9 Jul 2009

MANEK URAI : DAP Tetap Bantu Kempen Calon PAS

Walaupun dikejutkan dengan keputusan DAP Kedah yang keluar dari Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini, parti tersebut tetap turun memberi sokongan terhadap calon PR dari Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan DAP tetap berdiri teguh bersama-sama PR walaupun sesetengah pihak memainkan isu tersebut sehingga menggambarkan DAP pada keseluruhannya keluar dari pakatan tiga parti tersebut.

“Kami tetap memberi sokongan terhadap Pas terutamanya Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat serta berdiri teguh dibelakang PR.

“Kehadiran saya disini membuktikan DAP tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah media yang mengatakan seolah-olah DAP keluar terus dari PR,” katanya kepada media selepas Ceramah Perdana anjuran Pas di Lata Rek malam kelmarin.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menjelaskan Jawatankuasa Kerja Pusat DAP akan mengeluarkan nasihat agar DAP Kedah memikirkan semula keputusan mereka keluar dari PR.

“Ini adalah pilihan DAP Kedah, tapi kita beri nasihat agar fikir semula,” katanya.

Antara penceramah Pas yang turut hadir adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah.

Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Pas, Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu. Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dari UMNO diwakili Tuan Aziz Tuan Mat manakala calon Pakatan Rakyat dari Pas diwakili oleh Mohd Fauzi Abdullah. Hari pengundian jatuh pada 14 Julai nanti. - SH


MANEK URAI : Nasionalisme UMNO Sudah Tidak Relevan

Cadangan dan undangan Tok Guru Nik Aziz untuk berdebat dengan Perdana Menteri Malaysia mengenai Islam itu sebenarnya bukanlah satu perkara baru yang ditimbulkan-nya secara tiba-tiba menjelang pilihan raya kecil Manek Urai, untuk tujuan politik. Tidak.

Bagi mereka yang rajin mengikuti setiap perkembangan dalam kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, ini adalah suatu kemuncak kepada serentetan hujah dalam perjalanan dakwah beliau, khasnya sejak memegang jawataan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Kita tentu mudah ingat yang Tok Guru Nik Aziz pernah menyatakan bahawa PAS sanggup membubarkan partinya sekiranya Umno komited dengan perjuangan Islam dan melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran negara. Kenapa saya katakan kita mudah ingat? Sebab Tok Guru Nik Aziz bukan sekali menyatakan demikian, tetapi berulang-ulang kali.

Hairannya ketika Nik Aziz menyatakan demikian, walaupun berulang-ulang kali, ia tidak pernah menarik minat pimpinan Umno untuk memberi reaksi atau respons kepada kenyataan tersebut. Walhal kenyataan itu cukup provokatif.

Provokatif kerana, pertama, Nik Aziz sebagai pimpinan tertinggi PAS menyatakan kesediaan untuk membubarkan parti PAS. Kedua, kenyataan itu menegaskan yang Umno bukan parti yang berjuang untuk Islam. Ketiga, kenyataan itu juga memberi implikasi makna yang dakwaan pimpinan Umno mengatakan mereka berjuang untuk Islam itu adalah dusta semata-mata.

Begitu pun implikasi maknanya, namun pimpinan Umno tidak pernah peduli. Mereka tak pernah memberi respons kepada kenyataan Nik Aziz itu. Mereka memang tidak serius dengan Islam. Mereka hanya berminat (dan serius) dengan Islam apabila mereka dapati ada bahagian-bahagian tertentu dalam Islam itu yang boleh membantu agenda mereka.

Ternyata Islam bukanlah agenda Umno. Islam hanyalah alat atau bahan penting yang mereka pergunakan untuk membantu mereka mencapai sesuatu agenda lain.

Itulah hakikatnya Umno. (Saya pernah menganalisisi perkara ini dalam buku "Mahathir (Ekonomi) Perang 'Aqidah", 1999). Tetapi pimpinan Umno tak akan mengakui hakikat ini, kerana mereka tahu sentimen orang Melayu. Orang Melayu pasti akan menolak Umno sekiranya mereka tahu yang dakwaan Umno berjuang untuk Islam itu semata-mata dusta. Tetapi itulah hakikatnya.

Hakikatnya ialah sama ada Umno berdusta, ataupun memang pimpinan Umno tidak memahami Islam sebenar, atau mereka tidak komited dengan akidah Islam.

Apabila Nik Aziz mengatakan Umno menolak Islam kerana Umno menerima 'kebangsaan' atau 'nasionalisme' sebagai ideologi, ramai orang tidak mengerti maksud sebenar Nik Aziz. Saya pun pada mulanya tidak faham apa maksud sebenar Nik Aziz berkata demikian. Sebab apa saya tidak faham? Sebab pada masa itu saya berpendapat kebangsaan itu adalah suatu 'semangat cintakan negara'. Jadi apa salahnya kebangsaan?

Islam tentu tidak melarang penganutnya mempunyai 'semangat cintakan negara' fikir saya. Jadi, Islam dan kebangsaan boleh wujud serentak dalam diri seseorang. Dalam masa sama dia menerima Islam sebagai agama dan cara hidupnya, dan dalam masa sama dia juga ber'semangat cintakan negara' atau bersemangat 'kebangsaan'.

Jadi, kenapa Nik Aziz mengatakan Umno menolak Islam apabila Umno menerima 'kebangsaan' sebagai ideologi? Mungkinkah Nik Aziz kurang memahami istilah 'kebangsaan' atau 'nasionalisme'?

Begitulah fikir saya pada waktu itu. Dan saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia pun tentu berfikir begitu. Tak mengapalah, barangkali Tok Guru Nik Aziz kurang faham dengan istilah 'kebangsaan' atau 'nasionalisme' itu. Tak mengapalah. Maka kita pun kuranglah mengambil kisah sangat apabila Nik Aziz berkata demikian.

Tetapi Nik Aziz mengulangi lagi kenyataannya itu. Dan dia banyak kali mengulang-ulangnya, hingga saya pun terfikir lagi - apakah mungkin Nik Aziz tidak memahami istilah 'kebangsaan', ataupun dia memang ada maksud tertentu yang dia hendak sampaikan supaya orang faham sepertimana yang dimaksudkannya?

