3 Apr 2010

Menjelang Grand Prix Malaysia Esok, Webber Rampas Petak Pertama

Menjelang Grand Prix Malaysia pada hari esok. Hujan lebat pada petang ini di sessi kelayakan menyebabkan pasukan-pasukan yang terlibat terpaksa menukar strategi.

Pelumba Red Bull, Mark Webber, meraih petak pertama selepas mencatatkan masa terpantas dalam saingan kelayakan terakhir untuk perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia Petronas sebentar tadi.

Nico Rosberg dari pasukan Mercedes di tempat kedua dan Sebastian Vettel dari Red Bull di tempat ketiga.

Hujan lebat di Litar Antarabangsa Sepang menyebabkan pemandu Ferarri, Fernando Alonso dan Felipe Massa, serta pemandu McLaren, Lewis Hamilton, gagal untuk beraksi pada sesi kelayakan kedua.

Alonso akan bermula di petak ke-19, Hamilton (20) dan Massa (21) selepas gagal mencatat masa terpantas sebelum hujan turun.

Jenson Button, pemenang Grand Prix Australian minggu lalu akan bermula di petak ke-17.


.



Aduan Polis Dibuat, Guna Gambar Pemimpin PR Untuk Ceramah UMNO

Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pinang Tunggal dan Pakatan Rakyat Kepala Batas mendesak Polis membuat siasatan segera terhadap beberapa helai sepanduk yang menggunakan gambar pemimpin Pakatan Rakyat untuk satu majlis ceramah anjuran UMNO.

Sekali pandang nampak macam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng yang akan memberikan ceramah tetapi sebenarnya Datuk Seri Zahrain Ibrahim dan Ezam Mohd Nor sebenar. Ia sangat mengelirukan rakyat.

Pengarah Dun Pinang Tunggal, Mohd Akhir Che Mat berkata, lapuran polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada pukul 9.00 pagi dan selesai pada pukul 11.00 pagi tadi.

Ia digantung untuk satu majlis ceramah di Kampung Paya Keladi pada 6 April ini.

Sebenarnya ia adalah program anjuran Angkatan Belia Muda Kepala Batas yang didalangi oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas.

Pemidato jemputan ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan bekas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Ezzam Mohd Noor.

Menurut Mohd Akhir, pihak polis dikehendaki mencari dalang sebenar yang dikira sengaja menimbulkan perasaan benci membenci di kalangan masyarakat.

Bukan itu sahaja mereka juga harus menyiasat siapa Angkatan Belia Muda Kepala Batas yang menjadi penganjur program terbabit yang pastinya tanpa permit.

"Pihak polis dikehendaki membuat siasatan segera terhadap sepanduk yang terpampang di serata tempat yang memaparkan gambar Anwar dan Lim Guan Eng. Dari gambar itu seolah mereka yang akan berpidato, " tegasnya kesal.

"Keadaan itu membuktikan Umno ketandusan ideal untuk berhadapan dangan rakyat dengan mempergunakan dua tokoh besar tanah air sedangkan yang akan berceramah ialah Dato' Zahrain dan Ezzam, " jelas beliau yang juga Naib Pengerusi Pakatan Rakyat Kepala Batas.



Kempen Sebelum Pilihanraya, Kenapa Polis Tak Tahan Najib Dan Muhyiddin?

Imej polis yang sehingga kini kekal dilihat sering menyebelahi BN gagal diambil iktibar oleh institusi itu apabila awal-awal lagi memberi amaran akan mengambil tindakan jika kempen pilihanraya diadakan sebelum penamaan calon.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, difahamkan ia ditujukan kepada Pakatan Rakyat yang sejak semalam aktif memasang poster (gambar) dan bendera parti dari PAS, PKR dan DAP di kawasan itu.

Pakatan Rakyat juga sebelum ini ada mengadakan ceramah umum Selamatkan Malaysia Jumaat lalu yang mana ia telah dirancang sebelum kematian Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad lagi, iaitu penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan mengeluarkan permit untuk aktiviti ceramah dan kempen di kawasan Parlimen Hulu Selangor selagi proses penamaan calon belum berlangsung.

