11 Nov 2013

Mazlan Aliman Menang Lagi, MP Sekijang Buat Permohonan Maaf Kerana Memfinah


MP Sekijang mohon maaf kepada Mazlan



Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Anuar Abdul Manap (kanan) hari ini membuat permohonan maaf di mahkamah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (kiri).

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang dan seorang lagi defendan iaitu Ketua Penerangan MBFM Kelantan Wan Zawawi Wan Zain membuat permohonan maaf di hadapan Hakim Rusila Yup setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Mereka menarik balik kenyataan yang menuduh Mazlan Mazlan menyelewengkan wang RM30,000 yang dimenangi peneroka Felda Kemahang 3.

Mereka menuduh juga Mazlan sebagai penakut, pembohong, tidak bermaruah kerana dari jenis tidak tahu malu dan tidak jujur kerana menyelewengkan wang RM30,000.

Selain menarik balik kenyataan tersebut, mereka juga bersetuju untuk membayar ganti jumlah dalam jumlah yang akan ditentukan kemudian.

Kenyataan itu dikeluarkan Anuar ketika berucap di hadapan Wisma Felda, Jalan Semarak, dekat sini, pada 28 Disember tahun lalu.

Ekoran kenyataan itu, Mazlan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu dan perbicaraannya bermula hari ini.

"Saya sangat berasa malu dengan tuduhan tersebut sebab itu saya kemukakan saman.

"Tapi hari ini nama baik dan reputasi saya dibersihkan di mahkamah dan saya sangat bersyukur dengan keputusan ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Kes Felda Kemahang 3, Tanah Merah ialah 354 peneroka menyaman Felda Palm Industries Sdn. Bhd. kerana menipu bawah (KPG) dalam urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 September 2002 melalui peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada peguamnya Harris Abdullah, Mazlan berkata beliau langsung tidak berniat hendak bermusuh dengan MBFM sebaliknya mengalu-alukan sebarang kerjasama yang boleh menambah baik kehidupan peneroka Felda.

"Saya harap dengan keputusan mahkamah ini saya dan Majlis Felda boleh duduk semeja membincangkan isu-isu Felda.

"Bagi saya musuh yang sebenar ialah mereka yang mengambil kesempatan ke atas peneroka.

"Kenapa ada di kalangan anak-anak peneroka menjadi mangsa kepada sikap piahk yang mementingkan poket mereka ini?

"Saya mahu duduk semeja berbincang mengenai isu-isu Felda dengan MBFM mengenai isu rumah generasi kedua, pemilikan tanah dan sebagainya," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan juga menyifatkan kemenangan hari ini sebagai kejayaan berganda selepas menang saman malu bernilai RM380,000 ke atas kerajaan pada 25 Oktober lalu.

Mahkamah Tinggi Pahang memutuskan kerajaan perlu membayar ganti rugi am RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, ganti rugi kos RM20,000 dan faedah penghakiman ke atas RM350,000 sebanyak lapan peratus bermula dari tarikh saman dimulakan pada 18 Ogos 2010.

"Saya anggap kejayaan hari ini sebagai kejayaan yang sangat besar bagi saya dan Anak dan saya merakamkan penghargaan kepada peguam Harris dan Wan Rohimi serta rakan-rakan seperjuangan," katanya. -HD

[IKTIBAR] Mayat Tak Reput Walau Sudah 40 Tahun Dikebumikan


Segamat – Sekumpulan ahli keluarga yang membantu kerja-kerja menggali semula Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini kelmarin terkejut apabila mereka menemui 12 jenazah termasuk seorang guru Al-Quran yang masih lagi sempurna.

Lebih mengejutkan, kesemua jenazah itu yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan pembinaaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak-Muar sejauh 63 kilometer sudah pun dikebumikan antara lapan hingga 11 tahun lalu.

Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jamaluddin Sapuan berkata, kesemua jenazah itu ditemui dalam keadaan sempurna, tidak ubah seperti hari pertama ia dikebumikan di tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu.

Beliau yang terlibat menyelia penggalian dan pemindahan 150 jasad di tanah perkuburan tersebut bagaimanapun berkata, kejadian tersebut bukanlah sesuatu yang pelik.

“Ia membuktikan kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Banyak perkara tersirat daripada kejadian ini.

“Majoriti jenazah dalam keadaan baik, masih ada daging yang tidak reput,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau yang sudah 22 tahun menggali kubur berkata, selepas dikeluarkan, kesemua jenazah itu dikafankan semula dengan kain yang baharu dan bersih.

Katanya, ia kemudian dimasukkan ke dalam keranda untuk dikebumikan semula di tanah perkuburan baharu di Kampung Alai, kira-kira dua kilometer dari tapak lama.

Jamaluddin berkata, bau wangi turut dihidu di sekitar kawasan perkuburan yang menempatkan 350 buah kubur sejak hari pertama kerja tersebut dijalankan.

