14 Ogo 2010

Seorang Pemimpin UMNO Belasah Wang Felda RM2 juta Setahun

PKR dakwa pendapatan Pengerusi Felda RM2 juta, cabar Yusof nafi

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah hari ini mencabar Tan Sri Mohd Yusof Nor agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan juga elaun.

Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.

Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.

“Saya nak tanya kepada beliau (Yusof) berapa jumlah ganjaran yang diperoleh sebagai Pengerusi Felda yang turut mengawal anak-anak syarikat Felda?

“Betul atau tidak pendapatan beliau termasuk gaji dan elaun mencecah sehingga RM2 juta setahun?” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Beliau berkata dakwaan Yusof menerima ganjaran sebanyak RM2 juta hanya khabar angin tetapi ia penting untuk diketahui umum terutamanya peneroka.

“Saya cuma nak tahu ya atau tidak, itu sahaja. Jadi saya menantikan jawapan daripada beliau (Yusof).

“Ini kerana sebagai Pengerusi Felda yang mengawal anak-anak syarikat sudah tentu pendapatannya tinggi.

“Itu yang saya mahu tahu apakah ganjaran sebenarnya yang diperoleh beliau setiap tahun.

“Adakah ia ada mencecah RM2 juta,” kata beliau.

Felda diasaskan pada 1956 untuk membantu orang miskin kepada sebuah kawasan membangun.

Ia telah berkembang dan menjadi pembekal perladangan terbesar di dunia, dengan 811,140 hektar ladang kelapa sawit, terutama di Malaysia, dengan beberapa operasi di Indonesia. -TMI

Peluru M16 Milik Siapa?

Peluru M16: Timbul "spekulasi tidak sihat"

PETALING JAYA: Siapakah yang mempunyai akses kepada peluru hidup M-16 yang dikirim kepada Ketua Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dua hari lalu?

Orang awam tidak dibenarkan memiliki senjata api. Ini menimbulkan "spekulasi tidak sihat" sama ada hanya pegawai keselamatan sahaja yang mempunyai akses kepada senjata api.

Bercakap kepada wartawan di ibu pejabat DAP di sini semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata polis dan kerajaan pusat harus bertindak segera terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam "permainan" ini.

“Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) memang prihatin kerana M-16 adalah senjata api yang tidak dibenarkan untuk dimiliki oleh orang awam dan hanya boleh digunakan oleh anggota pasukan keselamatan.

“Ini telah menimbulkan spekulasi yang tidak sihat dan implikasinya adalah serius dan bahaya," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa perlu melihat ancaman bunuh ini secara serius untuk mengelak spekulasi tidak sihat dan hubungkaitnya dengan peluru M-16.

Dua hari lalu, DAP dikejutkan dengan pengiriman peluru hidup M-16 kepada Pua yang dipercayai ada kaitan dengan gesaannya supaya memansuhkan diskaun kepada Bumiputera terhadap rumah mewah dan hartanah komersial.

Surat ini memberi amaran kepada Pua supaya berhati-hati dengan setiap gerak gerinya dan penulis itu mendakwa beliau (penulis) mengetahui secara terperinci mengenai keluarga, pejabat, kenderaan dan lokasi rumah Pua.

Ini kali ketiga parti pembangkang menerima ancaman bunuh. Pada 2008 dan 2009, Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menerima peluru hidup melalui surat kerana mempersoalkan hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Belum ada keputusan tentang rayuan Tee

Dalam perkembangan lain, Lim berkata, CEC telah menerima rayuan daripada Tee Boon Hock, ahli Majlis Perbandaran Klang yang dipecat dua hari lalu.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu belum membuat keputusan terhadap rayuan itu. Tee mempunyai masa 14 hari untuk membuat rayuan. Beliau telah dipecat pada 31 Julai berhubung surat sokongan yang dikeluarkan kepada syarikat milik anaknya.

