23 Mei 2011

Bersedia, Kerajaan Akan Umumkan Kenaikan Harga Minyak Minggu Ini

Langkah Rasionalisasi Subsidi Dijangka Diumum Minggu Ini - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan langkah rasionalisasi subsidi termasuk penyelarasan harga petroleum minggu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.

"Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini...kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai spekulasi kerajaan akan mengkaji semula harga produk petroleum termasuk petrol RON95.

Ismail Sabri berkata kerajaan berpandangan wang yang diguna untuk menanggung subsidi sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada rakyat seperti membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan rakyat.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2011 yang berlangsung selama tiga hari di Medan Tunku, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, Isnin.

Harga petrol RON95 kini RM1.90 seliter berbanding harga petrol RON97 yang meningkat kepada RM2.90 seliter selepas diapungkan mengikut harga pasaran minyak semasa.

Pada 16 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan tahun ini akan meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas iaitu daripada RM10.3 bilion kepada RM20.58 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia. - BERNAMA

Mohd Sabu Menang Besar Jika Tuan Ibrahim Masuk Tanding Timbalan Presiden

Tekanan meningkat untuk Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Tekanan dari pelbagai pihak semakin kuat ke atas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar bertanding jawatan timbalan presiden walaupun sebelum ini beliau telah memaklumkan tidak bersedia untuk ke jawatan itu.

Tekanan itu semakin memuncak apabila ramai yang mula tahu pencalonan yang diterima beliau tidak jauh bezanya dengan dua lagi calon popular timbalan presiden iaitu penyandangnya Ustaz Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Tuan Ibrahim dikatakan menerima 39 pencalonan untuk timbalan presiden manakala untuk naib presiden beliau menerima 97 pencalonan.

Ini bermakna, hampir kesemua kawasan yang diterima pencalonannya (146 pencalonan) ada nama Tuan Ibrahim untuk kedua-dua jawatan itu.

Pencalonan tinggi yang diterima beliau dalam keadaan beliau sudah memaklumkan keberatan untuk bertanding jawatan timbalan presiden juga telah menambahkan tekanan untuk beliau.

Ekoran itu, menurut sumber, ada cadangan agar Tuan Ibrahim bertanding kedua-dua jawatan iaitu timbalan dan naib untuk menghormati pencalonan kawasan-kawasan.

Selain Nasharudin, Mohamad Sabu dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.

Sehingga kini, hanya Nasharudin dan Mohamad Sabu mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden manakala Salahudin membayangkan akan hanya mempertahankan jawatannya sekarang iaitu naib presiden.

Kesemua calon-calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum 26 Mei ini. Jawatankuasa Pemilih 2011 akan mengumumkan calon-calon itu pada 27 Mei ini. -harakahdaily

Ulasan GB

Daripada tulisan di atas, nampaknya harakahdaily cuba menonjolkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Timbalan Presiden PAS kali ini bagi menggantikan Ustadz Nasharuddin Mat Isa.

Tetapi laporan di atas nampak "berlebih-lebihan" dan keterlaluan terutama ayat berikut:

Tuan Ibrahim dikatakan menerima 39 pencalonan untuk timbalan presiden manakala untuk naib presiden beliau menerima 97 pencalonan.

Ini bermakna, hampir kesemua kawasan yang diterima pencalonannya (146 pencalonan) ada nama Tuan Ibrahim untuk kedua-dua jawatan itu.


Ayat yang ditebalkan itu ternyata salah dan mengelirukan.

Ia sepatutnya berbunyi

"hampir kesemua kawasan yang diterima pencalonannya (146 pencalonan) ada nama Tuan Ibrahim untuk salah satu jawatan itu"

146 kawasan tidak menamakan Tuan Ibrahim Tuan Man untuk kedua-dua jawatan tetapi hanya salah satu daripada dua jawatan itu, iaitu 39 kawasan calonkan beliau sebagai Timbalan Presiden dan 97 calonkan beliau sebagai Naib Presiden. Jika 146 kawasan mencalonkan Tuan Ibrahim untuk kedua-dua jawatan, tentulah sudah menang Tuan Ibrahim sebagai Timbalan Presiden dengan 146 pencalonan itu.

Pelik betul bagaimana harakahdaily boleh melaporkan dengan cara untuk salah dan mengelirukan pembaca. Ia amat tidak beretika di dalam rangka cuba untuk menonjolkan calon favoritenya.

GB kata sebelum ini GB terbuka, sesiapapun dialu-alukan bertanding. Tetapi kenalah menilai keupayaan dan kekuatan masing-masing.

