3 Jun 2011

Kalah Menang Tetap Setia Pada Parti

Pemilihan PAS yang diadakan ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 memperlihatkan keutuhan parti berusia 60 tahun itu.

Malah PAS kini boleh berbangga dengan kematangan politik dan kesetiaan ahlinya dalam menjayakan demokrasi dan mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

Calon Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dilihat tenang dan bersahaja ketika menyatakan situasi itu kepada TV Selangor hari ini.

"Ini tunjukkan kesepaduan yang ada dalam PAS. Walaupun ada pertandingan semua bersatu padu.

"Pertandingan paling hangat ialah Timbalan Presiden. Tapi saya juga menang ikut pemilihan... perbezaan pendapat di kalangan ahli adalah untuk kebaikan kerana semua berlumba-lumba untuk beri sumbangan kepada parti," kata beliau.

Seorang lagi calon jawatan tersebut Mohamad Sabu menyatakan betapa ini merupakan keistimewaan PAS yang jarang dilihat pada parti lain.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS yang mengamalkan keterbukaan dalam pemilihan calon pilihan raya mengelakkan ahli mereka dari cuba melobi dengan cara yang tidak sihat untuk menang.

"Calon pilihan raya tak semestinya yang menang. Kalau rasanya boleh menang di suatu kawasan, ahli baru pun boleh bertanding. Sebaliknya walaupun jika seseorang itu Ahli Jawatankuasa Pusat, jika tempat tidak sesuai, beliau tidak dibenarkan bertanding," kata beliau.

Calon Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan betapa ahli parti itu jauh lebih matang dalam politik berbanding BN.

"Ini buktikan PAS ada kematangan. Soal pemilihan mesti diteruskan, Muktamar mesti diteruskan, pilihan raya mesti bersedia.

"PAS tidak takut berhadapan risiko seperti Umno dan parti BN lain. Setiap mereka yang bertanding, menang atau kalah tetap setia kepada parti," kata Mahfuz.

Hal ini turut dikagumi oleh mereka yang baru menyertai dan mengenali PAS dengan lebih mendalam.

Bekas pelawak Bob Lokman ketika ditemui TV Selangor menyatakan beliau melihat Muktamar PAS ibarat pertemuan keluarga yang besar.

"Banyak perhimpunan yang saya sertai tapi perhimpunan PAS paling 'cool'. Semua berpegang pada satu perkara. Walaupun ada pertandingan. Kita nampak semua bersatu, macam dalam keluarga yang besar," ulas beliau yang pertama kali menghadiri Muktamar PAS selepas menyertai parti itu beberapa bulan lalu. -tvsnews


Pemilihan PAS: Keputusan Diketahui 10 Pagi Sabtu

KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi pemilihan jawatan bagi pucuk pimpinan PAS pusat hanya akan diketahui pada pukul 10 pagi esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Datuk Abdul Halim Rahman.

Dalam taklimatnya kepada para pemberita, beliau berkata pemilihan akan dilakukan bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan anggota jawatankuasa kerja PAS pusat bagi sesi 2011-2013.

Bagi jawatan Presiden, penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding bagi penggal kelima berturut-turut.

Abdul Halim berkata, proses pengundian yang berlangsung dari pukul 4 petang hingga 7 petang ini, melibatkan 1,077 perwakilan yang berdaftar dan layak mengundi.

Beliau berkata, buat julung kalinya juga, proses penjumlahan undi akan dicatat dalam borang 14 seperti yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita telus (dalam pemilihan kali ini). Pemerhati dan wakil calon bagi Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan hadir masa pengiraan dan penjumlahan undi dicatat dalam borang 14 macam SPR, dan ditandatangani pemerhati calon yang hadir," katanya.

Abdul Halim berkata, mengikut Fasal 18(2) perlembagaan parti, anggota muktamar yang layak mengundi terdiri daripada pengerusi dan timbalan pengerusi tetap (2), anggota majlis syura, anggota jawatankuasa PAS Pusat dan Pesuruhjaya Negeri (52), wakil daripada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (masing-masing 20) dan Yang Dipertua Dewan kawasan yang dilantik semasa mesyuarat agung (963).

"Semua perwakilan yang layak mengundi diminta menunjukkan kad perwakilan muktamar yang ada foto mereka di kad itu sebagai bukti kelayakan mengundi di meja pendaftaran.

"Kita juga telah pamerkan nama-nama calon lebih kurang seminggu yang lalu sejak 26 haribulan (Mei) dan harap tidak lagi ada yang tercari-cari nama dan nombor calon. Kita amat berharap proses pemilihan kali ini berjalan lancar," katanya.

Jawatan Timbalan Presiden akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan anggota jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu.

Tiga jawatan Naib Presiden pula membabitkan exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah; Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad; dua Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; serta pemimpin PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sebanyak 53 calon pula telah mengesahkan bertanding bagi merebut 18 jawatan anggota jawatankuasa PAS pusat.-mstar





E.coli Toksik Cetus Wabak Baru

Wabak maut E.coli yang berpusat di Jerman dan merebak ke seluruh Eropah dikenal pasti dicetuskan bakteria jenis baru yang bahaya, kata saintis China yang membuat analisis terhadap bakteria berkenaan.

Gambar: Bakteria jenis baru ditemui di dalam mentimun

Saintis berkenaan berkata wabak itu sudah membawa maut kepada 17 orang dan menyebabkan lebih 1,500 sakit di sekurang-kurangnya 10 negara Eropah, membawa gen yang menjadikan bakteria itu kebal kepada beberapa jenis antibiotik.

“E.coli ini adalah bakteria jenis baru yang mudah berjangkit dan toksik,” kata saintis di Institut Genomik Beijing di Shenzhen, yang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Jerman bagi mengenal pasti punca wabak itu.

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Aphaluck Bhatiasevi, berkata badan itu sedang menanti maklumat lanjut daripada beberapa makmal lain.

“Jenis bakteria ini tidak pernah dilihat dalam wabak yang dialami sebelum ini,” kata beliau.

