8 Nov 2010

"Lelong... lelong... " Kedengaran Selepas Banjir

Lelong musim banjir

Gambar: LARIS...Penyapu, berus lantai dan mop antara peralatan membersihkan rumah yang mendapat permintaan ramai selepas banjir berikutan keadaan banjir yang beransur pulih di negeri ini ketika tinjauan di sebuah kedai di Jalan Jitra-Bukit Kayu Hitam di sini hari ini. Kelihatan pemilik kedai barangan plastik, Lee Leong Chai, 46, (kiri) bersama pembantunya Nizam Nik Leh, 30, menunggu pelanggan di hadapan kedainya.

JITRA - Orang ramai mulai membanjiri kawasan pekan Jitra 2 untuk membeli pelbagai barangan yang dilelong peniaga di sini, apabila kawasan ini mula reda dengan banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, banyak pengguna mengambil peluang membeli pelbagai barangan termasuk pakaian, tudung, tuala dan barangan keperluan lain yang dijual dengan harga lelong di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam masa sama, peniaga juga mengambil kesempatan melelong barangan mereka dengan harga serendah 50 sen kepada pembeli akibat banyak barangan terjejas banjir baru-baru ini.

Peniaga Perniagaan Kain Lim, Lim Kheng Seng berkata, mereka mengambil peluang mengadakan jualan lelong untuk menghabiskan pelbagai stok pakaian yang kebanyakan rosak akibat banjir.

“Banyak juga pakaian yang basah, namun masih elok, jadi saya melelongnya dengan harga yang murah kepada pembeli dan ia akan diteruskan sehingga tiada lagi pembeli yang datang membeli barang lelongan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian banjir itu, perniagaan Lim terjejas teruk dan melibatkan kerugian kira-kira RM30,000 dan terpaksa menjual pelbagai jenis pakaian yang basah dengan harga lelong sehingga mencapai potongan sehingga 40 peratus.

Sementara itu, tinjauan di Kedai Wan Hantaran, pemiliknya, Low Poh Wan, 47, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 pada kejadian banjir kali ini.

Menurutnya yang menjual pelbagai barangan untuk hantaran perkahwinan dan bunga-bunga plastik itu, dia mula membuka kedainya itu semalam dan pada masa sama membersihkan setiap penjuru kedai yang terjejas banjir baru-baru ini.

“Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kita sempat menyelamatkan sebahagian barang dan disimpan di bahagian atas kedai dan sebahagian lagi diangkat dan diletakkan pada tempat yang lebih tinggi dalam kedai ini.

“Jika tidak diselamatkan pasti lebih banyak barang yang rosak dan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun Poh Wan berkata, banyak juga barangan yang dijual di kedainya yang perlu dicuci semula sebelum dijual kepada pengguna kerana kesan lumpur yang masih ada pada barang berkenaan.

“Jika ada barang yang masih boleh digunakan kita akan jual, jika rosak teruk kita akan membuangnya sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan di Pusat Optik Jitra mendapati, pemiliknya sibuk membersihkan kedainya bersama beberapa pembantu sebelum membuka semula perniagaan cermin mata itu.

Pemiliknya, Doreen Tan berkata, banyak juga kotak cermin mata yang rosak akibat terkena lumpur dan ia berkemungkinan tidak lagi boleh digunakan semula.

Menurutnya, dia menutup kedai cermin matanya itu sejak hari pertama banjir dan tidak dapat menganggarkan kerugian yang dialami kerana masih belum membuat pengiraan ke atas barangan yang rosak.

“Malah, saya juga tidak pasti bila kedai ini akan mula beroperasi memandangkan masih banyak benda perlu diselesaikan selepas banjir mulai surut,” katanya.

Banjir di Ayer Hitam masih teruk

Dalam perkembangan lain, banjir di Ayer Hitam masih buruk memandangkan air di kawasan Jitra mula surut dan ia turun ke kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad berkata, beberapa kawasan di DUN itu yang terlibat dengan banjir termasuklah Kampung Telaga Batu, Kampung Telaga Batu Putat, Kampung Kota Rentang, Kampung Alor Biak, Sungai Korok, Permatang Bonglai, Pida 1, 2, dan 3.

Menurutnya, sejak banjir mula melanda kawasan itu, beliau bersama skuad banjir Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam dengan kerjasama penghulu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) sentiasa bergerak ke kawasan banjir yang terlibat untuk memberi bantuan.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan asas diberikan kepada mangsa banjir di seluruh kawasan DUN Ayer Hitam yang terlibat.

“Kita mengambil tanggungjawab sepenuhnya membantu semua mangsa tidak kira mereka yang berpindah ke pusat penempatan sementara mahupun yang mendirikan khemah di sekitar kawasan rumah yang selamat.

“Bantuan tidak mencukupi juga tidak timbul memandangkan kita sentiasa memberi bantuan dari masa ke masa kepada mangsa mengikut keperluan mereka.

“Setiap hari kita akan menghantar skuad banjir ke kawasan yang mengalami banjir bagi melihat keperluan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kelmarin beliau bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga melawat beberapa kawasan di DUN Ayer Hitam dan DUN Kota Siputeh bermula dengan pusat penempatan di Sekolah Kebangsaan Kodiang.

Menurutnya, Azizan bersamanya juga melawat di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak di samping menyampaikan bantuan keperluan makanan dan barangan lain kepada mangsa.

Sehingga jam 10 malam kelmarin, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Muda, Alor Biak ialah seramai 2,197 manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Putra, Alor Biak pula seramai 713 mangsa ditempatkan di situ buat sementara waktu. -SH


Banjir di Pokok Sena dan Pendang pulih, Kota Setar dan Kubang sedang pulih

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah semakin pulih dengan semua pusat pemindahan di dua daerah iaitu Pokok Sena dan Pendang ditutup sepenuhnya petang ini.

Sehingga jam 4 petang, hanya 56 pusat pemindahan masih dibuka di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dengan jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan banjir ialah 22,829 orang dari 5,761 keluarga, berbanding 28,208 orang pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar ialah 16,760 orang dengan 4,112 keluarga, manakala di Kubang Pasu mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 6,069 orang membabitkan 1,649 keluarga.

Sebanyak 39 pusat pemindahan banjir masih dibuka di Kota Setar, manakala di Kubang Pasu masih terdapat 17 pusat pemindahan beroperasi.

