25 Feb 2010

Nalla Sudah Kering Isu, Serang Peribadi Wan Azizah

KKecaman Datuk S. Nallakaruppan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan Barisan Nasional ketandusan isu politik hingga tergamak menyerang peribadi lawan. (Gambar: Nalla dan Ezam)

Serangan peribadi yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia, sebuah media kawalan Umno-BN tidak lebih dari usaha menjatuhkan maruah sesama manusia, khususnya insan tabah seperti Azizah.

Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar melabel Nalla sebagai alat permainan Umno-BN bagi menjatuhkan maruah keluarga Anwar dan Pakatan Rakyat dengan melontarkan kenyataan tidak berasas.

“Nallakarupan salah seorang dalam permaian ini tujuan mereka ialah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan PKR dengan cara melontarkan maklumat seperti itu walaupun tidak ada asasnya,”katanya.

Xavier menganggap tindakan Nalla bukanlah watak sebenar wira rakyat kerana gagal membangkitkan isu rakyat sebaliknya hanya lantang menyerang keperibadian orang.

“Saya hendak orang-orang ini yang katakan dia wira rakyat bawa isulah. Kenapa Nallakarupan tidak bawa isu, ada banyak isu untuk disuarakan kita boleh debat dengan isu penting bukan isu remeh temeh seperti ini. Ini bukan isu politik, kita perjuangkan isu rakyat, mahu bawa perubahan dalam negeri, saya cabar dia untuk berdebat tentang isu ini bukannya yang remeh temeh, kalau dia tidak tahu diamlah,”katanya.

Nalla mendakwa ketabahan Azizah berkaitan kes perbicaraan konspirasi kedua sebagai sandiwara presiden PKR itu bagi menjaga reputasi suami sebagai Ketua Pembangkang.

Memetik laporan Utusan, Nalla mahu mencadangkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menganugerahkan Azizah ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010’.

Sementara itu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menyifatkan kenyataan Nalla itu adalah startegi Umno-BN untuk melakukan pemusnahan karektor Anwar sebagai pemimpin berkaliber dengan menghina keluarga beliau.

“Ini merupakan beberapa strategi untuk memperkecil, memperbodohkan dan juga untuk memalukan Datuk Seri Anwar dan keluarga. Jadi, bila ia menjadi tajuk utama di muka depan Utusan ia memperkukuhkan lagi pendapat kami bahawa ini adalah satu strategi Barisan Nasional dan Umno untuk memalukan, menghina Datuk Seri Anwar khususnya di kalangan orang-orang Melayu,”katanya.

Xavier turut membidas tindakan Utusan yang tidak lagi mengamal etika kewartawanan sebaliknya menjadi perkakas Umno-BN untuk menjatuhkan pejuang rakyat.

“Mereka gunakan surat khabar sebagai satu media untuk menghentam tidak kira sama ada ia betul dari segi moral ataupun mengikut etika kewartawanan. Betul atau tidak betul, sekarang tidak dikira, sekarang ada arahan dari atasan untuk bawa isu remeh temeh yang tiada kaitan dengan politik negara untuk jatuhkan maruah dan nama orang-orang berkenaan, itu tujuan mereka. Memang tidak ada standard langsung kalau kita ikut akhbar yang ada sekarang,”katanya. -tvs


Nallakaruppan anggap Wan Azizah 'pelakon' hebat

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selayaknya diberi anugerah 'Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan 'lakonannya' ketika berhadapan dengan rakyat.

Datuk S. Nallakaruppan yang secara sinis mencadangkan pengurniaan itu, bersedia mengemukakannya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.

Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar berkata, anugerah itu kelak akan mampu menaikkan lagi reputasi Wan Azizah bagi membolehkannya menerima tawaran lumayan dari Hollywood.

"Saya amat yakin kelak Wan Azizah mampu meraih 'Anugerah Academy' di Hollywood," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nallakarupan mengulas kenyataan Wan Azizah dalam sebuah akhbar Australia semalam yang menyifatkan perbicaraan kes liwat suaminya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.

Dakwa beliau, Wan Azizah seorang wanita yang hebat kerana boleh melalui kes dakwaan berkaitan moral suaminya.

Malah dakwa beliau lagi, Presiden PKR itu juga berada pada satu tahap melebihi wanita lain di Malaysia kerana boleh melakukan apa sahaja demi menjaga kepentingan kerjaya suaminya.

"Wan Azizah kena tahu bahawa bukan semua isteri seperti beliau yang boleh menerima keadaan sedemikian. Ramai kalangan wanita di Malaysia tidak boleh terima dengan senang hati.

"Mereka juga tidak akan berpura-pura hanya sebab kepentingan kerjaya suami mereka. Hanya Wan Azizah sahaja yang sanggup buat semua ini," katanya.

Nallakaruppan percaya kesanggupan Wan Azizah itu berpunca daripada keyakinannya untuk mencapai cita-citanya satu hari kelak.

"Saya kasihan dengan mereka yang masih percaya dengan lakonan dan sandiwara Wan Azizah," katanya.

Mengenai perbicaraan Anwar, Nallakarupan berkata, bekas sahabat karibnya itu sepatutnya menjadi seorang lelaki budiman dengan berhadapan segala pertuduhan yang dikemukakan.

"Mangsa membuat laporan dan pendakwaan kata ada bukti. Kalau lelaki yang gentleman, dia bukan saja akan hadapi perbicaraan tetapi berharap ia dijalankan secepat mungkin kerana itu penting bagi membersihkan namanya,'' ujarnya. -UM




Rumah ADUN Yang Hampir Diisytihar Muflis Disimbah Cat

Rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Kedah, Syed Sobri Syed Hashim, di Taman Malaysia, disimbah cat merah, dipercayai perbuatan khianat malam tadi.

Walaubagaimanapun, kejadian hanya disedari Adun Umno itu kira-kira jam 7 pagi tadi ketika membuka pintu pagar rumahnya.

Beliau terkejut apabila mendapati tompokan cat merah pada tembok dan pintu pagar rumahnya.

Syed Sobri ialah antara calon Umno/BN yang hampir tumbang dalam Tsunami politik pada pilihanraya umum (PRU), 8 Mac 2008.

Beliau sekadar meraih majoriti 805 undi pada tahun 2008 berbanding majoriti BN pada PRU sebelumnya sebanyak 1,310 undi.

Calon PAS/PR pada PRU 8 Mac 2008, Zawawi Ahmad mendapat 7,051 undi.

Tindakan menyimbah cat merah bukan sesuatu yang baru dalam budaya Umno kerana sebelum ini perkara seumpama itu pernah berlaku yang dipercayai bermotifkan politik.

Menurut erapakatan, sebelum ini, rumah bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dan pejabat Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Halimah Sadique, dibaling cat merah oleh pihak tidak bertanggungjawab dan dipercayai bermotifkan politik.

Selain dari itu, budaya simbah cat ini juga biasanya dikaitkan dengan "hutang Along".

Syed Sobri pernah hampir disytiharkan muflis oleh sebuah bank pada tahun lepas kerana berhutang sebanyak RM150,000.

Apakah kerana hendak melangsaikan hutang bank itu supaya tidak tertanggal title YBnya maka beliau terpaksa berhutang dengan Along?

Sekurang-kurangnya itulah persepsi masyarakat.

Rumah ADUN Kuala Nerang disimbah cat

Rumah ADUN Kuala Nerang di Taman Lumba Kuda di Alor Star telah disimbah dengan cat awal pagi ini.

Datuk Syed Sobri Syed Hashim menyifatkan perbuatan tersebut semata-mata mahu mencemar dan memalukannya.

"Saya tidak tahu apa motif mereka buat begini. Nak kata berhutang, saya bukan ahli perniagaan. Sebagai ahli politik sepenuh masa tidak mungkin saya pinjam dengan ah long.

