28 Mac 2010

Datuk Pun Kena Diserkupkan Bila Ke Mahkamah?

Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah tahanan reman terhadap "Setiausaha Sulit" Sultan Kelantan dilanjutkan sehari lagi sehingga esok bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan terhadapnya.

Datuk Wan Hashim Wan Daud yang ditahan polis Khamis lalu ekoran kenyataan mengenai pemecatan Pemangku Raja diserkup dari diketahui wajahnya untuk diambil gambar oleh para wartawan.

Sementara itu, laporan akhbar menyatakan Majestret Nurhaslinda Che Seman membuat keputusan sambungan tahanan reman itu pagi tadi.

Polis Kelantan akan mengambil keterangan daripada pemberita-pemberita yang membuat liputan sidang media Wan Hashim, Khamis lalu.

Wan Hashim ditahan kira-kira sembilan jam selepas sidang media yang diadakan di Istana Mahkota mengumumkan pemecatan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Wan Hashim tiba di mahkamah kira-kira 10.50 pagi dengan kawalan anggota polis.

Sementara itu peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Wan Hashim semasa ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya telah membangkitkan masalah berkenaan kesihatan Wan Hashim dan memohon agar beliau direman di hospital.

“Mereka (polis) pohon untuk tiga hari tapi mahkamah benarkan sehingga esok.

“Puan Majestret juga telah membuatkan satu perintah supaya Datuk (Wan Hashim) dibawa ke hospital selepas prosiding hari ini.

“Reman sehingga esok, pihak polis perlu membuat satu keputusan esok sama ada dituduh atau dibebaskan atas jaminan polis,” kata beliau ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.

Wan Hashim ditahan di rumahnya di Taman Sri Aman, Kubang Kerian dan disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar.

Laporan minggu lalu menyebut Wan Hashim, bekas setiausaha kerajaan negeri, telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit tetapi dinafikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.

Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris masih kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota Majlis Perajaan Negeri pada 29 Mei lalu.

Dalam pada itu seorang ahli keluarga Wan Hashim yang dihubungi untuk diminta komen mengenai perkembangan hari ini menerima keputusan tersebut dengan hati yang lapang.

“Tuhan hanya satu, saya hanya mampu pasrah.

“Tak perlu saya beri komen banyak dalam kes ini, tunggu sajalah apa keputusannya nanti,” katanya ringkas.

Polis menahan Wan Hashim ditahan dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja.

Desas-desus mengatakan tangkapan tersebut berikutan satu laporan polis dibuat Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Kelantan, Shafien Ismail berhubung pengumuman penamatanjawatan Tengku Muhammad Faris.

Beliau ditahan di IPK Kelantan sejak pukul 8.40 malam Khamis lalu.



Jenson Button Juara Grand Prix Australia 2010

Pelumba pasukan McLeren-Mercedes, Jenson Button, menjuarai GP Australia 2010 yang berlangsung di litar Albert Park, Melbourne petang tadi. Sementara tempat kedua dimenangi oleh Robert Kubica dari pasukan Renault, diikuti Felipe Massa dari Ferrari dan kempat Fernando Alonso juga dari pasukan Ferrari.

Kemenangan juara dunia 2009 yang berasal dari England ini diraih setelah pasukan McLaren mengambil keputusan tepat mengganti tayar di lap ke-7. Awalnya, penggantian tayar kering ini tidak berjalan baik mengingat beberapa bahagian lintasan masih basah.

Button tetap mampu mengawal kelajuan keretanya hingga pada lap ke-26 dirinya mampu meninggalkan Sebastian Vettel (Red Bull-Renault) yang saat itu berada di hadapan tetapi telah tergelincir masuk ke kawasan pasir.

Kejayaan Button yang terakhir juara pada GP Turki 2009 hari ini tidak diikuti rakan sepasukannya Lewis Hamilton. Pelumba ini tatkala sedang mengejar Fernando Alonso terpaksa masuk ke pasir setelah Mark Webber (Red Bull-Renault) melanggar belakang keretanya pada dua lap terakhir saat mereka bertarung memperebutkan posisi kelima.

