8 Apr 2011

Kastam Beri Amaran Kepada SPRM: Jangan Pukul Atau Jentik Pegawai Kami

Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung berharap anggotanya tidak akan "dipukul atau dijentik" ketika disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Ibrahim Ahmad berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden melibatkan seorang anggotanya, Ahmad Sarbani Mohamed, yang ditemui mati di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Rabu lalu.

"Kita minta (ketua pesuruhjaya) SPRM beri jaminan supaya pegawai yang disiasat tidak dipukul atau dijentik.

"Kita mahu (siasatan) ikut prosedur. Kita minta SPRM lebih profesional dan bertanggungjawab

Menjawab soalan, Ibrahim berkata, setakat ini belum ada laporan polis melibatkan anggota dikasari SPRM.

"Ini cuma kebimbangan kita. Kita tidak mahu (berlaku) paksaan dan kita tidak mahu (anggota kastam) dipukul.

"Kita tak pernah nak bersengketa dengan mana-mana agensi kerajaan. Kita hanya bekerja untuk memungut hasil negara," katanya lagi dalam satu sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya petang ini.

Kebimbangan itu turut diulas oleh presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam, Mohd Noor Yusoff yang menjelaskan bahawa belum ada sebarang aduan dibuat berhubung perkara itu.

"Kita tidak ada (terima aduan), cuma pegawai-pegawai kanan yang ditahan itu tahu hak mereka.

"Kalau ada kes-kes dipukul, dipaksa, diugut, itu diluar jangkaan.

"Kita mengharapkan SPRM menjalankan siasatan dengan adil kerana mereka ini belum dituduh, cuma membantu siasatan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta media supaya membetulkan laporan berhubung insiden melibatkan Allahyarham Ahmad Sarbani.

"Kita juga berharap nama Allahyarham dapat dibersihkan daripada perkataan 'membunuh diri.'

"Beliau sangat jujur. Kita ingin nama beliau dibersihkan," katanya lagi dalam sidang media itu.

Najib Dikecam Kerana Tidak Serius Dengan Kematian Sarbani

Kes Teoh, Sarbani adalah sama, kata MP Pakatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak silap ketika mendakwa tiada persamaan antara kematian Teoh Beng Hock dan penolong pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed, kata beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini.

Dengan menolak persamaan antara kedua-dua kes berkenaan, Najib sebenarnya cuba memperlihatkan ketidak-seriusan dalam kematian Ahmad Sarbani ketika dalam jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasiah Malaysia (SPRM).

"Najib adalah salah kerana ada persamaan dengan kematian Teoh Beng Hock. Kedua-dua mereka mati di bangunan kerajaan kettika dalam tahanan agensi pihak berkuasa,” kata ahli parlimen Klang, Charles Santiago.

Santiago dan tiga lagi ahli parlimen - MP Shah Alam Khalid Samad, MP Teluk Intan M Manogaran dan MP Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud hari berjumpa dengan pengarah SPRM Selangor Datuk Jaafar Maahad bagi melahirkan kebimbangan mereka berhubung keselamatan orang ramai kepada suruhanjaya itu.

50 polis

Keempat-empat ahli parlimen itu diiringi kira-kira 20 penyokong, bertemu Jaafar kira-kira 10 pagi tadi.

Khalid berkata pertemuan kira-kira 30 minit itu diadakan bagi mendapat penjelasan daripada SPRM berhubung beberapa perkara termasuk kes kematian Ahmad Sarbani pada Rabu lalu.

Beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diperolehi daripada Jaafar termasuk memberi jaminan bahawa SPRM negeri sentiasa memastikan semua pegawainya mematuhi prosedur siasatan yang ditetapkan.

"Dalam pertemuan ini, kami juga melahirkan kebimbangan orang ramai berhubung keselamatan saksi atau tertuduh dalam kes rasuah apabila dibawa ke premis SPRM," katanya ,

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa hampir 50 anggota polis dilihat mengawal dan menyekat laluan menuju ke Wisma PKPS di Shah Alam sejak 8.30 pagi tadi dipercayai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Rabu lalu, Penolong Pengarah cawangan Import Eksport dan Kawalan Sempadan KDRM Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

Allahyarham didakwa datang secara sukarela ke pejabat SPRM untuk berbincang sesuatu mengenai siasatan kes rasuah dengan pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut.

Ekoran kejadian itu, dua pegawai SPRM digantung tugas kerana ingkar perintah berhubung pengendalian saksi yang berkaitan dalam kes kematian berkenaan.



Video Seks Sebagai Bahan Bukti - Mufti Perlis Bantah

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berpendirian tegas rakaman video aksi seks, didedahkan bulan lalu oleh “Datuk T” yang didakwa melibatkan pemimpin politik kanan, tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mendakwa pelaku terbabit di mahkamah syariah.

Sehubungan itu kata beliau, pandangan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainol Rijal Abu Bakar kelmarin tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam.

“Apa yang dikatakan oleh Presiden PPMM tidak selari dengan Islam dan tidak betul langsung,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mufti Perlis berkata, pembuktian dalam rakaman video seks itu tidak boleh digunakan di mahkamah syariah melainkan tertuduh sendiri mengaku ataupun tuduhan dibuat dengan menghadirkan empat saksi “hidup, lelaki Islam yang bersifat adil dan mereka melihat jenayah itu berlaku.”

“Ia umpama cincin masuk jari,” kata Juanda merujuk kepada keperluan dan syarat membawa kes berkenaan ke mahkamah syariah.

Kata beliau, surah 24 al-Nur; ayat 4-5 adalah nas qat’ie atau muktamad yang tidak boleh dilanggar berkaitan dengan hukuman penuduh pelakuan zina yang mesti cukup empat saksi dan hukuman qazaf dikenakan ke atas penuduh yang tidak cukup “syarat empat saksi.”

“Ada pun gambar, klip yang samar-samar, tetapi tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah syariah,” katanya lagi sambil berkata, sebagaimana beratnya satu tuduhan, begitu juga soal pembuktian juga amat berat.”

Katanya, sebagaimana adanya elemen peruntukan “keraguan” yang boleh menentukan keputusan sesuatu kes, Islam juga menekankan soal kredibiliti saksi.

“Dalam undang-undang konvensional jika ada sedikit keraguan, ia akan ditolak. Jadi, dalam Islam juga soal pembuktikan dititikberatkan,” kata beliau lagi.

