5 Jun 2015

Haji Hadi Perolehi Lebih Dari Yang Dikehendaki...


Pemimpin kalah disaran tolak jawatan lantikan, biar pasukan Hadi kemudi PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mendapat pasukan beliau sepenuhnya dalam pemilihan PAS malam tadi dan pihak yang kalah dicadangkan supaya menolak tawaran jawatan lantikan, kata seorang perwakilan.

Shazni Munir Mohd Ithnin, perwakilan dari Sekijang berkata ini untuk memberikan peluang kepada Hadi dan pasukannya untuk menentukan hala tuju PAS.

"Kita berharap pemimpin yang kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima sebarang pelantikan," kata Shazni yang juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Sekijang.

Bekas pemimpin mahasiswa itu berkata, barisan pimpinan yang terpilih membayangkan semua yang tidak senang dengan cara Hadi memimpin PAS disingkirkan.

Apa yang berlaku dalam pemilihan semalam seperti disebut Hadi ketika memberikan ucapan penutup Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu.

"Jika nak jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadi iman sendiri," kata Hadi ketika memberikan amaran kepada pengkritiknya.

Kini, apa yang dikehendaki presiden PAS itu menjadi realiti. Mereka yang dilihat tidak bersamanya disingkirkan malam tadi.


Hanya seorang saja daripada senarai pasukan profesional progresif kekal dalam pemilihan kali ini iaitu Mazlan Aliman.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof yang turut kalah dalam pemilihan semalam berkata beliau masih belum pasti akan menerima atau tidak jika ada ditawarkan untuk apa-apa jawatan.

"Saya bimbang kalau-kalau ada tawaran, itu hanya amalan PR saja. Saya nampak besar kemungkinan tidak akan ada tawaran untuk saya.

"Jika ditawarkan jawatan, saya akan berfikir sama ada untuk menerima atau tidak kerana yang menang hari ini adalah atas kehendak pihak tertentu.

"Ini kerana, ketika saya dan kawan-kawan difitnah, apa yang dikesali adalah, pemimpin tertinggi hanya diam seolah-olah mengiakannya,"
kata Mujahid kepada The Malaysian Insider ketika ditanya apakah beliau akan menyertai semula pasukan pimpinan PAS jika mendapat tawaran.

Mengimbas kembali cara pemilihan yang dibuat malam tadi, Mujahid berkata, para perwakilan mengadu kepadanya mereka diberikan senarai calon yang perlu diundi ketika berbaris untuk mengundi semalam.

"Ada perwakilan mengadu, semasa mereka berbaris, mereka diberikan 'cai' calon yang perlu diundi. Mereka pula memangkahnya di luar kawasan mengundi sambil berbincang sesama mereka," kata Mujahid ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata apa yang berlaku dalam PAS sekarang fenomena suram untuk PAS.

"Ia satu fenomena suram dalam PAS selepas sebelum ini kita mendakwa Umno mengundi dengan cara yang sama," kata Mujahid.

Beliau sendiri tidak pasti apakah ia melambangkan kemajuan atau kemunduran untuk PAS dan apa nasib Pakatan Rakyat (PR) selepas ini.

"Saya tidak pasti adakah ia akan memberi kesan kepada kemajuan untuk PAS atau tidak," katanya.

Dalam pemilihan yang diumumkan tengah malam tadi, Hadi menang besar apabila mendapat 928 undi manakala pencabarnya Ahmad Awang hanya mendapat 233 undi.

Timbalan presiden Mohamad Sabu pula tewas di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila mendapat hanya 278 undi berbanding pencabarnya 881 undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, semuanya dibolot pasukan konservatif dengan Idris Ahmad mendapat undi tertinggi iaitu 942, Datuk Iskandar Abdul Samad (801) dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (778).

Penyandang jawatan Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa serta bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar tewas



ULASAN GB

Haji Hadi perolehi apa yang dia sendiri kehendaki. Malah Allah memberinya lebih ... ditarikNya semua mereka yang dari kumpulan profesyenal dan dimenangkan semua dari kumpulan ulamak.

Itu satu signal dari langit. Terpulang kepadanya samada dapat membaca atau tidak ayat manzurah itu.

Ulamak terlalu nak menang kesemua jawatan. Macam-macam cara dilakukan termasuklah perbuatan CAI. Itu tak lagi dengan melakukan penge"boo"an ke atas kumpulan profesyenal dan juga fitnah-fitnah yang dicipta dan dilemparkan ke atas kumpulan profesyenal termasuh menuduh mereka "agen DAP", JEBON dan sebagainya.