Oleh itu, katanya, jika ada pihak yang mengingkari arahan tersebut, tindakan tegas mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1960 kerana kesalahan melakukan perhimpunan haram akan diambil.

''Arahan ini adalah untuk semua pihak terutama parti politik sama ada yang akan bertanding atau tidak bertanding. Jika mereka ingkar, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

''Kita hanya akan mengeluarkan permit untuk ceramah dan kempen selepas proses penamaan calon selesai dengan syarat mereka membuat permohonan," katanya selepas menyampaikan hadiah pada Majlis Anugerah Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor di Shah Alam semalam.

Khalid menjelaskan, permohonan permit bagi ceramah perlulah dibuat lima hari sebelum program berkenaan diadakan.

''Namun sudah tentu kita akan menggunakan budi bicara (berhubung pengeluaran permit)," ujar beliau.

Mengenai persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Khalid berkata, pihaknya memang telah bersiap sedia dan kini hanya menunggu pengumuman tarikh penamaan calon dan pembuangan undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau, menjangkakan lebih 1,000 anggota polis akan ditugaskan di kawasan Parlimen Hulu Selangor untuk menjaga keselamatan bagi memastikan PRK itu berjalan lancar.

''Tunggulah.. Bila tiba masanya anda akan lihat persiapan dan kehadiran kita di Hulu Selangor," katanya.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kini kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak di kediamannya di Kajang baru-baru ini.

SPR akan mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian hari ini.

Sejak kekosongan kerusi itu, pihak BN telah pun berkempen samada melalui media pro BN dan gerak saraf parti itu melalui pemimpin dan ah-ahlinya sehingga kini termasuklah dalam usaha melobi samada parti MIC atau Umno yang akan bertanding merebut kerusi itu.

Terdahulu, semasa sambutan ulang tahun Pakatan Rakyat di Kampung Baru, pihak polis bersama puluhan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membelasah rakyat yang berhimpun secara aman di situ yang menyaksikan pemimpin PR pada malam itu dikejar kedalam dewan selain beberapa petugas PR dibelasah sehingga terpaksa mendapatkan rawatn di hospital. -erapakatan

Ulasan GB

PM dan TPM sudah memulakan kempennya di Hulu Selangor. Kenapa polis berdiam diri? Kenapa hanya tujukan kepada Pakatan Rakyat? Kenapa berat sebelah di dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang?


MB Selangor Cabar Najib BN Usah Berkempen Jika Rasa Rakyat Sudah Tolak PR

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya tidak berkempen di sini jika merasakan pengundi kawasan Hulu Selangor sudah hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Besar Selangor membuat teguran ini sebagai menjawab kenyataan Najib, Pengerusi Barisan Nasional (BN) awal pagi ini bahawa masyarakat Hulu Selangor sudah hilang keyakinan ekoran perkembangan dalam PKR sejak kebelakangan ini.

Ketua PKR Selangor itu menambah, jika begitu keadaannya Najib tidak perlu datang ke sini untuk berkempen dan menghabiskan masanya sehari suntuk di Hulu Selangor.

Semalam timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menghabiskan masa kira-kira tiga jam di sini. -MI


Najib: Rakyat mula tidak yakin PKR

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

HULU SELANGOR, 3 April — Datuk Seri Najib Razak meraikan ulang tahun pertama kepimpinannya sebagai perdana menteri keenam dengan menyelar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil mendakwa komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sudah kehakisan kepercayaan rakyat.

Perdana Menteri turun ke bahagian Parlimen Hulu Selangor sejak pagi ini sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil, yang dipercayai bakal menyaksikan saingan sengit.

Semalam, Hulu Selangor menyambut kedatangan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ramai anggota dalam PKR sudah hilang kepercayaan terhadap parti ini. Lihat pada bekas setiausaha agung PKR Sallehuddin Hashim... pada satu masa dulu beliau merupakan antara orang utama merancang usaha mengambil alih kerajaan Barisan.