Jurucakap itu berkata, semua mangsa di daerah Pokok Sena dan Pendang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat selepas air di kawasan mereka surut sepenuhnya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pelajaran Kedah berkata, sebanyak 50 sekolah masih ditutup iaitu lapan di Kubang Pasu dan selebihnya di Kota Setar.

"Ada juga sekolah-sekolah itu dijadikan pusat pemindahan banjir dan ada juga yang masih ditenggelami air," katanya.

Sehingga petang ini, semua jalan telah dibuka kepada lalu lintas. Hanya empat jalan sahaja yang masih digenangi air iaitu Jalan Alor Setar-Kangar, Jalan Gunung Keriang-Alor Janggus, Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang dan Jalan Titi Besi-Kampung Pasir.

Tinjauan di sekitar bandaraya Alor Setar mendapati kebanyakkan premis perniagaan telah beroperasi seperti biasa. Bekalan elektik dan air sudah pulih di kebanyakan tempat, cuma masalah tekanan air dan bekalan air bersih masih menjadi masalah kepada kebanyakan penduduk. -Bernama


Mus Digesa Undur, Di Sandakan & Libaran Jelas Ada Manipulasi

Manipulasi undi di Libaran dan Sandakan, gesa Sdr. Mustaffa tarik diri

Oleh Abdul Aziz Anon

Sebagai sahabat seperjuangan Sdr. Mustaffa Kamil Ayub yang mengenali beliau secara dekat ketika bersama dalam gerakan belia, saya menggesa Sdr. Mustaffa Kamil untuk menjaga integriti peribadi beliau dengan menarik diri dari proses pemilihan PKR yang nyatanya berat sebelah dan dipenuhi manipulasi oleh pihak lain yang bertanding.

Tindakan Dato’ Zaid Ibrahim yang menarik diri adalah sesuatu yang tidak mengejutkan berikutan rentetan dakwaan beliau bahawa terdapat manipulasi undi yang memenangkan YB Azmin Ali. Kelemahan dan permasalahan berbangkit tentang pengurusan pemilihan PKR oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Sekretariat Ibu Pejabat PKR adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Pemilihan PKR sememangnya sungguh meragukan.

Apa yang berlaku di cabang Libaran dan Sandakan adalah bukti jelas proses pengundian yang tercemar di mana berlakunya manipulasi undi. Di cabang Libaran dengan seramai 1,501 ahli, sebanyak 898 ahli keluar mengundi dengan peratusan keluar mengundi 59.83%. Keputusannya, Azmin dapat 881 undi, Zaid 8 undi dan Sdr. Mus 6 undi. Sedangkan semasa pemilihan Jawatankuasa Cabang PKR Libaran hanya 99 ahli (6.60%) sahaja yang datang. Mana mungkin dalam tempoh kurang sebulan peningkatan keluar mengundi begitu mendadak.

Isu yang kedua, JPP hanya mencetak 50% kertas undi dari jumlah semua ahli dalam sesuatu cabang. Tetapi bagaimana pula di cabang Libaran, kertas undi dan jumlah yang keluar mengundi lebih besar dari jumlah kertas undi yang disediakan.

Perkara yang sama juga berlaku di cabang Sandakan dengan anggota parti seramai 1,047 orang. Sejumlah 456 orang keluar mengundi (43.55%), sedangkan pemilihan peringkat cabang yang sepatutnya lebih ramai dan lebih panas hanya 81 orang yang hadir. Mana mungkin peningkatan begitu mendadak dan menyaksikan Azmin mendapat 417 undi, Zaid 25 undi dan Sdr Mus 13 undi.

Dalam masa sama, 16 cabang di Sabah yang turut sama mengadakan pemilihan hanya mencatatkan peratusan keluar mengundi secara purata 8.09%. Hanya Libaran dan Sandakan yang begitu ketara perbezaannya.

Saya menggesa Sdr Mustaffa Kamil Ayub untuk turut menarik diri dari pertandingan Timbalan Presiden demi menjaga integriti peribadi beliau, serta untuk menghantar mesej yang jelas kepada JPP dan Sekretariat Ibu Pejabat. Kedua-dua badan tersebut mesti digantung dari menguruskan pemilihan ini, yang kini jelas diragui dan tidak telus. Puncuk pimpinan, khususnya Ketua Umum sewajarnya membuat tindakan bagi mengelak perpecahan yang lebih parah jika pemilihan PKR diteruskan. -kerajaanrakyat


Mustaffa ikut jejak langkah Zaid?

PETALING JAYA: Seorang lagi calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub tidak menolak kemungkinan akan mengikut jejak langkah Dato’ Zaid Ibrahim menarik diri dari perlumbaan merebut jawatan itu.

Ketika dihubungi oleh FMT hari ini, beliau berkata, "saya belum tarik diri…..belum!"

"Saya akan menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) esok termasuk perincian tentang kelemahan dalam proses pemilihan dan meminta pemilihan parti ditangguhkan semata-mata atas sebab ini.

"Saya akan memberi JPP masa untuk memikirkannya dan jika tidak menerima maklum balas yang bersesuaian dan memuaskan hati dari JPP maka saya mungkin menarik diri," ujar beliau.

Apabila disoal sama ada beliau menetapkan tarikh akhir sebelum menarik diri, beliau berkata, "ya, tapi saya hanya akan membuat keputusan pada malam ini selepas berbincang dengan pasukan saya."

Zaid, yang baru-baru ini dilantik sebagai Ketua PKR Wilayah Persekutuan mengumumkan bahawa perletakan jawatan melalui blog pada 3.00 pagi ini.

Beliau menyatakan keputusannya untuk meletak jawatan ekoran kegagalan pucuk pimpinan parti menangani tuduhan-tuduhan terhadap kelemahan dalam pemilihan bagi merebut jawatan nombor dua itu walaupun beberapa aduan telah dibuat. Beliau juga meletak semua jawatannya dalam parti.

Zaid masih dalam perlumbaan

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menjelaskan pagi ini bahawa Zaid masih dalam perlumbaan itu kerana parti belum menerima secara rasmi penarikan diri secara rasmi daripada beliau.