Katanya, kemungkinan rakaman video seks dan klip boleh digunakan di mahkamah konvensional tetapi bukan di mahkamah syariah.

Juanda berkata, kenyataan yang bercanggah berkenaan soal pembuktian di bawah undang-undang syariah boleh menyebabkan rakyat yang mula memahami kepentingan perundangan Islam terkeliru.

“Saya tidak sangka buruk dengan PPMM, tetapi sama ada laporan (media) tidak tepat atau disalah petik, saya tidak pasti tetapi jangan kita mengelirukan rakyat dengan memberi pandangan tidak tepat,” katanya lagi.

Dalam satu laporan akhbar tempatan, Zainol dipetik berkata, rakaman video aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mendakwa pelaku terbabit di mahkamah syariah.

Zainol berkata, ia dikategorikan sebagai bukti bayynah iaitu keterangan yang boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk antaranya dokumen, percakapan dan video.

Justeru kata beliau, klip video boleh dijadikan sebagai bahan bukti untuk mendakwa seseorang melakukan zina sekiranya pihak pendakwa tidak boleh membawa empat orang saksi lelaki.

Penolong Profesor Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zulfakar Ramlee juga dipetik berkata rakaman video aksi seks itu boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah syariah kerana sistem perundangan Islam di negara ini menggunakan hukum ta’zir.

Katanya, hukum itu meletakkan kuasa kepada pemerintah dalam menentukan hukuman kepada pesalah zina.

Menurut Zulfakar, hukum ta’zir hanya memerlukan tahap pembuktian yang rendah iaitu melampaui syubhah munasabah, berbeza dengan hukum hudud.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, rakaman video aksi seks itu boleh digunakan sebagai bahan bukti, tetapi ia harus mengikut prosedur iaitu hanya hakim, peguam serta pendakwa dibenarkan menontonnya. -TMI

Ulasan GB

Perbincangan di atas menarik.

Namun di dalam kes video seks yang diedarkan oleh Datuk T, bukan soal adegan seks itu saja yang perlu diteliti, tetapi "konspirasi"nya lebih utama untuk diselidiki.

Bagaimana ada orang ketiga yang mengatur rakaman yang dilihat ada di dalam video berkenaan?

Yang kedua ialah aspek teknikaliti.

Jika video seks hendak di terima sebagai bahan bukti, maka pembuktian bahawa video berkenaan adalah 100% tulen menjadi penting.

Di dalam video seks edaran Datuk T, hanya pihak polis (setakat ini dilihat tidak berkecuali di dalam siasatan mereka) yang menyatakan video itu asli. Tetapi tidak ada cross-examination dilakukan ke atas "pakar-pakar" yang menjadi rujukan polis untuk menentukan kesahihan video seks dan kesahihan kenyataan polis. Justeru di dalam keadaan sedemikian mengikut kaedah Islam tentulah ia tidak boleh diterima sebagai bahan bukti.


Kes Kematian Sarbani: Polis Beri Alasan Serupa Teoh, Mangsa Jatuh Bangunan

Kematian Ahmad Sarbani Selari Kesan Jatuh Bangunan

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan enam orang setakat ini dalam siasatan kes seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata mereka yang diambil keterangan termasuk dua pegawai SPRM yang digantung kerja berhubung kes tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini beliau berkata polis juga telah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan itu untuk dianalisa.

Mengenai bedah siasat atas jenazah pegawai kastam berkenaan, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, beliau berkata bedah siasat mendapati kesan kecederaan pada jenazah Allahyarham konsisten dengan kesan orang jatuh bangunan.

"Kini ujian makmal sedang dilakukan dan keputusannya akan diketahui dalam masa seminggu," katanya.

Kelmarin, mayat Ahmad Sarbani ditemui dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan SPRM Wilayah Persekutuan dengan kesan kecederaan di kepala.

Sebelum itu beliau datang ke pejabat SPRM itu pada kira-kira 8.30 pagi kerana hendak berjumpa pegawai penyiasat.

Selain itu, Zulkifli berkata polis kini sedang mengikuti beberapa petunjuk yang diperolehi bagi meneruskan proses siasat kes terbabit.

"Ada petunjuk tertentu yang kita sedang ikuti, tapi kita tak nak dedahkan sebab kita tak nak wujudkan kebimbangan yang keterlaluan... biarlah pihak polis menyiasat secara terperinci," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata polis memandang serius kes tersebut dan akan menjalankan siasatan daripada semua aspek.

"Dari hari pertama saya ada di tempat kejadian...ini menunjukkan betapa seriusnya kita memandang kes ini. Kita juga wujudkan pasukan penyiasat yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah untuk siasat kes ini.

"Kita akan siasat dari semua aspek dan buat masa ini saya berharap semua pihak bersabar dan saya tidak dapat mendedahkan semua sekali bagi mengelakkan sebarang spekulasi," kata Zulkifli. -BERNAMA


50 Anggota Polis Berkawal Di Hadapan Pejabat SPRM Selangor

Seorang lelaki ditahan polis kerana menyertai demo di depan pejabat SPRM

SHAH ALAM: Kira-kira 50 anggota polis berkawal dihadapan Wisma PKPS yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi mengelakkan demonstrasi berhubung kematian Penolong Pengarah Jabatan Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilihat memasuki pejabat SPRM Selangor pada pukul 10.10 pagi.

Beliau dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pegawai SPRM bermula pukul 10.40 pagi tadi.

Ahmad Sarbani dijumpai mati di tingkat satu berhampiran gelanggang badminton bangunan SPRM Jalan Cochrane Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Beliau adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada pukul 1 petang, 1 April lepas di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, namun beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

Bagaimanapun Ahmad Sarbani dikatakan hadir ke pejabat SPRM itu Rabu lalu untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya. -mstar


Ulasan GB

Konsisten dengan jatuh bangunan? Alasan yang serupa semasa insiden Teoh Beng Hock yang diberikan. Kemudian mereka akan panggil ahli patologi untuk menjustifikasikan kenyataan tersebut.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta rakyat agar jangan menyamakan kes Ahmad Sarbani dengan kes Teoh tetapi pada hari ini polis sendiri menggunakan alasan yang sama untuk kematiannya.