Russia semalam melarang kemasukan sayuran mentah dari Kesatuan Eropah, mencetuskan bantahan Surahanjaya Eropah.

Moscow sebelum ini melarang kemasukan sayuran dari Jerman dan Sepanyol, selepas pihak berkuasa di Hamburg menyatakan timun dari Sepanyol tercemar dan mencetuskan wabak itu. Pegawai Jerman kemudian memohon maaf kepada Madrid berikutan maklumat itu tidak benar.

Ketua agensi perlindungan pengguna Russia, Gennady Onishchenko berkata kematian akibat wabak itu menunjukkan undang-undang kesihatan Eropah yang didesak diikuti Moscow tidak berkesan.

Agensi kawalan penyakit Jerman, Robert Koch Institute (RKI) melaporkan terdapat 365 kes baru E.Coli dan 25 peratus daripadanya membabitkan komplikasi mengancam nyawa dicetuskan sejenis E.coli yang digelar E.coli menghasilkan toksin Shiga (STEC).

WHO berkata ia sudah dimaklumkan mengenai kes di Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan Britain. – Reuters

[Video] Umno Bebalkan Rakyat Islam, Kotorkan Politik Negara

Dalam ucapan yang dianggap paling keras terhadap Umno, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti pemerintah itu sebagai pengotor politik negara menerusi amalan rasuah, fitnah, pembohongan dan perkauman sempit.

Penegasan beliau sekaligus menzahirkan bahawa parti Islam itu tidak “termakan” dengan pelawaan-pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mendedahkan Umno menawarkan tiga jawatan Menteri jika PAS setuju meninggalkan Pakatan Rakyat dan bersama Umno.

Namun, ucapan Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar PAS di Kuala Lumpur pagi tadi menyerlahkan pemikiran PAS mengenai pemimpin-pemimpin Umno yang membuat cadangan itu.

“Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam, tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana (mereka) dijangkiti keruntuhan moral, rasuah dan menyalah guna kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya,” kata Hadi.

“Politik seperti ini perlu dimurnikan dan sudah tentu Umno-Barisan Nasional akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri,” tambah beliau.

Hadi berkata kemurnian politik negara dicemari dengan tindakan jijik menerusi pelbagai angkara dan perkara kotor sehingga memalukan anak-anak yang menjadi penonton kepada perlakuan sedemikian.

Ahli parlimen Marang itu kesal kerana amanah besar yang diberikan kepada Umno untuk mengisi kemerdekaan negara sebaliknya digunakan sebagai peluang kebendaan untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

“Akhirnya harta negara menjadi milik peribadi pemimpin mereka (Umno), meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” tambah beliau.

Hadi berkata cita-cita untuk membina sebuah Malaysia yang sejahtera dan aman digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang mengaut khazanah negara dan membelakangkan falsafah dan tuntutan Islam.

“Hakikatnya Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan meperbodohkan mereka,” kata beliau.

Justeru Hadi berkata adalah tanggungjawab PAS untuk terus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam.

Langkah sedemikian akan membebaskan ummah “daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah,” jelas beliau.



Remaja Diperkosa 11 Kali Oleh Ayah Tiri, Ibu Minta Anaknya Bersabar...

Ampang: Ibu kandung dan bapa tiri seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa dijadikan hamba seks bapa tirinya itu sejak Mac lalu di rumah ditahan untuk siasatan lanjut, kelmarin. Gambar fail

Lebih malang, siasatan awal polis mendapati ketika perbuatan terkutuk itu dilakukan, ibu kandung mangsa yang berusia 30-an ada di rumah, tetapi tidak melakukan sesuatu bagi menghalang perbuatan terkutuk suaminya itu.

Difahamkan, ibu mangsa yang juga seorang ustazah hanya mampu mendiamkan diri kerana takut dia ditinggalkan suaminya itu.

Pasangan suami isteri itu ditahan di sebuah rumah di Kajang, kira-kira jam 8 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit dan memberitahu mereka akan direman sehingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan. -HM

Berita sebelumnya


Pelajar Diperkosa Ayah Tiri Depan Ibu

AMPANG: Seorang pelajar berusia 15 tahun nekad melarikan diri ke rumah ibu saudaranya selepas tidak tahan dijadikan hamba seks bapa tirinya sejak Mac lalu di rumah mereka di Ampang, di sini, kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila perbuatan jijik bapa tirinya itu diketahui ibu kandungnya tetapi hanya mendiamkan diri berikutan takut ditinggalkan.

Menurut sumber, mangsa dijadikan hamba seks bapa tiri durjana berusia awal 30-an itu sejak Mac lalu dan dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali lelaki terbabit mahukannya.

Malah, sejak Mac lalu, mangsa mendakwa 11 kali diperkosa bapa tirinya.

“Mangsa beberapa kali mengadu kepada ibu kandungnya mengenai perbuatan terkutuk lelaki itu tetapi tidak diendahkan.

“Malah, ibu mangsa hanya menasihati anaknya agar bersabar dengan perbuatan keji lelaki itu bagi mengelakkan dia ditinggalkan,” katanya. -HM


Ulasan GB

Jika pagi tadi ada berita seorang bapa durjana mengancam untuk bunuh anak dengan pedang samurai, yang di atas pula seorang ibu sanggup merelakan anaknya diperkosa oleh suami kerana takut ditinggalkan.

Bak kata pengkomen pagi tadi, macam-macam gila ada atas dunia ni...


[Bergambar] Pengundian Memilih Barisan Kepimpinan Telah Bermula

Perwakilan PAS mula undi, diramal saji barisan kanan kuat

ANALISIS, 3 Jun — Sejurus selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan berlainan jurusan antara kepimpinan ulama dengan kepimpinan profesional tidak bermakna PAS dikatakan sudah berpecah. Menurut presiden PAS itu, pertembungan antara kumpulan ulama atau profesional bukan perkara baru dalam parti.

“Istilah ulama dan profesional bukan benda baru. PAS menganggap kepimpinan ulama dan profesional sebagi satu kolektif.

