25 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Sembah Patung Tak Apa, Lilin Tak Boleh Pegang

Setiap tahun, pada hari dan tarikh tertentu, patung besar di Taman Tasik Perdana, berhampiran bangunan Dewan Rakyat, akan menerima jambangan bunga untuk mengenang jasa patung-patung yang telah berjuang untuk negara. Setiap kali tiba pelawat rasmi kerajaan, patung-petung itu akan menerima jambangan bunga penghormatan.

Walaupun perbuatan itu janggal, tidak pernah dilakukan oleh orang Melayu dan ditolak bulat-bulat oleh Islam sebagai amalan syirik, namun kerana sudah dibudayakan, nampaknya sudah diterima rakyat. Kata orang yang tahu, sudah ada fatwa mengharamkan perbuatan itu, tetapi masih diteruskan kerana menghormati patung adalah sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia.

Adakah ini cocok dengan One Malaysia yang oleh seorang ustaz tentera yang jadi menteri dikatakan telah berfatwa memang One Malaysia itu cocok dengan Islam, ertinya mengikut ustaz ini One Malaysia itu serasi dengan Islam? Baik-baik bagi fatwa, tuan ustaz, supaya ustaz tidak keliru. Kami yang jahil tak mengapa kerana ramai tok guru yang boleh kami tanya fatwanya yang betul.

Kalau ikut kata seorang tok guru, perbuatan tunduk hormat kepada patung di Tugu Negara itu samalah dengan Firaun menyembah patung-patungnya. Cuma bezanya yang disembah Firaun itu patung anjing, kucing, buaya, dan lain-lain yang dianggap mulia oleh Firaun. Pendahuluan ini penting kerana ada kaitannya dengan cerita berikutnya.

Sekarang timbul cerita yang dibesar-besarkan, kononnya ada pemimpin PAS turut membakar lilin menghormati kematian seorang pekerja politik bukan Islam. Riuh seluruh negara mengecam dan mengutuk perbuatan itu. Seorang mufti dengan bangganya berkata para ulama dalam parti PAS membenarkan perbuatan melanggar akidah itu seperti tiada apa-apa, dibolehkan untuk kepentingan politik. Surat-surat khabar yang menggalakkan gosip, fitnah, pembohongan dan mengumpat, mengasak pembaca dengan tulisan-tulisan berapi-api mengutuk ulama dalam parti PAS.

Kezaliman yang berlaku ke atas pekerja politik yang didapati mati terbunuh selepas disoal-siasat oleh SPRM jadi tidak relevan lagi bagi akhbar-akhbar ini, kerana yang paling penting ketika ini ialah seorang bekas MB dari parti PAS turut membakar lilin bersama-sama ahli DAP.

Kesalahan itu sangat besar, tidak boleh dimaafkan, oleh itu, kata akhbar-akhbar ini, parti PAS mesti ditolak dalam PRU 13 nanti kerana mereka menerima perbuatan syirik untuk mendapat sokongan politik. Tidak seorang pun orang baik-baik ini, termasuk mufti, membangkitkan penyembahan patung di Tugu Negara. Perbuatan itu tidak syirik bagi mereka kerana dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia dan kerajaan sendiri sudah berbelanja banyak berhubung penyembahan patung di Tugu Negara itu.

Sebenarnya orang tidak sedar, di bawah slogan One Malaysia, memberi penghormatan kepada pahlawan negara yang banyak berjasa itu merupakan salah satu amalan penting negara, oleh itu Tugu Negara bukan patung yang disembah, tetapi hanya batu-batu yang diukir berwajah manusia sedang mempertahankan negara.

Kata kerajaan, rakyat sudah terima amalan itu sebagai amalan yang digalakkan dalam Rukunegara, oleh itu tidak timbul soal syirik atau tidak. Tidakkah dalam One Malaysia yang membenarkan perbuatan itu, meletakkan Perlembagaan Negara sebagai undang-undang tertinggi negara? Kata mereka, termasuk para mufti mereka, Rukunegara dan Perlembagaan Negara adalah lambang kekuatan One Malaysia, yang telah menerima kedudukan Islam sebagai agama orang Islam yang mendapat simpati kerajaan, oleh itu ditulis dalam Perlembagaan Malaysia bahawa “Islam adalah agama rasmi Malaysia”. Di mana pula ada tertulis membakar lilin itu sebahagian daripada amalan Perlembagaan Malaysia? Tidak ada, oleh itu perbuatan itu salah dan tidak patut diamalkan di Malaysia. Orang Islam ditegah membakar lilin atau membakar kemenyan bila ada kematian. -

