7 Ogo 2013

Kekuatan Najib Hanya Ada Pada Penipuan, Politik Wang & Pendatang Asing


Masa depan negara gelap dibawah kepimpinan yang mediocre

Dr Mahathir kata dia akan terus bercakap mengenai orang Melayu. Kenapa Mahathir perlu bercakap begini? Kerana dia tidak yakin Naib faham apa ertinya menjadi pemimpin Melayu terlebih dahulu sebelum jadi pemimpin Malaysia.

Kita pun mendapat perkhabaran dimana dalam perjumpaan tertutup, Mahathir membalun Najib. Kerosakan UMNO bermula dari zaman Pak Lah kata Mahathir. Najib menyambung kerosakan tersebut. Kesilapan terbesar Najib ialah dia hilang keyakinan kepada jenama UMNO.

Najib mengikut Mahathir sudah malu menjaja jenama UMNO. Sebab itu dia menjaja Najib sebagai jenama dan 1Malaysia sebagai jenama tambahan. Najib ingat negara kita sudah menjadi demokrasi ala Amerika dimana kita pilih presiden. Kesana kesini para juak Najib membesar besarkan faktor Najib untuk mendapat kemenangan.

Keadaan bertambah buruk kerana Najib mempunyai barisan penasihat yang tidak ada pengalaman politik dan tidak sensitive terhadap kesan daripada nasihat yang diberi kepada seorang PM yang kurang cerdiknya. Mengikut Mahathir- BR1M adalah suatu kesilapan kerana ianya membiasakan orang akan berfikiran bahawa mendapat wang setiap kali adalah suatu hak. Masaalah akan timbul bila kerajaan tidak mempunyai wang untuk mendanai rasuah dan politik wang. BR1M boleh kita ibaratkan sebagai seorang yang menunggang harimau yang sudah takut untuk turun kerana akan dibaham harimau tersebut.

Najib bukanlah pemimpin yang kuat. Dalam kawasan parlimen nya, kita amat hairan bagaimana jumlah pengundi mencecah 80,260 orang. Orang yang tidak datang dari Pekan tentulah tidak memahami perkara ini. Sesak dan semak Pekan jika ada orang seramai ini.

Dari tahun 2004 hingga 2008, jumlah pengundi bertambah pada kadar 5534 orang sahaja. ( dari 52, 683 dalam tahun 2004 kepada 58,217 dalam tahun 2008). Ini pertambahan yang munasabah memandangkan ada kem tentera wataniah dan kolej2. Tapi sejak tahun 2008 hingga 2023, yakni 5 tahun, jumlah pengundi bertambah secara mendadak dengan tambahan 22,043. Ini pertambahan yang menakjubkan. Dari mana datang nya 22,043 ini?

Kita tahu pegawai2 Najib menjalankan operasi membawa masuk orang asing dan memberi kad pengenalan kepada mereka. Sekurang kurang 18,000 warga asing dari kemboja dan Myanmar dijadikan rakyat negara ini dan beralamat di Pekan. Kalau kita tolak 18,000 dari majoriti Najib dalam tahun 2013, maka majority nya hanyalah 17,000. Dan mengikut maklumat dari orang Pekan sendiri, pertambahan pengundi asing amat mendadak antara 2008-2013.

Pada PRU11, Najib mendapat majority 22,922. PRU12 majoriti nya 26,464. Majoriti sebenarnya dalam PRU13 jika kita tolak 18,000 warga asing (Myanmar, Kemboja dll) , majoriti Najib hanya 17,000. Ini bermakna, Najib tidaklah bertambah kuat dalam kawasan nya sendiri. Kekuatan nya bertumpang kepada warga asing yang dapat KP segera. Dan Dr Mahathir tahu maklumat ini sebab ramai perisik masih setia dan mengkagumi Dr Mahathir.


