30 Ogo 2010

Hishamuddin Minum Satu Tin Mau Mabuk Satu Tong

Isu masjid: Puak ‘sosialis’ mahu beli jiwa Muslim

Umat Islam perlu tahu membezakan konteks lawatan ke masjid atau surau berbanding mempergunakan masjid bagi tujuan politik dalam keadaan tidak beradab, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang terkilan dengan perkembangan politik di Selangor baru-baru ini, berkata dalam kejadian itu, mereka yang memberi sumbangan datang daripada latar belakang parti sosialis yang selama ini semua maklum dan sedar tujuannya mahu membeli “jiwa” umat Islam supaya menyokong perjuangan dan pemerintahan mereka.

“Langkah ini tidak akan menjadi begitu menghiris jiwa orang Melayu jika majlis itu diadakan di pekarangan surau atau masjid berkenaan.

“Jika kariah masjid atau surau itu beria-ria sangat hendak terima sumbangan daripada pihak sosialis, kenapa perlu langgar titah Sultan. Mereka yang hendak memberi sumbangan tidak perlu pun hadir hingga ke ruang solat untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan yang dipetik dari laman blog Selangordaily bahawa Anggota Parlimen Selayang, William Leong dibenarkan masuk ke ruang solat Masjid At-Taqwa, Selayang Baru untuk memberi bantuan.

Kejadian itu berlaku sehari selepas Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching “bertazkirah” di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Mengulas lanjut, Hishammuddin (gambar) yang juga Naib Presiden Umno, berkata perkembangan perkara itu amat mengejutkannya kerana ia mendapat sokongan daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekali lagi tampil membuat kenyataan mengelirukan umat Islam.

“Kini, apabila Nie Ching dalam keadaan berhadas besar masuk ke ruang solat di Surau Al-Huda, Nik Abdul Aziz berkata ‘kita sekarang berada di zaman moden, jangan jadi jahil’, lepas ini apa lagi “bala” nak datang?

“Kenyataan-kenyataan sebegini ternyata hanya membawa kepada keadaan yang mengelirukan sesama kita orang Islam.

“Saya kira dalam perkara yang menyentuh soal pegangan agama, pemimpin parti politik perlu berani menyatakan perkara sebenar dan mengambil tindakan jelas dan nyata serta mengelakkan kenyataan-kenyataan yang boleh terus menerus mengelirukan orang Islam,” katanya.

Hishammuddin berkata agenda yang dibawa oleh DAP amat jelas dan mereka tanpa henti terus mengambil pendekatan ekstrem, mempertikai hak yang selama ini dipertahankan oleh pemimpin Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Namun, mengapa ada pemimpin daripada parti yang mengaku memperjuangkan Islam enggan mengakui apa yang dibawa oleh DAP ini sebagai menghakis sedikit demi sedikit kekuatan orang Melayu?” soalnyanya.

Pada masa ini, Hishammuddin dalam rangka lawatan tugas rasmi di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi membincangkan soal-soal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. — Bernama

Ulasan GB

Sepertimana biasa, Bernama akan terus mengutip kata-kata menteri-menteri untuk membelasah Pakatan Rakyat. Go on...

Tentang Hishamuddin, we knew you very well. Cuba bercakap mengenai surau dan masjid sedangkan dirimu berselaput dengan noda.

Beliau bertanya:

“Namun, mengapa ada pemimpin daripada parti yang mengaku memperjuangkan Islam enggan mengakui apa yang dibawa oleh DAP ini sebagai menghakis sedikit demi sedikit kekuatan orang Melayu?”

Hei Hishammuddin, parti kamu, UMNOlah yang mengaku memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi UMNOlah yang selama ini menjadi perosak kepada bangsa Melayu dan agama Islam.

Siapa yang menghakis kekuatan orang Melayu dan yang beragama Islam dengan segala bentuk kezaliman, tekanan, rasuah dan pelbagai macam kemungkaran di negara ini kalau bukan UMNO?

