4 Okt 2013

Calon PMR, Yang Perempuan Bersalin, Yang Lelaki Penjenayah

Dua Calon PMR Ditahan Kes Bunuh Pekerja Kilang Kayu

KUALA TERENGGANU: Polis yakin dapat menyelesaikan kes bunuh melibatkan seorang pekerja kilang kayu di Marang Selasa lepas apabila menahan lapan lelaki bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kesemua suspek berusia 15 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar Marang pada malam kejadian.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu daripada seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan itu.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek dan penemuan senjata ini, kami percaya kes itu dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga membenarkan dua pelajar tingkatan tiga yang turut ditahan itu menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

Dalam kejadian 8.30 malam Selasa lepas, seorang lelaki berusia 20 tahun mati ditikam dalam pergaduhan di Kampung Bukit Parit Marang, dipercayai berpunca daripada masalah berebut teman wanita.

Manoharan berkata polis juga telah mengenal pasti wanita berkenaan dan akan memanggil wanita itu bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Manoharan berkata polis menemui beberapa petunjuk positif dalam kes pembunuhan pemilik kedai perabot di Kampung Padang Nenas di sini Sabtu lepas.

"Berdasarkan tikaman di badan mangsa, kami yakin kes itu bukan berunsur samun semata-mata," katanya sambil memberitahu bahawa gerakan memburu suspek giat dijalankan.

Sabtu lepas, seorang pemilik kedai perabot rakyat Pakistan ditemui mati dengan 17 tikaman di bahagian depan dan belakang badan, leher, kepala dan tangan selain terdapat 14 kesan kecederaan disebabkan senjata tajam. -Bernama


Calon PMR ambil periksa dalam wad selepas bersalin


KOTA BHARU - Seorang calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sini, terpaksa menduduki peperiksaan terbabit di wad sebuah hospital...

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Nor,15, berkata, akibat hubungan terlarang bersama kekasihnya yang dikenali dua tahun lalu, dia disahkan mengandung setelah perutnya terus membesar.

Remaja terbabit yang bersalin secara normal Ahad lalu, masih dalam keadaan lemah namun tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan.

Menceritakan detik hitam itu, dia terpedaya dengan pujuk rayu lelaki itu, setelah kekasihnya berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dirinya.

"Akibat termakan pujuk kerana kasihkan si dia, saya rela dan tidak sangka hubungan saya bersamanya menyebabkan saya semakin jauh terlanjur sehingga melahirkan anak.

"Ibu dan ayah begitu marah dengan perbuatan saya ini memandangkan saya masih bersekolah dan mereka dapat tahu selepas melihat keadaan perut saya yang semakin hari semakin membesar," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, setakat ini kini kes berkenan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Nor berkata, dia kini menyesal dengan perbuatannya itu dan mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik daripada peperiksaan percubaan sebelum ini yang hanya memperolehi 2A.

"Saya nak berjaya dalam peperiksaan ini dan harap dapat sekurang-kurangnya 4A dalam enam mata pelajaran yang diambil supaya saya dapat buktikan bahawa saya masih mampu meneruskan pelajaran untuk ke tingkatan 4 nanti serta dapat menebus kesalahan lalu," katanya.

Nor berharap, selepas ini dia dapat meneruskan persekolahan dan menumpukan perhatian dalam pelajaran walaupun pernah terlanjur dan tidak mengulangi kesilapan lalu.
-SH


Pembaziran Sewa Jet: Najib Digesa Ubah Gaya Hidup


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menaiki penerbangan kelas pertama Malaysia Airlines System (MAS) bagi tujuan lawatan rasminya ke luar negara.

Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming berkata, Perdana Menteri seharusnya mencontohi rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang menaiki penerbangan Singapore Airlines bagi menjimatkan jutaan ringgit wang rakyat untuk membuat lawatan kerja ke luar negara.

"Kerajaan membelanjakan RM28.8 juta sebagai kos sewa tahunan pesawat Perdana Menteri dan RM5.5 juta untuk menyelenggara pesawat jet VVIP tersebut.

"Selain kos pesawat Perdana Menteri, kerajaan juga menanggung kos RM44.02 juta untuk membiayai kos lawatan luar negara Perdana Menteri sejak 2008," dakwanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas lanjut jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap soalan bertulis beliau meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kos perbelanjaan yang terlibat untuk pembelian atau penyewaan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal terbang jet rasmi Perdana Menteri dalam tempoh 2000 hingga tahun ini.

Menurut Shahidan, dalam tempoh tiga tahun dari 2010, kerajaan telah membelanjakan RM86.4 juta untuk kos sewa pesawat, RM16.515 juta untuk penyelenggaraan dan kos pembaikan jet pula sebanyak RM3.32 juta.

