakal menerima nasib yang sama.

Meskipun Wong Ho Leng pengerusi DAP negeri menyifatkan tindakan itu sebagai balas dendam terhadap keupayaan DAP memenangi kerusi Sibu, namun ia tidak lebih sebagai percubaan untuk menyekat suara lantang pemimpin pembangkang daripada mengkritik dasar kerajaan di bawah pimpinan Taib.

Dengan tindakan keras diambil terhadap wakil pembangkang itu, ia sebenarnya hanya menguntungkan DAP kerana masyarakat Cina tidak suka wakil mereka diperlakukan sedemikian. Isu itu hanya akan menyemarakkan kemarahan pengundi Cina yang tentu akan terus menyokong calon DAP. Justeru, jangan hairan, sekali lagi SUPP akan dihukum keras oleh pengundi Cina di bandar dalam pilihan raya negeri nanti. -mk

Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang pernah menjadi pengetua sekolah. Beliau juga pernah menjadi ketua editor akhbar dan menulis lebih 50 buku serta 1,500 artikel yang disiarkan dalam pelbagai akhbar dan majalah tanah air. Beliau merupakan penerima Anugerah Buku Negara pada 2005 dan Penerima Anugerah Buku Unimas pada 2007.

Bidang kepakarannya ialah media dan politik. Penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak ini memperoleh PhD daripada Universiti Malaya pada 2008. Dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini, komen beliau banyak diminta oleh stesen TV dan akhbar tempatan dan nasional.