20 Okt 2010

[Bergambar & Video] Monorel Mina-Arafah Diuji Hari Ini

Monorel Mina-Arafah diuji hari ini

MAKKAH: Sistem monorel yang baru siap dibina akan digunakan buat pertama kali pada musim haji tahun ini bagi mengangkut jemaah untuk perjalanan antara Arafah dan Mina.

Wartawan Malaysia yang dipimpin pengurus pasukan media Tabung Haji (TH) Malaysia, Ahmad Fadzil Ghazali, berpeluang melihat sistem itu dilaksanakan secara percubaan hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan pada peringkat permulaan sistem pengangkutan itu akan hanya dibuka kepada jemaah haji tempatan.

Sistem itu penting bagi mengatasi kesesakan lalulintas setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf di sana - satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap jemaah.

Wukuf kali ini ialah pada 15 November, bersamaan 9 Zulhijjah.

Jemaah haji dari Makkah akan bertolak ke Arafah dengan berpakaian ihram pada 8 Zulhijjah dan bermalam di sana.

Di Arafah, jemaah ditempatkan mengikut benua dan kemudian negara. Khemah disediakan oleh Muassasah, badan kerajaan Arab Saudi yang mengurus haji.
Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia musim ini akan dibawa dengan bas ke Arafah untuk bersama jutaan umat Islam lain.

Pasukan wartawan Malaysia turut melihat persiapan untuk kemudahaan jemaah di Arafah, Mudzalifah dan tempat melontar di Mina.

Kerja penyelenggaraan dan mencantikkan Arafah yang terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Makkah giat dilaksanakan. - BERNAMA

BERITA MUSIM HAJI TAHUN LALU


Ratusan Pekerja Monorail Mekah berasal dari Cina Masuk Islam

Makkah – Setelah menunaikan tahallul, kelihatan beberapa orang jamaah haji di Mina mengganti kain ihram mereka dengan mengenakan t-shirt bertulikan, “Alhamdulillah, ana muslim jadid” (Alhamdulillah, saya seorang muslim yang baru). Menurut harian Al-Madinah, (2/12/2009), Rabu, mereka adalah para mualaf yang berkesempatan menunaikan ibadah haji tahun ini. Jumlah mereka sekitar 150 orang, datang dari beberapa bandar di Arab Saudi.

Dari sejumlah muslim baru tadi, kelihatan beberapa pekerja monorail yang beasal dari negeri Cina yang sedang bekerja di Makkah. Kebanyakkan , mereka masuk Islam sejak bulan Ramadhan yang lalu .

Menurut Christian, Salim Vorchy, dan Abdul Rahim muallaf asal Filipina, mereka masuk Islam setelah berbincang dan membaca buku-buku Islam yang diterjemahkan ke dalam bahasa mereka sendiri.

Bagi mereka, perjumapaan jutaan manusia di Arafah dan Mina menjadi pemandangan yang indah dan mempesonakan.

Salah seorang jamaah, Mendosa Jamal yang semula memeluk agama Katholik, mengatakan bahawa haji dan Islam itu terlalu indah. Ia berkali-kali bersyukur kepada Alah yang telah mengurniakan nikmat keimanan pada dirinya.


















Azmin Berkempen Sebijik Macam UMNO

Dalam merebut jawatan di dalam PKR, calon Timbalan Presiden, Sdr Azmin Ali beriya-iya sangat sekrang ini berkempen.

Masa mula-mula pencalonan dah ketara sangat bahawa budaya kempen yang dilakukan saling tak tumpah dengan budaya kempen yang dilakukan oleh UMNO.

Peringkat awal lagi dia dah menyerang lawannya habis-habisan.

Kita tak sebut lagi pasal berapa perbelanjaan yang sudah digunakan di dalam kempen pemilihan PKR ini. Calon Timbalan Presiden, Mutaffa Kamil Ayub pernah meminta supaya JPP mengarah calon-calon bertanding isytihar harta dan perbelanjaan kempen. Tetapi JPP dan pimpinan pusat tak nak layan permintaan Mustaffa kerana jika demikian calon favorit mereka, Azmin pasti terkangkang.

Biarlah gambar-gambar berikut nanti jadi pengajaran agar jangan tiru gaya berkempen seperti ini kerana jika menang pun menang tak bermaruah:












# Ini bukan serangan peribadi, tapi teguran yang benar. Terpulang kepada penilaian masing-masing. Di dalam Islam, calon sebegini sudah ditolak awal-awal.

Kisah bagaimana Khalifah Abu Bakar menyerahkan jawatan kepada Umar, kemudian Umar menolaknya menyerahkannya semula kepada Abu Bakar untuk diisytihar Khalifah Islam yang pertama sepatutnya dijadikan model untuk memilih pemimpin.

Abu Bakar tak menyusun ahli-ahli parlimen atau ADUN-ADUN dari kalangan Quraisy yang menyatakan sokongan terhadapnya. Umar pun takda buat kain rentang besar-besar sokonglah Umar jadi Khalifah. Tak juga buat satu majlis khas untuk melancarkan manifesto.

Bila saya tinjau-tinjau ucapan Azmin, rupanya dia tahu satu jer perkataan Arab dan itu digunakan sehabis-habisnya.... "istiqamah" dengan reformasi... tersenyum simpul orang jemaah mendengarnya... Nak buek camano.. sampai takat tu jer dia faham ertinya istiqamah.


Shafie Apdal Kena Bedal

Pemuda Kedah: Gantikan pengerusi Umno negeri ‘diimport’

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Perwakilan Pemuda Umno dari Kedah hari ini menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang “diimport” dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda Jerai Bassori Hassan berkata, pelantikan Datuk Seri Shafie Apdal (gambar) dari Sabah sebagai pengerusi negeri sebenarnya memberi laluan kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang ahli-ahli politik tempatan.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik.

“Sentimen ini dimain-mainkan oleh pembangkang, takde pemimpin baik dari Kedah sampai kena import pemimpin dari luar.

“Tolong kaji balik pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan negeri-negeri pembangkang lain,” kata beliau ketika menyertai perbahasan pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno hari ini.

