8 Mac 2011

Penolong Penguasa SPRM Seperti Cuba Lindungi Sesuatu.. Semua Dijawab "Tak Ingat"

Suruhanjaya Siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock menegur penolong penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Ashraf Mohd Yunus (gambar) kerana tidak memberi kerjasama yang baik ketika memberi keterangan berhubung kes membabitkan setiausaha politik kepada exco Selangor itu.

Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T.Selventhiranathan, yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, berpendapat tindakan Mohd Ashraf itu lebih bersifat selektif kerana kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya gagal dijawab.

“Saya lihat awak mengalami selektif memori... ini adalah kes penting. Mana mungkin seseorang yang terlibat dalam kes sebegini tidak ingat. Awak lebih banyak menyatakan tidak ingat. Saya harap saksi-saksi dapat membantu,” katanya pada prosiding siasatan hari ini.

Isu ini timbul apabila Mohd Ashraf, 27, iaitu saksi ke-20, tidak dapat menjawab kesemua soalan yang diajukan oleh pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud mengenai kelulusan peruntukan yang ditandatangani oleh Teoh yang menggunakan cop anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf tidak dapat mengingatinya dengan berkata: “Saya tak ingat, sebab suara Teoh perlahan tetapi apabila kami meminta alamat e-mail Teoh, dia menulis di atas kertas.

“Saya tidak mengingat sebab banyak soalan diajukan oleh Arman,” katanya yang menjalankan siasatan untuk membantu pegawai SPRM Arman Alies.

Perkara itu turut disokong bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang kelihatan kesal dan kecewa dengan tindakan Mohd Ashraf yang enggan memberi kenyataan sewajarnya.

Kenapa tak ingat... ini perkara penting kita tak mahu tunding jari kepada sesiapa. Kita hendak yang benar tapi kamu menjadikan perkara ini sebagai ‘‘anti-klimaks’’. Kalau benda yang penting kamu tidak ingat adakah kamu memerlukan 20 minit untuk mengingat kembali?” kata Abdul Kadir.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Siasatan itu, kemudian menangguhkan prosiding selama 30 minit untuk membolehkan Mohd Ashraf meneliti kesemua fail dan dokumen dalam kes siasatan Teoh.

Dalam prosiding hari ini, Mohd Ashraf turut disindir oleh Awang Armadajaya yang bertanyakan kepada beliau adakah tugasnya sebagai pegawai penyiasat tidak penting dan beliau berkata: “Saya ditugaskan untuk membantu sahaja.”

Hakim Foong kemudiannya menegaskan sebagai penolong, beliau berperanan sepertimana pegawai penyiasat dan seharusnya mengetahui tugas-tugas sebagai pegawai penyiasat.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’ berhubung kes itu.

Prosiding disambung esok. — Bernama

Benarkah Anwar Dibekalkan 4 Wanita Untuk Seks?

Memoir Mahathir: Anwar didakwa dibekal empat wanita untuk seks

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Tun Dr Mahathir Mohamad dalam autobiografi yang dikeluarkan hari ini mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibekalkan empat wanita untuk mengadakan hubungan seks sebelum beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau ada menemu bual wanita-wanita yang memberitahunya bahawa mereka telah dibawa untuk mengadakan hubungan seks dengan timbalannya ketika itu, yang kemudian didakwa dan dihukum penjara berhubung tuduhan kes liwat dan salah guna kuasa.

Dr Mahathir menulis bahawa mereka dipujuk agar berbuat demikian oleh seorang lelaki India bersama Nalla, dipercayai Datuk K. S. Nallakarupan, ketika itu rakan Anwar.

Nallakarupan telah memutuskan hubungan dengan Anwar selepas pemilihan PKR tahun 2007.

"Dia telah membawa setiap perempuan secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di sana mereka bertemu dengan seorang yang (mereka) kenalinya sebagai timbalan perdana menteri.

"Mereka telah diminta menanggalkan pakaian untuk tujuan mengadakan hubungan seks," tulis Dr Mahathir dalam memoir bertajuk "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad", yang pertama sejak bersara pada Oktober 2003.

"Dua daripada mereka enggan (mengadakan hubungan seks) tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka sudi untuk bercakap kepada polis dan kepada saya tetapi berkeras tidak mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan," kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata beliau memanggil pemimpin-pemimpin Umno termasuk ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar ke kediaman rasminya Sri Perdana di sini untuk memberi taklimat mengenai perkara itu dan menunjukkan mereka gambar para saksi.

"Dia mengisytiharkan dia tidak melakukan sesuatu yang luar biasa dan menegaskan bahawa setiap orang termasuk kesemua ahli Majlis Tertinggi memang ada berbuat demikian," tulis Dr Mahathir mengenai pendirian Anwar membela dirinya di hadapan kepimpinan tertinggi Umno.

"Ketika penjelasan panjang lebar, Anwar tidak pernah dirujuk kepada soal hubungan homoseks, hanya fokus hubungan dengan wanita," katanya.

Dr Mahathir juga mengulangi bahawa beliau buat pertama kali diberitahu mengenai aktiviti homoseksual Anwar pada awal 1990-an oleh ketua polis ketika itu Tun Haniff Omar.

Katanya, beliau diberikan buku berjudul “50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri”, tetapi menolaknya kerana ia berunsur “sensasi” hanya untuk mendapatkan duit.

Kata Dr Mahathir, pada 1997, Ummi Hafilda Ali, adik kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, menghantar surat kepadanya dengan dakwaan khusus mengenai tingkah laku liwat Anwar.

Anwar dipecat pada September 1998.

“Polis meneruskan pemantauan ke atas aktiviti timbalan perdana menteri memandangkan ia adalah amalan biasa mereka. Meskipun saya minta mereka hentikannya, saya ragu-ragu mereka akan berbuat demikian.

“Kali ini mereka ada bukti termasuk gambar dan pengakuan mereka yang terlibat,” kata beliau dalam buku terbarunya setebal 809 halaman.

Kini, Anwar berhadapan dengan kes liwat kedua terhadapnya. -TMI


Anwar: Mahathir terdesak, cuba lindungi anaknya

Tuduhan-tuduhan yang dilontar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam buku 'A Doctor in the House' atau 'Doktor Dalam Rumah' adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahan mantan perdana menteri itu dan demi menjamin masa depan politik anaknya, Muhkriz, kata ketua pembangkang itu.

“Sebenarnya apa yang saya lihat ialah ketakutan dia (Mahathir) terhadap perubahan kerana kezaliman yang berlaku semasa pemerintahannya seperti yang didedahkan dalam buku Barry Wain: Malaysia Maverick. Beliau menghabiskan RM100 bilion lebih (duit rakyat), kata Anwar.

"Mahathir juga mahu menjamin masa depan anaknya seperti yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap anaknya Kamal. Dia mahu menjamin anaknya dalam golongan terulung di negara. Ini yang menjadi pertimbangan dia," kata Anwar kepada TVSelangor.

Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar oleh Mahathir dan menegaskan bahawa masyarakat celik terhadap motif Mahathir untuk terus menyerang beliau.

Ketuan umum PKR itu berkata pembohongan Mahathir terserlah dalam buku Doktor Dalam Rumah, khususnya apabila mendakwa beliau (Anwar) tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya apabila perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum dia di pecat dari parti.

"Nyata satu lagi pembohongan jahat ialah Mahathir mendakwa kononnya saya mengaku (tuduhan) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Saya tidak akan terkejut sekiranya kuncu-kuncu Umno akan mengesahkan (demikian),” kata Anwar.