"Jadi saya anggap orang yang melakukan perbuatan ini sebagai pengecut," kata Datuk Syed Sobri Syed Hashim kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi selepas isterinya, Datin Zakiah Salahuddin yang pulang dari pasar ternampak tompokan merah di tembok depan rumah mereka.

Katanya apabila diperiksa didapati cat merah yang disimbah di empat penjuru rumahnya masih baru.

"Saya dapati modus operandi menyimbah cat ini adalah seperti perbuatan ah long. Oleh itu saya membuat laporan polis supaya ia dapat disiasat. Satu tong cat yang dilemparkan ke tembok rumah saya turut diambil polis," katanya.

Syed Sobri turut meminta pihak yang tidak berpuas hati dengannya supaya membuat laporan polis atau membawa perkara itu ke mahkamah.

- Bernama



Tiada Pilihan Raya kecil Kuala Nerang, Semua Hutang Dah Langsai

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, beliau sudah menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengesahkan spekulasi pilihan raya kecil tidak timbul lagi kerana isu itu “kini hanya bersifat akademik kerana sudah ada penyelesaian.”

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya difahamkan soal muflis sudah selesai kerana kedua-dua pihak yang terbabit iaitu Syed Sobri dan bank telah mencari jalan penyelesaian.

“Jadi soal pilihan raya kecil tidak timbul lagi,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau mengakui SPR ada dimaklumkan tentang status muflis ADUN itu sebelum ini.

“Tetapi kini sudah selesai,” kata beliau kepada mStar Online.

Syed Sobri yang dipetik Bernama berkata, peguam beliau telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah 3 November lepas yang mengisytiharkan dirinya muflis.

“Perintah dari mahkamah pun belum dikeluarkan,” kata beliau, yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap, kepada pemberita pada majlis khatan perdana anjuran Kelab Kebajikan dan Sosial Kakitangan Hospital Kuala Nerang dan Adun Kuala Nerang di sini, semalam.

Khamis lalu, media melaporkan Kedah berkemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan ADUN Kuala Nerang itu muflis.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.


Saman RM100juta Zambry Ke Atas Wan Azizah. Apa Isunya?

Parti Keadilan Rakyat dilaporkan akan mempertahankan pendirian berhubung saman yang difailkan terhadap Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan tiga pihak lain oleh Menteri Besar "Mahkamah" Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Suara keadilan dipetik.

Menurut Naib Presiden KEADILAN Sivarasa Rasiah parti telah melantik seorang peguam untuk meneliti saman tersebut.

"Zambry telah memilih untuk pergi ke mahkamah dan kita akan siasat perkara ini. Kita akan pertahankan pendirian kita di mahkamah nanti," ujarnya.

Menurutnya KEADILAN telah melantik Ranjit Singh untuk meneliti kandungan saman tersebut sebelum mengambil apa-apa tindakan susulan.

"Kita akan lihat apakah butiran dan fakta yang terkandung dalam saman ini dan kita akan dapatkan nasihat dari peguam," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Hari ini Dr Zambry memfailkan saman terhadap presiden berjumlah RM100 juta dan tiga pihak lain berhubung artikel yang disiarkan organ parti itu, Suara Keadilan.

Dr Zambry mendakwa artikel bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas" yang dimuatkan dalam isu Suara Keadilan bertarikh 29 Disember hingga 5 Januari lalu mengandungi perkataan berunsur fitnah, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.



Zambry fail saman RM100 juta terhadap Wan Azizah
PERAK: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini memfailkan saman RM100 juta terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga yang lain mengenai artikel yang disiarkan dalam Suara Keadilan. - Bernama



Karpal: Mahkamah Bersikap Tidak Adil Tolak Permohonan Anwar

Ketua pasukan peguambela perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh menyatakan kesal terhadap keputusan hakim menolak sebulat suara permohonan Ketua Pembangkang itu untuk semakan semula keputusannya pada 29 Januari lalu yang menolak permohonan pembangkang itu untuk memperolehi bukti-bukti utama tambahan.

Antara dokumen serta bukti penting yang dipohon termasuk kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan daripada tiga doktor pakar Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Semakan itu didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin manakala dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Mohd Yusof.

Karpal Singh berkata beliau merasa kesal kerana semakan hanya didengar sekarang sedangkan perbicaraan sudah pun bermula.

Pihak pembelaan sehingga kini masih belum menerima senarai nama saksi pendakwaan dan beranggapan ia perlakuan tidak wajar oleh pihak pendakwa.

Menurut Karpal adalah tidak adil untuk Datuk Seri Anwar kerana beliau telah membawa tiga pakar luar negara namun tidak dibenarkan melihat bukti tersebut.

"Adakah ini adil? Tanpa bukti utama, perbicaraan ini tidak wajar dan tidak mungkin menjamin keadilan untuk Anwar,"

"Malah perbicaraan telah bermula tetapi kami masih lagi belum memperolehi dokumen-dokumen berkenaan," kata Karpal.

Pada perbicaraan semakan itu, Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin menyatakan mahkamah tiada kuasa menyemak keputusan kerana penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

Karpal dalam hujah balasnya menegaskan mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri kerana dengan jelas telah berlaku ketidakadilan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar ketika dihubungi berkata di bawah Seksyen 51A Kanun Acara

Jenayah menjelaskan setiap bukti yang akan digunakan terhadap tertuduh mesti diberikan kepada pihak terbabit bagi tujuan pembelaan tapi mahkamah sekali lagi dilihat menjadi alat kepada pihak Umno dan Barisan Nasional.

"Keputusan ini kita sudah jangka dan sekali lagi rakyat dan masyarakat antarabangsa melihat sistem kehakiman kita masih belum bebas. Masih terdapat tangan hitam yang mengawal setiap keputusan dalam kes ini.

"Dari apa yang kita lihat skrip 1998 akan diulang semula pada kes kali ini," jelasnya.

Shamsul kesal dengan tindakan campur tangan dalam kes ini dan merasakan tidak yakin keadilan boleh ditegakkan dalam sistem kehakiman yang ada sekarang.

"Saya mencabar menteri yang bertanggungjawab dalam undang-undang Datuk Seri Nazri Aziz supaya menjelaskan apa tujuan Seksyen 51A itu dipindah sedangkan dalam kes ini seksyen tersebut tidak digunapakai," tegasnya lagi. -Suara Keadilan



Anak RPK Telan Pisau Cukur Kerana Protes Dia Diasingkan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, pihaknya tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan berlakunya salahlaku oleh pihak Penjara Sungai Buloh terhadap Raja Azman Petra - anak kepada penulis blog Raja Petra Kamaruddin.

Sepasukan empat orang dari Suhakam berada selama dua setengah jam di penjara tersebut untuk menyiasat aduan berhubung kecederaan yang dialami Raja Azman awalbulan ini.

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam berkata kecederaan pada pergelangan tangan Raja Azman (kiri) tidak memerlukan jahitan dan tidak seserius yang didakwa.

Menurut Siva, Raja Azman, 34, sendiri menyatakan pada pertemuan mereka tadi bahawa beliau menelan bilah pisau cukur sebagai protes selepas diasingkan daripada tahanan lain.

Siva berkata, pengasingan itu perlu bagi tujuan siasatan terhadap Raja Azman kini ditahan reman kerana kes curi dan menunggu perbicaraan.

Raja Azman dimasukkan ke hospital selepas dia dipercayai menelan sebilah pisau cukur.

Dia dijumpai dalam keadaan lemah dalam sel penjaranya oleh petugas dari penjara Sungai Buloh semasa melakukan tugas rondaan pada Selasa petang.

Laporan itu menyebut Raja Azman, yang mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan, segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil.