Rakan-rakan dalam UMNO dah pun bertempik sorak... Kita tunggu dan lihat selepas ini.

[KEPUTUSAN TERKINI] Kepimpinan PAS Dikuasai Sepenuhnya Oleh Tim Ulama


Hadi menang, Mat Sabu tewas

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan jawatan presiden PAS bagi penggal 2015-2017.

Hadi memperolehi 928 undi untuk menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat 233 undi.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Beliau ditewaskan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat 881 undi.

Mohamad hanya mendapat mendapat 279 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi.

Sebaik sahaja nama Hadi diumumkan, kira-kira seratus penyokong, pemerhati dan perwakilan melaungkan takbir.

Sebanyak 1,162 kertas undi dikeluarkan dan bilangan kertas undi yang berada dalam peti undi sebanyak 1,161.

Sebanyak satu kertas undi tidak dikembalikan dan tiada undi rosak.

Keputusan itu menunjukkan kira-kira 70 peratus perwakilan mengundi mengekalkan Hadi sebagai presiden parti, dan memilih Tuan Ibrahim sebagai timbalan Hadi.

Keputusan bagi jawatan lain belum diumumkan.

Kemenangan itu amat bermakna kerana ini kejayaan sulung Hadi di peti undi setelah mengambil alih kerusi itu daripada allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Dalam 13 tahun menjadi presiden, Hadi tidak pernah dicabar sehinggalah Ahmad, bekas naib presiden dan presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), tampil memecahkan tradisi itu tahun ini.

Hadi juga mungkin mencipta rekod sebagai presiden PAS paling lama dalam sejarahnya apabila dipilih berkhidmat untuk dua tahun lagi.

Sebelum ini, daripada lapan presiden PAS, belum ada yang berkhidmat melebihi 13 tahun.

Kemenangan Hadi itu dilihat bakal memberi kesan besar kepada hala tuju PAS ketika komitmen beliau kepada Pakatan Rakyat mula dipertikai.

DAP sendiri sebelum ini memutuskan hubungan dengan Hadi.

Antara isu yang sentiasa menjadi duri dalam daging hubungan parti Islam dan DAP, sebuah parti sekular, tentunya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

DAP sudah beberapa kali menyatakan kebimbangan riwayat Pakatan mungkin berakhir minggu ini, dipercayai merujuk kepada keputusan hari ini yang sudah dijangkakan oleh penganalisis lebih awal.

KEPUTUSAN TERKINI


Presiden
Haji Abdul Hadi Awang 928
Haji Ahmad Awang 233

Timbalan Presiden
Mohamad Sabu 278
Tuan Ibrahim Tuan Man 881

Naib Presiden
Idris Ahmad 942
Iskandar Samad 801
Mohd Amar Abdullah 778
Salehuddin Ayub 320
Dato Mahfuz Omar 285
Husam Musa 267

AJK PAS Pusat 2015-2017

1- Nasruddin Hassan Tantawi 782
2- Dr Riduan Mohd Nor 782
3- Nasarudin Daud 777
4- Salehan Mukhyi 763
5- Nik Zawawi Saleh 749
6- Dr Khairudin Aman Razali 736
7- Dr Fadhli Hassan 722
8- Abdullah Husin 679
9- Razman Zakaria 674
10- Dr Zuhdi Marzuki 670
11- Mokhtar Senik 656
12- Zaharuddin Mohamad 611
13- Ali Akhbar Gulasan 596
14- Mazlan Aliman 593
15- Dr Rosni Adam 590
16- Mohd Nor Mohammad 566
17- Sanusi Md Nor 560
18- Norazli Musa 544




ULASAN GB

Nampaknya PAS sudah tidak memerlukan "khidmat" para profesyenal lagi. Malah jasa para profesyenal selama ini lansung tidak dihargai dan diktirafkan oleh para perwakilan PAS. Yang penting Haji Hadi dipertahankan.

PAS kini hanya untuk ulamak. Senarai yang menang pun adalah terdiri dari CAI yang dipamerkan oleh Dewan Ulama di dalam facebooknya sebelum ini. Budaya CAI menjadikan pemiilihan perwakilan dibuat tidak berdasarkan kebolehan tetapi berdasarkan senarai blok yang ditetapkan oleh Dewan Ulama sendiri.

GB lansung tidak gusar atau susah hati kerana GB berpegang kepada hukum kebenaran dan keadilan dan hukum itu akan terus berjalan. Yang menang belum tentu benar dan yang kalah belum tentu batil.