Ustadz Nasharuddin yang sebelum ini telah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya nampaknya seperti dipinggirkan oleh harakahdaily. Kita tidak tahu berapa pencalonan yang diterima oleh Ustadz Nasharuddin berbanding calon-calon yang lain kerana J/K Pemilihan kali ini TIDAK TELUS, tidak diumumkan secara terbuka jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon yang bertanding. Satu perancangan? Wallahu 'alam.

Namun jika Tuan Ibrahim membuat keputusan untuk masuk gelanggang untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, ia akan memecahkan undi kumpulan Ustadz Nasharuddin bukan Mohd Sabu.

Ini kerana perwakilan akan melihat Ustadz Nasha dan Ustadz Tuan Ibrahim adalah dari kumpulan yang sama (dua-dua berstatus ulamak/ustadz). Kedua-duanya satu ketika pernah dikaitkan dengan UG.

Mohd Sabu sudah ada penyokongnya sendiri - iaitu solid dari kumpulan yang menentang gagasan UG.

Justeru itu kemasukan Tuan Ibrahim Tuan Man ke dalam gelanggang Timbalan Presiden akan hanya memberi padah kepada Ustadz Nasharuddin, bukan Mohd Sabu, setidak-tidaknya akan memerosotkan undi bagi Ustadz Nasharuddin.

Kedua, Tuan Ibrahim pula pernah menyatakan bahawa beliau mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden parti Islam itu pada pemilihan Jun ini.

titm
Laporan The Malaysian Insider 27/03/2011


Jika Tuan Ibrahim menerima pencalonan Timbalan Presiden, ini akan meletakkan kedudukan Tuan Ibrahim sebagai calon yang mudah untuk dikritik perwakilan sebagai "cakap tak serupa bikin".

Ketiga, peluang untuk Tuan Ibrahim memenangi jawatan Naib Presiden pula akan tipis jika Tuan Ibrahim turut bertanding sebagai Timbalan Presiden kerana tentulah perwakilan hanya akan memilih seseorang itu untuk satu jawatan sahaja, samada Timbalan atau Naib. Mereka yang telah mengundi Tuan Ibrahim sebagai Timbalan Presiden tidak akan mengundinya lagi sebagai Naib Presiden.

Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Tetapi, sebaliknya jika Tuan Ibrahim tidak bertanding Timbalan Presiden, sepastinyalah perwakilan akan memberikan undi kepada beliau untuk menduduki salah satu kerusi Naib Presiden.

Ramai sudah menghidu perancangan dan perencanaan pihak tertentu itu, tetapi wamakaru wamakarallah, wallahu khairul makirin - Ali Imran(54).

Tragedi Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim: Cerun Disahkan Masih Berbahaya


Kajang: Cerun belakang Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Madrasah Al-Taqwa iaitu lokasi kejadian tanah runtuh disahkan berbahaya ekoran wujudnya pergerakan tanah.

Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerjaraya (JKR), Datuk Dr Ashaari Mohamad berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati struktur tanah di cerun berkenaan masih lemah terutama dalam keadaan cuaca hujan sejak beberapa hari lalu.

"Buat masa ini kedudukan cerun itu memang tidak selamat malah kita dapati masih ada pergerakan tanah di dalamnya," katanya ketika ditemui selepas majlis taklimat mengenai tragedi berkenaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di lokasi kejadian di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis taklimat mengenai tragedi berkenaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melawat lokasi kejadian di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu, 16 orang terkorban manakala sembilan yang lain cedera.

Selain itu Ashaari berkata, pihaknya difahamkan bahawa sebelum ini telah berlaku beberapa runtuhan kecil namun tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Difahamkan ada runtuhan dan pergerakan kecil. Malah kami dapati ada pokok yang condong dan dipotong... itu mungkin tanda-tanda berlaku tanah runtuh," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kajian terperinci yang dijalankan JKR, beliau berkata satu mesyuarat khas akan diadakan petang ini bersama semua jabatan dan pakar berkaitan cerun dan tanah runtuh.

Menurutnya hasil kajian mengenai kejadian berkenaan hanya akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan.

"Selepas ini kita akan buat cadangan sama ada cerun ini akan dibaiki ataupun dilandaikan.

"Tapi itu terpulang kepada kajian yang selewat-lewatnya mengambil masa tiga bulan, tapi mungkin kita akan percepatkan," katanya.

Sebelum itu menerusi taklimatnya, Ashaari berkata jarak kaki cerun ke bangunan rumah anak yatim tersebut ialah sejauh tujuh meter.

"Manakala sudut condong kecerunan adalah antara 75 hingga 80 darjah.