Mereka hanya dibenarkan membakar lilin bila api elektrik terputus. Tetapi perbuatan itu tidak diwajibkan, kerana tidak ada dalam Perlembagaan Malaysia. Walau bagaimanapun, lilin yang dicucuk di atas kek hari jadi boleh dibakar dan dihembuskan sambil bertepuk tangan. Itu bagus kerana dibuat oleh PM sendiri dan para menteri, juga oleh budak-budak sekolah dan anak-anak kecil di tadika. Berasaskan hujah-hujah ini, sahlah membakar lilin yang dilakukan oleh Datuk Seri Muhammad Nizar bekas MB Perak itu bukan amalan Malaysia, oleh itu bertentangan dengan Perlembagaan, maka dengan itu tidak boleh dibuat oleh rakyat Malaysia kerana apa-apa juga niat hendak mengenang orang mati itu salah mengikut Perlembagaan dan semangat One Malaysia.

Adapun membina tugu dan tunduk hormat kepada patung manusia yang tidak pun berwajah Melayu adalah amalan Malaysia dan sesuai dengan semangat One Malaysia yang mengikut fatwa ustaz menteri sesuai pula dengan Islam, yakni One Malaysia itu, yang menerima dengan baik pemujaan tugu dan amalan tunduk hormat kepada patung itu adalah sesuai dengan Islam dan telah pun dipraktikkan oleh Islam sejak sekian lama menurut pandangan ustaz menteri. Itulah ajaran para pemimpin UMNO yang telah memerintah Malaysia selama 52 tahun. -[24/7/2009] Mohd. Affandi Hassan

Era Najib Altantuya : Gani Patail Memperbodohkan Rakyat

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan adakah suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 lalu mematuhi undang-undang negara.

"Abdul Gani menekankan bahawa "kita mesti mematuhi undang-undang negara" ketika memberikan kenyataan berkenaan inkuiri berhubung kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah

Beliau juga menyatakan bahawa Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 jelas merujuk kepada siasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam.

"Bagaimanapun, bidang tugas suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Anwar dahulu dengan jelas menyatakan tujuannya adalah untuk menyiasat dan mengkaji kecederaan ke atas Anwar yang dialaminya semasa dalam tahanan polis dengan tujuan menentukan sebab kecederaan itu berlaku dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab serta bersubahat menyebabkan kecederaan tersebut," katanya.

Beliau mempersoalkan, jika suruhanjaya menyiasat kecederaan Anwar dahulu boleh menyiasat sebab kecederaan itu berlaku, mengapa pula sekarang tidak boleh ditubuhkan suruhanjaya menyiasat bila, di mana, dan bagaimana Teoh mati dan juga sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu?

"Jika sekarang tidak boleh menyiasat punca kematian Teoh, tentulah dahulu juga tidak boleh menyiasat sebab berlakunya kecederaan Anwar. Mengapa ada percanggahan?

"Adakah Peguam Negara bersetuju bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor boleh mendakwa suruhanjaya yang menyiasat kecederaan Anwar itu tidak "mematuhi undang-undang negara" dan beliau boleh mencabar keabsahan penubuhan serta keputusan suruhanjaya itu?" soal Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan takut hendak memberi kuasa kepada suruhanjaya yang ditubuhkan itu untuk menyiasat punca kematian Teoh?

"Kenapa takut hendak memberi hak kepada suruhanjaya di raja menyiasat punca kematian Teoh?

"Semakin ramai yang menuduh kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu serta melindungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) berdasarkan skrip yang diilhamkan oleh golongan tidak waras yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu puak mereka melakukan kezaliman.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula tidak kelihatan berkemampuan menyangkal tuduhan itu," katanya.

Mahfuz berkata, tindak-tanduk Abdul Gani selama ini yang sering memutuskan sesuatu siasatan itu tidak ada kes menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap inkuiri yang ditubuhkan itu.

Antara lain, Abdul Gani sebelum ini menyatakan tidak ada kes dalam dakwaan rasuah ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa ketika itu didakwa menerima sogokan sebanyak RM2.1 juta sebagai habuan bagi melepaskan kumpulan gangster.

"Kita juga merasa amat bimbang kerana inkuiri hanya dikendalikan oleh seorang majistret sedangkan majistret pula berada di bawah Jabatan Peguam negara.


"Kalau sebelum ini hakim mahkamah tinggi seperti Datuk Muhammad Kamil Awang boleh mendedahkan beliau diarah menerusi telefon agar petisyen pilihan raya Likas ditolak tanpa perbicaraan, apa jaminan seorang majistret tidak boleh diarah untuk melakukan perkara-perkara yang pelik?" soal beliau.

Jabatan Peguam Negara pula pernah mengemukakan pertuduhan yang dipertikaikan dalam kes Anwar dahulu di mana tarikh diubah dan tempat yang belum wujud didakwa sebagai tempat berlakunya perbuatan jenayah, katanya.

