2 Mei 2015

Anti-GST: Ambiga, Dr.Hatta, Anthony Loke & Arulchelvan Bebas, 29 Yang Lain Direman


Ambiga dibebaskan, 29 lagi direman

Polis gagal untuk mendapatkan perintah reman terhadap bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan yang ekoran protes anti-GST semalam, tetapi 29 orang lagi yang ditahan, tidak bernasib baik.

Menurut peguam Michelle Yesudas, 23 orang direman selama tiga hari manakala enam lagi yang di bawah umur, direman selama sehari.

Selain Ambiga, yang lain dibebaskan ialah setiausaha penganjur kebangsaan DAP Anthony Loke, ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Hatta Ramli dan setiausaha agung PSM S Arutchelvan. -mk


23 direman tiga hari, 6 remaja direman sehari

Seramai 23 pemuda yang ditahan berikutan himpunan Hari Pekerja semalam akan direman tiga hari sementara tujuh tahanan di bawah umur akan direman sehari lagi, kata peguam Michelle Yesudas.

Polis mendapat arahan itu daripada majistret Mohd Rehan Mohd Aris hari ini.

Polis pada mulanya meminta reman empat hari, kata Yesudas di Twitter.

Pemuda berkenaan ditahan semalam selepas satu himpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan. Kira-kira 10,000 peserta menyertai himpunan semalam dengan dibantu pihak polis.

Sebanyak 29 yang ditahan itu diwakili sepasukan tujuh peguam termasuk Eric Paulsen, Lim Chee Wee, Maha Ramakrishnan dan Chan Yen Hui.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur semalam selepas ditahan.

Tahanan berusia antara 16 dan 17 tahun pada mulanya digari, tetapi kemudiannya dibuka gari mereka selepas diberitahu peguam mereka pada 1 pagi tadi, kata Michelle.

Bagaimanapun, permintaan agar pegawai kebajikan dipanggil tidak ditunaikan, dan juga tidak kelihatan ketika permohonan reman membabitkan tahanan remaja itu.

Michelle berkata ibu bapa remaja terbabit dimaklumkan hanya selepas peguam mengingatkan pihak polis pada 1 pagi.

Michelle berkata 23 yang lain terdiri daripada ahli Pemuda PKR serta orang awam lain. –
-TMI


[VIDEO & GAMBAR] Anti-GST: Rakyat Akan Terus Turun Berdemo....


Himpunan anti-GST tidak mengubah, tapi beri kesan ketara, kata penganalisis

Suami Zaiton Anuar terlantar sakit di rumah dan perlu penjagaannya, tetapi ibu kepada lima orang anak itu nekad datang ke Kuala Lumpur menyertai himpunan membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semalam.

Wanita berumur 52 tahun itu merupakan antara ribuan peserta lain pada perhimpunan semalam, yang dikatakan mencapai matlamatnya walaupun tidak melepasi sasaran mengumpulkan sejuta peserta.

Walaupun perhimpunan semalam tidak mungkin mengubah keputusan Putrajaya mengenai pelaksanan cukai berkenaan, kemarahan rakyat terhadap peningkatan kadar inflasi sedikit sebanyak mampu mengancam kedudukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Zaiton, terdapat perbezaan agak ketara di antara maklumat disampaikan Putrajaya mengenai GST dan bagaimana cukai itu memberi kesan kepada rakyat.

"Setiap kali saya menonton TV, kerajaan sering mengatakan bahawa kos perubatan di hospital kerajaan tidak akan dikenakan GST. Tetapi apabila saya membawa suami ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia), saya perlu membayar GST untuk semua kos rawatannya."

Beliau kecewa apabila dikenakan cukai 6% ke atas semua kos perubatan bagi merawat penyakit kanser suaminya, yang boleh mencecah setinggi RM2,000 setiap kali rawatan.

GST yang dikenakan adalah sebanyak RM60 dan ia jumlah yang membebankan buat Zaiton, yang tinggal di rumah pangsa di Pantai Dalam.

Pada 22 April, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, ubat-ubatan penyakit kronik seperti kanser akan dikenakan GST.

Satu lagi keluhan yang diluahkan adalah bagaimana kerajaan boleh membuat andaian harga barang akan turun selepas pelaksanaan GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar 10%.

Kakak Zaiton, Misnah, 54, mendakwa andaian yang dibuat kerajaan itu meleset sama sekali kerana beliau sendiri mendapati harga barangan meningkat dalam beberapa minggu lalu.

