15 Sep 2012

Saya Keluar UMNO Kerana Rasuah & Penipuan Berleluasa Dalam Parti Itu - Ibrahim

Labuan 15 Sept: Amalan rasuah dan penipuan pimpinan Umno Sabah ketika penduduk negeri itu khususnya Labuan masih mundur, punca Tan Sri Ibrahim Menudin keluar Umno dan menyertai KEADILAN.

“Saya antara orang yang bawa Umno masuk Sabah tapi kini saya tinggalkan Umno yang dicemari rasuah. Memandangkan ekonomi negara merosot tapi rasuah meningkat. Saya harus bangkit sumbangkan tenaga untuk baiki keadaan.

“Kita tidak mahu lagi rakyat Labuan dan Sabah diperbodohkan BN. Labuan sebagai pusat kewangan kini dalam keadaan menyedihkan sepanjang kekuasaan mereka,” katanya tokoh korporat itu.

Bekas Bendahari Jawatankuasa Perhubungan Umno Sabah itu berkata demikian ketika berucap dan mengisytihar menyertai KEADILAN di Kampung Tanjung Aru, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah petang tadi.

Ibrahim menyifatkan Umno Sabah mengabai tanggungjawab mereka terhadap penduduk Labuan hingga mengakibatkan rakyat berterusan hidup dalam kepayahan.

“Contohnya, hospital di Labuan amat menyedihkan. Kos membina berpuluh-puluh juta tapi tiada doktor. Orang Labuan terpaksa pergi ke Kota Kinabalu untuk dapatkan rawatan.

“BN juga tak mahu bina jambatan kerana tidak kos tidak efektif. Kalau jambatan dibuat, kos hidup Labuan boleh turun; orang Brunei, orang Sabah & Sarawak senang datang, barulah ekonomi Labuan maju,” katanya.

Hadir sama, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan pimpilan lain.

Tindakan Ibrahim itu sekaligus mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin serta Naib Presiden Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (Upko) Datuk Maijol Mahap. -KD




Laporan sebelum ini
klik untuk baca





UMNO Sabah Terbarai: Bekas Bendahari UMNO Sabah Sertai PKR

Bekas Bendahari Jawatankuasa Perhubungan Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin yang turut terlibat dalam membawa masuk parti itu ke negeri berkenaan, hari ini membuat pengumuman menyertai KEADILAN.

Ia dibuat depan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin utama parti itu pada satu majlis Kampung Batu Arang di sini, kira-kira jam 3.30 petang ini.

Pengumuman itu pasti memberi tamparan hebat terhadap Umno BN selepas Ahli Parlimen Beaufort, Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing mengisytihar menyokong Pakatan Rakyat.

Ibrahim adalah Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Sabah antara Februari 2002 hingga Mac 2004 dan kini, adalah Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah dan Pengerusi Amanah Perbualan Borneo.

Beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif untuk Sapura Kencana Petroleum bermula 9 Mac 2012 dan Lembaga Pengarah SapuraCrest sejak 22 November 2007.

Ibrahim memulakan kerjaya di Perkhidmatan Awam Negeri Sabah sebagai Ketua Akauntan Sabah dari 1976 hingga 1979.

Pada 1980, Ibrahim menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Dana Pelaburan Bumiputra Sabah sehingga 1985.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Sabah Gas Industries Sdn Bhd, Timbalan Pengerusi Sabah Forest Industries Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Kerajaan perbadanan yang terlibat dalam kewangan, perhutanan, pembuatan, perladangan, hotel dan pembangunan hartanah.

Ibrahim juga pernah dilantik sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC) dari Mac 1986 hingga 31 Oktober 2001.

Beliau merupakan Pengerusi Malaysia Smelting Corporation Berhad dari Oktober 1985 hingga Oktober 2001, selain menjadi Pengerusi Borneo Conservation Trust (BCT) sejak 30 November 2009 -KD


Pemimpin korporat Umno Sabah sertai pembangkang

Tokoh korporat Umno Sabah Ibrahim Menudin hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti Melayu itu, sekali gus menyatakan sokongannya terhadap pembangkang.

Mengumumkannya dalam acara bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Labuan, beliau berikrar memberikan kesetiaan kepada PKR.

Perkara itu disahkan Naib Presiden PKR Tian Chua di akaun Twitter miliknya hari ini.

Ibrahim - antara pemimpin perintis yang membawa masuk Umno ke Sabah - berkata, beliau meletakkan jawatan ekoran wabak rasuah dalam parti.