Namun Hamilton sendiri akhirnya dapat kembali ke lintasan dan menydahkan perlumbaan di tempat keenam dan Webber di tempat ke sembilan.

Juara dunia tujuh kali Michael Schumacher hanya mampu berada di tempat ke-10 setelah keretanya termasuk ke dalam pitstop setelah terlibat dengan perlanggaran dengan Alonso.

Pelumba kereta Lotus-Cosworth, Kovalainen hanya mampu di tempat ke 13 dari 14 pelumba yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Seorang lagi pemandu kereta Lotus-Cosworth, Jarno Trulli terkeluar dari awal perlumbaan apabila keretanya gagal untuk bermula dari pit.

Perlumbaan seterusnya selepas ini ialah di Litar Sepang pada 4 April minggu depan.


Keputusan GP Australia, 28 Mac 2009

Pos Driver Team Time
1. Button McLaren-Mercedes 1h33:36.531
2. Kubica Renault + 12.034
3. Massa Ferrari + 14.488
4. Alonso Ferrari + 16.304
5. Rosberg Mercedes + 16.683
6. Hamilton McLaren-Mercedes + 29.898
7. Liuzzi Force India-Mercedes + 59.847
8. Barrichello Williams-Cosworth + 1:00.536
9. Webber Red Bull-Renault + 1:07.319
10. Schumacher Mercedes + 1:09.391
11. Alguersuari Toro Rosso-Ferrari + 1:11.301
12. De la Rosa Sauber-Ferrari + 1:14.084
13. Kovalainen Lotus-Cosworth + 2 laps
14. Chandhok HRT-Cosworth + 4 laps

World Championship standings, round 2:

Drivers: Constructors:
1. Alonso 37 1. Ferrari 70
2. Massa 33 2. McLaren-Mercedes 54
3. Button 31 3. Mercedes 29
4. Hamilton 23 4. Red Bull-Renault 18
5. Rosberg 20 5. Renault 18
6. Kubica 18 6. Force India-Mercedes 8
7. Vettel 12 7. Williams-Cosworth 5
8. Schumacher 9
9. Liuzzi 8
10. Webber 6
11. Barrichello 5




Chua Soi Lek Bakal Ganti Ong Tee Keat Sebagai Menteri Kabinet.

Kemenangan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru akan menyaksikan juga pertukaran menteri-menteri kabinet kerajaan Barisan Nasional terutama yang datang dari parti komponen MCA di dalam BN.

Chua Soi Lek sepastinya akan mengetuai senarai dengan mengenepikan Ong Tee Kiat yang selama ini dilihat begitu terpalit dengan pelbagai macam skandal dan tidak disenangi oleh ahli-ahli MCA khususnya.

Dr Chua memenangi jawatan presiden MCA manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan timbalan presiden.

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Chua mendapatkan 901 undi, menewaskan Tan Sri Ong Ka Ting yang mendapat 833 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Kiat memperolehi 578 undi.

Bagi jawatan timbalan pula, Liow mendapat 1,171 undi, menewaskan Datuk Kong Cho Ha yang memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, Dr Ng mendapat 1,528 undi, Donald Lim (1,469) manakala Chor dan Gan masing-masing mendapat 1,202 undi.

Yang paling menarik ialah mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Liow merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Keputusan itu mengesahkan petunjuk awal yang menunjukkan Dr Chua dari mendahului persaingan kerusi presiden MCA meskipun undi bagi jawatan nombor satu hanya akan dikira selepas pukul 5 petang.

Petunjuk awal menunjukkan Dr Chua berada di depan dengan 1,000 undi dan disusuli dengan penyandang jawatan Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Pengiraan undi bermula pukul 2 petang selepas seramai 2,315 daripada 2,318 perwakilan yang mendaftar membuang undi.

Pemilihan ini diadakan selepas 21 anggota jawatankuasa pusat meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tee Keat.

Tee Keat yang merupakan Menteri Pengangkutan dipilih pada 2008 selepas Ka Ting melepaskan lawatan ekoran kekalahan dalam pilihan raya umum Mac 2008.