Polis perlu buktikan samada ianya dilakukan oleh mangsa sendiri atau dilakukan oleh orang lain. Polis perlu mendedahkan CCTV sebagai bukti.

Tiada alasan lagi untuk tidak mempunyai rakaman CCTV kali ini. Rakyat tidak akan dapat menerima alasan sedemikian lagi kerana cukup dengan kematian Teoh yang CCTV gagal untuk merakam keseluruhan insiden (atau telah dipadamkan?)



Nazri Sudah Akui Pakatan Rakyat Bakal Ganti BN Perintah Negara

Video seks: PM harus lulus ujian RCI juga

Hari ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz adijadual mengusulkan kepada Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah Datuk T.

Alasan yang diberi Nazri ialah Anwar mungkin menjadi Perdana Menteri Malaysia dan justeru, harus “lulus” penelitian Suruhanjaya Diraja bersabit video itu.

Nazri juga memberi kenyataan bahawa isteri Anwar Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak layak memutuskan individu dalam video itu yang mempunyai susuk badan (perut boroi dan dada luas) berlainan dengan Anwar.

Perakuan seorang isteri lebih 50 tahun dan presiden sebuah parti politik diketepikan begitu sahaja oleh Nazri!

Namun biarlah rakyat, khususnya kaum wanita menjawab Nazri atas perkara itu.

Yang lebih penting ialah cubaan Nazri meletakkan “syarat” Anwar mesti lulus ujian Suruhanjaya Diraja (RCI) sebelum boleh diangkat menjadi Perdana Menteri.

Secara tiba-tiba Nazri dan juak-juak dalam Umno mengiktiraf kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri. Atau, adakah ia semata-mata untuk menghalalkan penubuhan RCI?

Yang bersih

Jika RCI menjadi ukuran untuk memastikan hanya mereka yang “bersih” menjadi pemimpin - kenapa tidak ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untk menyiasat Datuk Seri Najib Razak yang beberapa pegawai kanannya terbabit dengan pembunuhan ngeri model warga Mongolia Altantuya Sharibuu.

Najib - dahulu dan sekarang dibelit dengan tuduhan beliau ada kaitan dengan skandal Altantuya. Belum lambat untuk menubuhkan suruhanjaya itu bagi memastikan tuduhan dan dakwaan berkenaan Altantuya tidak lekat selama-lamanya.

Umum tahu pembunuhan Altantuya pada tahun 2006 melibatkan penasihat Najib - Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis yang menerima arahan daripada pegawai kanan di pejabat Najib.

Umum juga tahu Altantuya dan Razak dibelit dengan isu pembayaran komisyen hampir RM500 juta untuk pembelian kapal selam yang diluluskan oleh Najib ketika beliau Menteri Pertahanan.

Dan umum juga tahu pada tahun lalu, pihak berkuasa Peranchis sendiri memulakan siasatan bersabit pembayaran komisyen kapal selam itu kerana ia membabitkan syarikat perkapalan negara itu.

Apakah ini semua tidak melibatkan kepentingan nasional yang sepatutnya membawa kepada sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu komisyen kapal selam, Altantuya dan hubung kait dengan Najib selaku Menteri Pertahanan ketika itu?

Sepatutnya sebelum melangkah masuk pejabat Perdana Menteri, Najib menawarkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memperakui beliau sebenarnya bersih-sebersihnya.

Hukuman gantung

Namun tidak. Dua anggota polis yang tidak pun mengenali Altantuya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana kesalahan mengebom Altantuya manakala Razak Baginda pula dibebaskan.

Dua minggu lalu, Najib dengan gah menawarkan DNAnya dalam cubaan menyindir Anwar bersabit tuduhan fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang itu.

Sayang, Perdana Menteri hanya membuat tawaran itu setelah perbicaraan Altantuya berakhir dan Najib selesa menduduki taktha pemimpin utama negara.

Sepatutnya Nazri menjawab soalan mudah ini – kenapa standard yang dikenakan terhadap Anwar, itupun bersabit video lucah, dikecualikan terhadap Najib dalam kes yang membabitkan pembunuhan seorang warga asing dan duit rakyat berjuta-juta ringgit.

Kenyataan Nazri yang mahu RCI ditubuhkan adalah berbaur politik dan dipinjam daripada agenda Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shayzl Eskay dan Datuk Shuib Lazim ketika mereka menayangkan video lucah itu kepada wartawan terpilih pada 21 Mei lalu.

Sekali gus pengumuman Nazri mengesahkan usul penubuhan RCI adalah satu lagi taktik terdesak Umno untuk memanjangkan fitnah video seks ke atas Anwar.

Bukan mencari kebenaran

Ia bukan mengenai mencari kebenaran kerana jika itulah yang dicari, maka polis sudah tentu menangkap Datuk T dan mendedahkan sama ada pelaku dalam rakaman 21 minit itu adalah Ketua Pembangkang atau sebaliknya.

Namun ini tidak berlaku. Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hanya mengesahkan video itu adalah tulen dan siasatan 95 peratus siap untuk diserahkan kepada Peguam Negara.

Hanya Ismail dapat menjawab keperluan untuk beliau memberi kenyataan sebegitu, malah kenapa beliau perlu memberi sebarang kenyataan jika siasatan belum dimuktamadkan.

Mungkin kerana yakin orang ramai akan mencurigai hasil siasatan polis, maka wujud tekanan baru ke atas Umno untuk menubuhkan RCI.

Namun apabila Jemaah Menteri bermesyuarat hari ini untuk menimbangkan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video seks itu, mereka harus bertafakur seketika untuk memperingati mendiang Altantuya Sharibuu yang tidak mendapat pembelaan sedemikian.

Ulasan GB

Kenyataan Nazri bahawa "Anwar mungkin menjadi Perdana Menteri Malaysia dan justeru, harus “lulus” penelitian Suruhanjaya Diraja bersabit video itu" adalah pengiktirafan bahawa kemungkinan Pakatan Rakyat akan menawan Putrajawa menerajui kerajaan dan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Nazri tidak perasan hal itu, tetapi ia lahir dari mulutnya sendiri.

Kerana zahirnya Nazri yang bercakap, hakikatnya ialah.... Tuhan yang melaksanakan segala perancanganNya.

GB katakan, benar Nazri, rakyat menunggu saat dan ketika, giliran untuk Pakatan Rakyat menjadi pemerintah negara.