“Beliau sudah meninggalkan parti, hilang kepercayaan terhadap parti,” kata Najib (gambar) ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang, kebanyakannya masyarakat India dan Melayu di kawasan Felda Sungai Tengi di sini.

Pengerusi BN itu kemudian menyenaraikan nama pemimpin-pemimpin yang meninggalkan PKR iaitu bekas ketua Angkatan Muda Keadilan Mohd Ezam Md Noor, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin.

“Ezam, yang satu ketika dulu ketua pemuda PKR, yang satu ketika pernah masuk penjara demi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, kemudian meninggalkan PKR. Anwar meminta dia melawan saya, untuk memfitnah saya tetapi dia tidak mahu berbuat demikian,” katanya.

“Seorang lagi ialah Zulkifli Noordin, kini seorang lelaki yang berprinsip.

“Anda boleh mengatakan dia lelaki yang berprinsip kerana dia memakai ketayap... tanya Zul mengenai Altantuya.

“Dia sendiri yang mengatakan, Datuk Seri Najib tidak terlibat dalam kes pembunuhan. Dan, dia harus tahu kerana dia peguam mewakili salah seorang yang tertuduh,” katanya.

Dengan ditemani Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Presiden Umno ini menjelaskan dengan panjang lebar bahawa beliau tidak kena-mengena dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.

“Saya telah bersumpah, bersumpah di masjid bahawa saya tiada kaitan langsung dengan Altantuya.

“Adakah dia (Anwar) boleh melakukan perkara yang sama dalam kesnya?” kata Najib yang merujuk kepada kes liwat kedua yang Ketua Umum PR itu sedang hadapi sekarang.

Meskipun kehadiran pada majlis itu agar besar, tetapi para hadiran dilihat bersikap endah tidak endah memandangkan mereka jarang bertepuk atau bersorak ketika Najib menyampaikan ucapannya.

Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk mengingatkan mereka yang hadir mengapa mereka harus mengundi BN, tidak kira sama ada calon itu dari Umno, MIC ataupun MCA.

“Kawasan ini sentiasa berada di bawah BN. Jika anda mengundi BN, anda mengundi untuk masa depan yang lebih baik. Kita ada Datuk G. Palanivel di sini.

“Dalam Umno, MIC, MCA, sentiasa wujud persefahaman, kemenangan bagi sesiapa sahaja daripada kalangan kita adalah kejayaan buat BN.

“Itu yang sangat penting dan ini yang kita lakukan sepanjang beberapa generasi lalu sejak era bekas perdana menteri-perdana menteri kita,” katanya.

Najib memberitahu peruntukkan yang diberikan hari ini bukan kerana menjelang pilihan raya kecil 25 April ini tetapi kerana beliau yang sentiasa menunaikan apa yang diperkatakan.

“Apabila saya mengumumkan sesuatu, saya akan tunaikan kata-kata saya.

“Sebanyak RM6 juta telah diberikan untuk tujuan infrastruktur... RM650,000 akan diberikan kepada kerja-kerja memperbaiki masjid dan juga kemudahan awam,” katanya.

Program Najib bermula pagi ini dengan pelancaran Yayasan Kelana Ehsan Foundation dan pertemuan dengan peneroka-peneroka Felda di Felda Sungai Tengi Felda.

Lawatan Najib akan berakhir petang ini dengan pertemuan bersama mastarakat India dan Cina di kawasan Kuala Kubu Baru.

BN dijangka menurunkan semula Palanivel yang tewas dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. -MI



Hulu Selangor : BN Tersepit, Palanivel Hampir Pasti Dicalonkan, Umno Terus Gigit Jari?

Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel mengesahkan hanya namanya dicalonkan parti itu bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor untuk pertimbangan Perdana Menteri.

