2 Apr 2011

Dr. Pornthip Pertahankan Hujahnya Teoh Mati Dicekik

Pornthip: 'Teoh Beng Hock dicekik sebelum jatuh'

Pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand bersependapat dengan pakar forensik Britain Prof Dr Peter Vanezis bahawa Teoh Beng Hock masih bernyawa.

Namun katanya, beliau tetap mempertahankan hujahnya bahawa kesan tanda merah di sekeliling leher mangsa pembantu politik itu adalah akibat dicekik.

Menurut beliau, kesan merah itu amat ketara pada bahagian kiri leher Teoh pada bedah siasat pertama meskipun tubuh mangsa telah dijahit semula.

Pakar patologi dari Thai itu tidak menjalankan bedah siasat pertama tetapi hadir sebagai pemerhati pada bedah siasat kedua.

Pornthip, 56, yang tiba hari ini dan diberi kawalan ketat berkatakontusi pada sebelah kiri leher Teoh menunjukkan mangsa dicekik.

Tegasnya, terdapat tiga senario di mana kontusi boleh berlaku.

* dicekik dengan menggunakan tangan,

* leher mangsa dipukul dengan objek tumpul,

* ataupun leher mangsa ditekan kepada objek atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tanda seperti bentuk syiling di leher Teoh adalah akibat tekanan jari atau objek bulat dan kejelasan tanda itu mengikut Pornthip bergantung kepada tekanan yang digunakan.

"Teoh berkulit cerah jadi kesan tanda lebam ini boleh dilihat dengan jelas,” kata saksi itu.

Beliau juga memberikan beberapa contoh tentang bagaimana kecederaan di leher akibat dicekik yang mempunyai tanda-tanda lebam yang sama. -mk

Video Seks Datuk T Itu Hitam Putih Jadi Tandatanya

Saya sudah tengok video itu oleh ABDUL JALIL ALI (gambar)

Tengok sekali tidak puas, jadi saya tengok sekali lagi. Video itu masih ada dalam simpanan saya sekarang. Saya berjanji akan pulangkan kepada pemiliknya dalam masa terdekat. Tidak perlu diceritakan di sini bagaimana susahnya saya untuk mendapatkan video tersebut. Cukuplah kalau dikatakan saya mencarinya ‘satu Malaya’ selama seminggu, dan hampir kecewa.

Akhirnya pagi minggu lalu ketika menikmati kari kepala ikan bawal di restoran nasi kandar popular di Jalan Tunku Abdul Rahman, saya terserempak dengan seorang kawan lama, kini seorang ahli perniagaan berjaya, bergelar Datuk Seri.

Nama sahaja Datuk Seri, sebenarnya wajahnya seperti dulu juga, tidak pernah berseri. Dua puluh empat jam serius. Tetapi dia masih ingat kisah-kisah lucu zaman bujang ketika sama-sama menyewa rumah di Jalan Raja Uda, Kampung Baru.

Dia belanja saya pagi itu. Sambil makan kita bercakap mengenai topik semasa paling hangat – video. Saya bertanya kalau-kalau dia ada salinan video tersebut. Sambil menunggu drebarnya tiba, dia berbisik ke telinga saya: “Saya ada satu, awak boleh pinjam kalau nak!”

Tentu sekali saya tidak melepaskan peluang. Saya mengikutnya ke pejabat. Dia beritahu ada ketikanya dia ke pejabat pada hari tidak kerja, hanya untuk menonton video.

Dan di dalam biliknya yang serba mewah itu, dia menyerahkan video tersebut – dimasukkan dalam sampul besar – sambil berpesan: “Lepas awak tengok, pulangkan semula pada saya. Jangan copy, berdosa!” Orang serius, ketawa pun macam tidak menjadi!

Walaupun sudah dapat, bukan senang hendak memainkan video yang satu ini, lebih-lebih lagi di rumah. Saya kena pastikan isteri dan semua anak-anak sudah lena, manalah tahu kalau-kalau mereka tiba-tiba mengetuk pintu bilik rehat saya. Malu saya kalau mereka tahu! Maka setelah dua kali menonton, saya boleh membuat kesimpulan peribadi, tanpa prejudis, seperti berikut:

Heronya boleh tahan. Tetapi secara jujur, saya lebih tertarik pada heroin. Kulit putih cerah, licin macam pauh dilayang. Tengok bibirnya yang kadang-kadang sedikit ternganga, dan matanya yang sekali-sekala kuyu, perasaan saya sudah berdebar.

Nampak juga jari-jemarinya yang halus lentik, lengannya, betis, leher dan lain-lain. Malah, melihat rambutnya yang mengerbang hampir menutup wajah itu pun boleh membuat perasaan saya tidak tenteram.

Dan, ketika melihat dia menggerakkan tubuh dalam berbagai posisi, mata saya tidak berkelip, nafas pun sudah bertukar rentak. Pendek kata, pemain wanita itu – tidak kira apa bangsanya – memang hebat.

Heronya? Bukanlah prejudis padanya, tetapi pada saya lelaki itu biasa sahaja. Boleh tahan tampannya, tetapi bukanlah jenis jejaka yang timbul urat-urat di lengan. Gempal sedikit, malah kalau tengok betul-betul bahagian perutnya nampak boroi.

Pendek kata watak lelaki itu tidak sehebat Arnold Schwarzenegger. Terus terang saya katakan lelaki itu tidak sepadan dengan wanita yang menjadi pasangannya. Kalau pilih lelaki yang lebih ‘macho’ pasti lebih sedap menonton.

