29 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Zulkefly Calon PAS Di Bagan Pinang

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan malam ini sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Pemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.

Turut hadir di majlis pengumuman itu ialah barisan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Zulkefly, seorang peniaga, mempunyai ijazah Sarjana Sains (Master in Science) dari Universiti Putra Malaysia dan pernah bertandinding di kerusi DUN Lenggeng tahun lepas namun tewas dengan 1,285 majoriti.

Berkahwin dan mempunyai enam orang anak dan telah menjadi Pesuruhjaya PAS selama dua penggal sejak 2005, yang sebelumnya beliau ialah Setiausaha pada 2001 - 2005.


Era Najib Altantuya : BN Tiada Calon Wibawa, Letak Isa Samad Di Bagan Pinang

Sebagaimana yang dijangka, Perdana Menteri Najib Razak memilih Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Ramai pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Najib memilih seorang calon yang bersih dari rasuah politik bagi mengembalikan kredibiliti parti itu di mata rakyat.

Isa disabit atas kesalahan merasuah perwakilan untuk pemilihan Umno pada tahun 2004 dengan menganjurkan pertemuan dengan perwakilan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Beliau dilucutkan jawatan naib presiden dan digantung selama tiga tahun. Tempoh itu berakhir pada Jun tahun lalu.

Isa adalah Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dan dicalonkan untuk Bagan Pinang atas reputasinya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan untuk lebih dua dekad serta berpengalaman luas dalam politik negeri itu.

Dalam memilih Isa, Najib dilihat mengambil "jalan selamat" untuk memastikan Umno mengekalkan kerusi tradisinya itu dan tidak kalah pada pilihanraya kecil di Semenanjung untuk kali kelapan berturut-turut sejak pilihanraya umum 2008.

Umno-BN sebelum ini tewas pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Isa diletakkan di Bagan Pinang bersandarkan popularitinya di kalangan masyarakat tempatan di situ walaupun kepemimpinan Umno itu akan dilihat sekali lagi sebagai tidak serius dalam membersihkan parti itu daripada gejala politik wang.

Pemilihan Isa sebagai calon BN untuk Bagan Pinang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas tidak akan melancarkan serangan peribadi terhadap Tan Sri Isa Samad yang diumumkan sebagai calon Umno-Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Naib Presiden PAS Mahfuz Omar bagaimanapun berkata Umno dan Isa harus terima hakikat bahawa isu kewibawaan seseorang calon dan parti sendiri akan menjadi fokus pada setiap pilihanraya.

"Ya bagi saya itu adalah hak UMNO dan Barisan Nasional dan saya dari awal saya katakan kita tidak akan membangkitkan soal-soal peribadi tetapi yang kita bangkitkan ialah soal integriti di bawah seseorang yang seharusnya mesti dilihat sebagai orang yang cukup bersih".

Sebelum ini, ramai pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menggesa Presiden Umno Najib Razak memilih seorang calon yang bersih dari rasuah politik bagi mengembalikan kredibiliti parti itu di mata rakyat.

Bagaimanapun Najib memilih jalan selamat dengan meletakkan Isa untuk bertanding kerana beliau popular di kawasan itu sungguhpun kredibilitinya tercalar.

"Hari ini yang membangkitkan isu calon Isa ini bukan siapa tetapi dari bekas Perdana Menteri dan bekas presiden UMNO yang begitu kuat mengecam jika UMNO dan Barisan Nasional memilih calon Isa sendiri" tambahnya.

"Terpulanglah kepada rakyat sekarang ini apabila rakyat melihat bahawa selama ini UMNO-Barisan Nasional bercakap soal integriti, soal kredibiliti tetapi ternyata sekarang ini mereka memilih calon yang tidak mempunyai integriti dan kredibiliti yang tinggi. Dan saya melihat bahawa inilah masa yang terbaik untuk rakyat di Bagan Pinang ini untuk menolak Barisan Nasional kerana Barisan Nasional sudah tidak ada calon lagi".

Malam ini PAS pula akan mengumumkan calon Pakatan Rakyat yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Pengumuman akan dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang.



Era Najib Altantuya : Penubuhan Makkal Sakhti Celarukan Lagi BN

Penubuhan Parti Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 10 Oktober ini jelas mendedahkan masalah dalaman Barisan Nasional dan bukannya mencerminkan hasrat masyarakat India.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat R Sivarasa berkata sokongan terbuka Najib untuk parti itu mencerminkan rasa tidak puas hati beliau dan taktik menekan pimpinan MIC khususnya Presidennya S Samy Vellu.

“Saya lihat ini lebih sebagai masalah dalaman Barisan Nasional di mana ada pihak dalam Barisan Nasional khususnya Umno, termasuk Perdana Menteri sendiri yang tidak puas hati dengan pimpinan MIC.

“Usaha menubuhkan dan menyokong Makkal Sakthi ini adalah untuk meningkatkan tekanan ke atas MIC. Hakikat penubuhan parti ini lebih menunjukkan masalah dalaman Barisan Nasional dan bukan mencerminkan hasrat masyarakat India sebenarnya,” katanya.

Menurutnya kelulusan pantas yang diperolehi dari Pendaftar Pertubuhan untuk Makkal Sakthi jelas menunjukkan parti itu mendapat sokongan langsung dari pimpinan tertinggi Umno.

Katanya pelancaran yang akan dilakukan oleh Najib juga membawa tanda ia merupakan satu usaha yang ditaja oleh Umno-Barisan Nasional.

Sivarasa juga menyifatkan penubuhan parti itu bakal memecah belahkan dan melemahkan perwakilan politik masyarakat India.

