16 Feb 2013

Semseng UMNO Pekan Terajang Siswa, Rentap Tudung Siswi, Bukti UMNO Bakal Berkubur


Najib biar samseng UMNO Pekan terajang siswa, rentap tudung siswi Ahli Parlimen Pekan merangkap Perdana Menteri Najib Razak digesa memohon maaf kepada kumpulan mahasiswa yang diserang oleh samseng-samseng UMNO di Pekan, Pahang semalam.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya hari ini meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan ganas pihak-pihak tersebut ke atas mahasiswa yang secara tiba-tiba diserang sekumpulan samseng ketika sedang mengedar risalah.

Wakil Gerakan Mahasiswa PRU ke-13 (GM-13), Ekhsan Bukhari, dilaporkan berkata “tiba-tiba kumpulan 100 samseng di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan mengepung kami. Ada yang kena sepak, tampar, terajang. Mahasiswi pula kena tarik tudung.

” Zairil menyifatkan budaya politik samseng yang dilakukan itu adalah amat keji dan memperlihatkan didikan dan kapasiti minda yang dangkal.

“Apatah lagi apabila ia berlaku di Pekan, iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri sendiri. Tidakkah ini memalukan Perdana Menteri, apabila siswa-siswi yang tidak bersalah telah disepak terajang malah ada siswi yang dilaporkan ditarik tudungnya?

“Sebagai Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak sepatutnya bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak buahnya untuk berhujah dengan akal. Sebaliknya, mereka hanya mampu menganiaya sekumpulan anak muda dengan kekerasan,” ujar beliau.

Menurut Zairil lagi, DAP menghormati hak mahasiswa yang ingin menyertai proses demokrasi secara langsung, serta hak mereka untuk menyuarakan sebarang bantahan dan tuntutan melalui apa cara sekalipun selagi ia tidak melanggar undang-undang.

“Lagipun, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti di Parlimen tahun lalu tambah mengabsahkan hak mahasiswa untuk berpolitik,” katanya.

Zairil berkata budaya politik samseng UMNO ini amat ketinggalan zaman dan mewajarkan lagi kejatuhan mereka daripada persada politik tanah air.

“Budaya politik samseng ini mesti ditolak, dan UMNO wajar mendidik penyokong-penyokongnya untuk menghormati demokrasi dan berlawan politik secara beradab. Cabaran politik harus disahut dengan hati dan dada yang lapang dan bukan dengan keganasan,” tambah beliau.

“Saya menyeru kepada Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak, supaya memperbetulkan kesilapan anak-anak buahnya dan meminta maaf kepada para mahasiswa yang telah dianiaya dengan keganasan yang melampau.” – Roketkini


100 samseng Umno kepung, sepak mahasiswa di Pekan


PEKAN 15 FEB: Lepas diserang ketika mengedar risalah Selasa lalu, diikuti serangan dengan parang pada Rabu, kumpulan Gerakan Mahasiwa PRU-13 di Pekan, Pahang petang ini dikepung pula kira-kira 100 samseng Umno untuk menghalau mereka pulang.

Bercakap kepada Keadilan Daily, wakil mahasiswa terlibat, Ekhsan Bukhari berkata, serangan tersebut bermula semasa sekumpulan 30 mahasiswa mengedar risalah ‘Harapan mahasiswa untuk rakyat Pekan’ di sekitar kawasan itu.

“Kami sedang edar risalah, tiba-tiba kumpulan 100 samseng di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan mengepung kami. Ada yang kena sepak, tampar, terajang. Mahasiswi pula kena tarik tudung. Polis hanya tengok serangan berlaku.

“Daripada situ, kami terus balik ke tempat penginapan, di Madrasah Husna yang tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dihubungi ketika beliau dalam madrasah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

Menurut Ekhsan, kumpulan samseng itu kemudian mengepung madrasah tersebut memberi amaran supaya mereka beredar.

Jika ingkar, kumpulan itu mengugut untuk melakukan ancaman, kata Ekhsan lagi.

“Samseng-samseng itu masih di luar madrasah. Mungkin mereka bimbang dengan kehadiran kami di sini kerana Datuk Seri Najib (Razak) akan ke pekan Chini esok,” kata Ekhsan.