"Apa yang terjadi ialah berlakunya pergerakan tanah yang bergerak ke bawah dan menggelungsur di sepanjang permukaan planar yang relatif dan mempunyai sedikit gerakan putaran atau miring ke belakang," katanya. -mstar

Chegubard: SAMM Akan Sertai Himpunan Bersih 2.0

Seremban: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan menggerakkan semua rangkaian anak muda yang bergabung dengannya untuk turut sama terlibat dalam Himpunan Bersih (Walk for Democracy) bagi menuntut Pilihan Raya di Malaysia dikendalikan dengan bersih dan telus.

Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard berkata, selain dari anggota gabungannya SAMM akan terlibat dalam proses memobilisasi rakyat turun ke jalan raya terpilih dalam perhimpunan Bersih nanti.

Sabtu lalu, Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS dan juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu, mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan Bersih dengan memobilisasi 100,000 ahli dari parti itu sahaja.

“SAMM mendokong sepenuhnya program tersebut memandangkan sikap regim Umno-Barisan Nasional (BN) yang langsung tidak mempedulikan empat tuntutan Bersih sejak Himpunan Bersih kali pertama November 2007,” kata CheguBard dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, selain dari empat tuntutan itu, SAMM menambah dua lagi tuntutan menjadikan enam kesemuanya. Tuntutan-tuntutan tersebut ialah:

Dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal seperti mana yang dilakukan di banyak negara untuk elak pengundian berganda (undi hantu), hanya ada satu alasan tidak melakukan ini iaitu Umno-BN gusar kalah jika tidak melibatkan undi hantu.

• Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain seperti warganegara Malaysia yang bekerja atau menuntut di luar negara.

• Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketempangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar pemilih yang benar-benar telus dan meyakinkan.

• Semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio. Iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang sikap pilih kasih. Media juga perlu memberi hak menjawab sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan seseorang ahli politik atau parti politik.

• Penyalahgunaan institusi kerajaan dalam Pilihan Raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan.

• Melanjutkan tempoh kempen Pilihan Raya di peringkat kebangsaan dengan “tempoh yang lebih munasabah” berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.

Umno-BN pekak, angkuh

Beliau berkata semua tuntutan ini adalah tuntutan munasabah, namun regim Umno-BN seolah-olah pekak, angkuh dan tidak langsung mahu mendengar.

“Tuntutan-tuntutan ini bukan tuntutan baru, ia telah lama berkumandang namun regim Umno-BN terus angkuh. Maka oleh kerana tidak ada jalan lain maka mobilisasi rakyat untuk turun di jalan raya yang dipilih,’ jelasnya.

“Ini merupakan program aman dan dalam ruang hak rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini dilakukan demi masa depan negara dan menjamin hak demokrasi rakyat.

“Sememangnya pertahan demokrasi hak rakyat merupakan antara teras utama pendirian SAMM,” katanya.

Himpunan kali ini dijangka akan menjadi dua kali ganda lebih besar dari Himpunan Bersih 2007 dan tidak mengambil kira sama ada ahli PKR, DAP dan lain-lain gerakan pertubuhan bukan kerajaan serta kumpulan anak muda.

Kes Rogol Amah: Dia Ada Lebih Seorang Anak Luar Nikah

Aktres veteran, Jane Seymour, mendakwa Arnold Schwarzenegger memiliki sekurang-kurangnya dua lagi anak luar nikah yang dirahsiakan daripada pelbagai pihak.

Menurut Jane, dia langsung tidak terkejut dengan pendedahan mengenai kelakuan bekas Gabenor California itu mengadakan hubungan sulit dengan pekerja wanita di rumahnya 14 tahun lalu.

Jane yang tinggal di kawasan sama dengan Schwarzenegger di Malibu juga tidak terkejut apabila aktor terbabit akhirnya berpisah dengan isterinya, Maria Shriver.

“Nampaknya Schwarzenegger bertindak terburu-buru sebelum berita kecurangannya diketahui dunia.

“Berdasarkan maklumat yang saya ada, lebih banyak berita akan muncul selepas ini,” katanya kepada stesen televisyen CNN, semalam.

Pelakon siri Dr Quinn, Medicine Woman itu berkata, dia bertemu seseorang yang sangat mengenali hero filem Predator itu.

“Saya diberitahu dia memiliki dua anak lain,” katanya.

Kenyataan Jane, 60, itu disiarkan ketika media melaporkan, bukan saja Maria tidak mengetahui Schwarzenegger menghamilkan pembantu rumah mereka, malah anak lelaki yang lahir daripada hubungan sulit itu, Joseph, tidak diberi tahu siapa bapanya.

Akhbar New York Post melaporkan, amah Schwarzenegger, Mildred Baena, 50, tidak pernah mendedahkan identiti bapa Joseph kepada sesiapa, termasuk keluarganya.