“Ini memang jelas ditaja oleh Barisan Nasional. parti ini didaftarkan dalam masa yang sangat singkat dalam beberapa minggu sahaja. Mengikut sejarah pendaftaran parti politik khususnya ini dengan jelas menunjukkan bahawa ada sokongan langsung dari pemimpin atasan Barisan Nasional kalau tidak parti ini tidak dapat didaftarkan dalam masa sesingkat itu.

“Bagi saya kemunculan satu lagi parti yang kononnya menjadi jaguh masyarakat India akan melemahkan lagi perwakilan politik masyarakat India sebab ia akan menyebabkan pemecahan dalam masyarakat India,” katanya.

Menurutnya penubuhan parti berkenaan juga tidak akan menggugat sokongan masyarakat India terhadap Pakatan Rakyat.

Beliau juga yakin bahawa parti berkenaan juga bakal menerima nasib yang sama dengan Parti Bersatu India Malaysia yang ditubuhkan Datuk Nallakaruppan pada 25 November 2007.

“Bagi saya parti-parti yang baru ini akhirnya tidak akan berjaya mendapat sokongan sebab seperti parti yang ditubuhkan Datuk Nallakruppan lebih kurang 25 November 2007 sudah hampir dua tahun parti beliau yang juga nampak seperti ditaja Barisan Nasional didaftar dalam masa singkat dan diberi sokongan jelas tetapi tidak berjaya mendapat sokongan. Tidak berjaya langsung untuk mendapat sokongan dari masyarakat India.

“Bagi saya tidak, sebab seperti saya sebut tadi contoh yang saya gunakan adalah pelancaran parti oleh Datuk Nalakaruppan dan itu pun satu percubaan beliau untuk menggugat sokongan terhadap Pakatan Rakyat tetapi langsung tidak berjaya sebab parti itu nampak dekat dengan Barisan Nasional,” katanya.

Sivarasa berkata majoriti besar masyarakat India kini menukar pendirian dengan menolak Barisan Nasional kerana mereka sedar dipinggirkan sekian lama. -TVA



Era Najib Altantuya : Inkues Panas Dengan SMS Minta Saksi Jumpa Pakar Psikatri

Prosiding inkues Teoh Beng Hock akan ditangguhkan pada hari Khamis ini berikutan pegawai penyiasat bagi membantu prosiding ini cuti kecemasan.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Nazri, terbabit dalam satu kemalangan baru-baru ini dan sedang cuti sakit hingga 30 September.

Koroner Azmil Muntapha Abas dijangka akan mendengar keterangan daripada abang Teoh, Meng Kee dan rakan, Woo Chuan Sing apabila perbincangan itu diteruskan pada 1 Oktober.

Terdahulu, satu SMS yang dihantar kepada ahli keluarga Teoh Beng Hock supaya mereka hadir untuk pemeriksaan mental mencetuskan pertikaman lidah antara peguam dan pihak yang membantu siasatan inkues kematian beliau.

SMS yang dihantar pada Jumaat lalu meminta tunang Teoh, Soh Cher Wei selain rakan yang sepatutnya menjadi pengapit di hari pernikahan mereka, Woo Chuan Sing, ibu bapa dan dua adik beradik Teoh hadir di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Selayang, dan berjumpa dengan seorang doktor di sana.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, menyatakan perkara itu (berjumpa pakar psikiatri) tidak sepatutnya berlaku dan pihak yang menghantar SMS berkenaan sepatutnya menyatakan mengapa saksi dipanggil untuk ditemuduga dan sama ada ia sebagai satu cara untuk menyatakan Teoh membunuh diri.

"Saya rasa tidak elok sebarang permintaan untuk hadir membantu siasatan dihantar hanya melalui SMS sahaja. Permohonan perlu dihantar mengikut undang-undang.

"Kita tidak tahu siapa penghantar SMS. Perkara sebegini bukannya perkara main-main," katanya.

Dalam prosiding tidak dinyatakan siapakah pengirim SMS itu yang hanya menyatakan: "Selamat petang puan (ditujukan kepada tunang Teoh), inkues kematian Teoh, diminta hadir di Unit Mekar, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, aras 2, Hospital Selayang untuk ditemuduga oleh Dr Yati pada 28 Septeber 2009 lalu jam 2 petang. Kerjasama puan amat diperlukan, sebarang pertanyaan sila hubungi ...".

(... itu disebabkan tiada nama dinyatakan ketika prosiding).

Peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, turut membantah perjumpaan dengan pakar psikiatri itu dengan alasan ia tidak relevan dengan kes.

Katanya pihak yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas mengendalikan kes ini sepatutnya menyatakan dahulu apa yang perlu ditanya dan tidak diketahui status doktor yang akan menemubual.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili kerajaan Malaysia pada awalnya kelihatan berang dengan hujah Gobind dan Malik kerana beliau telahpun menegaskan bahawa SMS yang dihantar itu hanyalah untuk menemubual saksi berkaitan latar belakang Teoh dan tiada kaitan langsung dengan peribadi saksi.

Katanya temubual itu bukan hanya akan melibatkan keluarga Teoh tetapi juga saksi lain yang berjumpa Teoh semasa hari kejadian.

"Saya rasa Gobind telah membuat kesimpulan terlalu cepat. Telah saya katakan bahawa kehadiran pakar psikiatri adalah hanya untuk membantu inkues ini, untuk bertanya tentang latar belakang Teoh. "Jika ditanya saya sekarang apa soalan yang akan diajukan kepada saksi, saya sendiri tidak tahu, doktor itu yang akan tentukan," katasnya.

Setelah keadaan agak tegang hampir 20 minit ia ditenteramkan dengan penerangan Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abbas, yang turut membantu prosiding itu.

Abazafree berkata bahawa bukan seorang sahaja pakar psikiatri yang akan menemubual saksi tetapi ada dua orang doktor dan mereka akan merangka soalan yang akan diajukan.