Sebelum ini, pelajar Universiti Selangor (Unisel) itu dan dua lagi mahasiswa diserang samseng Umno di Kampung Datuk Keramat, Ganchong ketika mengedarkan risalah kepada pengundi di kampung berkenaan.

Kumpulan siswa itu mendakwa ditumbuk dan disepak di kepala dan badan oleh lelaki tidak dikenali dalam kejadian pada kira-kira jam 1 petang itu.

Manakala, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, dua siswa dan dua siswi pula diserang dengan parang oleh samseng Umno di Felda Chini 4.

Gerakan Mahasiwa PRU-13 menggerakkan anggotanya untuk mengedarkan risalah berkenaan selepas mengumumkan untuk meletakkan calon di kawasan yang diwakili Perdana Menteri itu.
-KD



Pukul mahasiswa berkempen bukti kelemahan pentadbiran Najib


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor hari ini membidas tindakan pengecut ahli Umno di Kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau ManiS dalam Parlimen Pekan yang bertindak ganas dengan memukul mahasiswa Ekhsan Bukhari, bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) ketika selesai mengedarkan risalah ‘Harapan Malaysia’ semalam.

AMK Selangor melihat insiden keganasan terbaru ini sebagai satu lagi siri kegagalan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dan juga Ketua Umno Bahagian Pekan yang tidak mampu melakukan transformasi terhadap ahli parti di bahagian sendiri.

Kegagalan Najib Razak ini juga dilihat sebagai satu simbol kelemahan pentadbiran beliau yang semakin ditolak oleh rakyat Malaysia.

AMK Selangor mempersoalkan sekiranya benar Najib Razak diterima oleh majoriti mahasiswa seperti yang didakwa dalam satu kajian, mustahil Perdana Menteri itu goyang apabila berhadapan dengan kempen demokrasi yang dilakukan oleh lima orang mahasiswa sahaja?

Jelas ada kegusaran sebenar yang disembunyikan Najib Razak selaku orang nombor satu Umno yang bukan sahaja goyah di peringkat Nasional, tetapi juga mungkin merasa bahang dibenci di bahagian sendiri.


Najib perlu minta maaf & bertanggungjawab

Najib Razak seharusnya bersikap positif dalam isu ini dan meminta maaf secara terbuka kepada kumpulan mahasiswa ini khasnya dan rakyat Malaysia umumnya atas insiden yang tercetus dalam kawasan Parlimen beliau.

AMK Selangor menuntut Perdana Menteri itu bertanggungjawab sebagai Ketua Bahagian dan Perdana Menteri untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.

AMK Selangor percaya sekiranya kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri sendiri tidak selamat untuk satu kempen demokrasi yang bebas, apakah nasib individu atau kumpulan lain yang cuba menjual idea dan hujah terutama ketika bahang PRU 13 semakin hampir.

Atau menurut pemikiran AMK Selangor, adakah ini isyarat penolakan dan sabotaj ahli Umno Bahagian Pekan sendiri terhadap Najib Razak, kerana mustahil mereka yang melakukannya tidak sedar akan impak negatif yang akan terpalit pada imej Najib Razak berikutan insiden ini. Najib Razak harus segera menyiasat apakah wujud ‘gunting dalam lipatan’ di bahagian Umno Pekan sendiri.

Namun yang jelas, AMK Selangor bertegas kejadian ganas terbaru ini sama sekali tidak seharusnya berlaku ketika Umno Barisan Nasional mencanang mereka berada pada tahap terbaik untuk menang 2/3 majoriti kerusi di Parlimen dan berada di tahap paling kuat sejak 2008.

AMK Selangor memberikan sokongan padu kepada mana-mana inidvidu dan kumpulan yang ingin terus melibatkan diri dalam proses demokrasi demi masa depan negara yang lebih baik.

AMK Selangor juga memberi jaminan tidak akan wujud kekasaran dan provokasi terhadap mana-mana kumpulan pembangkang dan Umno di Selangor yang turun berkempen, sama seperti kebebasan yang mereka kecapi sejak 2008 kerana Keadilan wujud atas citra anak muda bebas dan cintakan keamanan.

Azmizam Zaman Huri
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia





Ulasan GB

Gejala samseng UMNO yang kian menjadi-jadi mutakhir ini membuktikan bahawa UMNO kini di dalam ekadaan cukup terdesak.