“Jadi jika sekiranya beliau mahu memberi maklumat lebih lanjut, beliau boleh berbuat demikian sebelum tempoh rayuannya tamat," katanya.

Lim juga menjelaskan CEC seharusnya mendapatkan maklumat lanjut dalam kes ini dari kerajaan negeri Selangor yang memecat Tee sebagai ahli MPK kerana melanggar kod etika.

“Kerajaan Selangor nampaknya memecat beliau atas sebab yang lain. Jadi kami mahu mengumpul maklumat daripada mereka sebelum membuat keputusan.

"Saya fikir adalah adil mengumpul semua maklumat kes ini, sebelum kami membuat keputusan rayuannya," katanya sambil menambah EC akan mengadakan satu lagi mesyuarat selepas ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai exco Selangor Ronnie Liu yang juga Adun Pandamaran yang diberi amaran oleh jawatankuasa disiplin berhubung pengeluaran surat sokongan semalam.

“Kami akan memberi komen selepas tempoh rayuan 14 harinya tamat," katanya. -FMT
Ulasan GB

Ini mengingatkan kita mengenai bom C4 di dalam pembunuhan Altantuya.

Rakyat berhak untuk mempersoalkan dari mana peluru M16 itu diperolehi JIKA BUKAN DARI PIHAK KESELAMATAN SENDIRI.

Nampaknya pemerintahan BN di era Najib banyak perkara yang melibatkan peluru dan senjata api disalahgunakan.

Modus operandi pihak-pihak tertentu terutama polis juga nampaknya sudah tidak ada nilai lagi. Sudah banyak yang berhamburan bocor di mana anggota polis menjadi pihak yang sentiasa menimbulkan provokasi malah menyebabkan kecederaan dan kematian anggota masyarakat.

Semuanya ini PERLU DIHENTIKAN segera! Hanya satu jalan -> TUKAR KERAJAAN.


Sistem Kehakiman Durjana Bikin Malek Dan Rakyat Sengsara

Bekas tahanan ISA: Bankrap bukan satu pilihan

Orang ramai yang mengikuti berita berhubung bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussin dan menganggapnya sebagai manusia paling malang di Malaysia tidak boleh persalahkan.

Nasib malangnya itu bermula pada akhir tahun 1998 apabila dia ditahan selama 57 mengikut ISA yang menafikannya sebarang hak untuk dibicarakan bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Sepanjang tahanan itu, Abdul Malek didera secara mental dan fizikal. Malah dia mendakwa pernah dipaksa minum air kencing -- dan kini dia terpaksa membayar RM70,00 kepada orang yang bertanggungjawab menderanya.

Bagaimanapun, Abdul Malek tetap tabah apabila pada Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan mengenepikan permohonannya untuk mendapatkan gantirugi sebanyak RM2.5 juta yang dianugerahkannya oleh Mahkamah Tinggi pada 2007 kerana bersetuju dengan penghujahannya bahawa penahanannya itu adalah salah.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, selain menolak gantirugi itu, Abdul Malek juga diarahkan membayar RM20,000 sebagai kos kepada ketiga-tiga responden.

Sebelum ini, rayuannya kepada Mahkamah Rayuan pada Mac lalu juga ditolak dan dia diarahkan membayar RM50,000 sebagai kos litigasi.

Dalam menghadapi keputusan yang memungkinkannya jatuh bankrap, tanpa ruang pengadilan lanjut di mahkamah, kini Abdul Malek mungkin terpaksa meraih sumbangan orang ramai.

Abdul Malek yang bertugas sebagai pegawai penyelaras hal ehwal parlimen kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak suka idea 'menagih simpati' seperti itu, termasuk usaha mendapatkan bantuan daripada NGO.

Namun, pada masa yang sama beliau juga tidak ingin melihat dirinya diisytiharkan bankrap kerana keadaan itu akan memaksanya kehilangan banyak peluang dan tanggungjawab dalam tugasnya.