“Islam itu luas. Bukan hanya melibatkan agama semata-mata tetapi turut termasuk cara hidup dan bidang jurusan yang diambil pemimpin,” katanya kira-kira empat jam menjelang proses pengundian sempena Muktamar Tahunan Ke-57.

Proses pengundian yang disertai sekitar 1,000 perwakilan bermula sekitar 4 petang ini dengan keseluruhan tumpuan adalah ke atas jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Kira-kira sejam sebelum pengundian, seorang pemimpin pusat parti memberitahu The Malaysian Insider bahawa perwakilan akan menghantar pemimpin yang kuat ke peringkat timbalan presiden dan naib presiden dengan personaliti bercampur-campur di peringkat jawatankuasa kerja pusat.

Hadi juga berkata, istilah ulama dan profesional sebenarnya lebih kurang sama, yang berbeza hanya latar belakang jurusan mereka.

“Dulu kita pernah ada Datuk Asri (Muda) sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga merupakan seorang ilmuan,” katanya yang mempertahankan isu ini tidak sesekali memecahbelahkan PAS.

Nasharudin Mat Isa yang menjadi timbalan kepada Hadi sejak 2005 berhadapan dengan cabaran Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tun Man.

Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub juga mempertahankan kerusi naib presiden masing-masing tetapi berhadapan dengan cabaran daripada Datuk Paduka Husam Musa, Datuk Mohd Amar Abdullah, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Idris Ahmad.

Beberapa hari lalu, seorang pemimpin kanan yang bertanding menegaskan, sekiranya PAS mahu lebih kuat, maka jawatan nombor dua parti Islam itu perlu diberi kepada individu yang berani dan lantang bersuara.

“PAS memerlukan kuda hitam, kita perlukan penggempur yang berani dan lantang bersuara selain boleh membantu presiden.

“Dan, dalam pertandingan kali ini hanya Mat Sabu sahaja yang boleh membantu memperkuatkan PAS, kita sudah tidak boleh bergantung pada imej sahaja... kita perlu lakukan perubahan dan perlu pemimpin yang berani,” katanya.

Ditanya sama ada Mohamad berpeluang untuk menang selepas mencuba buat kali pertama dua tahun lalu, pemimpin itu berkata: “Kalau kita lihat undi golongan ulama akan pergi kepada Tuan Ibrahim atau mungkin akan berpecah dengan Nasharudin tapi undi golongan profesional akan kekal bersama Mat Sabu.”

“Ketiga-tiga ini saya akui memang banyak perbezaan dan kalau hendak dibandingkan dengan Mat Sabu, beliau jauh mengatasi calon-calon lain.

“Mungkin dari segi personaliti Mat Sabu ini tidak setanding Nasharudin dan Tuan Ibrahim sebab beliau ini agak selekeh, tapi Mat Sabu ini popular dan ramai orang termasuk bukan Melayu menyukainya,” katanya.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden yang disandang sejak 2002.

Sejak pemilihan 2005 sehingga 2009, jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan. Pada 2005, Nasharudin menewaskan Allahyarham Datuk Hassan Shukri diikuti pada 2007 mengalahkan Datuk Harun Taib.

Pada 2009, Nasharudin menempuh pertarungan sengit apabila berhadapan dengan dua pemimpin yang dikatakan ‘cukup ampuh’ dalam PAS iaitu Mohamad dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr A Aziz Bari berkata, PAS akan menjadi lebih kuat dan kukuh sekiranya Mohamad dipilih untuk jawatan nombor dua itu dan pada masa sama dapat membantu Hadi.

Ini kerana jelas beliau, Mohamad adalah seorang pemimpin yang paling layak untuk memegang jawatan itu buat masa sekarang selain telah membuktikan kemampuan diri.

Justeru kata Aziz, fokus utama perwakilan yang akan memilih barisan kepimpinan PAS pada hujung minggu harus melihat lebih jauh ke hadapan iaitu kesan daripada keputusan yang bakal mereka buat.

Aziz sebelum ini pernah mengatakan kepimpinan PAS perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti kepada komponen Pakatan Rakyat itu.

Justeru tegas beliau, untuk memastikan cita-cita Pakatan Rakyat menawan Putrajaya PAS perlu meletakkan Mohamad sebagai timbalan presiden selain memilih Husam untuk jawatan nombor tiga parti itu.

“Selain itu Mahfuz dan Salahuddin perlu kekal sebagai naib presiden kerana mereka telah menunjukkan prestasi amat cemerlang, baik sebagai naib presiden atau sebagai ahli Parlimen.

Pada pemilihan kali ini seramai 983 perwakilan akan memilih barisan kepimpinan PAS pusat manakala 750 perwakilan untuk sayap-sayap parti Islam itu.

Pengarah Eksekutif dari Merdeka Center Ibrahim Suffian yang ditanya perkembangan terakhir menjelang pengundian berkata, “bagi PAS, pemilihan kali ini merupakan penentu kepada kedudukan parti itu dalam arena poliitik negara ini.”

Mengambil kira perkembangan keputusan kedua-dua sayap Pemuda dan Muslimat PAS semalam, kata beliau, keputusan pusat sedikit sebanyak akan ada kesan.

Muslimat memperlukan penyertaan golongan profesional manakala Pemuda PAS pula masih dikuasai kumpulan konservatif dan berlatarbelakangkan agama.

“PAS sebenarnya memerlukan barisan kepimpinan yang berani dalam mengetengahkan isu-isu Melayu, untuk berdepan dengan Umno yang kelihatan menonjol,” kata Ibrahim yang berharap perwakilan akan mengambil kira senario politik semasa negara ini.

“Kini PAS dan Pakatan Rakyat nampak lesu... jadi, PAS kena ada kepimpinan untuk mengisi ruang ini,” katanya yang turut mengakui siapa antara tiga calon timbalan presiden yang dapat memenuhi keperluan itu masih tidak jelas.