Cuma pujian patut diberikan kepada tukang ambil gambar, sebab telah berjaya mempersembahkan satu produksi yang baik. Saya boleh mengesahkan bahawa semua kelihatan terang dan nyata. Malah, pada ketika tertentu boleh nampak jelas raut-raut di muka. Patut juga diberi pujian sebab sepanjang persembahan telah ditunjukkan latar belakang yang indah, mempesona, penuh warna-warni – gunung-ganang, air terjun, taman bunga, ular, kereta api, jip polis, dan tentu sekali tidak ketinggalan ‘Inspector Shahab’.

Pendek kata berbaloi jugalah saya keliling satu Kuala Lumpur – masuk hampir setiap kedai video – sehingga akhirnya bertemu dengan Datuk Seri, rakan lama ketika bujang yang sama-sama minat gila terhadap filem-filem Hindustan.

Saya akan memulangkan semula pada beliau video filem ‘Bobby’ yang menurut rakan saya itu diperoleh ketika lawatan perniagaannya ke New Delhi dua tahun lalu. Waktu filem itu ditayangkan di Odeon KL kira-kira tiga dekad lalu kami menontonnya lima kali!

Ada lapan lagu, paling saya suka ialah ‘Jhoot Bole Kauva Kate’ (bunyi macam bahasa Kelantan!) nyanyian Lata Mangeshkar dan Shailender Singh. Heroinnya yang selalu datang dalam mimpi saya ialah Dimple Kapadia, mesti dia sudah tua sekarang. Heronya Rishi Kapoor, anak Raj Kapoor.

Filem ‘blockbuster’ bikinan tahun 1973 itu – 38 tahun lalu! – dibuat dalam warna-warni. Maka menghairankan saya mengapa video seks oleh ‘Datuk T’ dibuat hitam putih, pada hal baru sangat dirakam 21 Februari lalu.

Dan, dalam era ICT yang serba warna-warni ini masih adakah lagi filem hitam putih? Sekadar bertanya. Sebab sumpah, saya belum menonton video seks yang didedahkan di Carcosa Seri Negara itu! -SH

* Abd Jalil Ali dari Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd adalah pemenang Anugerah Tokoh Wartawan Cemerlang Negara 2010. Abd Jalil Ali pernah menjadi Ketua Pengarang akhbar tabloid WATAN dan Ketua Editor Majalah SARINA pada tahun 70'an. Diantara kolumnis WATAN ialah Subky Latif. GB waktu itu kerap menulis untuk kedua-dua media berkenaan.

PAS Melaka Akan Pertahankan PASTI Bukit Katil Daripada Diroboh

PAS Melaka tetap akan mempertahankan sebuah tadika PASTI yang terletak di Bukit Katil daripada dirobohkan bagi tujuan pembinaan jalan di situ.

Ketua penerangan kawasan itu Mohd Yusof Wahab berkata, PAS tetap tidak akan berganjak malah tidak akan menerima sebarang bayaran pengambilan tanah dari kerajaan negeri.

Mohd Yusof yang juga pengerusi jawatankuasa bertindak mempertahankan PASTI itu berkata, pihaknya mempertahankan pusat pendidikan itu kerana ia sudah beroperasi lebih 15 tahun dan sudah mendidik ribuan pelajar.

Katanya, walaupun cadangan pengambilan tanah terhadap tapak sebuah surau yang terletak di situ bagi pembinaan jalan berkenaan tidak lagi diteruskan setelah kajian semula dilakukan kerajaan negeri, namun tapak tadika PASTI tetap akan diambil.

"Kita hanya mempertahankan hak kita. Kita akan teruskan bantahan dan kita tidak akan berganjak daripada ini.

"Lagi pun, pihak yang mewakafkan tanah ini dulu, adalah bagi tujuan didirikan sekolah untuk mendidik anak bangsa supaya lebih berakhlak mulia.

"Tambahan pula, kos untuk membina sekolah ini mencecah RM110,000 dan semuanya adalah hasil sumbangan orang ramai yang bertujuan mendidik anak bangsa. Kami lima sen pun tidak guna wang kerajaan," katanya.

'Bukan tiada alternatif'

Jelas Mohd Yusof (gambar), sebelum ini, beberapa siri bantahan telah diadakan berikutan cadangan pembinaan sebuah jalan di kawasan ini yang akan mengakibatkan tanah tapak tadika PASTI dan sebuah surau diambil kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setelah dikaji semula, tapak surau berkenaan tidak lagi termasuk dalam kawasan yang akan diambil.

"Kalau kerajaan negeri boleh keluarkan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk bina Sekolah Harapan yang bertujuan untuk memulihkan kembali akhlak remaja terlanjur, mengapa pula hendak robohkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di sini.

"Hanya semata-mata hendak membuat jalan, mengapa sanggup korbankan sekolah ini yang ternyata niatnya juga sama untuk mendidik anak bangsa ke arah akhlak terpuji. Masalahnya, bukan tiada alternatif lain.

"Sedangkan laluan lain pun ada, mengapa nak robohkan tadikan PASTI ini. Jelas kerajaan negeri ada muslihat tersendiri" dakwanya.

Menurut Mohd Yusof, sebagai membantah pengambilan tanah berkenaan, satu majlis solat hajat telah diadakan bertempat di Pasti Bukit Katil malam semalam.

Turut serta pada majlis itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub serta wakil dari PKR dan DAP akan turut memberi ceramah semasa program berkenaan.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam setakat ini belum berhasil. -mk

Najib Pembela YB Rasuah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng Mustafa Salim masih lagi wakil rakyat bagi kawasan itu.

Katanya, Adun Barisan Nasional (BN) itu akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Sesyen Seremban ke atasnya semalam.

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 terhadap Mustafa atas kesalahan menerima rasuah daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mendapatkan permit menjual pasir, tiga tahun lalu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kedudukan Adun berkenaan, dalam satu persidangan akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di sini, hari ini.