25 pemenang jawatankuasa pusat ialah:

1. Tan Ken Ten
2. Koh Nai Kwong
3. Loh Seng Kok
4. Tan Cheng Liang
5. Gan Tian Loo
6. Chong Itt Chew
7. Hou Kok Chung
8. Lee Chee Leong
9. Wee Jeck Seng
10. Chuah Poh Khiang
11. Hoh Khai Mun
12. Heng Seai Kie
13. Kong Sing Chu
14. Teh Kim Poo
15. Wong Koon Mun
16. Tee Siew Kiong
17. Tan Ah Eng
18. Ti Lian Ker
19. Tan Chai Ho
20. Por Choo Chor
21. Lee Wei Kiat
22. Ong Ka Chuan
23. Liew Yuen Keong
24. Yoo Wei How
25. Toh Chin Yaw

Sejumlah 2,318 perwakilan MCA mula mengundi bagi 31 jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, timbalan dan naib presiden di ibupejabat parti itu hari ini.

Dendam Kesumat Mahathir Terhadap Pak Lah Tak Berpenghujung

Dendam kesumat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak berkesudahan.

Mahathir akan menggunakan apa saja platform yang boleh untuk digunakan bagi meluahkan dendamnya itu terhadap Pak Lah. Terbaru beliau menggunakan pentas Perkasa tanpa malu untuk menghentam Pak Lah semasa merasmikan Mesyuarat Agung sulung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Walaupun mantan Perdana Menteri itu sudah bersara daripada jawatan selama setahun namun beliau masih menjadi sasaran lidah tajam Dr Mahathir yang terus mengkritik dasar-dasar pentadbiran Abdullah yang tidak selari dengan pemikiran beliau, lapor Suara Keadilan.

Pada mesyuarat Perkasa tersebut Dr Mahathir menggunakan kesempatan itu untuk memperli kepimpinan Abdullah yang dianggap sebagai kerajaan yang hanya tahu memperkenalkan koridor ekonomi dan bukan pembangunan ekonomi.

Abdullah bersara pada April 2009, setahun selepas Umno-Barisan Nasional mengalami kekalahan yang amat memalukan pada Pilihan Raya Umum 2008 dan digantikan oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Situasi sekarang lebih baik daripada zaman pemerintahan Pak Lah. Semasa Pak Lah menjadi PM, saya langsung tidak boleh bercakap. Saya juga tidak dijemput oleh sesiapa. Dia seorang yang liberal dan demokratik tetapi orang seperti saya tidak dibenarkan bercakap. Tetapi Najib beri saya peluang bercakap maka dia seorang yang baik. Najib mempunyai idea untuk negara.

"Harapan saya untuk Datuk Seri Najib adalah lebih lagi berbanding penyandang, "Mr Corridor". Terlalu banyak koridor tetapi apa yang kamu boleh jumpa dari semua koridor tersebut? Media seharus membuat laporan terhadap semua koridor tersebut sepanjang 5 tahun itu dan apa yang sudah dibuat," kata bekas Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan itu.

Dalam majlis yang menyaksikan adegan mencium keris oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, beliau juga menyalahkan penggantinya itu sebagai penyebab utama situasi ketegangan kaum sekarang dan kononnya Malaysia lebih bersatu semasa 23 tahun di bawah pentadbirannya.

Umno Gadai Keselamatan Negara Kepada Zionis

Akar umbi Umno dikatakan semakin resah dengan pendedahan terbaru yang menunjukkan hubungan semakin “selesa’ antara kerajaan pimpinan Najib Razak dan rejim Israel.

Selain menggunakan khidmat syarkat perunding APCO Worldwide yang dimiliki oleh orang Yahudi, kerajaan Umno-Barisan Nasional kini dilaporkan mengguna khidmat seorang bekas pegawai tentera Israel untuk merombak sistem komunikasi Polis Diraja Malaysia.