Saluran NBC pula melaporkan, sekurang-kurangnya seorang lagi wanita tampil menghubungi peguam Schwarzenegger bagi menuntut ujian DNA dijalankan.

Laporan itu mendakwa, wanita terbabit mendakwa, hubungannya dengan Schwarzenegger menyebabkan dia melahirkan seorang anak lelaki lapan tahun lalu.

Sementara itu, Schwarzenegger dilaporkan bukan saja berdepan dengan aib hasil hubungan sulitnya, malah sebahagian kekayaannya turut terpaksa dikorbankan.

Peringatan Telah Sampai. Ketua Hakim Dimasukkan Ke CCU.

Ketua Hakim Negara Kritikal

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dipercayai berada dalam keadaan kritikal setelah mengalami tekanan darah rendah dan komplikasi jantung.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Tinjauan mStar Online mendapati ahli keluarga Tun Zaki masih menunggu di luar bilik CCU.

Menurut Pegawai Khas beliau, Mohd Aizuddin Zolkeply, Tun Zaki mengalami serangan jantung sebanyak dua kali pagi tadi termasuk semasa berada di Wad ED, Hospital Putrajaya pagi Isnin.

Beliau dikatakan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba di rumah dan kali kedua ketika berada di Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada pengawal peribadi beliau (Tun Zaki) yang mengesahkan beliau kini berada dalam kritikal.

"Isteri beliau turut berada di sisinya kini," kata sumber itu kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Mohd Aizuddin enggan mengulas lanjut mengenai keadaan Tun Zaki sebaliknya memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

Zaki, 64, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 dan beliau merupakan pengerusi pertama bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sejak penubuhannya pada 16 Februari 2009.

Beliau dilahirkan pada 12 September 1945 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College, Johor Baharu.

Pada 1969, beliau telah melanjutkan pengajian di Lincoln's Inn, London dan dianugerahkan Barrister-at-Law.

Beliau merupakan anak bekas Ketua Hakim Negara (1966-1974), Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Nik Sazlina Mohd Zain dan mempunyai 4 anak iaitu Dzofrain Azmi, Razif Azmi, Azri Azmi dan Azfar Azmi. -mstar



Ulasan GB

Itu satu "memo" peringatan dari Tuhan. Sepertimana Ketua Polis Negara yang sebelum ini telah pengsan, maka kes Ketua Hakim Negara pula lebih "keras" - dimasukkan ke CCU.

Hidup di dunia ini tidak lama. Ambillah pengajaran dan peringatan, wahai sekalian hakim.

Pertambahan Mendadak Pengundi Baru Di Negeri-negeri PR Strategi BN & SPR - Mohd Sabu

Pas mendakwa pertambahan mendadak pengundi baru di beberapa negeri Pakatan Rakyat (PR) sebagai strategi Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi membolehkan BN merampas negeri-negeri terbabit daripada Pas.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu berkata, strategi seperti itu pernah dilakukan oleh BN di Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) ke-11 tahun 2004 lalu dan di Sabah untuk membolehkan BN merampas Terengganu dari Pas dan mengekalkan cengkaman di Sabah.

Menurutnya, Pas ragu dengan pertambahan pengundi melebihi 17 peratus bagi setiap negeri PR, memandangkan pertambahan sebenar berdasarkan pendaftaran yang dilakukan Pas pada suku pertama tahun ini sehingga Mac lalu hanyalah enam peratus paling maksimum.

“Sebelum ini Pas yang mendahului SPR dalam pendaftaran pengundi baru, tetapi kini angkanya ternyata jauh menyimpang dari jumlah yang sebenar.

“Lebih meragukan, berdasarkan semakan, pertambahan pengundi baru yang dilakukan oleh SPR itu bukannya pengundi yang didaftarkan di negeri terbabit, tetapi di Kuala Lumpur dan mereka yang bukan warganegara Malaysia.

“Saya bimbang dengan keadaan ini dan tidak menolak kemungkinan ianya satu strategi jahat BN dengan kerjasama SPR untuk merampas kembali negeri-negeri PR secara tidak sah,”
katanya sewaktu ditemui Sinar Harian semalam.

Mohamad Sabu berkata, corak pendekatan itu kini sudah dikenal pasti giat dilaksanakan di Selangor bagi menghadapi PRU-13 tidak lama lagi.

Menurutnya, strategi jahat itu sememangnya amat sukar diatasi Pas dan PR kerana mendakwa turut melibatkan kerjasama SPR sendiri.