Ibrahim (lihat gambar) bertugas sebagai pengerusi di Suria Capital Holdings Berhad - pemilik penuh Sabah Ports Sdn Bhd - yang menguruskan kesemua lapan pelabuhan di Sabah.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai bendahari Umno Sabah.
-mk


Pelajar 15 Tahun Ditahan Berasmara Di Belakang Sekolah

Kulim – Polis menahan seorang pelajar perempuan 15 tahun dan masih memakai uniform sekolah ketika berasmara dengan kekasihnya berusia 21 tahun di belakang sebuah sekolah menengah di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis menerima aduan dari orang awam sebelum menahan pasangan terlibat.

Ketika pemeriksaan dijalankan, polis mendapati pelajar perempuan sudah membuka tudung dan berkelakuan sumbang bersama teman lelakinya.

“Lelaki tidak bekerja dan tinggal bersama abangnya di sebuah taman perumahan di sini.

Polis menasihati pasangan itu untuk tidak mengulangi perlakuan yang dilakukan sebelum mengarahkan mereka beredar,” katanya.

Tidak berakhir di situ, mereka kemudiannya ke rumah lelaki berkenaan dengan harapan selamat dari gangguan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan mereka disedari penduduk dan memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk membuat serbuan.

Ketika serbuan, pasangan perempuan cuba menyembunyikan diri dalam almari baju gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan ditahan untuk dirakamkan keterangan.

Ghuzlan menasihatkan ibu bapa supaya bersikap lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab.

Katanya, semakin ramai pelajar perempuan ditahan kerana berkelakuan sumbang.

“Minggu ini sahaja, empat pelajar sekolah terdiri dari dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan berusia di antara 16 hingga 17 tahun ditahan polis bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) ketika membuat rondaan cegah jenayah.

“Mereka ditahan ketika berkelakuan sumbang di taman permainan di sini kira-kira jam 1 pagi.

“Dari soal siasat, pasangan itu mengaku ingin melakukan hubungan terlarang di taman permainan di mana mereka ditahan,” katanya. -SH

K'jaan UMNO BN Bina Longkang Pelik Di Paya Jaras

Paya Jaras 15 SEPT : Penduduk Kampung Merbau Sempak di sini berhadapan dengan masalah bau busuk ekoran pembinaan longkang yang dibina oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) tidak memenuhi spesifikasi menyebabkan air sering bertakung.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Anuar Abdul Rahman projek di bawah Kerajaan Umno-BN itu mula dilaksanakan sebelum sambutan Aidilfitri dan siap sepenuhnya pada 3 September lalu.

Beliau berkata, pembinaan longkang itu adalah bertujuan mengalirkan air dari setiap kawasan perumahan ke sungai berhampiran.

Namun katanya, pelaksanaan kerja yang tidak selaras oleh kontraktor terbabit mengakibatkan longkang tersebut berubah menjadi kolam takungan.


“Asalnya tiada longkang, kemudiannya mereka (Umno-BN) bina longkang baru. Longkang baru ini merupakan sambungan daripada longkang tanah yang dibuat oleh penduduk setempat. Jadi mereka gunakan longkang sedia ada itu untuk sambung ke sungai.

“Isunya ialah kontraktor buat longkang dari sungai tarik ke jalan menyebabkan longkang sedia ada menjadi tinggi (cetek) dan tidak bertemu apabila siap. Hal itu yang menyebabkan air mula bertakung,”
katanya.

Tambahnya, kesan daripada itu, nyamuk Aedes juga mula membiak dan memenuhi sekitar kawasan perumahan.

Malah katanya, penduduk telah mengadukan perkara tersebut kepada Pejabat Umno-BN, namun tidak dilayan hingga menyebabkan masalah itu berlarutan sehingga ke hari ini.

“Saya juga ada berhubung dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), tetapi mereka juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana projek itu tidak merujuk kepada PBT dan pejabat daerah,” katanya lagi. -selangorku

Chegu Bard Mahu Dedahkan Korupsi Libatkan JPM

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan membuat pendedahan berlakunya penyelewengan melibatkan Jabatan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan media hari ini Penyelaras SAMM Kebangsaan Badrul Hisham Shaharin berkata pihaknya akan mendedahkan identiti seorang yang bekerja sebagai orang tengah dalam hal geran bantuan Perdana Menteri.

Badrul Hisham yang juga ketua PKR bahagian Rembau berkata pada 12 September (semalam) beliau menerima satu set dokumen di rumahnya di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menurutnya, SAMM akan membuat pendedahan kesemua dokumen yang diperolehi dalam masa tiga hari dari hari ini.

Dokumen ini membuktikan bagaimana geran bantuan Perdana Menteri kepada sebuah badan kebajikan telah diselewengkan dan sebanyak RM200,000 terpaksa dibayar kepada orang tengah sebagai ‘komisyen’.