Sebab itulah, kata Mahfuz, siasatan yang dianggap berwibawa ke atas punca kematian Teoh hanya boleh dijalankan oleh suruhanjaya di raja.

"Wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan untuk menubuhkan badan siasatan yang tidak dipercayai oleh majoriti rakyat,"
katanya lagi.

Pasca Manek Urai : Apa Kisah Tentang Kelab Penyokong PAS?

Sekalipun sudah hampir dua bulan Muktamar Tahunan PAS kali ke 55 berlalu dengan ucapan dasar Presiden Parti menyatakan Kelab Penyokong PAS akan diinstitusikan menerusi pindaan perlembagaan PAS yang bakal dilaksanakan untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab dan statusnya dalam organisasi parti, keahlian dan peranannya dalam PAS, namun hingga kini usaha ke arah itu menampakkan seperti tidak ada kesungguhan parti memperkasakan kelab berkenaan.

Kita menjadi hairan dengan sikap PAS yang terlalu lemah dewasa ini apa tah lagi semenjak isu "Kerajaan Perpaduan" yang menimbulkan bahana yang tidak kecil kepada parti, PAS seperti kehilangan halatuju dan tidak menentu di dalam menentukan arus perjuangannya.

Masyarakan bukan-Islam yang pada setiap kali pilihanraya kecil diadakan begitu bersemangat, tetapi seperti ianya tidak dihargai oleh parti yang melanbat-lambat proses menginstitusikan Kelab Penyokong PAS sepertimana yang diwarwarkan di dalam muktamar yang lalu.

Hal ini begitu mengecewakan kepada bukan sahaja ahli-ahli kelab, namun kepada ahli PAS seluruhnya betapa pimpinan yang telah diberikan mandat untuk memimpin parti seperti lebih mengutamakan kepentingan-kepentingan diri dari kepentingan parti dan jemaah.

Sekalipun deklarasi dari Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional 2009, di Dewan Majlis Daerah Klang pada bulan Mei lalu telah menyatakan satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan bagi melihat aspek yang memungkinkan kelab itu diserap sebagai sayap parti dalam tempoh setahun, namun perjalanannya seperti akan mengambil masa 10 tahun untuk di materialisasikan.

Kita hairan mengapa ia perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat kajian sedemikian sekalipun dikatakan ia menyentuh soal perlembagaan namun tidak bererti ianya perlu dilengahkan dengan mengambil kira senario politik yang kian robust dan temponya yang bergerak cepat tanpa mengambilkira keadaan gelombang politik yang tidak pedulikan pasang surutnya air di lautan.

Di era digital ini sepatutnya hal-hal memperkemaskan jentera parti sudah dapat disempurnakan dengan memendekkan jarak waktu yang dahulunya terpaksa mengambil masa yang panjang, tetapi PAS masih seperti berada di dalam era teknologi lapuk dengan mentaliti kuno dengan ketidak-upayaannya menangani masalah dalam waktu yang singkat.

Ini memberikan impak negatif kepada perjuangan. Pemimpin PAS perlu dikejutkan dari lenanya supaya meletakkan mereka yang berwibawa di barisan depan agar PAS dapat bersaing seiring sejalan dengan rakan-rakan di dalam komponen Pakatan Rakyat yang lain.

Aktiviti-aktiviti parti terlalu superficial sifatnya dengan penumpuan kepada program ceramah yang kerap dipersoalkan keberkesanannya kerana keputusan Manek Urai menjelaskan sekalipun program ceramah PAS dihadiri oleh 5,000 orang dan ceramah parti lawan di kampung bersebelahan hanya dihadiri 50 orang, kita hanya mampu meraih 65 undi majoriti.

PAS perlu kreatif dan innovatif. PAS perlu menampilkan aktiviti yang lebih berkualiti dengan memikirkan peningkatan dari sudut memperkasakan ahli khususnya dan mensejahterakan rakyat amnya.

Telah berlalu hari-hari dimana perancangan dan pengurusan parti hanya dilakukan di saat menjelangnya pilihanraya, tetapi kerja untuk parti perlu dilakukan pada setiap saat yang tiba di dalam kehidupan seharian kita.

Procrastinasi (perbuatan melengah-lengahkan sesuatu pekerjaan) adalah merbahaya supaya nanti jangan dijadikan diri seperti buaya-buaya yang disuruh beratur diketuk kepalanya oleh sang kancil untuk dia memakan buah di seberang lautan.

Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.


Pasca Manek Urai : Telunjuk Lurus Kelingking Berkait

Telah kami katakan UMNO tidak pernah jujur sekalipun PAS ikhlas.