Apabila Mursyidul Am PAS menyatakan "jangan jadi jahil", sememangnya kamu-kamu di dalam UMNO adalah manusia jahil yang tak kenal pahala dan dosa, syurga dan neraka. Kamu-kamu berlagak seperti lebai-lebai yang kononnya mempertahankan kesucian masjid dan surau. Sedangkan yang sebenarnya berlaku kamu dihambat oleh ketakutan apabila rakyat sudah muak dan mual dengan UMNO dan lebih menghormati pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat.


Akhirnya Hassan Ali Muncul Juga

Hasan Ali cadang peraturan terperinci masuk masjid

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini mencadangkan supaya satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor.

Beliau berkata peraturan yang lebih jelas seperti jenis pakaian yang sesuai serta jenis tudung yang dipakai juga perlu diperincikan bagi memudahkan ia difahami oleh pihak yang mengunjungi surau atau masjid.

“Mereka yang menjemput atau menganjur sepatutnya perlu memaklum perkara-perkara ini kepada orang yang dijemput (ke surau atau masjid) lebih-lebih lagi bila membabitkan bukan Islam,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Semalam Perkasa meminta kerajaan mengadakan undang-undang melarang bukan Islam daripada masjid dan surau.

Hasan mengulas isu mengenai kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al-Huda di Kajang pada 22 Ogos.

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Hasan berkata beliau akan menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya menjaga sensitiviti awam sekiranya ingin melawat kawasan membabitkan rumah ibadat.


Surau: Hasan akan panggil Khusrin

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan memanggil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammad Khusrin Munawi dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian berhubung isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan kerajan negeri di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangunan SUK, dekat sini petang tadi, Dr Hasan berkata, usaha itu dilakukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Khusrin berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan itu nanti, banyak perkara boleh dikongsi bersama kerana saya telah mendapat banyak input dari kalangan masyarakat termasuk intelektual yang pakar dalam bidang berkaitan yang memerlukan perbincangan lanjut,” jelasnya.

Sebelum itu, Dr Hasan menegaskan perkara itu telah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh lantas keadaan ini telah menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais.

“Sedangkan Teo memang dijemput sebagai tetamu atas sifat beliau sebagai Ahli Parlimen Serdang di mana beliau dijemput menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah parlimen itu.

“Beliau telah dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas. Ucapan beliau tertumpu kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.

Ekoran dari itu, Pengerusi serta Bendahari Surau dan Pembantu Khas Teo dipanggil memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil istana lalu keputusan diambil dengan membubarkan jawatankuasa surau dan Mais mengambil alih pentadbiran surau.

Dr Hasan kesal kerana ada akhbar melaporkan kejadian itu dengan begitu berat sebelah antaranya Teo dikatakan menyampaikan ‘tazkirah’ dan dalam majlis itu beliau disebutkan sebagai menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli-ahli PAS.

“Berdasarkan rentetan kejadian di atas saya telah mengambil inisiatif berikut antaranya, cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat mereka dengan memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak-pihak yang berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.

“Saya juga akan mencadangkan supaya digubal peraturan yang lebih detail dengan memperincikan langkah-langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid di Negeri Selangor,” tegasnya.

Menjawab satu pertanyaan tentang desakan Pemuda Umno agar beliau meletakkan jawatan ekoran peristiwa ini, Dr Hasan berseloroh, jika ikut desakan itu, setiap kali bukan Islam masuk masjid, sudah beribu kali beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Persoalan di sini, jelasnya, adalah bagaimana peraturan sebenar dan bagaimana pula penguatkuasaannya, tidak timbul masalah Hasan Ali tetapi yang utama, isu ini segera diselesaikan. -harakahdaily


Ulasan GB

Akhirnya beliau (Hassan Ali) muncul setelah GB mendedahkan "kehilangan" Hassan Ali sebelum ini terutama seluruh negara tengah sibuk membicarakan hal panas mengenai isu surau.

GB tertarik dengan cadangannya bahawa satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor.