Suka atau tidak suka, ia pasti berlaku, samada PRU13 atau PRU14.


Kenyataan Yang Tidak Bertanggungjawab Di Hari Pengkebumian Ahmad Sarbani


SPRM digesa kekal sifat tegas, berani jalan tugas

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya terus mengekalkan sifat tegas, berani dan tidak bertolak ansur terhadap suspek serta penjenayah rasuah bagi mengelak negara hancur disebabkan gejala itu.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, berkata ketegasan SPRM menangani jenayah rasuah sudah mula menunjukkan kesan positif kerana ia memberi tekanan jiwa yang hebat terhadap penjenayah rasuah sehingga ada sanggup membunuh diri.

“Apabila suspek jenayah rasuah sanggup membunuh diri berbanding menghadapi tindakan di mahkamah, ia menunjukkan usaha dan kerja SPRM selama ini sudah mula menunjukkan kesannya.

“Ini juga menunjukkan SPRM tidak boleh dibeli oleh penjenayah rasuah. Ini adalah satu transformasi kerajaan yang boleh dilihat keberkesanannya,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Ahmad, 56, penolong pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM pada 1 April lalu di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebelum mayatnya ditemui di gelanggang badminton di tingkat satu. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. -BH

Ulasan GB

Tiada yang lebih biadab daripada berita di atas. Tiada yang lebih biadab daripada kenyataan dari seorang pemimpin NGO seperti di atas.

Ia dikeluarkan sewaktu jenazah Allahyarham sedang disemadikan semalam.

Mengaitkan berita kematian Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane (sehingga ini belum diketahui punca sebenar kematian) dengan membunuh diri adalah satu tindakan keterlaluan lagi tidak bertanggungjawab.

Ia tidak memberikan kesan positif kepada usaha memperbaiki mutu perkhidmatan SPRM tetapi sebaliknya akan menyebabkan negara akan terus berdepan dengan kes-kes yang tidak diingini berlaku.

Kredibiliti dan integriti pasukan SPRM sudah tercemar dan usaha berdalih untuk mewangikannya dengan membuat kenyataan yang bodoh lagi mereng meminta SPRM supaya terus mengekalkan sifat tegas, berani dan tidak bertolak ansur.

Memang kita tidak bertolak-ansur dengan apa bentuk jenayah, kolar biru atau kolar putih, tetapi sesuatu siasatan sehingga menyebabkan kematian itu sendiri sudah merupakan satu jenayah.

Seluruh rakyat negara ini akan bangun menentang apa juga bentuk kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat.

Tubuh segera Suruhanjaya Siasatan untuk kes ini, jika berani dan jika ada kejujuran mendedahkan kebenaran!


Gangsterism Di Sekolah Menjadi-jadi, 20 Pelajar Belasah Seorang

Kuala Terengganu: Biadab apabila sekumpulan 20 pelajar dari sekolah di Marang bertindak seperti mafia kerana sanggup menempuh perjalanan sejauh dua kilometer untuk menceroboh sekolah agama lain semata-mata bagi membelasah pelajar sekolah berkenaan, pagi semalam.

Mangsa, Wan Nur Azri Wan Mohammad (gambar), 17, dari Kampung Bukit Surau Haji Daud, Marang, cedera di muka, dahi dan belakang badan akibat dibelasah kumpulan pelajar terbabit.

Ibu mangsa, Zalina Mamat, 45, yang ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kecewa dengan tindakan ganas kumpulan pelajar itu.

“Saya menerima panggilan telefon daripada anak meminta saya dan suami datang ke sekolah segera sebelum talian putus kira-kira jam 11.15 pagi tadi (semalam).

“Saya menghubungi semula nombor berkenaan dan rakannya menjawab panggilan itu memberitahu anak saya dipukul sekumpulan pelajar,” katanya.

Tanpa berlengah dia yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan bergegas ke sekolah berkenaan dan setibanya di sekolah, rakan anaknya memberitahu guru sudah membawa anaknya ke HSNZ untuk rawatan.

Menurutnya, menerusi perbualan dengan rakan anaknya yang menyaksikan kejadian itu, seorang daripada kumpulan pelajar yang menceroboh masuk itu datang ke kelas dan memanggil anaknya sebelum berjabat tangan tetapi kemudian mengheretnya keluar dari kelas.

“Melihat keadaan agak pelik kerana kumpulan pelajar terbabit menarik anak saya, rakannya yang lain turut mengikut ke mana dia dibawa mereka.

“Selepas melihat anak saya dibelasah, rakannya memaklumkan kepada guru dan tindakan pantas mereka mengelak keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Bapa mangsa, Wan Mohammad Wan Yusof, 47, berkata dia tidak tahu punca yang menyebabkan anak kedua daripada empat beradik yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini dibelasah kumpulan pelajar berkenaan.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat kira-kira jam 1 petang semalam di Balai Polis Bukit Payong Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan masih menjalankan siasatan.

Menurutnya, berikutan kecederaan dialami mangsa, polis menunggu masa sesuai untuk mengambil keterangannya.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud, ketika dihubungi berkata pihak sekolah sudah membuat laporan polis mengenai kejadian membabitkan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah agama di Marang itu.

Menurutnya, pihaknya memandang serius kejadian pelajar menceroboh sekolah lain dan memukul pelajar di sekolah berkenaan.

“Tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan kejadian itu selesai,” katanya.



Gengster budak sekolah

KUALA TERENGGANU - Perasaan mahu membalas dendam yang membuak-buak mendorong sekumpulan lebih 20 pelajar sebuah sekolah menengah agama dekat sini menyerbu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang untuk memukul seorang pelajar tingkatan lima.

Serangan ala gengster pada pukul 11 pagi itu berlaku apabila kesemua pelajar terbabit menceroboh sekolah mangsa lalu pergi ke kelas Wan Nur Azri Wan Mohamad, 17, selepas waktu rehat sebelum membelasahnya di belakang bangunan makmal.

Difahamkan, kumpulan pelajar tersebut datang ke sekolah berkenaan dengan menaiki kenderaan dari sekolah mereka yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi Wan Nur Azri apabila kesemua suspek bertempiaran melarikan diri selepas perkara itu dimaklumkan kepada guru SMKA Durian Guling.