Soalan itu menyebabkan saya terus berfikir, dan kemudiannya barulah saya faham apa yang dimaksudkan oleh Nik Aziz. Yakni apabila ia dihubungkan dengan satu lagi perkara yang sering disebut oleh Nik Aziz kebelakangan ini - mengenai semangat perkauman Melayu, Cina dan sebagainya, di mana perkara tersebut tidak ada atau tidak diiktiraf oleh Islam. Tidak ada semangat perkauman dalam Islam. Yang ada hanya semangat Islam, tanpa mengira apa bangsa dan apa keturunan pun dia.

Demikian jugalah dengan semangat atau ideologi kebangsaan/nasionalisme itu. Apabila kita benar-benar memahami dan menerima Islam sebagai cara hidup dan satu-satunya cara hidup kita, yang menjamin kesejahteraan kita di dunia dan akhirat, maka dengan sendirinya tertolaklah apa pun cara hidup yang lain selain Islam. Nasionalisme atau kebangsaan pun menjadi tidak relevan lagi.

Itulah hakikatnya. Tetapi bukan senang orang hendak memahami dan menerima hakikat itu. Nik Aziz sudah berusaha memberi kefahaman itu, dengan dia selalu membuat kenyataan mengatakan Umno menolak Islam dan menerima kebangsaan. Namun orang seperti tak mengambil kesah akan kenyataan yang diulang-ulangnya itu. Nik Aziz pun melangkah lagi selangkah ke depan, dengan menyebut Umno sebagai ajaran sesat.

Maka melentinglah orang Umno mendengar kenyataan yang pahit walaupun benar itu, hingga mereka bertindak membuat laporan polis. Tok Guru Nik Aziz menyambut langkah mereka, dengan membuat tawaran untuk berdebat dengan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak. Dia serius. Dia menghantar surat rasmi pada 2 Julai.


Sama ada Najib menerima atau tidak tawaran Tok Guru Nik Aziz itu, sesungguhnya Nik Aziz telah mengambil langkah yang bijak. Bahawa ada sesuatu yang penting, yang perlu diperdebatkan dengan pimpinan Umno. Bahawa ada suatu kesalahan akidah dalam dasar perjuangan Umno. Perkara ini serius, tak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Marilah kita berdepan, untuk mencari penyelesaiannya secara gentleman. Ini perkara akidah. Orang-orang yang berpengetahuan agama dalam Umno, tolonglah bersuara dalam perkara yang sangat penting ini. Cukup-cukuplah bermain dengan hal-hal keduniaan. Ini hal akidah, marilah kita hadapi dengan keinsafan.

Sama ada Najib dan para pimpinan atasan Umno bersedia untuk menghadapi perkara akidah yang serius ini atau tidak, tak mengapa. Kerana selain mereka, ada lagi pihak yang perlu diutamakan, iaitu rakyat yang ramai. Najib dan pimpinan Umno tak mahu berdebat, biarlah mereka. Tetapi rakyat ramai perlukan 'debat' ini. Rakyat ramai perlu disedarkan akan hakikat ini. -Dinsman

MANEK URAI : MAFREL Kesan Unsur Rasuah

BBadan pemantau pilihan raya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel), khuatir dengan budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa pelbagai pihak terlibat dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Manek Urai.

Ketua Misi Mafrel PRK Manek Urai, Dr Abdul Halim Yusof berkata, pemantauan dilakukan pihaknya mendapati terdapat unsur rasuah, dan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) mengambil sikap proaktif dalam menangani penularan budaya tersebut.

Justeru Mafrel menggesa SPRM agar tampil secara terbuka serta lebih berani. Maafrel mencadangkan tiga langkah segera wajar diambil dalam konteks pencegahan unsur rasuah dalam PRK Manek Urai.

Antara cadangan yang dikemukakan Mafrel kepada SPRM ialah, mewujudkan pusat-pusat aduan beroperasi 24 jam dengan perkhidmatannya merangkumi seluruh kawasan Manek Urai.

Melancarkan talian hoteline, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel untuk memudahkan orang ramai menyampaikan aduan secara cepat, mudah dan berkesan.

Meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya rasuah dalam pilihanraya dengan cara mencetak poster, banner dan risalah diedar di seluruh kawasan Manek Urai.

Menggunakan media massa secara meluas seperti radio, telivisyen dan akhbar bagi menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.

“Sebagai badan bebas dan komited dengan agenda pembersihan rasuah dalam pilihanraya, Mafrel sentiasa bersedia bekerjasama dengan SPRM dalam menangani gejala kotor yang boleh mencalar prinsip demokrasi pilihan raya.

“Mafrel yakin rakyat berharap SPRM berani bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang mengikut bidang kuasa yang ada tanpa kompromi dengan mana-mana pihak,” jelas Dr Halim semasa menghubungi The Malaysian Insider semalam.

Kempen PRK N41 DUN Manek Urai sudahpun bermula selepas penamaan calon dan akan berakhir pada 13 Julai pada jam 12 malam.

Suasana sekitar seluruh kawasan terbabit dilihat semakin meriah dengan kenaikan bendera dan poster parti terlibat menghiasi kiri kanan sepanjang jalan menuju Manek Urai.


MANEK URAI : UMNO Berputih Mata Untuk Eksploit Isu Kedah Dan P.Pinang

Umno sekali lagi 'gigit jari' kalah dalam pertarungan merebut perhatian rakyat dalam beberapa isu terbaru membabitkan kemelut di Pulau Pinang dan Kedah.

Di Kedah nyata apa yang dihasratkan oleh kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) menemui jalan buntu apabila Menteri Besarnya, Dato' Seri Azizan Abdul Razak dengan senang hati bertemu Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Kuala Lumpur semata-mata mencari jalan penyelesaian demi kesejahteraan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang sedang merangka agenda yang lebih besar untuk kepentingan dan kebaikan rakyat jelata.

Padahal kes membabitkan pengusaha ternakan khinzir itu bukan besar mana tetapi sengaja diapi-apikan oleh golongan tertentu yang tidak sangka diperkudakan oleh musuh Pakatan Rakyat bagi memecah belahkan ikatan kemaufakatan yang terjalin erat.

