14 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Murugiah Saman Kayveas RM10 juta

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah pada Rabu memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas.

Saman itu adalah berhubung kenyataan media oleh Kayveas dan disiarkan oleh beberapa media cetak dan elektronik yang didakwa Murugiah palsu dan berniat jahat.

Ia difailkan oleh peguam Murugiah, Francis Pereira di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 2.30 petang.

Murugiah, yang bertindak sebagai plaintif, dan menamakan Kayveas sebagai defendan bagaimanapun tidak hadir sama di mahkamah bagi pemfailan saman itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Murugiah mendakwa Kayveas telah beberapa kali membuat kenyataan palsu yang berniat jahat terhadapnya dalam beberapa sidang akhbar dan mengetahui bahawa kenyataan itu akan disiarkan dalam media cetak serta elektronik.

Murugiah, yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi PPP, mendakwa pernyataan berkenaan diterbitkan oleh akhbar Berita Harian, The Star and The New Sunday Times pada 10 Mei lepas, The New Straits Times Online pada 11 Mei serta di TV3 pada 9 Mei lepas melalui satu temuramah.

"Penerbitan media yang dibuat adalah daripada kenyataan asal defendan yang mendapat kebenaran daripadanya (Kayveas) untuk diterbitkan dan dalam keadaan ini beliau bertanggungjawab terhadap semua penerbitan itu.

"Pernyataan yang dituturkan itu adalah jelas memfitnah yang bermaksud hendak merendahkan saya yang memegang jawatan sebagai senator, timbalan menteri dan ahli Majlis Tertinggi PPP.

"Akibat daripada itu, ia telah mencemarkan nama baik saya dan membawa saya kepada satu penghinaan dan menjejaskan reputasi saya," dakwanya.

Sehubungan itu, selain memohon ganti rugi am sebanyak RM10 juta, Murugiah juga memohon ganti rugi teruk atau teladan, kos lain dan injunksi untuk menghalang fitnah seumpama diterbitkan lagi. -Bernama

Era Najib Altantuya : Saksi SPRM Tidak Dibenarkan Balik

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hishamuddin Hashim berkata Teoh Beng Hock tidak dibenarkan meninggalkan prosiding penyiasatan.

Hishamuddin dalam akuan beliau di inkues di hadapan koroner Azmil Muntapha Abbas berkata mana-mana saksi tidak dibenarkan pulang tanpa izin pegawai penyiasat.

Inkues hari ini menyaksikan pegawai kedua tertinggi SPRM negeri dipanggil ke kandang saksi. Inkues diwujudkan bagi menyiasat misteri kematian setiausaha kepada exco Selangor, Teoh Beng Hock yang maut selepas disoalsiasat SPRM.

Ketika disoal peguam keluarga mangsa, Hishamuddin menolak dakwaan bahawa Beng Hock maut dibawah jagaan beliau.

Pegawai SPRM ini menjelaskan pegawai-pegawai bawahannya memaklumkan bahawa Teoh telah dilepaskan dan akan kembali keesokan harinya untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan yang sama, Unit Siasatan SPRM mendedahkan tiada usaha untuk mencari Beng Hock dibuat selepas mangsa dikesan hilang dari kawalan mereka.

Ketua Unit Siasatan, Hairul Ilham Hamzah berkata pihaknya hanya berlegar-legar di premis SPRM tanpa terfikir untuk menghubungi telefon bimbit mangsa. -TVA

Era Najib Altantuya : Siasat Kekayaan Khairy Segera!

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa beliau bersedia untuk mengiystiharkan harta yang dimiliki beliau. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk disiasat mengenai dakwaan-dakwaan bahawa beliau memiliki kekayaan yang sangat besar dan melampaui pendapatan beliau. Kenyataan ini tidak seharusnya hanya tinggal kenyataan dan hanya diulang kembali menjelang pilihanraya.

AMK dengan ini mencabar Khairy untuk mengisytiharkan harta beliau termasuk pegangan-pegangan secara langsung dan tidak langsung melalui nomini, wang yang disimpan di dalam akaun-akaun di luar negara dan kepentingan-kepentingan di dalam pelbagai perniagaan.

Penglibatan aktif Khairy di dalam bidang perniagaan bukan sahaja menimbulkan persepsi wujud salahguna kuasa, malah para peniaga juga menghadapi persaingan yang tidak adil khususnya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan. Justeru, memandangkan terdapat kesediaan daripada Khairy sendiri untuk beliau disiasat, AMK mendesak PM Najib Razak supaya segera mewujudkan satu badan bebas bagi menyiasat harta-harta yang dimiliki oleh Khairy yang sebelum ini merupakan menantu kepada Perdana Menteri dan juga selaku Ketua Pemuda yang tentunya akan mendapat kelebihan politik (political advantage) daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak dari 1998 lagi, ketika dituduh memiliki harta sebanyak RM 3 bilion dengan tegas dan berani menyatakan kesediaan dengan mendesak satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang tidak berasas. Namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan dan hanya menggunakan isu ini sebagai bahan kempen murahan sewaktu pilihanraya kecil Bagan Pinang yang lalu.