Katanya, beliau akan berhubung dengan NGO hak asasi manusia Suaram dan mengadakan pertemuan dengan NGO tersebut pada Isnin ini untuk membincangkan tindakan seterusnya.

Mahkamah Persekutuan Khamis lalu menolak permohonan rayuan Abdul Malek yang hilang gantirugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Malah, Abdul Malek juga diperintahkan membayar RM20,000 kepada setiap responden dalam kes tersebut -- pegawai cawangan khas Borhan Daud, ketua polis negara pada ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kepada kerajaan.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Abdul Malek membidas keputusan penghakiman itu yang disifatkannya sebagai 'kejam'.

"Mereka tolak permohonan saya untuk merayu. Mereka langsung tidak mahu mendengar kes saya. Ini amat kejam. Sekurang-kurangnya bagi jalan dan dengarlah dulu.

"Saya fikir badan kehakiman sebenarnya takut,” dakwanya.

"Badan kehakiman sepatutnya menjadi benteng kepada rakyat untuk mencari keadilan. Tujuan rakyat ke mahkamah hanyalah semata-mata untuk mencari keadilan. Di negara ini, badan kehakiman menyokong rejim kuku besi. Habislah.

"(Mahkamah) telah gagal dalam tanggungjawab mereka menegakkan keadilan dalam mempertahankan hak asasi manusia dan menentang pemerintahan kuku besi,” katanya. -MK

Ulasan GB

Ketua Hakim Negara adalah bekas Penasihat Undang-undang UMNO. Semua orang tahu dan begitulah caranya UMNO BN menguasai badan kehakiman.

Hakim-hakim durjana yang lain masih berkeliaran di dalam institusi kehakiman negara. Masing-masing kecut, kalut dan penakut kepada Peguam Negara. Hakim-hakim ini menjadi Peguam Negara sebagai Tuhan mereka dan mendiang Augustine Paul sebagai contoh teladan mereka.

Di bulan mulia ini, rakyat berdoa agar hakim-hakim ini segera menerima balasannya lantaran pengkhianatan mereka terhadap kebenaran dan keadilan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Hakim terdiri dari tiga golongan. Dua golongan hakim masuk neraka dan segolongan hakim lagi masuk surga. Yang masuk surga ialah yg mengetahui kebenaran hukum dan mengadili dengan hukum tersebut. Bila seorang hakim mengetahui yang haq tapi tidak mengadili dengan hukum tersebut bahkan bertindak zalim dalam memutuskan perkara maka dia masuk neraka. Yang segolongan lagi hakim yang bodoh yang tidak mengetahui yang haq dan memutuskan perkara berdasarkan kebodohannya maka dia juga masuk neraka. {HR. Abu Dawud dan Ath-Thahawi}

Untuk Malek: bersabarlah. Institusi kehakiman negara bakal tumbang dengan tumbangnya UMNO BN nanti. Kita akan pastikan sistem juri diperkenalkan semula. Hakim-hakim durjana akan dipancung dari jawatannya supaya balik kampung tanam jagung.

Dan kita berharap Pakatan Rakyat tidak hanya sekadar membaca berita mengenai Malek ini, tetapi lakukanlah sesuatu untuk meringankan bebannya - setidak-tidaknya wujudkan tabung guaman dan tabung kebajikan untuk beliau terus berjuang. Ini tidak, masing-masing bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Heran sungguh GB perangai pemimpin-pemimpin PR ni yang lansung tak berbuat apa-apa.

Rakyat Dah Tak Tahan Dengan Kezaliman Polis

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak agar Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) ditubuhkan dengan segera bagi menangani kes kematian dalam tahanan yang semakin serius.

Suaram berkata rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan seramai 141 orang mati dalam tahanan sejak tahun 2000.

"Oleh yang demikian, Suaram menyeru agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia yang bersifat bebas, adil serta telus dan mengambil tindakan tatatertib segera terhadap pegawai polis dan penjara yang terlibat.