“PR belum tentu menang di Selangor kerana saya difahamkan SPR bertindak mendaftarkan bukan rakyat Malaysia untuk mengundi di Selangor sebagaimana dilakukan di Sabah dan Terengganu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad turut mendakwa UMNO mengkhianati suara orang Melayu di Parlimen apabila tidak menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk Melayu tinggi seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, tindakan BN itu dipercayai disebabkan bimbang kerusi di negeri terbabit dimenangi Pakatan Rakyat (PR), walhal keperluan untuk menambah kerusi di kawasan majoriti Melayu diperlukan untuk mengukuhkan suara Melayu di Parlimen.

“SPR dan BN sewajarnya menambah kerusi Parlimen di kawasan seperti Baling dan Kuala Kedah yang mempunyai penduduk lebih 30,000, selain menambah kerusi di negeri Kelantan dan Selangor," katanya. -SH

Jodoh Mereka Bertemu Juga Walaupun Di Usia Tua

Sekitar 50 tahun lalu, pinangan Encik` Wan Abdul Rahman Wan Abu Samah ditolak Cik Kalthom Yacob.

Gambar: Encik Wan Abdul Rahman, 71 tahun, dan isteri, Cik Kalthom, 68 tahun, menjadi pasangan suami isteri selepas 50 tahun terpisah. - Foto ihsan KALTHOM YACOB

Sebabnya, pada ketika itu, Cik Kalthom hendak memberi peluang kepada salah seorang anak saudara perempuannya yang memendam rasa kepada jejaka tampan itu.

Ini meskipun pada ketika itu, Cik Kalthom, yang kecil molek orangnya, turut sama 'meminati' Encik Wan Abdul Rahman, yang juga merupakan sepupunya.

Encik Wan Abdul Rahman akhirnya mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Cik Kalthom itu.

Cik Kalthom pula dijodohkan dengan seorang lelaki pilihan arwah bapanya.

Namun, tanpa diduga, cinta yang pernah berputik semasa zaman remaja itu mekar semula 50 tahun kemudian selepas mereka kematian pasangan masing-masing.

Lima bulan selepas isterinya meninggal dunia akibat masalah buah pinggang, Encik Wan Abdul Rahman masuk meminang buah hati lamanya itu.

'Kali ini, pinangan saya tidak lagi ditolak seperti dahulu,' kata Encik Wan Abdul Rahman, kini 71 tahun.

Menceritakan kisah lama sehingga mereka terputus hubungan, Encik Wan Abdul Rahman, yang mempunyai tiga orang anak dan 11 cucu hasil perkahwinan pertamanya, menganggap semua yang berlaku adalah takdir Tuhan.

'Memang saya kecewa ketika pinangan saya ditolak pada ketika itu.

'Akibatnya saya membawa diri jauh hingga ke London di mana saya melanjutkan pengajian,' kata kakitangan sebuah institusi kewangan di Kuala Lumpur itu lagi yang masih bekerja.

Sekembalinya ke tanah air, warga Malaysia itu mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Cik Kalthom dan pasangan itu dikurniakan tiga anak.

Mereka kemudian dikurniakan pula seramai 11 cucu.

Isterinya, bagaimanapun, meninggal dunia pada November tahun lalu.

'Sebelum pemergiannya, arwah isteri saya yang tahu akan kisah lama saya, cuba menemukan saya dengan Kalthom yang kini menetap di Singapura menerusi satu perjumpaan keluarga.

'Tapi ketika itu, saya terlalu sibuk melayan cucu sehingga tidak perasan kehadiran beliau.

'Sehinggalah selepas isteri saya meninggal dunia November lalu barulah saya mula teringat akan Kalthom.

'Memendekkan cerita, saya cuba telefon beliau,' katanya yang kini menetap di kawasan Damansara Utama.

Jarak jauh bukan halangan buat mereka.

Sejak itu, Encik Wan Abdul Rahman menghubungi Cik Kalthom, 68 tahun, sebanyak dua kali sehari - setiap hari.

'Senang kata, kami macam mata air yang sedang bercinta.

'Cuma kami tidak bertentang mata, setakat berbual di telefon sahaja,' tambah Encik Wan Abdul Rahman.

Awal Mac lalu, timbul soalan yang mengubah kehidupan mereka.

Cik Kalthom, yang pendiam orangnya, telah bertanya jika Encik Wan Abdul Rahman tiada hasrat untuk berumah tangga sekali lagi.

'Sebelum ini, saya aturkan segala perbualan kami macam main catur kerana saya ingin menganalisis isi hatinya.

'Jadi apabila diaju soalan itu, saya rasa macam hampir melakukan checkmate.

'Sebelum menjawab, saya bertanya sekiranya beliau sedang duduk dan adakah sesiapa di sebelahnya.