Keengganan melakukan siasatan ini mewujudkan tanggapan umum bahawa Barisan Nasional mengambil sikap tidak apa terhadap mereka yang memiliki harta yang tersangat banyak sehingga melebihi kemampuan pendapatan.

AMK mendesak kerajaan untuk serius terhadap usaha membanteras rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pemboloton kekayaan melalui cara-cara yang tidak sewajarnya.

Sekiranya ini tidak dilaksanakan dengan serius, maka impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara serba maju di mana kekayaan negara dikongsi secara adil tidak akan dapat dicapai. Seperti yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi: Kekayaan dunia adalah cukup untuk keperluan semua manusia, tetapi tidak mungkin cukup untuk memenuhi ketamakan manusia.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan

Era Najib Altantuya : Kemenangan Isa Runtuhkan BN

Bagi pengamal politik yang realistik, kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, bukan suatu kejutan. Ia sudah diduga, cumanya pertambahan majoriti Barisan Nasional (BN) membuat dahi sedikit berkerut.

Sudah berakhirkah momentum tsunami politik pada 8 Mac lalu? Apakah arus perubahan politik hanya di utara, tidak kesampaian ke selatan Semenanjung?

Tidak! Sebaliknya, keputusan itu harus ditelan penyokong Pakatan Rakyat dengan bijaksana. Biarkan sahaja penyokong BN terbuai-buai dengan emosi mereka. Mereka sudah gian kerana telah lama tidak mengecap kemenangan.

Biar mereka berpesta dengan satu-satu kemenangan di Semenanjung Malaysia sedangkan hakikatnya, Pakatan Rakyat tidak kurang waima satu kerusi pun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, sebaliknya BN masih kekurangan satu kerusi di Kuala Terengganu.

Secara mudah, BN masih ketinggalan dalam perlumbaan memenangi hati pengundi, sedangkan Pakatan Rakyat masih laju memecut ke persada Putrajaya tapi berhenti seketika untuk untuk mengisi minyak.

Barangkali, mereka lupa akan senario Ijok. Ijok pada pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum PRU ke-12 menyaksikan kemenangan BN dengan pertambahan majoriti.

Ia berikutan seluruh jentera baik media arus perdana mahupun agensi kerajaan dikerah bagi memastikan kerusi itu tidak terlepas ke tangan pembangkang. BN berjaya.

Sebaliknya, BN pada PRU 12 tumbang di Ijok, malah calon KEADILAN, Tan Sri Khalid Ibrahim - calon sama yang tewas pada pilihan raya kecil itu, menjadi Menteri Besar Selangor.

Bukan Ijok saja, bahkan seluruh negeri ditawan Pakatan Rakyat. Inilah kemungkinan yang bakal terjadi pada PRU ke-13 kelak di Bagan Pinang khasnya, Negeri Sembilan amnya.

Kemenangan jar-rang-jar-rang (baca dengan nada P Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang) BN kali ini, bukan bermakna kejayaan sama bakal menanti mereka pada PRU 13. Belum tentu.

Sebab itu, penyokong Pakatan Rakyat usah patah hati. Kebenaran pasti membawa kejayaan. Semakin BN alpa dan mabuk dengan kemenangan Bagan Pinang, semakin mudah Putrajaya ditawan.

Hal ini sudah dihidu Tengku Razaleigh Hamzah apabila menyatakan, lebih baik BN kalah di Bagan Pinang kerana ia seolah-olah suatu endosmen terhadap rasuah kepada parti dan kerajaan.

Pun begitu, kemenangan Isa yang calar balar dengan imej rasuahnya tapi tetap menang dengan peningkatan majoriti, perlu dikupas pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya PAS secara rasional.

Mungkinkah status quo pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat di selatan Semenanjung perlu diubah suai bagi menarik sokongan rakyat lantaran pengundi di selatan didakwa kurang serasi dengan parti itu.

Sebaliknya, mereka khususnya pengundi Melayu sejak merdeka tidak mesra dengan imej PAS dan KEADILAN yang pada PRU 1998 mencatat prestasi memberangsangkan walaupun bertanding di kawasan maut.

Kemenangan Isa, bagaimanapun tentunya bukan disenangi orang Umno sendiri termasuk di Negeri Sembilan. Kejayaan bekas Menteri Besar itu membuat 'comeback' pasti menimbulkan kegusaran Menteri Besar, Mohamad Hassan yang akrab dengan Khairy Jamaluddin.

Tidak kurang juga yang melabel kemenangan itu bukan kejayaan BN, sebaliknya kemenangan peribadi - Isa untuk yang pernah menjadi Naib Presiden Umno sebelum digantung tiga tahun berikutan terpalit dengan imej politik wang.

Kemenangan itu datang pada harga tinggi lantaran Umno-BN terpaksa menggunakan kelebihan undi pos dan taktik samseng bagi meraih kemenangan dengan mempertaruh perpaduan Umno negeri.