Beliau pernah menemui jasad yang langsung tidak terusik meskipun ia sudah 30 tahun dikebumikan sejak 30 tahun lalu.

“Kes yang terbaharu ini boleh menjadi iktibar dan pedoman kepada kita yang masih hidup,” jelasnya. -kosmo

-----------------------

Masih elok selepas 40 tahun

SEGAMAT – Allahyarham Mohd. Said Ahmad yang jenazahnya masih sempurna selepas kuburnya digali kelmarin bukan sahaja seorang yang warak semasa hayatnya malah tidak pernah lekang membaca al-Quran jika ada masa terluang.

Anak Allahyarham, Jaafar Mohd Said, 78, berkata, sepanjang hayatnya, dia mendapati ayahnya yang sangat penyabar itu tidak pernah marah walaupun dia merupakan penghulu Mukim Gemereh.

Malah kata beliau, ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 1970-an ketika berusia 78 tahun, suka menolong orang yang dalam kesusahan.

Menurutnya, sifat tersebut diwarisi oleh abangnya, Yusuf yang kemudiannya mengambil alih jawatan Penghulu Mukim Gemereh daripada bapa mereka.

Yusuf kemudian meninggal dunia ketika berusia 63 tahun, tujuh tahun lalu.

“Apa yang boleh saya perkatakan ialah kedua-dua waris saya ini semasa hayatnya memanglah warak dan taat kepada ajaran agama.

“Mereka selalu membaca al-Quran setiap kali ada masa terluang,” katanya ketika ditemui di sini semalam. -kosmo


16 jenazah ditemui sempurna




Segamat: “Ketika hayatnya, arwah bapa saudara tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Pernah sekali dia diusung ke masjid untuk solat berjemaah walaupun dinasihatkan supaya hanya untuk bersolat di rumah,” kata Azli Lisot, 49.

Azli waris kepada Allahyarham Rahmat Raub, 65, yang jasadnya antara 16 jasad didapati masih berkeadaan sempurna ketika kerja menggali dan memindahkan 150 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Badak di sini, dilakukan.

Azli yang berada di tanah perkuburan sejak 6 November lalu untuk melihat proses penggalian dan pengebumian semula dilakukan berkata arwah bapa saudaranya itu meninggal dunia pada 2006 akibat sakit tua.

“Saya terkejut apabila mendapati jasad arwah masih dalam keadaan baik. Arwah adalah imam surau di kampung ini dan sentiasa berjemaah di surau atau masjid.
- mymetro



Jenazah masih wangi, elok


Mayat guru al-Quran dikebumi pada 2006 masih sempurna

Segamat: Jenazah seorang guru agama yang dikebumikan kira-kira tujuh tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi ketika kerja menggali tanah perkuburan di Kampung Batu Badak, di sini.

Jenazah Allahyarham Maheran Jaaffar, yang meninggal pada 2006 adalah antara 350 kubur yang digali semula untuk dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek melebar Jalan Segamat-Ledang.

Selain itu, dua jenazah lagi turut ditemui dalam keadaan sempurna dan berbau wangi walaupun dikebumikan sejak berdekad lalu.

Anak sulung Maheran, Hamisah Kassim, 67, berkata beliau terkejut dan hiba apabila dimaklumkan jenazah ibunya dalam keadaan wangi dan masih sempurna, termasuk kain kapan yang masih utuh.

Pemindahan kubur

“Kubur emak adalah yang pertama digali untuk dipindahkan ke Tanah Perkuburan Wakaf di Kampung Tasek. Saya terharu diberitahu jenazah ibu masih elok dan wangi.

“Mungkin itu balasan yang diterima ibu kerana ketika hayatnya arwah mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran. Seingat saya, arwah sentiasa mengamalkan amalan berselawat, berzikir dan sering bersedekah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hamisah berkata, arwah ibunya juga seorang yang bertanggungjawab menjaga empat lagi adik-beradiknya dan seorang yang pendiam.

Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Jabatan Agama Johor (JAJ), Jamaluddin Sapuan, berkata semua jenazah yang digali semula itu dikapankan dan dikebumikan semula di Tanah Wakaf Kampung Tasek.

“Seramai 15 penggali kubur di bawah JAJ memulakan kerja menggali sambil dilihat beberapa jabatan kerajaan, waris dan penduduk setempat.

“Penemuan jenazah yang masih sempurna dan berbau wangi tanda kekuasaan Allah SWT dan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan suruhan Allah,” katanya.
- BH


Ramai Mahu Pembunuh Norazita Dihukum Tembak Sampai Mati


Berita penangkapan pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai Ambank Norazita Abu Talib menerima pelbagai reaksi daripada pengguna laman media sosial.

Ramai di antara mereka mengucapkan tahniah kepada pihak polis di atas usaha dan kejayaan mereka.