"Tetapi kita ada rakaman mesyuarat itu. Sepertimana yang saya ingat, perjalanan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu telah bocor dan tidak ada sama sekali pengakuan saya kononnya mengesahkan tuduhan.” kata Anwar.

Meskipun sering mendakwa Anwar kononnya mengamalkan seks liar, Mahathir tidak sekali pun menghadirkan diri di mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar pada tahun 1998, walaupun atas desakan peguambela mantan timbalan perdana menteri itu.

Sebaliknya Mahathir memilih untuk terus melontarkan tuduhan-tuduhan itu di luar mahkamah, dan di atas kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu.

Selepas berundur dari jawatan itu, Mahathir meneruskan serangan ke atas Anwar dengan sokongan pemimpin-pemimpin Umno yang melihat ketua pembangkang itu sebagai musuh utama parti mereka yang harus ditumpaskan.

Mahathir memuatkan 20 halaman dalam memoirnya mengenai bagaimana beliau mendapat tahu tentang dakwaan kisah seks Anwar dengan lelaki dan wanita, yang membawa kepada pemecatannya pada 1998.

Ia diceritakan di bawah bab bertajuk 'Anwar's Challenge' dalam memoir setebal 800 halaman itu.

Antaranya, Mahathir menceritakan bagaimana beliau menemubual empat gadis yang memberitahunya bagaimana mereka dipujuk untuk bertemu seorang yang sangat berpengaruh, oleh seorang lelaki India yang mereka kenali sebagai Nalla.

Katanya, lelaki itu telah membawa setiap gadis itu secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di situ mereka bertemu seorang yang mereka dikenalpasti sebagai timbalan perdana menteri. Mereka diminta menanggalkan pakaian untuk mengadakan hubungan seks.

Kedua-dua mereka, tulisnya lagi, enggan berbuat demikian tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka bersedia bercakap dengan polis dan dengan beliau, tetapi berkeras tidak mahu memberi keterangan di mahkamah.-mk


Ulasan GB

Siapa yang benar?
Kita tidak menolak dan tidak pula mengiyakan kerana kita tidak tahu kebenarannya.

Kita berdoa lagi serupa dengan doa-doa dahulu, sebelum kita mengiya atau menidakkan episod terbaru ini sebagai fitnah:

1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Berdoa sedemikian lebih utama daripada mengikut persangkaan kita semata-mata. Muga Allah beri petunjuk yang sebenarnya kepada kita semua dan selamatkan kita dari siksaanNya.



Wah, Dia Dah Berkahwin Dengan 29 Wanita!

Besut - Umurnya kini sudah menjangkau 90 tahun, dan sekali imbas, tiada apa-apa istimewa mengenai warga emas ini. Namun, bila dia membuka cerita pernah berkahwin dengan 29 wanita, nyata dia bukan calang-calang orang.

Abdullah Awang Besar, 90, atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Loh memberitahu, dia berkahwin pertama kali ketika berusia 14 tahun, selepas sebulah berkhatan.

Sejak itu, berkali-kali lagi Ayah Loh bertemu jodoh, menggenggam tangan kadi dan naik pelamin, hinggalah mencecah angka 29.

Dia mula ‘rancak’ berkahwin ketika umur 40 hingga 50 tahun, dan ketika itu kebanyakan isterinya adalah anak dara sunti berusia 20-an.

Hasil perkahwinannya sebanyak 29 kali, Ayah Loh dikurniakan tujuh anak, dua daripadanya sudah meninggal dunia.

“Kalau ikutkan hati memang mahu kahwin lagi. Tetapi tidak terdaya kerana sudah tua sangat,” luah warga emas, Abdullah Awang Besar, 90, yang pernah berkahwin dengan 29 wanita.

Penghuni Pondok Agama (Pondok Paku) itu memberitahu, dia melangsungkan pernikahan dengan isteri pertama ketika berusia 14 tahun, selepas sebulan berkhatan.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Ayah Loh atau Pak Ngah Dollah mula memasuki pondok itu kira-kira lima tahun lalu, tidak lama selepas berpisah dengan isteri terakhirnya, dari Seberang Jertih.

“Dahulu mas kahwin murah biasanya sekitar RM52 sahaja untuk kahwin dengan anak dara. Biasanya bila bercerai baru saya berkahwin lain.

“Tetapi pernah juga saya ada tiga isteri sekali gus, memandangkan isteri tua tidak mahu berpisah. Namun, akhirnya semua bercerai,” katanya yang masih sihat tanpa menghidap sebarang penyakit, malah penglihatannya juga jelas dan tidak menghadapi masalah pendengaran.

Menurutnya, walaupun berkahwin ramai, tetapi dia hanya memperoleh tujuh cahaya mata. Dua daripadanya, hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama, sudah meninggal dunia hasil. Isterinya pertamanya, Habsah Abdullah juga telah meninggal dunia.

Abdullah berkata, kebanyakannya dia berkahwin untuk tempoh sebulan hingga setahun, bergantung terhadap perangai isterinya, malah dia pernah berkahwin tiga kali dalam setahun.

“Sekarang empat anak saya menetap di Kuantan, Pahang dan yang sulung tinggal di Kampung Telaga Nibong, Besut,” katanya yang pernah bekerja sebagai pekerja biji timah dengan sebuah syarikat Inggeris di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang pada 1 Januari 1951.

Menurutnya, dia rancak berkahwin silih berganti ketika usianya mencecah 40 hingga 50 tahun, dan sebahagian besar isterinya adalah anak dara berusia bawah 20 tahun.

“Dahulu Ayah Loh nakal sikit. Hendak buat macam mana, kadang kala orang gilakan Ayah Loh. Malah kalau ada yang berkenan, Ayah Loh akan pergi minta dengan keluarga perempuan itu dan pasti tidak ditolak,” ceritanya cuba menyembunyikan ilmu yang penuh di dadanya.

Malah katanya, ada dalam kalangan wanita yang pernah dikahwininya sanggup menawarkan diri tidur bersama madu dalam satu kelambu, tetapi ditolaknya kerana bertentangan dengan agama. -SH

Chua Jui Meng Kini Dapat Bezakan Mana Permata Mana Kaca

PAS Amal Islam Sebenar, Umno Mengelirukan

Kepala Batas: Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mengakui PAS mengamalkan Islam tulen berbanding Umno yang banyak mengelirukan agama itu menyebabkan parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain tidak berminat mendekati Islam.

PAS, kata beliau banyak mengajar dirinya lebih dekat dengan Islam dan merasai ada kelainan bila mana mengadakan perbincangan atau pertemuan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS lain dengan Umno yang saya kenal. Mereka memperjelaskan kekeliruan sehingga ramai bukan Islam dalam Parti Keadilan Rakyat dapat merasai kelainan berbanding berkawan dengan Umno," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR ketika berucap dalam Karnival Penang Harmoni di Dewan Millenium, di sini malam tadi.

Turut berucap ialah Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Penerangan dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Mohamad Sabu.

Beliau turut memuji langkah PAS memperjelaskan isu penggunaan kalimah Allah sehingga ada yang pergi ke gereja untuk tujuan berkenaan tetapi sebelum ini tidak pernah terjadi demikian.

Natijahnya kata beliau, PAS bukan sahaja dapat merapatkan jurang dengan masyarakat bukan Islam apabila tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS tetapi juga individu bukan Islam tidak bimbang lagi dengan dasar Islam yang didokongi PAS.