"Dengan kata lain, kerajaan menanggung RM100.47 juta untuk pesawat peribadi PM dalam tempoh tiga tahun sahaja," katanya. -SH


[VIDEO] Pakatan Kecam Ketirisan Berulang Tapi Tiada Tindakan


Pakatan Rakyat mencadangkan satu Jawatankuasa Majlis Tindakan diwujudkan bagi memastikan segala ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara diambil tindakan tegas.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara.

Ini berikutan setiap kali laporan dibentangkan, masih terdapat ketirisan yang berlaku dan insiden ini tidak pernah diambil tindakan tegas.

“Ia bagi membincangkan bentuk tindakan yang perlu diambil bagi mereka yang didapati menyeleweng.

“Kita lihat laporan audit merekodkan terlalu banyak ketirisan berlaku terutamanya dalam isu-isu pembelian aset sepertimana tahun-tahun lepas. Tapi tidak ada satu pun tindakan tegas diambil walaupun perkara itu dilaporkan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali melihat isu ketirisan menjadi kelaziman di dalam agensi kerajaan yang dipandang remeh tanpa penguatkuasaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut kesal apabila laporan diserahkan pada saat akhir perbahasan agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat membahasnya pada sidang kali ini.

“Kita akan perincikan perkara ini dan bahaskan pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan melihat ia langkah terbaik untuk menangani insiden yang selalu berulang.

“Laporan ini menunjukkan ketirisan akibat dari salah guna kuasa dalam urus tadbir kerajaan, sentiasa berulang setiap tahun.

“Ini mengesahkan kerajaan tidak pernah ambil iktibar daripada apa yang berlaku serta tidak memandang berat cadangan Ketua Audit,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tegas beliau, sepatutnya kerajaan mengenalpasti apakah bentuk mekanisma untuk mengelak perkara yang sama tidak berulang. “Kelemahan ketara kerajaan adalah langsung tidak mengambil perhatian terhadap laporan audit.

“Hanya sekadar memenuhi peraturan undang-undang yang setiap kementerian perlu diaudit, tindakan tiada dan tahun depan benda yang sama diulangi,” katanya, lapor Harakah Daily. -KD


Laporan Audit: PR gesa PAC adakan sidang khas


Pakatan Rakyat menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengadakan persidangan khas bagi membincangkan penyelewengan dan ketirisan sepertimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di lobi Parlimen berkata perkara ini amat penting dan perlu menjadi keutamaan agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan dan tidak berulang lagi.

"Kita dikejutkan dengan Laporan Ketua Audit mengatakan berlaku ketirisan sehingga kehilangan wang rakyat berbilion ringgit, ini bukan satu perkara yang baru dan apa yang kita tahu ia sentiasa berulang setiap tahun.

"Atas sebab itu, Pakatan Rakyat menggesa PAC mengadakan persidangan khas membincangkan perkara ini dan perlu pastikan satu tindakan diambil kepada mereka yang terlibat.

"Saya harap ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang terlibat dalam PAC dapat mengesa agar persidangan diadakan segera," katanya yang juga Ketua Umum PKR.

Anwar yang kecewa apabila ketirisan ini berlaku ketika rakyat dibelenggu dengan kenaikkan harga barang serta kesempitan hidup.

"Saat rakyat dibelenggu dengan kesempitan hidup akibat barang naik harga, mereka yang berkuasa begitu senang mengambil wang rakyat.

"Perkara ini bukan satu yang boleh dipandang mudah, setiap yang bersalah perlu dikenakan tindakan," sambung beliau lagi.
-HD





Ribuan Penyokong Mursi Berjaya Berhimpun Semula Di Dataran Tahrir


Kaherah - Mesir: Kumpulan penyokong Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi buat pertama kalinya berhimpun di Dataran Tahrir, kelmarin.

Dataran Tahrir yang sebelum ini merupakan kawasan kubu kuat anti Mursi itu dikatakan lengang sejak tentera mengisytiharkan rampasan kuasa pada 3 Julai lalu.

Media melaporkan, pada malam kelmarin, dataran itu dipenuhi ribuan penyokong Mursi sambil melaungkan “turun segera pemerintahan tentera!”.

Perhimpunan disertai penyokong Mursi, penduduk tempatan dan penjaja itu juga dikatakan bertempur dengan anggota keselamatan.

Wartawan Al Jazeera di Kaherah berkata, bantahan yang dilakukan di dataran terbabit adalah simbolik penting kerana sebelum ini mereka tidak pernah ke kawasan terbabit.

“Sebelum ini, dataran itu dipenuhi penyokong Tamarod. Kini, kawasan menjadi tumpuan seluruh rakyat Mesir tidak kira penyokong atau pembangkang Mursi. Mereka ke sini bersepakat menolak pemerintahan tentera,” katanya.

Perhimpunan itu dilakukan selepas ketua tentera Abdel Fattah el-Sisi mengarahkan kerajaan sementara supaya segera membentuk kerajaan bagi memulihkan kestabilan.