BR1M pada hakikat nya kemuncak amalan politik wang. Ini masaalah terbesar yang sedang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Yakni, kerajaan telah memertabatkan politik wang kepada tahap yang lebih tinggi dan mereka yang berkepentingan membisu malah menyokong rasuah dan politik wang. Atas otoriti apa misalnya, timbalan pengerusi SPR menyatakan janji projek dan pemberian wang bukan politik wang? Dia bukan tokoh politik tapi anggota suatu suruhanjaya yang berjawab kepada Tuanku Agong.

Politik wang tidak lain dan tidak bukan ialah pembelian undi untuk kekal berkuasa dan setelah dapat kuasa kerajaan akan mencari jalan mengutip balik wang yang telah dibelanja dengan kadar untung pula. Proses ini diulangi setiap kali pilihanraya dan masyarakat terjerumus semakin dalam dalam sedutan politik wang.

Kenapa ini terjadi? Ini terjadi kerana politik wang sudah menjadi budaya UMNO. pemimpin naik keatas kerana membeli undi dan bukan menawarkan keupayaan dan kemampuan. Kita akan tiba pada suatu keadaan dimana barisan pimpinan adalah mereka yang telah membayar untuk naik hairaki kepimpinan. Kita mendapat mediocre leadership dan mediocre leadership tidak akan dapat membangunkan negara. Satu mediocre leadership akan menghimpunkan kumpulan orang yang sepemikiran dengan nya dan secara kolektif, ini akan menjahanamkan negara kita.

Dr Mahathir tidak percaya Najib melakukan yang terbaik untuk orang Melayu. Atau mampu melakukan nya. Bahkan dia anggap Najib seorang pemimpin ynag lembik dan berkompromi dengan bangsa lain. Mahathir memberi contoh kesediaan Najib meletakkan SPR dibawah pemantauan parlimen sebagai bukti Najib tunduk kepada tekanan. Bukan rahsia lagi Mahathir sekarang sedang menyerang Najib secara senyap2. Sementara dia berlari bersama arnab, dia memburu bersama anjing2. -yb sakmongkol

Ketua Menteri, Exco & Adun PR Pulau Pinang Isytihar Harta Secara Terbuka


Semua 11 ahli exco negeri dan 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mengisytiharkan aset mereka semalam.

Salinan pengisytiharan aset dari exco dan ADUN dari PR diedarkan kepada pemberita di Komtar, Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata butiran aset termasuk hartanah, pelaburan dan kenderaan bermotor dilaporkan sehingga 5 Mei tahun ini.

Berdasarkan pengisytiharan, Lim mempunyai dua rumah kedai di Melaka; dan RM308,368 dalam simpanan tetap, saham dan unit amanah di lapan syarikat.

Sebuah rumah kedai dibeli pada harga RM435,000 sementara sebuah lagi dengan harga RM530,000.

Lim juga melunaskan pinjaman pembelian dua rumah kedai itu. Beliau tidak mempunyai kenderaaan, menurut The Star hari ini.

Phee Boon Poh pula adalah ADUN yang mempunyai hartanah terbanyak di Pulau Pinang dengan memiliki lapan pemilikan hartanah.

Phee mengisytiharkan sebuah apartmen di Butterworth; sebuah rumah di Taman Dahlia; sebidang tanah di Teluk Air Tawar; sebuah megapuri di Bagan Ajam dan sebidang tanah di Batu Kawan.

Beliau turut mempunyai rumah dan tanah di Hamilton, New Zealand dan mempunyai pegangan saham di 24 syarikat serta enam unit amanah di enam syarikat.

Pengisytiharan itu akan dimuatnaik di laman sesawang kerajaan negeri hari ini. - TMI


Exco Pulau Pinang isytihar harta secara terbuka


Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Bagaimanapun, pegawai ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan negeri dan pegawai undang-undang negeri tidak diwajibkan berbuat demikian.

Lim berkata perisytiharaan aset mereka itu bertujuan memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

"Saya yang mencadangkan langkah-langkah integriti ini bagi memastikan kepimpinan yang yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabel, telus (CAT) ," katanya kepada pemberita di kompleks pejabat kerajaan negeri di Komtar.