"Pakar psikiatri ini bukannya pakar biasa tetapi mereka pakar forensik psikiatri. Seorang bertugas di Selayang dan seorang lagi di Hospital Permai, Johor Baharu. Mereka telah memberitahu polis bahawa mereka akan menemuduga secara bebas saksi yang bersama Teoh dan keluarga bagi mendapatkan maklumat tentang tahap mental Teoh.

"SMS bukan dari Dr Yati dan saya diberitahu mereka bukan untuk menyiasat tahap mental saksi tetapi ia untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat kesimpulan.

"Kitapun tidak tahu apa bentuk kesimpulan itu. Tetapi sekiranya Malik berkata keadaan ini terlalu awal, lebih baik kita dapatkan skop soalan untuk temuduga dahulu," katanya.

Koroner Azmil kemudian membuat keputusan supaya soalan yang bakal diajukan dikemukakan di mahkamah pada Jumaat ini dan pihak-pihak terbabit boleh berhujah sama ada ia relevan atau tidak.

Di awal prosiding Azmil, berkata beliau berhasrat meneruskan kes dengan memanggil saksi selain, T Sivanesan tetapi Tan memberitahu tiada saksi yang hadir hari ini kerana pihaknya menghadapi masalah disebabkan pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal, mengalami kemalangan.

Katanya, sebelum ini Ahmad Nazri bertanggungjawab memanggil saksi-saksi.

"Oleh kerana terdapat rayuan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Rayuan, keterangan Sivanesan perlu ditangguhkan dahulu dan saksi lain akan dipanggil," katanya.

Pada 9 September lalu Sivanesan, yang juga saksi yang dikemukakan oleh Gobind Singh, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah didera oleh pegawai SPRM tetapi keterangannya ditangguhkan atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa, yang mewakili SPRM.

Abdul Razak kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap perintah Azmil yang membenarkan Sivanesan, yang pernah disoal siasat SPRM Selangor lebih setahun lalu, memberi keterangan tetapi pada keesokannya (10 September), Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam memutuskan Azmil tidak terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang.

Inkues disambung Khamis ini dan abang Teoh, Beng Kee serta sahabatnya Woo Chuan Sing akan memberi keterangan.

Era Najib Altantuya : Pembunuh Kugan Masih Bebas

Penantian media untuk membuat liputan perbicaraan kes A. Kugan berakhir dengan kekecewaan.

Ahli keluarga mendiang yang hadir di mahkamah pagi tadi juga melahirkan rasa kecewa kerana isu Kugan telah berlanjutan selama 8 bulan tanpa sebarang pengadilan.

Sebelum ini ramai yang beranggapan kes ini akan dibawa ke mahkamah hari ini dan pendakwaan dibuat.

Pemberita yang setia menanti di lobi Bangunan Mahkamah Tinggi Petaling Jaya kemudiannya mengajukan soalan kepada peguam pemerhati kes Kugan, M. Manoharan dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam untuk mengetahui apa yang berlaku.

agi Manoharan, sikap endah tidak endah polis terhadap kes Kugan ini sememangnya telah dijangkakan dan buktinya dapat dilihat pada hari ini.

" Sandiwara polis membuat keluarga, peguam dan pemberita-pemberita menunggu. Kalau orang dia yang dipilih untuk tertuduh, dia buat orang menunggu, kalau orang dia nak charge, orang dia, orang lain dia akan panggil pemberita sendiri. Tapi kalau orang polis itu sendiri, mereka akan buat kita menunggu" katanya.

Namun ujarnya lagi, pihaknya tidak akan menyerah kalah dan akan memastikan sesiapa yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan mendapat pembalasan setimpal.

" Saya datang hari ini khusus untuk memastikan orang yang akan dituduh itu, anggota polis yang akan dituduh itu dituduh di bawah seksyen 302, bukan mana-mana seksyen lain. Sebab itu saya berusaha penuh untuk datang hari ini untuk memastikan perkara tersebut" tambahnya.

Seksyen 302 di bawah Kanun Kesiksaan membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Manoharan turut mempersoalkan laporan media hari ini seolah-olah menggambarkan anggota polis yang terlibat dalam kes kematian Kugan hanya seorang sedangkan menurutnya 11 orang yang terlibat.

" Saya masih tidak faham mengapa setelah membaca akhbar-akhbar hari ini, saya mendapati perkataan "cop" sahaja. "s" tiada. Maknanya ada seorang sahaja yang dikatakan akan dituduh. Mana pergi yang 10 lagi? Di mana sebelum ini pihak polis ada menyatakan ada 11 anggota polis terlibat dalam kes Kugan".

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, kes Kugan yang telah tertangguh selama lapan bulan dikatakan akan dibawa ke mahkamah hanya taktik Umno -Barisan Nasional meraih sokongan masyarakat India dalam menghadapi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

" This is actually for Bagan Pinang election somewhere around in the corner. They want to show their transperancy. They want to charge now. And then issue pasal Altantuya di pilihanraya Bagan Pinang dan juga kepala lembu tidak boleh cakap. Saya akan guna, saya akan edar CD kepala lembu di setiap rumah orang India, sudah print. Kita ada 2 ribu CD. Saya akan ceramah dan saya akan cakap pasal kepala lembu"

Kugan menurut polis terlibat dalam kes samun dan curi kereta mewah.Dia ditangkap tetapi meninggal dunia dalam tahanan polis.Ramai percaya dia didera sehingga mati berdasarkan kesan ditubuhnya. -TVA



PKFZ : AMK Bidas Sikap Polis

Kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi dipertikaikan apabila mengheret isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada penyiasatan ke atas Raja Petra Kamaruddin dan ahli kabinet yang telah membocorkan kertas kabinet melibatkan projek berkenaan.

