26 Jan 2013

Rafizi Kepada Zahid Hamidi: Jumpa Di Mahkamah, Lawan Tetap Lawan!

Rafizi tidak akan tarik balik kenyataan, lawan saman Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli tidak akan tarik balik kenyataannya berkenaan Kementerian Pertahanan menggunakan dana awam untuk membeli saham Astacanggih, milik peniaga permaidani Deepak Jaikishan berharga RM30 juta dan membeli tanah Raja Roopiah bernilai RM160 juta di Bukit Raja.

Beliau yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, rakyat Malaysia secara umumnya sudah mengetahui kes ini dan beliau sedia ke mahkamah menghadapi saman dari Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Ya, saya akan hadapi saman tersebut. Saya akan go through dengan lawyer saya mengenai isu ini," kata Rafizi.

Semalam, Ahmad Zahid berkata beliau akan menyaman Rafizi berkenaan tulisannya di dalam blognya, yang didakwa berunsur fitnah, palsu dan tidak benar.

Saman itu dikemukakan berhubung artikel yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli perniagaan karpet, Deepak Jaikishan.

Ahmad Zahid selaku plaintif berkata, perkataan tersebut antaranya membawa maksud beliau tidak kompeten, salah guna kuasa sebagai Menteri Pertahanan dan tidak jujur.

Menteri Pertahanan itu antaranya menuntut ganti rugi am dan khas bagi fitnah bertulis, ganti rugi teladan dan melampau serta menarik balik sepenuhnya kata-kata fitnah itu.

Pengarah strategi PKR itu berkata, beliau bersedia untuk ke mahkamah agar semua dokumen yang terlibat dapat disapina di mahkamah.

“Kalau dia saman saya, baguslah, kita boleh sapina semua dokumen nanti.

“Apa yang saya katakan, beliau selaku Menteri Pertahanan harus bertanggungjawab kepada dana awam,” kata Rafizi lagi.

Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan Ahmad Zahid dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.

Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.

Turut dituntut ialah faedah empat peratus ke atas jumlah ganti rugi, kos dan relif lain.


Zahid fail saman fitnah terhadap Rafizi


Menteri Pertahanan Datuk Dr Ahmad Zahid mendakwa artikel yang di tulis Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli palsu dan ditulis dengan niat jahat.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berhubung satu artikel di dalam laman blog.

Dr Ahmad Zahid memfailkan writ saman tersebut menerusi Tetuan Majid Krishna Menon & Lee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Mengikut pernyataan tuntutan, Dr Ahmad Zahid mendakwa Mohd Rafizi (defendan) menerbitkan artikel fitnah itu di laman blog miliknya iaitu RafiziRamli dotcom.

Dr Ahmad Zahid mendakwa artikel itu adalah tidak benar, palsu dan ditulis dengan niat jahat bagi memberi gambaran negatif berkenaan diri dan pekerjaannya untuk dibaca orang awam.

Katanya Rafizi mengetahui kesan langsung penerbitan artikel tersebut yang membolehkan ia diterbit semula oleh pihak media termasuk media di laman Internet.

Dr Ahmad Zahid turut mendakwa perkataan yang terkandung dalam artikel tersebut membawa maksud bahawa beliau tidak kompeten untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan, menyalah guna kuasa, tidak bertanggungjawap, menyalah guna wang rakyat dan pecah amanah.

Beliau mendakwa tujuan sebenar Rafizi berbuat demikian adalah untuk melupuskan keyakinan orang awam dan gabungan Barian Nasional terhadapnya terutama dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan Ahmad Zahid dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.

Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.

Turut dituntut ialah faedah empat peratus ke atas jumlah ganti rugi, kos dan relif lain.
-Bernama

JAKIM Diselar Kerana Guna Khutbah Jumaat Semai Kebencian Terhadap Agama

Teks khutbah Jumaat adalah percubaan wujudkan kebencian agama, kata pemimpin PAS

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Beberapa orang pemimpin PAS membidas penguatkuasa Islam Malaysia kerana pertuduhan menwujudkan kebencian agama semasa solat Jumaat semalam bagi umat Islam dengan menggelar mereka yang bertegas menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada tuhan mereka sebagai “musuh Islam”.

Pemimpin PAS yang dihubungi The Malaysian Insider berkata tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyediakan teks khutbah Jumaat tersebut tidak mencerminkan imej Islam sebagai sebuah agama keamanan dan memahami sebaliknya menggambarkannya sebagai tidak bertolak ansur.

“Langkah Jakim ini cubaan untuk mengapi-apikan sentimen benci kepada penganut Kristian.