Ada juga segelintir daripada mereka yang was-was terhadap berita tersebut dan inginkan bukti penangkapan.

Ada juga yang memberi cadangan hukuman untuk suspek tersebut.

Berikut adalah kompilasi komen-komen yang dikemukakan di Facebook, Twitter dan laman astroawani.com:

Hajis Jaafar: Syabas PDRM....sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga

Fareez: Tahniah tahniah dan tahniah sekali lg kepada pihak polis

Nahar: Tahniah kepada pihak polis..anda semua memang cekap

Mohd Awal Din MohdNazr: Tahniah PDRM.... Takziah keluarga Norazita.

Hk Ariiz: Betul ke? Tunjukkan bukti.. Tunjukkan muka penjenayah tu kalau betul dah ditangkap.. Takut-takut semua ni sandiwara je untuk menenangkan ketenteraman awam.. Polis pun handal berlakon tau.

Khaidir Zulkifli: Mane gambar? Jgn tutup muka ya rakyat berhak tahu.

Noriz Mel: Jangan banyak bicara..kasi can husband arwah bagi penumbuk kaw kaw kat perut bakal jenazah pembunuh tu

Pelangi Indah: Tembak kepala si penembak pakai shotgun!! Jarak 2 inchi dari muka.
-astro awani

Puas hati pembunuh isteri diberkas



SHAH ALAM - "Saya bersyukur dan amat lega apabila mengetahui suspek yang membunuh isteri akhirnya diberkas polis," kata Irwan Kamarudin, 37, suami kepada pekerja AmBank, Norazita Abu Talib yang maut ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian di USJ Sentral 2, 23 Oktober lalu.

Irwan ketika ditemui di rumah kakak iparnya di Subang Bestari, di sini, semalam, berkata, dia dan keluarga khasnya anak-anak sangat gembira mendengar perkhabaran tersebut.

Beliau berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui penahanan suspek utama kes isterinya, sehinggalah dihubungi rakan-rakan pada jam 9 pagi semalam, memaklumkan melihat perkara itu di internet.

"Saya dan anak-anak terus buka internet termasuk Facebook dan lihat banyak maklumat yang mengesahkan berhubung penahanan suspek utama.

"Berita di televisyen memaklumkan perkara sama, membuatkan kami sekeluarga yakin bahawa individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian isteri sudah ditangkap," katanya, semalam.

Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Bukit Jelutong berkata, dia sangat berpuas hati dengan kecekapan polis dan berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek.

"Saya harap dia (pembunuh) menerima hukuman yang sewajarnya dengan kesalahan yang dilakukan dan gembira kematian isteri mendapat keadilan walaupun nyawanya tidak dapat dikembalikan," katanya yang akan mula bekerja esok (hari ini), setelah bercuti sejak kejadian itu.

Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini dua anaknya, Nurnisa Nabilah, 12, dan Mohd Hazimy, 8, Irwan berkata, anak-anaknya sudah boleh menerima kenyataan ibu mereka sudah tiada.

Menurutnya, dia perasan terdapat sedikit perubahan pada anak-anaknya yang dulu periang kini berubah sedikit pendiam.

"Kalau ada ahli keluarga lain bersama, anak-anak akan gembira tapi bila tinggal kami bertiga, mereka pasti teringat dan mula membelek album melihat gambar arwah bagi melepaskan rindu.

"Mereka masih kecil dan semuanya mengambil masa sebelum benar-benar memahami situasi sebenar yang berlaku. Saya sendiri pernah bermimpi akan arwah isteri," katanya.

Sementara itu, Nurnisa Nabilah berkata, dia sudah kembali bersekolah sejak Rabu lalu dan gembira dengan penerimaan rakan serta guru-guru yang banyak memberi sokongan.
-SH


Berani buat, berani tanggung!

SHAH ALAM - "Kami sekeluarga takkan maafkan perbuatan suspek yang menembak mati Allahyarham. Dia (suspek) berani buat, beranilah tanggung akibatnya!," kata Abu Talib Mohd Isa, 65, iaitu bapa kepada pekerja AmBank, Norazita yang maut selepas ditembak seorang pengawal keselamatan di USJ Sentral 2, 23 Oktober lalu.

Abu Talib ketika ditemui di rumah anak sulungnya di Subang Bestari semalam berkata, dia dan keluarga marah dengan perbuatan suspek, namun sebagai manusia mereka tidak berdendam dan berharap hukuman dikenakan terhadap penjenayah itu dapat memberi keadilan buat anak keduanya itu.

Katanya, selepas 19 hari pemergian anak keduanya itu, berita penahanan suspek utama pagi semalam, adalah berita terbaik yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka sekeluarga.

Menurutnya, beliau serta seluruh ahli keluarga terutama menantu (suami Norazita) dan dua cucunya gembira dan bersyukur.