Sekalipun terlambat namun kita mengalu-alukannya. Oleh kerana tidak adanya peraturan yang terperinci selama ini, sepatutnya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching tidak boleh dipersalahkan oleh sesiapa.

Hassan Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor sepatutnya lebih bertanggungjawab dan sepatutnya beliau telah lama mengeluarkan garis panduan tersebut atau telah lama mengarahkan MAIS berbuat demikian.

Apabila isu tersebut meletup sedemikian hebat, diperburukkan apabila ianya dieksploitasikan sedemikian rupa oleh UMNO bersama akhbar-akhbar pencacai mereka, baru hendak dicadangkan peraturan khas yang terperinci sedangkan Jawatankuasa surau berkenaan telahpun "menerima hukumannya" apabila ianya dibubarkan dan diambil alih pentadbiran oleh MAIS.

Apa-apa juga cadangan exco berkenaan, sepatutnya beliau yang melaksanakan kerana ia adalah di dalam biadangkuasanya sendiri, bukan orang lain.

Dan beliau tidak sepatutnya membisu dan mendiamkan diri seperti yang berlaku sebelum ini sehingga MAIS yang dikuasai oleh UMNO telah bertindak jauh ke hadapan dengan membabitkan Sultan Selangor yang dilaporkan murka dengan insiden berkenaan.

Dan seperkara yang perlu diberikan perhatian, peraturan bukan sahaja untuk bukan Islam, tetapi sepatutnya merangkumi yang beragama Islam juga kerana terdapat insiden yang banyak dimana wanita dan puteri UMNO memasuki kawasan surau dan masjid tanpa menutup aurat. Lihat gambar di sebelah bagaimana gelagat isteri PM sendiri bersama-sama kaum wanita yang jelas tidak menutup aurat di dalam kawasan masjid.

MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sepatutnya telah menilai prestasi exco yang bernama Hassan Ali ini dan jika patut ditukar, tukarkan dengan seberapa segera. Ada lagi yang lebih berwibawa daripadanya untuk jawatan berkenaan.

Bukan bererti GB telah bersetuju dengan desakan Pemuda UMNO supaya Hassan Ali meletakkan jawatan, tetapi GB juga tidak suka pemimpin PAS yang pemalas, "mediocre", bermuka-muka dan cakap tak serupa bikin yang kelak keseluruhan kerajaan Pakatan Rakyat tercemar dan sebelum PR ditolak oleh rakyat disebabkan olehnya.

Saman Ekor & PTPTN Perlu Dimasukkan Ke dalam Manifesto PR

Umno-BN Mangsakan Satu Juta Pemilik Kenderaan, Pakatan Rakyat Janji Hapus Saman Ekor

Kerajaan Umno-Barisan Nasional telah mengeluarkan 10 juta saman ekor serta memangsakan lebih satu juta pemilik kenderaan di negara ini daripada memperbaharui cukai jalan.

Sehubungan itu Pakatan Rakyat berjanji akan memansuhkan terus saman ekor, sekiranya diberikan mandat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata kejayaan Pakatan Rakyat melalui PAS menangguhkan peraturan yang menyenarai hitamkan pemilik kenderaan yang gagal menjelaskan saman ekor hanya bersifat sementara sehingga 28 Februari 2011.

"Kami berpendapat ini adalah usaha yang berterusan, kerana setiap kesalahan (yang dilakukan), mesti diselesaikan mengikut proses mahkamah. Adalah tidak adil untuk menghukum dengan tidak membenarkan kenderaan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan, kerana mungkin kesalahan tersebut bukan dilakukan oleh pemilik kenderaan.

"Bayangkan kalau satu saman, kompaunnya berjumlah RM300. Kalau sepuluh juta saman, berapa pula?

"Saman juga mesti diserahkan terus dengan notis kepada pemandu kenderaan, bukan kepada pemilik kenderaan. Contohnya pemilik syarikat kenderaan. Ini akan menimbulkan masalah apabila musim perayaan tiba. Mujur penangguhan ini dilaksanakan," jelas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau berkata demikian semasa mengedarkan risalah kepada pemandu kenderaan selepas melancarkan kempen kesedaran 3M (Memandu Berhemah, Mansuhkan Senarai Hitam dan Mansuhkan Saman Ekor) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa KASE (Kempen Anti Saman Ekor) di Plaza Tol Sungai Besi, petang semalam.