Bassori berkata mereka yang memegang jawatan pengerusi perhubungan negeri juga harus mempunyai hubungan yang kukuh dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan istana untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Shafie dilantik sebagai pengerusi Kedah bersama dengan dua naib presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula merupakan pengerusi Umno Selangor manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan. -TMI

Ulasan GB

Pakatan Rakyat tak der ambil pot pun siapa Ketua Perhubungan UMNO Negeri. Itu kamu punya pasal.

Tapi ia dijadikan alasan oleh pemuda Kedah untuk membedal Shafie Apdal. Sebenar ada hal lain yang tak kena dengan kepimpinan Shafie. Tak tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah.


Retorik Cerberus Khairy

Pemuda: Hambat 'raksasa Cerberus 3 kepala'

Perhimpunan agung mana-mana parti politik, termasuk Umno tidak sempurna tanpa dijadikan sebagai medan menghentam lawan politiknya.

Kali ini, Pakatan Rakyat - gabungan PKR, PAS dan DAP- digelar sebagai raksasa hodoh berkepala tiga bernama Cerberus (watak dalam hikayat klasik Rom) oleh ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

"Bayangkan betapa susah dan menyesalnya menjadi badan kepada raksasa ni - satu kepala nak makan, satu kepala nak tidur, satu lagi nak jalan, pasti huru-hara jadinya.

"Itu belum lagi kalau ketiga-tiga kepala itu bergaduh, saling menggigit hingga boleh terjelepok jatuh di tengah jalan," kata Khairy yang juga anggota parlimen Rembau.

Menyampaikan ucapan dasarnya hari ini, Khairy berkata "politik raksasa" itu semakin nyata dalam isu negara Islam antara PAS dan DAP.

"Sungguhpun ada segelintir pemimpin PAS yang berkata penubuhan negara Islam bukan keutamaan demi menjaga hati DAP, tetapi jika ditanya Dewan Pemuda PAS, mereka masih tegar dengan perjuangan ini," katanya.

Sambil menyindir perjalanan pemilihan cabang PKR, parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa berkecamuk dengan krisis dalaman akibat politik ghanimah (harta rampasan perang) gilakan kuasa "sehingga kerusi boleh terbang, pengundi hantu boleh wujud dalam senarai pemilih".

'Pengiktirafan khas' buat Guan Eng

Menurut Khairy lagi, dalam PKR, demokrasi "dibunuh" kerana jawatan tertinggi parti itu "dianugerahkan kepada satu keluarga tanpa bertanding".

Beliau bagaimanapun mengingatkan, Umno tidak boleh hanya bersandar dengan kelemahan pihak lawan.

"Walau badai datang melanda, walau bercerai jasad dan nyawa, pahlawan Pemuda akan terus mengejar Cerberus sehingga ke hujung dunia bagi menghapuskan si biang keladi penjahanam rakyat dan pemusnah negara ini," katanya.

Di samping kritikan terhadap Pakatan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadi tokoh tunggal pembangkang yang dinobatkan 'pengiktirafan khas' sebagai "Khalifah Pakatan Al-Lim".

Setiauasaha agung DAP itu dikritik kerana didakwa gagal menunaikan janji dalam manifesto bagi memastikan bekalan air yang selamat, murah dan mencukupi di negeri yang diperintahnya.

"Ternyata jauh panggang dari api. Realitinya, dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, 'Khalifah Pakatan Al-Lim membawa 'hadiah raya' yang istimewa dengan menaikkan harga air. Hadiah raya yang sama turut diterima oleh rakyat Negeri Kedah," katanya.

Ulasan GB

Pada kempen pilihanraya 2008 yang lalu Khairy tampil di Kelantan dengan kempennya "Tak Nak 18" ertinya dah 18 tahun PAS memerintah Kelantan, jadi kononnya Pemuda nak tamatkan usia pemerintahan PAS pada PRU tersebut.

Hasilnya? Rakyat Kelantan tolak seruan Khairy. Malah orang yang diwarwar oleh UMNO BN jadi MB, Awang Adek tergolek di Bachok.

Sekarang sekali lagi budak sekolah yang akan dipantau prestasinya untuk dimasukkan ke dalam kad laporan Muhyiddin, mengeluarkan retorik baru - Cerberus 3 Kepala - yang hasrat mereka berlainan di antara satu sama lain.

Sedangkan Cerberus yang ada di dalam UMNO dia tak berani nak dedahkan. Yang berjuang ikut Perkasa, yang berjuang 1Malaysia, yang berjuang tak kira apa asalkan masyuk... atau yang ikut kategori: "geng najib", "geng pak lah" & "geng mahathir"...



Kes Aminulrasyid: 21 Das Tembakan Dilepaskan Oleh Tertuduh

Tertuduh dalam kes perbicaraan membabitkan kematian Aminulrasyid Amzah didakwa menggunakan 21 daripada 100 peluru yang diperuntukkannya semasa bertugas ketika remaja berusia 15 tahun itu ditembak mati.

Menurut Korporal Ismail Daud, yang bertanggungjawab menjaga senjata api dari simpanan di balai polis Seksyen 11, tertuduh Korporal Jenain Subi dibekalkan dengan 100 peluru semasa dia bertugas daripada jam 10 malam 25 April sehingga jam 6 pagi, keesokan hari.

Remaja itu ditembak mati antara jam 1.10 pagi hingga 2 pagi, 26 April selepas dikejar oleh kereta peronda polis.

"Saya kira peluru apabila Jenain memulangkan senjatanya sekitar jam 6.42 pagi, 26 April dan mendapati kelopak di senjata itu hanya tinggal empat peluru,” katanya sambil merujuk kepada catatan rekod balai polis berkenaan.

Setiap kelopak senapang sub-mesin jenis Helper dan Koch MP5 itu yang diberikan kepada Jenain itu berisi 25 butir peluru, katanya.

Ismail juga mengakui bahawa tiga kelopak yang lain tidak digunakan.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah diberitahu 19 kelongsong peluru dijumpai sekitar lokasi kejadian.

Awal hari ini, seorang lagi saksi, Muhammad Radhi Abdul Hamid daripada bahagian persenjataan berkata ada kemungkinan seseorang penembak tepat akan tersasar dalam beberapa keadaan.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam pembelaaan bahawa antara keadaan itu termasuk jalan yang tidak rata, mengejar suspek dengan kelajuan tinggi dan sasaran ya ng bergerak.

Katanya, berat senjata api juga boleh menjejaskan ketepatan sasaran dan bersetuju bahawa senjata MP5 itu adalah berat tetapi tidak dapat menganggarkan jumlahnya.