Macam biasa sebagai kerajaan di Kedah pastinya mereka tidak mahukan berbagai isu timbul tetapi apa boleh buat itulah resam yang harus ditanggung untuk memantap dan melatih bagaimana untuk menyelesaikan masalah dalaman 'kelambu Pakatan Rakyat' sebelum lebih dahsyat lagi menangung karenah rakyat pada masa depan.

Jesteru, syabas diucapkan kepada Kerajaan Kedah yang senang saja menguraikan tali yang tersimpul akibat permainan musuh politik yang sememangnya tidak senang dengan kemenangan Pakatan Rakyat selepas 8 Mac 2008.

Penubuhan Majlis Pakatan Rakyat d Kedah seperti yang diumumkan oleh Lim Kit Siang itu serta berjanji akan turun ke Kedah sebulan sekali sebagai ramuan berbisa untuk BN bertapak semula di negeri Jelapang Padi itu.

Semua tahu bukan Kedah sahaja cuba diterkam oleh Umno dan BN bahkan Perak yang telah diratah secara haram manakala Selangor pula terlalu sukar ekoran kemantapan ekonomi, permisahan ketara kerusi Dun antara kerajaan dan pembangkang serta permaufakatan yang erat menjadikan mereka terpaksa lupakan sementara untuk mencipta kes-kes baru yang boleh menggugat kestabilan kerajaan yang ada.

Di Pulau Pinang siapa tidak tahu isu peristiwa boikot hari angkat sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) oleh beberapa oleh Ahli Majlis daripada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang diketuai oleh Johari Kasim.

Semalam isu itu dianggap selesai apabila Johari Kasim secara terbuka memohon maaf kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri ekoran kenyataan dan serangannya yang mempertikaikan keputusan exco mengenai perlantikan Mokhtar Jait sebagai YDP MPSP yang baru mengantikan Farizan Darus yang dilantik ke jawatan Pegawai Kewangan Negeri.

Sekali lagi Umno dan BN yang cuba mengaitkan perpecahan dalaman Pakatan Rakyat berputih mata apabila semua yang berselisih faham bukan kerana dendam atau marah tetapi salah faham serta tafsiran boleh duduk semeja berbincang untuk melihat lebih ke hadapan isu sebenar iaitu menjatuhkan BN dalam pilihan raya ke-13 nanti.

Tanpa menjatuhkan BN disemua Dun di Pulau Pinang dan Parlimen sukar untuk Pakatan Rakyat bertapak dan memperkukuhkan jalinan bersama kerana cuba dihalang oleh saki baki Umno dan BN yang ada.

Isu Kampung Buah Pala dalam Dewan Undangan Negeri Sri Delima di bawah penguasaan parti DAP, Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji dan Parlimen Bukit Glugor, Karpal Singh tiba-tiba hangat diperkatakan dalam media kononnya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Lim Guan Eng gagal mentadbir dengan baik setelah mengambil alih daripada BN.

Padahal, isu tersebut ibarat 'nasi sudah jadi bubur' di bawah pentadbiran BN yang menjual tanah yang diperolehi dari Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Pejabat Tanah dan Galian.

Tanah seluas 6.5 ekar itu telah dijual kepada Syarikat Pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd untuk memberi laluan kepada syarikat berkenaan melaksanakan projek pembangunan mewah.

Semalam rombongan penduduk datang berjumpa Lim di Pejabatnya di Komplek Tun Abdul Razak walaupun ada yang tidak puas hati namun dalam sidang media pada sebelah tengah hari semua kemelut telah dibongkar dengan mengemukakan surat daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang kepada Koperasi Pegawai Kerajaan bertarikh 9 Januari 2006 yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Haji Arifin Awang.

Isi surat berkenaan ialah pemberian milikan tanah kerajaan di antara Jalan Kaki Bukit dan Jalan Bunga Raya yang bersebelahan dengan Lot 3517, Bandar Gelugor, Daerah Timur Laut (seluas 6.5 ekar) untuk tujuan pembangunan perumahan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Adanya surat tersebut sekaligus mendedahkan penyelewengan fakta yang dihalakan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat selama ini untuk melemahkan usaha memajukan negeri yang terkenal dengan Pulau Mutiara.

Lim Guan Eng secara tegasnya berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat tiada kaitan dalam hal ini apatah lagi menandatangani perjanjian dengan pemaju sebagaimana yang didakwa oleh segelintir masyarakat India di kampung terbabit.

"Saya secara tegasnya memberitahu kami daripada Kerajaan Negeri tiada hubung kait dengan pemaju yang ingin melaksanakan projek besar di situ sebaliknya ia ada kaitan dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sr Koh Tsu Koon, Exconya serta Koperasi Pegawai Kerajaan Bhd, " ujar beliau.

Lim juga menaruh harapan kepada Koh Tsu Koon supaya membantu menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan menyuarakan kepada Kerajaan Pusat untuk memperuntukan pampasan kepada pemaju yang mendakwa kerugian besar kerana tidak dapat menjalankan projek.

Tambahan lagi beliau juga adalah Menteri di Pusat yang boleh bersuara di kabinet bagi menyelesaikan masalah yang dicipta oleh BN sendiri.

Justeru, Lim yang juga Adun Air Putih menyifatkan langkah Koh Tsu Koon menyalahkan kerajaan sekarang tidak bermoral kerana mereka yang membuang najis kita pula yang mencucinya. -Mohd Sabri Said


MANEK URAI : UMNO Pasti Dihumbankan Kerana Menipu dan Menghina

Sungguh pelik, mengapa UMNO terus menerus menghina dan menipu rakyat Kelantan? Ketua Penerangan UMNO, seorang Timbalan Menteri, Ahmad Maslan (gambar), menghina calon PAS sebagai pemborong ikan di pasar, sebagai peraih yang tidak ada pendidikan tinggi yang tak layak jadi ADUN, malah tak layak jadi calon pun.