"Presiden MIC hanya pilih saya sebagai calon. Ini kerana saya adalah ketua bahagian (MIC Hulu Selangor), Pengerusi MIC Selangor dan Timbalan Presiden. Kalau tidak hanya satu nama, calon lain mari akan timbul persaingan. Itu akan menggegarkan cawangan MIC di seluruh negara," katanya kepada Bernama di Batang Kali di sini.

Difahamkan MIC sebelum ini menyenarai beberapa nama kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 25 April ini.

Palanivel, bekas wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum tewas pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, disebut-sebut mewakili BN di kawasan itu walaupun ada desakan supaya diketengahkan calon daripada Umno.

Ditanya adakah beliau bersedia memberikan laluan kepada calon Umno, pemimpin nombor dua MIC itu mengakui ada usaha melobi calon lain, namun perkara itu terpulang kepada keputusan Perdana Menteri.

Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Penamaan calon ditetapkan 17 April ini.- BERNAMA


Kembalikan Kerusi Hulu Selangor Kepada Umno

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman meminta supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun 'diserahkan' kepada MCA dan MIC.

Beliau berkata permintaan ahli-ahli Umno di kawasan berkenaan sepatutnya diterima pucuk pimpinan setelah hampir 10 penggal mereka bersabar dan beralah dalam isu itu.

"Pada pendapat saya, setelah lebih 50 tahun kerusi Parlimen Hulu Selangor terlepas dari tangan Umno, eloklah dikembalikan semula kerusi itu kepada Umno, tidak ada salahnya pun jika Barisan Nasional (BN) mengikut suara rakyat dan Umno meminta balik kerusi yang telah dipinjamkannya itu. Ini soal hak dan rintihan rakyat Hulu Selangor yang mahukan Umno kembali berkuasa di kawasan itu.

"Calon MIC sudah bertanding di Hulu Selangor selama enam penggal sejak 1986 dan tibalah masanya Umno meletakkan calonnya di pilihan raya kecil kawasan itu 25 April ini," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Sebelum ini, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mencadangkan supaya timbalannya Datuk G.Palanivel mewakili BN untuk bertanding bagi kerusi parlimen Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.

Kerusi parlimen Hulu Selangor dimenangi calon wanita dari Umno, Halimathon Saadiah pada pilihan raya umum 1955, pilihan raya persekutuan yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan dua tahun kemudian, dan 'diserahkan' kepada MCA pada pilihan raya umum 1959 sehingga 1982 dan seterusnya 'diserahkan' kepada MIC pada 1986 sehingga kini.

Ramli yang juga bekas exco Selangor dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalumpang, turut mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu. - BERNAMA


BN - Kerajaan BAZIR dan NAFI

Model Ekonomi Baru: Kononnya bela nasib rakyat kategori 40%
Oleh Ooi Heng

Lebih 12 tahun dulu, aku "sit in" satu-satunya kelas falsafah logik dengan keghairahan terhadap ilmu dan kepercayaan bahawa pensyarah yang hodoh rupanya pasti dapat memberi jawapan kepada seribu pertanyaan yang mengepung otak durianku ini. Meskipun selepas itu aku hanya ghairah dengan pensyarah cun dan enggan mengingati kembali detik-detik bersama sang hodoh kerana nafsu diri, pemikiran logik terus menjajah otak durianku tanpa meminta izin dahulu daripada aku.

Hari ini, pemikiran logik otak durianku ini tercabar kerana manusia yang bergelar Perdana Menteri atau Najib (gambar kiri) namanya melakukan sesuatu yang sukar diterima oleh otak durianku. Kerana buku tidak berdarah bertajuk "Model Ekonomi Baru", Sang Najib terpaksa berbicara tentang sesuatu yang tidak dipercayainya: Bahawasanya golongan suri rumah berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan mencakupi 40% daripada kumpulan manusia yang menduduki bumi bergelar Malaysia tanpa diberikan sokongan padu oleh Kerajaan Bazir Nafi.

