11 Jan 2014

Qudrat Allah: Bayi Dalam Kandungannya Ghaib...

Parit Buntar - Keterujaan sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata kedua terbantut apabila kandungan yang sudah berusia lima bulan disahkan ghaib tiba-tiba, minggu lalu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Liza, 30, berkata, seorang doktor perubatan mengesahkan janin dikandungnya ghaib ketika dia menjalani pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan, di sini. Gambar: Liza menunjukkan buku rekod kesihatan bayi dan ibu mengandung serta salinan imej bayinya melalui pengimejan ultrasound kepada media di rumahnya di Parit Buntar.

Menurutnya, dua minggu sebelum kejadian, jururawat bertugas meminta supaya dia mengamalkan pemakanan sihat berikutan berat kandungan bayinya yang berusia hampir lima bulan ketika itu semakin berkurangan.

“Bagaimanapun, setelah hampir dua minggu berulang-alik ke klinik kesihatan itu untuk menjalani pemeriksaan rutin, kami dikejutkan dengan berita kehilangan bayi dalam kandungan secara tiba-tiba.

“Kami sememangnya tidak percaya bayi dalam kandungan hilang kerana kami baru sahaja melihat imej bayi itu melalui mesin pengimejan ultra sound beberapa hari sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Liza berkata, pada mulanya dia tidak mempercayai penjelasan diberikan petugas klinik kesihatan terbabit dan bertemu seorang doktor perbidanan serta sakit puan untuk mendapatkan kepastian.

Bagaimanapun, mangsa dan suami sekali lagi terkejut apabila hasil pemeriksaan doktor terbabit turut mengesahkan kehilangan janinnya.

“Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku, kami segera mendapatkan penjelasan mengenai fenomena pelik menimpa bayi kami di Hospital Parit Buntar.

“Hasil pemeriksaan kali ketiga di hospital itu sekali lagi mengesahkan kandungan saya hilang dan doktor memberi alasan kehilangannya disebabkan berlaku pengecutan pada janin,” katanya.

Menurutnya, sebalik pengesahan dibuat doktor, dia masih tidak berputus asa dan mencuba rawatan perubatan tradisional dengan harapan dapat memulihkan kandungannya.

Bagaimanapun, usaha Liza dan suaminya tidak berhasil apabila lima pengamal perubatan tradisional yang ditemui mendakwa bayi dalam kandungannya dilarikan makhluk halus atau orang bunian.

“Kini, saya trauma dan sering menangis melihat barang kelengkapan bayi yang dibeli sebelum ini sebagai persediaan menyambut anak yang dijangka lahir April ini.

“Namun begitu, saya dan suami reda dengan ketentuan Ilahi serta percaya ada hikmah di sebalik kejadian aneh ini,” katanya.

Liza turut menjelaskan, dia kini menunggu panggilan daripada Hospital Taiping untuk menjalankan rawatan mencuci rahimnya meskipun kandungannya disahkan hilang.

“Kejadian yang berlaku turut menginsafi kami sekeluarga dan saya berharap kejadian aneh ini dapat dijadikan pengajaran kepada ibu mengandung lain,” katanya. -SH

ULASAN GB

Di dalam Ilmu Tauhid, itulah yang dinamakan sifat QUDRAT Allah Ta'ala - Sifat ini menunjukkan Allah s.w.t. berkuasa pada setiap sesuatu yang mumkin. Bahawa Dia berkuasa mengadakan dan meniadakan tiap-tiap suatu tanpa memerlukan sebarang alat dan bahan.

Wajah Peragut Yang Berjaya Ditangkap Orang Awam Di Cheras


Seorang peragut berjaya ditangkap oleh orang ramai ketika meragut seutas rantai emas seorang wanita di Taman Orkid, Batu 9, Cheras pagi semalam. Ketika kejadian berlaku, wanita itu sedang berjalan kaki bersama bayi di dalam kereta sorong. Selepas diragut wanita itu menjerit sehinggakan orang awam yang berada berdekatan bertindak mengejar peragut. Suspek dikatakan cuba melepaskan diri dengan memukul kepala seorang lelaki yang mengejarnya sehingga berdarah. Namun, dengan bantuan beberapa orang ramai, peragut itu berjaya ditangkap. Kaki dan tanganya diikat. Kini, peragut tersebut berada dalam tahanan pihak polis. Sumber - Malaysian Crime Awareness Campaign/kininews

Harussani Akan Tetap Terima Hukumannya Seperti Papagomo


Polis siasat Mufti Perak kes ‘bughah’, kata Ketua Polis Negara

Polis telah merakam kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengenai komen beliau bahawa darah mereka yang berhimpun dalam protes ambang tahun baru adalah halal atau “bughah”.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu wartawan di Bukit Aman hari ini bahawa Harussani telah ditemubual oleh polis tentang komen beliau itu.