Penghinaan itu tidak saja mengenai batang tubuh orang yang dihina, tetapi menghina satu kebudayaan dalam perniagaan orang-orang Kelantan. Menjadi peraih adalah satu kerja mulia bagi orang Kelantan, kerja halal yang membawa berkat kerana ramai anak-anak peraih ini yang mendapat pelajaran tinggi di dalam dan luar negeri.

Tetapi yang lebih penting, peraih adalah satu budaya yang disanjung tidak saja di Kelantan, malah oleh para pelawat ke Kelantan yang melihat begitu ramai kaum wanita berjual beli di pasar-pasar Kelantan. Mereka semua peraih, yang membantu pembuat kuih untuk menjual kuih mereka, yang membantu pembuat pakaian untuk menjual pakaian mereka, dan macam-macam lagi perusahaan kecil rakyat Kelantan yang terus hidup kerana wujudnya peraih sebagai orang tengah antara pembekal (pembuat) dengan rakyat bawahan.

Kerana adanya peraih, rakyat boleh makan nasi kerabu setiap hari, boleh makan nasi belauk setiap hari, boleh makan laksam, laksa, pulut lepa (puluh bersalut sambal daging) dan macam-macam makanan rakyat. Sungguh gila sesiapa juga yang menghina para peraih ini, yang sejak beratus tahun menghidupkan ekonomi Kelantan dan memudahkan rakyat Kelantan mendapat keperluan mereka. Sangat aneh apabila sudah dilaung-laungkan oleh ketua-ketua UMNO supaya tidak mencaci calon dan rakyat Kelantan, dikerjakan dengan angkuh oleh Ketua Penerangan UMNO sendiri.


Sudah jelas UMNO akan dihumban ke lubuk besar kerana sikap angkuh dan bodoh sombong mereka. Tentang penipuan. Apa lagi alasan untuk diberikan kepada rakyat tentang bayaran cukai gas asli kepada kerajaan Kelantan. Tidak masuk akal mengapa gas asli itu harus dibawa ke Thailand, kemudian disalurkan ke Malaysia.

Mengapa tidak terus didaratkan di Kelantan? Motif politik yang jahat menentukan tempat gas itu dibawa. Kalau betul telus dan sebagainya, mengapa pembayarannya tidak diumumkan kepada orang ramai? Pencurian gas asli dari Kelantan tidak boleh dimaafkan oleh rakyat Kelantan.

UMNO nyata berbohong dan perlu mengaku mereka berbohong. Tetapi yang paling pelik dari segala kepelikan ialah kutukan Ketua Penerangan UMNO terhadap para pemuda Manek Urai yang katanya lari dari Manek Urai kerana tidak ada kerja. Agaknya, mengapa orang China dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu satu masa dahulu, untuk berseronok atau cari rezeki? Sekarang keturunan mereka sudah jadi menteri atau Ketua Menteri. Sila ungkit hakikat sejarah ini, kalau kamu berani. Berapa ramai yang datang dari pulau-pulau Nusantara ke Tanah Melayu, ada yang jadi raja, jadi menteri dan sebagainya.

Adakah mereka ini manusia hina yang tak ada maruah? Cuba tanya Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor, sanggupkah dia caci budak-budak Kelantan yang cari kerja di Selangor? Dia patut sedar ayahnya datang dari mana. Tidak ada alasan langsung untuk kamu menghina rakyat Kelantan mencari kerja di tempat lain dalam Malaysia. Inikan negara Satu Malaysia? Kamu juga yang menjerit Satu Malaysia untuk semua. Sekarang kamu kata orang muda dari Kelantan tidak boleh cari kerja di tempat lain. Kamu perlu kenal serba sedikit cara hidup orang Kelantan. Mereka memang suka mencari rezeki luar dari daerah mereka.

Ketika buruh diperlukan di Kedah satu ketika dulu, ramai orang Kelantan pergi ke Kedah setiap musim menuai, mengambil upah menuai. Mereka disambut baik oleh penanam padi. Sekarang ekonomi berubah, mereka tidak lagi mengambil upah menuai, tetapi membuat kerja lain yang boleh memberi mereka pendapatan. Tak payahlah diulang-ulang cacian dan penghinaan tentang budak-budak Kelantan keluar daerah mencari kerja. Memang itu budaya mereka, dan mereka boleh hidup senang kerana adanya budaya itu. Mereka bukan pemalas.

Sepatutnya kamu orang UMNO bangga dengan budaya ekonomi yang menguntungkan ini, bukan mengejinya. Ketua UMNO dari Kelantan sendiri nampaknya terikut-ikut mencerca anak-anak Kelantan. Apa jenis ahli politik kamu ini? - Mohd Affandi Hassan


MANEK URAI : UMNO Sememangnya Sesat

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam, terus menjadikan UMNO sebagai sasaran kempen ceramahnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Berucap di Kampung Chuchoh Puteri malam, semalam, Menteri Besar Kelantan itu membandingkan UMNO dengan pertubuhan al-Arqam dan ajaran Ayah Pin, yang diharamkan penubuhan kerajaan satu ketika dulu.

“Ayah Pin dicap sebagai sesat. Habis kenapa UMNO tidak sesat? kedua-duanya sama-sama tidak kenal agama belaka. al-Arqam sesat kerana apa? Salah akidahnya. Ayah Pin sesat, kenapa? Salah akidahnya.

“UMNO kenapa tidak sesat lagi,? salah juga akidah. Tolak Islam, ambil (fahaman) kebangsaan. Tak payahla kata kami terima Islam, kami terima Islam. Tak payah cakap banyak,” tegasnya di hadapan 3 ribu penyokong Pas," katanya pada ceramah yang turut dihadiri Penasihat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Nik Aziz menegaskan Pas tidak akan bermusuh dengan UMNO sekiranya parti tersebut menukar dasar kebangsaan yang dibawa sebelum ini.

Menurutnya, Pas adalah sebuah parti yang berpegang kuat kepada landasan yang betul dan kerana itu beliau sanggup menceburi bidang politik yang semestinya menuntut pengorbanan yang begitu tinggi.

“Siapa yang cakap senang nak jadi Menteri Besar dan ahli politik, kalau saya nak senang saya tidak masuk politik, saya teruskan menjadi cikgu, tapi kerana melihat kepada keadaan yang tidak betul saya terpaksa menyertai politik dan Pas menjadi pilihan saya.