Ia sekaligus membuktikan bahawa UMNO itu sebuah parti yang dianggotai oleh para samseng dan orang yang tidak berilmu atau di dalam kata lain BANGANG dan BEBAL.

Mereka tidak patuh kepada undang-undnag, meletakkan undang-undang di tangan sendiri dan pihak polis seperti merelakannya.

Hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya dimana akibat tindakan dan perbuatan samseng-samseng UMNO ini, UMNO sudah tidak layak wujud lagi, dalam erti kata lain, dikuburkan!

[EDISI BINGAI] Di mana Anwar Berpidato, Di situ Umno Pacak Khemah Ceramah


Tidak sukar untuk mengagak bila Umno akan mengadakan ceramah iaitu bergantung kepada lokasi di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pidato, kata Pengerusi KEADILAN Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa.

“Umno tak ada kerja lain. Sentiasa ekori Anwar ke mana saja. Kita buat ceramah di sini, mereka pun teringin sangat buat di tempat sama.

“Mereka boleh buat hari lain. Kenapa buat hari dan lokasi sama? Ini bukti Umno makin gelisah dengan kehadiran Anwar,” katanya mengulas perbuatan Umno Bahagian Langkawi mengadakan ceramah kira-kira 300 meter dari lokasi ceramah Anwar, malam tadi.

Ceramah itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Roslan Kassim tetapi ‘bungkus awal’ berikutan tiada sambutan dan dihadiri 300 orang sahaja.


Ia berbeza dengan ceramah menampil Ketua Umum KEADILAN di Pekan Kuah, Langkawi dan dihadiri hampir 5,000 rakyat yang hanya berakhir tengah malam 15 Februari lalu.

Penahanan Xenophon Cemarkan Imej Negara & Langgar Protokol Antarabangsa


Australia mahu senatornya dibebaskan dari ditahan di Malaysia

SEPANG, 16 Feb ― Canberra mahu pembebasan segera senator Nicholas Xenophon yang ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) hari ini.

Xenophon ditahan di LCCT dan dijangka akan dihantar pulang kerana pihak imigresen menganggap beliau sebagai “risiko keselamatan”.

“Kebimbangan Australia telah dikemukakan kepada Menteri Luar, Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia.

“Kerjasama mereka diminta untuk memastikan Senator Xenophon dibebaskan dari tahanan,” kata Menteri Luar Australia, Bob Carr dalam satu kenyataan hari ini.

“Penahanan Senator Xenophon memeranjatkan dan mengecewakan dari sebuah negara yang Australia anggap rakan diplomatik yang kuat,” katanya lagi.

Xenophon tiba di Malaysia untuk bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu hadapan bagi membincangkan sistem pilihan raya Malaysia, kata pegawai kanan Anwar, Ibrahim Yaacob hari ini. -TMI


Penahanan Nick Xenophon langgar protokol antarabangsa – Anwar


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam penahanan senator bebas Australia, Nick Xenophon pagi ini dan menegaskan ia melanggar protokol antarabangsa.

“Saya mengecam dengan keras penahanan senator Australia Nick Xenophon di LCCT yang dikatakan mengancam keselamatan nasional dan dilabel sebagai ‘musuh negara’. Tuduhan-tuduhan itu adalah tidak berasas,”

Anwar Ibrahim“Saya mengingatkan perdana menteri, Najib Razak bahawa beliau tiada hak untuk memperlaku tetamu sebagai musuh negara hanya kerana mereka kritikal kepada pentadbiran Umno.

“Malaysia bukan dimiliki Umno. Ia kepunyaan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik,” tegas Anwar.

Menurut Anwar, Xenophon yang melahirkan kebimbangan terhadap pilihan raya akan datang, tidak melanggar sebarang undang-undang mahupun mengancam keselamatan negara.

“Tambahan pula, beliau disertai penggubal undang-undang Australia untuk bercakap kepada kami, serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan raya.

Ini bukan sebab untuk menyenaraihitamkan beliau,” katanya.

Menurut Anwar, tindakan menahan dan menghantar pulang Xenophon bermotifkan politik dan merupakan salahguna kuasa.

“Ia juga jelas melanggar protokol antarabangsa dalam menerima kehadiran penggubal undang-undang daripada luar, khususnya ahli negara komanwel.