"Saya pergi ke pasar raya besar baru-baru ini dan mendapati harga bagi 3 kilogram pencuci pakaian yang selalu dibeli naik daripada RM17 kepada RM24."

Tinjauan The Malaysian Insider di kedua-dua pasar raya besar pada 9 April lalu mendapati, sekurang-kurangnya lima daripada 10 barangan dijual lebih mahal berbanding panduan harga yang dikeluarkan kerajaan sebelum pelaksanaan GST.

Sementara itu, sebuah pasar raya didapati menjual lapan jenis barangan dengan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan buku panduan terbitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Seorang lagi suri rumah, Josephine Anthony, 37, mendakwa keluarganya kini terpaksa menambah jumlah perbelanjaan rumah sebanyak RM30 untuk setiap 300 barangan dibeli di pasar raya.

"Jika dulu saya boleh beli semua barangan yang kami perlukan pada harga RM100, kini walaupun jumlah barangan yang dibeli adalah sama namun harganya lebih RM150," kata pekerja kilang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu, yang hadir bersama suaminya semalam menyertai protes anti-GST.

Penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat berkata, ketidakpuasan di kalangan rakyat terhadap cukai itu dapat dirasai dan sebab itu ia mampu menghimpunkan di antara 30,000 hingga 40,000 peserta di Dataran Merdeka semalam.

"Ini adalah satu isu besar yang sedang melanda seluruh rakyat," kata Wong, zamalah Institut Pulau Pinang, yang turut menyertai himpunan terbabit.

Kemarahan masih belum membuahkan hasil

Biarpun kemarahan yang ditunjukkan orang ramai semakin membuak terhadap GST, namun penganalisis politik Ibrahim Suffian mengandaikan desakan itu mungkin hanya memberi impak lebih besar sekiranya pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bersatu membantah cukai itu.

"Walaupun dengan ramai pengguna sosial media membantahnya, anda masih perlu mempunyai seorang pemimpin yang dapat menjadi ikon kepada rakyat," kata Ibrahim yang turut menyertai perhimpunan pada Hari Pekerja itu.

Ibrahim mendapati perhimpunan semalam tidak menyaksikan penglibatan besar PR, dan penganjur pula menggesa supaya ahli politik supaya tidak memberi ucapan.

"Pilihan raya umum masih lama lagi dan ini memberi gambaran bahawa walaupun anda mengajak orang ramai untuk berhimpun, anda tidak boleh berbuat apa-apa terhadap cukai itu. Ia menyebabkan peserta berasa cepat bosan"

Wujud ketidakpastian sama ada bantahan akan diterjemahkan dalam bentuk undi, kata seorang peserta himpunan Suhaimi Ibrahim yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

"Orang kampung benar-benar terbeban cukai ini kerana ia memberi kesan kepada mereka dan mereka tidak mempunyai pendapatn besar," kata Suhaimi, 44, yang datang ke ibu negara bersama kawannya.

"Tetapi kita tidak pasti lagi sama ada ia akan mempengaruhi mereka melalui jumlah undi nanti kerana apabila mendapat sagu hati, mereka cenderung untuk melupakan kemarahan itu."

Wong, bagaimanapun, masih positif mengenai kesan terhadap himpunan yang dilakukan semalam.

"Ada dua kumpulan manusia. Satu kumpulan adalah mereka yang datang untuk menyatakan pendirian mereka mengenai sesuatu perkara manakala satu kumpulan lagi datang untuk menyatakan pendirian mengenai sesuatu perkara dan mengharapkan tindakan mereka memberikan kesan. Kumpulan kedua adalah lebih besar berbanding kumpulan pertama."

Perbandingan serupa berlaku pada perhimpunan Bersih 2.0 (2011) dan Bersih 3.0 (2012).

Perhimpunan ketiga mempunyai jumlah tiga kali ganda lebih besar berbanding perhimpunan kedua kerana mereka percaya hasilnya akan mewujudkan satu gelombang perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketika Bersih 3.0, kepimpinan PR bersatu dan semua datang beramai-ramai menyuarakan kemarahan.

Buat masa ini, kesan perhimpunan Hari Pekerja semalam masih belum dapat dipastikan mampu mengubah keadaan, kata Wong.

"Tetapi sekurang-kurangnya masih ramai rakyat yang hadir untuk menyatakan pendirian mereka mengenai prinsip dan mereka menunjukkan bahawa mereka boleh menyusun diri mereka sendiri walaupun PR berada dalam keadaan berpecah-belah."