Dalam ucapan dasar pagi tadi, Hadi menekankan bahawa ahli-ahli PAS perlu mengambil tindakan “membersihkan politik” negara ini daripada perilaku dan gejala politik jijik fitnah dan perkauman sempit dibawa Umno-BN, dan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu perlu memainkan peranan utama ke arah itu.

“Marilah kita memurni dan membersihkan siyasah atau politik sebagai satu bidang dan juzu penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan Umno-BN di waktu ini.

“PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik matlamat menghalalkan cara seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah,” kata beliau.

Pengumuman rasmi keputusan rasmi dijangka diketahui awal pagi Ahad ini. -TMI


Abang Mat popular di kalangan perwakilan PAS

GOMBAK: Barangkali Mohamad Sabu merupakan calon Timbalan Presiden PAS yang paling popular di kalangan perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke 57 di Taman Melewar di sini, pada kali ini.

Sebahagian besar mengambil kesempatan bersalam dan bergambar dengan tokoh popular PAS itu selepas majlis perasmian oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pagi tadi.

Dan bekas Naib Presiden dan kini Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu tidak menghampakan mereka dengan senyuman.

“Yang bersalam ini, semua tidak boleh mengundi,” katanya Mohamad sambil berseloroh.

“Saya harap abang Mat menang. Saya datang dari jauh nak tengok Abang Mat,” kata seorang pemuda berusia 30an di pintu masuk Pusat Tarbiyah PAS di Taman Melewar.

Rakannya menambah, ”Tidak syak lagi abang Mat yang popular. Macam tokoh Islam yang lain.” Sekali lagi Abang Mat tersenyum kali ini dengan lebih lebar.

Ketika ditanya peluangnya, Mohamad berkata, “Ada peluang yang baik. Begitulah kedudukan terakhir.”

Selepas itu beliau kelihatan bertemu dan bersalam dengan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa. Dan ketika itu beberapa penyokong PAS mengambil gambar mereka berdua yang sedang beramah mesra.

Seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, yang ketika ini menjawat Naib Presiden parti.

Pengundian bagi pemilihan jawatan-jawatan dalam PAS sedang dijalankan ketika ini dan keputusannya akan diumumkan pagi esok. -FMT


Kredit Foto kepada Team IT











Pasangan Dibogelkan Sebelum Isteri Diculik

Tiga Lelaki Larikan Isteri Di Awal Pagi

GURUN: Sepasang suami isteri mengalami detik cemas dan mengaibkan apabila dibogelkan tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang serta rotan yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Sungai Badak, di sini, sebelum si isteri dilarikan kumpulan penjenayah itu, kelmarin.

Mazri Sharif, 30, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, isterinya, Nornasuha Azmi, 21, dilarikan tiga lelaki terbabit dengan sebuah Toyota Estima yang menunggu di luar rumah.

Mazri yang juga peniaga kedai makanan berkata, dia cedera di tangan akibat ditetak dengan parang manakala bapanya yang berusia 71 tahun cedera akibat dicekik.

“Saya percaya kejadian ini ada kaitan dengan perkahwinan kami,” katanya yang berkahwin dengan Nornasuha, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di sini, di Selatan Thailand, pada 23 Julai tahun lalu.

Mazri berkata, dia amat geram dan sedih apabila tiga penjenayah itu memecah masuk bilik tidurnya lalu membogelkan dia dan isterinya. -hm

Fitnah ke Atas Husam: PAS Yakin Dakwaan Blog UMNO Tidak Benar

PAS yakin dakwaan blog Umno ke atas Husam tidak benar

PAS yakin tuduhan blog-blog Umno bahawa Datuk Paduka Husam Musa ada bertemu dengan pemblog Syed Azidi Syed Abdul Aziz di China dan membayarnya RM300,000 untuk membantu berkempen adalah tidak benar.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, sebelum ini beliau pernah menyiasat dakwaan terhadap Husam, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, ekoran aduan daripada pihak yang sama dan mendapatinya tidak benar.

Husam menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai strategi jahat Umno-BN menjelang pemilihan PAS kali ini.

“Saya yang siasat sebelum ini dan didapati dakwaan itu tidak benar ... saya yakin kali ini juga tidak benar,” kata Mustafa pada sidang media bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

Terdahulu Hadi menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini pagi tadi.

Mustafa yang mencelah soalan wartawan kepada Hadi yang ditanya mengenai dakwaan blog-blog Umno bahawa Syed Azidi yang turut dikenali sebagai “Kickdefella” menerima RM300,000 dari Husam.

Menerusi laporan The Malaysian Insider awal pagi semalam, Husam menafikan dakwaan-dakwaan itu.

Syed Azidi juga menafikan ada bertemu dengan Husam di China kerana kali terakhir berada di republik itu ialah pada Disember 2009 selepas berhenti kerja dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun Syed Azidi berkata, beliau ada menerima RM350,000 termasuk RM50,000 bayaran tertunggak kerja-kerja yang dijalankan daripada wakil Husam yang menemuinya akhir 2009.

Husam dalam kenyataan balas malam tadi turut menafikan ada membayarnya RM350,000 kepada Syed Azidi. -TMI


Bodohnya nak sedekah kepada Syed Azidi - Husam

KUALA LUMPUR, 2 Jun: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menafikan beliau memberikan duit sebanyak RM350,000 kepada seorang blogger, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi.

"Adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat," kata Husam dalam kenyuataannya kepada Harakdaily.

Husam mengulas kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan Online yang mengaku menerima wang sebanyak itu dari wakil Husam di China.

Kenyataan itu ekoran dakwaan para blogger Umno kononnya Husam memberikan duit sebanyak itu kepada Syed Azidi untuk membantu kempen beliau menjelang muktamar ini.

Selain isu memberi wang kepada Syed Azidi, hampir semua blogger Umno menyerang Husam menjelang pemilihan kali ini.

Husam bertanding naib presiden PAS dan baru pulang dari India dan China untuk urusan kerajaan negeri Kelantan.

Berikut kenyataan penuh Husam:.