Pada pilihan raya kecil Sabtu lalu, calon BN, K Partiban, 38, menewaskan calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, 61, dengan majoriti 1,850undi.

Undi yang diberikan kepada PKR meningkat daripada 3,564 pada pilihan raya lalu kepada 4,034 undi kali ini, iaitu perbezaan 470 undi. Sokongan kepada BN juga meningkat sebanyak 671, iaitu daripada 5,213 kepada 5,884.

Tetapi, pada pilihan raya lalu, calon Bebas turut bertanding dan mendapat 313 undi. -TVA

Era Najib Altantuya : Mahkamah Arah Pahang Bayar RM65 Juta

Kerajaan Pahang di ambang bangkrap apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 9 Oktober lalu mengekal keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan mereka membayar RM65 juta kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Seruan Gemilang adalah antara empat syarikat yang menyaman kerajaan Pahang membabitkan nilai keseluruhan RM300 juta ketika Datuk Seri Adnan Yaacob menjadi Menteri Besar (MB), antara April dan Ogos lalu.

Syarikat lain ialah Asia Chart Sdn Bhd (RM200 juta), Spag'n Plantation Sdn Bhd (RM209 juta) dan Upayapadu Sdn Bhd (RM24 juta), selain tuntutan pelbagai pihak ketika Tan Sri Khalil Yaacob sebagai MB.

Jumlah keseluruhan saman yang ditanggung kerajaan negeri ialah kira-kira lima bilion berikutan amalan penyelewengan, rasuah dan konisme yang membudayai parti pemerintah itu.

Walaupun Mahkamah Rayuan Putrajaya melepaskan Adnan sebagai responden dan diganti Pegawai Kewangan Negeri tapi keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 supaya membayar RM65 juta, kekal.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim diketuai oleh Datin Paduka Zaleha Zahari bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Berikutan pertukaran responden itu, Karpal Singh yang mewakili syarikat itu akan mengeluarkan suatu perakuan baru bagi menuntut pembayaran daripada Pegawai Kewangan Negeri Pahang.

Di luar mahkamah, Pengarah Seruan Gemilang, Saiyeed Ali berkata, pihaknya hanya mahu pihak terbabit membayar seperti yang diputuskan mahkamah.

"Sebelum ini, kita memohon perintah mandamus (perintah akur bayar) kepada kerajaan negeri dan tiada bantahan sehingga mahkamah mengeluarkan sijil mengikut Seksyen 33(1) APK, 1956 (Akta) pada Mac 2008," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Saiyeed Ali Al-Habsyee menghantar sijil perintah mandamus yang diterimanya pada 7 Mac 2008 untuk diserah kepada Pegawai Kewangan Negeri Pahang dan perlu dilunaskan dalam 14 hari.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menganggap keputusan mahkamah berkaitan pengekalan keputusan dan penukaran responden, tepat dengan mengambil kira kapasiti Adnan sebagai Menteri Besar.

"Jika Adnan tidak mampu membayar wang atau diisytihar bankrap, masalah lain timbul," katanya.

Pada 27 Ogos 2007, syarikat itu menghantar surat tuntutan kepada defendan yang menuntut bayaran bagi jumlah penghakiman sehingga sijil mengikut Seksyen 33(1) APK, 956 (Akta) dikeluarkan tapi bayaran itu tidak diterima.

Pada 25 Mei 2007 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan mengarahkan kerajaan Pahang membayar syarikat itu RM37,127,471.60 bersama faedah lapan peratus setahun mulai 31 Dis 2000 kerana melanggar kontrak konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar milik Umno negeri di Pekan. -TVA

Era Najib Altantuya : SPRM Terus Dilembukan BN

Pakatan Rakyat (PR) beranggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai pengaruh kuat Barisan Nasional (BN) dan masih tidak telus dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah badan menyiasat.

Ketua Angkatan Muda (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perkara itu dapat dilihat apabila laporan yang dibuat melibatkan kepimpinan tertinggi tidak dititikberatkan.

Sebab itu kita dalam PR anggap badan itu masih tidak telus dalam menjalankan tugas kerana berada bawah penguasaan dan pengaruh BN.

“Jadi setiap aduan yang dibuat oleh pemimpin parti atau rakyat jarang dapat ditangani terutamanya dalam kalangan menteri kabinet,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan SPRM yang mendakwa sembilan pemimpin BN manakala hanya dua pemimpin PR disiasat sepanjang 2008 hingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, SPRM perlu mengamalkan pelbagai pendekatan dan mengubah dasar dengan menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dibuat dalam kalangan pemimpin UMNO peringkat bawahan tetapi juga atasan (Menteri Kabinet).

“Jika itu yang berjaya dilaksanakan SPRM, saya yakin keupayaan rakyat terhadap badan terbabit akan pulih. Namun begitu SPRM kena berani mengambil tindakan dan membuat keputusan tanpa ada pengaruh dari pucuk pemerintahan negara,” katanya.