Minggu sudah, Mustaffa menyertai Zaid meminta pemilihan itu ditangguhkan sehingga segala aduan diatasi. Hari ini beliau berkata penarikan diri oleh Zaid memberi petanda jelas ketidakyakinan beliau tentang proses pemilihan sehingga menjejaskan kredibiliti JPP.

Mustaffa berkata, "dalam sesuatu perlumbaan, pasti ada yang kalah dan menang. Setiap peserta harus menerima hakikat bahawa dia akan berada dalam salah satu keadaan itu," katanya.

JPP dipertikaikan

"Tapi semua peserta mengharapkan pertandingan itu berjalan dengan adil, telus dan atas peluang yang sama rata. Masa ini, kedua-dua peluang sama rata dan JPP dipertikaikan," tambahnya.

Ujar beliau, "situasi ini sangat serius. Suara rakyat terbanyak harus didengari dan isu-isu yang mereka hadapi harus ditangani sebaik mungkin oleh JPP. Kalau tidak, akan berlaku ketegangan di peringkat akar umbi."

Mustaffa bagaimanapun terperanjat apabila diberitahu bahawa Zaid meletak semua jawatan dalam parti.

"Sudah pasti ini adalah keputusannya sendiri tapi ini menunjukkan betapa kecewanya beliau terhadap parti," katanya, menambah,

"meletak jawatan dalam parti merupakan satu isyarat protes yang kuat." Mustaffa juga mendesak supaya Pengerusi JPP Dr Molly Cheah diberi bidang kuasa dan mandat yang penuh untuk mengendalikan pemilihan.

Dr Cheah baru-baru ini memberi isyarat bahawa beliau tidak lagin terlibat dalam pengurusan proses pemilihan. Sumber dalaman parti mendakwa proses pemilihan dikendalikan sepenuhnya oleh ahli-ahli parti.

"Saya mengulangi seruan supaya kakitangan utama dalam JPP dirombak semula," kata Mustaffa. "Mereka merupakan staf kepada beberapa pemimpin dan tidak dapat berlaku neutral, satu elemen penting dalam pemilihan."

Sehingga semalam, keputusan tidak rasmi dari sejumlah 75 cabang yang telah selesai mengadakan pemilihan menunjukkan Mustaffa memperolehi 1,187 undi, jauh di belakang Azmin Ali (4,146) dan Zaid (3,402). -FMT


15 Bergilir Apungkan Daniel, Berzikir Berpegangan Tangan Dalam Bulatan Di Tengah Lautan

Kemaman - Dalam keadaan keletihan dan nyawa di hujung tanduk, semua 15 mangsa masih mampu bersepakat untuk bergilir-gilir memegang dan mengapungkan Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli, 4, bagi memastikan kanak-kanak itu terus selamat.

Gambar: Mohd Daniel Aiman Mohd Zulkifli,4, menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Daerah Kemaman sebaik tiba di Pengkalan Marin di sini hari ini Foto Bernama

Salah seorang mangsa, Sany Salman Mohd Kasim, 42, berkata, apabila melihat bapa kanak-kanak tersebut, Mohd Zulkifli Ahmad Daud, 33, keletihan, mereka mengambil giliran mengapungkan kanak-kanak itu bagi memastikannya tidak tenggelam.

“Dalam tempoh itu, memang banyak dugaan yang kami terpaksa harungi namun kami tidak berputus asa. Kami nampak cahaya, malah tiga buah helikopter melepasi kami namun tiada siapa yang menyedari kelibat kami,” katanya yang masih kelihatan terharu dengan kejadian itu.

Ditanya mengenai percutian itu, Sany Salman yang berasal dari Seremban berkata, mereka datang ke Terengganu pada Jumaat lalu untuk bercuti dan menyelam.

Menurutnya, mereka bermalam di Dungun, sebelum bertolak ke Pulau Tenggol keesokan paginya untuk menyelam.

“Mengikut perancangan, kami dijangka pulang pada waktu petang. Malah saya sendiri sempat menyelam tiga kali sebelum bertolak pulang. Namun tidak lama selepas kami menaiki bot, pemandu menjerit dan memberitahu bot mengalami kebocoran.

“Dia berkata, bot akan berpatah balik namun tidak sampai tiga minit, bot terhuyung-hayang sebelum pemandu mengarahkan kami terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Menurutnya, walaupun berdepan situasi mencemaskan, mereka tidak panik sebaliknya bersepakat dan mula membuat bulatan bagi membolehkan mereka mudah bergerak secara berkumpulan dan tidak terpisah.

Dalam tempoh itu katanya, mereka cuba berenang bersama-sama ke tanah besar namun keadaan arus menyebabkan mereka sukar melakukannya.

“Kami sangat gembira apabila melihat sebuah bot marin datang ke arah kami namun mereka berpatah balik kerana tidak menjumpai kami. Namun pada masa itu, kami sudah mampu tersenyum kerana tahu usaha mencari sedang dilakukan.

“Tidak lama selepas itu, bot marin kembali sekali lagi dan menyelamatkan kami. Pada masa itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana gembiranya kami,” katanya lagi. -SH


Berzikir berpegangan tangan dalam bulatan

KEMAMAN: Hanya zikir dan doa mengingat Allah SWT meniti di bibir 15 daripada 16 mangsa yang menganggap mereka ibarat mati hidup semula apabila terselamat selepas terapung kira-kira 16 jam sebaik bot dinaiki karam dipercayai bocor di bahagian enjin, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

Kejadian membabitkan bot jenis katamaran yang ketika itu dalam perjalanan membawa 15 pelancong dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Dungun selepas melakukan aktiviti selam di Pulau Tenggol.

Sepanjang terapung di laut, semua mangsa mendakwa melihat kelibat bot lain tetapi tidak mengendahkan mereka sehinggalah seorang daripada mereka iaitu Loo Kit Choong, 54, bertindak berani membuka jaket keselamatannya.

Loo terpaksa memperjudikan nyawanya kerana ketika itu hanya dia masih bertenaga dan melambungkan jaket keselamatan sebelum objek itu dilihat anggota Pasukan Gerakan Marin yang kemudian segera menyelamatkan mereka.

Selain itu, penyelam, Badrulhisham Shariman, 40, turut menggunakan segala kudrat yang ada untuk memastikan mereka mengikut arus dengan menguak kakinya kerana ketika kejadian hanya dia masih memakai ‘flipper’.