Polis kelihatan bekerja keras dalam memastikan mereka yang terlibat dalam usaha penghebahan kandungan yang dikatakan sebagai kertas kabinet dihukum kerana telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Persoalannya di sini, mana lebih penting?

Apa yang pasti, kandungan kertas kabinet itu mendedahkan tentang Menteri Kewangan membuat syor kepada kabinet supaya memberi kelulusan secara retrospektif peningkatan kos pembangunan daripada RM 1.088 bilion kepada RM 4.6 bilion zon bebas cukai itu.


Menteri Kewangan juga dikatakan membuat syor supaya kabinet meluluskan pinjaman RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) untuk menyiapkan projek berkenaan.

" Apabila Musa Hassan mengumumkan akan membuat siasatan konon berlakunya pembocoran kertas kabinet, berkaitan dengan skandal PKFZ. Kita merasakan bahawa Musa Hassan cuba lari daripada isu yang sebenar" ujar Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin.

Skandal PKFZ walaupun ianya dibincangkan di kabinet, dan diputuskan dalam kabinet menunjukkan menteri-menteri cuba mencari jalan untuk menghalalkan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ ini.

Fokus utama kandungan kertas kabinet itu hakikatnya memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sejauh mana ketelusan dalam pentadbiran kewangan di negara ini.

Timbul isu sama ada kertas kabinet itu mungkin palsu. Tetapi jika ia benar, polis sewajarnya meluaskan skop penyiasatan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab tanpa memilih bulu dan bukannya menghumban mereka yang cuba mencari kebenaran di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

" Nampaknya Musa Hassan dan seluruh element kepolisian ini ingin mencari siapakah menteri yang bertanggungjawab dan tidak memfokuskan kepada usaha untuk menyiasat bagaimana penyelewengan wang rakyat boleh berlaku, siapa yang terlibat, siapa menteri yang mendalangi skandal ini, dan siapakah orang politik dari UMNO, MCA dan Barisan Nasional yang mendapat keuntungan. Itu yang sebenarnya yang harus diberikan tumpuan" tambahnya lagi.

Namun tindakan polis ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Waima, ianya acapkali berulang sehingga ramai yang melabelkan institusi kepolisian itu sebagai kuda tunggangan UMNO-BN dalam menyelamatkan kepentingan politik dan peribadi mereka.

" Sekarang ini mereka sedang cari kambing hitam . Dalam hal ini ada dua kambing hitam mereka cari. Yang pertamanya Raja Petra, serangan sekarang tertumpu kepada Raja Petra dan yang keduanya, mereka akan cari sampai dapat siapa menteri yang mendedahkan yang membongkarkan kertas kabinet ini".
TV Antara turut mendapatkan respon dari Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkenaan dengan isu tersebut.

" Ya saya melihat ini satu usaha untuk menutup kes ini dan akhirnya saya menjangka bahawa mereka akan mengisytiharkan bahawa dokumen yang tersiar dalam Malaysia Today itu adalah dokumen rekaan dan akhirnya tidak ada siapalah yang kena tangkap".

Bagi beliau apa yang lebih penting ialah mereka yang menggelapkan wang rakyat harus didakwa dan bukannya mereka yang membongkarkan pengkhianatan tersebut meski pun ia melibatkan orang kenamaan dalam barisan kerajaan.

" Bagi saya bahawa saya minta polis sepatutnya bukan menyiasat untuk menentukan sama ada dokumen itu betul atau pun tidak kerana Datuk Najib sendiri telah pun menyatakan bahawa dokumen itu sebagai dokumen yang disahkan sebagai dokumen kabinet. Jadi apa yang penting sekarang ini ialah bukan siasatan siapa yang membocorkan dan menyebar dokumen kabinet itu tetapi yang harus disiasat ialah bagaimana kabinet boleh meluluskan satu keputusan yang melanggari prosedur- prosedur kewangan" katanya.

Beliau juga turut menggesa kerajaan mengambil langkah mengisytiharkan kertas kabinet yang melibatkan PKFZ sebagai dokumen umum.

" Bermakna jika dokumen ini dianggap open document atau dokumen terbuka, siapa-siapa sahaja boleh memiliki dan siapa-siapa sahaja boleh mengetahui tentang dokumen yang boleh mengetahui apa sebenarnya keputusan yang dibuat oleh kabinet yang menunjukkan bahawa kes ini bukan hanya membabitkan Ong Tee Kiat tetapi kes ini membabitkan hampir keseluruhan anggota kabinet pada waktu itu yang sebahagian besarnya masih berada dalam kabinet di bawah Datuk Najib, termasuk Datuk Najib sendiri dan juga Tan Sri Muhyiddin yang terlibat dalam membuat keputusan melanggari prosedur dan peraturan-peraturan kewangan".

" Saya cabar kerajaan khususnya kepada Datuk Najib, kalau betul Datuk Najib mendokong prinsip integriti, ketelusan untuk melihat kepentingan negara dan rakyat ini, saya mencabar untuk Datuk Najib mengisytiharkan dokumen kabinet yang dianggap sebagai rahsia rasmi tersebut iaitu dokumen berkaitan PKFZ, supaya dikeluarkan dari klasifikasi OSA".



Era Najib Altantuya : Mahathir Bertanggungjawab Mundurkan Kelantan

Tun Dr. Mahathir cuba untuk menutup kezaliman terhadap rakyat Kelantan dengan mebuat tuduhan kononnya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu.

"Pada satu tahap tertentu, beliau bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan. Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal," kata beliau bagi menjawab soalan mengenai kepimpinan Nik Aziz.

Dr Mahathir berkata demikian selepas majlis pembukaan Sidang Kemuncak Tadbir Urus Korporat 2009 semalam yang bertajuk "Truth, Lies and Corporate Governance".