Dalam usaha menjamin ketelusan, SPRM perlu diletakkan dalam Parlimen yang tidak tertakluk kepada Perdana Menteri.

“Sejak dahulu lagi kita (PR) mahu SPRM diletakkan di Parlimen agar segala usul melibatkan dakwaan atau laporan dapat dimaklumkan secara telus dan boleh dibahaskan hasil siasatannya di parlimen.

“Perkara ini harus dilakukan segera, bagi memastikan kejujuran, integriti, kewibawaan dan ketelusan SPRM melaksanakan: siasatan tidak hanya tertakluk kepada mana-mana individu,” katanya.:

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Azman Syafawi Abd Rani turut menyifatkan SPRM masih tidak telus dan mengamalkan budaya pilih bulu.

“Saya akui SPRM menyiasat 9 pemimpin BN, tetapi berapa peratus ketulusan siasatannya, adakah ia menjangkau 90 peratus hasil siasatan atau hanya 20 peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata, PR mahu SPRM menjalankan semua dakwaan dan laporan yang dibuat dengan mengenakan tindakan segera agar rakyat tidak mempertikai sebarang aduan yang dibuat.

“Jika tidak ambil tindakan atas semua kes, ini akan menjadi bahan perbualan rakyat kerana hanya memilih kes saja,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : Tee Kiat Mangsa Politik Najib?

.Adakah Ong Tee Keat menjadi mangsa permainan politik Umno dan Najib Razak? Persoalan itu kini kian rancak ditanya berikutan keputusan perwakilan meluluskan undi tidak percaya terhadap presiden MCA itu.

Keputusan pada mesyuarat tergempar MCA pada Sabtu lalu bererti Tee Keat berkemungkinan besar terpaksa meletakkan jawatan dan pemilihan baru diadakan. Beliau dijangka mengumumkan keputusannya Khamis depan.

Perwakilan turut menolak Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden tetapi mahukan penggantungan empat tahun ke atasnya ditarik balik, bererti Soi Lek masih ahli MCA dan boleh bertanding jawatan presiden jika pemilihan semula diadakan.

Umum tahu bahawa Najib lebih senang dengan kepimpinan Soi Lek yang dicalar dengan skandal video lucah berbanding Tee Keat yang dilihat sebagai sukar untuk "dikawal" oleh Umno.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Md Akin tidak menolak apa yang berlaku terhadap Tee Keat adalah permainan politik yang direstui oleh Najib.

Beliau menjelaskan tindakan Najib amat janggal dimana beliau seolah-olah tidak selesa bekerja dengan Menteri Pengangkutan itu.

"Bermula dengan isu PKFZ, Najib hanya membiarkan Tee Keat bergelut sendirian menyelesaikan perkara itu. Malahan sehingga kini beliau langsung tidak mengeluarkan kenyataan berhubung masalah parti terbesar masyarakat Cina itu tetapi hanya berkata beliau hanya mahukan sebuah MCA yang kuat," katanya.

Ternyata kenyataan seperti ini bertentangan dengan semangat kerjasama yang diamalkan BN sebelum ini. Restu Najib ini seakan membuktikan usahanya mengantikan kepimpinan MCA yang dilihat tidak akur dengan kehendaknya.

"Najib mahu pemimpin yang mengikut telunjuknya sahaja barangkali," dakwa Shamsul.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian pula menyatakan bahawa masalah MCA tidak akan selesai melainkan pemilihan semula diadakan.

"Perwakilan sudah menolak politik angkuh Tee Keat dan masalah moral Soi Lek, dan jika bergantung kepada Jawatankuasa Pusat(CC), tentunya yang dilantik adalah Naib Presiden yang kanan. Beliau pula tentunya ada hubungan mereka (sama ada Tee Keat atau Soi Lek)," kata Dr Siva lagi.

Tee Keat yang kalah dalam undi tidak percaya dalam mesyuarat agung khas lalu enggan membuat keputusan berkenaan masa depan politiknya sebelum berbincang dengan jawantankuasa pusat(CC) yang akan bermesyuarat 15 oktober ini.

Mahathir berkata MCA kini perlu memilih calon berkecuali di kalangan mereka serta mendapat sokongan akar umbi bagi memulihkan semula kekuatan parti berkenaan.

"Dari segi moral, kedua-dua mereka patut berundur."Pilih seorang yang tidak tercemar dan kedua-dua pemimpin itu beri sokongan penuh kepada orang baru," katanya. -TVA

Era Njib Altantuya : Najib Dan Rosmah Disambut Dingin Di Paris

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Paris untuk lawatan rasmi empat hari, hanya mengimbas ingatan dunia terhadap Altantuya Sariibuu, mangsa tragedi pembunuhan berprofil tinggi.

Tanpa kelibat pimpinan Perancis, Najib cuma disambut Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, bukan Presiden atau Perdana Menteri negara itu, selain kehadirannya mencetus demontrasi bantahan pembunuhan model Monggolia itu.