Ibu mangsa, Zalina Mamat, 45, memberitahu, dia dan suaminya bergegas ke sekolah sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya. - kosmo


Ulasan GB

Siapa Menteri Pelajaran Malaysia?

Bangunan sekolah runtuh, Interlok gagal, disiplin pelajar tak terkawal... banyak kes.


Biarkan Rakyat Tangkap Datuk T

Biarkan rakyat tangkap Datuk T, seru Pemuda PAS

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak pihak polis agar trio ‘Datuk T’ yang menjadi dalang penyiaran video lucah mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap segera jika tidak mahu rakyat membuat keputusan sendiri.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kayat (gambar) berkata tindakan polis menangani kes ini dipersoalkan sehingga video yang sepatutnya berada dalam siasatan polis dibocorkan dan tersebar dibeberapa laman blog termasuk YouTube oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Malah, pihaknya turut melahirkan kebimbangan kebocoran maklumat siasatan video itu akan mengundang masalah lain yang lebih besar sekiranya ketiga-tiga individu tersebut tidak ditangkap dan didakwa di mahkamah walaupun beberapa laporan polis dikemukakan terhadap ‘Datuk T’.

“Jika polis tidak bertindak segera kepada ketiga-tiga individu ini dan membiarkan beberapa laman blog menyiarkan video lucah ini maka mungkin rakyat akan membuat tangkapan awam dan menyerahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Suhaizan berkata, situasi ini tidak mustahil memandangkan perkara yang hampir sama pernah terjadi apabila tangkapan awam dilakukan terhadap penyogok calon PAS DUN Pasir Raja di Johor semasa pilihan raya umum tahun 2004.

“Tangkapan itu telah berjaya membawa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu,” katanya.

‘Datuk T’ yang terdiri daripada Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik , ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendaharin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Shuib Lazim mengaku menayangkan video lucah kepada media di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Anwar menafikan beliau dalam video tersebut dan telah membuat laporan polis. Walaupun kes ini masih dalam siasatan polis serta barang bukti termasuk video seks dan seutas jam Omega dikatakan milik Anwar diserahkan Shazryl Eskay menjadi bahan bukti, namun sedutan rakaman video seks itu mula tersiar menerusi laman video YouTube petang Isnin lalu.

Klip video selama 1 minit 47 saat itu yang diberi tajuk “VTS 01 1″, dimuat naik oleh pengguna Youtube dengan nama “thepowercam” itu kemudiannya dijadikan pautan dalam beberapa laman blog serta dijadikan sebagai tajuk utama muka hadapan beberapa akhbar arus perdana keesokan harinya.

Namun polis menafikan bertanggungjawab terhadap kebocoran bahan bukti serta penyebaran klip video itu. -FMT


Orang ramai boleh tahan ‘Datuk T’

Beliau mendakwa ketua polis gagal menjalankan tanggungjawab menahan Datuk Syazril Eskay Abdullah, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Datuk Shuib Lazim

KUALA LUMPUR: Jika Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar gagal menahan ‘Datuk T’ yang didakwa bertanggungjawab menayangkan video seks yang didakwa Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang ramai berhak berbuat demikian.

“Jika beliau gagal berbuat demikian, orang ramai berhak menahan `Datuk T’,” kata Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam sidang akhbar di rumah Anwar hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mendakwa ketua polis gagal menjalankan tanggungjawab menahan ahli perniagaan Datuk Syazril Eskay Abdulalh, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim yang dikenali sebagai Datuk T.

Bagaimanapun, Karpal yang juga seorang peguam berkata, beliau belum menonton video terbabit.

“Apabila seseorang terlibat dalam jenayah maka orang ramai ada hak untuk menahan individu tersebut.

“Dalam hal video seks ini orang ramai boleh menahan Datuk T….tapi ianya lebih baik dilakukan oleh pihak polis,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Syazril Eskay dan Abdul Rahim menyerahkan pita video seks dan jam tangan Omega kepada polis.

Mereka mengaku bertanggungjawab menjemput wakil media menonton klip video seks tersebut.

Anwar membuat laporan polis berhubung video itu dan pasukan keselamatan itu telah mengambil keterangan dari ketiga-tiga individu berkenaan.

Menurut Karpal dalam undang-undang tidak bertulis, individu yang terlibat dengan jenayah boleh ditahan tanpa waran.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut hadir dalam sidang media tersebut berkata kerajaan negeri akan memantau keadaan dan jika perlu tindakan undang-undang akan diambil.

“Kerajaan negeri akan pantau keadaan dan jika perlu kita akan ambil tindakan agar mereka yang terlibat menyebarkan video itu dibawa ke penghakiman,” katanya.

Pada Ahad lalu, klip video seks itu selama 1 minit 47 saat telah dimuat naik ke laman web Youtube, dan semalam di laman sosial Facebook.

Namun satu notis dikeluarkan oleh pihak Youtube pada 11.35 malam semalam berhubung pengeluaran video itu dari laman web itu dengan menyatakan ‘ia melanggar polisi berhubung kandungan video yang mempunyai aksi seksual’.

Sementara itu, Ismail menafikan klip video berkenaan dibocorkan oleh pihak polis.


Ulasan GB

Benar. Jika polis berdolak-dalik untuk menahan Datuk T, maka mereka sepatutnya tidak boleh menghalang untuk rakyat melakukannya di bawah public arrest.

Terlalu memalukan jika pihak polis dilihat oleh rakyat bersekongkol dengan pihak konspirator video seks ini apabila pihak polis sehingga hari ini tidak/belum lagi menahan ketiga-tiga Datuk T yang telah JELAS melakukan kesalahan.

Rakyat begitu hampa dan kecewa kerana polis tidak menjalankan amanah dan tangungjawabnya secara adil dan berkecuali.


WASPADA: Air Zamzam Tiruan Pula Di Pasaran

Peniaga campur air bukit, telaga

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan memang ada air zam-zam yang dijual di negara ini dicampur dengan air telaga dan air bukit.

Menurutnya, tindakan yang tidak bertanggungjawab itu dijalankan oleh pihak-pihak swasta yang mengambil air galian daripada sebuah telaga di Pahang dan air bukit di Hulu Yam, Selangor.

"Saya difahamkan, ada kelompok-kelompok individu yang menjual dan mencampurnya dengan air zam-zam ini. Dalam konteks ini, cukup payah untuk mengenal pasti sebab ia air. Sama warna iaitu putih.