Raja Azman ditahan reman di penjara tersebut sejak 19 Mei tahun lalu selepas gagal membayar ikatjamin. Dia menghadapi empat tuduhan pecah rumah dan curi.

Siva berkata, Raja Azman kini sudah pulih selepas menjalani proses pembuangan bilah mata pisau cukur itu Sabtu lalu.

Raja Petra sebelum ini mendakwa anak keduanya itu cenderung mencederakan diri sendiri kerana didera kakitangan penjara dari segi mental dan fizikal. -malaysiakini


Tekanan Warden Penjara Punca Raja Azman Telan Pisau
Oleh Qayum Rahman

SUNGAI BULOH 25 Feb - Tekanan akibat diletakkan dalam sel berasingan antara faktor utama yang menjurus kepada tindakan Raja Azman Raja Petra menelan dua bilah pisau cukur serta mencalar tangan kirinya semasa dalam Penjara Sungai Buloh 8 Februari lalu.

Kesimpulan ini dibuat setelah Pesuruhjaya Suruhajaya Hak Asasi Manusia, Datuk N. Siva Subramaniam melakukan siasatan dipenjara tersebut pagi tadi.

Datuk Siva berkata ketegangan yang berlaku antara Raja Azman dan warden penjara mendorong anak editor portal berita Malaysia Today itu bertindak mengancam nyawa beliau sendiri.

Langkah warden mengasingkan beliau dari banduan lain menambahkan tekanan emosi ke atas Raja Azman, 32 tahun.

"Tiada orang lain mencederakan beliau cumanya tekanan diterima warden penjara mengasingkan beliau menyebabkan beliau menelan pisau cukur itu untuk menunjukkan beliau tidak berpuas hati tindakan warden.

"Raja Azman menyatakan beliau sendiri mengambil keputusan menelan pisau cukur itu kerana tertekan tindakan yang dilakukan warden penjara yang tidak berlaku adil padanya," jelas Datuk Siva pada sidang media di Penjara Sungai Buloh selepas membua lawatan bagi melihat keadaan Raja Azman.

Hasil siasatan Suhakam dan pihak penjara Sungai Buloh berhubung kes isolasi Raja Azman mendapati beliau melanggar peraturan penjara menyebabkan berlaku perbalahan dengan warden.

"Warden terpaksa mengasingkan beliau kerana melanggar peraturan dan apabila ditanya pada Raja Azman beliau mengakui perkara itu tetapi tekanan pengasingan tersebut membuatkan emosi beliau terganggu.

"Raja Azman calarkan tangan kiri beliau sebelum menelan dua belah pisau itu menyebabkan beliau rebah dan terus dibawa ke hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Suhakam melihat tidak ada unsur jahat pihak lain melakukan kecederaan pada Raja Azman," ujar beliau.

Datuk Siva berkata keadaan kesihatan Raja Azman adalah baik dan telah pulih sepenuhnya tetapi masih menerima rawatan susulan daripada dua orang doktor.

"Kedua-dua pisau cukur keluar sendiri tanpa sebarang kecederaan dalaman kepada Raja Azman dan pihak Penjara Sungai Buloh menyatakan layanan adil diberikan kepada Raja Azman bersama banduan lain," katanya. -SK




Selangor Berjaya Tarik Pelaburan RM6 Billion Di bawah PR

Selangor berjaya menarik pelaburan RM6bilion setakat ini, sekali gus menidakkan ramalan Umno-Barisan Nasional, kononnya negeri iti tidak lagi akan menerima pelaburan asing kerana di tadbir oleh parti pembangkang.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat berjaya menunjukkan kebolehannya menguruskan Selangor dan sekali gus memperhebatkan usaha membela golongan yang terpinggir selama ini.

"Kita telah dapat menunjukkan keupayaan dari segi pengurusan pertama pada ramai pemerhat-pemerhati yang mengatakan bahawa apabila pakatan rakyat memerintah selangor sudah tentulah dapat kekurangan pelaburan yang akan datang ke negeri selangor tetapi untuk pengethaun tuan puan semua negeri selangor walaupun dalam keadaan ekonomi yang meleset telah dapat menarik pelaburan lebih daripada RM6000juta,"katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian pada majlis Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di Shah Alam.

Majlis ini mengumpulkan kira-kira 300 rakyat pelbagai lapisan yang dibela oleh kerajaan menerusi program-program kebajikan dan sosial sejak dua tahun lalu.

Sehingga sekarang, kerajaan negeri Selangor membelanjakan hampir 50 juta ringgit untuk membantu lebih 15 ribu orang.

Melalui program merakyatkan ekonomi itu, pelbagai skim bantuan dan insentif bertujuan membela dan mensejahterakan rakyat Selangor dilaksanakan secara berperingkat.

"Jadi apabila ekonomi berkembang pelaburan bertambah sudah tentu pendapatan negeri akan bertambah dan dengan cara itu program merakyatkan ekonomi akan kita perhebatkan," katanya. -TVS



Hishamuddin Takut Bertemu Mangsa Tembak

Pejabat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini enggan menerima memorandum yang cuba diberikan mangsa tembakan polis tahun lalu, Norizan Salleh.

Sebaliknya, sepupu Perdana Menteri itu cuma menghantar wakil walaupun Hishamuddin dipercayai berada di pejabat berkenaan. Norizan bagaimanapun enggan menyerah memorandum itu kepada mereka.

Norizan kemudian memutuskan menghantar memorandum berkenaan di Parlimen 15 Mac ini.

Sikap sombong wakil Hishammddin iaitu Setiausaha Kanannya, Azmi terhadap kedatangan Norizan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian yang menimpanya tahun lalu nyata mengecewakan mangsa.

Bagaimanapun, Norizan yang hancur pergelangan tangan dan sebahagian paru-parunya terpaksa dibuang kerana ditembak lima das tembakan serta patah tulang rusuk akibat dipijak polis tetap mendesak Hishammuddin untuk tampil memberikan penjelasan dan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Saya memang tiada sebarang rekod jenayah dan saya hendak tahu alasan kenapa saya ditembak. Bila datang sini saya kesal santag, sepatutnya jawab atau siasat beri penjelasan sehingga saya puas hati. Tetapi mereka diam, saya harap mereka dapat jumpa saya atau jalankan siasatan,"katanya.

Mengiringi Norizan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, ADUN Teratai, Jenice Lee dan beberapa NGO.

Sementara itu sikap sombong setiausaha kanan KDN itu diselar mereka dengan menyifatkan slogan Najib, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan adalah omongan kosong kerajaan pimpinannya.

"Sekali lagi kita nyatakan bahawa mangsa, norizan Salleh lima kali ditembak oleh polis, selepas ditembak ditendang sehingga tulang rusuk patah. Kita telah pergi ke Bukit Aman, pergi ke SUHAKAM dan membuat laporan polis. Tetapi tiada tindakan diambil terhadap penjenayah-penjenayah polis yang menyerang Norizan Salleh seorang ibu tunggal yang tidak bersalah,"kata peguam,N. Surendran.

"Sangat kecewa dengan Setiusaha kanan, Azmi kerana tidak ada sifat mesra rakyat langsung. Saya percaya beliau tidak tahu sedikit pun tentang kes norizan, sekurang-kurangnya beliau mendengar kes Norizan ini dahulu, sebelum beliau membuat tindakan dengan sombong tadi. Ini tidak mencerminkan apa yang dilanung-laungkan Perdana Menteri sikap mesra rakyat, rakyat diutamakan, memang tidak ada. Tiada langsung slogan yang dikatakan mesra rakyat,"kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.