Beliau hanya hadir ke mesyuarat Unesco selama 20 minit dan mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Nicolas Sakorz, sebelum tergesa-gesa meninggalkan Perancis tanpa sebarang persetujuan konkrit.

Najib juga membisu terhadap pertanyaan media Perancis berkaitan pembunuhan Altantuya dan pembelian kapal selam tapi sempat menelefon Carla Bruni untuk menyatakan album dimainkan dalam Penerbangan Malaysia (MAS).

Carla Bruni adalah Wanita Pertama Perancis dan bekas model terkenal yang memiliki dua album Quelqu’un m’a dit pada 2002 dan No Promises (2007).

“Ya, … sebenarnya saya memberitahu Presiden Sarkozy bahawa Penerbangan Malaysia Airlines memainkan albumnya ketika dalam penerbangan," The New Straits Times memetik Najib sebagai berkata.

Mengikut Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua, kebanyakan Ahli Parlimen Perancis berminat mengetahui "cerita sebenar" disebalik jual beli kapal selam oleh Malaysia dan pembunuhan Altantuya.

Malah, bapa Altantuya, Prof Dr Shaaribu Setev dipelawa Kesatuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (FIDH) ke Paris untuk memberi taklimat tapi tidak dapat berbuat demikian berikutan masalah kesihatan.

Beliau bagaimanapun mengeluarkan kenyataan kepada media Perancis, meminta Najib mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan Altantuya dan yakin anaknya akan masih hidup hari ini jika rundingan urus niaga pembelian kapal selam, dibuat secara telus dan adil.

Altantuya adalah watak penting dalam pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM3.4 bilion dari Perancis dan menjalin hubungan dengan sekutu Najib, Abdul Razak Baginda.

Beliau dijanjikan komisen dan membuat tuntutan sebaik sahaja pembayaran RM114 juta dibuat ke Parmekar, syarikat yang dikuasai Razak sekitar Oktober 2006. Altantuya kemudian dibunuh dengan badannya diletupkan dengan bahan C4 yang lazim digunakan oleh agensi keselamatan Malaysia.

P Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang diupah Abdul Razak sebelum kehilangan Altantuya, ada membuat akaun bersumpah yang mengaitkan Najib dengan model berkenaan.

Mengikut perkara 25 akuan itu, Paris yang terkenal seantero dunia sebagai kota romantik, menjadi saksi pertemuan makan malam antara Najib dengan Altantuya.

"Selagi Najib berdiam diri mengenai skandal itu, beliau hanya membawa imej negatif kepada Malaysia di kaca mata dunia," kata Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faris Musa kepada Suara Keadilan.

Beliau menganggap 'keberanian' Najib ke Paris, sebagai strategi psikologi untuk menunjukkan dunia, kononnya Perdana Menteri keenam itu tiada apa-apa perlu disorok.

Namun isu Altantuya terus menjadi tumpuan media antarabangsa. Beberapa persidangan antarabangsa sebelum ini menyaksikan perwakilan Malaysia diasak dengan persoalan- persoalan mengenai kewibawaan polis dan hakim perbicaraan kes itu yang membelakangkan hubung kait Najib dan Altantuya. -TVA

Era Najib Altantuya : SPRM Disaman Oleh Saksi

.Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Oktober depan untuk mendengar saman yang difailkan oleh Ahli Majlis Bandaraya Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan sebelum ini ditahan semalaman selama 16 jam bersama Teoh Beng Hock, seorang lagi saksi SPRM yang ditemui mati di tingkat 5 bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat suruhajaya itu. Tan dan Teoh disoal siasat ditingkat 14, bangunan itu pada 16 Julai lalu, sebelum Teoh dijumpai mati keesokannya.

Kedua-dua mereka ditahan sebagai saksi terhadap tuduhan salah guna wang peruntukan kerajaan negeri Selangor yang melibatkan Exco kerajaan Selangor.

Kematian Teoh dalam tahanan SPRM menimbulkan kegemparan kepada negara. Sebuah inkuiri ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian beliau yang dijalankan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Peguam yang mewakili Tan, Karpal Singh berkata kes itu penting kerana ia bukan sahaja memberi kesan terhadap siasatan SPRM tetapi juga siasatan polis dan kes membabitkan kematian Teoh.

Menurut Tan, Akta SPRM 2009 memberi garis panduan jelas berhubung siasatan terhadap saksi dan tindakan menahan seseorang saksi selepas waktu pejabat adalah tidak sah.

Beliau juga meminta Mahkamah Tinggi menafsir Seksyen 30 (3) Akta SPRM, yang menyebut siasatan bermaksud hendaklah dilakukan pada hari bekerja antara pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

SPRM dalam afidavitnya membantah undang-undang baru yang tidak memberi had waktu siasatan kepada masa bekerja dan Akta SPRM juga tidak jelas mengenai perkara itu. -TVA

Era Najib Altantuya : Sahihkah Pilihanraya Bagan Pinang?