Pada perkembangan lain, Perdana Menteri berkata hanya rakyat yang boleh menilai kebenaran kes video lucah yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

“Saya tidak mahu ulas perkara ini. Biarlah rakyat yang tentukan. Saya hanya mahu kebenaran bukan persepsi,” katanya.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan bahawa rakaman video seks dikatakan melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang yang didedahkan baru-baru ini adalah tulen. - Bernama

Ulasan GB

TERANG DAN NYATA, Najib melindungi YB Lenggeng yang telah diputuskan bersalah oleh mahkamah di atas tuduhan rasuah.

Kerana? Semua orang tahu Najib itu sendiri Bapa Rasuah Negara.

Tidak hairan mengapa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2010 di peringkat antarabangsa amat memalukan.

CPI Malaysia sekali lagi jatuh kepada 4.4 yang berada di tangga ke-56 pada tahun ini berbanding tahun 2009 berada pada tangga ke 56 sebanyak 4.5.

Keputusan ini amat tidak setanding dengan yang didapati Malaysia pada tahun 2008 berada pada tangga ke 47 sebanyak 5.1

Tahun 2010 ini juga menunjukkan Malaysia telah tewas dengan negara Afrika Selatan iaitu sebanyak 4.5 pada tangga ke 54.


Pemandu Lori Dituduh Rogol 4 Anak Tiri

Melaka: Seorang pemandu lori dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas empat tuduhan masing-masing merogol dan menganiayai secara seksual terhadap empat anak tirinya berusia antara empat hingga 10 tahun pada 2009 dan 2010.

Bagaimanapun, tertuduh, R Gunasilan, 29, mengaku tidak bersalah ke atas semua tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah. Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau yang tidak diwakili peguam, dibicarakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Untuk pertuduhan pertama, Gunasilan yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan didakwa merogol mangsa berusia 10 tahun 10 bulan di sebuah rumah, di Jalan Tanjung Kling, dekat sini, pada November 2010, manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menganiayai dari segi seks terhadap mangsa berusia lapan tahun lima bulan di alamat dan tarikh sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazwani Ishak, tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh menetap bersama dengan mangsa dalam sebuah rumah.

Bagaimanapun, Zaharah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan lelaki terbabit perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa dan ibunya.

Zaharah kemudian menetapkan 3 Mei sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Gunasilan dihadapkan di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Katar. Untuk pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa merogol seorang lagi anak tirinya berusia sembilan tahun tiga bulan di alamat dan pada tarikh sama.

Beliau turut didakwa menganiayai dari segi seks terhadap mangsa berusia empat tahun sembilan bulan di alamat sama pada awal Februari 2009.

Gunasilan yang memakai t-shirt hijau bagaimanapun, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan, namun dia tidak membantah permohonan pendakwaan supaya tidak diikat jamin.

Abu Bakar kemudian menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen dan melantik peguam.

Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala pertuduhan menganiayai dari segi seks pula mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali. -BH

Mengapa Wanita Melayu Kini Gemuk-gemuk?

Masalah kegemukan di kalangan wanita Melayu Singapura (Malaysia juga) telah mendapat perhatian sejak lebih sedekad yang lalu, tetapi hingga kini ia kelihatan masih meluas.

Berjalan-jalan di Geylang Serai, misalnya, atau di kawasan-kawasan yang ramai orang Melayu, memberikan gambaran sedemikian.

Daripada kalangan sejumlah wanita Melayu di tempat-tempat ini, pasti akan ada beberapa orang yang menyerlah kehadiran mereka kerana berat badan yang berlebihan atau obes.

Ia satu senario yang sungguh jauh berbeza daripada era sekitar 30, 40 atau 50 tahun lalu, apabila wanita- wanita Melayu lebih dikenali kerana kelangsingan tubuh dan kerampingan pinggang mereka, apatah lagi jika berbaju kebaya.

Sebagaimana langsing dan ramping seniwati-seniwati filem Melayu lama, begitulah wanita-wanita Melayu pada ketika itu.

Jika ada pun mereka yang agak gempal pada masa lalu, mereka biasanya sudah separuh umur, tetapi kini, ramai wanita Melayu yang masih muda dan belum berumah tangga pun, berkeadaan obes.

Maka, ini menimbulkan persoalan: Mengapa wanita Melayu dahulu dapat menjaga kelangsingan tubuh tetapi sekarang bentuk tubuh mereka 'membuak-buak'?

DULU BANYAK KERJA, KURANG MAKAN

Beberapa orang yang dihubungi Berita Minggu berkata, wanita dahulu umumnya, banyak menggunakan tenaga dan mengeluarkan peluh dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka bagaikan bersenam setiap hari.

'Anda tanyalah ibu bapa atau datuk nenek anda. Wanita kita dahulu, kalau membasuh pakaian, mereka gunakan tangan. Mereka berus dan sental pakaian yang dicuci itu dengan sabun buku sampai berpeluh- peluh... setiap hari.

'Setiap pagi dan petang, mereka mengemas rumah dan menyapu halaman dengan penyapu lidi.

'Pasar masa itu pula jauh dari rumah. Setiap pagi kita boleh lihat ramai wanita kita menggendung bakul, berjalan kaki ke pasar sampai mengeluarkan peluh yang banyak.

'Baik juga mereka jalan kaki. Paling banyak, mereka naik beca,' kata seorang wanita berusia 60-an tahun yang tidak mahu namanya disebutkan.

Taraf kehidupan yang lebih rendah pada masa lalu juga bermakna orang Melayu ketika itu kurang makan dan mereka juga tidak bergantung kepada pembantu rumah untuk melakuan kerja-kerja rumah mereka.

Makanan seharian mereka pada masa itu hanyalah nasi, sayur dan ikan... ada masanya cuma nasi dan kicap sahaja.