Namun ketika disoal pihak pendakwaan, saksi itu yang mengakui beliau adalah pakar senjata api berkata perkara berkenaan adalah hanya pendapatnya dan beliau belum pernah menembak sasaran yang bergerak pada kelajuan tinggi.

Pada 10 Mei lalu, Jenain, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 in Section 11, Shah Alam pada 26 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda jika didapati bersalah.

Ulasan GB

Sampai 21 das tembakan? Nak bunuh gajah pun takde macam itu punya banyak peluru digunakan. Cuba tembak tertuduh dengan dua das tembakan sahaja.. agak-agak boleh hidup lagi tak?

Lansusung tak pakai akal bila menembak. Yang penting bagi polis itu seperti di dalam banyak kes-kes yang lain, "modus operandi"nya ialah kasi bunuh tak kisa suspek apa pun. Sebab tak perlu soaljawab dalam mahkamah. Sekarang terkena juga bila suspek yang ditembak sampai 21 das tu hanyalah seorang remaja belasan tahun.



Rakyat Kecam Kerajaan Zambry Rampas Rumah

Huta Melintang - Seramai 59 pemilik rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Sungai Dulang, di sini panik apabila rumah yang dibeli mereka akan diambil oleh Kerajaan Negeri.

Seorang pembeli, Razali Sabdin, 54, berkata, majoriti pemilik rumah tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri mengenakan tindakan ‘spray’ tanpa sebarang perbincangan dengan penduduk.

Menurutnya, surat arahan supaya menjelaskan tunggakan itu diterima penduduk pada Jumaat lalu.

“Bukannya kami tidak bayar langsung, cuma ada tunggakan sahaja tetapi mereka tak patut buat macam ini kepada kami.

“Kami tidak mahu kehilangan rumah dan masalah ini perlu dibawa berbincang dengan penduduk yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di RPA Sungai Dulang, di sini, kelmarin.

Razali berkata, jumlah tunggakannya cuma RM7,411 dan kadar bulanan sebanyak RM137 masih terus dibayar.

"Masih ada enam tahun lagi tempoh untuk melangsaikan bayaran rumah berkenaan yang akan tamat pada 2016," katanya.

Tempoh terlalu singkat

Seorang lagi penduduk, Tan Teck Chai, 52, berkata, tempoh yang diberikan oleh kerajaan terlalu singkat iaitu sebulan dan hujung bulan nanti penduduk diarahkan pindah.

Menurutnya, jumlah tunggakannya RM7,000 tidak mampu untuk dibayar sekali gus kerana keluarganya bukan berpendapatan tinggi.

“Saya cuma kerja kampung dan mana boleh dalam tempoh sebulan untuk bayar semua hutang yang tertunggak itu.

“Penduduk di sini memohon Kerajaan Negeri menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan penduduk berpendapatan rendah,” katanya yang turut mengadukan hal tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan, kelmarin.

Katanya, harga setiap rumah di situ berbeza-beza dan nilai rumah yang dibelinya adalah bernilai RM41,000.

"Rumah yang dibeli ini saya didiami bersama isteri, seorang anak dan bapa yang sudah pun uzur," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, G Pendamah, 59, berkata, dia kini menghadapi masalah untuk membayar sejumlah RM29,565 iaitu tunggakan yang dikenakan.

Menurutnya yang juga merupakan ibu tunggal, dia sukar menjelaskan hutang itu selepas mengalami lumpuh separuh badan dan tidak boleh bekerja.

"Saya cuma sempat membayar ansuran selama enam bulan sahaja sebelum penyakit berkenaan menyerang.

"Selepas menerima surat arahan itu, keadaan hidup saya semakin tertekan kerana memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar jumlah yang tertunggak itu," katanya.

Ibu kepada enam anak itu berkata, mungkin dia akan meminta anak-anaknya membantu untuk menjelaskan tunggakan rumah berkenaan.

"Dengan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM300, saya tidak mampu untuk membayar wang tunggakan itu," katanya.

ADUN mahu bincang dengan MB

Sementara itu, ADUN Hutan Melintang, S Kesavan yang menemui penduduk di situ berkata, beliau akan cuba mengadakan temu janji dengan Menteri Besar (MB) Perak bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk.

Menurutnya, bayaran balik perlu dibuat mengikut kemampuan penduduk dan tidak boleh dibuat secara paksa.

“Memang kita dah terima aduan ini sejak Jumaat lalu dan hari ini (kelmarin) saya sendiri datang bertemu penduduk untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Menurut Kesavan, kerja melabel dengan cat merah perlu ditarik balik kerana ia memalukan penduduk seolah-olah mereka langsung tidak membuat permbayaran ansuran bulanan yang ditetapkan.

"Bagi masyarakat India yang akan meraikan Deepavali tidak lama lagi, masalah itu sesuatu yang memeritkan.

"Bukan sahaja penduduk terpaksa mengosongkan rumah, tetapi mereka juga terpaksa menanggung malu apabila saudara mara datang ke rumah sempena perayaan kaum India itu," katanya. -SH

Jika Kami Tak Bertanding Di Sabah, Dimanakah Lagi Kami Boleh Bertanding - SAPP

PKR, SAPP cari kata sepakat calon Batu Sapi

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) akan berbincang di sini esok bagi mencari kata sepakat mengenai calon untuk menentang Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.

Pertemuan itu dipercayai diatur setelah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan meminta SAPP supaya tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon PKR.
Ketika diminta mengulas pertemuan esok, Timbalan Presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun, berkata Majlis Tertinggi parti itu telah membuat keputusan untuk bertanding di Batu Sapi dan keputusan itu tidak mungkin diubah.

"SAPP adalah parti tempatan. Jika kami tidak bertanding di Sabah, di manakah lagi kami dapat bertanding," katanya.

Bagaimanapun, katanya, SAPP sedia membincangkan kerjasama dengan PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Lagipun, dalam politik apa saja boleh berlaku," katanya.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada BN akibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober. Dalam pilihan raya umum lalu, Chong yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Bebas, Dr Chung Ong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk hampir 16,000 pengundi Bumiputera dan lebih 9,700 pengundi Cina.

Penamaan calon ialah pada 26 Oktober ini. - BERNAMA


Ulasan GB

Ada benarnya hujjah SAPP itu.