"Memorandum dan siap, kita bawa memorandum bukan tangan kosong. Memorandum ini kita akan serahkan di Parlimen. Kita hendak jumpa Hishammuddin di Parlimen bawa mangsa dan serah di sana. Dia takut, dia lari hari ini, beliau Menteri Dalam Negeri kenapa takut? Jumpalah...kita dah hantar faks, semua dah bagi tetapi lari, memorandum ada kita bawa, lihat apa yang berlaku kita mahu penjelasan dari menteri dalam negeri,"kata Ahli Parlimen Kapar, M. Manikavasagam.

"Saya nampak isu ini begitu serius, jika ia boleh berlaku kepada kami yang merupakan pimpinan kepada mandat yang diberikan rakyat, katalah kalau Norizan datang sendiri apa akan berlaku kepada beliau? Layanan begini begitu teruk dan tidak boleh diterima dan saya berharap supaya slogan yang dikatakan untuk rakyat dan sebagainya tolong dibuktikan,"kata Exco Selangor, Rodziah Ismail.

"Ini kali pertama, sejak 10 tahun sebelum ini saya sering menghantar memorandum, pihak ini sombong sangat. Saya tidak pernah nampak ada pegawai kanan yang sangat sombong dan tidak mempedulikan suara rakyat dan juga mangsa yang berada di hadapan pejabat sendiri,"kata ADUN Teratai, Jenice Lee.

"Ini pertama kali seorang mangsa hidup kita ada, selalu kita dengar dah mati kemudian dikatakan penjenayah besar. Kali ini menteri ada peluang untuk berjumpa dengan mangsa yang hidup, jangan dia kata kita saja-saja bercakap tentang polis. Ini adalah bukti terbaik kita ada, kalau dia tak mahu lakukan dan tiada masa untuk turun mengambil memorandum dari mangsa, saya rasa dia telah membuat keputusan mereka tidak bersalah dan tidak ambil serius kes ini," kata Peguam, Latheefa Koya. -TVS


Muhyiddin Hina Rakyat Kelantan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menghina rakyat Kelantan dengan mempertahankan keputusan kerajaan untuk membuat bayaran wang ihsan berbanding royalti kepada Kelantan dengan menyifatkannya sebagai selari dengan undang-undang.

“Termanya bukan royalti dan ia telah dijelaskan oleh kerajaan dan juga menerusi iklan demi pengetahuan umum yang telah diterima dengan baik.

“Saya merasakan kita telah melakukannya (membuat bayaran wang ihsan) mengikut undang-undang,” katanya.

“Oleh kerana mereka minta bantuan, kami telah mempertimbangkannya dan bersetuju untuk memberi wang ihsan.

“Jadi kesemuanya adalah mengikut Akta Pembangunan Petroleum dan apa juga tafsiran telah dijelaskan oleh iklan yang kita buat,” kata beliau selepas melancarkan Pelan Transformasi Politeknik di sini hari ini.

Kerajaan menyiarkan iklan satu halaman dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian bagi menjelaskan isu pertikaian wang royalti yang dituntut Kelantan dengan menekankan pada lapan perkara.

Ahad lalu, kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan itu kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Malah iklan penjelasan itu menambah, Tengku Razaleigh pernah menjelaskan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak boleh mempertikaian kedudukan wang ihsan kerana bayaran yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Menjawab isu yang menyentuh ketua pembangkang maklum tentang kedudukan hak kerajaan-kerajaan negeri dalam hal ini, iklan itu berkata, berdasarkan kedudukan peruntukan perundangan yang sedia ada, Anwar sedar kerajaan negeri tidak ada hak terhadap apa-apa bayaran tunai atau royalti berkaitan hasil petroleum yang diterokai di luar perairan wilayah negeri.

Oleh kerana itu kata iklan penjelasan tersebut, ketua pembangkang pernah cuba mengusulkan cadangan pindaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Parlimen, Disember lalu.

Tengku Razaleigh dan Pakatan Rakyat (PR) berkempen untuk mendesak kerajaan pusat membayar wang royalti kepada Kelantan.

Tengku Razaleigh telah menyifatkan iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi dan kekeliruan berbanding penjelasan

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya di dalam razaleigh.com.

Sementara itu, peruntukan RM20 juta yang disediakan Kerajaan Pusat sebagai wang ihsan bagi menggantikan royalti minyak untuk Kelantan sepatutnya diagihkan terus kepada Kerajaan Negeri dahulu sebelum menggunakan duit tersebut untuk tujuan tertentu.

Ahli Parlimen Tumpat dari Pas, Datuk Kamarudin Jaffar berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf yang mencadangkan wang itu digunakan untuk mewujudkan akademik profesional dan pusat bimbingan pra profesional bagi melahirkan anak Kelantan yang mahir dalam pelbagai bidang ketika di peringkat awal dan matang usia.

“Walau apa pun alasan dan cadangan duit itu digunakan, titik utama ialah duit tersebut harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan terlebih dahulu.

“Sesiapa sahaja boleh beri pandangan dan saya berterima kasih kepada Nik Sapeia yang mencadangkan bagaimana duit tersebut patut digunakan,” katanya, akhbar Sinar Harian dipetik.

Kamarudin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat turut menjelaskan duit tersebut adalah hak Kelantan dan terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menggunakannya.

“Selepas kerajaan negeri mendapat peruntukan tersebut barulah pandangan pelbagai pihak diambil kira,” katanya.

Berjawatan Dalam Umno Tiket Jadi Jutawan Segera

Apalah gunanya kita menjadi ketua wanita cawangan atau bahagian, hatta menjadi ketua wanita pusat sekalipun, tetapi pada masa yang sama Umno tidak berkuasa lagi. Adakah ini yang kita mahukan?”.

Demikian petikan kata-kata Presiden Umno, Najib Razak semasa merasmikan konvensyen Wanita Umno di PWTC pada 20 Februari lalu.

Apa yang Najib katakan itu merupakan gambaran mentaliti Umno selama ini, iaitu menganggap sesuatau jawatan itu mestilah diselarikan dengan kuasa sebagai kerajaan. Tanpa kuasa, jawatan sudah tidak bererti lagi.

Mengapa menganggap jawatan itu penting dan bermakna hanya jika mereka memegang tampuk kuasa sebagai pemerintah?. Seolahnya adalah hina jika memegang jawatan dalam keadaan Umno menjadi pembangkang.

Bukankah sepatutnya sesuatu amanah itu dijaga dan dilaksanakan sebaiknya, tidak kiralah sama ada ketika itu berkuasa atau pun tidak? Tetapi biasalah bagi Umno, jika sudah hilang kuasa maka setinggi mana pun jawatan ia sudah tidak memberi apa-apa manfaat kepada mereka.

Najib mungkin mengungkapkan ayat di atas dengan niat mahu memberi keinsafan kepada Wanita Umno supaya melupakan tentang perebutan jawatan dan pangkat yang sinonim dengan parti itu.

Tetapi perebutan dan persengketaan sesama mereka itu puncanya kerana Umno masih lagi di tampuk kuasa, dan mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mengeksploitasi harta dan projek kerajaan.

Bukan lagi rahsia betapa di dalam Umno, menjawat posisi pemimpin bererti peluang menjadi jutawan segera, membuat harta dan membina dinasti kekayaan mula terbuka luas. Daripada sekecil jawatan di peringkat cawangan hinggalah ke setinggi-tinggi jawatan, ia merupakan lubuk duit buat pemegangnya.

Berjawatan di dalam Umno sebagai pemerintah, membuka peluang untuk mereka mengeksplorasi serta mengeksploitasi ruang dan peluang terhadap khazanah negara.

Beberapa kes yang heboh diperkatakan ketika ini seperti PKFZ misalnya, menyaksikan nama-nama pemimpin Umno atau kroni mereka sebagai pihak yang mendapat untung besar di atas projek kerajaan.

Lihat sajalah apabila Umno hilang kuasa di lima negeri, sedikit sebanyak terjejas juga sumber tabungan politik mereka yang selama ini diperolehi dengan memperalatkan projek-projek kerajaan negeri.