Semua mangsa dikatakan berada dalam kumpulan dan memegang erat antara satu dengan lain dalam satu bulatan sambil berzikir dan melambung-lambungkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang turut terapung bersama mereka.


Semua 16 mangsa dilaporkan hilang ditemui terapung kira-kira 16 batu nautika dari lokasi mereka dilaporkan hilang iaitu lapan batu nautika dari Pulau Tenggol, semalam.

Sementara itu, pemandu bot berkenaan, Zul Fadhly Yahya, 29, berkata bot yang dikemudinya itu tiba-tiba menjadi perlahan pada jarak kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Kuala Dungun.

“Apabila toleh ke belakang saya nampak enjin bot hampir tenggelam dan air mula memasuki badan bot,” katanya di Jeti Marin Wilayah Timur di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengambil keputusan berpatah-balik ke Pulau Tenggol namun botmenjadi semakin perlahan dan apabila air semakin banyak memasuki badan bot, dia mengarahkan semua penumpangnya terjun dari bot.

Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain.

“Waktu itu bot sudah senget. Saya risau jika mereka tidak terjun, mereka akan tenggelam bersama bot,” katanya.

Katanya, semua penumpang berjaya keluar hanya beberapa saat sebelum bot berkenaan tenggelam sepenuhnya dan mereka membuat formasi dalam bentuk bulatan dan saling membantu antara satu sama lain.-hm


Pegawai BTN Rasis Sekadar Digantung Tugas Dan Diberi Amaran

Pegawai kanan BTN digantung tugas, diberi amaran: Nazri

KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman digantung daripada tugasnya pada 6 Oktober lalu serta diberi surat amaran, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, bagaimanapun tidak menyatakan tempoh penggantungan pegawai kanan BTN berkenaan.

Pada 9 Oktober lalu, Kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyiasat dakwaan kononnya seorang pegawai kanan BTN mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman pada satu sesi tertutup dengan Puteri UMNO.

Ulasan GB

Setelah berbulan siasatan, hanya itukah sahaja hukuman ke atas pegawai kanan yang rasis?

Kalau sekadar gantung tugas, gaji jalan, bererti maka gaji buta dari wang rakyat beribu-ribu sebulan.

Mengapa tidak didakwa di bawah Akta Hasutan yang selalu sangat dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin pembangkang?

Flat Pantai Dalam Diserbu Imigresen

Imigresen serbu flat Pantai Dalam

KUALA LUMPUR: Beberapa pemilik flat di Pantai Dalam, di sini, dikesan menyewakan rumah kepada warga asing dengan kadar RM100 seorang sebulan sebagai cara mudah mendapat pendapatan tambahan tanpa mengambil kira sama ada warga berkenaan memiliki dokumen atau tidak.

Malah, pendapatan itu meningkat jika kediaman asal diubah suai termasuk menyediakan ruang bilik yang mampu memuatkan sehingga lima orang dalam satu bilik.

Ini terbukti selepas lebih 20 lelaki dipercayai warga Indonesia ditahan selepas pemeriksaan mengejut dilakukan sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di lokasi itu.

Ketua Unit Operasi Imigresen Malaysia WPKL, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, pihaknya terpaksa memecah beberapa pintu rumah disewa warga asing terbabit selepas mereka enggan memberi kerjasama dengan mengurung diri dalam rumah serta bilik. Hasilnya semua lelaki warga Indonesia berkenaan diberkas dengan ada antara mereka yang cuba meloloskan diri namun gagal.

Beliau berkata, rumah didiami warga asing terbabit disewa daripada penduduk tempatan yang sengaja menambah binaan bilik dalam rumah bagi membolehkan lebih ramai orang menyewa. “Semua warga asing itu ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri dan sebahagiannya ada pas lawatan sosial sementara, tetapi sudah tamat tempoh,” katanya. -BH

MB Kedah Bidas Muhyiddin Politikkan Isu Banjir

Azizan bidas Muhyiddin, dakwaan tidak berasas

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana lewat melawat mangsa banjir yang disifatkan terburuk pernah berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, sebagai pemimpin nombor dua, sepatutnya Muhyiddin tiba lebih awal untuk meninjau nasib penduduk Kedah, termasuk melawat bilik operasi banjir negeri untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini.

“Setelah tujuh hari bencana berlaku, baru (beliau) datang meninjau mangsa banjir. Air banjir pun sudah surut dan sebahagian (mangsa) balik ke rumah masing-masing. Sepatutnya datang lebih awal, baru nampak situasi sebenar,” katanya sebelum memulakan konvoi melawat mangsa banjir ke lima pusat penempatan sekitar daerah Kota Setar dan Anak Bukit.

Lima pusat penempatan banjir itu ialah Sekolah Wawasan Taman Aman, Sekolah Kebangsaan (SK) Sematang Gunong, Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, SK Seberang Nyonya dan Kuarters Polis Taman Derga Jaya.

Mengulas kenyataan Muhyiddin kelmarin, kononnya Kerajaan Kedah lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa kepada Pusat, Azizan berkata, itu dakwaan tidak berasas kerana semua agensi bawah Kerajaan Negeri termasuk Pusat bekerjasama dengan baik menangani bencana ini.

“Kita ada Jawatankuasa Bencana Alam peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, bilik gerakan banjir peringkat daerah termasuk semua agensi terlibat seperti polis, tentera, sektor awam bekerjasama dengan baik. Tiada sentimen politik langsung,” katanya.

Azizan berkata, kenyataan itu hanya berdasarkan laporan pemimpin UMNO yang sengaja mahu mencetuskan isu, sebaliknya Muhyiddin tidak ke lokasi yang betul bagi mendapatkan maklumat tepat.

“Saya terkilan kerana apa yang disebarkan tidak betul. Sepatutnya datang negeri orang, kenalah tanya saya dulu mengenai perkembangan terkini. Bukan buat andaian semata-mata,” katanya.

Ditanya mengenai desas-desus kononnya setiap mangsa banjir akan memperoleh RM500 seorang, Azizan berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menjanjikan bantuan seperti itu, seeloknya dirujuk kepada Pusat mengenai dakwaan tersebut.

“Rujuklah kepada Kerajaan Pusat, mungkin mereka yang mahu beri. Kita cuma sampaikan bantuan secara keseluruhan,” katanya. -SH

Siapa Mahu Peduli Dengan Anwar Lagi Selepas Ini?