Kenyataan itu dibuat beliau berikutan gesaan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya Nik Aziz meletak jawatan kerana gagal membawa kemajuan di Kelantan.

Tetapi rakyat tidak pernah lupa bahawa Mahathir merupakan Perdana Menteri yang telah melakukan sekatan pembangunan kepada Kelantan semasa era pemerntahannya menjadi PM.

Sikap biadab dan zalim oleh Mahathir tidak mudah terpadam dari sejarah dan Allah pasti akan menurunkan balasanNya nanti. Saksi video pengakuan Mahathir sendiri yang melakukan kezaliman ke atas Kelantan:




Era Najib Altantuya : Hassan Ali Sengaja Menyusahkan MB

Pesuruhjaya PAS dan ahli Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali sengaja menumpukan kepada isu remeh-temeh di negeri itu sebagai percubaan untuk merosakkan reputasi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pentadbirannya, dakwa Speaker Selangor, Teng Chang Khim.

Malah Teng dalam serangan paling pedas ke atas Exco dari PAS itu berkata, Dr Hasan cuba untuk menggambarkan Khalid sebagai seorang yang tidak cekap, tidak tegas dan tidak berkemampuan dalam melaksanakan tugasnya.

Menurut Teng, apa yang dilakukan oleh Dr Hasan beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan yang beliau mahu menyusahkan Khalid dan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Dan ini dilakukan oleh Dr Hasan secara terancang dan sistematik, kata Teng lagi.

Beliau menambah, Dr Hasan pada mulanya membantah pelantikan Low Siew Moi sebagai pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), diikuti dengan tindakan mengeluarkan kenyataan meminta Khalid menjelaskan berhubung dakwaan pembelian lembu bagi kawasan parlimennya menggunakan wang kerajaan negeri dan penggunaan kenderaan peribadinya sebagai kereta rasmi Menteri Besar.

Teng berkata, Dr Hasan kemudiannya menimbulkan kekecohan berhubung penjualan arak di Selangor dan yang terbaru, 'serangannya' terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat).

Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago juga berpendapat, tindakan Dr Hasan bertujuan melemahkan Khalid dan pentadbirannya.

Menurut Santiago, sebagai Exco, Dr Hasan tidak akur dengan tanggungjawab bersama yang diamalkan di negeri itu.

Katanya, Dr Hasan cuba sedaya upaya untuk menggambarkan dirinya sebagai jaguh dan suara kepada kaum Melayu di negeri itu.

Dengan pergolakan yang sedang berlaku ini kata Santiago, Dr Hasan berharap beliau dapat menuntut jawatan Menteri Besar daripada Khalid.

Sementara itu, Teng berkata, serangan terbaru Dr Hasan terhadap Selcat juga turut disertai penipuan-penipuan besar.

"Beliau menuduh saya berkata yang Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin tidak efektif dan tidak layak memegang jawatan itu.

"Saya tidak pernah berkata perkara seperti itu," kata Teng.

Beliau menambah, Dr Hasan pada mulanya berkata, hakim-hakim yang telah bersara sepatutnya dilantik sebagai ahli Selcat namun kemudian menafikan perkara itu.

"Beliau juga berkata, Selcat mesti dianggotai oleh orang-orang yang dihormati dan boleh dipercayai. Adakah beliau bermaksud yang panel pada masa ini tidak cukup dihormati dan dipercayai?," kata Teng.

Menurutnya lagi, selepas mengkritik Selcat, Dr Hasan tidak pernah sekalipun menghubungi beliau untuk membincangkan isu itu.

"Beliau ada nombor (telefon) saya tapi masih belum menghubungi saya walaupun sekali sejak dua minggu lalu," katanya.

Teng berkata, ini merupakan sesuatu yang ironik memandangkan Dr Hasan merupakan orang pertama yang menghubungi beliau bagi membincangkan mengenai penubuhan kerajaan campuran selepas pilihan raya umum tahun lalu.

"Beliau boleh menghubungi saya pada ketika itu tetapi tidak pada masa ini," kata Teng.

Malah katanya, Dr Hasan tidak mempunyai hujah yang kukuh untuk menyokong apa sahaja isu yang cuba dicetuskannya.

Beliau meminta supaya siasatan Selcat dijalankan secara tertutup bagi melindungi integriti pegawai-pegawai yang akan disoal siasat, namun integriti perlu diuji dan bukan dilindungi, kata Teng. -Mstar

Era Najib Altantuya : Selcat Kekal, PAS Selangor Bising Yang Lebih

Mesyuarat khas tiga penjuru selama dua jam malam tadi memutuskan status-quo Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) dikekalkan walaupun tatacaranya dipertikaikan keras oleh Pesuruhjaya PAS Selangor dan pegawai-pegawai daerah negeri itu sejak lebih dua minggu lalu.

Justeru, Selcat akan menjalankan sesi inkuiri secara terbuka manakala keanggotaannya yang kini terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kekal, tidak akan dirombak untuk disertai mereka yang bukan merupakan wakil rakyat.

Selcat yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat susulan pilihan raya umum tahun 2008 tidak akan dibubarkan sama sekali, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita mendapat persefahaman bahawa isu ini boleh diselesaikan antara kita dan mengambil langkah-langkah memperbetulkan, mesti diperbetulkan, yang lain terus dikendalikan secara terbuka dan mempunyai akauntabliti yang dipertanggungjawabkan," kata Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

"Ia akan (tetap) berfungsi (mengendalikan soal siasat) secara terbuka," kata beliau ketika ditemui di Bangunan SUK di sini.