Menurutnya lagi, set dokumen itu mengandungi surat bertarikh 28 Mac 2012 dari Kementerian Kewangan yang memaklumkan kepada pertubuhan kebajikan tersebut mengenai peruntukan geran sebanyak RM500,000.

Surat-surat yang lain disertakan ialah surat jawapan persetujuan penerimaan bantuan geran dari pertubuhan tersebut kepada Kementerian Kewangan.

Juga diperolehi ialah minit mesyuarat pertubuhan tersebut yang menyebut dengan jelas nama seorang pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) yang membantu mendapatkan geran bantuan daripada Perdana Menteri.

Dokumen itu adalah bukti yang kukuh di mana pemimpin BN tersebut menjadi orang tengah kepada sebuah pertubuhan di mana mendapat geran bantuan RM500,000 tetapi diputuskan pembayaran ‘komisyen’ sebanyak 40% kepada syarikat milik pemimpin yang dinyatakan.

“Set dokumen tersebut turut melampirkan penyata kira-kira akaun yang menyatakan dengan jelas pembayaran komisyen dibuat melalui 10 cek kepada syarikat yang dinyatakan sebelum ini.


Ini termasuk beberapa dokumen yang boleh membuktikan operasi pembayaran komisyen ini diketahui oleh pihak yang menguruskan pembayaran dari pejabat Perdana Menteri itu sendiri,” kata Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai CheguBard.

Usaha tutup korupsi Scorpene

Sementara itu, CheguBard mendakwa siasatan yang dilakukan terhadap sebuah NGO, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ialah satu usaha untuk menutup isu pendedahan korupsi kapal selam Scorpene termasuk penjualan maklumat ketenteraan kepada pihak asing.

“Tiba-tiba untuk menutup isu pendedahan korupsi kapal selam yang didedahkan termasuk penjualan maklumat ketenteraan kepada pihak asing, Suaram diserang di media utama negara sebagai alat asing semata-mata kerana menerima dana dari luar.

“Nampak sangat kerajaan BN menjadi panik dan ketandusan isu berdepan Suaram,” jelas beliau.

Beliau berkata, bukannya suatu perkara yang asing organisasi bukan kerajaan di seluruh dunia mendapat bantuan dana dari luar khususnya dari negara kaya dan maju.

Bantuan dan dana katanya, juga datang dari badan korporat, yayasan besar dunia dan perbagai bentuk lagi secara langsung mahupun tidak langsung.

Jelas beliau, “ini bukanlah satu kesalahan atau pelik cuma cara hipokrasi kerajaan BN seolah-olah menjadikan perkara ini asing dan amat salah, khususnya dalam negara yang mengamalkan konsep kapitalisme (pasaran terbuka).

“Yang salah ialah usaha menjual syarikat berkepentingan negara kepada pihak asing. Rakyat seharusnya tidak melupakan penjualan kepentingan Bernas, Telekom dan banyak syarikat negara kepada pihak asing.

“Lebih dashyat ialah mereka yang rapat dengan Perdana Menteri yang terlibat menjual rahsia ketenteraan negara dalam proses pembelian Scorpene, ini juga didiamkan,” ujar beliau. -FMT

Kerajaan UMNO BN Sudah Gila, Mahu Terus Bina Menara Warisan

Pembinaan Menara Warisan Merdeka oleh Kerajaan Pusat bakal mengundang nasib serupa sebagaimana projek National Feedlot Corporation (NFC), LRT dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dan lain-lain projek yang didapati berlaku penyelewengan oleh pimpinan Umno BN.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan penuh berhubung peningkatan kos berikutan ketinggian menara itu kini ditambah kepada 600 meter berbanding 509 meter ketinggian asal pada permulaan projek ini.

“Kalau dulu kos menara ini RM5 bilion, bermakna kalau ditambah lagi (ketinggiannya), sudah tentu kos tersebut akan meningkat naik dan Najib perlu dedahkan perkara ini.

“Projek bangunan ini pernah dibawa ke sidang Parlimen, kemudian ia disenyapkan dan tiada susulan dibuat selepas itu. Tapi malangnya apa yang berlaku sekarang, malah peningkatan kos juga tidak diumumkan, ” katanya ketika dihubungi.

Projek untuk kayakan kroni

Zuraida tidak menolak bangunan pencakar langit tersebut antara projek gajah putih Umno bertujuan mengkayakan kroni mereka.

“Ini yang menimbulkan keraguan, melihatkan spekulasi yang berlaku sekarang, pastinya ada penyelewengan.

“Projek itu pasti kroni mereka akan bolot, kosnya tentu berlipat kali ganda. Kenapa perlu bina bangunan yang begitu mahal?” soal Ahli Parlimen Ampang itu lagi.

