24 Dis 2014

[EDISI BINATANG] Didera Minum Air Kencing & Air Panas, Kemaluan Disula...


Siksa, derita demi “sesuap nasi”

Jenis manusia apakah yang akan memaksa seseorang supaya minum air kencing dan air panas, gigi diicabut serta kemaluan disula dengan objek?

Tidak cukup dengan itu, dia juga dirotan, direnjat dengan elektrik, kepala dan badan di pijak selain makan najis.

Bayangkanlah bagaimana rasanya jika anda diperlakukan begitu!

Begitulah nasib beberapa pembantu rumah Indonesia yang datang ke negara ini demi mencari rezeki, yang mana kebanyakannya bekerja sebagai pembantu di rumah-rumah, di kedai-kedai makan, di pusat-pusat penjagaan kesihatan dan seumpamanya. Namun, hanya mereka yang tahu jenis permit pekerjaan yang dipegang. Masing-masing terpaksa berjauhan daripada keluarga, mengerah kederat menggunakan tulang empat kerat demi memberi kehidupan lebih baik untuk keluarga di kampung halaman.

Namun tidak semua daripada mereka yang bernasib baik. Ada yang terpaksa menanggung bermacam rupa kepayahan, penderitaan malah penyiksaan.

Belum pun reda kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat yang disiksa teruk di bahagian payudara pada tahun 2004, seorang lagi pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun menjadi mangsa terbaru majikannya sejak lapan bulan lalu, di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Kes terbaru yang melibatkan wanita berusia 32 tahun itu, seakan sama dengan nasib yang menimpa Nirmala yang mana mangsa dipaksa minum air kencing dan air panas, giginya diicabut serta kemaluannya disula dengan objek. Malah, dia juga dirotan, direnjat elektrik, dipijak di kepala dan badan selain makan najis.

Bagaimanapun, penderitaan mangsa itu berakhir apabila dia diselamatkan jirannya ekoran penemuan nota ringkas yang ditulis mangsa berbunyi “tolong bos dera saya,” yang diletakannya di bawah pintu rumah majikannya.

Harian Metro hari ini melaporkan pada jam 6.20 petang Sabtu lalu, sepasukan polis dari Balai Polis Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada jiran berkenaan, untuk menyelamatkan mangsa sebelum menahan dua wanita berusia 39 dan 47 tahun.

Menurut jiran mangsa yang enggan dikenali, beliau dan seorang jiran lain sering terdengar suara menjerit dan merayu dikasihani.

“Mulanya kami sangkakan perkara biasa, namun lama-kelamaan jeritan itu makin kerap kedengaran, menyebabkan kami mengesyaki berlaku penderaan.


“Susulan itu, penduduk nekad membantu menyelamatkan mangsa dengan melaporkan kejadian itu kepada polis selepas menemui nota ditinggalkan mangsa,” katanya.

Tambah jiran mangsa, lebih mengejutkan rumah tersebut ibarat pusat penyeksaan, di mana pihak polis menjumpai sembilan jenis rotan.

Sementara itu, sumber polis berkata, mangsa mula bekerja di rumah majikannya yang juga seorang perunding di sebuah kilang di Selangor sejak lapan bulan lalu.

“Mangsa mendakwa mula didera sejak mula bekerja di rumah itu. Mangsa mendedahkan dia ditumbuk dan ditendang di seluruh badan terutama kepala.

“Mangsa turut dipaksa minum air panas selain makan najis dan (minum) air kencing. Dia turut dirotan dan kemaluannya disula dengan objek keras,” katanya yang mendedahkan mangsa turut direnjat dengan elektrik.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Ampang (HA) dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Doktor yang merawat, mengesahkan mangsa turut patah tulang rahang selain kemaluannya cedera,” katanya.

Sepasukan polis kembali ke lokasi kejadian jam 10 pagi kelmarin (Ahad) bagi mengumpul bukti penderaan sebelum menemui lima kesan darah baru di lantai dapur rumah itu.