Kita berharap kemelut siapa yang akan bertanding melawan BN di Batu Sapi akan segera dapat diselesaikan untuk jentera pilihanraya kecil di sana dapat digerakkan secepat mungkin.

UFO Muncul Semula Di Texas

New York - Tanggapan bahawa beberapa objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dilihat di New York pada Rabu lalu dipercayai belon kian terhakis apabila objek sama muncul di El Paso, Texas, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa objek sama itu turut dilihat El Paso, Texas pada Ahad lalu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa makhluk asing telah mendarat di Bumi.

Saksi-saksi kejadian di El Paso kemudian menghubungi beberapa balai polis dan stesen berita tempatan bagi memberitahu apa yang mereka lihat itu.

Menurut mereka, satu cahaya seperti bulatan kecil bergerak di langit pada waktu malam sebelum berpecah menjadi tiga cahaya.

Setiap satu cahaya mempunyai ekor di belakangnya.

Cahaya-cahaya itu kemudian bercantum menjadi tiga titik seperti sebuah segitiga.

Segitiga itu adalah sama seperti imej yang dilihat sejumlah penduduk di New York pada Rabu lalu.

Seterusnya, cahaya keempat muncul di El Paso.

Semua cahaya itu berlegar-legar di udara sebelum tiba-tiba ia hilang.

Ekoran persekitaran waktu malam yang gelap pada masa itu, mustahil cahaya-cahaya itu merupakan belon.

Rakaman fenomena cahaya itu mencetuskan spekulasi meluas terutamanya selepas sebuah stesen berita menunjukkan bahawa ia menyerupai beberapa cahaya ganjil yang dilihat di New York pada Rabu lalu.

Dalam kejadian di New York itu, satu objek misteri berlegar di sebelah barat New York manakala ramai penduduk memikirkan apa sebenarnya yang mereka lihat.

Tiba-tiba, objek itu berpecah menjadi tiga bahagian.

Semasa ia muncul di New York, ketiga-tiga objek itu berlegar-legar di udara dengan menyebabkan lalu lintas terhenti.

Objek-objek itu dipercayai sebagai belon selepas seorang guru besar, Angela Freeman mendakwa 12 belon untuk meraikan seorang gurunya terlepas ke udara.

Tiga objek itu kemudian bercantum menjadi tiga titik dan berlegar-legar seperti kejadian di El Paso.

Namun, sehingga kini, penjelasan yang memuaskan masih belum diperoleh berhubung objek berkenaan.

Ramai pula yang memberi penjelasan daripada sudut ketenteraan.

Pengguna-pengguna Internet lain pula memberitahu, cahaya-cahaya ganjil itu sebenarnya pasukan payung terjun yang mengadakan latihan untuk satu pertunjukan pada waktu malam. - Agensi



Tahap Mentaliti Muhyiddin - Adakan Report Card Untuk Nilai Prestasi

Kad laporan nilai prestasi pemimpin diwujudkan

TAN Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan diwujudkan sistem kad laporan untuk menilai prestasi setiap lapisan kepemimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam beberapa bidang utama bagi tempoh dua tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kad laporan atau kad skor itu mampu mewujudkan sistem lebih tersusun yang dapat dinilai impak sebenar prestasi pergerakan itu.

Beliau berkata, antara bidang utama itu ialah ekonomi, pendidikan, agama, kebudayaan, kesukanan, khidmat sosial, pembangunan keluarga, pemeliharaan alam sekitar dan hubungan kaum.

Katanya, ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang berjumlah lebih dua juta perlu meningkatkan pembabitan sebagai pemimpin akar umbi dalam bidang berkenaan selaras peningkatan harapan rakyat terhadap parti.

“Dengan adanya kad skor, setiap pemimpin dapat dinilai prestasi untuk tempoh dua tahun akan datang. Mereka yang menunjukkan prestasi tinggi akan diberikan pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya.

“Laporan prestasi itu juga mungkin digunakan untuk memilih siapa yang layak menjadi calon pilihan raya,” katanya ketika perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, inisiatif itu adalah usaha ikhlas meningkatkan imej parti dan memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadapnya.
Muhyiddin berkata, jika sistem berkenaan dilaksanakan sepenuhnya, parti akan menyaksikan satu lonjakan baru dalam tahap keaktifan dan keberkesanan gerak kerja ahli ketiga-tiga sayap UMNO itu.

Katanya, ahli sayap parti itu perlu lebih aktif mendokong perjuangan UMNO kerana fungsi mereka menjadi lebih penting khususnya dalam suasana politik yang semakin mencabar kini.

Pada masa sama, Muhyiddin mahu ahli ketiga-tiga sayap parti itu menangkis tanggapan negatif terhadap UMNO selaras kedudukan mereka di barisan pertahanan dan hadapan parti.

Ulasan GB

Itu tahap mentaliti TPM sekarang. Mentaliti seorang Gurubesar sekolah rendah, malah mungkin tadika. Nak buat "report card" untuk pemimpin-pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri. Kesemuanya bagi Muhyiddin tak ubah budak-budak sekolah yang beliau jadi gurubesarnya.

Itu sebab dia hanya memilih untuk menjadi menteri pelajaran. Mindanya hanya di dalam lingkungan itu. Dan beliau yang dikenali sebagai seorang pemimpin "rasis" akhirnya berjaya melahirkan pengetua-pengetua rasis jugak.



Kuda Bertanduk Ditemui Di Kanada?

Ontario - Pusat Sains Ontario (OSC) di sini, menyiasat satu klip video menunjukkan seekor kuda berwarna putih yang bertanduk satu berlari di sebuah hutan di Lembah Don, Kanada yang dihantar oleh sekumpulan penyiasat, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan itu mendapat perhatian kerana di Barat terdapat kisah kuda yang memiliki tanduk di kepalanya dan berwarna putih yang digelar sebagai unikorn.

Klip video itu turut disiarkan di laman web YouTube.

"Setakat ini, pusat sains masih meneliti rakaman itu bagi memastikan sama ada haiwan tersebut benar-benar seekor unikorn," menurut satu kenyataan OSC.

Kenyataan sama turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada dan tidak menggunakan lampu kilat untuk merakamkan gambar haiwan itu jika mereka terserempak dengan seekor unikorn.