Daging dan ayam, pada masa itu, merupakan makanan mewah yang hanya dapat mereka nikmati sekali-sekala.

Mereka makan di luar hanya apabila dapat gaji pada penghujung bulan. Itupun tidak ramai yang mampu berbuat demikian.

SEKARANG BANYAK MAKAN, KURANG KERJA

Dapatan daripada Kajian Kesihatan Nasional (NHS) tahun lalu menunjukkan terdapat peningkatan pada kadar kegemukan atau obesiti di Singapura - daripada 6.9 peratus pada 2004 kepada 10.8 peratus pada tahun lalu atau tambahan 0.6 peratus setiap tahun.

Seawal tahun 2001, perkara ini sudah diketengahkan menerusi Kajian Kesihatan Nasional 1998 yang menunjukkan masalah kegemukan paling tinggi di kalangan wanita Melayu (23.7 peratus), dan kemudian meningkat kepada 36.9 peratus pada 2005 setelah kiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI) disemak semula.

Kenapa demikian?

Pakar-pakar kesihatan mengatakan, mereka lihat gaya hidup wanita sekarang sudah banyak berbeza daripada wanita dahulu.

Wanita Melayu sekarang umumnya tidak menjaga pemakanan dan tidak bersenam atau bergerak aktif secara fizikal.

Ini termasuklah tabiat masih suka masak dan memakan makanan berminyak dan berlemak, kerap mengadakan jamuan makan di rumah atau menghadiri jamuan makan di majlis kahwin atau kenduri-kendara, memilih untuk menjamu selera daripada melakukan aktiviti fizikal ketika beriadah di tepi pantai, dan suka melakukan santapan jauh malam atau supper di luar walaupun sudah makan malam.

'Cakap mudahnya, orang kita sekarang banyak makan, makan, makan...' kata seorang pakar pemakanan di sini.

Menurut Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), makan di luar dapat dikaitkan dengan peningkatan masalah obesiti ini, selain daripada corak kerja yang lebih bersifat sedantari atau tidak banyak bergerak yang dilakukan kian ramai penduduk Singapura (sekitar 52 peratus).

Kajian Pemakanan Nasional 2010 menunjukkan 60.1 peratus penduduk Singapura makan di luar, berbanding dengan 48.8 peratus pada 2004.

Cik Farah (bukan nama sebenar), 39 tahun, adalah antara mereka yang suka makan di luar bersama keluarganya pada hujung minggu.

Pada hari Sabtu dan Ahad itulah dapur beliau tidak akan berasap kerana beliau tidak akan memasak. Sebaliknya, bersama suami dan dua anak remajanya, Cik Farah akan makan di luar.

'Kami akan sarapan, makan tengah hari dan makan malam di luar,' kata Cik Farah, yang mengakui seronok melakukannya kerana ia mengeratkan lagi hubungan kekeluargaannya.

Tetapi, tanpa disedarinya, berat badannya semakin hari semakin bertambah, dan beliau percaya ia gara-gara kebiasaannya makan di luar tanpa mengambil kira sama ada makanan itu menyihatkannya atau tidak.

Dari segi senaman pula, antara sebab-sebab ramai wanita Melayu tidak melakukannya termasuklah 'tiada masa' yang merangkumi sebab 'menjaga anak atau cucu.'

Dua sahabat baik, Cik Siti Asha Bani, 56 tahun, dan Cik Rokiah Salleh, 55 tahun, pernah aktif dalam Kumpulan Jalan Pantas Simei sedikit masa dahulu.

Namun, atas sebab- sebab keluarga, mereka meninggalkan senaman itu sejak lebih lapan tahun lalu.

Cik Siti Asha tidak menyertai kumpulan itu sejak menimang cucu.

'Dah sibuk dengan kerja jaga cucu, mana ada masa nak keluar bersenam macam dulu ramai-ramai?

'Pada masa yang sama, saya juga perlu pastikan suami saya yang menghidap masalah dijaga keperluannya,' kata ibu enam anak dan nenek kepada 11 cucu ini.

Namun, beliau akur semenjak berhenti bersenam secara kerap, berat badannya bertambah dan ini menyebabkan kakinya mudah penat jika berjalan jauh.

'Apabila berjalan lama sikit, saya perlu duduk kerana kaki mula lenguh, tak seperti dulu masa badan tak terlalu berat, saya boleh jalan pantas dan lebih jauh,' katanya yang kini mempunyai berat badan sekitar 78 kilogram.

'Dulu semasa bersenam, berat badan saya sekitar 60 kilogram dan saya juga rajin jaga makan.

'Tapi, kini setiap hujung minggu anak-anak akan datang ke rumah untuk berkumpul dan kami akan habiskan masa makan bersama kerana itulah satu cara mengeratkan silaturahim,' tambahnya.

Apabila keluar bersantai dengan keluarga pun, kata Cik Siti Asha, yang menghidap paras kolesterol tinggi, acara mereka ialah makan.

'Kami pergi juga ke pantai. Sampai pantai, duduk. Kemudian makan,' katanya.

Cik Rokiah, nenek empat orang cucu, pula berkata meskipun berat badannya kini 75 kilogram berbanding 80 kilogram beberapa tahun lalu, beliau masih menganggap berat badannya itu berlebihan.

'Saya rendah orangnya. Jadi, 75 kilogram masih berat. Berat badan saya turun sikit selepas saya jalani empat pembedahan,' katanya.

Beliau telah menjalani dua pembedahan di perut akibat masalah hernia dan dua lagi di kededua belah tangan akibat masalah pergerakan.

'Dan lebih buruk lagi sebelum pembedahan, saya hidap sakit darah tinggi kerana mungkin rasa tertekan akibat pembedahan yang akan dijalani,' ujarnya.