Apa yang sebenarnya mencabar otak durianku? Bukan sang penakut perempuan tetapi tindakan aneh seorang Perdana Menteri yang berbicara tentang nasib golongan miskin bukan di depan rakyat kategori 40% ataupun dalam dewan di mana wakil-wakil rakyat membahaskan perkara-perkara berkaitan nasib rakyat jelata tetapi di depan "investor" yang pasti tidak kurang bilangannya yang menduduki kategori 20% teratas.

Apabila otak durianku melihat dirinya di depan cermin logik dan menanyakan bayangan dirinya soalan yang tidak pernah difikirkan oleh sang Najib, "apakah lokasi yang sesuai bagi seorang Perdana Menteri yang kononnya 'Rakyat Didahulukan' bagi membicarakan model baru kononnya mahu memelihara nasib rakyat kategori 40%", cermin logik tanpa melangkaui batasan "reasonable doubt" terus memberikan jawapan yang cepat, tepat dan padat- Dewan Rakyat. Tak perlu pergi kuliah, kita semua tahu jawapannya.

Aku tidak ada peluang seperti sang Najib yang kononnya prihatin terhadap rakyat kategori 40% tetapi lebih suka menghabiskan masa dengan "investor", kalau tidak pasti aku menanyakan hadirin hadirat yang menghabiskan masa bersama sang Najib sepanjang penjalanan seminar "Invest Malaysia 2010", apakah awak semua tidak rasa hairan dengan tindakan aneh sang Perdana Menteri yang berbicara tentang nasib rakyat kategori 40% di depan manusia bergelar "investor" yang tugas utamanya melabur dan meraut keuntungan? Apakah awak semua tidak setuju dengan otak durianku bahawa wakil rakyat yang berbicara dalan Dewan Rakyatlah yang ditugaskan oleh rakyat untuk memelihara nasib rakyat kategori 40%?

Ataupun, sang Najib yang mengkehendaki kehadiran 100% ahli parlimen Bazir Nafi setelah dimalukan dengan keputusan belah bahagi 64-63, mahukan kehadiran 100% ahli parlimen Bazir Nafi dan wakil rakyat Pakatan Rakyat di seminar "Invest Malaysia 2010"? Apakah Parlimen Malaysia telah bertukar nama menjadi "Invest Malaysia"?

Dunia hari ini agak aneh juga. Apa yang tidak diajar dalam kuliah lazimnya disentuh dalam ceramah politik. Cuma apa yang dibangkitkan sebagai topik bicara utama oleh ahli politik Pakatan Rakyat lazimnya disentuh sepintas lalu oleh ahli ekonomi "establishment". Contohnya soal rasuah dan korupsi. Contohnya soal "rent-seeking" dan "patronage". Biarpun dalam buku tidak berdarah itu disentuh soal-soal ini juga, ia disentuh sepintas lalu sahaja. Ini bagi membuktikan betapa bertaubatnya Kerajaan Bazir Nafi terhadap soal-soal sedemikian.

Dan cukuplah setakat ini. Jangan dibangkitkan lagi! Jangan ditelusuri trajektori skandal yang telahpun dilakukan oleh Kerajaan Bazir Nafi! Ini kan sejarah. Manusia harus sentiasa melihat ke depan. Segala dosa Kerajaan Bazir Nafi tidak akan diulangi. Kita kan ada APCO dan 1Malaysia.

Maka pandai-pandailah kita semua. Asalkan bertaubat, tak perlulah di bumi ini kita berbicara tentang bagaimana perubahan politik dan reformasi institusi akan menjadi pelengkap utama kepada perubahan ekonomi dan pembangunan rakyat kategori 40%. Cuma otak durianku kadang-kala merasa sepi dan sedih, kenapa dasar-dasar baik Pakatan Rakyat bila saja dipinjam pakai oleh Kerajaan Bazir Nafi, jarang-jarang sekali dapat dijamin pelaksanaannya secara telus dan konsisten! Kali ini model baru itu kononnya masih ada "Part II" - Implementasi.