"Walaupun terdapat legenda yang menyatakan unikorn merupakan haiwan yang baik, saintis-saintis bimbang haiwan itu akan mencederakan tubuhnya atau orang lain jika ia menerpa ke jalan raya atau lebuh raya," tambah kenyataan itu

Satu talian perkhidmatan pelanggan turut diwujudkan bagi menyalurkan maklumat berhubung unikorn kepada orang ramai. - Agensi


Asal-Usul UNICORN

Unicorn, berasal dari bahasa latin iaitu Unus yang berarti satu dan cornu yang berarti tanduk, unicorn adalah makhluk mitologi legendaris yang terkenal di seluruh dunia. Meskipun kisah moden dari Unicorn adalah seekor kuda putih dengan tanduk gading di dahi, dulu penggambaran unicorn adalah kuda berjanggut kambing, bertanduk, berekor singa dan berkuku terbelah.

Yang kita tau unicorn itu asalnya dari Eropah, namun catatan tertulis Unicorn yang pertama tercatat sekitar 5.000 tahun lalu di Cina di mana unicorn dapat muncul dalam berbagai bentuk fizik yang berbeza tetapi paling sering digambari ia bertubuh rusa, berekor sapi jantan, dengan kuku seekor kuda dan tentu saja satu tanduk pendek yang tumbuh di tengah dahinya. Rambut di punggungnya dikatakan berisi lima warna suci Cina iaitu merah, kuning, biru, putih dan hitam, dan beberapa kali digambarkan bersisik hijau seperti naga.

Dikatakan jika 5,000 tahun yang lalu Unicorn muncul untuk memberikan rahasia baca tulis aksara China pada zaman Fu Hsi.

Selain Cina, negara-negara Asia lainnya juga memiliki tradisi yang melibatkan unicorn. Di Jepun unicorn dikenali sebagai Kirin yang memiliki surai kusut dan tubuh banteng. Berbeda dengan Unicorn China yang konon baik, kirin adalah binatang yang harus ditakuti, terutama oleh penjahat. Kirin dikatakan mampu mendeteksi rasa bersalah. Dan akan menanduk orang bersalah tepat di jantungnya..

Unicorn mule berubah jadi kuda putih bertanduk karena cerita-cerita tentang unicorn terbawa sampai di eropa..

Di Eropah unicorn adalah haiwan magis, dia susah sangat untuk didekati.. cuma gadis yang berhati bersih aja yang boleh menjinakkan unicorn, namun, di Eropa unicorn kerap diburu untuk diambil tanduknya. Tanduk unicorn dipercaya punya kekuatan magis..


Menurut catatan Leonardo Da Vinci, penduduk memancing unicorn dengan seorang gadis, ketika unicorn itu mendekati si gadis, maka dia bakal menjadi jinak sangat.

Tapi unicorn itu sebenarnya apa?

Marcopolo punya penggambaran tersendiri tentang unicorn..

"Ukuran mereka lebih kecil dari gajah. Mereka memiliki rambut kerbau dan kaki seperti gajah. Mereka memiliki satu tanduk hitam besar di tengah dahi ... Mereka memiliki kepala seperti babi liar ... Mereka menghabiskan waktu mereka dengan berkubang dalam lumpur dan lendir...." -harisindipradana


VIDEO ASAL:



DIPERBESARKAN



Nota: Pergerakan kuda berkenaan tidak dapat dilihat dengan jelas dan seolah-olah kaku dan melantun-lantun di video yang diperbesarkan. Namun sememangnya keadaan akan menjadi begitu apabila "zooming" dibuat ke atas apa jua objek yang bergerak.

Kes Aminulrsyid: Zafrullah (Saksi) Lapor Apa Yang Dilihat Dan Didengar

SShah Alam: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen semalam, beliau hanya membuat laporan polis mengenai apa yang didengar dan dilihatnya, selepas tiga hari Aminulrasyid Amzah, mati ditembak pada awal pagi 26 April lalu.

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 29, berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 11, bersama abangnya dan peguam Fadiah Naewa Fikri selepas bercerita kejadian itu kepada peguam yang dilantik keluarga rakannya, yang juga abang Aminulrasyid.

Katanya, sebelum itu beliau berjumpa dan berbincang dengan keluarga Aminulrasyid sebelum beliau sendiri membuat laporan polis tanpa diajar mana-mana peguam, bagi membantu keluarga rakannya itu.

“Saya menceritakan apa yang berlaku ketika kejadian kepada anggota polis yang mengambil keterangan saya ketika membuat laporan itu, ” katanya ketika memberi keterangan di depan Hakim Latifah Mohd Taha dalam perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Jenain yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, pada jam 1.10 pagi, 26 April lalu.

Terdahulu, Zafrullah memberitahu mahkamah, ketika berjalan ke tempat kejadian pada awal pagi 26 April lalu, beliau cuba menghubungi abang Aminulrasyid yang juga rakannya, Muhammad Shahreeman Putra, 29, untuk memberitahu kejadian yang berlaku tidak jauh dari simpang lorong menuju ke rumah mangsa di Jalan Makyong 11/2G.
Katanya, beliau ketika itu tidak menyedari mangsa dalam kejadian itu adalah adik rakannya.

Beliau berkata, pada jam 8 pagi hari sama, Muhammad Shahreeman Putra menghubunginya sebelum beliau ke rumah kawannya itu.

“Selepas beliau menghubungi saya, saya ceritakan kejadian itu. Beliau kemudian beritahu kereta putih milik kakaknya hilang dan adiknya juga hilang, ” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan dan pembelaan turut ke tempat kejadian dan rumah Zafrullah Ahmad pada jam 9.30 pagi untuk membolehkan saksi menerangkan dengan lebih jelas apa yang dilihatnya pada hari kejadian.

Mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk meninjau tempat kejadian. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Salim Bashir.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Tunang Rozaliya Tampil Buat Aduan Polis

Tunang gadis hilang tampil buat aduan

KUANTAN: Mohd Helmi Mohd Noor yang kehilangan tunangnya, Rozaliya Mat Lazim, sejak Rabu lalu selepas membeli kelengkapan perkahwinan di Pasar Kuantan, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu petang semalam.

Beliau yang berasal dari Johor Bahru dan bekerja di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu hadir ke IPD Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha yang mengesahkan perkara itu berkata, polis mengambil masa lebih dua jam bagi merekodkan semua keterangan Mohd Helmi, 24, berikutan kes terbabit semakin banyak menimbulkan keraguan.