"Saya merujuk kepada kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan online dan dijangka akan disiarkan edisi cetak Utusan besok.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kehairanan saya terhadap minat Utusan yang terlalu nyata untuk mencampuri pemilihan PAS sejak 2008 yang lalu.

"Mengenai dakwaan Syed Azidi, saya merasa hairan dakwaan ini dikeluarkan pada hari terakhir sebelum pemilihan PAS esok hari di mana saya ikut bertanding.

"Adakah kerana beliau tahu bahawa dakwaan palsu beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bagi mengelakkan tindakan seperti itu, ia dibangkitkan pada saat akhir seperti ini.

"Sampai hari ini saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun saya dan adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat.

"Mengnenai kononnya saya ada berbual melalui talipon dengan beliau kebelakangan ini, juga adalah palsu. Rekod talipon saya dan beliau boleh disemak.

"Namun saya akui beliau ada menghantar beberapa mesej seminggu dua yang lalu memaklumkan beliau menulis mengenai kenaikan harga minyak dan saya membalasnya sekali dengan berkata tahniah.

"Syed Azidi telah beberapa kali menimbulkan sensasi tetapi setiap kali sensasi itu berlalu, kredibiliti beliau semakin pudar."
-hd


Ucapan Perasmian: Pertahankan Negeri Pakatan Sepenuh Kudrat

PAS tetap akan bersama Pakatan Rakyat - walaupun terdapat perbezaan dasar serta konsep perjuangan - bertekad untuk bersama-sama menggantikan kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa mengulangi komitmen parti itu menegaskan, walaupun konsep perjuangan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berbeza, namun ketiga-tiga komponen tersebut tetap mempunyai matlamat sama iaitu memperjuangkan keadilan untuk semua.

“Walaupun adanya perbezaan dasar dan konsep dengan rakan-rakan yang lain, tetapi banyak titik persamaan dalam pelaksanaan dan objektifnya dalam aspek pentadbiran dan penglibatannya ke dalam masyarakat majmuk.

“Walaupun berbeza dalam perkara halal dan haram, tetapi kita tentunya bersama dalam menegakkan adil untuk semua dan menentang kemungkaran, kezaliman dan penyelewengan seperti rasuah dan sebagainya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Markas PAS di Taman Melewar di sini, Jumaat.

Abdul Hadi berkata, konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diamalkan oleh PAS, telah menjadi sebahagian daripada fekah politik Islam dan ia berbeza dengan parti mengorbankan prinsip serta menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu.

“Di sepanjang perjalanan beberapa dekad, kita adalah parti yang paling berpengalaman, kita berpengalaman menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi, menjadi kerajaan diperingkat negeri.

“Menyertai kerajaan pusat dan kosong tanpa kerusi, kita pernah bersendirian, pernah menyertai kerajaan campuran dan kita juga melaksanakan tahaluf siyasi,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, PAS akan perlu terus bergerak dan amalkan sikap istiqamah berlandasakan hukum Islam.

”Kita tidak akan mengubah matlamat perjuangan kita walau apa pun gelombang, ribut dan badai yang memukul bahtera kita, dan ternyata bahtera kita masih kukuh dan selamat hingga ke hari ini,” katanya.

Jelasnya, pendekatan demokrasi yang dipilih oleh PAS adalah bertindak secara muwajahah silmiyyah, sama ada menang menjadi kerajaan, atau pembangkang atau melahirkan bantahan secara terbuka sekiranya perlu.

Mengulas tema ucapan dasarnya itu, presiden PAS itu berkata, perjuangan mengembalikan kebajikan rakyat adalah paling utama mendepani Pilihan Raya Umum ke-13 yang dibayangkan sangat sengit berbanding sebelumnya.

“Rakyat kini tertekan dengan dasar kerajaan yang membebankan rakyat untuk mendapat hasil kepada negara. Ini termasuk mengurangkan subsidi kepada rakyat dengan menaikkan harga barangan.

”Oleh itu, negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat perlu menunjukkan komitmen berkebajikan kepada rakyat agar mereka boleh melihat keikhlasan pakatan menjaga kebajikan rakyat berbanding kerajaan sedia ada,” katanya.

Justeru, sudah tiba masanya PAS memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urustadbir yang di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka.

“PAS wajib melenyapkan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang diamalkan kerajaan yang tidak prihatin,” katanya. -mstar


8 Rumusan Tindakan Bersama PAS - Presiden PAS

GOMBAK, 3 Jun - Muktamar PAS kali ke 57 ini berlangsung di ambang pilihanraya umum ketiga belas yang akan diadakan pada bila-bila masa. Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapannya pagi tadi menegaskan medan pilihanraya itu nanti akan menjadi medan juang yang sangat sengit kepada kita.

"Maka di atas komitmen ini, tibalah masanya pula kita memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urustadbir yang kita bawa sebagai asas komitmen kita, untuk mentadbir negara masyarakat majmuk ini secara bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat," tegas Presiden PAs itu tadi.

Katanya, berlatar belakangkan seluruh perkembangan politik tanah air dalam kita berdepan dengan cabaran pilihanraya umum ke 13 yang akan tiba nanti.

"Maka faktor kejayaan berikut adalah amat penting untuk dihayati dan dilaksanakan segera oleh semua peringkat pimpinan, aktivis dan pendokong parti," ujarnya.

Presiden PAS dalam ucapan dasar Muktamar PAS ke 57 pagi tadi menyeru 8 rumusan untuk tindakan bersama seperti berikut:

(i) Marilah kita sama-sama memahami tujuan perjuangan dan beristiqamah bersama PAS, memperkasakan organisasi, kerana PAS akan tetap dengan matlamat perjuangan yang digariskan dalam perlembagaannya, kerana itulah tuntutan tujuan ibadah, amanah dan khilafah yang menjadi tujuan kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.