"Sebarang kenyataan yang dianggap sebagai ugutan kepada keselamatan negara akan disiasat secara mendalam, tak kiralah siapa yang membuat kenyataan itu," katanya.

Beliau menidakkan kenyataan bahawa hanya sesetengah orang sahaja yang boleh mengugut keselamatan negara.

"Kita menyiasat semua orang tetapi rakyat hanya berminat kepada sesetengah pihak sahaja," Kata Khalid kepda media.

Harussani ketika mengulas Himpunan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) di Dataran Merdeka 31 Disember lepas berkata, peserta himpunan ini adalah 'bughah' atau penderhaka kepada kerajaan.

Oleh itu katanya, darah mereka adalah halal.

Ekoran itu, pelbagai pihak membantah fatwa seumpama itu termasuk Dewan Ulama PAS dan juga Bekas Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin.

Seorang khatib di Rawang Selangor dalam khutbah Jumaatnya minggu lalu turut membantah fatwa itu.

"Bayangkan jika fatwa ini dibuat menjelang perhimpunan itu dan ada pihak mengambil kesempatan untuk bertindak kepada peserta perhimpunan itu.

"Apakah akan berlaku kepada negara ketika itu?" kata Mohamad Zuhdi Mat Piah ketika memberikan khutbah Jumaat di surau As Siddiqin Bandar Tasik Puteri Rawang.

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan tidak melihat pangkat dan kedudukan seseorang. Malah lebih tinggi pangkat dan kedudukan seseorang akan lebih besar dan hebat hukumannya. Itulah sunnatullah yang tidak akan berubah sepanjang zaman.

Polis telah memanggil Harussani, kata KPN. Namun rakyat masih sangsi samada polis akan bertindak ke atas beliau sekalipun bukti amat nyata bahawa mufti itu telah mengeluarkan kenyataan yang amat merbahaya.

Bagi GB katakanlah polis enggan bertindak ke atas Harussani, tidak ada apa yang perlu kita gusar. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan juga dan Harussani akan tetap menerima hukumannya.

Dulu GB pernah mengulas tentang pemfitnah-pemfitnah dari UMNO seperti papagomo di Satu Hari Papagomo Tetap Kena Walaupun Polis & SKMM Tak Jalankan Kerja pada 16 Ogos 2011. Petikan

GB perhatikan sudah ada laporan polis / SKMM sebelum ini terhadap papagomo tentang banyak isu, salah satunya mengenai video seks.

Tetapi tak ada siasatan dilakukan, malah papagomo semakin galak menyiar gambar porno dan video lucah.

Yang penting sekarang, ialah laporan polis terhadap polis dan pegawai SKMM yang tak menjalankan kerjanya.

Mentang-mentang duduk sekapal dalam UMNO.

Tak apa, satu hari papagomo tetap kena. Sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga.

Doa lagi: Ya Allah buktikan kebenaran itu kebenaran....


Dan selepasnya di dalam entri yang lain pada 8 Dis 2012 GB menulis begini:

Sepatutnya apabila beliau sudah tidak mengakui blog itu miliknya, pihak berkuasa sudah boleh menyiasat siapa pula yang mengemaskini blog tersebut selama ini kalau bukan papagomo sendiri, dan papagomo boleh pula didakwa kerana menipu jika sebenarnya beliau yang mengemaskinikan blog tersebut. Dusta di atas dusta!

Namun, kebal macamana pun papagomo yang dilindungi oleh polis, dengan hukum kebenaran dan hukum Tuhan, kita akan menyaksikan papagomo pasti hancur binasa!

Bukan saja papagomo, sekalian blogger pencacai UMNO yang menyebarkan dan menyemarakkan budaya fitnah, lucah dan porno. Termasuklah polis yang selama ini bersikap double standard!


Dan akhirnya pada 13 September 2013, mahkamah memerintahkan papagomo membayar RM500,000 kepada seorang ahli perniagaan di dalam satu kes saman fitnah oleh seorang ahli perniagaan itu. Perintah itu dibuat selepas mahkamah mengenal pasti Papa Gomo sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris. Baca di SINI.

Begitulah nanti, dengan izin Allah, yang bakal berlaku ke atas Harussani.