Cik Jamaliah Sulaiman, ibu tiga orang anak dan dua cucu, pula risau kerana berat badannya mudah naik dan turun seperti yoyo.

Berat badannya pernah naik ke 68 kilogram, kemudian 76 kilogram sebelum turun semula kepada 72 kilogram.

Cik Jamaliah, 56 tahun, percaya, masalah berat badannya itu ada kaitan dengan kebiasaannya suka keluar malam dan makan bersama suaminya.

'Suami saya sudah bersara. Jadi, pada sebelah malam apabila terasa nak keluar berjalan, kami keluar saja. Kalau dah keluar, ke kedai makanlah jawabnya.

'Biasanya kami makan selewat 11 malam dan pernah juga selewat 2 pagi. Dah makan, kami pulang, duduk sebentar lalu tidur,' katanya. -BHS

Akhirnya, Kluang Rail Coffee Disamak

Kluang - Jabatan Agama Negeri Johor (JAJ) mengadakan operasi penyamakan di tiga cawangan Kluang Rail Coffee berikutan serbuk kopi yang disediakan di kedai berkenaan disahkan mengandungi gelatin babi seperti yang dilaporkan Sabtu lalu.

Kedai kopi Kluang Rail Coffee yang sudah beroperasi sejak 1938 mempunyai empat cawangan di Johor iaitu tiga cawangan terletak di Kluang iaitu di Jalan Tasek, Jalan Station Keretapi dan Jalan Manggis manakala, di Johor Bahru terletak di Plaza Kotaraya.

Dalam pada itu, JAJ juga akan mengadakan operasi penyamakan di cawangan kedai kopi berkenaan yang terletak di Plaza Kotaraya pada malam ini.

Operasi penyamakan ini juga turut disertai oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kluang bagi membantu untuk melakukan proses penyamakan terhadap kedai kopi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, operasi menyamak yang dilakukan oleh JAJ ini merupakan prosedur biasa yang perlu dijalankan oleh pihak yang memohon sijil halal daripada JAJ.

“Ia adalah prosedur biasa kerana kita sedang menimbang permohonan sijil halal daripada pihak Kluang Rail Coffee berikutan mereka baru mengajukan permohonan tersebut. Walaupun serbuk kopi yang dihidangkan oleh mereka disahkan mengandungi unsur tidak halal, JAJ tiada kuasa mengarahkan mereka untuk tutup perniagaan.

“JAJ hanya menyatakan kedudukan sebenar kepada pengguna dan terpulang kepada masyarakat untuk memilih. Makluman sudah diberi, namun kami tidak boleh menghalang pengguna daripada terus mengunjungi premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, JAJ telah melakukan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai dan telah mengesahkan bahawa serbuk kopi berkenaan mengandungi gelatin babi.

Zainal Abidin berkata, sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.

“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Pihaknya tidak boleh mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengusaha kedai kopi terbabit melainkan menasihati peniaga berkenaan supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal dan saya juga menyeru supaya pelanggan beragama Islam supaya lebih berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, dan pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal yang dikeluarkan JAJ,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kluang Rail Coffee, Barnabas Lim berkata, beliau mengakui pihaknya baru memohon mendapatkan persijilan halal pada awal tahun ini.

“Oleh itu saya amat terkejut apabila berita tersebar mengatakan serbuk kopi keluaran kami mengandungi gelatin babi. Sejujurnya kami tidak tahu-menahu tentang ini (gelatin babi).

“Hakikatnya, kami amat mementingkan ketelusan dan menjaga sensitiviti orang ramai apatah lagi 80 peratus pelanggan utama kami adalah terdiri daripada orang Islam dan kita juga amat sensitif terhadap isu yang berlaku ini.

“Kita tidak begitu bodoh untuk menjatuhkan perniagaan yang sudah wujud sejak 73 tahun lalu dengan begini saja. Bagaimanapun pelanggan yang masih was-was boleh memulangkan sebuk kopi yang sudah dibeli dan kami akan membayar balik wang mereka,” katanya. -SH

Laporan sebelum ini:

Ramai Trauma Kopi Campur Gelatin Babi

Sah! Kopi Itu Bercampur Gelatin Babi - Jabatan Agama Johor



Ku Li Selar Dalang Video Seks Sebagai Pengamal Politik Longkang

Dalang Video Lucah Tandus Modal Politik, Kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah membidas pihak yang mendalangi fitnah video lucah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegaskan rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya. Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," tambah mantan Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.

Dalam wawancara esklusif dengan TVSelangor, Tengku Razaeligh yang lebih dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah," kata beliau.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," tambah beliau

Ku Li berkata biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," tegas beliau.

Tiga individu - Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Shazryl Eskay mengakumendalangi penayangan video itu kepada umum pada 21 Mac.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan berjumpa Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selepas identiti mereka dibongkar oleh pejabat Parti Keadilan Rakyat.
Anwar membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

Beliau menegaskan pada malam rakaman itu dibuat, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

Pejabat PKR mengemukakan sembilan pesanan Twitter Anwar, bagi menyokong hujah Ketua Pembangkang itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Beliau berkata hasil siasatan sudah di fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan
untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.

Contohnya keterangan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang menghuraikan sembilan catatan Twitter Anwar yang membuktikan Ketua Pembangkang tidak terbabit dalam perlakuan sumbang yang dituduh oleh Rahim dan dua rakannya itu.

Ku Li berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

"Saya tak tahu dimana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik' kata Ku Li.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

Ulasan GB

Blogger pencacai UMNO patut salin berita di atas untuk dimuatkan di dalam blog-blog mereka sebagai PERINGATAN.