Anwar Ibrahim. Siapa lagi yang akan pedulikan nasibnya selepas ini?

Mungkin hanya keluarga dan kroninya.

Sebilangan besar rakyat sudah benar-benar menyampah dengan kelaku buruk politik beliau yang ternyata bersifat diktator di dalam PKR.

Ini dikesani apabila beliau merupakan dalang utama yang mengaturkan orang-orang yang bertanding di dalam Pemilihan PKR untuk jawatan-jawatan utama parti.

Beliau yang sepatutnya bertindak berkecuali dan tidak berpihak gagal untuk melakukannya apabila telah beberapa kali menyerang secara terbuka bekas calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim yang bertanding menentang orang kesyangannya iaitu Azmin Ali.

Seandainya sebelum daripada ini ramai yang bersimpati dengan nasib Anwar kerana tidak diberikan keadilan di dalam mahkamah lewat kes liwatnya bersama Saiful, namun "ketidak-adilan" Anwar sendiri di dalam Pemilihan yang sedang berlansung sehinggakan menyebabkan Datuk Zaid menarik diri dan meletak semua jawatan dalam parti memusnahkan simpati rakyat terhadap beliau.

Malah sehingga hari ini, Anwar masih terus menghentam Datuk Zaid dengan tuduhannya menyatakan Zaid buat keputusan kerana telah tewas di Sabah. Menjelaskan kepada kita memang hati dan niat Anwar terlalu busuk terhadap Zaid.

"Apabila kita sendiri tidak adil, bagaimana mengharapkan keadilan tertegak di luar daripada lingkungan kita?" tanya seorang pengulas politik yang enggan mendedahkan identitinya.

Seorang pengunjung blog Kelab GB ini menulis di ruangan komennya di SINI. Petikan:


Anwar lupa diri dan lupa siapa yg mengerakkan reformasi. Anwar hanya memandang imej dan penampilan diri untuk jalan seiring dengannya. Maaf tapi ini hakikat. Anwar masih di ulit mimpi kerana terlalu di sanjung dan di beri terlalu banyak kuasa veto. Berapa ramai reformis yg terpinggir selepas Anwar keluar dari penjara walaupun reformis tidak pernah mengharapkan balasan namun jauh di hati mereka tuhan saja yg tahu. Tapi jiwa mereka kental, tetap bergerak demi keadilan untuk rakyat marhaen. Tidak dan tidak, perjuangan sekarang bukan kerana Anwar Ibrahim lagi setidak-tidaknya bukan keutamaan. Siapa Rahimi siapa Saiful siapa Rafizi? Mereka bukan reformis. Tiada siapa yg kenal mereka tapi mereka inilah berada di samping Anwar setelah di bebaskan. Anwar boleh bersangka baik tapi ada batasannya. Dan Anwar yg memasang jerat untuk dirinya sendiri. Rasanya memang perlu Anwar di hantar kembali ke penjara untuk dia menilai sendiri erti kesetian, persahabatan dan perjuangan. Siapa sahabat siapa musuh dalam selimut. Lupakan mimpi untuk jadi PM, bukan rezeki anda dan mungkin rezeki Nurul Izzah.


Kini Anwar sendiri yang memilih untuk mengenepikan orang-orang yang menyokongnya sebelum ini. Anwar sendiri yang memilih untuk bersikap tidak adil di dalam pemilihan. Anwar sendiri yang memilih untuk ke penjara semula. Anwar sendiri yang memilih jalannya ke neraka!

GB pernah menulis sebelum ini di SINI:

Dengan izin Allah,beberapa blogger yang tegak berdiri dengan kebenaran dan keadilan, akan "pancung" mereka yang menyebabkan kegagalan PR selepas ini tak kira besar mana pun pangkat kamu di dunia ini.

Jadi selepas ini Anwar bolehlah minta pertolongan dengan Azmin, Saifuddin, pengikut taksubnya dan beberapa kerat blogger yang menjilatnya selama ini.

GB telah banyak kali mengingat Anwar, tetapi beliau begitu, begitu juga. Tiada mahu lansung untuk berubah. Oleh itu jangan dikesal, jika selepas ini bebannya menjalar.

GB tak pernah menggunakan kaedah-kaedah keji seperti yang dilkukan para blogawan UMNO tetapi cukup dengan dalil-dalil aqli dan naqli.

GB dan blogger-blogger pejuang kebenaran dan keadilan akan tetap terus menggalas amanah bersama-sama mereka yang mahukan kebenaran dan keadilan tertegak di negara ini. Kami yakin tanpa Anwar pun kami boleh berjaya, mungkin lebih cemerlang lagi.

Tidak ada salah perjuangan PKR, yang bersalah ialah pimpinannya yang diketuai oleh ketua de faktonya bersama-sama apek-apek lempangnya.

GB pernah menulis komen GB di SINI yan menyebabkan ramai tersentak. Tulis GB:


nak suruh gb serang anwar lagi selepas ini? insyaAllah, dengan izin dan bantuanNya, mudah sangat bagi gb lakukan

Dan kita ingin bacakan lagi ayat-ayat ini berulangkali kepadanya:

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar dari kesalahan-kesalahanmu.” (QS. As Syura, 42 : 30)

Dan marilah kita berdoa beramai-ramai supaya kita sentiasa berada di dalam kebenaran dengan doa yang diajarkan oleh Nabi kita:

"Alahumma arinal haqqa haqqan, warnuqna tiba'ah
wa arinal bathila bathilan, warzuqnaj tinabah"


Ya Allah ya Tuhanku, tunjukkan kami kebenaran itu kebenaran dan pimpinlah kami ke arahnya dan tunjukkan kami kebatilan itu kebatilan dan pimpinlah kami untuk menjauhinya".

Banjir Di Kedah & Perlis Beransur Pulih

Bah di Kedah, Perlis makin pulih

Gambar: Beberapa kawasan perumahan di Jalan Sultanah dekat sini yang ditenggelami air semakin pulih. Foto: Bernama

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah dan Perlis semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara mencatat penurunan, namun keadaan di daerah Kota Setar di sini, bertambah buruk apabila mangsa dipindahkan meningkat kepada 21,116 orang.