“Apabila saya menghadiri mesyuarat raja-raja yang dihadiri semua Menteri Besar, ada daripada mereka yang mempersoalkan tindakan saya yang menyatakan bahawa Tuhan akan tanyakan undi yang manusia pangkah, saya hanya senyum sahaja, tetapi sejarah membuktikan bahawa UMNO telah melawan Islam dengan memenjarakan golongan agama,” katanya.

Nik Aziz juga mendakwa UMNO melepas geram kepadanya dengan menyifatkannya sebagai 'nyanyuk' kerana mengeluarkan pendapat yang tidak selari dengan parti tersebut.

“Dia (UMNO) marah saya macam-macam perkara, Nik Aziz ini nyanyuklah, saya boleh bercakap malam ini, adakah itu nyanyuk? Itu bukan jawab, (itu) hendak pelepas geram, (tapi) lepas geram ni tak payah, Ini tanda orang lemah, “ katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa pula menyentuh mengenai isu royalti minyak yang didakwanya melebihi daripada RM1 bilion yang dituntut Kerajaan Kelantan, baru-baru ini.

Menurutnya, perjanjian pada 1975 itu ditandatangani Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita sudah menemui dokumen perjanjian lama Kelantan dan Petronas berhubung perkara itu kita akan tuntut sampai dapat, itu hak rakyat Kelantan,” katanya.



Isu Ke Manek Urai : 6 Generasi Jadi Mangsa PPSMI

Tanggal 08.07.09 jam 2.30 petang maka berakhirlah dasar PPSMI yang gila itu(PPSMI dasar gila adalah kenyataan Prof DiRaja Ungku Aziz).

Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin telah mengumumkan pemansuhan sepenuhnya pada tahun 2012. Tahun 2012 diambil adalah untuk tidak menganggu sistem yang sedang berjalan pada masakini.

Pelajar darjah 3 yang akan mengambil UPSR pada tahun 2012, pelajar tingkatan 1 yang akan mengambil PMR pada tahun 2011 dan pelajar tingkatan 4 yang akan mengambil SPM pada tahun 2010 tidak akan terjejas pembelajaran mereka untuk mengadapi peperiksaan tersebut.

Walaupun pelajar darjah 1 akan mengambil UPSR pada tahun 2014 tetapi pelajar darjah 1 dan darjah 2 tidaklah menerima kesan yang besar terhadap pemansuhan dasar PPSMI ini.

Bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, bahasa ibunda akan menjadi bahasa penghantar mereka. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris akan diperkukuhkan untuk mempastikan bahawa pelajar-pelajar akan menguasai bahasa tersebut. Walau apapun istilahnya yang penting kerajaan telah memansuhkan PPSMI.

Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan yang beliau tidak bertindak mengikut desakan mana-mana pihak tetapi tindakannya memansuhkan PPSMI selepas Himpunan 100 Ribu anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI(GMP) sudah menjadi bukti yang amat kukuh menyatakan bahawa kerajaan tunduk kepada tekanan kuasa rakyat.

Dato’ Hishamuddin Tun Hussein, mantan Menteri Pelajaran telah membentangkan hasil 6 persidangan meja bulan, tiada satu pun resolusi yang mahu memansuhkan PPSMI.

Semuanya lebih kepada mengubahsuai dasar yang ternyata gila itu. Selepas Himpunan 100 Ribu barulah ada bunyi memansuhkan PPSMI. Selepas rakyat berkumpul di Kuala Lumpur dengan semburan pemedih mata tahap tinggi barulah menteri-menteri terbeliak mata mereka.

Pemansuhan PPSMI ini adalah kejayaan rakyat seluruh negara. Kita harus bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas pemansuhan ini. Walaubagaimana pun kita jangan lupa pembaziran sebanyak RM5.4 bilion kesan daripada dasar yang gila ini. Ada juga kenyataan yang mengatakan bahawa perbelanjaannya adalah diantara RM10 bilion – RM12 bilion.

Kita mendesak pihak kerajaan mengemukakan perbelanjaan sebenar dasar yang gila ini.

Bukan sahaja duit rakyat telah dibazirkan tetapi 6 generasi pelajar sekolah telah dikorbankan dalam dasar PPSMI ini. Mereka menghadapi tekanan mental yang sangat kuat ekoran dasar gila yang telah dilaksanakan. Asas-asas kefahaman mereka terhadap Sains dan Matematik adalah lemah berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin semalam. Siapakah yang akan membela nasib mereka?

Kesimpulannya banyak telah terkorban akibat salah dasar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka yang terkorban patut menuntut bela atas kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan. Cara yang paling mudah tanpa kos yang besar adalah tumbangkan kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang. Itulah ubat yang paling mujarab bagi mengubat penyakit yang sedang dan telah dihadapi.

Suhaizan Bin Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat


MANEK URAI : Vincent Lee Seru Masyarakat Cina Sokong Calon PAS

Pengerusi Kelab Penyokong Pas Pusat (Kaum Cina), Vincent Lee menyifatkan perjuangan Pas yang berlandaskan Islam merupakan wadah terbaik merealisasikan pentadbiran jujur, ikhlas dan adil untuk seluruh umat termasuk bukan Islam.

Oleh demikian, katanya orang Islam sendiri wajar berjuang seiringan dengan Pas bagi memastikan rakyat negara ini memdapat layanan dan pembelaan yang sepatutnya tanpa membeza-bezakan kaum.

"Perjuangan Pas berlandaskan tuntutan Islam jelas terbukti mendatangkan kebaikan kepada semua kaum, sebab itulah Pas beroleh sokongan luar biasa pada Pilihan Raya Umum lalu.

"Saya merayu kepada orang Melayu (Islam), jika bukan Islam sudah menaruh keyakinan sedemikian rupa terhadap perjuangan Pas, kenapa anda (orang Melayu) sendiri tidak ikut dan menyokong sebuah parti yang menjadikan ajaran Islam sebagai landas perjuangannya?