"Tidak sia-sia doa dan solat hajat yang dilakukan kami sekeluarga bagi memohon ALLAH SWT mempermudah siasatan yang dijalankan polis bagi menangkap suspek terbabit.
-SH


ULASAN GB

Jika sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kontroversi bahawa lebih baik suspek penjenayah ditembak sebelum siasatan, namun ia tidak berlaku di dalam kes di atas sekalipun sudah ada bukti (rakaman cctv) jenayah telah berlaku.

Tiada sebarang pergelutan yang berlaku semasa penangkapan dibuat semalam. Tidak sama seperti kes-kes jenayah lain dimana penjenayah-penjenayah biasanya akan melakukan serangbalas.

Dan kita tidak pasti samada senjata yang digunakan oleh suspek untuk menembak Norazita di dalam rompakan di AMBANK tersebut telah berjaya dirampas.

Namun jika benar polis sudah mengubah taktik untuk tidak menembak dahulu suspek tetapi menyerahkan pengadilan dan hukuman kepada pihak mahkamah yang menentukannya, kita rasakan ia adalah patut dan terpuji.

Apa-apa pun kita berharap pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap suspek dan membuktikan jenayah telah dilakukan dan seterusnya penjenayah menerima hukuman yang setimpal.

[BERGAMBAR] Ketua Penguatkuasa JAIP Mati Ditembak


Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang Ahmad Rafli Abdul Malek meninggal dunia hari ini selepas ditembak oleh penjenayah dirumahnya sekitar jam 2 petang tadi, menambahkan lagi beberapa siri pembunuhan bersenjata yang sudah berlaku sebelum ini.

Dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Indera Mahkota, tiga suspek berpakaian jubah telah datang ke rumahnya sebelum kemudiannya menembak mangsa.

Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan ketika ini.

Dalam pada itu, sumber memberitahu kepada The Malaysian Insider mangsa meninggal dunia selepas terkena tiga das tembakan.

Selain itu sumber juga memberitahu mangsa ketika ini sedang terlibat dalam tiga kes besar, iaitu melibatkan kes ajaran sesat Tuhan Haron, kes ajaran Syiah dan juga operasi kelab malam.

Bernama melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan kejadian itu.

Selain itu, laporan tersebut juga menyebut ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menembak mangsa. -TMI


Kematian ketua penguatkuasa JAIP bermotifkan bunuh - Polis


KUANTAN: Polis mengesahkan kematian Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Ab Malik, yang ditembak di rumahnya tengah hari tadi, bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Zakaria Ahmad berkata, semasa kejadian pada 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berumur 49 tahun sedang berehat bersama isteri dan seorang anaknya di ruang tamu.

Beliau berkata sebelum itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an yang berjubah hitam dan berkopiah putih, yang tiba di rumah Mohd Raffli dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih, telah memanggil mangsa keluar dari rumahnya.

"Semasa keluar dari rumahnya, seorang lagi suspek berumur dalam lingkungan 30an meluru dari tempat duduk belakang kereta dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya," kata beliau kepada pemberita di rumah mangsa di Indera Mahkota di sini, hari Ahad.

Zakaria berkata, dua daripada tiga das tembakan itu mengenai dada Mohd Raffli manakala satu lagi tembakan tersasar menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

"Polis percaya suspek yang menaiki kereta itu telah berlegar-legar di kawasan rumah mangsa berdasarkan faktor suspek hanya mengambil masa seminit untuk membunuh mangsa," katanya.

Zakaria berkata polis menyiasat kes itu dari pelbagai sudut termasuk motif lain.
- astro awani



Ketua Penguatkuasa Jaip mati ditembak bukti jenayah makin teruk


KUANTAN: Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Ustaz Nazri Ahmad meminta pihak polis dan kerajaan mengambil langkah serius membendung jenayah pembunuhan dan tembakan.

Katanya, kes terbaru pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raflie Ab Malik yang mati selepas terkena tiga das tembakan hari ini, membuktikan jenayah tersebut kini bukan sahaja berkaitan dengan gangsterisme malah melarat ke bidang agama.

Sambil melahirkan rasa sedih, beliau mahu pihak berkuasa segera memberkas penjenayah tersebut bagi menghormati isntitusi agama.

Nazri mengulas kes tembakan maut Pegawai Penguatkuasa Jaip Raflie yang berlaku di hadapan rumah Allahyarham di Indera Mahkota 2, dekat sini, kira-kira pukul 2 petang hari ini.

Menurut sumber polis, Raflie yang berasal dari Chenor, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian.

Ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menambak mangsa.

Beliau berkata, polis masih menyiasat kejadian itu.

Sebelum ini Raflie dikatakan begitu giat menggeledah tempat-tempat ajaran sesat dan Syiah seluruh negeri Pahang
- HD