Jika di Marang, UMNO BN begitu yakin untuk menawan kerusi Parlimen Marang dan dewan undangan negeri Rhu rendang di dalam pilihanraya akan datang dengan telah melakukan usaha untuk merampas kedua-dua kerusi itu dari PAS, kini Umno Kelantan pula mulai menggerakkan jentera parti dalam usaha menawan kembali Kelantan daripada PAS dengan menjadikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai baru-baru ini sebagai momentumnya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata Umno Kelantan juga memperkemaskan pengurusan parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Pilihan raya kecil Manik Urai barubaru ini membuktikan rakyat sebenarnya tidak menolak Barisan Nasional (BN). Untuk itu, mulai sekarang kita akan atur strategi untuk menembusi Kelantan daripada kekangan PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli di Kompleks Umno Bahagian, di sini, hari ini.

"Ia memberi petanda baik kepada kita... termasuk dalam usaha menawan kembali Kelantan yang telah dikuasai PAS hampir 20 tahun lalu," katanya.



Era Najib Altantuya : Selamat Tinggal BN - Subra

Dalam kesibukan UMNO BN hendak mempastikan PKR berkubur dengan melakukan konspirasi terhadap Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Keadian Rakyat terus menerima sokongan rakyat dari pelbagai kaum dan lapisan rakyat.

Terkini, Bekas Naib Presiden MIC Datuk SS Subramaniam hari ini menjadi tokoh terbaru menyertai Parti Keadilan Rakyat, seminggu selepas mantan Menteri Kesihatan Chua Jui Meng menyertai parti itu, sekali gus mencerminkan Keadilan sebagai parti yang semakin didokong oleh pelbagai kaum di bawah gagasan Pakatan Rakyat.

Turut menyertai PKR hari ini adik Subramaniam, bersama kira-kira 1,700 bekas ahli MIC dari Petaling Jaya Selatan dan Pekan Meru di Kapar. Penghijarahan mereka ke Keadilan memaksa lebih 10 cawangan MIC ditutup.

Subramaniam, anak kelahiran Johor, adalah pemimpin MIC paling kanan menyertai PKR. Selain pernah menjadi Naib Presiden MIC dan pernah bertanding untuk jawatan kedua tertinggi parti itu. Subramaniam juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan bekas ahli Parlimen Segamat.

Kemasukan Subramaniam dan bekas ahli MIC secara beramai-ramai ke Keadilan mencerminkan rasa tidak puas hati kaum India yang semakin memuncak terhadap MIC dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang membelit kaum India seperti kemiskinan, peluang melanjutkan pelajaran, penganggkuran dan kes jenayah.

Ia juga menunjukkan Keadilan semakin didokong oleh kaum India sebagai parti pelbagai kaum yang mampu memperjuangkan nasib mereka sebaris dengan kaum lain yang memerlukan pembelaan.

Subramaniam berkata beliau tertarik dengan politik merentasi perkauman yang di bawa oleh Keadilan dan mengambil keputusan menyertai parti itu walauun di kecam hebat oleh Presiden MIC Samy Vellu.

"Sekarang saya telah memberanikan diri untuk masuk PKR walaupun saya tahu saya dihentam oleh Samy Vellu," kata Subramaniam, disambut tepukuan gemuruh oleh lebih 1,000 orang di Dewan Orang Ramai, Taman Medan Petaling Jaya.

"Saya lihat dasar-dasar Barisan Nasional yang ada sekarang ini telah membawa negara ke belakang 20 tahun. Dasar-dasar ini meminggirkan sebilangan besar rakyat dan hanya memberi tempat kepada orang tertentu sahaja," kata Subramaniam.

"Kita mahu membina sebuah negara maju yang rakyatnya hidup makmur dan bersatu padu," tambah beliau.

"Saya yakin dasa-dasar Keadilan akan membawa kita ke arah itu," ujarnya lagi.


Era Najib Altantuya : Penulis Blog Jangan "Baling Batu Sembunyi Tangan" - MB Sngor

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihak yang mempunyai dakwaan berhubung sesuatu penyelewengan perlu bertanggungjawab melaporkannya kepada pihak berkuasa dan bukan setakat mendedahkan dakwaan itu di dalam blog.

Abdul Khalid berkata penulis blog mesti bertindak secara 'gentleman' dengan mendedahkan identiti mereka dan bukan 'baling batu sembunyi tangan'.

Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan (melaporkan) itu bagi membuktikan kesahihan dakwaan.

"Kalau berlaku penyelewengan, tanggungjawab masyarakat bukan menulis dalam blog saja tetapi bawa ke pihak yang perlu ambil tindakan. Saya memang galakkan usaha itu tetapi pada saya ada kalanya cerita dalam blog tidak semestinya seratus peratus benar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pesta Buku Negeri Selangor 2009 di sini Sabtu.