"Oleh itu, saya harap pengundi-pengundi di Manik Urai sedar bahawa inilah masa untuk mereka memberi sokongan kepada Pas yang selama ini tidak pernah berhenti memperjuangan keadilan untuk rakyat dan memartabatkan Islam sebagai panduan hidup ke arah kemuliaan dan perpaduan semua kaum," katanya kepada MEDIA BYPASS ketika ditemui di Manik Urai semalam.

Vincent Lee yang juga Pembantu Khas kepada YB Dr Lo'Lo (Ahli Parlimen Titiwangsa)berkata, pelbagai isu membabitkan pemimpin BN telah membangkitkan rasa muak rakyat, mereka merungut kerana hak rakyat tidak dibela sepenuhnya kerana sikap sesetengah pemimpin lebih mengutamakan kepentingan diri.

"Kita ada undi di tangan, kitalah yang berhak tentukan siapa pemimpin yang akan mewakili dan membela nasib kita kerana rakyatlah yang membayar gaji mereka. Jadi, jangan terpengaruh dengan umpan gula-gula BN kerana mereka datang hanya pada masa pilihan raya sahaja.

"Pengundi Manik Urai sudah kenal dengan permainan BN yang hantar bermacam peruntukan semasa pilihan raya, kita kena tetapkan hati untuk tidak tertipu, pastikan undi hanya untuk memperkukuhkan kerajaan Kelantan yang membangun bersama Islam," katanya. -kedahlanie


MANEK URAI : Tak Bayar Royalti, UMNO/BN dan Petronas Makan Duit Haram

Exco Negeri Kelantan, Husam Musa, mendesak kerajaan memulangkan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan sepertimana yang dimeterai dalam persetujuan antara kerajaan negeri, Petronas dan kerajaan pusat sebelum ini.

Berucap di Ceramah Perdana Pilihanraya Kecil Manek Urai di Kampung Chuchuh Puteri, Husam berkata Kelantan berhak kepada carigali minyak yang diadakan 150 kilometer dari pesisir pantai negeri itu, namun tidak ada satu sen pun royalti diserahkan Umno-BN.

“Tuntutan kita untuk royalti minyak adalah sah, berdasarkan kepada persetujuan yang telah dimeterai, kerana minyak yang dikeluarkan itu berada amat hampir iaitu 150 kilometer dari pesisir pantai Kelantan,” kata Husam, disambut dengan laungan takbir dan tepukan gemuruh dari hadirin.

“Minyak yang dikeluarkan dari negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Terengganu terletak 240 kilometer dari pesisir pantai, dan kerajaan Pusat tetap membayar royalti kepada dua negeri ini. Jadi soalnya, mengapa rakyat Kelantan dinafikan hak kepada royalti minyak?” tegas Husam.

Minyak disedut dari pesisir pantai Kelantan seawal 2002 dan pada 17 Jun tahun ini, kerajaan negeri Kelantan meminta royalti RM1 bilion dari Kerajaan Pusat.

Husam menambah kerajaan Pusat tidak boleh beralasan kerana Kelantan mempunyai dokumen menyokong tuntutan tersebut.

“Kita mencari fail-fail lama dan temui perjanjian yang dimeterai pada 9 Mei 1975 diantara Menteri Besar Kelantan Mohammad Nasir dan Pengerusi Pentronas Tengku Razaleigh Hamzah,” kata Husam.

“Royalti sebenarnya adalah RM1.7 bilion, bukan RM1 bilion, tetapi Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan kerajaan negeri supaya permohonan dibuat untuk RM1 bilion kerana tak mahu kerajaan Umno-BN terkejut,” kata Husam disambut gelak-tawa dari hadirin.

Beliau turut mencabar Ketua Perhubungan Umno Kelantan Mustapha Mohamed, yang juga Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, supaya menunaikan tuntutan ini demi kebaikan rakyat Kelantan.

Husam menambah sekiranya royalti ini diperoleh, maka lebih banyak pembangunan bermakna dapat dibawa ke Kelantan, bukannya projek-projek mee segera yang sering dibawa Umno-BN setiap kali pilihanraya.

“Sekiranya gagal, lebih baiklah beliau bersara,” kata Husam.


Isu ke Manek Urai : UMNO BN Tidak Suka Berita Ini

Perbincangan dan kematangan adalah ramuan penting dalam demokrasi, dan semangat ini ditunjukkan dengan jelas dalam pertemuan antara Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kedah, Azizan Abu Bakar.

Permasalahan penting yang terbit dari pertelagahan pendapat dan salah-faham antara DAP Kedah dan Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya diselesaikan dengan baik dalam pertemuan yang berlangsung selama 6 jam di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Pengerusi DAP Kedah-Perlis Thomas Su berkata, semua pihak yang terbabit dalam mesyuarat ini bersetuju untuk duduk bersama dan mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

"Saya rasa ini adalah tindakan yang positif, apa yang kita dibincangkan dan persetujui untuk selesaikan masalah," kata Thomas Su di Kedah Business Centre petang tadi.

"Kita akan pertimbangkan dan bawa kepada Jawatankuasa. Memandangkan apa yang kita capai hari ini terdapat kemungkinan kita mampu kehadapan, ia amat penting," tambah beliau.

Selain dari Azizan dan Thomas Su, pertemuan itu turut melibatkan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman Lim Guan Aik.

Bermula seawal jam 10 pagi, mesyuarat itu membincangkan memorandum DAP Kedah yang mengandungi empat perkara utama iaitu: isu kuota 50 peratus untuk bumiputera ke atas projek perumahan, perobohan rumah ibadat, isu perobohan pusat penyembelihan babi dan cadangan mewujudkan Seketariat PR.

Menteri Besar Azizan Abu Bakar berkata, Pakatan di Kedah bersetuju mengadakan satu mekanisme dengan mewujudkan jawatankuasa khas di kalangan parti komponen untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul.

"Masalah berkaitan, mekanisme jawatankuasa khas di kalangan komponen parti di Kedah akan diadakan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam kerajaan negeri," katannya.

Katanya, isu rumah penyembelihan dianggap selesai apabila kerajaan negeri mendapatkan tempat baru dan ia telah mendapat persetujuan daripada persatuan penyembelih dan Jabatan Veterinar Kedah.