"Hanya dengan kewujudan IPCMC, dapat meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap kualiti PDRM dan juga Jabatan Penjara, serta menghentikan penyalahgunaan institusi negara terutama PDRM untuk menindas hak-hak rakyat," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian seorang tahanan yang masih dalam siasatan, ketika dibicarakan di Mahkamah Majistret 2, Kuantan, Pahang 7 Ogos lalu.

Heng Lung berkata tragedi itu membuktikan masih lagi wujud kelemahan dalam urustadbir pihak berkuasa dalam menangani urusan berkaitan Orang Kena Tahan (OKT).

"Suaram ingin membangkitkan beberapa persoalan berhubung perkara ini. Pertama, di manakah pegawai polis yang bertugas ketika mangsa OKT dalam keadaan amat lemah; dan kedua, mengapa pegawai polis enggan mengambil tindakan kecemasan yang sewajarnya ketika diminta oleh ahli keluarganya?" kata Heng Lung.

Dalam kejadian itu seorang tahanan, Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, mati di Penjara Penor, Kuantan semasa dalam tahanan polis.

Wan Khairul Azizi yang berasal dari Felda Bukit Goh ditahan sejak 12 Mei 2010 atas tuduhan berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 7 Ogos 2010, Orang Kena Tahan (OKT) tersebut hadir di Makahmah Majistret 2, Kuantan untuk sebutan kesnya dalam keadaan badan yang amat lemah.

Tidak lama setelah berada di mahkamah, beliau telah rebah lalu meninggal dunia.

"Oleh itu, Suaram melahirkan kekecewaan terhadap kualiti perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Penjara Malaysia.

Mengikut kenyataan ahli keluarga mangsa, pihak pegawai penjara juga tidak memaklumkan keadaan kesihatan OKT kepada mereka sebelum itu.

"Ini menunjukkan pihak penjara tidak memberi penjagaan yang sepatutnya seperti yang termaktub di dalam Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan-peraturan Seksyen (234), (235) dan (236)," tambah Heng Lung lagi.

Beliau menegaskan Suaram mengutuk kelalaian pihak polis yang bertugas kerana dianggap tidak menjalankan tanggungjawab untuk memastikan keadaan OKT dalam keadaan yang sihat dan baik seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap (L.N.3289/1958)(4) semasa di lokap Mahkamah Majistret 2, Kuantan.

"Suaram amat meragui kenyataan KDN yang menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan semua OKT dipantau dari segi kesihatan serta mendapat rawatan kesihatan sekiranya diperlukan," tambah beliau. -SK

Ulasan GB

Sifat kebinatangan polis wajar diberikan titik akhir.

Seandainya kerajaan gagal untuk memperbaiki mutu perkhidmatan polis dengan penubuhan IPCMC, maka tidak ada kata lain yang mampu diucapkan kecuali seluruh rakyat akan bangun serentak untuk mengubahnya.

Mengubah apa? Bukan sekadar mengubah PDRM, tetapi mengubah kerajaan yang selama ini dilihat mempertahankan kezaliman polis dan membiarkan rakyat terbanyak menderita. Kerana yang mempertahan dan membela kezaliman itu zalim juga namanya.

Ia adalah hukum tabie, dimana setiap kezaliman, setiap kekejaman, setiap tirani ada harga yang besar perlu dibayar oleh pihak yang mendokongnya demi untuk sebuah negara yang aman, selamat, makmur dan bahagia.

Dan Allah pasti tidak akan membiarkan kezaliman, kekejaman dan tirani untuk terus berkuasa.

Kebenaran akan tetap bersama rakyat terbanyak akhirnya. Bukan bersama polis, bukan bersama menteri dan kerajaan yang membiarkan kezaliman dan kekejaman bertakhta. Ia peringatan untuk yang lupa!