Abdul Khalid diminta mengulas dakwaan sebuah laman blog yang mendedahkan dakwaan penyelewengan seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor yang mempunyai kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock.

Laman blog http://www.t4tbh.blogspot.com dalam pendedahannya mendakwa berlaku penyelewengan lebih 300 projek kecil bernilai ratusan ribu ringgit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Exco terbabit.

Penulis blog itu yang hanya mahu dikenali sebagai 'T4TBH' atau 'Truth for Teoh Beng Hock turut mendakwa Teoh telah meninggalkan salinan bukti berupa senarai lebih 300 projek kecil itu.

Abdul Khalid berkata ada laman blog yang diwujudkan bertujuan untuk memberi satu pandangan buruk kepada pihak yang disasarkan dan beliau berharap setiap penulis blog mempunyai etika tertentu supaya maklumat yang dikemukakan sahih.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan laman blog itu, beliau berkata: "Kita pantau. Kalau betul dakwaan benar-benar berlaku kita ambil tindakan tetapi sekarang kita harap bloggers jangan jadi agen kepada pihak tertentu kerana mereka (bloggers) dianggap kumpulan yang hormati press freedom dan keadilan kepada masyarakat".

"Kita bagaimanapun tidak akan mencari identiti penulis blog ini kerana ia ternyata membuang masa. Kita mesti terima hakikat bila kita adakan 'an open and transparent society' kita akan hadapi keadaan ini tetapi rakyat sendiri punya fikiran matang dan mereka boleh nilai yang mana betul dan yang mana tidak betul," katanya.

Era Najib Altantuya : Pejabat Pembangunan Negeri Berasingan Bazirkan Duit Rakyat

Tindakan kerajaan Barisan Nasional mewujudkan pejabat pembangunan negeri yang berasingan, jelas membelakangkan konsep persekutuan dan perkhidmatan awam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kedegilan Barisan Nasional ini juga dilihat sebagai satu pembaziran wang rakyat selaku pembayar cukai.

“Ini akan membelakangkan usaha-usaha yang dilakukan oleh perkhidmatan awam. Perkhidmatan Awam adalah satu perkhidmatan yang bebas dari politik. Oleh sebab itu, dia tidak boleh dilakukan secara berasing, sebab mereka ini ditugaskan sebagai pemegang amanah duit pembayar cukai untuk membawa pembangunan dalam negeri secara efisien, maknanya lebih cekap, amanah dan tidak membazir. Kalau kita ada dua pejabat maknanya lebih baik ada satu pejabat, sebab pembazirannya ialah membiayai satu pejabat yang lebih”, kata Tan Sri Abdul Khalid.

Demikian, kata Tan Sri Khalid ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz , Shah Alam, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Noh Omar ketika menyampaikan sumbangan JAKIM kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, pejabat yang diwujudkan itu, dibiayai sendiri kerajaan pusat.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pembangunan Negeri Selangor (ICU) berkata, Kerajaan Pusat juga sudah melantik lima pegawai daerah untuk mengagih-agihkan peruntukan pembangunan di daerah terbabit.

Justeru, Tan Sri Khalid menyifatkan pemimpin kerajaan pusat tidak memahami maksud sebenar federalisme yang diamalkan di negara ini.

“Peruntukan negeri dan peruntukan federal adalah duit cukai rakyat, ada setengah orang kurang faham, sebab dalam federalisme, bahawa tanggungjawab mengutip cukai adalah tanggungjawab kerajaan federal, dan adalah tanggungjawab kerajaan federal untuk mengagihkan duit-duit cukai itu melalui pentadbiran negeri, jadi oleh sebab itu ada setengah orang mungkin tak faham tentang cara itu, kalau tak faham kita fahamkan supaya besok kewujudan persekutuan ini akan lebih mantap lagi”, jelas Tan Sri Abdul Khalid lagi.

Tan Sri Khalid berkata, beliau bakal menemui Sultan Selangor bagi mendapatkan pandangan baginda mengenai pertindihan pentadbiran yang berlaku sekarang.

“Itu saya akan bincangkan dengan Tuanku Sultan juga dan kita mungkin bincangkan dari segi pentadbiran ini. Perkara ini pernah dilakukan di Sabah dan akhirnya rakyat Sabah berasa ini tidak memberikan keuntungan kepada Sabah. Saya ingat kalau kerajaan persekutuan lakukan di Sarawak, boleh jadi rakyat Sarawak tidak akan memilih parti-parti dalam kerajaan persekutuan tersebut. Saya berharap saudara Omar lakukan supaya rakyat Selangor tidak lagi memilih kerajaan Barisan Nasional untuk memerintah kerajaan persekutuan”, ujar Tan Sri Abdul Khalid. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN-SELANGORKINI



Pasca Manek Urai : Bukan Kerajaan Perpaduan

Gambar yang tertera di sebelah bukan bererti Kerajaan Perpaduan. Ia disiarkan oleh media arus perdana dimana Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis pra-pelancaran Fiesta Kelantan 2009.