Percayalah otak durianku, bukan sahaja dimensi dasar, dimensi implementasi juga, apabila dilaksanakan oleh Kerajaan Bazir Nafi, pasti wujud "loophole" yang besar lagi membesarkan. Mengapakah logiknya sebegitu rupa? Ini kerana mana-mana kerajaan yang benar-benar melihat ke depan, ia pasti nampak dan faham benar, dalam kalangan negara-negara berpendapatan tinggi yang sedia ada dan yang bakal wujud, terdapat satu set pelengkap utama yang menjayakan proses transformasi ekonomi.

Contohnya kewujudan Akta Kebebasan Maklumat dan "free press". Contohnya pertukaran rejim pemerintah dalam konteks dan kerangka sistem dua parti. Ini logik otak durianku. Tak serupa logik sang otak udang yang lazimnya cakap tak serupa bikin.

*Ooi Heng ialah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview.

Muhyiddin Mula Tabur Gula-Gula Pilihanraya DI Hulu Selangor

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatannya ke Hulu Selangor hari ini bukan untuk berkempen, namun kawasan parlimen itu dijanjikan empat buah sekolah baru.

Berucap kepada 500 guru dari Hulu selangor yang dihimpunkan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Muhyiddin mengumumkan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah akan dibina.

Dalam ucapan 30 minitnya itu, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran berkata guru berperanan membawa tahap pendidikan negara ke tahap antarabangsa.

Beliau juga menggunakan sessi soal jawab selama 15 minit untuk mengulangi janji kerajaan mengkaji keperluan guru dan pelajar.

Bagaimanapun sebelum mengakhiri ucapannya, timbalan perdana menteri mengingatakan bahawa tarikh pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diumumkan.

"Saya tidak akan berkempen hari ini tetapi saya akan datang kembali untuk berkempen pada masa yang lain.

"17 April adalah hari penamaan calon manakala 25 April pula adalah hari mengundi. Tandakan hari-hari dalam diari anda dan catatkan juga undilah Barisan Nasional," katanya sambil berseloroh.

Selesai majlis itu, Muhyiddin bergegas ke sebuah masjid di Kampung Sentosa di batang Kali.

Selepas menunaikan solat asar, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, timbalan presiden Umno mengarahkan Jabatan Kerja Raya menyempurnakan projek berkenaan dengan kadar segera selaras dengan prinsip rakyat didahulukan.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan permohonan Masjid Al-Sajdin di Kampung Sentosa untuk mendapatkan van jenazah dan tempat wuduk jemaah perempuan yang menelan belanja RM100,000.

Beliau bagaimanapun enggan berjumpa dengan wartawan.

Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dijangka memulakan lawatannya pula untuk bermesra dan berjumpa dengan rakyat. -mk

Ulasan GB

Diantara modal Muhyiddin... "anak angkat" yang tunggu pengumuman masa berkempen.. Hulu Selangot akan jadi anak angkat BN.



PRK Hulu Selangor - Penamaan 17 April, Undi 25 April

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, yang kosong sejak Khamis lalu dan bakal menyaksikan saingan sengit, akan berlangsung pada 25 April.

Penamaan calon akan diadakan pada 17 April.

Tarikh pilihan raya kecil ini yang pertama bagi Selangor sejak 8 Mac 2008 diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat panel sebentar tadi.

Pilihan raya kecil diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel dengan perbezaan 198 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang telah dikemas kini sehingga 26 Mac lalu.

Katanya, SPR juga menetapkan tarikh hari ini sebagai tarikh keluar writ manakala notis akan dikeluarkan pada Isnin ini.

“SPR telah dimaklumkan secara rasmi oleh Speaker Dewan Rakyat mengenai kekosongan itu pada 29 Mac lepas dan selepas meneliti notis pemakluman oleh Speaker Dewan Rakyat, SPR telah memutuskan bahawa kekosongan kerusi P.094 berkuat kuasa pada 26 Mac,” katanya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Beliau berkata Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 136 saluran mengundi.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus dengan dibantu oleh tujuh penolong, katanya.

Kawasan pilihan raya parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16.964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian. -MI