Katanya, keterangan itu penting selepas keluarga Rozaliya mendakwa gadis terbabit disembunyikan tunangnya itu.

“Kita memandang serius kes ini dan melihat semua aspek termasuk sama ada mempunyai unsur jenayah penculikan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zulkifli berkata, beberapa anggotanya pergi ke rumah Rozaliya di peringkat satu Bandar Cheneh Baru, Kemaman untuk bertemu ibu gadis berkenaan, Sabariah Mansor, 42, petang semalam bagi mengumpul maklumat kes itu.

“Ini disebabkan keluarganya enggan datang ke IPD Kuantan bagi memberi kerjasama,” katanya di sini, semalam.

Kehilangan Rozaliya, 20, yang bakal berkahwin pada 12 November ini dengan Mohd Helmi mendapat perhatian ramai dan polis meminta mereka yang melihat gadis terbabit segera menghubungi talian 09-5132222 atau bilik gerakan 09-5142999.

Mohd Helmi yang juga Pegawai FELDA ketika ditemui di Kemaman, berkata anggapan kononnya dia cuba menyembunyikan diri dan mengelak daripada keluarga Rozaliya, tidak benar sama sekali.

“Saya memang ada menerima SMS daripada Rozaliya kira-kira jam 3.40 petang berbunyi 'Awak cepat sikit k. Masa nak g (pergi) ambil duit ada dua orang macam ikut saya. Saya takut’,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kes itu atas nasihat keluarga dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, hasrat Sabariah untuk ke bandar Kuantan bagi mencari anak perempuannya yang hilang sejak enam hari lalu, tidak kesampaian apabila dia dipatuk seekor ular berdekatan rumahnya, malam kelmarin.

“Ketika hendak ke rumah jiran sebelah rumah untuk meminta pertolongan membeli makanan di kedai berdekatan untuk anak yang ditinggalkan di rumah sebelum saya ke Kuantan, tiba-tiba kaki sebelah kanan terasa sakit digigit atau disengat sesuatu sehingga menyebabkan saya tersentak,” katanya.

Dia kemudian dipapah saudara mara sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) kira-kira jam 10 malam, selepas mengadu sakit dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dimasukkan ke wad dan dibenar pulang tengah hari semalam.

“Saya sedih dan kecewa kerana tidak dapat mencari Rozaliya akibat dipatuk ular. Saya berdoa kejadian ini bukan petanda tidak baik mengenai anak saya,” katanya.-BH


Ibu Rozaliya dipatuk ular

KEMAMAN – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa Sabariah Mansor, 42, ibu kepada bakal pengantin yang hilang, Rozaliya Mat Lazim, 20, apabila dia kini terpaksa menanggung kesakitan selepas dipatuk ular malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam ketika Sabariah bersama keluarganya baru pulang daripada menemui seorang pengamal perubatan tradisional di Kuala Kemaman untuk mencari anak perempuannya yang hilang.

Rozaliya yang dijadualkan berkahwin pada 12 November ini hilang sejak 13 Oktober lalu ketika keluar membeli barangan keperluan perkahwinan di Kuantan.

Menurut Sabariah, setiba di rumah, kaki kanannya tiba-tiba terasa sakit seperti digigit sesuatu ketika hendak menaiki tangga untuk masuk ke rumah.

Selepas diperiksa, katanya, ada kesan darah di kaki dan dia ternampak kelibat seekor ular dipercayai ular sawa tikus bergerak pantas keluar dari kawasan rumahnya.

“Akibat dipatuk ular, kaki saya bengkak dan bertukar menjadi kebiru-biruan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini semalam. -kosmo


Perjuangan PR Tidak Sepatutnya Dihadkan Kepada Isu Anwar Semata-mata

Jangan turunkan darjat perjuangkan Anwar saja'

PKR tidak patut menurunkan darjat parti itu menjadi sebuah parti yang hanya memperjuangkan keadilan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia tidak adil bagi rakyat yang ingin diwakili, kata calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

"Kita bukan sahaja sebuah parti 'Reformasi', sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990-an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut reformasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri.

"Saya menitikberatkan masa depan proses perubahan," kata Zaid.

Katanya, PKR harus menguntungkan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat dan bukannya menjadi satu "hambatan".

"Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita.

"Rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang," katanya bekas menteri yang juga penyelaras Pakatan Rakyat itu.


Memperkukuhkan Keadilan

Keadilan perlu diacuankan untuk menjadi sebuah kekuatan politik yang tulen, sebagai sebuah kekuatan yang boleh dijadikan sandaran rakyat dan rakan-rakan dalam pakatan dalam usaha membentuk masa depan yang lebih baik. Pemilihan ini adalah penentu masa depan parti dan negara. Kita perlu terlebih dahulu memperbaiki diri kita sebelum kita boleh memikirkan soal memperbaiki negara. Kita perlu meletakkan diri sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat, menjadi pentas yang kukuh bagi orang ramai dan mengemudi Pakatan bagi memenangi PRU-13 nanti. Kewujudan kita harus menguntungkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan bukannya hambatan. Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita. Rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang. Kita tidak patut menurunkan darjat parti ini menjadi sebuah parti yang memperjuangkan hanya satu isu. Hal ini tidak adil bagi mereka yang ingin kita wakili. Kita bukan sahaja sebuah parti “Reformasi”, sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut refromasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri. Saya menitikberatkan masa depan proses perubahan. Pemilihan kali ini bukan soal jawatan, kedudukan atau permainan kuasa. Ia bukan soal siapakah yang bakal memegang tampuk kuasa selepas ini. Ia adalah soal apakah yang hendak dan boleh dilakukan selepas ini.

Pemilihan 2010 merupakan julung kalinya untuk negara dan juga untuk parti kita. Setiap anggota mempunyai satu undi, dan setiap undi diambil kira. Untuk julung kalinya dalam sejarah, parti boleh memilih para pemimpin kerana prinsip yang dipegang dan diperjuangkannya dan bukan kerana kesetiaan membabi-buta. Parti bukan membuat keputusan mengenai seseorang calon hanya kerana sumbangan dan komitmen calon berkenaan.