Datuk Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau tidak bermusuh dengan individu yang berada dalam pihak lawan sebaliknya permusuhan berlaku melibatkan ideologi yang dibawa oleh parti tertentu.

“Saya sebagai gerakan Islam tidak bermusuh dengan individu, dan tidak bermusuh dengan orang tertentu, (tetapi) kita bermusuh dengan ideologi parti,” katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan majlis pelancaran Kelantan Fiesta 2009 di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed yang juga ‘patron’ acara tersebut.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran Mustapa yang juga pengerusi UMNO Kelantan dalam majlis julung-julung kali diadakan tersebut.

Pada sidang media itu, Nik Aziz mengucapkan penghargaan kepada Mustapa yang sudi hadir ke majlis demi melihat kemajuan industri pelancongan Kelantan.

Katanya, dengan penganjuran tersebut, sedikit sebanyak budaya dan tatacara hidup rakyat Kelantan dapat dipromosikan di seluruh negara dan dunia.

“Untuk tujuan itu saya sudah lama berfikir untuk belanja duit (peruntukan) untuk dedahkan kehidupan pondok di Kelantan khususnya pelancongan Eropah yang tidak mempunyai suasana tersebut di negara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan jika ia dapat ia dapat memberi rakyat Kelantan.

Menurutnya, Kerajaan Pusat juga tidak pernah meminggir atau mendiskriminasikan mana-mana negeri dalam usahanya untuk menarik pelabur dari luar negara.

“Dalam soal ini terpulang kepada pelabur untuk memilih (negeri), mereka ada pertimbangan, seperti mahu kawasan yang berhampiran dengan pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita menyediakan inisiatif yang lebih kepada pelabur yang ingin melabur di negeri yang dianggap kurang maju dari segi pelaburan,” katanya.


Era Najib Altantuya : Pemuda Pakatan Temui SUHAKAM

Pemuda Pakatan Rakyat petang semalam telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menggesa kerajaan memberikan kuasa penuh kepada Suruhanjaya Diraja menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock.

Memorandum yang diserahkan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan @ Tantawi, itu menyatakan pemuda mahu suruhanjaya yang kini hanya dikhaskan untuk melihat prosedur soal siasat SPRM dan pelanggaran hak asasi diberi kuasa yang luas meliputi punca dan siapa yang bertanggungjawab atas kematian Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor minggu itu.

Memorandum itu diserah Nasrudin kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam. Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin; Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabhki Yusof; Setiausaha Pemuda, Kamaruzzaman Mohamad dan beberapa aktivis Pemuda Pakatan Rakyat.

Menurut Ustaz Nasrudin, skop Suruhanjaya Siasatan Diraja yang terbatas bagi menyiasat dan menilai kaedah yang diguna pakai SPRM semasa soal siasat yang dijalankan dan menentukan sama ada berlakunya pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disoal siasat sahaja.

"Oleh itu, Pemuda Pakatan menegaskan keputusan kerajaan mengehadkan peranan Suruhanjaya Diraja menunjukkan kerajaan tidak telus dalam menyelesaikan misteri kematian Teoh,"katanya.

"Suruhanjaya itu perlu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihadkan dengan hanya tugas-tugas tertentu sahaja," katanya.

Sementara itu, Shamsul pula mendesak campur tangan serius dari Suhakam agar mengeluarkan gesaan kepada kerajaan menghormati pandangan rakyat terutama keluarga mangsa.

Ujar beliau lagi, Pemuda Pakatan ragu dengan inkues yang disebutkan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyiasat kematian Teoh, sedangkan inkues biasanya hanya dikendalikan oleh seorang majistret yang 'junior' bertaraf pegawai kerajaan sahaja.

Ini hanya akan menjadikan siasatan keatas kes ini tidak kemana, ditambah lagi dengan rekod inkues sebelum ini seperti dalam kes Francis Udayyapan, yang mati di dalam lokap yang akhirnya tiada keputusan, katanya. Selain itu ujar beliau, inkues ini hanya akan dibuat dengan hasil laporan siasatan polis sahaja, walhal rakyat semua tahu akan kredibiliti siasatan polis yang boleh dipertikai hari ini.

Sementara itu, Sivasubramaniam yang bercakap bagi pihak Suhakam menyatakan pihaknya akan mempertimbangkan pandangan yang dilontar pihak Pakatan Rakyat. Beliau memandang serius kes ini sebagai satu pelanggaran hak asasi dengan merujuk kepada kenyataan SPRM sendiri yang mana mengakui Teoh disoalsiasat bermula jam 7 petang hingga 3.00 pagi.