"Dulu memang orang bukan Islam takut PAS kerana bimbangkan terlalu ekstrem, rupa-rupanya tidak, Umno pula dianggap parti asabiah kerana terlalu mengagung-agungkan kemelayuannya," kata beliau pada malam terakhir pada program anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri yang berlangsung selama 10 hari itu.

Justeru itu, katanya kebanyakan kepimpinan Umno lebih suka melakukan rasuah, pecah amanah dan tidak mempedulikan penyelewengan untuk melonjakkan nama sendiri bagi memastikan kedudukan terjamin sedangkan PAS terbukti berjaya mempamerkan kejayaan hasil kerjasama dengan bukan Islam dalam PKR dan DAP.

Lagipun, ujarnya Kelantan di bawah pemerintahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri berjaya membawa contoh sebagai sebuah kerajaan yang bersih dan dapat meningkatkan kemajuan.

Ianya, kata beliau tidak seperti mana yang diwar-warkan oleh Umno dan BN kononnya jika memerintah mengikut cara Islam, negeri boleh bankrap dan pembangunan ketinggalan
.

Ulasan GB

Tahniah Datuk Dr Chua Jui Meng, akhirnya anda dapat melihat perbezaan PAS dan UMNO, sekalipun masing-masing mengakui mereka Melayu & Islam, tetapi orang luar dapat menilai yang mana permata yang mana kaca.

WASPADA: Budak Kecil Maut Tersepit Meja Lipat

Senai – Seorang kanak-kanak meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila ditemui dalam keadaan terkulai akibat lehernya tersepit pada meja lipat di luar rumahnya di Jalan Damai 9, Taman Damai, di sini, kelmarin.

Siti Nor Haiza Habibu Rahman, 4, yang sudah tidak bernyawa ketika diangkat ibunya, dipercayai bermain dengan meja tersebut seorang diri di luar rumah.

Ibunya, Jumaliah Amran, 37, berkata, ketika kejadian beliau buat kerja di dalam rumah.

“Selepas waktu makan saya terus masuk ke bilik dan tidur kira-kira jam 3.30 petang. Selalunya Nor Haiza tidur dengan saya tetapi pada hari itu dia begitu asyik mewarna bersama kakaknya.

“Setelah terjaga daripada tidur saya terus siapkan pakaian Nor Haiza untuk dihantar ke rumah neneknya yang menjaganya ketika saya bekerja,” katanya.

Menurutnya, beliau menyedari kejadian yang berlaku apabila anak lelakinya, 11, yang pulang daripada padang bola memanggilnya supaya melihat keadaan Nor Haiza yang tersepit di luar rumah, kira-kira jam 5.30 petang.

“Anak lelaki saya pulang ke rumah apabila rakannya memberitahu ternampak Nor Haiza tersepit di luar rumah. Jadi dia segera pulang untuk memberitahu saya.

“Saya bergegas ke luar dan terkejut dapati keadaan Nor Haiza yang tidak sedarkan diri dan lehernya tersepit pada meja lipat.

“Ketika itu keadaan badannya sudah kebiru-biruan manakala anak matanya hanya memandang ke atas. Saya segera mengangkatnya keluar daripada meja berkenaan dan terus bawanya ke hospital,” katanya.

Jumaliah yang berasal dari Sabah berkata, beliau tidak menyangka meja usang yang sudah dibuang itu akhirnya meragut nyawa anak kesayangannya.

“Saya buang meja itu di belakang rumah tetapi anak saya bawa meja itu ke halaman rumah untuk bermain.

“Saya marah dan minta mereka buang semula meja itu. Tidak sangka meja jadi penyebab kematian anak bongsu saya,” katanya.

Katanya, beliau terkilan apabila tidak dapat memenuhi permintaan Nor Haiza yang memintanya membelikan permainan ketika dia dan anaknya itu ke kedai runcit berhampiran beberapa hari lalu.

“Dia merengek dan minta saya belikan permainan itu tetapi saya tidak membelinya kerana ingin menghadiahkan permainan yang lebih baik di kedai lain.

“Saya terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir Nor Haiza Saya berhasrat untuk membeli permainan itu selepas ini dan menghadiahkan kepada keluarga yang mempunyai anak seusia Nor Haiza,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kulai dan disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

“Bedah siasat dijalankan malam kelmarin dan punca kematian disebabkan asphyxia," katanya. -SH

"Undi PAS Masuk Syurga" - TG Nik Aziz Mahu Temu Harussani

Nik Aziz mahu jumpa mufti Perak

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi menyatakan hasrat mahu bertemu dengan mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Gambar: Poster fitnah UMNO BN tertera perkataan "Undi PAS Masuk Syurga" dengan gambar TG NikmAziz sewaktu pilihanraya kecil N27 DUN Merlimau.

Surat yang dihantar pagi tadi itu antara lain mahu mufti Perak itu menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi pilihan raya kecil dewan undangan negeri Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook hari ini.

Kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat berhubung isu agama dan jika pertemuan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini adalah kali pertama berlaku mereka akan duduk semeja.
Beri respon

"Semoga beliau memberikan respon,"kata Nik Aziz lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Perak juga telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara yang sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menjayakan pertemuan tersebut.

Menurut Pemuda PAS Perak, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. -mk


Demokrasi dan pilihan raya

Oleh Harussani Zakaria

HARI ini penduduk di Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang menyaksikan satu lagi siri pilihan raya kecil bagi memilih pemimpin dari kalangan mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan sentiasa berusaha menyubur dan menyegarkan amalan demokrasi dalam negara kita yang tercinta ini. Istilah “demokrasi” sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia dan sering dikumandangkan hampir saban hari di bandar mahu pun desa. Barangkali, hal ini berlaku disebabkan sebahagian besar daripada kita amat gemar berpolitik ataupun berbicara tentangnya dalam semua hal dan keadaan. Bila ditelusuri istilah “demokrasi” secara umum, bolehlah diertikan bilamana masyarakat ramai memilih mana-mana pemerintah yang akan mentadbir urusan mereka. Kamus Dewan mendefinisikan bahawa “demokrasi” adalah “pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya”. Apa sekalipun bentuk pentakrifan terhadap demokrasi, yang penting adalah kuasa rakyat itu tetap diutamakan bagi memilih dan mengenal pasti siapa yang layak di kalangan mereka bagi memimpin sesuatu kelompok besar masyarakat, negeri dan negara.

Islam sebenarnya tidak menegah sistem ini dilaksanakan, bahkan memberi pilihan kepada mereka yang dipimpin agar memilih para pemimpin yang akan memimpin mereka sebagaimana yang mereka sukai dan idamkan. Imam Muslim r.a. meriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik bahawa Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW telah bersabda” Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untukmu, Sejahat-jahat pemimpin pula adalah siapa yang kamu membencinya dan dia membencimu, kamu melaknatinya dan dia melaknatimu”.

Kendatipun begitu, Islam menetapkan beberapa aspek penting yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat antaranya sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” Imam Abu ‘Ala al-Maududi menyatakan bahawa berdasarkan ayat ini tujuan sebenar pembinaan negara itu ialah merealisasikan sistem keadilan sosial yang benar seperti yang digariskan di dalam al-Quran, disamping melarang permusuhan sesama manusia, memelihara kebebasan manusia dan membela negara. Tujuannya pula ialah untuk melarang semua jenis kemungkaran serta menghapuskan segala akar umbi kejahatan lalu menggantikannya dengan tunas-tunas kebaikan yang diredai Allah SWT.

Pembentukan negara adalah suatu tuntutan dalam Islam. Ini seperti yang telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi SAW ketika pembentukan negara Madinah. Ia termasuk dalam perkara tuntutan fardhu kifayah. Kepentingan tentang pembentukan negara ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syariah adalah wajib ke atas muslim dan begitu juga mewujudkan negara juga adalah suatu yang wajib.