(ii) Marilah kita memahami maksud tema muktamar Membangun Negara Berkebajikan, kerana ianya akan menjadi kunci kepada tindakan kita sepanjang tahun ini. Agenda besar kita yang telah dibentangkan dalam ucapan dasar ini perlu dibincang dan dipercambahkan fikrahnya, perancangan dan tindakannya, supaya tema ini mampu menjadi pemangkin dalam kita melakukan agenda perubahan yang kita rancangkan.

(iii) Marilah kita memperkukuhkan dan merapatkan saf serta mengeratkan “Ukhuwwah filLah” di kalangan ahli jamaah dalam memenuhi tuntutan Allah SWT, sebagai syarat kemenangan sekali gus mempersiapkan dan mempertingkatkan keupayaan dan kelancaran seluruh jentera pilihanraya parti di semua peringkat - JPP Pusat, JPN, JPRK, MTD dan UPU.

(iv) Marilah kita memahami tuntutan” Tahaaluf Siyasi” sebagai pendekatan pemuafakatan politik yang paling bijak dan wajar di kalangan parti-parti komponen Pakatan Rakyat sekaligus memenuhi tuntutan melancarkan gandingan jentera pilihanraya bersama Pakatan Rakyat di semua peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan, bagi mendepani cabaran menumbangkan kerajaan UMNO/BN.

(v) Marilah kita memperluaskan muafakat melaksanakan perubahan dalam negara kita ini, bersama-sama dengan seluruh badan-badan NGO dari pelbagai latarbelakang aktiviti, serta seluruh rakyat yang prihatin supaya negara dapat dibebaskan dari amalan buruk dan demokrasi berat sebelah yang diamalkan sekarang ini.

(vi) Marilah kita memantapkan jentera penerangan parti bagi mengungguli penerangan kerana sesungguhnya Islam yang diperjuangkan PAS adalah membawa mesej “Rahmat Untuk Sekalian Alam”. Jentera penerangan kita juga perlulah menyebar-luaskan agenda perubahan seperti yang termaktub dalam “Dasar Bersama”, “Buku Jingga”, dan yang telah disebut dalam ucapan dasar ini.

(vii) Marilah kita memurni dan membersihkan Siyasah atau Politik sebagai satu bidang dan juzu’ penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan UMNO/BN di waktu ini. PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik “Matlamat Menghalalkan Cara” seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah SWT.

viii) Marilah kita memperkukuhkan prinsip “Semak-Imbang” yang dituntut di dalam Al-Quran sebagai teras utama tata-kelola pengurusan serta pemerintahan sesebuah kerajaan yang dibimbingi nilai-nilai Islam dan nilainilai demokratik bagi menjayakan “Pengurusan Terbaik” untuk mencapai cita-cita tema muktamar “Membangun Negara Berkebajikan”.


Doktor Hilang Keluarkan Wang Di Tiga Lokasi Berasingan

Jitra - Kehilangan seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dekat sini yang masuk hari ke-17 dipercayai akibat dipukau mendapat petunjuk baharu apabila dia dikesan membuat empat transaksi pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) baru-baru ini.

Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, (gambar) dikesan mengeluarkan wang di ATM sebuah bank di Alor Malai, Alor Setar pada 19 Mei lalu diikuti 22 Mei di Kota Bharu, Kelantan dan seterusnya 27 dan 31 Mei di Kuala Terengganu.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, keempat-empat transaksi yang dilakukan dengan pengeluaran wang berjumlah RM2,100 itu menunjukkan anak sulungnya masih berada di negara ini dan selamat.

"Saya hairan bagaimana dia (Mohd. Noor Azam) boleh sampai ke Kuala Terengganu sedangkan dia tidak ada kawan di sana dan mungkin dia dalam keadaan separuh sedar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini semalam.

Menurut Natrah, dia dan keluarga amat merindui Mohd. Noor Azam yang hilang tanpa khabar berita sejak 16 Mei lalu dan berharap agar anaknya pulang bagi meneruskan karier sebagai seorang doktor. -kosmo

[Bergambar] Bapa Durjana Ancam Bunuh Anak Dengan Pedang Samurai

Beijing - Seorang bapa mengancam mahu membunuh anak perempuannya dengan sebilah pedang samurai jika polis mahu menahannya selepas dia melanggar sebuah kereta lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Bapa itu yang dikenali sebagai Zhang Gang, 32, bertindak mengacukan sebilah pedang ke arah dada seorang anak perempuannya yang dirangkulnya dan sedang menangis di tepi keretanya.

Gang yang mengacukan pedang itu menjerit bagi meminta tidak ditangkap selepas dia dikehendaki polis bagi memberikan keterangan kerana kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta lain.

Sebelum itu, dia bertindak membrek keretanya di luar sebuah pasar petani di daerah Yongren, wilayah Yunan apabila dua buah kereta polis membuat sekatan dengan menghalang laluan keretanya.

Orang ramai di pasar itu turut menyaksikan detik-detik cemas tersebut manakala isteri Gang hanya mendiamkan diri di dalam kereta tersebut dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Gang kemudian memasuki semula keretanya tetapi dia masih mengacukan pedang itu ke arah dada anaknya itu.

Seorang anggota polis yang mahir berunding dengan penjenayah kemudian mendekati kereta lelaki itu manakala beberapa saudara-maranya termasuk ibunya turut dihantar polis ke tempat kejadian untuk memujuknya menyerah diri.

Ketika rundingan itu rancak berjalan, beberapa anggota polis menyerbu kereta tersebut dan menangkap Gang serta menyelamatkan anak perempuannya dalam serbuan yang menurut beberapa saksi hanya berlaku dalam tempoh beberapa saat selepas drama itu berlaku selama dua jam. - Agensi






UMNO Takut Mohd Sabu Menang Timbalan Presiden

Pemilihan PAS antara dua garis politik Oleh Hishamuddin Rais

Saya selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Ada yang menarik. Sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu - si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisahkan macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolung ke dalam satu kelas. Secara kasar, ada dua kelas - yang memerintah dan yang diperintah. Contohnya yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini, golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Manakala kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit. Mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat, fakta sahih yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini - menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Tamat. Agenda-agenda yang lain hanyalah alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk diagih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai - suara rakyat - diwakili oleh Pakatan.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi maka si mamat atau si minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia, hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikun di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan gulungan feudal di Arab Saudi. Sarkozy di Perancis dipilih untuk mempetahankan kepentingan saudagar Perancis dan kaum Zionis di Perancis.