Kalau dulu dasar ‘ahli Umno dapat dulu’ diguna, kini melalui dasar tender terbuka dan merit yang diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat, membuatkan unsur kronisme dan sindrom projek ‘alibaba’ dihapuskan sekaligus memberi peluang kepada yang benar-benar layak untuk mendapat projek.

Tetapi Umno agak beruntung kerana masih berkuasa di peringkat pusat. Jika tidak, maka ramailah pemimpin Umno hanya menjadi tunggul, langsung tidak boleh bergerak kerana sumber dana kempen sudah tiada sedangkan ahli di bawah selama ini bila ada duit baru mahu buat kerja.

Manfaat berjawatan semasa Umno masih berkuasa bukan hanya dinikmati si empunya badan bahkan kalangan anak beranak, kroni dan suku sakat pemimpin turut menikmati habuannya.

Zaman Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM), syarikat anak-anaknya diberi perlindungan perniagaan melalui ‘bail-out’ menggunakan duit Petronas ketika negara berdepan kegawatan ekonomi selepas 1997. Dan kini anaknya Mokhzani, antara Melayu terkaya di Malaysia dengan kekayaan berjumlah US285 juta (RM1.2 bilion).

Apabila Abdullah Badawi menjadi PM, anaknya yang mendapat banyak projek kerajaan melalui Scomi Group meningkat mendadak sebagai antara 10 individu Melayu terkaya dan 32 individu terkaya di Malaysia dengan kekayaan berjumlah US332 juta pada 2006.

Manakala tidak sampai dua tahun Najib menjadi PM, adiknya juga menuruti sejarah anak-anak PM sebelum ini iaitu tersenarai sebagai 40 individu terkaya di Malaysia dengan kekayaan terkumpul sebanyak US100 juta.

Bukan kerana cemburu atau dengki membuatkan rakyat mempersoal kekayaan mereka. Tetapi skrip yang sama berulang-ulang, ketika mana rakyat semakin tersepit dek kemelesetan ekonomi dan iklim perniagaan Malaysia yang kurang memberangsangkan, boleh pula suku sakat dan kroni pemimpin Umno meraih keuntungan berlipat ganda.

Kerana itu ungkapan ‘tanpa kuasa, jawatan tidak bermakna’ memang tepat untuk menggambarkan itulah Umno sebenarnya. Duit kerajaan sudah dianggap duit Umno. Pengerusi JKKK lebih berkuasa daripada Pegawai Daerah menentukan apa projek yang boleh dan tidak boleh, atau kontraktor mana yang patut dilantik.

Duit kerajaan juga sesuka hati disalurkan melalui ketua bahagian Umno dengan berselindung di sebalik nama dana pembangunan atau apa juga projek berlambang dacing. Kerana itu tidak hairan bila ada wakil rakyat Umno baru sepenggal menjadi ketua bahagian, sudah berubah gaya hidup menjadi mewah laksana tokoh korporat.

Sebagai ketua, Najib tidak perlulah hipokrit untuk mengakui betapa mereka yang di dalam Umno hanyalah mahukan kuasa agar mudah mengumpul harta dan bukan khidmat kepada rakyat dan negara.

Perjuangan Umno bukan untuk rakyat. Slogan juara rakyat, mendahulukan rakyat atau apa juga slogan muluk hanyalah helah menuntup kebobrokan gila kuasa yang telah sebati menguasai sanubari pemimpin parti itu. -Rosli Hashim

Perompak Berparang Pecah Masuk Rumah Penulis

Seorang penulis bersama anggota keluarga dan dua rakannya melalui saat mencemaskan selama setengah jam apabila tiga perompak bersenjata parang memecah masuk ke rumah mereka di Jalan Pegaga 8/9A, Seksyen 8, Kota Damansara di sini malam tadi.

Kejadian pada pukul 9.30 malam itu menyebabkan Mohd Ghodzali Abd Rashid, 61, atau nama penanya Malim Ghodzali PK kerugian kira-kira RM40,000 apabila tiga lelaki terbabit melarikan kunci kereta, barangan kemas, wang tunai dan dua komputer riba milik beliau dan keluarganya.

Mohd Ghodzali berkata kejadian berlaku ketika beliau bersama dua rakannya sedang duduk berbincang di pekarangan rumah teres dua tingkat miliknya sebelum didatangi tiga perompak yang kesemuanya memakai topi keledar bertutup penuh dan mengacukan parang dan pisau rambo.

"Ketika itu kami berada di hadapan rumah dan salah seorang rakan pergi ke kereta mengambil barang. Ketika beliau masuk kembali ke dalam dan belum pun sempat menutup pagar rumah, tiga lelaki menaiki dua motosikal terus berlari ke arah kami.

"Ketika kejadian isteri saya yang merupakan Penulis Kanan Primeworks Studio, Ratnawati Jamil, 47, bersama tiga anak dan pembantu rumah berada di dalam rumah.

Perompak kemudiannya mengarahkan kami semua tunduk dan diam,” katanya.

Beliau berkata tiga lelaki itu mengacukan parang ke arah isteri, pembantu rumah dan ketiga-tiga anaknya serta mengugut untuk mencederakan anak bongsunya Emir Yassin, 7, jika mereka menjerit meminta tolong.

"Mereka mulanya bercakap Bahasa Melayu tetapi ketika mereka melarikan diri, saya terdengar mereka menjerit seperti bahasa Indonesia,” katanya yang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.

Beliau yang tinggal di rumah itu sejak enam tahun lepas, berkata kawasan perumahan berkenaan mempunyai pengawal keselamatan dan mereka membuat rondaan bermula pukul 11 malam hingga 7 pagi. — BERNAMA



Ulasan GB

Gaji polis dah naik. Tapi jenayah menjadi-jadi.


Anwar Gagal Dapatkan Bukti Tambahan

Mahkamah Persekutuan hari ini telah sebulat suara menolak untuk membenarkan semakan keputusannya pada 29 Januari, yang menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperolehi bukti-bukti utama tambahan seperti rakaman CCTV, laporan perubatan dan kenyataan saksi pendakwa.

Keputusan itu dibuat setelah semakan didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Mohd Yusof.

Mahkamah menyatakan bahawa mereka tidak ada kuasa menyemak keputusan yang dibuat oleh panel hakim lain, yang sudahpun mendengar merit hujah-hujahnya.

Karpal Singh, peguam utama Anwar, sebelumnya memberitahu mahkamah pagi ini bahawa beliau kesal semakan itu didengar sekarang kerana tambahan bukti itu yang diminta itu, boleh digunakan dalam perbicaraan Anwar sekarang.

Peguam Karpal Singh mengadu bahawa pihak pembela masih belum menerima senarai nama saksi pendakwa dan ini dianggap sebagai "pelakuan tidak wajar" pihak pendakwa bagi memastikan perbicaraan yang adil.

Katanya, Anwar telah membawa tiga pakar luar dan mereka tidak dibenarkan untuk melihat bukti tersebut.

"Adakah ini adil?" soal Karpal.

Zulkefli kemudiannya bertanya sama ada panel tiga hakim itu boleh menyemak keputusan yang dibuat oleh panel hakim lain, yang sudahpun mendengar merit hujah-hujahnya.

Karpl berkata, mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri kerana dengan jelas telah berlaku ketidakadilan.

"Malah, perbicaraan telah bermula tetapi kami masih lagi belum memperolehi dokumen-dokumen berkenaan," katanya.

Kemudiannya, peguamcara negara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden pula, dalam hujahnya berkata, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak keputusannya kerana penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

Katanya, sebarang percubaan sebaliknya merupakan satu pembaziran proses mahkamah.

