Musuh dalam selimut yang didakwa cuba memperkecil sumbangan Ulama’ juga perlu diberikan definisi yang jelas.
Saya yakin, musuh dalam selimut yang dimaksudkan oleh bekas Ketua Dewan Ulama Datuk Mohamad Daud Iraqi itu adalah individu tertentu yang cuba berpakat dengan UMNO bermula tanggal 10 Mac 2009.
Sesiapa pun perwakilan PAS tidak mahu PAS menyertai BN hanya disebabkan kepentingan peribadi tertentu. Ini kerana PAS adalah wadah amar ma’ruf nahi mungkar yang senantiasa meniti jalan sunnah perjuangan Rasulullah s.a.w.
Waktu saya bertandang ke ‘Serambi Mekah’ tahun lalu, saya sempat bertemu salah seorang Murabbi Gerakan Mahasiswa Islam. Nama insan yang saya segani itu adalah Ustaz Yahya Othman.
Saya sempat menekuni usrah bersamanya. Waktu itu, isu UMNO mahu menyertai BN melalui individu tertentu sedang menjadi halwa telinga rakyat.
Isu itu bukan lagi rahsia peringkat tertinggi. Kewujudan Taskforce 2010 yang dipengerusikan oleh intelligent Dr. Wan Abu Bakar sudah menjadi rahsia umum dalam PAS, UBN dan kaum media sendiri.
Ada pemimpin tertentu pernah menafikan bahawa memang ada pakatan peringkat tertinggi PAS-UMNO waktu beberapa ‘media baru’ menerjah mereka. Namun, akhirnya mereka mengaku juga kebenaran isu itu.
Itupun setelah mantan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi sendiri secara tidak sengaja mengakui adanya ‘rundingan dalam gelap’ antara beliau dan beberapa pemimpin terbabit.
Untuk menutup kegagalan rundingan itu, akhirnya disandarkan pada Musyawarah Ulama.
Firman Allah, “mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah lah sebaik-baik perancang…”
Musyawarah para perwakilan dalam Muktamar PAS ke-54 di Ipoh tahun lepas telah sebulat suara menerima usul – PAS perlu diperkasa bersama-sama Pakatan Rakyat.
Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dalam suatu ucapannya menegaskan, “kita (PAS) jangan kangkang kaki dalam dua perahu (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional). Cetusan Ulama PAS itu terus disambut gah dengan laungan takbir – Allahu Akbar!
Banyak pedoman Ustaz Ya untuk saya dan adik-adik aktivis GMi waktu itu.
Rasulullah s.a.w dalam hidupnya sangat banyak menerima bai’ah (ikrar setia untuk berjihad) daripada para Sahabat r.a.hum (muslim-mukmin). Rasullullah s.a.w sangat banyak juga memeterai perjanjian (tahalluf siyasi) dengan pemimpin-pemimpin kafir (yang menyokong perjuangan dan keadilan Islam) seperti perjanjian fudhul, Hudaibiyyah dll. Tetapi, Rasulullah s.a.w dalam hayatnya tidak pernah memeterai perjanjian; apatah lagi berpakat dengan pemimpin-pemimpin munafik. Apa asas kita (abna’ al-harakah) untuk berpakat dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang sah menolak Islam?
Dalam hayat Rasulullah s.a.w, ada perjanjian atau bai’ah yang nabi sendiri memulakannya dan ada yang dimulakan oleh Sahabat atau pemimpin kafir. Namun, dalam hayat Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernah melanggar atau mengkhianati perjanjian walaupun sesetengah perjanjian itu dilihat berat sebelah atau tidak adil. Apa pula asas ijtihad kita (abna’ al-harakah) mengkhianati Majlis Pakatan Rakyat yang sama-sama dimeterai pasca 8 Mac; walhal muafakat parti-parti masih tidak saling menzalimi dan UMNO sendiri sah terus dengan amalan zalim?
Saya yakin bahawa perjuangan Islam yang dibawa PAS masih dipelihara Allah selagi terus mengikuti lunas-lunas sunnah Rasullullah s.a.w seperti di atas. Perjuangan PAS ini terus terpelihara antaranya disebabkan masih ada lagi ahli-ahli PAS yang ikhlas.
Mungkin sebab itu juga, Dewan Ulama PAS berkongsi kebimbangan takut-takut dalam PAS ada musuh dalam selimut. WaLlahu ‘alam… - zainulfaqar