Bagi Ibrahim, perhimpunan itu membuktikan kesedaran politik masih wujud di kalangan rakyat Malaysia.

Malah, faktor GST dan peningkatan kadar inflasi akan lebih dirasai pada pilihan raya umum akan datang.

Polis mula menangkap penunjuk perasaan selepas perhimpunan itu menggunakan alasan berlakunya vandalisme dan provokasi.

Setakat lewat malam tadi, hampir 50 orang, termasuk peguam terkemuka dan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, ditahan kerana menyertai perhimpunan tersebut.

Turut diminta menyerah diri kepada polis ialah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, ahli sekrteriat #KitaLawan Fariz Musa, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh. -TMI


53 peserta himpunan #BatalGST ditangkap, Suaram kutuk tindakan polis

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk tangkapan pihak polis terhadap perserta himpunan aman #BatalGST di Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga jam 10 malam tadi, tidak kurang daripada 53 orang telah ditangkap di sekitar KLCC sewaktu mereka dalam proses bersurai untuk pulang.

Suaram dalam kenyataannya malam tadi mempertikaikan tindakan polis yang menangkap peserta, sedangkan himpunan tersebut sudah ditamatkan secara aman.

“Pihak polis jelas gagal untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kenyataan SUARAM dipetik.

Sehingga kini, polis telah menahan Ahli Parlimen Seremban, Athony Loke dan akan mereman bekas Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan dan Setiausaha Agung Parti Sosialias Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Difahamkan, polis juga menghubungi beberapa individu untuk menyerah diri, antaranya Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, penyelaras Jingga 13 Fariz Musa dan aktivis Bersih 2.0 Mandeep Singh .

Sementara itu, derdasarkan maklumat ke semua 53 yang ditangkap kini dipindahkan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi).

“Tindakan polis ini mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak prihatin terhadap suara golongan pekerja, memandangkan himpunan 1 Mei ini merupakan acara rutin tahunan yang disambut seluruh masyarakat antarabangsa.

“Oleh itu, Suaram mendesak agar pihak polis segera membebaskan semua yang ditangkap,” tambah kenyataan tersebut.

Tambah Suaram, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 dan menyatakan desakan agar semua yang ditangkap dibebaskan dengan segera.

Orang ramai juga boleh terus menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah di talian 019 – 383 8084 bagi mendesak beliau membebaskan tahanan dengan segera.

“Suaram juga ingin menyeru orang ramai untuk turut sama memberi desakan kepada kepada pihak polis khususnya Ketua Polis Daerah Dang Wangi agar segera membebaskan semua peserta himpunan yang ditangkap,” tegas Suaram.











[VIDEO & GAMBAR] Puluhan Ribu Sertai Himpunan Anti-GST -updated


Perhimpunan menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, sebulan selepas ia diperkenal.

Ia kebetulan jatuh pada Hari Pekerja hari ini.

Berikut laporan langsung daripada wartawan Malaysiakini di lapangan:

6.20pm: KLCC – Hampir semua peserta himpunan sudah bersurai. Suasana kembali tenang seperti biasa.

6.00pm: Dataran merdeka- Free Anwar Petition Coliation turut muncul di himpunan hari ini untuk mengutip tandatangan daripada orang ramai.

Koordinatornya berkata mereka telah mula mengutip tandatangan di Sogo awal pagi hingga kini.

Katanya, mereka dapat mengutip tandatangan sebanyak 3,000 hari ini.

"Kita beri peluang kepada mereka yang tidak puas hati dengan sistem kehakiman untuk meluahkan perasaan melalui tandatangani ini," katanya.

Lau berkata, matlamat mereka adalah untuk mengutip sejuta tandatangan dan menyerah kepada Agong untuk menuntut pembebasan Anwar.

"Dari pelancaran kempen mengutip tandatangan pada bulan April hingga kini, kita telah mengumpul kira-kira 50 ribu tandatangan," katanya.

5.10pm: Sekumpulan 20 orang buta dari Solidariti Orang Buta Malaysia turut muncul dalam himpunan anti-GST.

Mereka merungut perlaksanaan GST telah menyusahkan orang buta kerana semakin banyak orang buta diragut oleh perompak.

"GST menyebabkan orang semakin miskin, maka kami dijadikan sasaran peragut.

"Mereka mula-mula datang buat baik dengan kita kemudian dompet kita diragut.