Satu Rumah Lain Bilik, Trend Bersekedudukan Moden

Macam-macam gelagat orang zaman sekarang, apatah lagi bagi yang sedang hangat bercinta. Berpeleseran dan bercengkerama sampai tidak ingat dunia bukan lagi suatu fenomena aneh. Malah ada juga yang sanggup bersekudukan dengan seribu satu alasan diberikan semata-mata mahu menghalalkan tindakan

Kalau dahulu, orang acap kali memilih untuk bersekedudukan kononnya kerana cinta, tetapi tidak boleh mendirikan rumah tangga atas pelbagai halangan. Sedangkan pada dasarnya ia sebenarnya lebih didorong oleh nafsu serakah untuk 'bersama' secara bebas tanpa sebarang batasan.

Bagaimanapun, hari ini trend bersekedudukan sudah berubah. Ia tidak lagi hanya membabitkan sepasang lelaki dan wanita belum bernikah berkongsi satu rumah. Tetapi bilangannya lebih daripada itu. Dan yang anehnya ada antara mereka yang tidak sedar mereka sedang bersekedudukan. Ini kerana bagi mereka,tinggal di dalam bilik secara berasingan antara lelaki dan perempuan dalam satu rumah tidak dikira sebagai bersekedudukan, apalagi kalau jumlah mereka ramai.

Berbeza dengan pasangan bercinta, lazimnya dalam keadaan begini, faktor kewangan dan gaji yang rendah acap kali dijadikan alasan untuk mereka menyewa sebuah rumah beramai-ramai tanpa menghiraukan percampuran antara lelaki dan perempuan. Bagi segelintir mereka, ia tidak mengapa asalkan bilik tidur masih berasingan.

Melihatkan kepada senario hari ini, trend seperti ini biasanya terjadi di kalangan pelajar atau golongan muda yang baru hendak memulakan kerjaya, tetapi terpaksa tinggal di kawasan mahal atas sebab tuntutan tertentu. Misalnya tempat kerja ataupun institusi pengajian terletak di kawasan tersebut. Namun, alasan kewangan sahaja tidak cukup sebagai penghalal cara kerana mereka masih ada alternatif lain. Antaranya termasuklah dengan mencari teman serumah yang sama jantina.

Boleh didenda atau dipenjara

Meskipun ada yang mendakwa mereka tidak melakukan persetubuhan selain masih menjaga tata susila selaku Muslim walaupun tinggal serumah berlainan bilik antara lelaki dengan wanita, bersekedudukan dalam satu rumah yang sama tetap dilarang. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membuatkan seseorang menghampiri zina. Sedangkan dalam Islam sendiri sudah jelas menyatakan bahawa zina merupakan antara dosa-dosa besar.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat." (Al-Israak : 32)

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah zina sebab ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangkan umur sedangkan keburukan di akhirat nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka." (Riwayat Baihaqi).

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam (JAIS), Ustazah Sabariah Salleh, bersekedudukan dan khalwat tidak jauh bezanya. Malah, khalwat juga boleh berlaku dalam bersekedudukan itu sendiri. Berdasarkan kepada Enakmen 9 tahun 1995 / Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bahagian IV yang membabitkan kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan, beliau memberitahu khalwat tidak semestinya melibatkan hanya sepasang lelaki dan perempuan sahaja.

"Khalwat adalah (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan satu kesalahan. Apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," terang Ustazah Sabariah lanjut.

Sambungnya, sama seperti khalwat, bersekedudukan satu rumah lain bilik tetap boleh menimbulkan syak walaupun individu terbabit tidak melakukan perkara-perkara tidak bermoral. Justeru, jika ada aduan dan mereka ditangkap, orang yang bersekedudukan boleh didenda atau dipenjarakan. Sementara individu yang menyewakan rumah kepada mereka pula boleh didakwa bersubahat.

Jadi bagi yang memilih gaya hidup bersekedudukan, tepuklah dada dan tanyalah iman kerana selaku manusia, Allah tidak pernah kedekut dalam memberikan kita pilihan. Dan terserahlah kepada kita sebagai hamba-Nya untuk memilih – jalan yang diredainya ataupun sebaliknya. -iluvislam

A.R. Badul Diburu Polis Kerana Mencabuli Pelajar

Kuala Lumpur: Seorang pelawak berusia 63 tahun yang popular sejak era 70-an diburu polis selepas seorang pelajar perempuan membuat laporan mendakwa dicabul lebih tiga kali lelaki itu.

Lebih keji, pelawak otai yang lebih memberi tumpuan dalam bidang pengarahan itu dikatakan menyogok sejumlah wang kepada pelajar berusia 13 tahun itu dengan harapan mangsa patuh kepada arahan, selain tidak membongkar kejadian itu kepada ahli keluarga serta orang ramai termasuk ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

Difahamkan, pelajar malang itu dicabul lebih tiga kali sejak Disember 2010 hingga pertengahan Mac lalu, di dua kediaman berasingan milik ibu saudara mangsa di Kepong dan Klang, selain beberapa kali di luar kediaman berkenaan apabila mereka bertemu.

Akibat tidak tahan dengan perbuatan keji itu, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sumber polis berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11 malam Disember tahun lalu di sebuah rumah di kondominium di Kepong apabila mangsa dicabul di kediaman ibu saudaranya itu.

Beliau berkata, ketika kejadian suspek berkunjung ke rumah berkenaan kononnya melawat ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

“Bagaimanapun, selepas berbual lebih 30 minit, ibu saudara mangsa mendakwa letih dan mahu tidur sebelum mengarahkan suspek berehat dalam bilik tetamu jika tidak mahu pulang.

“Suspek bersetuju sebelum masuk ke bilik berkenaan. Lima minit kemudian suspek keluar semula sebelum memanggil mangsa masuk ke dalam bilik berkenaan dan meminta mangsa mengurut badannya,” katanya.