“Senator Xenophon mesti dibebaskan serta merta dan dibenarkan masuk ke negara ini tanpa halangan selanjutnya,” tegas Anwar.
-KD



Senator Australia ditahan di LCCT, tunggu deportasi


Senator Australia Nick Xenophon telah ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan sedang menunggu untuk deportasi kerana didakwa menjadi "musuh negara".

Xenophon, yang tiba awal pagi ini, ditahan pihak imigresen sejak beberapa jam yang lalu.

Xenophon memberitahu akhbar Sunday Mail Australia bahawa beliau sedang ditahan di kawasan dengan semua sel tahanan penuh dengan wanita.

Katanya, beliau dimaklumkan yang beliau merupakan "musuh negara" dan akan dihantar menaiki penerbangan berikutnya untuk pulang ke negaranya.

Menurut senator itu, walaupun tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan telefon, tetapi beliau sempat menghubungi akhbar Australia itu ketika ditinggalkan bersendirian dalam bilik soal siasat.

Ketua Kakitangan pejabat Ketua Pembangkang, Ibrahim Yaakob, yang bergegas ke LCCT untuk menguruskan perkara itu, memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai imigresen mendapati nama Xenophon telah disenaraihitamkan dalam sistem jabatan tersebut.

"Para pegawai tidak menyatakan sebarang sebab lain, tetapi Xenophon memberitahu kami bahawa dia dimaklumkan bahawa dia ialah musuh negara ini," kata Ibrahim ketika dihubungi.

Akan dihantar pulang

Xenophon dijadualkan dihantar pulang ke Australia dalam penerbangan jam 10 malam ini, kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia telah tiba di LCCT dan sedang berusaha untuk menghubungi kementerian luar Malaysia.

Senator bebas adalah sebahagian daripada delegasi empat anggota Australia yang mengambil inisiatif untuk meneliti sistem pilihan raya Malaysia selepas kerajaan Australia menolak permohonan Anwar mendapatkan pemerhati bebas bagi memantau pilihan raya umum akan datang.

Tiga lagi anggota delegasi itu ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.

Delegasi itu dijadualkan bertemu dengan Anwar pada hari Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada hari Selasa, serta NGO lain dan ahli parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih belum berlepas ke Malaysia.

Menurut Ibrahim, mereka telah memutuskan untuk membatalkan lawatan mereka selepas apa yang berlaku kepada Xenophon.

"Ini akan menjejaskan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Xenophon menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0 tahun lepas sebagai pemerhati antarabangsa dan turut menjadi sasaran gas pemedih oleh polis anti-rusuhan, yang menyuraikan peserta demonstrasi menuntut reformasi pilihan raya itu.

'Arahan dari atas'

Xenophon memberitahu ABC News 24 Australia bahawa beliau tidak menjangka akan ditahan semasa ketibaannya di Kuala Lumpur.

Katanya, pegawai imigresen berkenaan "sangat sopan" tetapi mereka memberitahunya bahawa mereka menerima "arahan dari atas" untuk menahannya.

"Saya mendapatinya luar biasa. Saya pernan ke sini sebelum ini [dan] Saya telah membuat kenyataan mengenai keadaan demokrasi di Malaysia sebelum ini.

"Tetapi pada kali ini jelas seseorang yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia tidak mahu saya di sini," katanya.
-mk

[VIDEO] Beratus Cedera Akibat Lintasan Meteor Di Russia


Moscow: Meteor dari angkasa menimpa Rusia pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan bola api, yang mengejutkan ramai, dan mencederakan lebih 900 orang Di Chelyabinsk, wilayah Ural, timur Moscow, pagi tadi waktu tempatan.

Jurucakap pihak berkuasa Chelyabinsk berkata, sembilan orang dimasukkan ke hospital. Kebanyakan cedera disebabkan terkena kaca yang pecah.

Agensi berita tempatan, RIA Novosti melaporkan, sekurang-kurangnya tiga lagi kritikal, juga akibat terkena kaca pecah dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi.

Menurut laporan agensi berita rasmi, Itar-Tass, satu cahaya terang berwarna putih muncul di langit untuk beberapa saat diikuti dengan bunyi "bang" yang sangat kuat seperti letupan.