Ia katanya satu pelanggaran hak asasi kerana yang disoalsiasat hanyalah saksi, dan masa siasatan itu bercanggah dengan hak asasi mangsa.


Selain itu Sivaturut menyelar keenganan media arus perdana membuat laporan mengenai kenyataan-kenyataan Suhakam berhubung kes Teoh baru-baru ini.

Sementara itu, sehari sebelum memorandum dihantar kira-kira 3,000 orang, sebahagian besarnya berpakaian hitam, membanjiri Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) sebagai tanda sokongan padu kepada Teoh, yang ditemui mati di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam 16 Julai lalu.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, adalah antara yang menyertai perhimpunan selama tiga jam itu.

Hadirin berdiri memberi penghormatan kepada Tunang Teoh, Soh Sher Wei yang sedang mengandung anak mereka, ketika dia masuk ke dewan. Mereka turun memegang poster Teoh manakala kain rentang turut dipasang, antaranya berbunyi "Rakyat berhak mengetahui kebenaran!!! Pembunuh mesti dihukum". Teoh, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, 16 Julai lalu.

Sebelum ditemui mati, Teoh telah disoal siasat oleh SPRM kira-kira selama 10 jam sebagai saksi berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk Dun di Selangor. -harakahdaily



Era Najib Altantuya : Melayu Jahiliyah Belaan UMNO

Tak abih2 dengan Melayu. Getik teman. Macamler UMNO jer yang Melayu. Walaupun udah lebih suku abad merintah, UMNO masih lagi bangga dengan assobiyahnya. Nabipun getik. Islam memang benci pada assobiyah. Masyarakat Arab jahilyah jer yang amalkan assobiyah. Heran sungguh teman dengan UMNO ni. Mende yang Nabi tak suka itu yang menjadi amalan UMNO.

Kemudian canang sana, canang sini yang Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Islam dan Melayu mana boleh dipisah2kan. Iniler yang didodoikan oleh UMNO sejak bayi Melayu dalam boyan lagi. Udah tua bangkepun masih tidor dalam dodoian UMNO.

Apaler UMNO ni, pasai lilin pun nak bising. UMNO lupaker yang dalam Piagam Madinah ada 24 fasal yang menyentuh akan hubungan dan tanggungjawab orang Islam dengan bukan Islam. Selagi orang bukan Islam patuh pada hukum hakam Islam, selagi ituler orang Islam wajib melindungi deme.

Mendiang Teoh meninggal secara misteri. Boleh rosakker akidah MB Nizar semata2 memegang lilin sebagai tanda simpati? UMNO buat apa? Apahpun idak. Semua tunggu dahulu ulasan simpati daripada PM dan TPMnya. Lepaih tu baru berebut2 mengiyakan apa sajer yang dicakap oleh PMnye. Sebijik macam keghobo dicucuk hidung.

Rakan2 assobiyah UMNO iaitu Gerakan dan MCA segera mendesak kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat kematian secara misteri ini. Tak terdengorpun ada bahagian atau cawangan UMNO yang beria2 mendesak kerajaan semacam desakan Gerakan dan MCA. Maknanya UMNO tidak melindungi bukan Melayu. Bukan Melayu adalah tanggungjawab parti bangsanye jer. Orang Cina adalah urusan Gerakan dan MCA. Orang India adalah urusan MIC. Jadi dimanakah Islamnya Melayu UMNO itu? Nak kata memenuhi masjid semayang lima waktu idak juga …

Majoriti pengundi PAS adalah Melayu. Pemimpin PAS rata2nya adalah Islam Melayu. Tetapi Melayu bukanler merupakan pra-syarat untuk memimpin PAS. PAS adalah parti yang dipimpin oleh orang Islam. Islam Cinapun boleh memimpin PAS.

Begitu juga dengan PKR. Majoriti pimpinan utama PKR adalah Melayu. Melayu yang menghormati hak2 sebagai manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Ingat Piagam Madinah. Selagi bukan Islam patuh pada hukum hakam Islam, selagi ituler deme yang bukan Islam mesti dilayan secara manusia. PAS lebih arif tentang Islam. PKR telah memahami Islam yang sebenar. DAP baru belajar tentang Islam. Sedangkan UMNO walaupun telah memerintah separuh abad, tetap masih gagal memahamkan rakan2 assobiyahnya tentang Islam.

Teman yakin dan cukup yakin bahawa Melayu akan lebih terjamin di bawah pemerintahan PR. Tidak mungkin PAS dan PKR nak pinggirkan Melayu? Melayu dan bukan Melayu akan lebih selesa lagi di bawah pemerintahan PR berbanding di bawah UMNO.