Risalah itu mengandungi maklumat berkenaan saman, saman ekor, hak pengguna jalan raya yang disaman serta petua mengenai keselamatan jalan raya.

Turut hadir pada pelancaran kempen itu termasuk Timbalan Pengerusi KASE, Mohamad Taufek Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi bersama petugas lain.

Sehubungan itu beliau memaklumkan, KASE akan melancarkan laman sosial facebook sempena pelancaraan kempen 3M ini, di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, di Gombak pada sebelah malam.

"Ia bertujuan untuk memberi ruang kepada pengguna jalan raya berkomunikasi dengan KASE dan memberikan maklum balas, tindakan susulan dan pembelaan sewajarnya kepada mangsa saman ekor dan mangsa senarai hitam," jelas Mahfuz lagi. -SK

Ulasan GB

UMNO bakal tertonggeng bila hal saman ekor dimasukkan ke dalam Mmanifesto Pakatan Rakyat.

Dan yang paling hebat kini ialah gerakan PTPTN menyenarai-hitamkan peminjam-peminjam sekaligus menghalang mereka untuk ke luarnegara tanpa mengesani terlebih dahulu samada graduan-graduan itu telah memperolehi pekerjaan atau pun belum.

Pakatan Rakyat perlu mempastikan bahawa sistem pendidikan tidak lagi menjadikan pelajar-pelajar sebagai peminjam yang terikat pula dengan perjanjian yang tidak menasabah, malah sepatutnya sistem pendidikan hendaklah diberikan percuma untuk rakyat.

UMNO BN telah banyak menghabis wang negara dalam bentuk rasuah dan sebagainya sehingga rakyat dijadikan mangsa untuk membayar dan menanggung segala perkhidmatan yang disdiakan.

Pastikan UMNO BN ditamatkan segera pemerintahannya.




UMNO Terus Dipinggirkan, Rakyat Terus Undang Teo

Teo hadiri satu lagi majlis di surau

Meskipun dikecam hebat kerana mengunjungi sebuah surau dalam kawasan pilihan raya minggu lalu, ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching mengunjungi sebuah lagi surau semalam.

Teo dijemput ke surau Al-Muhajirin, Bukit Mahkota, di mana beliau juga menyumbangkan RM500 kepada RELA.

Bagaimanapun kali ini, beliau tidak memasuki ruang solat tetapi memakai selendang. Majlis tersebut berlangsung di bawah sebuah khemah dalam kawasan surau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Teo berkata kunjungannya itu adalah berasaskan kepada prinsip berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama mereka.

Menurut Teo, beliau diberi sambutan yang baik sepertimana ketika beliau mengunjungi surau Al-Huda di Kajang, yang telah mencetuskan kontroversi.

Katanya, majlis tersebut berjalan lancar walaupun terdapat kecaman terhadapnya dan penyiaran siri laporan yang mengecamnya, terutamanya oleh akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.

Malah, katanya, ada antara para hadirin yang bersalaman dengannya dan menyuara sokongan mereka kepadanya.

Teo yakin, selagi tindakannya itu berasaskan kepada prinsip, rakyat tidak akan mempercayai serangan bermotif politik terhadapnya.

Tambahnya, selain sumbangan dari kerajaan negeri, beliau juga turut mengedarkan kurma dan duit raya kepada anak-anak dari ibu tunggal.

Teo menjadi sasaran kecaman ahli-ahli politik BN, blog pro-BN dan akhbar Melayu ekoran kunjungannya ke Surau Al Huda pada 22 Ogos lalu.

Antara lain, mereka mendakwa Teoh telah melakukan penghinaan besar terhadap umat Islam kerana bercakap di depan dewan solat, yang dianggap suci dan dilarang dimasuki bukan Islam.