“Sikap adu-domba mereka ini adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab,” kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Dalam teks khutbah Jakim semalam, penguatkuasa agama tersebut memberi amaran kepada umat Islam diseluruh negara tentang percubaan “musuh Islam” untuk menyesatkan mereka dengan memberi gambaran semua agama adalah sama.

Umat Islam juga diberitahu terlalu berminda terbuka dan membenarkan hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah tindakan “merbahaya”.

“Hari ini musuh-musuh Islam cuba memesongkan dan meruntuhkan akidah ummah.

“Mereka bersatu sesama mereka dan berusaha dengan pelbagai helah dan cara termasuklah dengan membuat tuntutan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab mereka,” tulis teks tersebut.

Jakim semalam menegaskan kalimah “Allah” tidak terdapat dalam Injil mahupun Taurat, serta mengingatkan umat Islam supaya menolak tuntutan penganut Kristian yang mahu menggunakan perkataan Arab itu di dalam kitab mereka.

“Mereka percaya bahawa tuhan wujud dalam konsep Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan ), God the Son (Anak Tuhan ) dan Holy Spirit (Roh kudus), dan ketiga eleman ini dirujuk sebagai satu tuhan dengan panggilan umum (The Lord),” tulis Jakim lagi.

Khalid juga menyelar Jakim kerana sikap melulu menunding jari dan berprasangka buruk kepada penganut Kristian seolah-olah agama tersebut mempunyai niat untuk memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

“Tuduhan Jakim ini tanpa bukti, mereka hanya menuduh sahaja.

“Kenapa nak burukkan semua orang Kristian, bukan semua penganut Kristian tidak baik.

Malahan Islam tidak menganjurkan sikap berprasangka buruk kepada agama lain,” tambah beliau.

Khalid sebaliknya menuduh Jakim sebagai punca umat Islam berada dalam keadaan keliru kerana gagal memainkan peranan dalam memantapkan fahaman Muslim di dalam negara.

“Merekalah (Jakim) punca umat Islam lemah kefahaman dan akidah.

“Sepatutnya Jakim melaksanakan tanggungjawab dan tugas memantapkan umat Islam di Malaysia, tapi apa yang saya lihat setakat ini mereka gagal lakukannya,” kata Khalid lagi.

Dalam pada itu, Khalid juga berkata tidak bersetuju dengan Jakim yang mengatakan tuntutan bukan Islam untuk menggunakan kalimah “Allah” adalah bertujuan untuk mencetuskan kekeliruan dikalangan umat Islam.

“Kalau Jakim berkata demikian, maka terbuktilah Jakim yang selama ini tidak melaksanakan kerja mereka dengan baik.

“Lebih baik khutbah itu menerangkan tentang perbezaan akidah umat Islam dan bukan Islam, supaya Muslim lebih memahami tentang Islam yang sebenarnya,” ujar beliau lagi.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub juga mendakwa tindakan Jakim tersebut hanya bertujuan untuk memanaskan keadaan yang sedia tegang ketika ini serta membidas agensi tersebut sebagai menjadi “alat” kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sebelum itu saya mahu tanya, apakah peranan dan tanggungjawab Jakim dalam berdakwah kepada umat Islam.

“Jakim jangan jadi alat kepada BN, malahan mereka juga memutar-belit kenyataan yang diputuskan semasa Majlis Syura Ulama PAS pada awal Januari lalu,” katanya.

Salahuddin menentang tindakan Jakim yang mengeluarkan khutbah menyerang penganut Kristian sebaliknya agensi tersebut perlu menerangkan dan menjelaskan kepada bukan Islam tentang kemelut penggunaan kalimah suci tersebut.

Menurut Salahuddin, tindakan Jakim tersebut hanya mengundang rasa tidak puas hati dan rasa benci bukan Islam kepada orang Muslim kerana seolah-olah memberi gambaran yang tidak baik kepada bukan Islam di Malaysia.

“Jakim sepatutnya memainkan peranan proaktif dalam menerangkan dan menghuraikan dalam isu penggunaan kalimah Allah ini.

“Tetapi mereka tidak lakukan, sebaliknya langkah Jakim mengeluarkan teks khutbah ini hanya menambah rasa tidak puas hati dan benci bukan Islam kepada Muslim,” terang MP Kubang Kerian tersebut lagi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang dihubungi The Malaysian Insider enggan memberikan komen berkenaan teks khutbah dikeluarkan Jakim itu.

“Tiada komen, saya tidak dengar khutbah tersebut,” tulis Mustafa dalam satu teks pesanan ringkas.