Teman sebagai bangsa Melayu merasa malu dengan assobiyah UMNO ini. Sepatutnye assobiyah ini semakin kendur bukannya semakin tegang. UMNO lebih sayangkan kuasa pemimpinnya daripada rakyat Melayu yang mendokong pemimpin tersebut. Harapan untuk UMNO mengekalkan kuasa hanyalah pada Melayu di kampung2.

Salah teman juga. Bila udah merantau ke bandar, jarang bebenor balik ke kampung. Kalo balikpun cuma nak makan deghoyan. Tak sempat berlabun bertanya khabo. Tak bermalampun. Anak2 tak boleh tidor. Takut hantu. Senja ade bunyi kuang kuang kuit kuit. Malam ada bunyi bote berketak kah kah kah. Tingkap dan pintu takde grill. Paling lewat lepaih isyak, teman sekeluarga tuaih balik ke bandar. Tinggailer orang kampung dalam boyan yang didodoi oleh UMNO. Ade yang udah melompat. Ade juga yang mati lena dalam boyan itu. -jantantuya


Era Najib Altantuya : Selangor Tolak Amalan Kalung Bunga Di Tugu Peringatan

Pada kelazimannya, pemimpin negara ini menyambut Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun dengan mengalung bunga dan bertafakur di dataran Tugu Negara atau tugu peringatan.

Malah ada juga yang mengadakan konsert amal bagi mengutip derma dan sumbangan sebagai tanda menghargai pengorbanan wira yang sanggup berkorban, mempertahankan tanah air tercinta ini.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan Kerajaan Selangor yang mengadakan majlis bacaan Yaasin dan tahlil untuk dihadiahkan kepada pejuang yang sudah terkorban ataupun yang masih hidup.

“Program ini usaha untuk memperingati sumbangan pahlawan kita iaitu tentera yang telah bersedia untuk mempertahankan negara dan untuk menjaga keamanan negeri. Jadi oleh sebab itu kita mengadakan majlis baca Yaasin dan Tahlil untuk mereka yang telah meninggalkan kita. Di samping itu membaca doa selamat supaya mereka dapat terus berjuang demi kejayaan negara Malaysia dan rakyat Selangor merasakan usaha kita ini sedikit banyak dapat memberi perangsang dan motivasi kepada mereka”, kata Tan Sri Abdul Khalid.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam tengahari tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sudah mengaturkan pelbagai program sempena Hari Pahlawan 2009.

Antaranya, membuat kutipan derma dan sumbangan bukan sahaja kepada bekas askar, malah keluarga dan balu mereka juga turut dibantu untuk meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

“Kita telah buat beberapa rancangan antaranya ialah kutipan derma yang dulunya tidak berapa banyak mereka yang digalakkan untuk menderma, tapi kali ni kerajaan negeri dan beberapa MAIS, Majlis Agama Islam juga akan mengadakan perbincangan dimana kita boleh memberikan sumbangan kita untuk masa depan balu-balu, keluarga dan askar-askar yang telah bersara. Saya ingat dalam bulan puasa”, jelas Tan Sri Abdul Khalid. -selangorkini


Era Najib Altantuya : JP Tuntut Kerajaan Masukkan Sebab Kematian Teoh Dalam Suruhanjaya

Jemaah Kebangsaan Jaksa-Jaksa Pendamai menggesa kerajaan memasukkan 'sebab kematian' sebagai salah satu terma rujukan bagi suruhanjaya diraja yang akan dibentuk berikutan kematian seorang pembantu politik Selangor baru-baru ini, demikian lapor Bernama.

Penubuhan suruhanjaya itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak adalah untuk mengkaji kaedah soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) untuk menentukan sama ada hak asasi manusia telah dicabuli semasa soal siasat Teoh Beng Hock yang dijumpai mati selepas itu.

Setiausaha agung jemaah itu, Datuk M. Ramalingam berkata, kerajaan tidak harus menghadkan terma rujukan suruhanjaya itu hanya kepada prosedur siasatan yang menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi manusia. "Apa yang paling penting kepada keluarga mendiang dan negara secara umumnya ialah sebab kematian dan bukan apaapa yang lain.

"Ini (memasukkan terma sebab kematian) tentunya merupakan bakti yang tepat kepada ibu yang belum berkahwin dan anak berkenaan, ibu bapa dan orang ramai yang berkabung, dengan itu menenangkan negara pada saat-saat penuh ujian dalam sejarah negara kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ramalingam berkata, keputusan kerajaan mengadakan inkues oleh seorang Koroner di bawah peruntukan Kanuan Prosedur Jenayah mungkin tidak memiliki kuasa dan keberkesanan seperti mana sebuah suruhanjaya diraja, yang mempunyai kuasa luas.