Sebagai pemimpin, kata Zuraida, beliau tidak mahu Menara Warisan dijadikan ‘bank’ untuk Umno mengaut keuntungan dari hasil rakyat.

“Umno tidak pernah takut untuk habiskan duit rakyat, mereka tak pernah ambil iktibar apa yang berlaku dalam projek NFC, LRT, KTMB dan lain-lain lagi.

“Umno perlu sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan anda. Jalan bagi menyelesaikan sikap boros Umno ini pastinya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” katanya.

Projek di bawah pengurusan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu mengesahkan, penambahan ketinggian bangunan itu yang memungkinkannya menjadi bangunan ketiga tertinggi di dunia dengan kos RM5 bilion diumumkan Najib dalam Belanjawan 2010.

Pengumuman itu mencetuskan tentangan, namun Najib tegas mempertahankan kononnya projek itu bukan pembaziran dan mempunyai kesan ‘baik’ ke atas ekonomi.

Dalam pada itu, Aktivis Warisan Negara, Teoh Chee Keong mendakwa, Menara Warisan akan ditambah daripada 102 kepada 120 tingkat.

Dengan ketinggian 600 meter, Menara Warisan hanya ketinggalan di belakang Burj Khalifa UAE (828 meter) dan Royal Clock Tower Hotel (601 meter) di Arab Saudi.

Ia juga bakal melangkaui ketinggian 501 meter Taipei 101 – pencakar langit tertinggi antara 2004 sehingga 2010.

Projek yang dibina bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan dijangka siap pada 2015 itu bakal melebihi bangunan tertinggi negara sekarang iaitu Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.


Rakyat bantah

Tinjauan Merdeka Center dalam kaji selidiknya terhadap pendapat pengundi Semenanjung Malaysia bagi suku keempat tahun 2010 mendapati, hampir 2/3 rakyat Malaysia membantah pembinaan bangunan itu.

Kaji selidik itu merangkumi 1,005 orang yang merupakan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia, menyaksikan 65 peratus responden membantah cadangan tersebut.

Masyarakat Cina adalah yang paling ramai membantah pembinaan menara tersebut (65 peratus) diikuti dengan Melayu (60 peratus) dan India (58 peratus). -KD

[WASPADA] Dipanah Petir Ketika Pegang Telefon Bimbit

Chukai – “Waktu itu saya sedang caj telefon bimbit dan letakkannya atas paha sambil tangan diletakkan atas telefon itu namun tak semena-mena saya rasakan terkena renjatan elektrik lalu saya yang berada di atas katil dalam bilik tidur tercampak di tepi dinding dengan badan kaku serta kejang,” kata Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.

Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan petir menyambar wayar elektrik hingga menyebabkan dia terkena renjatan dalam kejadian ketika hujan lebat dan kilat sambar menyambar kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di Taman Mawar 2, Jalan Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.

Pelajar tingkatan empat ini yang masih sedarkan diri sejurus renjatan itu hanya mampu membuka mata dan melihat kedua-dua tangannya bertukar menjadi biru kehitaman sebelum tidak sedarkan diri ketika kedua ibu bapanya memasuki bilik tidurnya.

“Semasa terkena renjatan itu saya lihat cahaya menyambar tangan lantas saya tercampak ke tepi dinding. Kejadian ini buatkan saya trauma dan serik untuk memegang telefon bimbit lagi semasa petir atau kilat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang juga kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar Abdullah, 55, berkata, semasa kejadian dia sedang berwirid di ruang solat di rumahnya sebelum terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan elektrik terpadam sebelum terdengar sayup-sayup anak bongsunya daripada lima beradik itu meraung kesakitan.

“Ketika itu terdetik di hati saya mungkin anak bongsu saya sudah meninggal. Lalu dalam keadaan gelap saya dapat capai telefon bimbit isteri sebagai sumber cahaya dan menuju ke bilik adik (nama panggilan untuk Aniq).

“Bila masuk ke biliknya, saya suruhnya mengucap kerana sangkakan keadaannya sudah tenat tapi Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam biliknya bersama isteri, Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri tetapi badannya kejang seperti robot sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kemaman,” katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu keajaiban dan kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.

Difahamkan akibat panahan petir itu, televisyen dan mentol di rumah dua jiran mereka turut meletup. Aniq Syazwan ditahan dalam wad selama dua hari kerana dikhuatiri kesan arus elektrik boleh memudaratkan otak dan jantungnya sebelum dibenarkan pulang petang kelmarin. -SH


Aniq Syazwan sambil diperhatikan bapanya (kanan) melakonkan semula bagaimana keadaan tangannya yang kaku selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan petir.