Pegawai berkenaan yang dipercayai menjalankan tugas itu menerusi syarikat Asiasoft (M) Sdn Bhd yang mendapat tender berkenaan yang bernilai RM42 juta.

Syarikat itu adalah milik penuh dari syarikat tunggalnya, Asiasoft Pte Ltd yang berpengkalan di Singapura.

Dakwaan terbaru ini pasti menambah kecurigaan ahli Umno dan rakyat yang selama ini mahukan Malaysia kekal menolak sebarang hubungan diplomatik dan perniagaan dengan Israel atau syarikat-syarikat Yahudi.

Dasar itu sebagai menzahirkan sokongan dunia Islam terhadap penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel sekian lama.

Pembabitan seorang pegawai tentera israel dalam merombak sistem komunikasi PDRM bukan sahaja menempelak dasar itu malah mendedahkan maklumat dan data sulit polis kepada pelbagai risiko.

Ancaman itu bertambah getir jika diambil kira syarikat yang mendapat tender itu berpangkalan di Singapura, negara jiran yang sudah lama mempunyai “minat” terhadap isu-isu keselamatan di Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN, Badrul Hisham Saharin berkata warga Israel yang ditugaskan menambah baik sistem komunikasi PDRM berkhidmat sebagai programmer di negara zionis itu.

Beliau bertanggungjawab membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel pada sekitar 1970 hingga 1987, menurut Badrul.

Persoalan yang timbul ialah kenapa Najib semakin berjinak dengan syarikat-syarikat Yahudi, menerusi APCO, dan yang terbaru mengupah kepakaran Israel untuk PDRM.

Minggu lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan konsep 1Malaysia ditiru daripada konsep 1 Israel.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi pula mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahan Israel Ehud Barak pada tahun lalu.

Pada tahun sama, CIMB yang dikuasai adik Perdana Menteri, Nazir Razak, dilaporkan memberi kontrak kepada sebuah syarikat komputer yang berpengkalan di Israel.

Sebuah laman blog mendakwa, persekongkolan antara kerajaan Malaysia dan Israel bermula sejak zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Blog bernama milosuam.blogspot.com itu menyiarkan surat bertarikh 16 Ogos 1999 oleh Tun Mahathir kepada Barak yang ketika itu Perdana Menteri Israel.

Dalam surat berkenaan Mahathir dilaporkan mengucapkan tahniah kepada Barak atas kejayaan beliau memenangi pilihanraya Israel.

Mahathir juga dikatakan memohon pertolongan pemimpin Israel itu untuk melobi Malaysia bagi mendapatkan bantuan kewangan daripada sebuah tabung yang dikenali sebagai "Clinton Fund".

Menurut surat yang disiarkan oleh blog itu, Mahathir meminta bantuan berkenaan untuk memastikan Umno dapat mengekang pengaruh pelampau Islam, - jolokan yang lazim digunakan oleh Mahathir terhadap PAS.

Guan Eng Tunggu Zahrain Saman Untuk Dedah Tembelang

Tindakan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang memfailkan saman terhadap Ketua Menteri Pulau, Lim Guan Eng dianggap usaha mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi beliau.

Pembantu Khas kepada Lim Guan Eng, Ng Yap Hwa berkata Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan menghantar surat tuntutan kepada Guan Eng sedangkan ia bukan notis saman mahkamah, sebaliknya hanya surat notis oleh seorang peguam.

"Zahrain hanya cuba alihkan perhatian daripada sebab sebenarnya dia begitu marah kepada Ketua Menteri bukan kerana isu prinsip tetapi kerana Ketua Menteri enggan mengikut syor Zahrain yang menwakili IGP Sdn Bhd untuk meluluskan pengswastaan pengurusan Bukit Jambul Golf Club yang bernilai lebih RM40 juta kepada sebuah syarikat RM2,"kata Yap Hwa.

Menurut beliau Guan Eng hanya menunggu tindakan saman mahkamah diteruskan oleh Zahrain supaya segala pekung Ahli Parlimen Bayan Baru itu dapat didedahkan kepada umum.