Parti borjuis kecil

Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi diatas maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mohamad Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk saya pertandingan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden parti PAS ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.

PAS mewakili guru-guru Melayu, tok peraih, penjaja, tuan empunya warung, kontraktor kelas bawah, peneroka, nelayan, termasuk juga askar dan polis pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.

Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu, bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan, penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongn kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan tauke dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.

Justeru hari ini kita akan bertemu dengan ulama yang bekerja dengan United Malay National Organisation. Mereka ini saudagar agama yang kaya dan lumayan. Kerja mereka ialah mencari ayat-ayat dan hadis nabi untuk 'menghalalkan' apa saja dasar dan tindak tanduk United Malay National Organisation.

Dengan ini apakah Mat Sabu dan Nasarudin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti tauke tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chettiar can mandur tetapi ramai kuli estet yang menjadi ahli.

Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam PKR juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana elektrik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.

Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang diwakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi, perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.

Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, istilah ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah 'tagline' untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli PAS adalah manusia warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini, jenama ulama ini cukup memyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam parti PAS.

Tabur racun

Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi 'calon ulama' atau yang 'bukan calon ulama' itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Akhbar Utusan Malaysia dianggap suara musuh oleh PAS dan Pakatan. Kebelakangan ini, sebelum muktamar PAS berlangsung, akhbar ini tiba-tiba menyatakan rasa gembira dan senang hati jika 'kumpulan ulama' dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) – kumpulan Umno pencen – tiba-tiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu 'tim ulama' menang dan terus berkuasa.

Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun berkempen agar ahli PAS akan mengenepikan Mat Sabu.

Lalu timbul persoalan, kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.

Nasharudin walau pun dalam parti PAS tetapi dilihat memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar - borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya PAS dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasama dalam satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini di bawah lambang perpaduan Melayu.

Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasarudin dan Tuan Ibrahim ini memiliki implikasi yang amat jauh merentas markas tarbiah PAS di Gombak. Kemenangan Mat Sabu akan membuka satu garis baru dalam PAS. Garis ini ialah garis memperjuangan golongan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu padi kunca di Kedah di mana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.

Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Malah Nasarudin ini didakwa sedia bersekongkol dengan United Malay National Organisation. Manakala Tuan Ibrahim mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.


Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. Ini samalah seperti United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.

Pasti ada sosok-sosok dalam Pas yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – Insya-Allah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jenis Nasarudin ini juga ada dalam PKR dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.

Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya di satu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.

Kes Kematian Ahmad Sarbani: Kenapa Inkues, Tidak Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Polis syor inkues siasat kematian Sarbaini, Peguam Negara setuju

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Polis akan mengesyorkan agar satu inkues diadakan bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamad, kata ketua Jabatan Siasatan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Laporan The Star Online memetik Asisten Komisioner Datuk Ku Chin Wah berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga telah bersetuju dengan cadangan itu.

Baru-baru ini, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini (gambar) mahu polis mendedahkan perkembangan terbaru hasil siasatan kematiannya dua bulan lalu di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini kerana, menurut sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini, sehingga kini masih tiada perkembangan, menyebabkan keluarga itu tertanya-tanya status sebenar hasil siasatan tersebut.

Tambah sumber itu, perkembangan terakhir yang diketahui pada 4 Mei lalu di mana kertas siasatan kematian Ahmad Sarbaini akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara.

“Kami nak tahu apa status terkini sekarang, kami tertanya-tanya apa yang berlaku dan perkembangan kes ini.

“Saya sendiri tertanya-tanya apa status kes ini sekarang, sebab saya lihat macam tidak ada apa-apa yang berlaku... senyap begitu sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam, pemimpin-pemimpin PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara menggesa diadakan siasatan lanjut ekoran dakwaan wujud bukti baru, yang dikemukakan oleh balu Allahyarham Ahmad Sarbaini bulan lalu. -TMI


Ulasan GB

Persoalan kini, relevankah inkues? Mengapa tidak terus tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Ini kerana rakyat menjadi hairan sudah tiga inkues membuat keputusan yang hampir serupa - tidak menemui "pembunuh sebenar" kepada mangsa. Pergi balik pergi balik mahkamah yang kita perolehi, keputusan yang tidak ada keputusan.

1) Inkues kematian Gunasegaran di mana di dalam kes berkenaan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan "keputusan terbuka" berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.

2) Inkues kematian Teoh Beng Hock di mana koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa kes inkues itu juga adalah satu kes “keputusan terbuka” dengan beralasan yang serupa di atas: keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan.

3) Inkues kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat juga memberikan "keputusan terbuka" kerana dikatakan tidak mempunyai keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan mana-mana individu yang menyebabkan kematian itu.

Apa cerita ni? Buang masa, buang wang negara dengan pewujudan inkues.

Hakim-hakim seperti "takut" untuk menetapkan hukuman dan seperti mahu melindungi pihak tertentu kerana ketiga-tiga kes di atas melibatkan pihak polis.

Jika demikianlah keadaannya, rakyat wajar persoalkan peranan Istana Keadilan (Palace of Justice), peranan hakim-hakim dan peranan institusi kehakiman negara yang sepatutnya menjadi payung kebenaran dan keadilan tetapi kini musnah akibat dari sikap para hakim yang tidak bertaggungjawab.

Sejarah Buktikan Telah Ada Ulamak PAS Yang Belot [updated]

Isu ulama-profesional: PAS perlu jelas peranan, kata penganalisis

Penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari sekali lagi mengulangi bahawa jika PAS mahu meyakinkan rakyat khususnya menggantikan Umno, parti itu perlu jelas peranan dan kedudukan mereka.