Beberapa tahun yang lalu semasa saya mengendalikan kes petisyen pilihan raya bagi DUN Bangi saya dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bertelagah tentang makna demokrasi.Peguam Negara yang memohon Mahkamah membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh PAS berhujah bahawa calon BN di Bangi, Amran Kasimin (pada masa itu) telah menang dengan majoriti yang besar sekaligus mengalahkan calon PAS iaitu Dr Shafie Abu Bakar.

Ghani Patail berhujah bahawa Mahkamah perlu menghormati pilihan rakyat di Bangi kerana majoriti besar dari pengundi di situ mahukan calon BN. Demokrasi, hujah Ghani Patail, adalah tentang suara majoriti iaitu pihak yang menang secara majoriti adalah pihak yang layak dilantik sebagai wakil rakyat.

Ketika menjawab hujah Ghani tersebut saya berhujah bahawa demokrasi bukan soal majoriti semata-mata. Pilihanraya yang bersih, bebas dan adil adalah sine qua non (ciri utama) demokrasi. Mana-mana pilihan raya yang tidak bersih, tidak bebas dan tidak adil ia bukanlah satu pilihan raya meskipun diadakan lima tahun sekali kerana pilihan raya sebegitu melanggar ruh dan prinsip demokrasi.

Saya hujahkan bahawa bagaimanakah pilihanraya di Bangi itu boleh dikatakan adil, bersih dan bebas sedangkan banyak peraturan yang BN langgar. Misalnya calon BN secara jelas menipu dengan menggunakan title Profesor di poster beliau meskipun beliau bukan seorang Profesor. Daftar pemilih yang digunakan di hari pengundian berbeza dengan daftar yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan sedangkan undang-undang pilihanraya menyatakan secara jelas hanya daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan yang boleh diterima sebagai daftar pemilih yang sahih pada hari pengundian. Saya selanjutnya berhujah “ Yang Arif, BN menang besar kerana mereka adalah penipu/pembohong besar !!!”. Ghani Patail melenting apabila saya menyatakan BN pembohong besar.

Melihat apa yang berlaku di dalam pilihan raya kecil DUN N.31 Bagan Pinang saya tertanya-tanya wujudkah pilihan raya di DUN tersebut ?

Apa yang dikatakan Pilihan raya di Bagan Pinang menyaksikan siri pencabulan undang-undang yang amat ketara yang dilakukan oleh BN dan ejen-ejen BN yang tidak rasmi iaitu pihak SPR dan pihak tertentu di dalam Pasukan Angkatan Tentera Malaysia. SPR sepatutnya berfungsi sebagai pengawal pilihan raya tetapi seperti yang dinyatakan dalam pepatah latin “ quis custodiet ipsos custodes” (“ siapa yang mengawal pengawal ?)

Semua tahu bahawa undi pos adalah talian hayat Umno di Bagan Pinang. Semua juga tahu proses pengundian pos diselaputi dengan pelbagai misteri dan kebal dari radar ketelusan. Penghapusan undi pos adalah salah satu tuntutan besar BERSIH.

Perlaksanaan undi pos di Bagan Pinang bukan sahaja tidak telus malahan terang-terang melanggar undang-undang. Oleh itu tidak pelik jika calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 3,521 undi pos berbanding calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar yang hanya memperoleh 601 undi sahaja.

Perkara pertama yang dilanggar oleh SPR adalah kewujudan dua nama yang sama lebih kurang 250 pengundi tentera di daftar pemilih di DUN Bagan Pinang dan di beberapa daftar pemilih di daerah-daerah mengundi di seluruh negara. Misalnya nama Ahmad bin Ali wujud di daftar pemilih DUN Bagan Pinang dengan menggunakan No pengenalan tentera , dan nama yang sama juga wujud di daftar pemilih di Daerah mengundi di Kelantan dengan menggunakan No Kad Pengenalan biasa. Apabila hal ini dibangkitkan oleh PAS , SPR meskipun mengakui hal tersebut berlaku dan juga mengakui bahawa ia adalah menyalahi undang-undang hanya memberikan alasan yang sama dulu, kini dan selamanya : “ Oleh kerana terlalu ramai pengundi di negara ini, kesilapan tidak boleh dielakkan dan kami tidak boleh buat apa-apa ! Kami jamin tiada pengundi tentera yang mengundi dua kali di Dun Bagan Pinang ! Lihatlah betapa mudahnya SPR meremehkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.

Tidak cukup dengan perlanggaran tersebut, SPR sekali lagi membiarkan sahaja penggunaan daftar pemilih yang berbeza di pusat pengundi pos dengan daftar pemilih yang dibekalkan kepada calon. Kali ini alasan SPR mesipun daftar pemilih berbeza nama-nama pengundi masih ada di kedua-dua daftar pemilih yang berbeza tersebut. Pengarah Pilihan Raya SPR Negeri Sembilan, Abdul Latif Baba berkata, senarai pemilih yang dipamerkan oleh pihak tentera di papan pameran dewan pusat mengundi semasa proses pengundian berlangsung di situ adalah diatur oleh pihak tentera secara pentadbiran.