"Kami pergi membuat laporan polis tetapi polis mahu kita kecam muka peragut. Kami buta macam mana nak lukis muka peragut?" kata Fadil, 42 yang hanya menjalankan perniagaan kecil sendiri.

Dia turut merungut perlaksanaan GST menyebabkan barang dan peralatan orang buta semakin mahal.

"Malah, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) turut kenakan GST pada kita," katanya dengan marah.

"Harga barang juga makin mahal, kita bukannya kaya.

"Dulu makan di kedai hanya harga RM6 dengan nasi dan air, kini kena bayar RM8," rungutnya.

5pm: KLCC - Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat membacakan deklarasi anti-GST kepada orang ramai yang mahukan cukai itu dimansuhkan.

Tokoh ulama PAS Ahmad Awang kemudian memimpin bacaan doa.

“Ya Allah, kami berkumpul hari ini dengan semangat jihad, dengan semangat Tok Janggut untuk melawan GST.

“Berikanlah kami kekuatan. Berikanlan tentera-Mu ini kekuatan untuk melawan GST,” katanya.

4.50pm: KLCC – Kira-kira 1,000 masih tinggal di KLCC.

4.45pm: KLCC – Ucapan berkumandang sekurang-kurangnya di tiga tempat. Di depan Affin Bank, Setiausaha PKR Rafizi Ramli menyelar Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

“Masuk sekolah balik Ahmad Maslan. Dia tidak faham GST,” kata Rafizi.

4.25pm: Jalan Ampang – Suar dinyalakan menyebabkan asap oren menyelubungi kawasan itu.

Ia dikatakan dinyalakan oleh kumpulan “anarkis” yang tidak terlibat dalam jawatankuasa Kita Lawan.

"Ia dipercayai kumpulan sama yang membakar suar di depan Masjid Jamek.

4.20pm: KLCC - Penunjuk perasaan berdiam diri sebentar bagi menghormati suara azan yang sedang berkumandang. Sejurus tamat mereka menyambungnya dengan laungan takbir.

Kawasan di Jalan Ampang, dekat KLCC sesak. Penghadang dipasang bagi mengelakkan penunjuk perasaan memasuki halaman KLCC.

4.15pm: Jalan Ampang – Orang ramai dari Jalan Ampang membanjiri jalan. Jalan raya sesak teruk.

KLCC – Lebih ramai orang menuju ke arah kawasan itu. Dianggarkan kira-kira 15,000 menyertai perhimpunan hari ini.

Aktivis orang kurang upaya (OKU) Isaiah Jacob berucap bahawa GST membebankan golongan itu.

“Kerajaan memang bangsat, mereka kejam. Mereka patut bantu orang kurang upaya,” tambahnya.

3.55pm: Ibu pejabat polis daerah Dang Wangi – Orang ramai berlaku sambil mengusik dan anggota polis dengan lirik berbunyi "terima kasih abang polis" ketika melalui kawasan itu.

Polis mengawal keadaan sejak pagi dan tiada insiden dilaporkan setakat ini.

3:15pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman – Peserta himpunan daripada Sogo, sekurang-kurangnya 4,000 orang sudah sampai ke persimpangand Dataran Merdeka.

Dipimpin anggota Parlimen Batu Tian Chua, kumpulan pemuzik yang menggelarkan diri mereka sebagai The BangsArt menghiburkan orang ramai dengan paluan deram dan lagu-lagu bertema perjuangan.

3pm: Jalan Raja – Orang ramai bertambah kepada 10,0000 di Dataran Merdeka dan ramai lagi dijangka tiba di tempat bersejarah itu.

Sogo – Anggota sekretarian Kita Lawan Mandeep Singh umumkan 2,000 sedang berarak ke Dataran Merdeka. Mereka memenuhi Jalan Tunku Abdul Rahman.

2.50pm: Jalan Raja - Penunjuk perasaan banjiri kawasan sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dipimpin oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, mereka melaungkan slogan “Kita Semua Tok Janggut” - mengenang perjuangan menolak cukai yang dikenakan penjajah British seratus tahun lalu.

2.35pm: Sogo – Naib Presiden PKR Tian Chua ketika berucap atas kenderaan pacuan empat roda memberitahu kira-kira 1,500 orang di kawasan itu bahawa mereka akan berarak ke Dataran Merdeka dan KLCC sebentar lagi.

2.20pm: Masjid Jamek – Kesesakan lalu-lintas di Jalan Tun Perak selepas 2,000 orang membanjiri kawasan itu.