Katanya, jika tidak mereka akan ditolak kerana rakyat tidak mahu parti yang keliru tentang kedudukan dan peranan mereka sebagai parti politik.

“Semua ini menyentuh tentang sistem politik Malaysia, khususnya peranan dan fungsi parti politik,” kata beliau sambil menambah bahawa rakyat mahu parti politik yang akur kepada pembahagian kuasa, semak dan imbang.

“Bukan parti yang mahu membolot kuasa dan menyerahkan urusan negara kepada mereka yang tidak mahir dan tidak dipilih oleh rakyat,” kata beliau dalam respons kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan pemimpin veteran Subky Latif tentang keperluan ulama memimpin PAS yang dilaporkan media tempatan hari ini.

Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib juga membuat kenyataan yang sama kelmarin.

Isu golongan ulama dan profesional timbul semula menjelang pemilihan parti itu esok.

Kata beliau, umumnya parti politik berperanan meyakinkan rakyat untuk memberi kuasa kepada mereka da mereka pula membuat dasar yang dilaksanakan oleh birokrasi atau perkhidmatan awam atau badan-badan tertentu yang lain.

“Dalam soal pelaksanaan Islam ini dilakukan oleh sebuah kerangka yang terdiri dari majlis agama, mufti, jabatan agama dan mahkamah syariah. Semua ini di bawah Raja-Raja Melayu.

“Jadi apa perlunya PAS mesti dipimpin oleh ulama untuk memastikan ia tidak lari dari al-Quran dan Sunah?”
katanya.

Sehubungan itu kata beliau, apa yang PAS perlukan ialah pemimpin yang faham ajaran Islam, berakhlak dan berkaliber.

“Mereka boleh dari mana-mana golongan, baik yang dikatakan ulama atau yang dilabel sebagai profesional atau Erdogan.


“Kita harus ingat ada kalangan ulama PAS yang belot dan masuk Umno seperti Datuk Othman Abdullah, Datuk Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Ertinya tidak ada jaminan bahawa mereka yang berpendidikan agama semestinya baik dan jujur seperti yang didakwa di atas tadi,” katanya.

Dalam isu kerjasama dengan Umno sekarang jelas yang menjadi dalang ialah mereka dari kalangan ulama, kata pakar perlembagaan ini.

“Selain itu mereka yang dikatakan ulamak dalam PAS belum tentu ulama yang layak menjadi mufti. Ulama PAS mungkin yang terbaik dalam parti itu tetapi belum tentu yang terbaik dan dihormati di kalangan umat Islam,” katanya lagi.

Aziz menambah, dengan kata lain apa yang dikatakan ulama dalam PAS itu perlu dihalusi.

“Mereka tidak semestinya ulama dalam pengertian yang sebenar. Contohnya mereka mungkin berkelayakan dalam bidang bahasa Arab dan pengajian dakwah tetapi tidak mempunyai kelayakan yang lebih penting seperi bidang syariah atau perundangan Islam,” katanya lagi. -TMI


Ulama ditegur duduk di masjid saja

Perwakilan Dewan Ulama PAS dari Kelantan menegur perwakilan ulama yang lain agar lebih ke depan dalam masyarakat dan tidak hanya melakukan kerja "berpada-pada" antaranya sekadar duduk di masjid sahaja.

Sedangkan Mansor Daud, beliau menggesa ulama agar mencontohi ulama terdahulu dan guru pondok dahulu yang terlibat secara langsung dalam masyarakat.

"Mereka mempunyai kedudukan tinggi (dalam masyarakat), mereka ada kehebatan, bukan sahaja dihormati tetapi juga digeruni. Kalau berpada-pada sekadar di masjid, kita tidak menuju ke hadapan.

"Ulama mesti terlibat dalam pilihan raya, bukan sahaja sebagai ketua urusan ulama. Ulama mesti menjadi pengarah pilihan raya, mesti mengetahui unit-unit dalam jentera pilihan raya," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya ulama mengetuai rombongan membuat aduan kepada pihak bertanggngjawab sekiranya wujudnya pengundi hantu.

"Rasa-rasanya jika ulama mengetuainya, hantu pun takut kepada ulama... Jadi ulama kena 'sengoti'(bersungguh-sungguh)," katanya sewaktu membahaskan usul peranan ulama dalam pilihan raya umum ke-13.

Tumpang jentera orang lain

Sementara itu, perwakilan Pulau Pinang turut mencadangkan jawatankuasa penerangan supaya menyediakan isu, tema atau tajuk isu semasa yang boleh digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka boleh memuatkan isu-isu, ayat, tema yang boleh dimanfaatkan daripada laman web (untuk digunakan) di seluruh negara dan jentera penerangan lain di seluruh negera," katanya membahaskan usul itu.

Perwakilan Pulau Pinang juga turut menggesakan kepada pewakilan ulama yang lain memainkan peranan penting untuk memanaskan jentera pilihan raya dewan tersebut.

Menurutnya, memandangkan paluan gendang pilihan raya semakin kuat, tetapi masih terdapat di kalangan jentera yang "masih tidur".

Menjawab persoalan tersebut, pengarah pilihan raya sayap itu Datuk Hussin Awang berkata beliau mencadangkan supaya mewujudkan jentera pilihanraya ulama sehingga ke peringkat Majlis Tindakan DUN (MTD) atau Unit Peti Undi (UPU).

Katanya penubuhan tersebut terpulang kepada kawasan PAS berdasarkan kepada kemampuan dan keadaan di kawasan masing-masing.

"Sehingga hari ini, saya tidak dapat pastikan apakah jentera pilihan raya wujud atau MTD masing-masing. Pada pengamatan saya dalam beberapa pilihan raya kecil, secara tidak langsung organisasi ini masing belum wujud di peringkat MTD atau masih belum tersusun.

"Jika tidak mula daripada sekarang, hanya bergerak sebagai identiti ulama, maka ulama hanya menumpang kepada jentera orang lain," katanya dalam menyampaikan ucapan penggulungan usul tersebut.-mk