“Selain itu, polis merampas alat penghalau nyamuk elektrik yang dipercayai digunakan untuk merenjat elektrik jari mangsa. Siasatan awal polis mendapati suspek akan memaksa mangsa mengesat darahnya yang jatuh di lantai dapur rumah berkenaan selepas didera,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu terbabit dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan 377 C (A) Kanun Keseksaan.

Disebabkan penderaan yang berterusan oleh rakyat Malaysia terhadap pembantu rumah warganegara Indonesia, berlakunya kesan mendalam menyebabkan mereka tidak mahu bekerja di negara ini walaupun ditawar gaji wang begitu lumayan.

Bayangkanlah kisah penyiksaan hamba atau pesalah di dalam kebuk siksa pada zaman dahulu seperti yang ditayangkan di televisyen. Peralatan yang digunakan di rumah tersebut ke atas pembantunya pasti memberikan gambaran kebuk siksa seperti yang dapat kita tonton. Pastinya, sesiapa saja yang membaca berita nasib pembantu itu akan berasa takut, malah mengerikan.

ULASAN GB

Teringat kisah Robengah, seorang amah yang mendakwa dirinya dirogol oleh seorang pak menteri satu ketika dulu.

Robengah diberitakan telah diberikan habuan sebuah rumah banglo di tanahairnya.... dan mahkamah telah melepaskan pak menteri itu...

GB tak sebut nama... dan tak juga menghina mahkamah, sekadar mengimbau semula peristiwa lalu...

[VIDEO] Banjir Landa Pahang, 100 Pelancong Terperangkap Di Taman Negara


Lebih 100 pelancong dari luar negara dan tempatan terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort setelah Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya 76.56 meter (paras bahaya 68.00 meter).

Difahamkan paras itu yang tertinggi pernah dicatat selepas banjir besar pada 1971.

Keadaan itu juga menyebabkan arus deras dan jeti pelancongan Kuala Tahan terpaksa ditutup sehingga menyukarkan perkhidmatan bot untuk membawa keluar pelancong yang dijadual pulang pada hari ini.

Seorang kakitangan resort berkenaan yang enggan dikenali, berkata kesemua pelancong asing itu datang dari tujuh negara termasuk Kanada, Jerman, Perancis dan Belanda selain pelancong tempatan.

Beliau berkata pelancong terbabit sepatutnya pulang semalam, namun disebabkan hujan lebat, air sungai naik mendadak mengakibatkan hubungan terputus dan bekalan makanan pula habis.

"Namun kami tetap memastikan semua pelancong berkenaan berada dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya mesyuarat khas diadakan petang ini dengan pihak yang berkaitan, termasuk polis dan Pejabat Daerah Jerantut, untuk membincangkan langkah yang perlu sementara operasi untuk mengeluarkan semua pelancong yang terlibat dilakukan.

Sementara itu, di Kuantan, lebih 5,000 penduduk di Sungai Lembing terperangkap setelah tiga jalan utama yang menghubungkan kawasan pelancongan itu dengan bandar Kuantan ditenggelami air sehingga 1.5 meter pada jarak 200 hingga 400 meter sejak tengah hari kelmarin.

Ketua Balai Polis Sungai Lembing Sarjan Mejar Arshad Yacob berkata tiga jalan terlibat ialah Jalan Sungai Lembing-Kuantan (Simpang Tiga Panching), KM31 Jalan Sungai Lembing-Kuantan dan Jalan Kampung Nadak.

"Jalan-jalan tersebut ditutup kepada kesemua jenis kenderaan menyebabkan penduduk terputus hubungan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan di Kuantan.

"Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Balai Polis Sungai Lembing setakat ini ialah 10 mangsa daripada dua keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Penghulu Kampung Ulu Kuantan Roslan Amat berkata, Pekan Sungai Lembing mulai dinaiki air tengah hari kelmarinn sebelum surut jam 3 petang, namun kembali dinaiki air 4 petang sehingga mencecah paras dada pada tengah malam kelmarin.