Ekoran itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil alih pentadbiran surau tersebut dan akan menghantar surat amaran kepada Teo. -MK

Ulasan GB

Demikian, kebenaran tidak dapat disekat walaupun akhbar telah memutar isu tersebut untuk memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat, walau sultan telah dihasut dan dipujuk oleh pihak tertentu untuk menghalang kehadiran pemimpin yang rakyat mahukan.

Tahniah YB Teo. Jangan takut, teruskan kerja-kerja menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. UMNO BN sudah tidak mempunyai apa-apa kekuatan lagi sebenarnya. Mereka sedang menunggu untuk rebah menyembam ke bumi. Pada masa itu tiada sultan yang akan membela mereka lagi!

Kelantan Saman PETRONAS


Royalti: Kelantan fail saman tuntut Petronas bayar RM800 juta setahun

Kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalty — dianggarkan RM800 setahun sejak 2005 — terhadap hasil minyak diperoleh dari luar pesisir pantai Kelantan.

Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar pukul 9.25 pagi tadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri memfailkan writ saman di Bahagian Pendaftaran Dagang.

Selepas sahaja saman itu difailkan, Nik Aziz bersama hampir kesemua ahli Exco Kerajaan Negeri serta seramai 200 penyokong mengadakan sembayang hajat di Masjid Wilayah Persekutuan berhampiran.

Kerajaan Kelantan mengambil keputusan muktamad pada 25 Ogos lalu untuk mengemukakan saman terhadap Petronas pada hari ini berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat dan terserah kepada mahkamah yang akan menentukannya.

Writ saman itu dikemukakan atas nama Petronas dan bukannya kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, ketika ditemui wartawan di Masjid Wilayah Persekutuan, Nik Aziz berkata tindakan perundangan diambil kerana Petronas telah melanggar perjanjian yang dibuat bagi pembayaran wang royalti kepada Kelantan.

“Sebagai ketua kerajaan negeri saya bertanggungjawab untuk menjaga kehormatan harta negeri Kelantan, kedatangan saya hari ini adalah untuk menuntut hak dan menjaga kehormatan harta kita.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Kelantan, jadi saya perlu lakukan apa jua cara sama ada melalui rundingan atau mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, seseorang yang mempunyai harta perlu menjaga dan mendapatkan semula walaupun telah “dicuri.”

“Tiap-tiap orang yang ada harta mesti jaga dengan baik. Kalau orang curi, kita bertindak, kalau rompak, kita tindak, kalau tipu juga kita bertindak.

“Sebab tidak mahu perkara ini terus berlaku, kita bawa ke mahkamah, atas dasar orang Islam, kalau kita tak tunaikan di muka dunia, kalau kita jahat tetap kena bayar di akhirat.

“Sebelum bayar di akhirat, baik mereka bayar di muka dunia,” katanya.

Selain Husam, turut mengiringi Nik Aziz ialah Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli.

Kerajaan negeri Kelantan diwakili oleh Thommy Thomas.

Sementara itu, Husam berkata kerajaan negeri Kelantan telah menghubungi pengurusan Petronas dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menjelaskan kedudukan sebenar negeri tersebut dari segi hak mendapatkan royalti.

“Kita dah hubungi Petronas dan Perdana Menteri melalui surat dan rundingan untuk jelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana yang terkandung dalam perjanjian Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 yang jelas tiada kekeliruan.

“Selain itu, perjanjian tersebut turut disokong Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengerusi Petronas yang pertama.

“Dalam perjanjian itu dinyatakan jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ad di lautan dan daratan, Kelantan berhak mendapat lima peratus setahun bayaran royalti tersebut,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya mendapati telah berlaku pengeluaran minyak di empat blok petroleum sejak 2005.

“Keempat-empat blok tersebut adalah di perairan Kelantan yang tidak bertindih dengan mana-mana kawasan lain, bertindih dengan Terengganu, bertindih dengan Thailand dan bertindih dengan Vietnam.

“Jadi kerajaan negeri berhak mendapat bayaran royalti di keempat-empat kawasan ini.