Ulasan GB

GB sengaja tidak membuat lintas lansung untuk kes di atas kerana hati GB berat menyatakan hakim-hakim hari ini akan membuat keputusan menolak rayuan Anwar. Sudah diketaui keputusannya "upset", kenapa perlu buang masa?

Namun persoalan kini, kenapa Pendakwa takut sangat untuk membekalkan Anwar dengan bukti-bukti tambahan yang diperlukan oleh peguam pembela?

Rakaman CCTV contohnya yang ditontonkan di dalam mahkamah sewaktu prosiding liwat berlansung, amat mencurigakan. Sekurang-kurangnya itu persepsi orangramai.

Daripada laporan, rakaman itu begitu jelas settingnya, apakah ianya dilakukan kemudian? Sementelah lagi yang dipertontonkan ialah Saiful bersendirian di dalam kereta itu masuk dan keluar dari aprtment. Mana Anwarnya?

Konspirasi terhadap Anwar berjalan lancar nampaknya.

Saifuddin Kecam Kerajaan Tipu Rakyat Kelantan, Putarbelit Akta Petroleum 1974

Kerajaan Persekutuan Umno-BN harus berhenti memutarbelitkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 semata-mata untuk menafikan rakyat Kelantan hak royalti minyak, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Sebaliknya, parti pemerintah sepatutnya bertindak atas usul Pakatan Rakyat di Parlimen yang menuntut kesamaran terma "luar pesisir pantai" di bawah akta itu di atasi dan hak negeri-negeri mendapatkan royalti diperakui dengan jelas.

Saifudin berkata, Umno-BN sengaja menggunakan definisi samar “luar pesisir pantai” untuk menafikan royalti minyak kepada mana-mana negeri yang jatuh ke tangan pembangkang, seperti Terengganu pada tahun 1999 dan Kelantan, sejak 1990.

Beliau berkata, tindakan Umno-BN menggunakan duit rakyat untuk menyiarkan iklan-iklan di media arus perdana bagi menyokong dakwaannya bahawa Kelantan hanya layak mendapatkan wang ehsan adalah tidak bermoral.

"BN menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti atas alasan terma "luar pesisir" pantai yang kabur dalam APP. Maksud APP adalah jelas terutamanya apabila negara kita tidak mempunyai telaga minyak dalam lingkungan 3-batu nautika," tegas Saifuddin.

"APP tidak dirangka dalam tahun 1974 dengan merujuk kepada telaga minyak yang tidak wujud; ia merujuk kepada realiti operasi yang wujud dalam industri minyak dan gas negara pada ketika itu - maknanya semua telaga minyak berada jauh dari pantai," jelas beliau.

Saifuddin menjelaskan usul yang dibawa oleh Pakatan ke Dewan Rakyat pada Disember 2009 berupaya memastikan APP dikemaskini selari dengan keadaan semasa.

"Semasa APP 1974 di rangka, Malaysia hanya mempunyai beberapa telaga minyak di luar pesisir pantai seperti carigali Tapis di Terengganu dan Temungo di Sabah," kata Saifuddin menjelaskan rujukan akta tersebut.

"Telaga-telaga minyak inilah yang menjadi rujukan utama kepada mereka yang merangka APP, apabila mereka memperkenalkan istilah "luar pesisir pantai" di dalam APP," tegas Saifuddin.


Siapa Ganti Annuar Zaini Sebagai Pengerusi BERNAMA?

Tempoh atau kontrak perkhidmatan Mohamad Annuar Zaini selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA telah berakhir pada 31 Januari 2010. Beliau dilantik ke jawatan bukan eksekutif itu pada 1 Februari 2004 menggantikan Kalimullah Masheerul Hassan.

Annuar Zaini adalah Pengerusi Bernama ke sembilan dan berkhidmat selama tiga penggal.

Antara tokoh yang pernah mengetuai Lembaga Pengelola Bernama adalah Abdul Aziz Yeop, Mazlan Noordin, Prof Abu Bakar dan Abdul Kadir Jasin. Mereka menjalankan tugas tanpa mencampuri urusan pentadbiran terutama di Jabatan Pengarang.

Pengurusan Bernama mengadakan satu majlis perpisahan 'meraikan' Annuar Zaini pada 11 Februari di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak.

Siapa pula yang bakal dilantik Pengerusi Bernama yang sudah tentu mesti mendapat restu Perdana Menteri. Beberapa nama menjadi sebutan termasuk seorang mantan Ketua Pengarang Bernama yang pernah sepenggal menjadi Ahli Parlimen dan kemudian berkhidmat dengan unit perhubungan media Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Walau siapapun yang dilantik, dia semestinya tahu dan sedar akan tugas dan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Akta Bernama. Selaku Pengerusi bukan eksekutif, dia perlu tahu bahawa dia tidak boleh bertindak selaku CEO atau ketua pegawai eksekutif, dia juga tidak seharusnya campur tangan dalam urusan pentadbiran terutama di jabatan pengarang.

Lembaga Pengelola lazimnya bermesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan untuk memastikan Bernama berperanan berpandukan dasar dan garis panduan yang ditetapkan dan untuk membuat perlantikan jawatan-jawatan kanan, jika perlu.

Lembaga Pengelola Bernama yang berpandukan Akta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, terdiri daripada enam orang ahli yang dilantik mewakili Kerajaan dan enam orang lagi dilantik mewakili media yang juga pelanggan Bernama, melambangkan perkongsian antara kerajaan dengan pengamal media swasta.

Lembaga Pengelola, terutama Pengerusi, tidak seharusnya campur tangan dalam pentadbiran hari ke hari Bernama atau membuat apa-apa pelaburan tanpa kelulusan Lembaga dan dipersetujui oleh Kerajaan.

Tetapi, dalam tempoh perkhidmatannya, Annuar dikatakan telah bertindak menjangkaui bidang kuasanya. Isu perjanjian dengan Bernama TV Synergy Sdn Bhd yang menimbulkan masalah kepada Bernama adalah satu contoh.

Seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong pada bulan Ogos 2009, tiada peruntukan dalam Akta Bernama yang membolehkan sebuah syarikat swasta menggunakan nama Bernama mahupun logonya.

Bernama juga tidak dibenar atau dibolehkan untuk memberi kredit kepada sebuah syarikat swasta atau memberi hak kepada syarikat berkenaan menggunakan premis, peralatan, perkakasan atau sumber-sumber Bernama untuk kepentingan sendiri.

YB Wee juga menyatakan bahawa Annuar memakai dua kopiah, bak kata pepatah Inggeris, iaitu selaku Pengerusi Bernama dan Pengarah Bernama TV Synergy.

Kita tidak tahu apa dah jadi dengan hutang berjumlah RM15 juta yang dilaporkan ditanggung oleh Bernama TV Synergy dan sama ada ia sudah dilunas kepada Bernama. RM15 juga bukan satu jumlah yang kecil, lebih-lebih lagi kepada Bernama.

Bernama TV Synergy adalah sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh seorang ketua bahagian UMNO di Kedah bernama Mohamad Suhaimi Abdullah dan dengan itu, ia memberi gambaran bahawa Bernama dikaitkan dengan UMNO, sesuatu yang tidak betul walaupun ada pihak yang akan berkata demikian.

Pada 1 Ogos 2009, Annuar telah memberi penjelasan ringkas kenapa Bernama memutuskan hubungannya dengan Bernama TV Synergy Sdn Bhd. Ia dikaitkan dengan kedudukan kewangan Bernama TV Synergy. Tetapi nasi sudah menjadi bubur.

Walaupun khidmat Annuar selaku Pengerusi Bernama tidak disambung, apa yang dilakukannya semasa memegang jawatan itu dari 1 Januari 2004 hingga 31 Januari 2010 termasuk isu Bernama TV Synergy Sdn Bhd tidak boleh dibiar begitu sahaja. Demi menegak kesaksamaan dan memperlihatkan ketelusan pentadbiran, elok juga jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia beri perhatian kepada apa yang telah berlaku itu.