Keperluan

Sementara itu, keperluan kepada ketua negara adalah suatu yang tidak dapat dinafikan dan dalam hal ini Imam al-Mawardi ada menjelaskan sepertimana katanya,” Ketua Negara (Imamah) digelar sebagai pengganti kenabian dalam urusan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya”. Ibnu Hazm berkata bahawa sepakat di kalangan semua ulama ahlu Sunnah, Murjiah, Syiah dan Khawarij tentang wajib diadakan pemimpin negara. Umat wajib mematuhi imam yang adil yang berupaya menegakkan hukum-hukum Allah dan memerintah berdasarkan hukum-hukum syarak yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Al-Qur‘an dan sunah menegaskan tentang wajib kepada pemilihan ketua negara antaranya firman Allah SWT bermaksud “Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul serta pemimpin-pemimpin urusan kamu”. Demikian juga terdapat hadis-hadis sahih yang lain memerintah supaya taat kepada ketua negara dan wajib memilih ketua negara.

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pada pendapat mereka pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”. Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada umat, umat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara umat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr. Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih. Atas dasar sedemikian maka, adalah menjadi kewajipan kepada seseorang warga muslim untuk mengundi agar calon yang amanah (al amin) dan punyai sifat kuat (al qawi) mencapai kemenangan. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 282 yang bermaksud “Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi”.

Pemilihan ketua negara Islam mengikut proses pilihan raya tidak selamanya berlaku. Ini disebabkan terdapat khalifah menyerahkan kuasanya kepada penggantinya sebelum dia meninggal. Sebilangan besar kalangan fuqaha’ menerimanya sebagai sah. Imam Al Mawardi ada menjelaskan tentang hal ini dengan katanya, “Adapun menyerah kuasa Imamah kepada orang tertentu yang dipilihnya, mengikut ijmak adalah sah kerana ada dua alasan; pertama Abu Bakr menyerahkan kuasa kepada Umar dan umat Islam menerima penyerahan itu sebagai sah. Kedua, Umar menyerahkan kuasa kepada anggota ahli syura, mereka menerimanya dan mereka adalah orang yang penting ketika itu dengan berkeyakinan bahawa penyerahan itu adalah sah, sedangkan sebahagian sahabat yang lain tidak termasuk anggota ahli syura. Justeru itu penyerahan kuasa demikian dikira sebagai ijmak”.

Undi, hukum dan syurga

Akhbar Sinar Harian telah menonjolkan pandangan saya yang punyai pertentangan dengan Mursyidul Am Pas tentang pernyataan bahawa “mengundi Pas masuk syurga”. Pandangan saya telah mendapat respon yang banyak hingga ada di kalangan masyarakat menyuruh agar saya meletak jawatan sebagai Mufti Perak dan terus melibatkan diri dengan politik. Bagi saya desakan tersebut merupakan lumrah biasa yang acapkali kedengaran bila pandangan saya bercanggah dengan pihak mereka. Dalam isu ini saya tidak sesekali menyatakan bahawa tiada timbul persoalan hukum dalam masalah mengundi dalam sesuatu pilihan raya. Saya juga bersetuju sama sekali dengan kenyataan beliau yang juga Menteri Besar Kelantan bahawa semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripasa hukum sama ada haram, harus, wajib, sunat dan makruh. Namun, untuk menentukan secara khusus siapa yang akan memasuki syurga kerana mengundi satu-satu parti adalah tidak tepat. Bukanlah urusan kita yang berstatus sebagai hamba Allah SWT menentukannya apatah lagi syurga dan neraka itu milik mutlak Allah SWT. Apakah kita tidak meneliti hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa masuknya kita dalam syurga adalah semata-mata kerana rahmat Allah SWT dan bukannya berdasarkan amalan kita. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim bilangan 7063 dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Amal soleh seseorang di antara kamu sekali-kali tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) bertanya, Begitu juga engkau ya Rasulullah?, Rasul menjawab: Tidak juga aku kecuali Allah melimpahkan kurniaan dan rahmatnya kepadaku”. Dalam satu riwayat yang lain dari Imam Muslim dari Jabir bahawa beliau berkata saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud” Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka dan tidak pula aku kecuali dengan rahmat Allah SWT”.

Saya mengharapkan agar saudara-saudara seagama dengan saya agar tidak mengambil ruang dan peluang untuk membangkitkan semula isu ini, apatah lagi kelompok Melayu Islam di negara kita yang tercinta ini telah lama berpecah yang menyebabkan kekuatan Islam juga tergugat. Sama ada kita dari parti UMNO, Pas atau PKR yang banyak didominasi oleh orang Melayu haruslah menyusun suatu kerangka dan formula baru untuk bersatu demi survival umat dan generasi kita di masa akan datang. Saya yakin bahawa semua lapisan pemimpin dan rakyat menyedari bahawa kesatuan kita dalam satu kelompok besar Melayu Islam yang bertolak ansur, berakhlak dan bertamadun boleh menjadikan kita umat yang kuat dan dihormati. -mingguan malaysia 6/3/2011


Hamil Bukan Sebarang Hamil, Wanita 'Hamil' Tin Susu

Kuantan – Rahsia seorang wanita mengandung yang keluar masuk sebuah pasar raya di Jalan Gambang, dekat sini, terbongkar apabila dia didapati sedang ‘hamil’ tin susu curi, kelmarin. Gambar fail.

Lebih mengejutkan, penyelia wanita pasar raya terbabit yang juga pengadu mendakwa, dalam kejadian itu, sebanyak 308 tin susu berharga kira-kira RM6,000 lesap dipercayai angkara suspek dan kumpulannya.

Cubaan menahan wanita itu gagal apabila beberapa lelaki dipercayai rakan subahatnya campur tangan sehingga berlaku pertengkaran sebelum mereka larikan diri dengan dua kereta.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pengadu berusia 31 tahun dakwa 10 orang, terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita, dengan seorang daripada mereka berlagak hamil.

Menurutnya, sebelum kejadian, penyelia itu sudah perhatikan suspek bersama sembilan rakannya ketika masuk premis kira-kira jam 10.50 pagi.

“Mondus Operandi (MO) digunakan kumpulan itu agak licik sehingga nyaris mengaburi mata pekerja premis terbabit.

“Mereka berlagak seperti pelanggan dengan membawa bakul sambil berlegar-legar dalam premis berkenaan manakala perempuan mengandung itu sibuk memilih susu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, bagaimanapun tindak tanduk wanita itu yang keluar masuk premis beberapa kali tanpa membeli barangan menimbulkan syak penyelia terbabit sebelum mengarahkan pekerjanya membuat pemeriksaan.

“Hasil pemerhatian seorang pekerja mendapati wanita itu cuba menyorok beberapa tin susu tepung ke dalam bajunya sebelum keluar dan masuk kembali.

“Pengadu bertindak menahan wanita itu ketika cuba keluar daripada pasar raya itu, bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan menolak penyelia itu hingga cermin matanya jatuh,” katanya.

Menurutnya, suspek turut memijak cermin mata pengadu hingga pecah lalu tercetus pertengkaran.

”Beberapa lelaki tampil campur tangan apabila cuba mempertahankan perempuan mengandung itu sambil menghamburkan kata-kata kesat kepada penyelia terbabit,” katanya.

Beliau berkata, menyedari perbuatan jenayah mereka terbongkar, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki dua kereta.