Saya percaya anggota-anggota parti kita sudah cukup matang untuk menilai sendiri para pemimpin mereka yang sedia ada. Saya serahkan kepada kebijaksanaan anggota-anggota parti untuk memutuskan tentang cadangan dan wawasan yang saya ketengahkan kerana saya yakin bahawa inilah cara yang dapat membawa perubahan sebenar kepada Kerajaan kita.

Saya bersyukur dan sangat berterima kasih kerana keyakinan dan sokongan yang ditunjukkan oleh anggota-anggota dan cabang-cabang parti menerusi pencalonan yang mereka berikan kepada saya. Lagipun, apa yang saya pertahankan dan suarakan adalah untuk mereka. Saya bertanding jawatan ini bukan untuk berseronok-seronok, bermegah-megah dan membangga diri. Saya bertanding jawatan ini kerana jawatan ini banyak cabarannya. Saya bertanding kerana banyak kerja berat yang masih perlu dilaksanakan. Dalam pada calon-calon lain tidak habis-habis bercakap tentang kemampuan mereka untuk melindungi Anwar, saya pula percaya bahawa beliau telah membariskan pasukan peguam yang terbaik untuk membelanya. Saya juga prihatin tentang beliau dan keluarganya, tetapi perjuangan dan kepentingan rakyatlah yang paling mustahak. Dan saya tahu anggota-anggota parti dapat membezakannya.

Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa masa depan Malaysia adalah saling berkait dengan masa depan parti kita. Kita mesti terus bergerak pada landasan yang betul. Rakyat telah memilih untuk memberikan kepercayaan kepada kita. Jadi, dengan penuh takzim dan rendah hati saya meminta agar anda memberikan keyakinan dan kepercayaan untuk kita sama-sama berusaha mendapatkan kembali cita-cita dan idaman parti kita pada saat yang bersejarah ini.

Sembilan Perkara Bagaimana Hendak Menggiatkan Semula Parti dan Negara

1. Kita perlu mencergaskan semula akar umbi kita. Ini kerana kejayaan sesebuah parti politik perlu diukur melalui aktiviti-aktiviti di peringkat akar umbi. Cabang-cabang kita terdiri daripada individu-individu yang bersemangat tinggi dan komited tetapi sedihnya tidak mempunyai tenaga dan dinamik yang cukup kerana ketiadaan pembiayaan. Saya mampu mencari penyelesaian bagi membolehkan jentera politik yang lebih cekap dan berkesan untuk memberikan sokongan kepada para pemimpin ini dan kerja-kerja murni mereka. Adalah penting agar cabang-cabang menjadi lebih bertenaga dan membabitkan diri dalam proses parti. Adalah penting bagi aktiviti parti mencerminkan keinginan yang tinggi dan dorongan pemimpin-pemimpin cabang. Saya akan galakkan pengambilan anggota-anggota baru sambil menitikberatkan pertambahan anggota yang bermutu dan komited, bukan hanya bilangan yang banyak tanpa mutu. Kita mesti buang mereka yang nama mereka yang masih di daftar keahlian sedangkan hati mereka telah sama-sekali meninggalkan parti. Kita akan secara aktif menggariskan perjuangan parti untuk mengekalkan tumpuan dan bukan cuma banyak memperkatakan isu-isu lama.

2. Kita mesti memperkasa penyokong setia parti kita menerusi pendemokrasian selanjutnya, tidak kira jawatan dan kedudukan mereka. Kita perlu keluar dari politik feudal, kita perlu memberikan kebebasan kepada cabang-cabang parti daripada kongkongan pusat dan memperkasa jawatankuasa-jawatankuasa peringkat cabang dan negeri. Merekalah yang paling hampir dengan isu-isu berkaitan dan yang paling maklum dan mempunyai keupayaan untuk menanganinya. Kita tidak lagi boleh beranggapan bahawa kepimpinan pusat tahu tentang segala-galanya. Saya akan bekerjasama dengan anggota-anggota parti di setiap peringkat untuk membangunkan dasar-dasar yang adil dan yang mampu bertahan untuk pengurusan yang lebih baik.

3. Kita perlu memperluaskan keanggotaan kita kepada mereka yang berupaya dan sanggup menyumbang, tanpa diskriminasi. Parti perlu lebih inklusif. Ramai bekas anggota yang telah dipinggirkan, atau yang hampa, atau yang hilang minat, perlu dialu-alukan kembali ke pangkuan parti. Kita perlu mengenal pasti anggota-anggota yang mempunyai kemampuan, memberikan mereka peluang memegang jawatan dan peranan lebih besar. Kerana kewibawaan kita adalah tergantung kepada kewibawaan pemimpin-pemimpin yang kita pilih. Mereka perlu dipilih menggunakan piawaian paling ketat. Mereka perlu mencerminkan masyarakat yang mereka wakili. Warga Sabah umpamanya sepatutnya dibenarkan memilih ketua-ketua mereka sendiri. Begitu juga halnya dengan warga Sarawak.

4. Kita perlu berusaha menjadi parti pelbagai kaum dan agama yang diperlukan negara ini. Inilah yang akan menjadi kekuatan kita. Kita perlu menyatukan anggota-anggota daripada setiap kaum dan agama dalam negara ini. Inilah yang akan jauh membezakan kita dengan barisan parti pemerintah yang gagal untuk menyatukan bangsa Malaysia setelah 53 tahun berkuasa. Kita perlu merebut peluang ini, perlu membuktikan bahawa kita mampu untuk menyatukan rakyat di seluruh negara. Saya akan bekerja tanpa henti untuk memadamkan prasangka dan curiga kekelompokan, perkauman dan keagamaan.

5. Kita perlu mengenepikan dasar pecah dan perintah yang dipakai selama ini oleh barisan parti pemerintah yang sedang berkuasa. Dasar ini memudaratkan dan memundurkan. Sebagai sebuah parti politik progresif, Keadilan mampu melangkah melampaui sempadan kaum, agama, dan kebudayaan dalam konteks Perlembagaan yang sedia ada. Kepelbagaian inilah kekuatan kita. Saya akan mengedepankan model untuk sebuah parti politik yang lebih telus dan demokratik. Kita tidak boleh menghabiskan tenaga kita bermain politik dalam kubu kelompok — Malaysia Timur lawan Malaysia Barat, reformis lawan Islamis, Anwaris dan Sosialis lawan setiap yang lain.