Mesyuarat tiga penjuru ini dihadiri oleh anggota Selcat, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri termasuk ketua majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun Khalid memberitahu, pihaknya mengambil kira teguran dan beberapa cadangan yang membolehkan supaya terdapat komunikasi teratur antara pihak-pihak yang mengendalikan Selcat dan juga pegawai-pegawai kerajaan.

"Tidak ada, Selcat tidak akan dibubarkan," katanya.

"Selcat adalah satu badan yang ditubuhkan di bawah Dewan Undangan Negeri. Oleh itu, apa-apa perubahan tentang pertanggungjawaban Selcat jika perlu, jika perlu akan kita bawa untuk perbincangan di Dewan Undangan Negeri.

"Pada masa ini tiada perbincangan untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat cadangan untuk mengubah keanggotaannya, Khalid berkata:

"Tidak ada... Selcat ini ketetapannya (keanggotaan) ialah seperti mana yang kita telah persetujui, seperti yang telah diputuskan dalam Dewan Undangan Negeri," katanya.

Era Najib Altantuya : Polis Guna Waran Tamat Tempoh Tahan Gobala

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan ditahan polis pagi semalam sebaik sahaja beliau keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk sebutan kes beliau menghalang polis menjalankan tugas pada hari penamaan calon DUN Permatang Pasir hujung Ogos lalu.

Difahamkan Gobala dibawa ke Balai Polis Seberang Perai, Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Balai Polis Cameron Highland. Polis belum memberi sebarang penjelasan kenapa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu ditahan.

TvAntara telah menghubungi isteri ahli parlimen tersebut, puan Vasanthi Ramalingam. Beliau mempersoalkan waran tangkap tamat tempoh yang digunakan untuk menahan suaminya.

"Setelah dia keluar dari mahkamah, wartawan ambil kenyataan dari beliau. Tiba- tiba ada seorang datang dan keluarkan waran tangkap. Waran tangkap itu salinan sahaja dan bukan yang asal. Waran itu bertarikh Ogos lepas dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Gobala pada asalnya tidak mahu ikut sebab ragu- ragu dengan waran itu. Tapi polis kata ini adalah arahan. Dia dibawa ke Balai Polis Seberang Prai dan kemudiannya ditukarkan ke Balai Polis Cameron Highland," kata Vasanthi.

Vasanti berkata pihaknya hanya dimaklumkan penahanan ahli parlimen ini atas kes terdahulu di Mahkamah Majistret Tapah, pada tahun 2004 lalu.

"Saya tidak tahu kes itu . Saya tidak dimaklumkan. Kami hanya diberitahu kes Mahkamah Majistret Tapah, tahun 2004 lalu," tambah beliau.

Vasanti bersetuju apabila ditanya adakah penahanan Gobala berhubung kait dengan pilihanraya kecil Bagan Pinang bulan hadapan. Penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober dan hari mengundi pada 11 Oktober ini.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi berdaftar dengan 2,834 orang merangkumi pengundi kaum India.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor dari Barisan Nasional .

"Saya rasa besar kemungkinan dia dihalang daripada pergi berkempen di Bagan Pinang. Itu yang saya percaya," ujarnya lagi.

Gobala sebelum ini dikasari oleh polis sewaktu penamaan calon Permatang Pasir. Beliau mendakwa polis memijak bahu dan belakang badan sebelum seluarnya dilondehkan dan tangannya digari.

Polis pula mendakwa Gobala menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas dan sebutan kes atas pertuduhn itu di tetapkan hari ini di mahkamah.

Diwakili peguamnya, J.M Marty, Gobala dalam permohonannya meminta agar seluar dan tali pinggang yang dirampas oleh pihak polis semasa kejadian dipulangkan semula untuk digunakan sebagai barangan bukti pada hari perbicaraan nanti.

Menurut Marty lagi, Gobalakrishnan akan diwakili oleh sepasukan lapan orang peguam yang diketuai ADUN Seri Delima, RSN Rayer.

Majistret, Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh 28 Oktober depan sebagai tarikh sebut semula kes ini. -TVA


Era Najib Altantuya : Apa Hak Ibrahim Ali? - Salahuddin

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub membidas tindakan Ahli Parlimen Pasir MAs Ibrahim Ali mencabar Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya Ibrahim tidak mempunyai sebarang asas untuk membuat kenyataan sedemikian dan kenyataan berkenaan jelas memperlihatkan kecenderungannya untuk kembali kepada Umno.

“Apa hak Ibrahim Ali? Dia dulu diberikan kerusi di Pasir Mas kemudian dia jadikan dirinya sebagai calon bebas dan mungkin kecenderungan kembali kepada Umno. Itu saya rasa Ibrahim Ali tidak ade asas untuk bercakap mengani perkara itu,” katanya.


Cabaran berkenaan dibuat susulan desakan Menteri Besar Kelantan itu supaya Ibrahim melepaskan jawatannya ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Pada pilihanraya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket Pas.

Terbaru Ibrahim mengeluarkan 10 hujah mengapa Nik Aziz perlu mengosongkan jawatan yang disandangnya sejak 1990. Antaranya beliau menyifatkan Nik Aziz sebagai ‘barang lama’ kerana terlalu lama bergelar wakil rakyat dan Menteri Besar.

Mengulas mengenai perkara ini Salahuddin berkata tidak ada isu untuk Nik Aziz mengundurkan diri apatah lagi melihat kepada prestasinya sehingga ke hari ini.

“Sekarang beliau tidak ada masalah kesihatan dan persembahan dia baik, tidak ada isu untuk beliau mengundurkan diri pada tahap yang ada pada hari ini,” katanya.