Isu kalimah “Allah” kembali diperkatakan semula selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam perutusannya sempena Hari Natal menuntut agar Putrajaya membenarkan penggunaan kaimah Allah dalam kitab Injil bahasa Melayu.

Bekas Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin walaubagaimanapun mengatakan penganut agama Yahudi dan Kristian sudah menggunakan kalimah “Allah” jauh lebih lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad dalam sebuah kuliah yang disiarkan di laman sosial YouTube -TMI

PR Mampu Pertahan Selangor Dan Ambilalih Putarajaya


Pakatan Rakyat (PR) mampu mempertahankan Selangor berdasarkan sokongan rakyat ketika ini yang memihak kepada gabungan itu berbanding Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkembangan semasa di dalam negara membuktikan rakyat mula menaruh harapan kepada PR untuk terus mentadbir Selangor malah tidak terkecuali mengambilalih pentadibiran negara di Putrajaya.

Menurutnya, kajian beberapa pihak juga jelas memberi gambaran sokongan rakyat lebih kepada PR berbanding Umno-BN.

“Analisa dibuat seorang pegawai tinggi ekonomi Bank Islam yang tidak memihak kepada sesiapa, menyatakan kenyataan bahawa harapan PR menang dan memiliki Putarajaya adalah tinggi.

“Kajian dibuat kumpulan daripada Universiti Malaya (UM) menyatakan harapan untuk PR juga tinggi.

Kajian dibuat oleh Cawangan Khas, polis dan tentera menunjukkan PR boleh menang.

“Daripada kajian dinyatakan bahawa rakyat sudah setuju untuk tukar kerajaan,” katanya dalam ucapan meraikan jentera pilihan raya Ijok dan Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

Abdul Khalid berkata, PR pada masa ini bersetuju bersama rakyat bagi membuat satu gelombang baru iaitu rakyat menentukan kerajaan yang memerintah.

“Gelombang ini sangat penting iaitu gelombang kedua dari 2008, bukan sahaja kita perlu mengukuhkan kerajaan di Selangor tetapi kita mengubah kerajaan di Putrajaya.

“Rakyat mula percaya kepada kita,” katanya.


MB Selangor: Kajian dapati rakyat lebih percaya Kerajaan Negeri PR


SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa sebanyak 60 peratus rakyat di Selangor semakin meyakini Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) yang beliau terajui sejak Mac 2008.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, kajian dijalankan Kerajaan Negeri sejak Ogos lalu mendapati tahap kepercayaan rakyat terhadap beberapa kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) di negeri itu merosot kepada 20 peratus.

“Tiga bulan kita (Kerajaan Negeri) buat kira-kira sama ada boleh menang dan tawan Putrajaya atau tidak.

“... graf penerimaan rakyat terhadap PR lebih tinggi daripada BN.

“Berapa ramai orang percaya kepada (Setiausaha Umnor Selangor), Datuk Seri Ir Mohd Zin? Kurang 20 peratus. Berapa orang percaya pada (Timbalan Pengerusi Umno Selangr) Datuk Seri Noh Omar? Pun begitu, lebih kurang 20 peratus.

Berapa orang percaya Menteri Besar Selangor sekarang? Lebih 60 peratus,” katanya ketika berucap meraikan lebih 400 sukarelawan dan jentera pilihan raya bahagian Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok di kediaman rasminya di sini, malam tadi.

Bagaimanapun dakwa Abdul Khalid, kajian terbabit mempunyai asasnya apabila kajian yang sama dilakukan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), yang diumumkan Rabu lalu, mendapati sokongan rakyat terhadap PR semakin tinggi.

Tambah beliau, hal ini dikuatkan lagi apabila keputusan yang sama diperolehi hasil kaji selidik oleh pihak polis dan tentera baru-baru ini.

“Mereka (unit khas polis dan tentera) telah bocorkan maklumat ini sendiri, membuktikan rakyat semakin menolak Umno-BN “.... hasil survei ini, rakyat dah setuju untuk tukar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid mengingatkan rakyat Selangor supaya tidak menggadaikan mandat mereka hanya semata-mata gelap mata dengan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diagihkan BN menjelang pembubaran Parlimen bulan depan.

Bagaimanapun Abdul Khalid tidak melarang rakyat untuk menerima sambil menyifatkan bantuan kewangan itu bukannya milik ahli politik atau parti, sebaliknya ia merupakan hak rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan melaksanakannya sejak 50 tahun lalu.

“Duit (BR1M) boleh ambil, undi jangan, tanggungjawab saudara jangan jual, jangan jual keluarga.