6. Kita perlu konsisten dalam percakapan dan perbuatan. Pemimpin-pemimpin PKR dan Pakatan Rakyat harus sentiasa meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan-kepentingan lain. Perlu ada kesepakatan tentang apa yang kita perjuangkan sebagai sebuah kumpulan. Sebagai penyelaras Pakatan Rakyat, saya mampu melaksanakan agenda ini dengan baik.

7. Pendirian kita dalam soal-soal hak dan kebebasan rakyat wajib jelas. Kita perlu memperjuangkan nasib semua warga Malaysia. Saya percaya parti ini harus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan keadilan untuk setiap kaum tanpa takut dituduh mengabaikan kaum kita sendiri.

8. Saya akan memastikan aset kita paling berharga, iaitu Selangor, akan terus kuat dan bebas dari sengketa dalaman. Saya akan memastikan Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat semua sokongan yang diperlukannyaa untuk menjamin kejayaan dalam pilhanraya dan memacu kegiatan pembangunan agar rakyat mengekalkan PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor.

9. Kita wajib, sebagai pembangkang, memenuhi peranan utama kita menegur dan mengimbangi pemerintah yang ada. Peranan utama kita ialah untuk memastikan kerajaan yang ada ini menjalankan tugas secara yang dapat dipertanggungjawabkan. Kita hanya dapat menjalankan peranan ini jika kita dapat meyakinkan rakyat bahawa kita memiliki barisan pemimpin yang berkemampuan dalam parti. Untuk mencapai perkara tersebut, saya akan memilih hanya mereka yang terbaik untuk membantu kita dan Ahli-ahli Parlimen kita — mereka yang terdiri dari orang awam, para cendekiawan, teknokrat dan mereka yang ahli dalam bidang masing-masing. Saya akan membentuk saluran rasmi untuk berhubungan dengan orang ramai dan untuk mentadbir secara perundingan dengan orang ramai. -zaiduntukrakyat


Ulasan GB

Demikian sepatutnya. Perjuangan reformasi yang dimulakan pada sekitar 1997 sepatutnya ditumpukan kepada perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan serta menentang kezaliman dan ketidak-adilan secara komprehensif dan tidak dipersempitkan ruanglingkupnya kepada satu-satu isu seperti isu Anwar.

Isu "Anwar" hanyalah sekelumit daripada isu yang lebih besar iaitu soal kebebasan sistem kehakiman negara yang dieksploitasi oleh kerajaan UMNO BN di dalam pemerintahannya.

PKR - Parti Keadilan Rakyat - tidak sepatutnya tertumpu kepada perjuangan membela Anwar per se. Anwar selama ini dibela kerana tidak ada keadilan di dalam sistem kehakiman negara. Bukan kerana batang tubuh Anwar itu yang dibela. Apabila berlaku kesilapan di dalam halatauju perjuangan maka matlamat keseluruhan juga silap dan yang ditemui ialah kegagalan di sebalik kekalahan.

Itu sebab mengapa GB mencadangkan sebelum ini agar pimpinan PKR hendaklah berubah. Anwar, keluarga dan kroni tidak mungkin dapat menggalas perjuagan PKR lagi kerana akan wujud pengaruh sentimen yang menyempitkan ruang lingkup perjuangan PKR itu sendiri kepada hanya memfokuskan kepada isu Anwar.

Bukan bererti kita mengenepikan peranan yang selama ini ada dimainkan oleh ahli keluarga dan sahabat Anwar seperti Dr Wan Azizah, Nurul dan Azmin, tetapi apabila di dalam rangka untuk menjadi kerajaan menanti, ianya (peyempitan ruanglingkup perjuangan) mungkin berlaku apabila bebanan perjuangan terus-terusan dipikulkan ke atas bahu mereka.

Anwar yang sememangnya memerlukan ruang lebih bebas bagi menyelesaikan isu yang melibatkan peribadi dirinya hendak dihempukkan lagi dengan perjuangan parti yang begitu membebankan. Akhirnya... kesemuanya tidak terpikulkan.

Perubahan kerajaan bermula apabila kita mampu merubah welstancheung serta dimensi perjuangan parti sendiri. Jika tidak, di situ, disitulah juga.



13 Borang Telah Dijual. Galas Mahu Pecahkan Rekod Bkt Selambau?

SPR Jual 13 Borang Pencalonan PRK Galas

GUA MUSANG, 19 Okt -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini telah menjual 13 borang pencalonan termasuk masing-masing satu kepada Umno dan PAS manakala selebihnya individu lain bagi bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 4 Nov ini.

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata borang itu dijual kepada sesiapa sahaja yang ingin bertanding dan menyerahkan borang pencalonan masing-masing pada hari penamaan calon yang ditetapkan pada 26 Okt ini.

Beliau juga mengesahkan 11,553 pengundi yang layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil itu termasuk Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputra Siam 10 orang dan lain-lain kaum 1,889 orang.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada media di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini, hari Selasa, beliau berkata, empat peti undi melibatkan empat Pos Orang Asli termasuk Pos Balar membabitkan 232 pengundi, Balatin 163, Bihai 278 dan Pos Hau 254 pengundi.�

"Empat peti undi di kawasan Orang Asli itu akan ditutup pukul 1 petang berikutan pengundi tidak ramai dan jauh yang memerlukan masa untuk menghantar ke pusat perjumlahan undi," katanya.

"Faktor cuaca juga diambil kira kerana bimbang hujan sebelah petang boleh menjejaskan usaha itu tetapi kita harapkan ia berjalan lancar tanpa ada halangan itu," kata beliau.

Wan Ahmad turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi bagi membincangkan mengenai keselamatan pada pilihan raya kecil itu di Putrajaya.�

"Perbincangan itu penting bagi memastikan keselamatan pada pilihan raya kecil DUN Galas berjalan dengan baik dan mengambil kira perkara yang pernah berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai, Julai tahun lepas," kata beliau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46 kerana barah usus pada 27 Sept lepas.

--BERNAMA

Ulasan GB

Di dalam sejarah pilihanraya kecil di negara ini, Bukit Selambau menyaksikan penyertaan calon bebas paling ramai iaitu seramai 13 orang. Kesemuanya hilang wang pertaruhan.

Apakah Galas hendak memecahkan rekod Bukit Selambau? Akan adakah lagi penaja yang bebal untuk calon-calon bebas ini?

Sama-sama kita tunggu nanti. 26hb Oktober ini.