Mangsa pada mulanya menolak, namun bersetuju berbuat demikian selepas dipujuk suspek.

“Sebaik masuk ke dalam bilik itu, suspek dikatakan mencium mulut dan pipi mangsa serta memegang bahagian sulit mangsa.

“Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa berlari keluar dari bilik. Bimbang mangsa mengadu kepada ibu saudaranya, suspek memohon maaf, selain berjanji tidak akan mengulanginya.

“Termakan pujukan suspek, mangsa bersetuju merahsiakan perbuatan itu. Malah, suspek dikatakan menyogok RM100 kepada mangsa sebelum berpura-pura insaf dengan keterlanjurannya itu,” katanya.

Sumber berkata, kejadian terbaru berlaku pertengahan Mac lalu kira-kira jam 5.30 petang di sebuah lagi rumah ibu saudara mangsa di Klang.

“Kejadian berlaku dalam tandas di rumah berkenaan apabila suspek meluru masuk sebelum mencabul mangsa yang ketika itu ingin membuang air. Kali ini, bertindak lebih ganas ketika memegang bahagian sulit dan payudara mangsa,” katanya.

Difahamkan, suspek sekali lagi memberikan wang RM100 kepada mangsa untuk menutup mulut.

Biarpun mangsa enggan menerima wang berkenaan, suspek dikatakan meletakkan wang itu di atas meja sebelum meninggalkan rumah berkenaan.

Sumber berkata, disebabkan mangsa masih mendiamkan diri selepas insiden itu, dia dikatakan dicabul lagi suspek setiap kali bertemu ataupun apabila suspek berkunjung ke kediaman ibu saudaranya itu.

Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa memberitahu ibu saudaranya sebelum mereka tampil membuat laporan di balai polis.

Katanya, sehingga kini, suspek masih belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Ulasan GB

Artikel HM tidak menamakan siapa pelakon otai itu, tetapi mudah untuk diketahui jika beliau berumur 63 tahun yang popular sejak era 70-an. A.R. Badul atau nama sebenarnya Armaya Arman Ramlie memang terkenal sejak 70'an melalui Si Badul (1978), Panglima Badul (1979).

Dah tua-tua pun perangai masih miang lagi Badul?

Komik Lucah: UMNO Shah Alam Dalangnya

Shah Alam: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa pengedaran komik ‘Kisah Juara Raja Lawak’ yang memaparkan karikatur lucah mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi Umno Bahagian Shah Alam.

Komik setebal 16 muka surat itu mengandungi karikatur dan gambar teknik ‘super impose’ lucah berwarna selain jalan cerita menggambarkan Anwar yang diselubungi skandal seks termasuk mengaitkan dengan bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Khalid berkata, beliau menerima aduan daripada pihak pengurusan sebuah kilang percetakan di Seksyen 23 di sini apabila timbunan komik tersebut dijumpai minggu lalu dikilang tersebut yang diletakkan oleh individu tidak dikenali.

Khalid mendakwa, beliau didatangi pihak pengurusan tersebut membuat aduan menyatakan kebimbangan kerana komik itu sudah mula diedarkan kepada pekerja kilangnya oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Penyebaran komik lucah ini merupakan satu corak politik yang kotor dan lebih menjijikkan lagi, saya dapat maklumat ia didalangi Pemuda Umno Bahagian Shah Alam,” katanya kepada pemberita dipejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khalid menggesa Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi Md Zin tampil mengutuk sekaligus menafikan dakwaan yang dilemparkannya.

“Kalau Umno punya maruah dan prinsip, mereka kena buat kutukan dan tolak dakwaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan polis tentang perkara ini di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Seksyen 11 esok.

“Saya akan buat laporan polis dan serahkan komik itu yang dianggap sebagai bahan lucah,” katanya.

Pada 29 Mac lalu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar membuat laporan polis terhadap komik yang sama di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Dalam laporannya, Nurul Izzah mendakwa pengedaran komik itu berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar serta beliau sendiri sebagai anak sulungnya.

Khalid gesa Eskay ditahan

Sementara itu, Khalid turut menggesa agar individu ‘Datuk Trio’, Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditahan dan didakwa kerana mengaku memiliki dan mengedar bahan lucah.

Walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata rakaman video itu telah disahkan ketulenannya oleh pakar tempatan, namun Khalid berkata aspek itu tidak boleh mensabitkan Anwar sebagai individu didalam video itu.

Katanya, polis banyak memberikan kelonggaran dan keistimewaan berbanding kes pengedaran video lucah yang membabitkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek tiga tahun lalu.

“Polis memberi amaran sesiapa yang melihat dan mengedarkan video lucah Soi Lek akan dikenakan undang-undang, dan ini berbeza dengan kes yang dihadapi Anwar sekarang.

“Walaupun video in tulen, Eskay kena buktikan bersama saksi yang beliau hadir membawa Anwar ke hotel tersebut,” katanya. -FMT

RON97 Naik 20 Sen, Rakyat Sarawak Jadi Harapan Rakyat Seluruh Negara Tolak BN

Retaling Jaya: Harga petrol RON 97 sekali lagi dinaikkan dan kali ini sebanyak 20 sen - menjadikan harganya RM2.70 seliter sbermula hari ini.

Harga RON97 sekarang ialah RM2.50 seliter.

Kali terakhir ia dinaikkan ialah pada 4 Januari lalu iaitu sebanyak 10 sen. Sebelum itu ia telah pun mengalami kenaikan iaitu sebanyak 15 sen pada 1 Disember tahun lalu -menjadikan harganya mencecah paras RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari.

Bagaimanapun, harga minyak petrol RON 95 kekal pada paras RM1.90 seliter.