"Kami mengesyaki Zahrain samada beliau benar-benar berani meneruskan tindakan mahkamah atau hanya bersikap main-main untuk dapat publisiti murah kerana ada dokumen hitam putih yang boleh sahkan bahawa Zahrain menyokong pemberian tender RM40 juta kepada sebuah syarikat RM2 yang tidak ada sebarang rekod kerana hanya baru ditubuhkan dua bulan sebelum tender dipanggil," jelasnya.

Yap Hwa berkata Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dalam ucapannya di Parlimen pada 23 Mac lalu mempersoalkan tindakan Zahrain menggelar Guan Eng sebagai komunis kerana tidak mendapat sebarang bentuk imbuhan dari kerajaan negeri.

Ghafur dalam ucapannya di Parlimen dipetik sebagai berkata, “Bolehkah dalam dewan ini tunjuk satu orang antara kita ini komunis. Ini (tuduhan Zahrain) bukan bukti, ini salah dari segi peraturan, mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri seorang komunis.

"Abdul Ghapur memarahi Zahrain sudah gemuk dan sudah kenyang kerana 'umpan' yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab dia lompat,” tegas Yap Hwa lagi. -SK

Musa Hitam Mahu Royalti Atau Wang Ehsan Diurus Kerajaan Negeri

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata, pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh kerajaan pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas, katanya seperti mana dipetik dari Malaysia Insider.

Seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih 'arif' dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani, Musa berkata, pembayaran wang itu biar apapun istilahnya, mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

“Sama ada wang ihsan atau royalti, itu tidak mustahak. Asalkan mereka menggunakannya untuk pembangunan rakyat.

“Kita harus wujudkan satu sistem di mana kita boleh memantau penggunaan wang itu, walaupun kuasanya diberikan kepada negeri berkenaan,” katanya.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Perkara itu ditekankan beliau pada ceramah perdana di Kota Baru, akhir Januari lalu.

Tengku Razaleigh akan muncul pada majlis dialog yang diadakan di negeri jiran Terengganu, yang juga hanya pernah dibayar wang ihsan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1999.

Beliau dijadual untuk menyentuh isu itu sekali lagi yang sebelum ini mencetuskan polemik dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno-BN.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

“Jelas kepada saudara, bila dengar saya cakap ni, saya punya pendapat ‘not mainstream’.

“Ada orang kata boleh jadi lagi dekat dengan Tengku Razaleigh. Jangan salah faham pulak... Musa dah balik dengan Tengku Razaleigh, tak ada, kita dah tua, ‘don’t worrylah’,” katanya.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak.

Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat.

Namun kerajaan pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.

Sebaliknya kerajaan pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.

Pembayaran itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Untuk tujuan itu kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa Khamis lalu memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu. -SK

Bayi Baru Lahir Maut Digonggong Anjing

Mayat seorang bayi yang masih belum dikenal pasti jantinanya ditemui dalam keadaan tangan hampir terputus akibat digonggong seekor anjing dalam kejadian di Jalan Padang Tembak berdekatan Lapangan Terbang Subang, di sini, petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada saksi, Ahmad Romzi, kira-kira jam 4 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan awal polis ke atas mayat itu mendapati bayi itu baru dilahirkan berikutan masih terdapat uri ditemui bersamanya. Setakat ini, kita masih belum dapat pastikan bangsa bayi tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Arjunaidi berkata, buat masa ini masih belum dapat memastikan sama ada bayi itu mati ketika dilahirkan atau selepas dibuang selain ketika ditemui mayat terbabit sudah tidak lengkap anggota.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan siasatan dibuat menjurus mengikut Seksyen 318 Kanun keseksaan.

Sementara itu, Ahmad berkata, perasaan ingin tahu apa yang digonggong oleh seekor anjing membawa kepada penemuan mayat bayi malang itu.

“Apabila saya halau anjing itu, barulah tahu 'benda' yang digonggongnya adalah mayat seorang bayi dan terus menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, tangan kanan bayi itu juga ditinggalkan anjing tersebut dan ditemui beberapa meter dari tempat badannya dijumpai. -SH