”Polis percaya kumpulan penyamun terbabit menggunakan taktik wanita mengandung bagi mengaburi mata orang awam sebelum melakukan jenayah.

”Polis kini sedang memburu semua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. -SH

Bahan Bukti Pihak Pendakwa Kes Anwar Ditolak

Hakim tolak tiga barangan sebagai bukti

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memerintahkan tiga barangan - berus gigi, botol air minuman dan tuala 'Good Morning' tidak boleh diterima sebagai bukti.

Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman dalam bicara dalam perbicaraan berkata barangan berkenaan diperolehi dengan cara yang tidak sah.

"Mahkamah mendapati tiga barang itu diperoleh secara tidak adil. Barang-barang dan perkara yang berkaitan akan ditolak daripada perbicaraan ini,” katanya.

Justeru, katanya, sampel DNA yang diperolehi itu juga tidak boleh diterima.

Sehubungan keputusan itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, meskipun beliau mempunyai tiga saksi lagi.

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan hingga pagi esok.

Sebelum itu, peguam Karpal Singh pagi tadi menjawap hujah Yusof semalam dalam usaha tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjadikan tiga barangan kontroversial itu sebagai bukti.

Menurut Karpal, memandangkan tangkapan ke atas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijalankan secara tidak sah dan barang berkenaan diperolehi secara tidak adil, justeru ia harus ditolak.

Sebaliknya, Yusof pula berkata mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada barangan itu adalah relevant meskipun cara ia diperolehi mengkin 'tidak sah'.

Sambil memetik kes mahkamah di negara-negara Komanwel seperti Britain, Amerika, Jamaica dan Afrika, Yusof dalam hujahnya selama dua jam setengah itu berkata puntung rokok dan botol air minuman daripada tertuduh juga diterima sebagai bukti dalam kes serangan seksual dan pembunuhan.

Berdasarkan hujah kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat penghakimannya hari ini. -mk


Karpal: Tangkapan tidak sah, barangan mesti ditolak

Tiga bahan yang mahu dikemukakan oleh pihak pendakwa sebagai bukti dalam kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, hendaklah ditolak kerana penangkapan ketua pembangkang itu, menyalahi undang-undang.

Peguam Karpal Singh berkata, bahan-bahan tersebut, di mana profil DNA diperolehi, diambil melalui cara yang tidak betul dan tidak adil atau melalui tipu muslihat.

Peguam kanan dan ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata Anwar telah memberi keterangan bahawa tiga peguamnya - Datuk Param Cumaraswamy, Sivarasa Rasiah, dan Sankara Nair - berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 16 Julai 2008, untuk kenyataannya direkodkan.

“Pada masa itu Anwar tahu mengenai temujanjinya pada jam 2 petang di IPK Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan mengikut seksyen 112 berkaitan dengan aduan Mohd Saiful Bukhari Azlan," katanya.

Katanya, Anwar juga memberi keterangan bahawa dia telah memaklumkan kepada pegawai SPRM untuk pergi ke Kuala Lumpur untuk memberi kenyataannya kepada pihak polis.

Dalam perjalanan balik, hujah Karpal, kereta Anwar telah dihalang oleh beberapa kereta tidak bertanda dan kereta polis dengan 10 hingga 15 anggota komando yang memakai penutup muka dan bersenjatakan mesingan.

“Sankara yang duduk di kerusi depan, telah bertanya kepada Supt Ahmad Taufik Abdullah tentang penangkapan tersebut, tetapi pegawai itu menjawab dia hanya mengikut arahan menangkap Anwar.

“Sankara tidak diberitahu alasannya dan begitu juga dengan Anwar apabila Taufik duduk di sebelahnya di kerusi belakang kereta polis. Apabila disoal balas oleh peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Anwar menafikan yang dia mengetahui mengapa dia ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, mahkamah diberitahu tidak ada sebarang helah, pujukan, ugutan atau janji dibuat bagi mendapatkan empat sampel dari lokap tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan semalaman pada 16 Julai 2008.

Sehubungan itu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pendakwaan berkata, mahkamah perlu menerima kesemua sampel tersebut sebagai barang kes dalam perbicaraan kes liwat Anwar, serta menolak permohonan pembelaan untuk tidak dimasukkan kerana ia didakwa diperoleh secara tidak sah.

"Anwar tidak diperdaya agar menggunakan berus gigi dan tuala atau minum air mineral tersebut. Selain itu, tidak ada sebarang pujukan, ugutan atau tekanan dilakukan terhadapnya ketika dia berada dalam lokap," katanya ketika berhujah di akhir prosiding bicara dalam bicara hari ini.

Beliau berkata jika keputusan mahkamah memihak kepada pendakwaan, dua saksinya iaitu ahli kimia Nor Aidora Saedon dan bekas ketua makmal forensik Polis Diraja Malaysia Cheras DSP Amidon Anan, perlu dipanggil semula untuk proses mengemuka serta menanda keempat-empat barang kes sebagai "P" (barang kes pendakwaan).

Barang kes berkenaan ialah ubat gigi, berus gigi, tuala Good Morning dan sebotol air mineral yang diambil Amidon dari lokap tersebut, yang kemudian disahkan oleh Nor Aidora mengandungi profil DNA milik 'lelaki Y', yang air maninya ditemui pada dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mohamed Yusof yang merujuk lebih 10 prinsip undang-undang nasional dan antarabangsa berkata, walaupun mempunyai budi bicara untuk tidak memasukkan bukti yang diperoleh secara tidak sah, mahkamah tidak boleh berbuat demikian jika ia relevan terhadap kes.

Beliau juga berkata penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 adalah sah kerana pegawai yang membuat tangkapan, iaitu DSP Ahmad Taufik Abdullah, telah berbuat demikian ketika beliau menyerahkan waran tangkap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) pada kira-kira 2 petang hari berkenaan, sebelum kenyataan tertuduh dirakam pegawai penyiasat DSP Judy Blacious Pereira.

"Anwar sendiri mengakui telah menandatangani satu dokumen yang diberikan kepadanya oleh DSP Ahmad Taufik pada hari tersebut, yang jelas menyebut dia ditahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu berhubung kesalahan liwat," katanya.

Mohamed Yusof berkata mahkamah tidak mempunyai sebab untuk menolak keterangan saksi pendakwaan itu kerana beliau ditugaskan menahan Anwar oleh pegawai atasannya, iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin.

Katanya, walaupun polis diberi kuasa menahan mana-mana individu tidak melebihi 24 jam tanpa memberikan sebarang sebab, namun dalam kes ini, Anwar dan peguamnya S.N.Nair telah dimaklumkan mengenai alasan penahanan.

"Polis telah mematuhi semua undang-undang berkaitan, dan Anwar dimaklumkan mengenai sebab dia ditahan sebaik dibawa ke IPK KL oleh DSP Ahmad Taufik, diikuti oleh DSP Judy, jadi dakwaan tertuduh dan Nair yang mereka tidak diberitahu adalah tidak benar," katanya.

Mohamed Yusof juga berkata dalam kes ini, penahanan Anwar dilakukan selepas pengadu menjalani pemeriksaan kesihatan, diikuti pengumpulan sampel sebelum disahkan menerusi ujian DNA.

"Kami memperoleh waran tangkap pada 15 Julai 2008, dan dalam keadaan biasa, suspek akan dimasukkan ke lokap terlebih dahulu sebelum disiasat," katanya.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. -mk


Ulasan GB

kereta Anwar telah dihalang oleh beberapa kereta tidak bertanda dan kereta polis dengan 10 hingga 15 anggota komando yang memakai penutup muka dan bersenjatakan mesingan

“Sankara yang duduk di kerusi depan, telah bertanya kepada Supt Ahmad Taufik Abdullah tentang penangkapan tersebut, tetapi pegawai itu menjawab dia hanya mengikut arahan menangkap Anwar.