Sehingga jam 6.30 petang semalam, di seluruh negeri ini seramai 31,712 mangsa banjir membabitkan 7,856 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan, berbanding 33,563 orang kelmarin.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (Kedah) ketika dihubungi berkata, seramai 21,116 orang daripada 5,060 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Kota Setar, berbanding 19,591 orang kelmarin.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir dipindahkan di daerah Kubang Pasu mencatat penurunan kepada 9,531 orang daripada 2,591 keluarga, berbanding 12,242 orang kelmarin.

Selain itu, keadaan di Pokok Sena turut menunjukkan pemulihan apabila jumlah mereka yang masih menghuni pusat pemindahan berkurangan kepada 1,003 orang membabitkan 143 keluarga dan Pendang pula 242 orang daripada 62 keluarga.

Dalam pada itu, bekalan air di sebahagian besar daerah ini semakin pulih apabila loji air Bukit Pinang milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd sudah beroperasi mencapai tahap hampir 80 peratus dan dijangka mencapai tahap 100 peratus sehari dua lagi.
Sementara itu, Kilometer 28 Lebuhraya Utara-Selatan di Jitra yang sebelum ini ditutup kepada lalu lintas kerana ditenggelami air sudah dibuka satu lorong di kedua-dua hala.

Selain itu, tinjauan Berita Harian di beberapa kawasan di bandaraya ini mendapati banyak jalan utama sudah dibuka kepada lalu lintas.

Di Perlis pula, Jurucakap Pusat Gerakan Banjir negeri yang dihubungi berkata, seramai 8,645 mangsa membabitkan 1,217 keluarga masih ditempatkan di 33 pusat pemindahan yang masih aktif dengan majoritinya di daerah Kangar.

"Ketika ini 24 daripada 57 pusat pemindahan dibuka sejak banjir melanda Perlis Ahad lalu sudah diarah tutup dengan majoritinya di kawasan Padang Besar dan Arau, manakala baki 33 yang masih beroperasi adalah sekitar daerah Kangar," katanya. -BH

Tragedi Menyedihkan: Ibu Dan Anak Rentung Dalam Keadaan Bersujud

Batu Pahat: “Tolong mak, tolong Nini mak,” itulah jeritan akhir ibu tunggal, Lenny Mariyana Daud, 29, sebelum ditemui rentung dalam kedudukan bersujud sambil memeluk anak tunggalnya, Nur Sabihah Qasreena Mohd Nizam, 3, yang turut maut dalam kebakaran di Kampung Seri Paya Darat, Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Lenny dipercayai hanya sempat menjerit meminta bantuan buat beberapa saat disertai tangisan kuat Sabihah ketika cuba menyelamatkan diri dari biliknya.

Lenny yang bakal mendirikan rumah tangga buat kali kedua hujung tahun ini dipercayai gagal melarikan diri dengan anaknya melalui pintu dan tingkap bilik akibat asap tebal selain api marak.

Melihat api marak selain kesukaran menyelamatkan diri, Lenny dipercayai hanya mampu membongkok seperti bersujud sambil memeluk anaknya sebelum dua beranak itu ditemui rentung di sudut tepi katil oleh anggota Bomba dan Penyelamat, kira-kira jam 4 pagi. -hm

Pengalaman Jurugambar, Banyak Yang Perlu Dipelajari

Di balik sekeping gambar Hillary Clinton

Gambar: Bendera Amerika Syarikat (kanan) kelihatan segar dengan bantuan sebatang penyangkut baju di lekatkan di dalam gulungan bendera itu ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kerajaan Malaysia yang di wakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Kerajaan Amerika Syarikat, diwakili oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodhan Clinton yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini, baru-baru ini.

Menjadi satu pengalaman amat berharga buat jurugambar Bernama ketika membuat liputan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton baru-baru ini.

Mungkin tidak setanding pengalamannya merakam gambar peperangan di Iraq tujuh tahun lalu, tetapi Harry Salzman Abu Bakar menganggap persediaan sebelum mengambil gambar pegawai diplomat tertinggi negara maju itu harus diteladani bukan sahaja buat dirinya tetapi bagi pemimpin-pemimpin yang ingin gambar mereka menjadi lebih menonjol.

Apa yang diminta oleh pegawai pengiring Clinton beberapa minit sebelum majlis bermula mungkin dilihat remeh tetapi itu merupakan perincian bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dan menjadikan pemimpin mereka itu kelihatan lebih menyerlah.

"Sebagai satu-satunya jurugambar mewakili media rasmi saya diajak berbincang tentang persediaan untuk mengambil gambar bekas wanita pertama Amerika Syarikat.

"Saya diberitahu lebih awal warna pakaian yang akan dipakai oleh Secretary Clinton agar dapat menyediakan penataan cahaya yang sesuai," katanya.

Ketika itu Harry Salzman ditugaskan untuk mengambil gambar majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya Selasa lalu.

"Mereka juga bertanya kepada saya keadaan manakah yang sesuai bagi posisi badan pemimpin itu sama ada mengadap ke hadapan atau mengiring ketika berdiri untuk bersalaman selepas menandatangani perjanjian.

"Apabila saya bersetuju posisi bagaimana yang saya mahu, mereka terus menandakan di atas lantai kedudukan yang harus Secretary Clinton berdiri kelak," katanya.

Hasilnya jika dilihat daripada gambar yang diambil, memang anda akan lihat posisi beliau kelihatan 'segak' dan 'kemas' berbanding orang di sekelilingnya, kata anak Perlis ini.

Malah Harry Salzman berkata cara Clinton memegang folder perjanjian sambil bersalaman juga dititikberatkan bagi menunjukkan penghargaan dan mencerminkan "ia urusan yang penting."

Harry Salzman juga berkata beliau sempat melihat bagaimana pegawai-pegawai negara itu menitikberatkan kedudukan bendera yang diletakkan di sebelah pemimpin itu agar kelihatan 'segar' dan 'bermaya'.

"Sebatang penyangkut baju diletakkan dalam gulungan bendera itu agar kelihatan lebih rapi.

"Selain itu, buku lawatan dan folder perjanjian yang bakal ditandatangani Clinton juga ditanda lebih awal agar mudah pemimpin itu untuk menurunkan tandatangannya," katanya.

Malah mereka tidak menggalakkan kehadiran 'dayang-dayang' untuk menunjukkan bahagian mana yang perlu ditandatangani ketika majlis berlangsung, katanya.