“.... bukan duit bapak dia, itu duit rakyat,” tegas Abdul Khalid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memberi jaminan kepada rakyat bahawa seandainya Pakatan Rakyat memenangi dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, pihaknya akan mengekalkan kedaulatan undang-undang negara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Semua pimpinan tertinggi PR telah bersetuju untuk tidak merungkai setiap artikel dalam Perlembagaan Malaysia.

“.... Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sebulat suara untuk mempertahankan Perlembagaan Negara,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Hadir sama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Exco Pertanian Selangor merangkap Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan Pengerusi Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin
- SH

Anak Muda Penentu PR Ke Putrajaya- Dr Abu Hassan


Golongan muda akan menjadi penentu kejayaan Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya, kata Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.

Beliau berkata, meskipun tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 belum diumumkan, namun momentum sokongan golongan muda pada masa ini lebih menyebelahi PR.

“Banyak isu yang berlegar berkaitan dengan anak muda menjadi topik hangat, daripada tuntutan pendidikan percuma, hapus PTPTN dan AUKU. Oleh sebab itu PR dilihat dekat dengan mereka.

“Golongan ini sebenarnya akan memberikan kesan memandangkan mereka tidak mengundi berdasarkan kepopularan, sebaliknya mekanisme ditawarkan untuk memberi kesenangan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), mendapati PR hanya ketinggalan lima peratus di belakang BN dalam persaingan meraih undi popular dalam pilihan raya umu ke 13.

Tinjauan ke atas 1,409 responden itu menunjukkan BN mempunyai peluang 42 peratus untuk mengekalkan Putrajaya, manakala Pakatan mendapat 37 peratus peluang – dengan 21 peratus lagi “tidak pasti”.

“Saya yakin 21 peratus itu adalah kelompok anak muda, mereka masih lagi mencari-cari siapa yang akan diundi mereka.

“Secara akademiknya, anak muda adalah golongan yang akan buat keputusan di saat-saat akhir, jadi pastinya penentu kemenangan bergantung kepada mereka,” ujarnya yang juga pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM). -KD

[EDISI KANTOI] Lagi Kes Syaitan Dikenali Menyamar Sebagai Ahli PAS


Buletin Utama TV3 menyiarkan berita yang kononnya ahli PAS berdemo dan nembantah Azmin & Karpal...

Kot ye pun, butanglah baju tu dulu... kan dah kantoi... tak sabar sangat nak beraksi jadi "Pejuang Melayu"... rasa rasanya ahli PAS tak pakai Baju "JANJI DITEPATI". - manjada wajada

Laporan sebelum ini
klik untuk baca


[TERBONGKAR] "Pengundi Hantu" Terima Surat Najib


Lebih ramai 'pengundi hantu' dapat surat Najib

Lebih banyak kontroversi menyelubungi surat ucapan tahun baru dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak selepas pembangkang menerima satu lagi aduan mengenai berpuluh surat tersebut dihantar kepada orang yang tidak dikenali di sebuah rumah di Petaling Jaya.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh yang juga menjaga kawasan pilihan raya Bukit Gasing berikutan kematian wakil raknyat, berkata aduan terbaru itu datangnya dari sebuah rumah di kawasan berkenaan.

"Pemilik rumah tersebut telah menerima 28 surat daripada BN, tetapi dia tak kenal pun mereka," katanya dalam sidang akhbar bersama ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San dan Kasthuri Patto, iaitu setiausaha politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Untuk memburukkan lagi keadaan, Hannah berkata carian pada daftar pemilih menunjukkan terdapat 37 nama orang yang tidak dikenali yang didaftarkan di alamat tersebut.

"Kami mahu bertanya kepada Najib dan (penyelaras BN Selangor), Datuk Mohd Zin Mohamed sama ada ini adalah pengundi hantu mereka?" kata Hannah.

Dengan mendedahkan sendiri 'pengundi hantu' tersebut, tegas Hannah, BN umpama "menyumbat gol sendiri".

"Saya tidak kata mereka tidak bijak, tetapi mungkin terdapat terlalu banyak pengundi hantu sehingga mereka pun tidak kenal." -mk

Ulasan GB

Hukum kebenaran dan keadilan tidak boleh dielak.

Setiap sesuatu yang cuba disembunyikan oleh kerajaan UMNO BN melalui SPR dan JPN akan tetap terbongkar.

Seandainya mereka cuba juga untuk melakukan penipuan di dalam pilihanraya, hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya - kerajaan UMNO BN, SPR, JPN dan semua yang terlibat PASTI menerima hukuman yang dasyat.