Kedua-dua perkara di atas jelas menunjukkan penahanan secara tidak sah ke atas Anwar.

Malah polis-polis bertopeng yang menjalankan tugas "mengikut arahan" yang menyalahi undang-undang itu sepatutnya ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.


Lagi Kereta Terbakar, 2 Beradik Rentung

Kuala Lumpur: Dua beradik lelaki berusia 20 dan 26 tahun rentung bersama apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 57.5, Jalan Klang menghala Teluk Intan-Tanjung Karang, di sini, pagi semalam.

Gambar: KEADAAN kereta yang terbabit dalam nahas jalan raya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang, semalam. - Foto Suzaini Sulaiman

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Mohd Fauzan Mohd Ayob dan abangnya, Khairul Amri maut di tempat kejadian manakala pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda berusia 30-an hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, dua beradik terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Selangor selepas menghadiri kursus pegawai pertanian di Tanjung Karang, dua hari lalu.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, kereta Proton Wira yang dipandu Khairul Fahmi dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di laluan bertentangan gagal mengelak dan merempuh kereta yang dinaiki mangsa menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Dua beradik itu gagal menyelamatkan diri dan terperangkap dalam kenderaan terbabit, namun pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan berjaya keluar daripada kenderaan sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ismail berkata, kedua-dua mangsa yang maut dan pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelajar Nak Letupkan Sekolah, Menteri Pelajaran Perlu Letak Jawatan

Kuala Lumpur: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan ‘bom’ buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.

Tindakan ala ‘MacGyver’ itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran.

Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran.

“Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka,” katanya.

Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian.

“Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah.

Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan.

“Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil,” katanya. -hm

Ulasan GB

Mutakhir ini, pelbagai kes yang melibatkan guru dan murid sehingga ke tahap membimbangkan para ibu bapa.

Daripada guru disiplin dilaporkan meraba pelajar perempuan, sekumpulan pelajar menarik keluar dan membelasah rakannya di hadapan guru, kini ada pelajar yang mencipta bom untuk mengebom sekolah - kesemuanya mengarah kepada kegagalan sistem pelajaran dan kementerian pelajaran sendiri di dalam membentuk saksiah guru dan pelajar menjadi golongan yang akademis dan berakhlak mulia.

Menteri Pelajaran yang juga TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin TERBUKTI gagal sebagai seorang Menteri Pelajaran. Begitu juga Mohd Puad Zarkashi sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Keterlaluan di dalam politiking dengan memainkan angka peruntukan jutaan ringgit, sibuk siang-malam menghentam PAS, sehingga mengabaikan aspek-aspek fundamental objektif, missi dan vissi kementerian sendiri yang sepatutnya diberikan keutamaan.

Adalah wajar menteri berkenaan meletakkan jawatannya.

34 Kereta Remuk Dihempap Pokok Tumbang Akibat Hujat Lebat

Gambar: RANAP... Kelihatan anggota Bomba dan Penyelamat mengalihkan batang dan dahan pokok yang menghempap kereta yang berada di tempat letak kereta di Jalan Tun Razak berhampiran RHB Bank di Kuala Lumpur pada Isnin. Kira-kira 20 buah kereta ranap kerana dihempap tiga batang pokok di situ ketika hujan lebat kira-kira sejam. Dipercayai kebanyakan pemilik kereta tersebut adalah pekerja RHB Bank. - BERNAMA


Kuala Lumpur: Sebanyak 34 buah kereta remuk setelah dihempap pokok ekoran hujan lebat dalam dua kejadian berasingan di tempat letak kereta swasta di Jalan Tun Razak di sini, Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian pertama berlaku berhampiran dengan Wisma Time di Jalan Tun Razak di mana 30 kereta remuk apabila lima pokok termasuk empat pokok besar tumbang dan menghempap kereta yang dipakir di situ pada pukul 5.30 petang.

Pada masa yang sama empat kereta remuk apabila sebatang pokok besar di tempat letak kereta swasta berhampiran bangunan Bank RHB, yang terletak seberang jalan Wisma Time, tumbang dan menghempap kereta tersebut, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang itu sejak pukul 5.50 petang hingga 9 malam ini. - BERNAMA

Daphne Telah Peluk Islam Dan Bersuami, Darren & Bekas Suami Daphne Berdamai

Darren Bebas Saman Bekas Suami Daphne Iking Selepas Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Besar Adidas, Darren Choy Khin Ming pada Isnin, membuat permohonan maaf terbuka kepada bekas suami Daphne Iking kerana memikat pelakon dan pengacara tersebut semasa masih bergelar isteri.

Permohonan maaf Darren, 45, ditujukan Ryan Chong Yiing Ming, 33, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

“Saya dengan ini memohon maaf dengan seikhlas hati kepada Ryan, ibu bapanya dan seluruh keluarga beliau,” kata Darren menerusi satu kenyataan yang dikemukakan di Mahkamah Majistret di sini.

Selain itu, Darren turut mengakui bahawa hubungannya dengan Daphne atau nama Islamnya, Dahlia Elenor Iking, 33, telah mengaibkan dan memalukan Ryan dan seluruh ahli keluarga beliau.

"Saya kesal dengan isu yang dibangkitkan oleh peguam saya dalam sesi soal balas yang mungkin telah merosakkan dan memusnahkan reputasi Ryan dan ahli keluarganya,” kata Darren.

Pada kenyataan tersebut, Darren juga menyatakan bahawa beliau bukanlah bapa kandung kepada anak Daphne, iaitu Isobel Denielle Iking Chong, yang berusia tiga tahun.

Beliau juga turut menarik semula tiga kenyataan yang menyentuh peribadi Ryan pada perbicaraan lalu, iaitu:

- Ryan telah membuat berjanji untuk memberikan wang kepada seorang wanita warga China bagi merahsiakan hubungan mereka.

- Ryan telah berjanji untuk memberikan wang kepada Daphne sekiranya bekas pengacara rancangan The Breakfast Show itu setuju untuk berkahwin dengan beliau.

- Ryan telah dijanjikan akan mewarisi harta pusaka datuknya.


Dengan permohonan maaf itu, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Ryan memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk menarik semula saman peribadi yang difailkan terhadap Darren.

Tindakan tersebut mendapat pujian daripada Majistret Engku Rashdi Engku Abdillah yang berkata: “Inilah yang diharap-harapkan. Saya rasa terharu dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak.”

Beliau kemudiannya melepas dan membebaskan Darren daripada pertuduhan memikat Daphne dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Darren antara bulan Julai dan September 2008, di B-13-2, The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pendakwaan terhadap Darren dikendalikan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada perbicaraan lalu, Darren diwakili peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Akbardin Abdul Kader.

Kes ini difahamkan yang pertama di negara ini dan pada perbicaraan lalu, seramai empat orang saksi telah memberi keterangan.

Sementar itu, Darren semasa ditemui di luar mahkamah menyifatkan penyelesaian itu sebagai situasi menang-menang.

“Tiada lagi perasaan salah faham dan perkara ini diselesaikan secara tertib,” katanya yang turut dilihat bersalaman dengan Ryan.


Ulasan GB

Darren Choy Khin dan suami Daphne Iking, Ryan Chong Ying Ming akhirnya terpaksa pasrah. Masing-masing gagal untuk merebut Iking yang kini telah pun memeluk Islam dan hidup bahagia di samping suaminya, Azmi Abdul Rahman.