Nampak sangat SPR sengaja memejam mata melihat perlanggaran undang-undang. Undang-undangnya adalah kesemua pihak sama ada SPR, tentera atau parti-parti yang bertanding hendakah menggunakan daftar pemilih yang sama iaitu yang dibekalkan kepada calon semasa hari penamanaan calon.

Baik SPR ataupun tentera tidak diberi kuasa mengubah hal tersebut walau dengan tujuan dan niat apa sekalipun. Apabila tentera mengubah daftar pemilih tersebut ia mendatangkan kesusahan kepada petugas parti yang bertanding untuk menyemak dan mengenal pasti nama-nama pengundi yang datang membuang undi.

Apa yang lebih malang lagi para petugas parti yang bertugas memantau perjalanan pengundian pos tersebut tidak sama sekali berpeluang untuk memastikan bahawa hanya para pengundi yang namanya ada di daftar pemilih DUN Bagan Pinang yang benar-benar mengundi di situ .

Hal ini berlaku kerana tidak seperti proses pengundian biasa di mana pihak Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) akan meneriak nama para pengundi yang hadir untuk mengundi sekaligus memudahkan para polling agent parti yang bertanding menyemak nama pengundi tersebut di daftar pemilih , hal yang sama tidak berlaku di dalam proses pengundian pos khususnya di DUN Bagan Pinang.

Oleh itu tiada mekanisme untuk petugas parti yang bertanding mengetahui dengan jelas siapa yang datang mengundi dan pengundi itu mengundi bagi pihak siapa ? Bolehkah kaedah pemilihan sebegini yang penuh dengan misteri didefinisikan sebagai pilihan raya ? Hantu raya bolehlah !!!

Isu keganasan tidak perlulah saya sentuh kerana ianya satu amalan rutin oleh BN di Bagan Pinang. Para petugas BN ibarat drakula yang kehausan darah . Pilihan raya telah bertukar seperti perlawanan gusti di Bagan Pinang –perlawanan penggusti yang jahat dan tidak ikut undang-undang membelasah penggusti yang baik yang ikut undang-undang. Penggusti yang jahat dalam banyak keadaan dibela pula oleh pengadil yang lemah dan tidak berdaya !!!

Seksyen 2 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menafsirkan perkataan pilihan raya seperti berikut “ pilihan raya ertinya sesuatu pilihanraya yang diadakan mengikut peruntukkan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pemilihan orang sebagai ahli Dewan Rakyat , Dewan Undangan Negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan tafsiran tersebut adalah jelas bahawa apa yang berlaku di Bagan Pinang bukanlah satu pilihan raya kerana ianya gagal diadakan mengikut peruntukkan undang-undang pilihan raya.

Mungkin BN berhujah jika PAS tidak puas hati , PAS seharusnya memfailkan petisyen pilihan raya di bawah sekyen 32 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 bagi membatalkan pilihan raya tersebut.

Persoalannya bagaimanakah PAS boleh memohon membatalkan pilihan raya tersebut jika pilihan raya tersebut sendiri tidak wujud menurut undang-undang. Bolehkah kita batalkan sesuatu perjanjian jika perjanjian itu sendiri tidak wujud. Menyuruh seseorang membatalkan sesuatu yang tidak wujud samalah seperti menyuruh orang itu membuat sesuatu yang mustahil. -Hanipa Maidin (Peguam PAS)

Era Najib Altantuya : BN, Mana Menang Besarnya?

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang sudah berlalu. Pilihanraya yang paling pintar lagi terkedepan “advanced” dalam sirinya semenjak post-PRU 12. Walaupun tarikh (hari) mengundi sebenar telah ditetapkan pada 11hb Oktober sejumlah besar pengundi sudah MENGUNDI DULU pada 8hb & 9hb Oktober.

Hasil dari Undi Cara Pos iaitu sebanyak 30.00% daripada keseluruhan undi telah dibolot oleh UMNO/BN. Jadi pada hari mengundi sebenar (proper) UMNO/BN hanya memerlukan 21.10% sahaja lagi dari baki 70% keseluruhan pengundi berdaftar untuk mencapai kemenangan mudah.

Para pengundi Atas Pagar memahami cara formula diatas dimana tanpa undi dari merekapun UMNO/BN boleh mencapai kemenangan juga. Mereka mengambil keputusan untuk sama-sama menyokong pemenang buat kali ini. Sesungguhnya apabila UMNO/BN mencapai kemenangan begini besar mereka tidak akan mengambil kira lagi untuk mengkaji sokongan terhadap mereka. Mereka akan terus menerus “celebrate” kejayaan tersebut . Sebagai contoh media massa mereka Radio/TV masih lagi memperkatakan perihal kemenangan tersebut macam orang yang tak` pernah menang. Berdasarkan pandangan diatas dimana duduknya perkataan “Menang Besar” itu?