Kepada kerajaan, kita berharap tokoh atau orang politik tidak dilantik ke jawatan itu sama seperti yang dibuat untuk badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau lembaga-lembaga pelabuhan dan agensi-agensi pembangunan wilayah. -kudaranggi

Peneroka FELDA Dianiaya, Memo Diserah Kepada SUHAKAM

Isu peneroka Felda yang teraniaya oleh dasar-dasar Felda yang menyebelahi konglomerat itu telah sekian lama dipaparkan media. Hari ini ratusan peneroka dari seluruh negara berhimpun di pejabat Suhakam, Jalan Raja Laut untuk menyerahkan memorandum mengenai penderitaan mereka

Menurut pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) Mazlan Aliman (dua dari kiri) isu hak-hak peneroka telah lama didiamkan oleh kerajaan. Sejak peneroka mula mengusahakan tanah mereka telah diikat dengan perjanjian yang berat sebelah.

Pelbagai potongan dikenakan dari hasil getah atau kelapa sawit pada setiap bulan. Namun akhirnya wang itu gagal untuk dipulangkan atau pun tanah yang telah selesai bayaran hutang melalui potongan bulanan gagal diberi hak milik kepada peneroka.

"Peneroka terikat dengan Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang mana memberi kuasa meluas kepada Felda untuk menentukan kehidupan peneroka. Inilah yang menjadi isu kritikal dalam kalangan 112,635 orang peneroka di seluruh negara.

"Bila peneroka menuntut hak mereka maka Felda menggunakan GSA untuk tidak memberi tanah walaupun hutang habis dibayar," katanya di hadapan pesuruhjaya Suhakam Datuk Khalid Ibrahim di pejabat suruhanjaya itu petang ini.

Tambah Mazlan, Felda tidak sepatutnya mengenakan pelbagai tekanan memandangkan agensi itu dahulunya ditubuhkan untuk membantu orang miskin memiliki tanah dan sumber penghidupan, bukan sebagai entiti perniagaan.

“Mengapa setelah 25 tahun membayar hutang tetapi tanah 10 ekar yang dijanjikan boleh dimiliki akhirnya tidak diberi. Kini Felda buat pula perjanjian baru untuk penanaman semula. Peneroka tidak boleh menanam semula secara sendirian biar pun mampu membuat demikian.

"Jadi kami meminta agar Suhakam menyiasat masalah dan penindasan yang dialami oleh para peneroka sejak sekian lama,” ujarnya di dalam dewan yang dipenuhi kira-kira 100 peneroka itu.

Salah seorang wakil peneroka, Noor Ibrahim mendakwa beliau telah menebang dan menanam semula kelapa sawit namun Felda tidak memberi wang tanam semula yang telah dicarum sejak sekian lama.

“Saya tebang pokok lama. Ikut perjanjian duit potongan tanam semula boleh diambil dari Felda berjumlah RM17,000. Namun bila saya minta, wang itu telah dipotong dan hanya dapat RM8,000 sahaja. Bermacam alasan diberikan untuk tidak memberi wang yang sepatutnya peneroka dapat,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Baharudin Arif Sidek membangkitkan persoalan, kenapa Felda begitu mewah memiliki bangunan pejabat dan hotel sendiri sedangkan para peneroka kekal miskin.

“Mengapa pegawai Felda bergaji besar, ada bangunan dan hotel sendiri sedangkan kami peneroka yang mengusahakan ladang kekal kais pagi makan pagi. Kami tidak menikmati pun hasil pelaburan Felda itu. Felda sungguh tidak bertanggungjawab,” katanya disambut sorakan para peneroka.

Peguam para peneroka Ahmad Nizam Hamid berkata Felda telah memerah keringat peneroka dengan cara yang amat melampau dan tidak mengikut undang-undang.

“Perjanjian yang dibuat tidak ada tarikh luput. Peneroka terus-menerus dibebankan dengan pelbagai sekatan. Sedangkan semua kemudahan yang diberikan kepada peneroka seperti jalan, dewan, masjid dan sebagainya diambil dari wang potongan bulanan. Kerajaan tidak banyak membantu. Kini setelah hutang habis dibayar peneroka tidak pula diberikan tanah yang menjadi milik mereka. Ini sesuatu melampau,” bidasnya.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk Khalid memberi jaminan akan memanggil mesyuarat pada 8 Mac depan bagi mewujudkan jawatankuasa untuk mencari maklumat untuk merumuskan masalah yang dibentangkan para peneroka. Sekiranya perlu satu sesi inkues kebangsaan akan dibuat bagi menyemak masalah untuk dibuat laporan kepada Parlimen. -erapakatan



Isu Anwar: Polis Mula ‘Hasut’ Pemimpin Pakatan

Dua pemimpin kanan Pakatan Rakyat menjadi sasaran polis kerana menjawab pertuduhan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub di soal siasat oleh polis di Parlimen berhubung kenyataan mereka pada ceramah di Seberang Jaya Pulau Pinang bulan lalu.

Polis mengambil keterangan mereka di bawah Akta Hasutan berikutan aduan yang dibuat oleh rakan setugas mereka pada 8 Februari lalu.

“Bagi saya tindakan seperti ini adalah cubaan untuk mengugut, dalam cubaan untuk menghentikan saya, YB Salahuddin dan rakan-rakan lain berceramah kepada orang ramai dan menyentuh isu-isu penting seperti perbicaraan Datuk Seri Anwar, seperti kes Altantuyaa dan beberapa isu penting lain dan amalan rasuah,” katanya.

Menurut Sivarasa beliau disoal siasat kerana menyentuh perbicaraan konspirasi kedua terhadap Anwar.

Pelbagai pihak mempersoalkan keperluan pertuduhan itu diteruskan apabila laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mengesahkan tidak ada bukti pengadu Saiful Bukhari Azlan di liwat.

“Telah bertanya kepada pihak polis, apakah kesalahan yang kononnya disiasat, jawapan yang diberi ialah kandungan ceramah kami adalah dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Jadi nampaknya macam biasalah, mereka telah rekodkan keterangan dan buat siasatan,”katanya.

Sivarasa mencabar polis supaya membuktikan ucapan beliau adalah kesalahan undang-undang dan membidas taktik untuk menyoal siasat beliau.

“Bagi saya kalau mereka anggap ada satu kesalahan, tidak ada halangan, mereka boleh tuduh terus. lagipun mereka ada rakaman dan mereka sudah ada saksi mereka, tidak perlu hendak ambil keterangan, kalau dianggap salah, cajlah,” katanya.

Salahuddin pula menyifatkan tindakan polis itu sebagai hasutan bagi menghalang rakyat daripada mengetahui fakta-fakta di sebalik pertuduhan fitnah liwat yang dikenakan ke atas Anwar.

“Satu skrip telah disediakan kepada kami pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat bahawa apa jua yang menyentuh tentang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus dituduh di bawah Akta Hasutan seperti mana yang berlaku kepada YB Manoharan,” katanya.

Salahuddin menambah, siasatan yang dibuat ke atas beliau bukan sahaja menjurus kepada ceramah umumnya berhubung perbicaraan Anwar namun ia turut melibatkan isu penggunaan kalimah Allah yang disampaikannya.

“Demikian juga pada saya, isu-isu penggunaan kalimah Allah juga mereka cuba sabitkan juga dengan akta hasutan. saya rasa ini cukup merbahaya bagi mereka dan kerana mereka telah terperangkap dengan isu ini, menggunakan isu kalimah Allah ini dalam ceramah PAS juga boleh diambil tindakan dalam Akta Hasutan,” katanya. -TVS



Ulasan GB

Betul juga tulis satu komentar di blog kelab GB sebelum ini, kanapa polis tak siasat 50 orang ahli parlimen Australia yang mendesak tuduhan liwat Anwar digugurkan?