“Sebagai contoh di kawasan bertindih dengan Thailand pengeluarannya adalah 10 juta tong satu bulan bermaksud dengan harga semasa pendapatannya adalah AS$8.5 bilion setahun dan ini bermaksud kita berhak mendapat sebanyak lima peratus daripada hasil tersebut,” katanya.

Husam yang juga pengerusi jawatankuasa khas mengenai tuntutan minyak berkata jumlah tersebut adalah satu angka yang besar.

“Petronas telah bayar royalti kepada Terengganu selama 18 tahun, jika berlaku kesilapan pada pembayaran royalti Terengganu bermakna pengurusan Petronas adalah disangsikan.

“Jadi selepas semua usaha yang kami lakukan selama ini tidak mendatangkan hasil, kami memilih untuk memfailkan saman terhadap Petronas,” katanya.

Antara relif yang lain dituntut adalah satu penjelasan diambil atau satu siasatan diperintahkan yang menghendaki Petronas untuk membuat pendedahan penuh dan benar berhubung semua fakta berkaitan dengan bayaran-bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan, termasuk tempoh dari mana petroleum telah dikeluarkan, didapati atau diperoleh di luar pantai Kelantan, kawasan-kawasan atau blok-blok dari mana petroleum telah didapati dan diperoleh, serta jumlah bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut menuntut agar semua tunggakan pembayaran tunai yang telah diperjelaskan, hendaklah dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah.

Ia juga memohon satu perintah supaya semua bayaran tunai pada masa hadapan hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan oleh Petronas bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti mana Perjanjian Petroleum Kelantan.

Turut dituntut lima relif yang lain, termasuk relif ganti rugi dan kos. Saman pemula tersebut tidak menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan daripada Petronas.

Dalam kenyataan tuntutan, kerajaan negeri menjelaskan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri tersebut.

Mengikut klausa kedua perjanjian, bayaran tunai itu hendaklah dibayar dua kali dalam setahun, pada atau sebelum 1 Mac, atau sebelum 1 September.

Menurut Klausa 3 pula, pembayaran tersebut hendaklah terus dibayar selama mana petroleum diperoleh dari negeri tersebut dan tidak perlu membayar sekiranya petroleum tidak lagi diperoleh.

Dalam kenyataan tuntutan tersebut, kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa hak milik sumber petroleum dan hak-hak keistimewaan untuk mencari gali bukan satu pemberian kepada Petronas tanpa sebarang balasan ataupun pampasan. -TMI Gambar:mk

Ulasan GB

Dengan keadaan sistem kehakiman yang masih di dalam cengkaman UMNO BN, terlalu sukar untuk diramalkan tentang "outcome" saman ini. Namun usaha wajib dilakukan oleh Kerajaan kelantan. Kekejaman dan kezaliman wajar dihentikan. Petronas sememangnya patut diheret ke mahkamah.

GB pernah meminta supaya Munajat Perdana di adakan dan alhmadulillah ia dilaksanakan pada 28 Januari lalu.

Dan ada yang bertanya GB, apa kesannya? Apakah Allah tidak memperkenan doa kita?

Usah diragukan dengan kejayaan. Allah akan tetap bersama dengan yang bersabar dan ada hikmah yang tersembunyi yang belum dapat dihidu oleh sesiapa.

Petronas tetap akan menerima hukumannya. Kezalimannya kerana mengikut telunjuk UMNO BN selama ini dengan merampas hak royalti rakyat Kelantan dengan nama wang ehsan akan tetap menerima balasan Allah s.w.t.

Dan yakinlah Allah itu Maha Menghakimi Lagi Maha Pemberi Kurnia.

Allahumma la mania lima a'taita, wa la muqtia lima manakta.. Ya Tuhanku tiada siapa boleh menghalang jika Engkau memberi... Tiada siapa yang dapat memberi jika Engkau Menghalang...