Tiada apa yang hendak direbutkan lagi.


Malang Tak Berbau: Temui Ajal Selepas Sehari Bertunang

Kuala Pilah: Sungguh menyayat hati apabila seorang gadis yang baru mengikat tali pertunangan kelmarin, menemui ajal bersama dua ahli keluarga lain selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 13, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Batu Kikir di sini, semalam.

Sebelum kejadian, Sharifah Saodah Mohd Nazir, 22, yang memandu Proton Wira dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felcra Lakai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang.

Turut bersama mangsa kakaknya, Norhashikin Mohd Nazir, 27, dan anak saudaranya, Natasha Amirah Isa, 6, dan Mohd Iskandar Fahmi, 3.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas sekolah dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan Sharifah Saodah mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Norhashikin dan Natasha yang cedera parah turut menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Juaseh, dekat sini.

Mohd Iskandar pula hanya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Seremban, untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, tiga bersaudara itu baru pulang selepas mengambil motosikal Suzuki Panther milik suami Norhashikin, Isa Rahmat, 32, yang sudah dibaiki, berhampiran bandar itu.

Malah, lebih memilukan apabila Isa yang menunggang motosikal itu berada beberapa kilometer dari kereta yang turut membawa isterinya.

Isa berkata, hanya Allah tahu isi hatinya apabila diberitahu kejadian yang menimpa isteri dan saudaranya yang lain kira-kira jam 3 petang.

“Panggilan dibuat seorang ahli keluarga itu memaklumkan isteri, kakak dan anak saudara sudah meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui Bilik Mayat Hospital Kuala Pilah di sini, semalam.

Sementara itu, kakak ipar Norhashikin, Aslinda Muhamad, 33, berkata, dia terkejut apabila menerima khabar sedih yang meragut tiga nyawa insan kesayangannya itu.

Menurutnya, semua mangsa datang ke rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka, kira-kira jam 10 pagi semalam, namun mereka tidak sempat berbual panjang.

“Ketika itu, ibu mentua saya, Nurhidayah Awang, 50, baru saja tiba di rumah selepas mengetahui menantu serta dua cucunya itu datang dari Simpang Durian.

“Saya melihat dia (Norashikin) beria-ria mencium kedua-dua pipi ibu mentua saya sambil ketawa.

“Dia kemudian memberitahu mahu segera pulang kerana ada benda mahu diselesaikan di kampung dan takut tidak dapat berjumpa lagi,” katanya yang tidak menyangka ia petanda mangsa akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya. -hm

‘Kalah’ Melawan Al-Quran, Dr Jeffrey Lang Menerima Islam

Sejak kecil Dr Jeffrey Lang dikenali dengan sifat ingin tahu. Beliau kerap menanyakan logiknya sesuatu dan mengkaji apa pun berdasarkan perspektif rasional.

“Ayah, ayah percayakah syurga itu wujud?” tanya Jeffrey sewaktu ia kecil kepada ayahnya tentang kewujudan syurga, ketika kedua-duanya berjalan bersama anjing peliharaan mereka di pantai. Bukan suatu kejutan jika kelak Jeffrey Lang menjadi profesor matematik, sebuah wilayah dimana tak ada tempat selain logik.

Ketika menjadi siswa tahun terakhir di Notre Dam Boys High, sebuah sekolah Katholik, Jeffrey Lang memiliki beberapa penolakan rasional terhadap keyakinan akan kewujudan Tuhan. Perbincangannya dengan pendita sekolah, orangtuanya, dan rakan sekelasnya tak juga mampu memuaskannya tentang kewujudan Tuhan. “Tuhan akan membuatmu tertunduk, Jeffrey!” kata ayahnya ketika ia membantah kewujudan Tuhan di usia 18 tahun.

Ia akhirnya memutuskan menjadi atheis pada usia 18 tahun, yang berlangsung selama 10 tahun ke depan selama menjalani kuliah S1, S2, dan S3, hingga akhirnya memeluk Islam.

Adalah beberapa ketika sebelum atau sesudah memutuskan menjadi atheis, Jeffrey Lang mengalami satu mimpi. Berikut penuturan Jeffrey Lang tentang mimpinya itu:

Kami berada dalam sebuah ruangan tanpa sebarang perabot. Tak ada apa pun di tembok ruangan itu yang berwarna putih kelabu.

Satu-satunya ‘hiasan’ adalah karpet berpola dominan merah-putih yang menutupi lantai. Ada sebuah jendela kecil, seperti jendela ruang bawah tanah, yang terletak di atas dan menghadap ke kami. Cahaya terang mengisi ruangan melalui jendela itu.

Kami membentuk deretan. Saya berada di deret ketiga. Semuanya lelaki, tak ada wanita, dan kami semua duduk di lantai di atas tumit kami, menghadap arah jendela.

Terasa asing. Saya tak mengenal seorang pun. Mungkin, saya berada di sebuah negara lain. Kami menunduk serentak, muka kami menghadap lantai. Semuanya tenang dan hening, bagaikan semua suara dimatikan. Kami serentak kami kembali duduk di atas tumit kami. Saat saya melihat ke depan, saya sadar kami dipimpin oleh seseorang di depan yang berada di sisi kiri saya, di tengah kami, di bawah jendela. Ia berdiri sendiri. Saya hanya dapat melihat sekejap bahagian punggungnya. Ia memakai jubah putih panjang. Ia mengenakan selendang putih di kepalanya, dengan corak merah. Ketika itulah saya terbangun.

Sepanjang sepuluh tahun menjadi atheis, Jeffrey Lang beberapa kali mengalami mimpi yang sama. Bagaimanapun, ia tak terganggu dengan mimpi itu. Ia hanya merasa nyaman tatkala terjaga. Sebuah perasaan nyaman yang aneh. Ia tak tahu apa itu. Tak ada logik di sebalik itu, dan kerananya ia tak peduli sekalipun mimpi itu berulang.

Sepuluh tahun kemudian, saat pertama kali memberi kuliah di University of San Fransisco, dia bertemu murid Muslim yang mengikuti kelasnya. Tak hanya dengan murid tersebut, Jeffrey pun tak lama kemudian menjalin persahabatan dengan keluarga murid itu. Agama bukan menjadi topik bahasan tatkala Jeffrey menghabiskan waktu dengan keluarga sang murid. Hingga setelah beberapa waktu salah satu anggota keluarga sang murid memberikan Alquran kepada Jeffrey.

Sekalipun tak sedang berniat mengetahui Islam, Jeffrey mulai membuka-buka Alquran dan membacanya. Saat itu kepalanya dipenuhi berbagai prasangka.

“Anda tak boleh hanya membaca Alquran, tidak boleh jika anda tidak menerimanya secara serius. Anda harus, pertama, memang benar-benar telah menyerah kepada Alquran, atau kedua, ‘menentangnya’,” ungkap Jeffrey.

Ia kemudian mendapati dirinya berada di tengah-tengah pergelutan yang sangat menarik. “Ia (Alquran) ‘menyerang’ diri anda secara langsung, begitu personal. Alquran itu akan berdebat, mengkritik, memalukan, sekaligus mencabar anda. Sejak awal ia (Alquran) menggariskan satu garis perang, dan saya berada di wilayah yang bertentangan.”