'Sebab, saya bimbang kalau-kalau beliau pengsan kerana beliau ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan juga kolesterol.

'Kemudian saya jawab bahawa saya ingin mejadikannya teman hidup saya,' katanya sambil memandang wajah isteri tersayang.

Cik Kalthom, yang mulanya hanya tersenyum mendiamkan diri sepanjang perbualan dengan wartawan selama sejam di flat keluarganya di Pandan Gardens, kemudian mencelah:

'Saya menggigil mendengar jawapannya itu dan terdiam seketika.

'Kerana tahu-tahu saja, beliau ingin pinang saya,' ujar suri rumah itu lagi yang kemudian mendapat sokongan keluarganya.

Cik Kalthom, yang mempunyai tujuh anak, 16 cucu dan lima cicit, berkata sepanjang empat tahun selepas kematian suaminya, beliau tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi.

Malah, beliau sendiri sukar berkata-kata tatkala pasangan itu bertemu dan menjadikan pusat beli-belah Vivocity sebagai tempat bersejarah mereka - ditemani salah seorang cucu Cik Kalthom.

'Beliau hadiahkan saya sepasang jam tangan pada hari pertemuan itu sebagai tanda kasihnya,' kata Cik Kalthom tersenyum sipu.

Menurut pasangan itu, selepas bertunang pada 19 Mac lalu, mereka diijab kabul di Kempas, Johor, di rumah salah seorang saudara mereka pada 2 April lalu. Majlis itu dihadiri sekitar 200 tetamu.

Mereka kini menetap di rumah Encik Wan Abdul Rahman di Malaysia dan berulang alik ke Singapura setiap kali Cik Kalthom perlu menjalani pemeriksaan doktor di sini.

Menurut salah seorang cucu mereka, Cik Nur Fazrina Rosli, 25 tahun, beliau mulanya agak terperanjat apabila mendapat tahu neneknya itu bakal 'naik pelamin' pada usia yang sudah lanjut.

'Tapi alhamdulillah, semua keluarga kami begitu gembira melihat nenek kini cukup gembira.

'Yang penting kini, beliau akan berteman, dan tidak lagi keseorangan. Malah, saya diberitahu nenek temankan datuk ke pejabat setiap hari kerana takut duduk rumah seorang diri,' katanya. -BHS

Mahfuz: Subsidi Sebagai Candu - Najib Hina Rakyat Malaysia Di Mata Dunia

Kuala Lumpur, 22 Mei — PAS mendakwa pentadbiran Najib mengalih beban akibat defisit fiskal ke atas bahu rakyat dengan memotong subsidi ke atas barang-barang keperluan asas.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Putrajaya tidak mampu mencari jalan untuk memotong perbelanjaannya tetapi rakyat pulai terpaksa “membayar subsidi kepada kerajaan untuk membayar hutangnya.”

“Ini sebuah kerajaan yang lemah, yang tidak boleh mengurangkan defisitnya tanpa membebankan rakyat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan kini mengambil wang daripada saku rakyat untuk membayar defisitnya.

Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memanggil pilihan raya tergempar tahun ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu meneruskan langkah pemotongan subsidi bagi mengurangkan beban subsidi yang dijangka mencecah RM21 bilion tahun ini.

Mahfuz juga mengkriitk Najib kerana menggambarkan subsidi sebagai “candu” ketika bercakap di depan khalayak luar negara.

Beliau memberitahu komuniti antarabangsa bahawa rakyat Malaysia ketagih subsidi. Ini satu penghinaan dan beliau seharusnya menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan di London 16 Mei lalu, Najib berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.

Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau.

Pada Mac lalu, Najib berkata, beliau berkomited untuk memotong subsidi jangka panjang dan penjimatan seharusnya disasarkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Pengurusan ekonomi yang baik dan makro membolehkan anda mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat.

“Maka, anda membolehkan faktor pasaran untuk memperuntukkan sumber-sumber dengan berkesan,” katanya lagi.

Dipetik laporan Reuters, Najib berkata, keperluan untuk menarik balik subsidi secara berperingkat-peringkat perlu diseimbangkan dengan keperluan Malaysia untuk mengurangkan defisit bajet.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengurangkan defisit sehingga 5.4 peratus tahun ini berbanding 5.6 peratus sebelum ini, kemudian sehingga 2.8 peratus menjelang 2015.

Minggu lalu, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.

Harga RON97 telah mengalami kenaikan 20 sen seliter awal bulan lalu.

Harga gula pula naik 20 sen sekilogram berkuat kuasa dua minggu lalu.


Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, subsidi kepada barang-barang keperluan asas seperti minyak dan gula tidak seharusnya dilihat sebagai herot-benyot kepada pasaran, sebaliknya ia “tanggungjawab kerajaan untuk mengurangkan beban orang ramai.”

“Ia satu mekanisme bagi pengagihan kekayaan. Kerajaan harus mengurangkan perbelanjaannya sendiri daripada menarik balik hak rakyat,” kata beliau lagi.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Donald Lim berkata kerajaan telah mengarahkan semua jabatan kerajaan agar memotong perbelanjaan ekoran peningkatan kos. -TMI

Gadis Turki Berbogel Mengaku Bukan Muslim

Berlin - Seorang pelakon berketurunan Turki, Sila Sahin yang beraksi dalam keadaan bogel untuk dua belas muka surat majalah Playboy Jerman edisi Mei mengaku dia bukan beragama Islam, lapor sebuah akhbar semalam.

Sila membuat pengakuan itu selepas banyak pihak menganggap dia merupakan gadis Muslim Turki yang pertama berbogel untuk majalah Playboy.

"Ibu bapa saya adalah penduduk Turki dan saya dibesarkan dalam komuniti Islam tetapi saya bukan beragama Islam. Orang ramai membuat andaian bahawa saya beragama Islam.

"Saya tidak faham kenapa masyarakat menggunakan soal agama untuk menentang keputusan saya bergambar dalam majalah Playboy," kata anak tunggal berusia 25 tahun itu.

Aktres itu yang membintangi drama telenovela Jerman, Good Times, Bad Times menjelaskan, bapanya tidak menganuti sebarang agama manakala ibunya seorang wanita Islam yang bertukar kepada agama Kristian.

"Saya sentiasa dipesan supaya tidak keluar rumah, tidak boleh memiliki rakan lelaki, tidak perlu kelihatan menarik dan dilarang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin." jelas Sila kepada akhbar News of the World semalam.

Dia mencetuskan kontroversi apabila bercinta dengan dengan pelakon popular Jerman, Jörn Schlönvoigt, 24, selepas berpisah dengan teman lelakinya yang beragama Islam pada tahun lalu.

Sila yang menjadi wanita berketurunan Turki pertama yang berbogel untuk penerbitan majalah terkenal itu menerima pelbagai ugutan termasuk diberi gelaran pelacur dan wanita murahan Barat menerusi Internet daripada golongan fanatik Islam kerana dia disangka seorang Muslim.

Bosan dengan kawalan kebebasan ibu bapanya, Sila menerima tawaran Playboy yang meminta dia menjalani penggambaran fotografi bogel di Sri Lanka pada Mac lalu.

"Selepas bertahun-tahun mengikuti apa yang disuruh kepada saya, ia (bergambar bogel) merupakan satu bentuk kebebasan," kata Sila.

Namun, tindakannya berbogel itu menyebabkan saudara-mara Islamnya mendakwa ibu Sila tidak membesarkannya dengan menggunakan pendekatan yang betul. Ibunya itu juga enggan berbual dengan Sila ekoran penyiaran gambar bogel tersebut. - Agensi

Kaki Mangsa Terpaksa Dipotong Di Tempat Kejadian Untuk Selamatkan Nyawanya

Kaki seorang mangsa tragedi tanah runtuh yang tersepit dan tertimbus dari paras pinggang terpaksa dipotong di tempat kejadian bagi menyelamatkan nyawanya yang ketika itu sudah lemah akibat terlalu lama menanggung kesakitan.

Mangsa, Zulkhairi Aminuddin, 13, terpaksa mengharungi keadaan mengerikan itu selepas kaki kirinya didapati hancur dan mula bertukar menjadi kebiruan.

Menurut sumber hospital, pasukan perubatan yang ditugaskan terpaksa membuat keputusan sukar itu bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang semakin lemah akibat kehilangan banyak darah.

“Sebaik menemui mangsa di lokasi runtuhan, kami diarah melihat keadaan mangsa terlebih dulu dan mendapati lebih 90 peratus kakinya dalam keadaan parah.

Kami terpaksa memotong kaki mangsa sehingga paras lutut di kawasan kejadian dan memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang (HA) bagi rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa kini masih berada dalam keadaan lemah dan masih dirawat di ICU HA.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Erwan Zakaria, 33, juga kehilangan kaki kanan selepas mengalami kecederaan dan pendarahan dalaman yang dikhuatiri mengancam nyawanya.

Sumber itu berkata, selepas dikeluarkan dari runtuhan tanah, Mohd Erwan dikejarkan ke HA dan menjalani pembedahan selama kira-kira empat jam oleh sekumpulan doktor pakar tulang sebelum ditempatkan di ICU bagi rawatan lanjut.