Kenderaan lalu-lalang juga membunyikan hon tanda sokongan. Laungan menuntut Perdan Menteri Datuk Seri Najib Razak kedengaran.


Puluhan Ribu Sertai #BatalGST 1 Mei

Dianggarkan lebih 20,000 peserta berhimpun pada Hari Pekerja di hadapan bangunan KLCC hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perhimpunan yang dinamakan perhimpunan #BatalGST itu dianjurkan kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 dan bermula di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Negara sekitar jam 2.30 petang.

Antara Agenda himpunan tersebut turut menyaksikan pembacaan 'Deklarasi 1 Mei' yang menuntut 10 perkara dari kerajaan.

Deklarasi yang dibacakan pengerusi LENSA, Syukri Razak, antaranya menuntut supaya GST dibatalkan, rundingan TPPA dihentikan, gaji minima dikaji semula, hak kesatuan pekerja diperkasakan, hak pekerja wanita ditegakkan, hak pekerja migran tidak dieksploitasikan, penswastaan pekhidmatan asas seperti air dihentikan, kebebasan media ditegakkan, harga barang dikawal dan AUKU dimansuhkan.

Turut hadir bersama kumpulan Jawatankuasa Mei 1 itu ialah Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvam, Datuk S Ambiga, aktivis Abu Haris Ibrahim dan wakil-wakil pelajar, pekerja serta NGO.

Peserta kemudiannya berarak ke KLCC di mana beberapa pemimpin pelajar, badan bukan kerajaan (NGO), pekerja serta ahli politik pembangkang berucap di hadapan para peserta yang duduk mendengar ucapan-ucapan tersebut.

Pengerusi #BantahGST Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam ucapannya berkata, tujuan bantahan itu diadakan bukanlah hanya semata-mata untuk membantah cukai tersebut.

Menurut beliau yang juga Timbalan Presiden PAS, bantahan itu diadakan bagi menentang unsur-unsur penyelewengan, rasuah dan ketirisan wang negara yang dikatakan berlaku sekarang.

"Kita bantah cukai kerana rasuah, tiris, menyeleweng. Kita bantah bukan semata-mata hendak bantah," katanya di hadapan ribuan peserta yang hadir.

"Oleh itu kita tuntut kerajaan Barisan Nasional batalkan sahaja GST dengan segera," desak Mat Sabu lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam ucapannya menyifatkan pengutipan cukai GST oleh kerajaan sama seperti kerajaan British waktu dahulu.

Katanya pada zaman dahulu, British telah bertindak menekan rakyat di India dan Tanah Melayu dengan mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas.

Namun, tindakan itu telah mendapat tentangan dari Bapa Kemerdekaan India, Mahatma Ghandi di India dan pejuang Melayu dari Kelantan, Tok Janggut di Tanah Melayu di mana dia kemudiannya dihukum bunuh atas tindakannya itu.

"Kalau kamu tangkap Anwar mungkin mereka boleh maafkan, kalau kenakan akta hasutan pun mereka masih boleh maafkan. Tetapi kalau kenakan cukai pada yang tua dan miskin, rakyat akan bangkit," kata Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR dan ahli Parlimen Pandan.

Seorang lagi pemimpin Pakatan Rakyat, iaitu Anthony Loke berkata himpunan ini adalah bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan supaya menarik balik GST.

"Kita bagi mesej pada BN... sama-sama bangkit dan teruskan perjuangan sampai kerajaan tarik balik GST," kata beliau yang merupakan Setiausaha Organisasi DAP itu.

Himpunan yang disokong oleh Bersih 2.0, Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Parti Sosialis Malaysia, serta beberapa NGO, parti politik dan persatuan pekerja itu berakhir pada jam 5.30 petang.

Ia merupakan kemuncak Protes anjuran Jawatankuasa Mei 1 yang terdiri daripada parti politik, NGO, golongan profesional dan mahasiswa.

Sementara itu, seramai 20 orang ditahan susulan perhimpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di ibu negara hari ini.

Peguam hak asasi manusia Michelle Yesudas berkata mereka ditahan di sekitar bangunan KLCC selepas tamat perhimpunan lewat petang ini dan dibawa ke ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur.

Empat daripada mereka anggota Pemuda PKR (AMK) daripada Kelantan dan yang lain belum dikenal pasti, katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa ketika dihubungi Malaysiakini berkata masih belum mendapat maklumat berhubung perkara itu. Bagaimanapun, tambahnya, tiada tangkapan ketika perhimpunan berlangsung.