“Saya menderita kekalahan yang parah (dalam pergelutan). Dari situ menjadi jelas bahawa 'Penulis' (Alquran) mengenali diri saya lebih baik daripada saya mengenali diri saya sendiri,” kata Jeffrey. Ia mengatakan seakan Penulisnya dapat membaca fikirannya. Setiap malam ia menyiapkan sejumlah pertanyaan dan persoalan, namun selalu mendapati jawabannya pada bacaan berikutnya, seiring ia membaca halaman demi halaman Alquran secara berurutan.


“Alquran selalu jauh di depan pemikiran saya. Ia menghapus halangan yang telah saya hadapi bertahun-tahun lalu dan menjawab pertanyaan saya.” Jeffrey mencuba melawan dengan keras dengan keberatan dan pertanyaan, namun semakin jelas ia kalah dalam pergelutan. “Saya dituntun ke sudut di mana tak ada lain selain satu pilihan.”

Saat itu awal 1980-an dan tak ramai Muslim di kampusnya, University of San Fransisco. Jeffrey mendapati sebuah ruangan kecil di basement sebuah gereja di mana sejumlah mahasiswa Muslim melakukan solat. Selesai pergelutan panjang di benaknya, ia memberanikan diri untuk mengunjungi tempat itu.

Beberapa jam mengunjungi di tempat itu, ia mendapati dirinya mengucap syahadat. Selesai syahadat, waktu solat dzuhur tiba dan ia pun diundang untuk menyertainya. Ia berdiri dalam deretan dengan para mahasiswa lainnya, dipimpin imam yang bernama Ghassan. Jeffrey mulai mengikuti mereka solat berjamaah.

Jeffrey ikut bersujud. Kepalanya menempel di karpet merah-putih. Suasananya tenang dan hening, bagaikan semua suara dimatikan. Ia lalu kembali duduk di antara dua sujud.

“Saat saya melihat di hadapan, saya dapat melihat Ghassan, di sisi kiri saya, di tengah-tengah, di bawah jendela yang menerangi ruangan dengan cahaya. Dia sendirian, tanpa barisan. Dia mengenakan jubah putih panjang. Selendang (scarf) putih menutupi kepalanya, dengan corak merah.”

“Mimpi itu! Saya berteriak dalam hati. Mimpi itu, sebijik! Saya telah benar-benar melupakannya, dan sekarang saya tertegun dan takut. Apakah ini mimpi? Apakah saya akan terbangun? Saya cuba memfokus apa yang terjadi untuk memastikan apakah saya tidur. Rasa dingin mengalir cepat ke seluruh tubuh saya. Ya Tuhan, ini nyata! Lalu rasa dingin itu hilang, berganti rasa hangat yang berasal dari dalam. Air mata saya bercucuran.”

Ucapan ayahnya sepuluh tahun silam terbukti. Ia kini berlutut, dan wajahnya menempel di lantai. Bahagian tertinggi otaknya yang selama ini berisi seluruh pengetahuan dan intelektualitinya kini berada di titik terendah, dalam sebuah penyerahan total kepada Allah SWT.

Jeffrey Lang merasa Tuhan sendiri yang menuntunnya kepada Islam. “Saya tahu Tuhan itu selalu dekat, mengarahkan hidup saya, menciptakan lingkungan dan kesempatan untuk memilih, namun tetap meninggalkan pilihan krusial kepada saya,” ujar Jeffrey kini.

Jeffrey kini professor jurusan matematik University of Kansas dan memiliki tiga anak. Ia menulis tiga buku yang banyak dibaca oleh Muslim AS: Struggling to Surrender (Beltsville, 1994); Even Angels Ask (Beltsville, 1997); dan Losing My Religion: A Call for Help (Beltsville, 2004). Ia memberi kuliah di banyak kampus dan menjadi pembicara di banyak konferensi Islam.

Ia memiliki tiga anak, dan bukan sebuah kejutan anaknya memiliki rasa keingintahuan yang sama. Jeffrey kini harus menghadapi pertanyaan-pertanyaan yang sama yang dulu ia lontarkan kepada ayahnya. Suatu hari ia ditanya oleh anak perempuannya yang berusia lapan tahun, Jameelah, selesai mereka solat Ashar berjamaah. “Ayah, mengapa kita solat?”

“Pertanyaannya mengejutkan saya. Tak sangka berasal dari anak usia lapan tahun. Saya tahu memang jawapan yang paling jelas, bahawa Muslim diwajibkan solat. Tapi, saya tak ingin membuang kesempatan untuk berbagi pengalaman dan keuntungan dari solat. Bagaimana pun, selesai menyusun jawaban di kepala, saya memulai dengan, ‘Kita solat kerana Tuhan ingin kita melakukannya’,”

“Tapi kenapa, ayah, apa akibat dari solat?” Jameela kembali bertanya. “Sulit menjelaskan kepada anak kecil, sayang. Suatu hari, jika kamu melakukan solat lima waktu tiap hari, saya yakin kami akan mengerti, namun ayah akan coba yang terbaik untuk menjawan pertanyaan kamu.”

‘Dengar sini, buah hati kesayanganku. Tuhan itu sumber kesemua perasaan kasih sayang, cinta, pemurah dan hikmah terhadap segala keindahan — yang kita alami dan rasai. Seperti matahari sumber cahaya yang kita lihat pada siang hari, Tuhan ada sumber kepada semua ini dan banyak lagi. Justeru, kasih sayang yang ayah rasakan untukmu, adik-adikmu, dan ibumu kesemuanya datang dari Allah. Kita tahu Allah itu Pengasih dan Penyayang melalui segala pemberianNya kepada kita di dalam hidup ini. Tetapi hanya di dalam solat, kita dapat merasakan kasih sayang, pemurahnya Allah, dan nikmat pemberianNya itu di dalam cara yang teramat istimewa, di dalam cara yang amat kukoh.

Misalnya, anakku tahu yang ibumu dan ayahmu ini mengasihimu dengan cara kami berdua mengambil berat terhadapmu. tetapi hanya apabila kami memeluk dan menciummu, anakku akan dapat merasakan betapa sayangnya kami terhadapmu. Begitulah tamsilnya, kita tahu Allah menyayangi kita semua dan pemurahnya Dia kerana menjagai kita. Namun hanya pada waktu kita solat, kita dapat merasakan cintaNya itu terlalu benar dan istimewa.’

‘Apakah solat itu menjadikan ayah seorang ayah yang lebih baik?’ Dia bertanyaku.

‘Ayah harap begitu dan ayah harap dapat berfikir begitu, kerana apabila seseorang itu telah "disentuhi" dengan kasih sayang Tuhan di dalam solat, ia terlalu indah dan kukoh, sehinggakan seseorang itu merasakan ingin memperkongsikannya kepada mereka yang ada diskelilingnya, terutama kepada ahli keluarganya. Kadang-kala, selepas penat bekerja seharian, ayah merasa keletihan dan ayah ingin bersendirian. Tetapi jika ayah dapat merasai kasih sayang Allah di dalam solat, ayah akan segera teringat dan melihat ahli-ahli keluarga ayah dan mengingatkan betapa besarnya pemberian Allah menghadiahkan dirimu kepada ayah, dan kesemua cinta dan kasih sayang yang ayah perolehi kerana menjadi ayahmu dan suami kepada ibumu. Ayah tak kata ayah ini seorang yang sempurna, namun ayah percaya ayah tak mungkin menjadi ayah yang baik tanpa solat. Bolehkah diterima hujjah-hujjah ayah itu?’

‘Saya faham apa yang ayah maksudkan,’ jawab Jameelah.

Kemudian dia memeluk saya dan berkata, ‘Dan saya sayang sangat kat ayah!’

‘Ayah pun sayang padamu.’