Era Najib Altantuya : Hujjah Khalid Samad Dalam Mesyuarat PAS Selangor

27 September, jam 3.30 petang, maka akhirnya diadakan juga mesyuarat Perhubungan Negeri. Dalam mesyuarat ini memang banyaklah yang dinyatakan, khususnya persoalan wala’ terhadap pimpinan yang masih merupakan isu terbesar bagi kebanyakan YDP kawasan. Dalam persoalan ini saya sememangnyalah menjadi sasaran dan menjadi tumpuan teguran. Hanya saya sahaja yang masih tidak faham nampaknya. Wala' itu maknanya tidak boleh menegur pemimpinkah? Fahaman saya, tidak boleh ingkar arahan dan setakat ini tiada arahan berhubung perjalanan parti yang telah saya ingkari. Teguran dan ingkaran merupakan dua perkara yang berbeza. Namun menegur pemimpin, itu merupakan hak pengikut, lebih-lebih lagi apabila ianya kelihatan seperti menjejas kepentingan parti.

Namun, perkara tesebut wala' merupakan masalah terbesar sebahagian besar ahli mesyuarat. Bagi saya masalah besar yang sepatutnya di berikan tumpuan ialah persoalan SELCAT dan pengukuhan PR.

Oleh itu, pada hari ini saya ingin mengemukakan untuk tatapan umum hujjah-hujjah yang telah saya kemukakan di dalam mesyuarat berkenaan. Sekiranya ada hujjah saya yang salah atau menzahirkan kurang wala'nya diri saya ini, harap dapat dikemukakan dalam bentuk hujjah yang sama.

Pada hari mesyuarat, saya telah mengemukakan LIMA hujjah seperti berikut:-

1. Mengapa Mengambil Posisi Menegur SELCAT Secara Berasingan?
Saya menyatakan kepada mesyuarat bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh PJ telah dan sedang dibincang oleh ADUN-ADUN dan anggota SELCAT itu sendiri. Ramai telahpun bersetuju untuk memperbaiki perjalanan sesi soal-jawab SELCAT berpandukan feedback yang negatif berhubung kaedah soal-siasat dan sebagainya. Yang menjadi masalah ialah apabila PJ membuat kenyataan mengkritik SELCAT secara terbuka dan mengambil posisi bersendirian dalam isu ini. Ianya telah pun memberikan gambaran bahawa hanya PAS mengambil berat kedudukan pegawai kerajaan dan menjuarai mereka dan parti lain tidak. Sedangkan hakikatnya, pihak lain juga telah bersetuju dengan teguran-teguran yang telah disampaikan secara dalaman.

Saya menyatakan, “tidakkah lebih sesuai PJ mengatakan kami, iaitu PR, telah bersetuju untuk memperbaiki kaedah dan pendekatan soal-siasat terhadap pegawai-pegawai kerajaan supaya tidak dilihat sebagai berniat menghina dan memalukan mereka?

Sekiranya kenyataannya begitu, ianya tidak akan kelihatan seperti seolah-olah menempelak rakan lain di dalam PR dan PAS tidak akan dilihat sebagai menikam kawan dari belakang.

2. Mengapa Tidak Merujuk Kepada Wakil PAS yang Menganggotai SELCAT?
Isu kedua yang saya bangkitkan adalah berhubung satu-satunya wakil PAS di dalam SELCAT, iaitu YB Shaari Sungib. Saya bertanya mengapa mesyuarat tidak menjemput beliau memandangkan mesyuarat khas ini adalah berhubung SELCAT dan beliau adalah anggota SELCAT?

Saya bertanya lagi, “tidakkah lebih wajar kita mendengar pandangan dari ahli parti kita sendiri yang menganggotai SELCAT berhubung perjalanannya daripada mendengar aduan sebelah pihak pegawai kerajaan semata-mata?

3. Mengapa Membela Pegawai-Pegawai Kerajaan Sekiranya Mereka Bersalah?
Saya terus menjelaskan bahawa peranan SELCAT adalah untuk menjamin kecekapan, pertanggung-jawaban dan ketelusan. Pegawai-pegawai dipanggil untuk menjelaskan bagaimana mereka telah menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka, bukan persoalan peribadi mereka.

Sekiranya mereka menjalankan tugas mereka dengan betul tiada sebab yang perlu mereka rasa malu. Sekiranya mereka dipaksa menjalankan tugas mereka dengan cara yang kurang betul, maka perlu mereka nyatakan mereka dipaksa atau pun diarah berbuat begitu. Tetapi, sekiranya mereka ingin melindungi penyelewengan BN dulu, maka adakah perlu kita membela mereka?

Dalam pada itu, saya nyatakan, sesi SELCAT yang pertama dahulu yang melibatkan isu BALQIS telah berjalan dengan baik. Datin Khairiyyah telah menjawab semua soalan dengan telus dan mendedahkan bagaimana wang sebanyak RM 900,000 lebih telah diselewengkan dan dibazirkan oleh pentadbiran Khir Toyo. Dalam sesi soal jawab itu, tiada pula yang mengemukakan persoalan bagaimana sesi terbuka yang disiarkan secara terus menghina dan memalukan Datin Khairiyyah.

Kalau nak timbulkan soalan memalukan dan menghina, kenapa tidak kita membantah hukuman sebat terhadap Kartika juga? Adakah kita menganggap persoalan penyelewengan duit rakyat tidak sepenting soal meminum arak? Adakah kita menganggap bahawa Islam redha dengan persoalan yang pertama dan hanya menolak yang kedua? Sepertimana kita menerima hukuman sebat terhadap Kartika, hukuman ‘soal siasat’ terbuka tidak sepatutnya kita tolak.

Akhirnya saya menegaskan mengapa sesi itu perlu diadakan secara terbuka. Pendedahan oleh pegawai kerajaan sendiri adalah lebih berkesan dari sekiranya diadakan sesi tertutup dan kemudiannya maklumat disampaikan oleh kita kepada rakyat. Pihak tertentu boleh mengatakan ianya permainan politik dan pengakuan paksaan. Maka itu adalah lebih teruk, kita akan dikatakan sama sahaja dengan SPRM! Mengugut dan memaksa sehingga mendapat ‘pengakuan’.