“Kaki Mohd Erwan tidak hancur tetapi mengalami pendarahan dan kecederaan dalaman yang serius akibat tersepit terlalu lama dan tidak dapat diselamatkan. “Sekiranya kakinya dibiarkan dan hanya diberikan rawatan, kami bimbang ia akan dijangkiti kuman sehingga menjadi busuk seterusnya mengancam nyawa,” katanya.

Katanya, seorang lagi mangsa, Mohd Aizat Khusyairi Abdul Karim, 12, juga dirawat di ICU HA kerana kecederaan di kepala.

Menurutnya, setakat ini, keadaan ketiga-tiga mangsa stabil dan masih dipantau secara berterusan oleh pegawai perubatan dan jururawat.

“Hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat mangsa kerana pihak hospital tidak mahu emosi mereka terganggu dan boleh memudaratkan kesihatan kerana mereka masih trauma,” katanya.

Sumber itu berkata, pihak hospital sudah melakukan rawatan terbaik bagi memastikan mangsa yang terselamat mendapat rawatan sempurna dan kembali pulih sama ada fizikal atau mental. -hm

[Video] Jadikan Tragedi Sebagai Iktibar, Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

TTanah Runtuh : Ambil Musibah Sebagai Iktibar Untuk Perbaiki Masa Depan

KUALA LUMPUR 22 MEI : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan jutaan takziah kepada keluarga, pewaris mangsa dan pihak rumah anak yatim yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini semalam.

Beliau turut menggesa kajian menyeluruh dilakukan ke atas bangunan dan kawasan sekitar insiden kerana bencana melibatkan kehilangan nyawa katanya tidak boleh diambil mudah.

Ia penting kata Azizah bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang telah kehilangan nyawa dan semualah yang telah ditimpa malapetaka ini tetapi kita mesti redha.

“(Namun) kita mesti cari penyelesaian kerana kalaulah tragedi ini berulang dan berlaku banyak kali, jadi kita mesti tengok puncanya. Apakah dengan pembangunan bangunan yang tanpa mengira persekitaran?,” katanya kepada TV Selangor selepas melawat mangsa yang terselamat di Hospital Ampang petang tadi.

Beliau turut diiringi isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Selangor Rodziah Ismail dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Talha.

Dalam kejadian tanah runtuh semalam, 16 mangsa maut manakala sembilan lagi mengalami kecederaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil kini.

Azizah turut mengingatkan tentang amalan beringat yang bersifat sementara di kalangan masyarakat.

Katanya, semua pihak seharusnya melihat dan belajar terhadap apa yang berlaku serta menjadikanya panduan supaya boleh mengharungi masa depan dengan lebih baik.

Jelasnya, peristiwa malang yang berlaku ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan kehilangan nyawa yang besar serta di kalangan mereka yang masih anak-anak.

“Kadang kala kita nampak macam beringat sedikit bila lepas tragedi untuk seketika tetapi kejadian yang sama masih berulang.

“Nyawa (yang diambil seharusnya) menjadi pelajaran tetapi kita tak belajar dari pelajaran ini,” katanya. -tvsnews


Tanah Runtuh: Pernah Berlaku Runtuhan Kecil

KAJANG: Tanah bukit di kawasan belakang Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, iaitu lokasi kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa pernah berlaku pergerakan kecil dan runtuhan pasir.

Bagaimanapun jurucakap rumah anak yatim berkenaan, Roslan Othman, 69, berkata, runtuhan pasir berkenaan dianggap perkara biasa kerana ia berlaku beberapa kali terutama ketika hujan serta dinggap tidak berbahaya.

"Sebelum ini pun memang pernah runtuh, tapi hanya runtuhan pasir halus dan tanah.

"Kami anggap ia perkara biasa, bila jatuh (tanah) kami sapu dan bersihkan. Tidak pernah terfikir perkara begini (runtuhan besar) berlaku," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan orang Islam Dusun Naning di sini, Ahad.

Namun Roslan berkata, tragedi yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang Sabtu yang melibatkan jumlah mangsa keseluruhan yang tertimbus seramai 25 orang adalah teruk dan begitu menyayat hati.

"Ini adalah tragedi yang teruk, saya tak kata ia paling teruk kerana ia pertama kali berlaku...jadi kita tak boleh buat perbandingan," katanya yang sudah berkhidmat sebagai sukarela di rumah anak yatim berkenaan selama lebih 10 tahun.

Dalam pada itu Pengetua Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Idris Musa ketika ditemui enggan mengulas mengenai tragedi berkenaan.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa, anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal).


"Tolong bagi saya masa untuk bertenang, harap anda faham," katanya ringkas. -mstar