Kenapa juga tak siasat Yusuf Al-Qardhawi yang meminta supaya Anwar diberikan pengadilan melalui hukum syarak?

Tangkapler 50 ahli parlimen Australia tu.

Enjit Jet Hilang. Tak Masuk Akal Hanya 2 Orang Sahaja Terlibat (updated)

Jawatankuasa Kira-kira Awam hari ini melawat gudang TUDM di Sungai Besi Kuala Lumpur untuk mendapatkan gambaran bagaimana dua enjin itu diseludup ke luar Negara.

Seorang ahli jawatankuasa menolak pendirian kerajaan bahawa hanya dua orang terbabit dalam melenyapkan aset pertahanan Negara itu.

"Saya fikir mereka tahu siapa yang terlibat, mereka ialah satu kumpulan. Ada antara mereka menunggu d i luar kem. Mereka bergerak dalam bentuk kumpulan kerana tempat tersebut besar.. Ia sebuah kompleks," ujar Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw.

Menurut Seng Giaw, rumusan itu diputuskan oleh ahli jawatankuasa PAC pagi tadi setelah mengadakan lawatan kira-kira 4 jam ke MATRA 1.

Lawatan itu ujarnya adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kehilangan enjin jet tersebut boleh berlaku.

"Mereka menunjukkan bagaimana proses membawa masuk enjin jet ke dalam lori yang mengambil masa hanya beberapa minit dari gudang kemudian bergerak ke pondok pengawal" katanya lagi.

Secara purata ujar Seng Giaw, proses untuk menyelinap keluar enjin tersebut hanya mengambil masa kira-kira 5 sehingga 10 minit.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana untuk memasuki kawasan tersebut kerana beberapa prosedur ketat perlu dipatuhi.

"Jika prosedur dipatuhi, ia tidak mungkin! Sesuatu telah berlaku! ia mungkin kerja dalam. Meskipun hanya membawa barang keluar, mereka memerlukan tiket, nota kiriman, pas masuk, semua itu diperlukan" ujar Seng Giaw lagi.

Malah, tambah Seng Giaw kejadian tersebut mungkin juga berpunca daripada peralihan sistem di gudang tersebut.

"Saya rasa apa yang berlaku ialah apabila prosedur terlalu ketat pada tahun 2007 sehingga 2008 dan apabila peralihan sistem dilakukan dengan menggunakan sistem komputer, ada pihak yang mengambil kesempatan".

Enjin jet F5E tersebut dikatakan hilang pada tahun 2007 dan hanya dilaporkan pada hujung tahun 2009.

Sehingga 6 Januari lalu, hanya seorang anggota berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat sahaja didakwa terlibat kehilangan enjin terbabit.

Lawatan ke MATRA 1 dilakukan oleh Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar dan juga Seng Giaw. -TVS



Tolak Desakan Syabas Naik Tarif Air, Selangor Sedia Ke Mahkamah

Kerajaan Selangor bersedia ke mahkamah bagi mempertahankan tindakannya tidak membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk menaikkan harga air.

Syabas bulan lalu menghatar notis undang-undang menuntut Selangor membayar pampasan tiga ratus tiga puluh sembilan juta ringgit kerana tidak membenarkan kenaikan harga itu tahun lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan bahawa Syabas mendesak supaya harga air dinaikan 30 peratus pada tahun lalu, namun tuntutan itu di tolak oleh kerajaan negeri.

Syabas kemudian menuntut pampasan berkenaan dan dikatakan bercadang mengambil tindakan undang-undang jika tuntutan itu juga ditolak.

“Kerajaan negeri telah menerima nasihat dari panel guaman berhubung perkara itu yang mendapati Syabas tidak layak membuat sebarang tuntutan sedemikian kerana tiada hak dan tiada keperluan,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyarat mingguan Exco hari ini.

Menurut Khalid, sebarang keputusan untuk menaikkan tarif air perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri, pemegang konsesi dan kerajaan pusat.

Beliau menambah, SYABAS turut melanggar perjanjian konsesi yang diberikan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelumnya.

“Pelanggaran syarat oleh Syabas telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Selangor. Oleh yang demikian kerajaan Selangor tidak sama sekali akan membenarkan syarikat itu menaikan tarif air,” tambah Khalid.

Khalid berkata kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan daripada Syabas demi mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan bekalan air berkualiti pada harga munasabah.

“Kita sedia berdepan dengan Syabas di mahkamah jika syarikat itu mahu meneruskan cadang mengambil tindakan undang-undang. Tindakan kerajaan negeri ini sejajar dan bertepatan dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor yang diperjuangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.



MB Selangor Dedah Penyelewengan YBK

Mesyuarat Majlis kerajaan Negeri Selangor hari ini meluluskan supaya kerajaan negeri mengggunakan kuasa Menteri Besar mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk menkelaskan semula maklumat mengenai Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada umum.

Mesyuarat hari ini diberitahu pada 8 Mac 1995, kerajaan negeri terdahulu telah meluluskan tanah seluas 2,165 ekar kepada Pemodalan Yayasan Basmi kemiskinan (PYBK) dan melantik dua pemaju untuk memajukan tanah berkenaan iaitu Shah Alam Properties Berhad dan Syarikat Tenaga Ehsan Sdn Bhd.

Data terkini yang diperoleh dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendedahkan, PYBK bukan dimiliki sepenuhnya oleh YBK. YBK hanya memiliki 12,500 unit saham dalam PYBK.

Pemegang saham lain, Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd memilik 6,200 unit saham manakala Fajar Synergy Sdn Bhd memiliki 6,250 unit saham.

Fajar Synergy Sdn Bhd yang dianggotai Mohd Hilmi Yusop sebagai pengarah manakala Khairul Anuar Selamat@Keliwon sebagai Pengarah syarikat dan Setiausaha syarikat.

Prihatin Ehsan Holding Sdn Bhd pula, Datuk ZainalAbidin Sakom dan Zulhairy Jalaludin sebagai Pengarah syarikat sementara setiausaha syarikat, Rahimi Mohd Noor.

Data juga menunjukkan Pengarah PYBK adalah Kamarudin Ahmad, Datuk Zainal Abidin Sakom dan Mohd Tamin Mohd Yusof.

PYBK telah membuat gadaian tanah kepada bank yang bernilai lebih RM100 juta.

Mesyuarat Exco berpendapat, penemuan mengenai milikan saham dan pelantikan pengurus projek pembangunan tanah perlu diperjelaskan kepada kerajaan negeri untuk mengentahui jika YBK diurus dengan baik oleh PYBK.

Mesyuarat Exco jga dimaklumkan, pengerusi YBK, Datuk Zainal Abodin Sakiom didapati memiliki majoroti saham dalam salah satu syarikat yang dilantik sebegai pemaju tanah iaitu Syarikat Tenaga Ehsan.

Maklumat ini antara maklumat penting yang akan didedahkan secara berperingkat menerusi kertas putih yang dijanjikkan kerajaan negeri.

Semua maklumat mengenai pengurusan YBK ini amat penting kerana melibatkan harta kerajaan negeri yang diserahkan YBK untuk program basmi kemiskinan.

Kerajaan negeri menegaskan pengurusan harta milik YBK perlu dibuat secara telus dan bertanggungjawab.

Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim



Ulasan GB

Patutlah begitu galak Zainal Abidin Sakom cepat-cepat buat laporan polis dengan perarakan memperalatkan anak-anak yatim. Rupa-rupanya ingin menutup penyelewengan yang berlaku di dalam YBK.