"Walaupun terputus hubungan, namun bekalan barangan makanan setakat ini masih mencukupi untuk dua hari bagi penduduk yang terperangkap di Sungai Lembing.

"Dalam masa yang sama kita telah pun menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat meminta bekalan," katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet pelancongan Time Capsule, Young Yeong Leong, 56, berkata dua pelanggannya turut terperangkap di Pekan Sungai Lembing dan beliau sendiri tidak dapat menghantar bekalan makanan sejak kelmarin.

"Saya difahamkan 30 pengunjung dan pelancong di sebuah chalet lain juga terperangkap," katanya.- Bernama





ULASAN GB

[BERGAMBAR] Banjir Landa Terengganu, 10 Pelancong Panik Chalet Dipukul Ombak


Marang: Kira-kira 10 pelancong yang menginap di sebuah chalet di sini berdepan detik cemas setelah tempat penginapan mereka hampir runtuh akibat dipukul ombak besar pada Isnin malam.

Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Latifah Hamid, 51, berkata ketika dia bersama lima lagi ahli keluarga sedang berehat, mereka terkejut apabila melihat pagar chalet tempat penginapan mereka serta beberapa batang pokok kelapa berdekatan tumbang menyembah bumi.

"Kami datang ke sini untuk bercuti sambil melihat ombak dan mengambil keputusan menyewa chalet berhampiran pantai Rusila namun tidak menyangka ombak besar itu hampir meruntuhkan tempat penginapan kami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya apabila melihatkan keadaan itu, beliau segera memaklumkan pemilik chalet sebelum disuruh mengemas barang untuk berpindah ke chalet lain yang jauh dari kawasan pantai bersama empat penghuni lain yang turut menginap di situ.

"Semasa mendaftar masuk ke chalet semalam (Ahad) ketika itu angin kencang namun ombak tidaklah sebesar malam tadi," katanya.

Sementara itu, pemilik chalet Jamilah Abdullah berkata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau mengarahkan semua penghuni berkenaan berpindah.

Jamilah berkata apabila tiba di situ, beliau mendapati 12 bilik di tepi pantai berkenaan tergantung setelah sebahagian tanah di bawah bilik tersebut terhakis dibawa ombak.

"Sejak 10 tahun beroperasi, ini merupakan kali pertama insiden seperti ini berlaku, nasib baik penghuni tersebut menyedari kejadian ini dan tiada perkara lebih buruk berlaku," katanya.

Menurutnya sekarang ini terdapat 12 bilik yang terletak kira-kira 50 meter berhampiran pantai.

Katanya benteng penahan hakisan yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak dua tahun lalu turut dihanyutkan ombak.


Kawasan rendah sekitar Kuala Terengganu tenggelam

KUALA TERENGGANU: Beberapa kawasan rendah di sekitar Bandaraya Terengganu ditenggelami air setinggi setengah meter sekitar pukul 10 malam tadi berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat.

Antara kawasan terjejas ialah Bazar Warisan, Pasar Payang, Waterfornt, Pulau Warisan, Pulau Kambing dan Batu Buruk.

Seorang peniaga di Pasar Payang, Abu Bakar Abdul Hamid, 55, berkata air mula naik pukul 9 malam dan dia sempat memindahkan barang niaganya ke tempat tinggi.

"Ini kali kedua Pasar Payang dinaiki air sejak 20 tahun saya berniaga di sini dan air naik secara mendadak," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi peniaga Noraini Abdullah, 52, berkata dia juga sempat menyelamatkan beberapa barang niaganya setelah menyedari air semakin melimpah naik ke jalan sekitar pasar itu.

"Sudah lama kawasan ini tidak banjir dan malam ini tidak dijangka air akan naik setinggi ini," katanya.

Turut terjejas banjir ialah kawasan perumahan sekitar Seberang Takir dan beberapa kampung di Pulau Duyong.

Orang ramai turut memindahkan kenderaan mereka di sepanjang Jambatan Sultan Mahmud di sini. - Bernama
-BERNAMA