RON97 kini tidak lagi dikawal oleh kerajaan dan diapungkan mengikut harga pasaran. Walaupun ia tidak lagi di bawah kawalan kerajaan, namun kerajaan masih memberi subsidi antara 17 sen hingga 18 sen seliter.

Semalam (Khamis) dalam pertemuan dengan pengarang-pengarang kanan media, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga petrol RON95 pada waktu terdekat ini walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.

Katanya, tahun lalu sahaja jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk petrol dan diesel sahaja mencecah RM7.61 bilion.

Untuk tahun ini katanya, jumlah itu dianggarkan mencecah RM10 bilion dan mungkin akan naik kepada RM14 bilion seandainya kerajaan pertahankan harga RON95 pada paras sekarang untuk tempoh sepanjang tahun.

Ulasan GB

Sekalipun dikatakan kerajaan tidak berhasrat menaikkan harga petrol RON95 pada waktu terdekat ini, tetapi diramalkan petrol RON95 akan dinaikkan jika BN memenangi pilihanraya Sarawak nanti.

Ini berdasarkan kepada beberapa siri kenaikan harga minyak dimana kerajaan hanya menangguhkan sementara kenaikan minyak RON95 sebelum pilihanraya tetapi akan menaikkannya sebaik saja BN memenangina.

Justeru itu, rakyat Sarawak adalah harapan rakyat seluruh Malaysia supaya memmpastikan kerajaan BN ditolak bagi menghalang kerajaan terus bertindak untuk menaikkan harga minyak.

Gara-gara Facebook, Seorang Lelaki Berkahwin Dengan Lelaki Yang Menyamar Wanita

Hati-hati jika berkenalan dengan seseorang melalu jejaring sosial Facebook. Seorang lelaki dengan nama ringkas "MU", warga Kampung Bojong RT 001/002 No.1 Kelurahan Jatiasih, Kecamatan Jatiasih, Kota Bekasi terpaksa menanggung malu lantaran memperisterikan seorang lelaki yang pura-pura menjadi wanita selama enam bulan. Keduanya berkenalan melalui Facebook.

Kes tersebut terbongkar dalam laporan terhadap suspek di Balai Polis Sektor Jatiasih, hari ini. Dalam keterangan yang diberikan mangsa kepada pihak polis, suspek yang nama ringkasnya "RS" mengaku sebagai wanita dengan menggunakan nama samaran Fransiska Anastasy Oktaviany. Suspek yang berasal dari Kecamatan Pasar Rebo, Jakarta Timur tersebut memakai jilbab serta berperilaku seperti wanita ketika bertemu dengan mangsa pada Ogos 2010.

Lantaran perilaku dan pakaian tersebut, mangsa percaya kepada suspek bahawa dia benar-benar wanita. Untuk lebih meyakinkan mangsa, suspek membawa kedua orangtuanya yang pada pemeriksaan polis ternyata dipalsukan ke rumah mangsa. Suspek bahkan sempat menginap selama satu minggu pada September 2010 di rumah mangsa.

Setelah menginap di rumah suspek, mangsa kemudian mengajak suspek untuk menikah. Keduanya kemudian menikah pada 19 September 2010 dengan dihadiri orang tua mangsa bernama Jayalana dan Minah. Keduanya menikah secara rasmi dan mendapatkan surat nikah asli yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Jatiasih.

Selama enam bulan menjalani pernikahan, suspek berperilaku selayaknya seorang isteri. Bahkan, keduanya pun menjalani hubungan suami isteri. Hanya saja, suspek selalu menutupi tubuh fizikalnya kepada mangsa. suspek selalu menepis kemahuan mangsa untuk melihat fizikal yang bersangkutan dengan berpura-pura sedang datang bulan.

Suspek dikatakan telah memalsukan sejumlah dokumen peribadi seperti Kad Pengenalan Diri, Surat kelahiran, dan Kad Keluarga. Sebagai syarat pernikahan, dokumen peribadi tersebut hanya menggunakan bukti fotokopi tanpa ada dokumen asli. “suspek hanya menyeratakan dokumen fotokopi. Dokumen itu dipalsukan dengan cara menampal yang asli dengan nama suspek kemudian difotokopi, “ ujarnya.

Kecurigaan suspek ialah ketika suspek berperilaku kasar dan berjanggut. Sentot menceritakan kepada penduduk sekitar kemudian meminta suspek untuk memeriksakan fizikalnya ke sebuah klinik. “Tapi setelah keluar klinik, suspek juga membawa surat keterangan palsu bahawa dirinya benar berjenis kelamin wanita, “ ujarnya.

Lantaran penduduk masih curiga dengan surat tersebut, penduduk kemudian telah pergi ke klinik berkenaan dan menyanyakan surat yang asal. Dari pihak klinik tersebut, surat keterangan itu dinyatakan tidak pernah dikeluarkan oleh doktor dari pihaknya. “Sampai di rumah, penduduk meminta suspek untuk ditelanjangi. Tapi ketika beliau ingin diperiksa, barulah suspek mengaku beliau seorang laki-laki, “ ujarnya.

Menurut keterangan suspek, kedua "orang tua"nya ternyata hanyalah merupakan orang upahan. Untuk berpura-pura menjadi orangtuanya, masing-masing dibayar Rp 200,000(RM70.00) “Keduanya telah dapat dijerat turut serta melakukan jenayah, “ ujar Sentot.

Setelah mangsa membuat laporan ke Polsek Jatiasih, suspek yang didakwa di bawah pasal 226 dan atau 378 KUHPidana tentang kes memberi keterangan palsu. Suspek yang kemudian ditahan di Polsek Jatiasih untuk pemeriksaan lebih lanjut dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tujuh tahun penjara. -republika