"Sekarang bukan sahaja air zam-zam palsu malah telur pun ada yang tiruan di mana sepatutnya telur ini datang daripada binatang yang bertelur," katanya di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai kebimbangan orang ramai kemungkinan terdapat penjualan air zam-zam tiruan ekoran ia semakin banyak di pasaran pada masa ini.

Menurut Jamil Khir lagi, kajian saintifik mendapati, air galian memang ada persamaan dengan air zam-zam tetapi bimbang persamaan itu digunakan untuk menipu pengguna. -kosmo



Air zam zam dicampur air kosong

Air zam-zam merupakan antara buah tangan istimewa yang sering dibawa pulang oleh jemaah haji sekembali daripada mengerjakan ibadah haji atau umrah di Mekah namun minuman itu semakin mudah diperoleh di Pulau Pinang sejak lima tahun lalu.

Air itu mudah didapati ekoran terdapat sebuah syarikat dikatakan telah diberi kebenaran untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai dan ia dijual beberapa peniaga seperti di bazar Jalan Penang, Lorong Kulit, Pasar Tun Sardon, Bayan Baru dan Bayan Lepas.

Bagaiamanapun, sejak kebelakangan ini timbul kebimbangan di kalangan orang ramai kemungkinan ada pihak menjual air zam zam tiruan iaitu yang dicampur dengan air kosong.

Terdapat banyak keraguan yang timbul apabila minuman tersebut diisi di dalam botol lut sinar bersaiz 250 mililiter tanpa tanda perniagaan, sebaliknya hanya menggunakan kertas kosong yang dicetak dengan dakwat komputer.

“Malah, jika diminum, air zam zam tersebut tidak mengeluarkan sebarang rasa berbanding yang asli akan berasa payau,” kata seorang pembeli, Zuraini Khadijah Abidin, 38.



Air Zam-Zam Tiruan

“AIR yang dikatakan air zam-zam itu dijual tanpa sebarang fakta pada botolnya. Yang ada hanyalah tulisan Air Zam-Zam berserta gambar Kaabah sahaja. Boleh percaya ke?” tanya seorang pengguna kepada BACARIA. Justeru, berdasarkan aduan pengguna ini terhadap penjualan air zam-zam yang meragukan, dijual semakin berleluasa dan kini boleh didapati dengan mudah, wartawan BACARIA, IZRA ABD RAHMAN DAN NOOR AZIANTY NORMAN telah membuat siasatan mengenai isu air zam-zam ini. Tulen atau tiruan? Turut menjadi persoalan adalah bolehkah air zam-zam ini dijual?

Pengguna keliru asli atau tiruan Air Zam-Zam pelbagai jenama

SHAH ALAM: Dahulu peluang minum air zam-zam hanya ada apabila saudaramara atau rakan taulan yang dijemput menjadi ‘tetamu’ Allah di Mekah membawanya pulang ke tanah air.

Namun kini, peluang untuk minum air paling berkhasiat di dunia ini semakin terbuka luas untuk sesiapa sahaja kerana ia boleh didapati dengan begitu mudah sekali.

Perkembangan ini mungkin menggembirakan mereka yang terdesak untuk mendapatkan air zam-zam ini untuk tujuan tertentu walaupun ada antaranya dijual dengan harga yang tak keterlaluan dikatakan sebagai ‘cekik darah’.

Namun, tak kurang juga pengguna yang merasa was-was akan keaslian, kesucian dan kebersihan air yang sememangnya suci ini memandangkan semakin banyak pihak yang berani meraih keuntungan dengan menjual air yang tinggi kandungan mineralnya ini.

BACARIA turut menerima beberapa aduan berhubung isu ini. Selepas tinjauan dibuat, memang jelas menunjukkan banyak air zamzam yang dijual dalam botol pelbagai bentuk dan saiz di premis tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Melihat air suci ini dijual begitu berleluasa di merata-rata tempat, maka ramailah yang terfikir apakah air zam-zam ini begitu mudah dibawa keluar dari Tanah Suci Mekah sehingga ia boleh diperdagangkan sesuka hati di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.

Malahan, sesetengah air zam-zam yang dijual terus meninggalkan misteri dan tanda tanya terutama bagi masyarakat Islam yang begitu teliti dan sensitif terhadap isu kepenggunaan dan keagamaan.

Lebih menimbulkan tanda tanya, apabila ada pengedar yang tergamak menjualnya pada harga yang amat tinggi sedangkan kuantitinya amat sedikit. Cara pembungkusannya pula terlalu ringkas, hanya tertera tulisan ‘Air Zam-Zam’ sambil dihiasi gambar Kaabah, itu pun cuma tinggal bumbungnya sahaja kerana gambarnya telah dipotong separuh.

Tidak tertera asal-usul dan ramuan air zam-zam pada botolnya, sudah tentu boleh dimaafkan kerana masyarakat Islam di seluruh dunia tahu bahawa ianya air mukjizat dari Allah untuk umat- Nya di seluruh dunia yang diberikan secara percuma.

Namun, jika nama syarikat dan alamat syarikat pengedar langsung tidak dicetak pada label dibotolnya, adakah ia dapat dimaafkan? Siapa dan pihak mana yang bertanggung jawab terhadap air yang diisytiharkan sebagai air zam-zam ini?

Hal inilah yang membuatkan timbul syak di hati pengguna, adakah air yang dilabelkan sebagai air zam-zam itu benar-benar air suci yang dibawa dari Tanah Suci Mekah? Jika benar, mengapa disembunyikan nama syarikat yang mengedarnya? Mungkin juga air yang kononnya dikatakan air zam-zam itu hanyalah air paip atau air mineral biasa kerana pengguna hanya dapat merasa dan memastikan ianya benar air zam-zam hanya selepas mereka membeli dan membayarnya.

Dan yang paling ditakuti sekali jika ada pihak tidak bertanggung jawab mempunyai muslihat tertentu.


Ulasan GB

Terkebil-kebil masing-masing membaca hal-hal barangan tiruan sehingga bahan makanan pun banyak yang tiruan.

Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam!

Jadilah rakyat dan pengguna yang bijak dan berilmu supaya tidak mudah terpedaya dan tertipu. Banyakkan membaca... membaca buku dan membaca alam....