"Rumah penyembelihan, kita telah mendapat tempat di kawasan yang tidak mengganggu langsung penduduk. Kita akan gunakan kawasan yang sedia ada menternak babi dan perkara berkenaan telah dirunding semalam dengan pihak persatuan penyembelih dan Jabatan veterinar Kedah dan mendapat kesepakatan tempat berkenaan menjadi tempat penyembelihan baru.

"Setiap persatuan telah bersetuju dan tambah mengembirakan apabila Ketua Veterinar sudah membuat pengumuman di Kedah bermakna beliau mempersetujui cadangan ini," katanya.

Katanya, isu pencerobohan kuil yang timbul di negeri ini berpunca daripada kekeliruan status kedudukan kuil yang sedia ada kerana salah sebuah kuil dibina di atas tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad dan sebuah lagi di atas kawasan tanah perumahan.

Menurutnya, isu berkenaan juga berjaya diselesaikan apabila Jawatankuasa Kuil dan Majlis Bandaraya Alor Star bersetuju untuk membuat pemindahan kuil tersebut.

"Kita telah mendapat persetujan daripada MBas dan jawatankuasa kuil untuk membuat pemindahan kerana terdapat satu bangunan (kuil) masuk di atas tanah orang lain dan tuan tanah telah meminta haknya dan dia tidak boleh robohkan tanpa kebenaran MBAS.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan mereka setuju untuk mencari tempat lain dalam masa sama Datuk Bandar juga mencari tempat baru, tempat baru telah dicadangakan tetapi mereka tidak berapa setuju.

"Saya arahkan semua isu-isu sensitif ini, tidak berlaku sebarang pencerobohan melainkan dengan maklumat dan persetujuan saya. Saya akan adakan perbincangan dengan rakan-rakan dan wakil tunggal DAP Lee Guan Aik," katanya.

Katanya, kerajaan negrei juga berjanji akan mengadakan satu mekanisme baru berhubung isu perlaksanaan 50 peratus kuota untuk bumiputera ke atas projek-projek perumahan.

"Tidak puas hati pihak DAP timbul kerana kurang mendapat penjelasan kerajaan negeri berhubung kuota perumahan non-bumi dan bumi. Ia telah dijelaskan dan kita berjanji satu mekanisme termasuk perkara-perkara untuk benarkan rumah-rumah yang tidak boleh dijual untuk tidak membebankan pemaju," katanya.

DAP Kedah awal Julai lalu memutuskan untuk keluar dari Pakatan kerana membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan pusat penyembelihan di negeri itu.

"Ia telah selesai, hanya saya dan Lim yang tahu ia telah selesai atau tidak," katanya ketika mengulas mengenai tindakan media BN yang sering mencanangkan bahawa PR Kedah semakin rapuh dan gagal menyelesaikan isu yang timbul.

Kemungkinan DAP Kedah/Perlis menarik balik keputusannya dilihat semakin cerah apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menasihatkan parti berkenaan untuk menarik balik pendirian mereka.

"Saya akan nasihatkan DAP Kedah untuk kaji semula pendirian kerana memandangkan apa yang berlaku hari ini.

"Saya rela buat lawatan sebulan sekali untuk pastikan program ini," katanya selepas menghadiri pertemuan DAtuk Seri Azizan dan DAP Kedah/Perlis bagi menyelesaikan isu yang timbul. -TVA



MANEK URAI : Fauzi Sudahpun Diterima Menjadi Wakil Rakyat

Pilihanraya belum pun berlansung, namun calon Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, sudah menjadi tempat mengadu penduduk Kampung Latatual, dekat sini.

Pada pertemuan singkat sempena kehadiran Mohd Fauzi pada satu program anjuran jentera parti di kampung berkenaan semalam, calon Pas itu diadukan masalah beberapa penduduk berkaitan tuntutan hak milik tanah.

Wakil penduduk terbabit, Ali Bakar, 78, berkata, masalah timbul apabila tanah seluas enam hektar yang diusahakannya bersama tiga penduduk lain sejak lebih 30 tahun lalu kini dituntut hak milik oleh orang lain.

Menurutnya, individu terbabit mendakwa kawasan yang terletak bersempadan dengan tanahnya itu, juga seluas enam hektar, sudah dibeli daripada pemilik asal dan kini dalam proses mendapatkan geran.

“Kawasan ini dulu kami yang tebas dan tanam sehingga pokok getah sekarang sudah boleh ditoreh dan setengahnya sudah boleh ditebang pun.

“Tiba-tiba datang orang dakwa tanah ini hak (milik) dia dan katanya sudah beli daripada pemilik asal sedangkan setahu saya, setakat ni sudah tiga kali kawasan ini beralih (bertukar) tuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ali berkata, biar pun kesuntukan masa, pertemuan dengan Mohd Fauzi yang memang dikenali penduduk Lata Rek termasuk Kampung Latatual itu diharap akan memberi harapan baru kepada penduduk terlibat.

Katanya, dia juga percaya Mohd Fauzi yang mempunyai pengalaman selama 19 tahun sebagai Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Krai akan berusaha menyelesaikan masalah ‘perebutan’ tanah itu dengan baik.

“Saya sendiri pun sudah kenal lama dia (Mohd Fauzi), sebab itu bila tahu dia datang sebagai calon (Pas) hari ini, saya ambil peluang bercakap masalah (tanah) ini sebagai wakil kawan-kawan yang lain.

“Lebih-lebih lagi kalau dia dipilih sebagai wakil rakyat (ADUN Manek Urai) 14 Julai nanti, saya yakin masalah berebut tanah ini lagi cepat boleh selesai,” kata Ali.

NIZAR ZAMBRY : Akhirnya Kes Nizar Ke Mahkamah Perseketuan


Mahkamah Persekutuan hari ini akhirnya membenarkan permohonan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat tiga Hakim Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Dengan keputusan ini, jelas menunjukkan peluang untuk rakyat Perak melihat keadilan berlaku masih terbuka biar pun dihambat dengan berbagai isu yang jelas membelakangkan undang-undang dan perlembagaan sebenarnya.