MBE & 1Malaysia Najib Ditentang Oleh Puak Ekstremis Melayu

Meritokrasi: Mahathir 'tolak' MBE Najib

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan pendiriannya berhubung dasar meritokrasi yang bakal menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut bekas perdana menteri itu, ekonomi negara tetap mencatat pertumbuhan, malah lebih daripada negara membangun yang lain ketika DEB diamalkan.

"Jadi anda tidak boleh kata DEB menjadi halangan (kepada pertumbuhan ekonomi)," katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini.

Tambahnya, beliau telah memaklumkan pendiriannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dasar meritokrasi yang dipelopori bekas perdana menteri itu.

Katanya lagi, beliau berhak membuat kritikan seperti itu, namun pendapatnya tidak semestinya betul.

Beliau ditanya berhubung kritikannya ke atas pelaksanaan Model Ekonomi Baru.

Model berkenaan bertujuan membangunkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi melalui pendekatan lebih inklusif berdasarkan merit.

Tambahnya, perbezaan pendapat seperti itu merupakan perkara biasa, malah beliau juga menerima kritikan seumpama itu ketika menjadi perdana menteri.

Dalam pada itu, mengulas sokongan yang semakin meningkat kepada kumpulan pendesak seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Mahathir berkata perkembangan itu disebabkan kegagalan Umno dalam mempertahankan hak warga bumiputera.

Peningkatan pengaruh pertubuhan itu juga menyebabkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengugut untuk keluar daripada parti sekiranya Umno menyokong PERKASA.

Mengulas ugutan tersebut, Mahathir bagaimanapun sekadar berkata: "Itu dia punya pasallah."


Perkasa persoal 1 Malaysia, gesa Najib jelaskan

Perkasa pimpinan Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali hari ini memberi tekanan baru ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan meminta Perdana Menteri menjelaskan konsepnya 1 Malaysia, yang sesetengah pengkritik menganggapnya sebagai slogan cetek dan tidak membantu meredakan ketegangan kaum.

Ibrahim berkata, konsep 1 Malaysia telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dengan mendakwa ia merujuk kepada soal kesamarataan antara kaum.

“Kami meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep 1 Malaysia,” kata wakil rakyat Pasir Mas ini kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, Perkasa mahu konsep itu berasaskan pada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 merujuk kepada hak keistimewaan Bumiputera dan membolehkan kerajaan mengadakan kuota di institusi pengajian tinggi, peluang pekerjaan sektor awam dan permit.

Malah, Penasihat DAP Lim Kit Siang juga mempersoalkan keberkesanan konsep 1 Malaysia, yang dibawa Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri April 2009, ekoran insiden-insiden bersifat perkauman dengan dua pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.

Perkasa mengemukakan gesaan itu ketika negara membuat persediaan untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 Selasa ini.

Ibrahim juga mencabar Najib agar membentangkan resolusi Parlimen untuk menggugurkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan jika konsep 1 Malaysia benar-benar merujuk kepada soal kesamarataan.

“Adakah beliau boleh berbuat demikian?” kata Ibrahim lagi.

Najib menyatakan pendirian terbukanya dua hari lalu berhubung kenyataan rasis pengetua sekolah di Johor dan Kedah terhadap pelajar Cina dan India.

Kata beliau, pentadbirannya tidak akan bertolak ansur dalam isu-isu berkaitan dengan perkauman.

Perkembangan itu membawa kepada Lim semalam memberi tempoh 60 jam agar Najib mengambil tindakan terhadap pengetua-pengetua terbabit, menjelang Hari Kemerdekaan, jika tidak ia akan membuktikan dasar tidak bertolak ansur itu hanya pendekatan perhubungan awam semata-mata.

Hari ini, Ibrahim turut membidas masyarakat Cina yang menuntut agar kuota 30 peratus bagi Bumiputera digugurkan.

“Kaum ini tidak menghormati orang Melayu sebagai bangsa ketuanan,” katanya.

“Mereka tidak menghormati kerana tamak. Orang Melayu merupakan 67 peratus penduduk negara ini. Kami hanya meminta 30 peratus,” katanya. -TMI