Itar-Tass melaporkan, letupan itu berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.

Sementara itu, pegawai kecemasan Rusia berkata, meteor telah musnah selepas sebahagiannya terbakar ketika berada di atmosfera lebih rendah berbanding daerah Ural.

Pegawai Kementerian Kecemasan Gennady Onishcenko berkata, kebanyakan mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca selepas hujan meteoroid tersebut jatuh ke kawasan perumahan dan sekitar bangunan.

“Kebanyakan mangsa dikejarkan ke hospital akibat terkena serpihan kaca yang berterbangan selepas meteoroid itu terkena premis bangunan, kedai dan kediaman,” katanya.

Presiden Vladimir Putin bersyukur kerana insiden yang mengejutkan ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa.

Meteor ini disaksikan di Yekaterinburg, 200 kilometer ke utara dan di Kazkhstan di selatan.

Jabatan Kesihatan Chelyabinsk mengesahkan 985 orang setakat ini mengalami kecederaan, termasuk 200 kanak-kanak.

Dua orang di bandar Kopeysk berada dalam keadaan serius.

Menurutnya, seramai 20,000 petugas kecemasan dikerah ke Chelyabinsk dengan tiga pesawat tentera udara.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kilang zink runtuh, sistem telekomunikasi terputus, penggera keselamatan bangunan, rumah dan kereta berbunyi.

“Satu letupan kuat bersama gumpalan cahaya terang menyerupai api melintasi bandar ini hingga jatuh dan mengenai beberapa kawasan premis sekitar bandar ini,” katanya.

Beliau berkata, beberapa penduduk mendakwa, letupan dapat didengar ketika asteroid itu memasuki atmosfera bumi.

Sementara itu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini.

“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu.

Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya.

Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera dan meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island.

Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah ditebang.


Bas Rombongan Program PM Terhumban Ke Parit


Simpang Pulai - “Saya sempat bergayut di palang berhampiran kerusi sebelum melihat penumpang lain terhumban dan terhimpit ke sebelah kiri bas,” ujar Urusetia Persatuan Orang Asli Kelantan, Jabbar Salleh, 53.

Jabbar adalah seorang daripada 36 Orang Asli yang menaiki bas persiaran dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini.

Bas tersebut adalah salah satu daripada 25 bas yang membawa kira-kira 1,000 Orang Asli dari Kelantan bagi menghadiri Program Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama Perdana Menteri dan Pelancaran Program Mengubah Destini Orang Asli di Padang A, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, bas yang dinaiki kumpulan Orang Asli terbabit dipercayai terbabas lalu melanggar bahagian kanan sebuah lagi bas yang turut mengikuti konvoi tersebut sebelum masuk ke dalam parit berhampiran.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 15, Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Pos Slim itu turut mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi cedera parah manakala 10 yang lain hanya mendapat rawatan pesakit luar dan mereka semua dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Jabbar berkata, bas tersebut dalam keadaan tidak stabil ketika melalui selekoh dan dipercayai mengalami kerosakan gear ketika menuruni bukit sebelum melanggar bas di hadapan sehingga mengakibatkan bas terbabas masuk ke dalam longkang.

“Selepas bas terhumban masuk ke dalam parit, kesemua penumpang yang duduk di sebelah kanan terjatuh ke sebelah kiri sehingga mengakibatkan ramai daripada penumpang cedera akibat kejadian itu.

“Saya dan beberapa penumpang keluar mengikut pintu pemandu bas manakala selebihnya mengikut pintu belakang,” katanya.

Seorang lagi penumpang bas yang terselamat, Kemboh Dollah, 22, berkata, dia yang duduk bersama kakaknya di barisan ketiga belakang tempat duduk pemandu hanya mendengar jeritan penumpang lain sebelum bas terbabas memasuki longkang di sebelah kiri jalan.

“Kami berdua terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa hanya berharap sesuatu yang buruk tidak berlaku,” katanya yang serik untuk menaiki bas selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Bergesel dengan bas lain

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila bas tersebut bergesel dengan bas persiaran yang lain sebelum dihimpit ke tepi sehingga mengakibatkan ia masuk ke dalam longkang berhampiran.

Menurutnya, bas yang bertolak dari Pos Hendrop, Gua Musang itu dalam perjalanan ke UiTM Seri Iskandar untuk menghadiri program bersama perdana menteri.