Warna tirai baldu juga ditetapkan sebagai biru gelap, digunakan di belakang upacara menandatangani perjanjian dan dibiarkan kosong tanpa sebarang latar belakang yang ditulis berkaitan majlis berkenaan.

Mereka mengatakan mereka tidak mahu menggunakan tirai berwarna terang atau berkilat supaya penataan cahaya lebih baik untuk kamera.

"Cuba kita fikirkan mengapa mereka perlu memikirkan tentang semua ini untuk pemimpin mereka," katanya.

Harry Salzman berkata untuk meletakkan replika kecil kapal terbang bagi majlis memeterai perjanjian antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney juga diperincikan.

"Saya ditanya di mana mahu diletakkan replika itu. Selepas mendapat sudut yang saya mahu, sekali lagi dibuat satu tanda di atas meja di mana apabila giliran perjanjian itu tiba untuk ditandatangani, replika itu akan diletakkan di tempat yang saya mahukan."

Harry Salzman berkata beliau turut teruja untuk mengambil gambar setiausaha negara itu yang dilihat pandai membuat 'gerakan' yang disukai oleh mana-mana jurugambar untuk merakam gambarnya.

"Beliau kelihatan 'hidup' walaupun gambar diambil dalam bentuk 'stills'.

Pergerakan tangan, senyuman yang lebar dan pandangan yang lembut tapi tepat ke arah lensa dari matanya yang biru.

"Saya berharap pemimpin dan pegawai lain juga dapat menonjolkan diri sepertinya walaupun setakat bergambar. Gambar turut memberi impaknya. Bukankah satu gambar boleh memberi seribu satu cerita?" --Bernama

Ulasan GB

Tidak mudah untuk menjadi seorang jurugambar yang profesyenal kecuali kegigihan dan ketekunan untuk terus belajar.

Kesilapan mengambil gambar akan hanya mengundang padah. Malah mengaibkan. Dan ia kadangkala menjadi bahan untuk ditertawakan orang. Contohnya di dalam PRK Galas tempohari bagaimana kesilapan jurugambar merakam satu acara kemudian disebarkan melalui blog rasminya.


Di satu majlis calon PAS bersama orang Asli, tetapi berlatarbelakangkan bendera UMNO BN!


Begitu juga mendesign dan melakarkan poster/banner untuk tatapan umum. GB temui ini di dalam facebook PRK N.45 Galas. Perhatikan gambar di bawah ini dan camkan dimana silapnya?



Gambar di atas sepatutnya betul. Ia cuba membersihkan semula fitnah yang dilemparkan UMNO terhadap PAS mengenai isu pemberian zakat kepada muallaf. Tetapi yang dibesarkan ia "gambar" TGNA menyampaikan wang tersebut .. sedangkan itulah gambar yang digunakan oleh musuh terhadap PAS.

Sekali imbas orang tidak membaca apa-apa di banner, mereka hanya menumpukan perhatian apa yang ada di gambar. Jadi poster itu "membantu" UMNO untuk menyatakan TGNA memberikan sogokan wang kepada orang asli.

Sepatutnya yang diperbesarkan oleh ayat Al-Quran tersebut yang memerintahkan agar sedeqah diperuntukkan hanya kepada golongan faqir, miskin, amil dan mualaf.

Mesej itu tidak sampai kepada rakyat. Mesej yang sampai ialah apa yang dilihat pada gambar itu yang telah sengaja disalahfahamkan oleh UMNO.


Begitulah juga tulisan dan gambar-gambar yang diletakkan di dalam blogger.

Seorang blogger yang prihatin dan seorang blogger yang bagus akan sentiasa menitik-beratkan soal "persembahan" selain dari sekadar menjadi penyalin-tampal sesuatu entri. Mesej bukan sahaja kena betul dan tepat, tetapi terang dan jelas agar apa yang hendak disampaikan itu tiba kepada pembacanya.

Sabda Nabi di dalam hadis qudsi:

"Allah menyukai apabila seseorang itu melakukan tugas, dilakukan dengan sebaik-baiknya".

Zaid Isytihar Tarik Diri Dari Pemilihan dan Letak Semua Jawatan Dalam Parti

Datuk Zaid Ibrahim akhirnya mengumumkan penarikan dirinya sebagai calon Timbalan Presiden PKR disamping meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Perkembangan ini berlaku selepas minggu kedua pengundian Pemilihan parti berjalan.

Menurut Zaid, beliau ditawarkan untuk menyertai PKR dengan kepercayaan bahawa beliau boleh membawa pembaharuan dan politik yang progresif, menyubur dan membangunkan nilai-nilai dan budaya politik yang berprinsip yang beliau kira amat penting untuk pembangunan demokrasi dan governance yang baik untuk negara. Namun katanya beliau tersilap.

Melihat kepada perjalanan pemilihan yang sedang berlansung, terdapat keadaan di mana pihak pimpinan secara aktif melakukan kegiatan salahlaku dan penipuan untuk mencapai objektif yang mereka sasarkan. Katanya, beliau yakin bahawa mana-mana parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit sedemikian tidak akan berupaya untuk menawarkan pembaharuan yang bermakna untuk rakyat di negara ini.

Beliau menambah keputusannya untuk menarik diri dari pemilihan dan perletakan semua jawatannya di dalam PKR diambil kerana kerana tidak terdapat kesungguhan di pihak pimpinan parti untuk menyelesaikan beberapa isu manipulasi dan amalan salahlaku pengundian, sekali isu berkenaan telah didedahkan berkali-kali.

Beliau berterima kasih kepada semua ahli yang telah menyokong beliau dan yang menberikan kepercayaan kepadanya untuk perubahan. Amat menyedihkan katanya, beliau tidak mampu untuk meneruskannya di dalam proses pemilihan yang kotor.

Walau bagaimanapun, Zaid berkata beliau tetap komited dengan matlamat pembangkang dan akan terus bercakap mengenai isu-isu masyarakat terbanyak. Bersama katanya, kita berjuang untuk sebuah kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.

Akhirnya beliau berkata, diharapnya keputusannya itu, pihak penyokong tegar Anwar tidak lagi akan melihatnya sebagai "penghalang" mereka untuk berarak ke Putrajaya.