Kepada penyokong Pakatan Rakyat khususnya Parti PAS janganlah merasa gusar. DiPRK Bagan Pinang ini Parti PAS tidak kalah cuma tidak berjaya merampasnya saja. Kejayaan UMNO/BN adalah ibarat “salin tikar” saja. Kita misti optimis pada PRU ke 13 nanti keseluruhan kerusi DUN dalam Parlimen Telok Kemang akan jatuh kepada Pakatan Rakyat. Untuk makluman pada masa sekarang inipun Pakatan sudah memiliki 3/5 Kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Telok Kemang.

Kepada para petugas yang telah kembali ketempat masing – masing ucapan terima kasih dari Blog ini diatas kesungguhan yang diberi semasa diPort Dickson. -ahmadzawawi

Era Najib Altantuya : PAS Tak Rugi Apa-apa

Kemenangan BN dalam pilihanraya kecil (PRK) Bagan Pinang adalah sesuatu yang dijangkakan. Apa yang BN dan penyokong mereka perlu faham ialah kemenangan tersebut bukanlah suatu cahaya di hujung terowong untuk mereka. Ia sebenarnya adalah satu jerangkap samar yang sedia membaham BN pada bila-bila masa.

Sekiranya dibuang undi pos, maka BN akan tergapai untuk meraih kemenangan. Ditambah lagi sekirannya SPR bertindak secara professional iaitu dalam beberapa PRK, hari membuang undi diputuskan pada hari berkerja, sedangkan di Bagan Pinang ia diadakan pada hari ahad, hari cuti. Ini menunjukkan SPR ada perkiraan sendiri dalam pemilihan hari untuk membuang undi. Tentunya kriteria itu ialah apakah yang terbaik untuk BN.

PAS tidak kalah. PAS hanya tidak menang dan memang Bagan Pinang bukan milik PAS, jadi tidak ada apa yang PAS rugi di sini.

Yang akan membaham BN ialah persepsi rakyat terhadap parti tersebut. Jelas, BN tidak mengira integriti atau cacat cela calon atau pemimpin, asalkan dikira boleh menang, samada busuk atau bertembelang, maka itulah yang diketengahkan.

Ini akan mengelumangkan BN ke dalam satu kancah yang tidak ada penghujungnya. Ia adalah kotor, kotor dan kotor. Tetapi BN dan segala media dan jentera yang dipulas untuk mengipas akan mempromosikan cantik, cantik dan cantik.

Memang, sebahagian rakyat akan menerima manipulasi sedemikian, seperti yang ditunjukkan dalam PRK Bagan Pinang, tetapi tetapi rakyat umum akan menolak permainan kotor ini secara total.

Dalam BN leka dilamun kemenangan yang disolek ini, bahana sedang menunggu mereka kerana mereka telah mengesahkan sekali lagi bahawa kumpulan mereka adalah kumpulan yang kotor serta keji yang secara magis menjadi bersih bila menang pilihanraya.-sabahkini

Salam Hormat,

HAMIRDIN

Nizar Sifatkan Kemenangan BN Kemenangan Rasuah

MMenteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Bagan Pinang kelmarin sebagai 'kemenangan rasuah'.

Beliau berkata, soal kekalahan calon Pas tidak menjadi masalah kerana adat pertandingan, tetapi moral kemenangan itu memperlihatkan pengundi tidak mengambil kisah mengenai latar belakang wakil rakyat walaupun pernah terlibat dengan politik wang.

“Pada mereka soal rasuah dianggap remeh dan tidak mendatangkan sebarang masalah. Saya sedih dengan keadaan ini kerana majoriti pengundi di sini adalah Melayu Islam yang seolah-olah mengiktiraf pemimpin dari kalangan rasuah padahal terang-terangan dalam al-Quran telah menyatakan dengan jelas berkaitan isu rasuah,” katanya, semalam.

Nizar berkata, beliau merasakan masyarakat di DUN Bagan Pinang belum lagi melihat isu rasuah sebagai satu permasalahan besar sebaliknya menganggap ia sebagai isu kecil sehingga lebih mengutamakan populariti calon BN.

Katanya, soal kualiti pemimpin hanya berpaksikan kepada orang lama yang banyak berjasa, bukan kualiti berlandaskan agama.

“Sebab itulah, Mohd Isa menjadi pilihan majoriti masyarakat di DUN berkenaan walaupun rekodnya buruk sebelum ini. Pengundi masih tidak dapat membezakan pemimpin berkualiti yang berlandaskan agama dengan pemimpin berkualiti berdasarkan pengalaman,” katanya.

Dalam perkembangan politik di Perak terutama desas-desus mengatakan sidang DUN akan diadakan pada 28 Oktober ini, Nizar berkata, beliau tidak akan hadir jika notis arahan dikeluarkan oleh Speaker Datuk R Ganesan.

“Ini kerana kami dari pakatan pembangkang tidak pernah mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker, tetapi jika V Sivakumar yang keluarkan arahan, kami akan hadir kerana ia adalah Speaker sah," katanya