[Bergambar] Beratus-ratus Telur Tiruan Dirampas

Telur ayam di Pasar Pulau Tikus dirampas

GEORGETOWN: Sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini merampas 270 biji telur ayam di tiga gerai di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini.

Pemeriksaan pada 10.30 pagi itu dibuat berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam mengenai telur ayam tiruan selepas aduan seorang pembeli yang dipercayai membeli telur itu.

"Kami merampas 90 biji telur ayam dari setiap gerai untuk dihantar ke makmal bagi menjalani ujian untuk menentukan kesahihan telur itu sama ada ia telur sebenar atau tiruan," kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK M Gunaselan.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata telur ayam yang dirampas itu dijual dengan harga 35 sen hingga 38 sen sebiji di pasaran tempatan.

Gunaselan berkata, pihak penguatkuasa akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, seorang peniaga Lim Siew Eng, 85, berkata dia terkejut dengan dakwaan berkenaan sehingga pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan di gerainya pagi ini.

"Saya sudah 50 tahun menjual telur ayam di sini dan hingga kini tidak pernah menerima aduan atau rungutan daripada pelanggan... ini kali pertama gerai saya diperiksa.

"Sejak berniaga di sini, saya langsung tidak tahu mengenai hal ini kerana saya mendapat bekalan telur ayam daripada seorang pembekal di Pasar Jalan Anson di sini. Saya tidak pernah mendapatkan bekalan dari tempat lain," katanya.

Semalam, CAP menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur ayam yang didakwa tiruan pada harga RM11 di pasar itu. Telur tiruan itu dikatakan mempunyai saiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar. - BERNAMA


Telur Tiruan Diuji

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sudah menghantar contoh telur yang dipercayai tiruan yang diperoleh dari dua penjual telur di pasar Pulau Tikus, untuk ujian makmal di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Ku Nafishah Ku Ariffin, berkata contoh telur itu dihantar ke makmal di Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi.

"Kami akan menguji contoh telur itu dan hasil ujian dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama beliau berhadapan dengan kes telur tiruan sepanjang 22 tahun bekerja di jabatan itu.

Mengikut Peraturan Makanan 1985, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penjual dan pengeluar telur jika telur itu disahkan tidak tulen.

"Kita perlu menunggu keputusan ujian itu sebelum menentukan tindakan selanjutnya yang boleh diambil," katanya.

Sementara itu, Prof Abd Karim Alias dari Fakulti Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia, berkata beliau telah mendengar kes seumpama itu beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, semua perkara perlu diuji untuk menentukan sama ada telur tiruan itu boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Semalam, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata beliau menerima aduan daripada seorang suri rumah yang membawa telur berkenaan ke pejabatnya selepas mendapati sesuatu yang mencurigakan ketika cuba memasaknya.

Siasatan yang dijalankan oleh persatuan itu mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan. - BERNAMA






Ulasan GB

Rupa-rupanya dah lama ia berada di pasaran. Kerana rupanya di luar dan di dalam adalah serupa dengan telur asli, ramai yang terpedaya dan tertipu.

Kisah ini memang menggemparkan. Dan terima kasih kepada CAP yang mengenengah isu ini di negara kita.



Pergimu Akan Tetap Dibela

Rakan sekerja Sarbani syak berlaku unsur khianat

Beberapa orang rakan Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui hari ini mengesyaki berlakunya unsur khianat dalam kes kematian pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu.

Salah seorang rakannya sekerja Allahyarham, yang enggan dinamakan, berkata Ahmad Sarbani berdepan dengan tuduhan menerima rasuah.

Namun, beliau menjelaskan bahawa Allahyarham merupakan pegawai yang "paling bersih" dan paling disukai di kalangan kakitangan beliau di pejabat JKDM Selangor itu.

Katanya, kakitangan berkenaan mengetahui siapakah yang sebenarnya menerima rasuah dan Allahyarham setentunya tidak berbuat demikian.

Sumber berkenaan turut mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaksa Allahyarham supaya mengakui dakwaan berkenaan.

SPRM turut mengugut untuk memenjarakan pegawai kastam berkenaan sekiranya tidak mengakui dakwaan tersebut, dakwa sumber itu lagi. -mk


Ibu pengsan bila lihat jenazah Ahmad Sarbani


Ketibaan jenazah Ahmad Sarbani Mohamed petang ini disambut dengan perasaan sayu dan hiba oleh kira-kira 400 orang yang memenuhi Surau Ar-Rahman, Kelana Jaya untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Ada di kalangan mereka yang mengalirkan air mata, malah wanita yang dikenalpasti sebagai ibu kepada Allahyarham turut pengsan untuk beberapa ketika apabila melihat wajah Ahmad Sarbani.

Jenazah yang telah dikafankan itu dibawa daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan tiba dengan kenderaan jenazah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada kira-kira jam 5.10 petang ini.

Sebaik tiba, jenazah Allahyarham diletakkan di hadapan mimbar surau berkenaan dan wajahnya dibuka untuk ditatap buat kali terakhir.

Jenazah itu kemudiannya disembahyangkan oleh jemaah yang turut mengadakan majis tahlil dan bacaan surah Yassin serta solat hajat sebelum itu.

Jenazah berkenaan kini dibawa ke tanah perkuburan Islam di Kota Damansara dan semalam disemadikan pada kira-kira jam 6.30 petang.

Difahamkan, satu bedah siasat juga telah dijalankan ke atas jenazah Allahyarham di HUKM dan satu analisis juga dibuat ke atas keputusan bedah siasat berkenaan.

Jenazah Allahyarham telah dimandi, dikafan dan turut disembahyangkan di HUKM.

Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi semalam.

Ahmad Sarbani yang merupakan pembantu pengarah di pejabat JKDM Selangor berada di pejabat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Terdahulu, imam bagi solat hajat yang dijalankan sebelum itu mengumumkan bahawa solat sunat berkenaan bertujuan untuk mendapatkan petunjuk Allah bagi menyerlahkan kebenaran dan menyelesaikan kes berkenaan.

Malaysiakini turut menemui beberapa orang rakan Allahyarham ketika kunjungan di kediaman Allahyarham di Kelana Jaya.

Ada di antara mereka yang datang dari Kampung Lambor Kanan, Parit, Perak, untuk menziarahi keluarga Allahyarham.

Ada juga di kalangan mereka yang menyatakan rasa terkejut dan tidak percaya bahawa kawan sekampung mereka itu telah meninggal dunia.