Masalah politik Perak yang kini sebenarnya masih "kritikal" biarpun ditutup oleh media arus perdana. Rakyat Perak kini semakin benci dan meluat dengan kelibat MB Haram, Zambry Kadir. Bahkan mereka langsung tidak mengikhtiraf beliau sebagai ketua negeri itu.

Apa yang pasti, Nizar masih tetap dihati rakyat dan hanya keadilan sahaja yang boleh mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. UMNO dan BN boleh mendabik dada kononnya mereka menang dalam isu Perak, susulan melihat mahkamah memihak kepada mereka. Walhal, hakikatnya apa yang berlaku itu adalah petanda kejatuhan dan kehancuran mereka di Perak.

Ramai yang melihat, tindakan BN merampas kuasa di negeri itu bakal menyebabkan ramai wakil rakyat BN bakal menjadi "rakyat biasa" selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. Oleh itu, rayuan dan saranan seluruh rakyat agar kuasa dikembalikan kepada mereka dan DUN Perak dibubarkan haruslah diberi perhatian sewajarnya oleh Sultan Perak. Tindakan menggunakan mahkamah untuk menghalang proses demokrasi bakal menyebabkan kesatbilan politik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak kucar kacir.

Semoga dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini bakal membuka lembaran baru ke arah perubahan di negeri itu. Rakyat masih berharap biarpun "jalannya" nampak terlalu sukar untuk menjadi kenyataan. Namun, kita hanya merancang tetapi tuhan yang menentukan. Segalanya boleh berlaku jika diizinkanNya. misbahulmunir


MANEK URAI : Berbillion Wang Rakyat Dimusnahkan Oleh UMNO/BN


UMNO sejak zaman pemerintahan Mahathir Mohamad telah membazirkan berbillion ringgit wang rakyat apabila pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula dilaksanakan pada 2003. Dasar PPSMI jelas satu dasar yang amat silap dan lebih kepada agenda memberi keuntungan kepada para kroni.

- Bekal Laptop ke sekolah = Ada menteri jadi jutawan
- Bekal perisian = Ada menteri jadi hartawan
- Service computer = Ada kroni kaut keuntungan
- Sediakan latihan = Ada induvidu sedut komisen


Matlamat songsang cetusan idea UMNO ini jelas merugikan bukan hanya wang rakyat, malahan membuang masa tenaga pengajar dan murid yang terlibat.

Jelas desakan dan kritikan daripada Pakatan Rakyat dan rakyat terbanyak terhadap dasar ini membuktikan kelemahan perancangan dan kecelaruan pentadbiran UMNO/BN dalam mengendalikan dana dan masa depan rakyat.

Sebagai bekas pendidik, saya menyambut baik pemansuhan PPSMI ini. Malangnya berbillion wang rakyat telah musnah lantaran kerakusan pemimpin UMNO dalam mencari ruang melaksanakan sesuatu dasar hanya demi kepentingan para kroni mereka.


“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris,” - Muhyiddin Yassin

Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T). - BERNAMA



- Kesian sungguh pemimpin UMNO. Bodoh sudah naik ke kepala. Di manakah realistiknya? yang hendak ditingkatkan adalah penguasaan bahasa Inggeris, tetapi matapelajaran Sains dan matematik pula yang menjadi sasarannya..!!!

- Apapun, rakyat Malaysia mesti menuntut ganti rugi atas kecuaian pemimpin UMNO/BN ini dengan tidak memberi undi kepada mereka dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Cukuplah selama 51 tahun kuasa yang telah diberikan kepada UMNO/BN.

- Rakyat mesti membuat pilihan = Hidup terus dikhianati atau kuburkan UMNO/BN.

- Selama pemerintahan UMNO/BN, telah berjuta billion duit rakyat dimusnahkan, dirompak, dicuri dan dirasuahkan. Tidak cukup dengan itu, masa depan dan harta warisan rakyat dikhianati oleh pemimpin UMNO/BN.

- Pulau Batu Putih diberi kepada Singapura.
- Sebahagian tanah Johor dijadikan wilayah warga asing
- Islam dipencilkan
- Kemiskinan dan penderitaan rakyat tidak diperdulikan
- Pemimpin rasuah dilindungi
- Undang-undang dicabuli
- Jenayah meningkat.
- Polis diperkudakan
- Penggangguran meningkat
- Kehidupan rakyat semakin terhimpit
- Kebebasan bersuara dinafikan
- Saspek pembunuh tidak dibicarakan
- Institusi Raja diperkuda dan dipermainkan

Kenyataan DSAI Mengenai Keputusan Memansuhkan PPSMI


Akhirnya kerajaan mengakui hakikat kepincangan dasar PPSMI dan mengambil keputusan memansuhkan sepenuhnya perlaksanaan dasar itu mulai tahun 2011. Setelah sekian lama pejuang bahasa, budayawan dan sarjana menyatakan kebimbangan dan menyuarakan bantahan terhadap PPSMI, alhamdulillah keringat dan doa mereka dimakbulkan jua.

Saya tidak pasti keputusan tersebut didasari motif politik ataupun kerana menyedari PPSMI merupakan satu pengkhianatan kepada perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan dan merugikan ramai pelajar terutama dari kawasan luar bandar. Pastinya kenyataan Menteri Pelajaran bahawa dasar ini dimansuhkan kerana mempunyai banyak kelemahan memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan umno-bn.

Sekonyong konyong mereka cuba menutup sebelah mata setelah RM 4.5 billion ringgit dana awam dibelanjakan demi perlaksanaan dasar tersebut walaupun mendapat bantahan segenap lapisan masyarakat. Keadilan tuntas menekankan selama ini bahawa satu kajian yang menyeluruh sewajarnya diadakan sebelum perlaksanaan PPSMI. Ternyata teguran yang diberikan masuk telingan kanan keluar telinga kiri.

Sayugia Menteri Pelajaran mestilah menyediakan jawapan yang kukuh dan bertanggungjawab untuk dibentangkan kelak. Rakyat berhak mengetahui mengapa selepas 6 tahun ianya dilaksanakan, baru kerajaan mengakui kelemahan dan kepincangan PPSMI.

ANWAR IBRAHIM

-kerajaanrakyat