Ulasan GB

1. GB mengalu-alukan keputusan Datuk Zaid Ibrahim. Sebelum ini pun GB sudah meminta Zaid untuk berfikir bukan sahaja menarik diri atau melepaskan semua jawatannya di dalam parti, malah GB meminta beliau tinggalkan PKR. Petikan:


Seandainya pemimpin-pemimpin PKR tidak suka kepada Zaid, sepatutnya kemasukan Zaid dahulu tidak diterima atau tendang saja Zaid keluar daripada parti awal-awal lagi. Tidak perlu perburukkan beliau dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyerang beliau seperti "... kesetiaan Zaid diragui" dan seumpamanya.

Ingin saja saya menelefon Zaid sekarang ini, saya akan kata "Ok brother, ramai pemimpin PKR sudah tak suka anda, biarkan mereka, tinggalkan saja PKR kerana mereka tidak perlukan sumbangan kita lagi, mereka sudah ramai orang-orang lama era reformasi kononnya."


2) GB muak dan geli dengan perlakuan "hero-hero" palsu di dalam PKR, terutama Azmin dan sekalian YB-YB patung dari PKR yang berdiri di belakangnya. YB-YB yang sepatutnya bertindak berkecuali tetapi dihinggapi dengan sikap cenderung untuk memihak yang kelak mereka akan segera dikalahkan di dalam pilihanraya nanti.


Akibat daripada tidak adanya penghormatan terhadap demokrasi di dalam pemilihan, wujud YB-YB bebal yang terang-terang membuat kenyataan menyokong Azmin sebelum ini. Ini kerja bodoh, ini kerja pemimpin bermentaliti rendah, kerja pemimpin "captive mind" atau "bebalisma".


3) Anwar sebagai Ketua fe facto ternyata cuba untuk menjadi seorang diktator, gagal untuk berkecuali, gagal untuk menunjukkan ciri-ciri pemimpin adil dan bersih. Beberapa kenyataannya dilihat menghentam Zaid dan membela Azmin, satu perlakuan buruk untuk dicontohi dari seorang ketua. GB semalam menyatakan di SINI, petikan:


Memalukan sebagai pemimpin yang telah berpuluh tahun berada di pentas politik mengambil sikap yang tidak adil terhadap ahli-ahli parti sendiri. Berwibawakah tindakan sebegitu? Kerana sikap anda yang tidak berkecualilah maka wujud rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli. Bukan kecil bilangan mereka itu.


4) Pihak pimpinan tertinggi PKR ternyata jelas memejamkan matanya terhadap perbuatan salahlaku Azmin di dalam kempen-kempennya, tetapi mereka (terutama Anwar, Saifuddin dan Syed Husin) menyerang Zaid habis-habisan.

5) Apa yang berlaku kini, Saifuddin nampaknya lebih hebat dari sekalian yang ada di dalam PKR. Tanpa segan-silu beliau menunjukkan sikap "biased"nya walaupun sepatutnya beliau tidak boleh memainkan apa-apa peranan di dalam Pemilihan. Beliau terus-terusan membonekakan Presiden PKR dan Ketua JPP, Dr. Molly Cheah.

6) GB amat yakin dan percaya tindakan Zaid ini akan meruntuhkan sebahagian besar kesombongan dan keegoan PKR dimana penyokong-penyokong Zaid terutama dari kalangan yang berprinsip dan moderate di dalam PKR akan mengikut langkah Zaid tersebut, atau setidak-tidaknya tidak menjadikan mereka kerbau yang dicucuk hidungnya di dalam parti.


Angkara Penipuan BN Semasa Banjir 2005, Peniaga Serik Mohon Bantuan

Peniaga serik mohon bantuan kerana takut tertipu

Gambar: Seorang pekerja di Pusat Optik Jitra Optical Centre membersihkan premis itu yang dilanda banjir besar sejak 1 November lepas.

JITRA: Peniaga di Pekan Jitra 2 di sini, serik untuk mendaftarkan diri dalam senarai mangsa-mangsa terbabit banjir kerana pernah tertipu apabila mengalami pengalaman mengecewakan selepas banjir besar pada 2005.

Low Poh Wan, 47, berkata selepas terbabit banjir besar lima tahun lalu, peniaga-peniaga diminta membuat laporan serta mendaftarkan nama mereka bagi membolehkan bantuan kewangan disalurkan untuk meringankan bebanannya.

"Tunggu punya tunggu apa pun tak dapat, sekarang saya sudah malas lagi mahu mendaftar, tak guna daftar kalau kena tipu macam tu, tak dapat apa-apa pun," katanya ketika ditemui di premisnya di pekan Jitra 2, di sini hari ini.

Low, pemilik Wan Hantaran Enterprise, yang menjual pelbagai barangan seperti bunga hiasan, barangan jahitan serta barangan hantaran perkahwinan berkata, akibat dilanda banjir pada 2005 beliau kerugian lebih RM5,000 manakala pada kali ini kerugiannya dianggarkan lebih RM10,000.

Sementara itu, bagi pemilik Perniagaan Kain Lim K.K Sdn. Bhd., Lim Kheng Seng, beliau terpaksa melelong barangan yang terkena air banjir kerana ia tidak boleh lagi disimpan kerana akan rosak.

Lim berkata, beliau sudah mula melelong barangan seperti pakaian dan tekstil di premisnya sejak air surut kelmarin dengan harga serendah RM0.50 bagi setiap satu barang.

"Barang basah tak boleh simpan lama, kena jual semua sebab tu bagi harga murah-murah, ada tudung, tuala, baju, kain ela dan macam-macam jenis pakaian," katanya.

Lim berkata, ada juga barangan dalam kedainya yang rosak sepenuhnya dan tidak boleh dijual manakala anggaran kerugiannya adalah lebih RM30,000.

Pemilik Pusat Optik Jitra Optical Centre, Doreen Tan pula berkata, banyak barang seperti bingkai kaca mata rosak akibat terkena air berlumpur dan kedainya terpaksa ditutup lebih kurang seminggu lagi untuk kerja-kerja pembersihan.

Jitra merupakan salah satu pekan dalam daerah Kubang Pasu yang terjejas teruk akibat dilanda banjir Isnin lalu, yang juga bencana terburuk selepas banjir besar pada Disember 2005 yang mengakibatkan lebih 11,000 mangsa banjir dipindahkan. --Bernama