4. Mengapa Saya Respon Kepada Kenyataan PJ
Dalam pada itu saya menjelaskan mengapa saya respon kepada kenyataan PJ. Saya nyatakan bahawa tindakan PJ menyerang SELCAT secara terbuka telah memberikan gambaran seolah-olah PAS tidak setuju dengan SELCAT dan dengan itu bercanggah dengan matlamat pentadbiran PR.

Saya menolak kenyataan PJ juga secara terbuka kerana ingin menegaskan bahawa PAS tetap bersama PR dan perpaduan sememangnya wujud di kalangan kami. Perpaduan PR adalah penting untuk dizahirkan kerana ianya akan meyakinkan rakyat untuk terus memilih kita. Bukan sahaja di Selangor tetapi juga untuk mendapat kembali Perak, memenangi Pahang dan negeri-negeri lain. Demi menyatakan perpaduan kukuh wujud dalam PR sepertimana kehendak muktamar, maka saya menyanggah PJ walaupun ianya akan menzahirkan perbalahan dalam PAS Selangor.

Kedua, sebagai Ahli Exco, saya beranggapan bahawa beliau sepatutnya mengambil posisi bersama kerajaan PR dan bukan menyerang usaha kerajaan untuk mengasaskan kecekapan, pertanggung-jawaban dan ketelusan dalam perkhidmatan kerajaan melalui Dewan Negeri Selangor. Saya menegaskan bahawa sekiranya PJ tidak mampu berkerjasama dengan ahli Exco yang lain, maka beliau sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco dan menjadi seorang back-bencher. Saya tidak pernah menyuruh beliau keluar PAS mahupun PR!

Sebenarnya amat tidak wajar kalau kita sebagai seorang ahli Exco yang bermesyuarat dengan Exco tiba-tiba di luar mesyuarat menyerang kembali usaha kerajaan. Sekiranya sebagai back-bencher, tidaklah bermasalah sangat. Samalah juga seperti seorang ahli dewan harian, bermesyuarat dengan dewan harian, tetapi diluar bantai balik dewan harian. Kalau begitu patut keluar dewan harian (sepertimana persetujuaan pelucutan jawatan saya sebagai TPJ) dan sekiranya dari luar, sebagai ahli perhubungan, berhak mempersoalkan keputusan dewan harian.

5. Bagaimana Dengan Janji Kita di Tropicana PJ?
Point saya yang terakhir ialah berkenaan perjanjian kita bersama hasil Konvensyen PR di Tropicana PJ yang telah diadakan selepas peristiwa arak dan Ronnie Liu. Hasil Konvensyen itu telah dipersetujui bahawa kita tidak akan lagi mengeluarkan kenyataan saling menyerang satu sama lain. Sekiranya mana-mana pihak melakukannya, maka tindakan disiplin perlu dikenakan atas orang berkenaan oleh partinya sendiri.

Saya bertanya, “tidakkah janji kita ini perlu kita hayati?”

Hujjah-hujjah di atas dikemukakan untuk tatapan umum supaya masyarakat dan khususnya ahli PAS kawasan Shah Alam memahami pendirian, tindakan dan usaha saya sebagai YDP mereka mempertahankan usul yang telah diluluskan tanpa bahas di dalam Muktamar ke 55 yang dibawa oleh Shah Alam yang berbunyi:

“Maka Muktamar PAS Pusat yang bersidang pada hari ini 11-13 Jamadilakhir 1430 bersamaan 5-7 Jun 2009 di Stadium Melawati, Shah Alam mengusulkan dan membuat ketetapan supaya PAS Pusat:-

i) Konsisten dengan pendirian untuk terus kekal berkerjasama dengan parti-parti politik dengan berusaha dan menyusun kaedah yang lebih berkesan bagi memperbaiki hubungan dan kesatuan antara parti dan ahli akan terbina, seterusnya mengekalkan dan melebarkan kemenangan PR demi menegakkan syiar Islam

ii) Berusaha mewujudkan struktur organisasi yang berdaftar atas nama Pakatan Rakyat sebagai alternatif atau pengganti kepada Barisan Nasional bagi menerajui kepimpinan Negara.

Bagi saya, apa-apa usaha yang bercanggah dengan matlamat usul yang telah diluluskan di Muktamar seperti di atas, maka wajib saya sanggah. Tidakkah sepatutnya begitu?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Era Najib Altantuya : Gobalkrishnan Ditahan Polis

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan ditahan polis pagi tadi apabila beliau tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk sebutan kes beliau menghalang polis menjalankan tugas pada hari penamaan calon DUN Permatang Pasir hujung Ogos lalu.

Adalah difahamkan Gobala dibawa ke Balai Polis Perda. Polis belum memberi sebarang penjelasan kenapa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu ditahan.

Gobala sebelum ini dikasari oleh polis sewaktu penamaan calon Permatang Pasir. Beliau mendakwa polis memijak bahu dan belakang badan sebelum seluarnya dilondehkan dan tangannya digari.

Polis pula mendakwa Gobala menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas dan sebutan kes atas pertuduhn itu di tetapkan hari ini di mahkamah.

Masih belum dikenal pasti samada penangkapan Gobala mempunyai hubung kait dengan cubaan untuk mengekang beliau daripada berkempen pada pilihanraya kecil Bgan Pinang di Negeri Sembilan. Penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober dan hari mengundi 11 Oktober.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi berdaftar dengan 2,834 orang merangkumi pengundi kaum India.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor dari Barisan Nasional . -TVA