“Bagaimanapun, setibanya mereka di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai bas tersebut mengalami kemalangan mengakibatkan 36 penumpang bas terhimpit ke sebelah kiri bas.

“Polis, bomba dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) bekerjasama membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Akibat kemalangan itu, seorang maut setengah jam selepas mendapat rawatan di hospital, lima daripadanya separuh kritikal manakala 18 lagi mendapat rawatan pesakit luar, “ katanya.

Katanya, mangsa maut dikenali sebagai Mali Along, 21, pelajar Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Kuantan.

“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Shalimin Ahmad Shaffie berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membantu menguruskan jenazah mangsa serta membantu mangsa lain yang cedera dalam kemalangan itu.

PM lawat mangsa nahas

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut meluangkan masa selama 15 minit melawat mangsa di Wad Kecemasan HRPB. -SH

[EDISI SAWAN] Rakaman Video rakaman Adun Pulau Manis Maki Hamun Mahasiswa


Kisah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis, Pekan, Khairudin Mahmud mengamuk dan memaki mahasiswa yang masuk bertemu penduduk di kawasannya tanpa kebenaran beliau kini menjadi video top di youtube.

Video yang dirakam secara rahsia oleh salah seorang mahasiswa yang dimaki itu kini menjadi kegilaan ramai di youtube.

Video itu menggambarkan YB Khairudin yang lebih dikenali Cikgu Din itu menemui para mahasiswa yang masuk ke Pekan melalui Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) untuk menyampaikan agenda mereka.

Cikgu Din kelihatan dengan kasar memarahi para mahasiswa itu termasuk membangkitkan soal cincin yang dipakai oleh Rosmah.

Selain insiden serangan oleh wakil rakyat Umno ini, mahasiswa yang turun ke Pekan juga ada yang dibelasah dan ada siswa yang dikejar dengan parang oleh mereka yang tidak dikenali.

Pengerusi GM13, Syis Abd Kadir berkata, mahasiswa tidak sesekali mahu bermusuh dengan rakyat sebaliknya ingin menyampaikan harapan mereka kepada rakyat khususnya di Pekan yang merupakan kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pendirian GM13 jelas iaitu tidak mahu bermusuh dengan rakyat dan kami akan meneruskan program seperti yang dijadualkan.

“Kami akan cuba pergi ke tempat-tempat di Dun di Pekan dan kalau dihalang, kami berundur. Kami bukan pergi untuk bergaduh,” kata beliau dipetik Harakah Daily.

[Edisi Menyayat Hati] Anak Diperkosa Depan Ibu


Batu Pahat: “Kami diseret 10 meter ke ladang sawit di belakang rumah sebelum anak perempuan bongsu saya dirogol seorang daripada penjenayah berkenaan,” kata seorang wanita dikenali sebagai Mah berusia 50-an di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, dua beranak itu turut dirompak dua penjenayah yang menceroboh rumah mereka di sebuah kampung di daerah ini.

Menceritakan kejadian itu, Mah berkata, mereka sedang tidur di ruang tamu rumah pusaka keluarga sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki yang menutup muka dengan kain.

“Penjenayah yang bersenjatakan parang dan pisau itu memaksa kami mengambil barangan berharga selain berdiam diri jika tidak mahu leher dikelar.

“Mereka mengugut anak perempuan supaya menyerahkan wang dan barangan berharga atau disembelih sebelum anak menyerahkan wang simpanannya RM200,” katanya ketika.

Tidak cukup dengan itu, mereka diseret ke ladang sawit sebelum tangan diikat dan mulut disumbat dengan gumpalan selimut.

Menurutnya, dia dan anak perempuannya berusia 20-an dipisahkan empat meter sbebelum anaknya dirogol oleh seorang daripada penjenayah berkenaan.

“Tidak lama kemudian, penjenayah itu masuk semula ke rumah untuk mencari barang berharga lain.

“Selepas berjaya membuka ikatan, saya bergegas mendapatkan anak sebelum melarikan diri ke rumah jiran,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, anaknya dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, trauma dan tidak henti menangis.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Datuk Ab Aziz Kaprawi yang turut melawat mangsa bersedia memberi bantuan bila-bila masa. -hm