Salah seorang daripada mereka berkata Ahmad Sarbani adalah seorang rakan yang baik dan tidak pernah meninggalkan solat.

"Kami boleh cakap mengenai peribadinya sahaja. Mengenai kes ini, kami tak tahu," sampuk seorang rakannya yang lain.

Sementara itu, seorang guru agama kepada anak bongsu Allahyarham turut menyatakan rasa sedihnya atas pemergian Ahmad Sarbani.

Said Mahmud berkata beliau juga seperti tidak percaya bahawa pegawai kastam itu telah meninggal dunia.



Suaram: Kematian Sarbani desak Putrajaya segera tubuh IPCC


KUALA LUMPUR, 7 April – Kematian kedua individu disiasat SPRM semalam mendesak keperluan rakyat agar menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC), kata Suaram hari ini.

Pagi semalam, Ahmad Sarbani Mohamed iaitu penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

“Kematian terbaru di SPRM adalah titik tolak terakhir. Rakyat Malaysia mesti menuntut dengan segera penubuhan IPCC,” kata penyelaras Suaram Dr Kua Kia Soong dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kua, beberapa pertubuhan bukan kerajaan meminta agar pihak berkuasa menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan, tetapi tidak harus dilupakan bahawa syor agar diadakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sebenarnya datang daripada Suruhanjaya Diraja Polis pada 2004.

“Ia sepatutnya telah ditubuhkan pada 2006,” kata Kua lagi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini tiada iltizam politik untuk melaksanakan syor Suruhanjaya Diraja Polis itu.

Tambah beliau, kerajaan telah mengetepikan kehendak rakyat dan juga telah membazirkan wang pembayar cukai bagi perjalanan suruhanjaya tersebut.


“IPCC proaktif dalam menyiasat aduan-aduan terhadap polis dan juga agensi-agensi penguat kuasa selain (kes-kes) kematian yang wujud.

“Mereka juga menyiasat apa jua elemen rasuah yang disyaki dalam pasukan polis dan agensi-agensi penguat kuasa meskipun mereka tidak menerima sebarang aduan,” kata Kua yang turut menggariskan kes-kes kematian tahanan yang disoal siasat polis.

“Biar saya memperingatkan rakyat, selain dua kematian di SPRM, kematian semasa dalam tahanan polis, ditembak polis, kematian di kem tahanan juga telah dipantau oleh Suaram sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi.

Pada 2000, menurut maklumat, tujuh orang mati dalam tahanan polis manakala 33 ditembak mati, 2001 (16 dan 14), 2002 (15 dan 54), 2003 (23 dan 27); 2004 (19 dan 23), 2005 (14 dan 12), 2006 (14 dan 27), 2007 (11 dan 9), 2008 (13 dan 44) dan 2009 (tujuh dan 88).

Selain itu katanya, pada Mac 2007 kerajaan mengumumkan bahawa ada 95 kematian di pusat tahanan Simpang Rengam dari 2000 hingga 2007.

“Pada April 1999, kerajaan mendedahkan ada sebanyak 635 kematian kerana ditembak polis dalam tempoh 10 tahun kebelakangan,”
katanya.

“Selain SPRM, juga ada insiden-insiden tidak diingini dan menyeksa termasuk angkatan tentera (dalam kes enjin jet hilang), tindakan Suruhanjaya Sekuriti ke atas wartawan dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Justeru kata beliau, hanya IPCC yang boleh menyelesaikan isu salah guna kuasa oleh polis dan mana-mana agensi penguat kuasa.

“Di bawah sistem semasa, mahkamah koroner mempunyai keberkesanan terhad disebabkan kualiti hasil siasatan dan bukti yang diketengahkan,” katanya lagi.

Kata Kua, sekiranya kerajaan tiada kekuatan politik untuk menangani masalah semasa ini bagaimana pihak berkenaan boleh bercakap mengenai transformasi.

Kua melahirkan pandangan ini ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan di Sarawak bahawa pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.

Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.

Menurut SPRM, Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan pagi semalam tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.

Bagaimanapun rakan-rakannya dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung sangsi Ahmad Sarbani pergi ke pejabat SPRM tanpa dipanggil.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai Kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B dijalankan SPRM sejak awal minggu lalu.

Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Dalam satu kenyataan awal petang ini, SPRM berkata ia telah menahan kerja dua pegawainya ekoran insiden kematian pegawai Kastam di premis pejabat agensi itu pagi semalam.

Kedua-dua mereka ditahan kerja untuk tujuan siasatan kerana dikatakan melanggar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM di mana pegawai-pegawai tersebut dikatakan gagal berada bersama saksi atau pelanggan sepanjang masa mereka berada dalam premis agensi antirasuah itu.

Kenyataan itu menambah, hasil siasatan dalaman iitu setelah selesai kelak akan dibentangkan di Jawatankuasa Aduan SPRM -TMI


Ulasan GB

Imej negara di peringkat antarabangsa terjejas teruk akibat daripada tidak profesyenalnya pihak PDRM dan SPRM khususnya di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Sekian lama rakyat telah menuntut agar perhatian serius diberikan terhada kedua-dua agensi ini, tetapi pemerintah dari BN seperti memekakkan telinganya malah memperlecehkan seruan rakyat berkenaan.

Di bawah rejim Najib, terlalu banyak kes misteri sebermula kenaikannya sebagai PM. Bermula dari targedi Altantuya, kemudian rampasan Perak, diikuti dengan siri kematian tahanan polis dan kematian rakyat di pejabat SPRM.

Kes terbaru ini, kematian Allahyarham Ahmad Sabrani tidak akan lagi dibiarkan oleh rakyat.

Rakyat tidak selamanya boleh berdiam diri di atas kezaliman demi kezaliman, kekejaman demi kekejaman.

Kita akan merayu kepada Allah s.w.t. agar diakhirkan pemerintahan UMNO BN ini sesegera mungkin supaya kebenaran dan keadilan itu diletakkan di tempatnya yang wajar. Supaya rakyat di dalam negara ini dapat hidup dengan aman sentosa di bawah rahmat dan keampunan Allah di bawah payung pemerintahan yang baru, Pakatan Rakyat namanya.

Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Ahmad Sarbani. Semuga pemergianmu membuka lembaran baru di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Malaysia ini.