Lim juga mencadangkan enam langkah integriti yang akan diambil termasuk mengharamkan pembabitan mereka dalam bidang perniagaan yang boleh membawa kepada konflik kepentingan parti-parti politik; sistem tender terbuka, undang-undang maklumat bebas dan perisytiharan aset peribadi.

Mengenai sama ada aset teman dan ahli keluarga akan juga diisytiharkan, Lim berkata, "Kami akan mengambil langkah satu persatu."

Ditanya bagaimana orang ramai boleh mengesahkan aset ahli-ahli politik berkenaan, Lim berkata, perisytiharan ini adalah secara sukarela oleh semua ahli exco.

Menurut borang perisytiharan aset yang diedarkan kepada wartawan hari ini, pelaburan Lim dalam Amanah Mutual Bhd menunjukkan sedikit peningkatan dari 112,843 unit kepada 124,845 unit antara Mac 2008 dan akhir tahun lalu.

Pelaburan Dana Public Mutual miliknya pula meningkat dari 10,000 unit hingga 25,989 unit manakala simpanan tetapnya menunjukkan kenaikan daripada RM245,000 hingga RM298,785. Pelaburan lain iaitu sebanyak 8,000 unit tidak menunjukkan peningkatan dari tahun 2008.

Selain itu, Lim juga memiliki dua rumah kedai di Melaka, satu daripadanya adalah harta milik bersama yang bernilai RM435,000 dan satu lagi bernilai RM530,000. Beliau juga ada membuat pinjaman RM650,000 bagi membayar hartanah itu.

Paling mencururi tumpuan adalah ahli exco dan ADUN Batu Maung Datuk Abdul Malik Abul Kassim kerana borang pengisytiharannya menunjukkan beliau tidak memiliki sebarang harta mahupun membuat sebarang pelaburan.

Beliau hanya memiliki kereta Proton Tiara apabila mengambil alih jawatan pada tahun 2008, dan baru-baru ini membeli sebuah Honda CRV 2.0 berharga RM143,000 yang dibayar dengan pinjaman kerajaan.

"Rumah saya kepunyaan isteri kerana dia bekerja. Saya kini tinggal di sebuah rumah sewa. Rakan-rakan saya melawak bahawa sekiranya saya bergaduh dengan isteri saya, maka saya akan tidur di kereta," katanya. -mk

Mahkamah Terima Petisyen BN DUN Klian, Kedudukan Lajim Ukin Terancam


Kota Kinabalu: Mahkamah Pilihan Raya di sini semalam memerintahkan perbicaraan bagi petisyen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias yang dimenangi calon PKR, Datuk Lajim Ukin.

Hakim Datuk Yew Jen Kee membuat keputusan itu selepas mendapati perkara dibangkitkan calon Barisan Nasional (BN), Isnin Aliasnih berhubung bahan cetak tidak memaparkan nama pencetak dan penerbit serta berlaku rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), perlu dibicarakan.

Keputusan itu adalah petisyen pertama diterima untuk dibicarakan oleh Mahkamah Pilihan Raya setakat ini.

Jee Kee bagaimanapun memutuskan petisyen terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Klias dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak kerana perkara ditimbulkan Isnin terhadap dua responden itu tidak memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Isnin yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort diarahkan membayar RM10,000 kepada kedua-dua responden terbabit.

Pada prosiding itu, Isnin diwakili Jaafar Esteban, Rizuan M Borhan dan Saiful Azian Mokhtar, manakala Lajim oleh Datuk Chau Chin Tang serta Datuk Lawrence Thine. SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas.

Petisyen Lajim ditolak

Pada PRU-13, Lajim menang DUN Klias dengan majoriti 179 undi selepas memperoleh 6,324 undi, Isnin (6,145 undi), Mohd Sanusi Taripin (SAPP) 182 undi, manakala Aliapa Osman (STAR) 71 undi.

Pada prosiding sama, Jen Kee turut menolak petisyen Lajim untuk membatalkan keputusan PRU-13 bagi kerusi Parlimen Beaufort dimenangi calon BN, Datuk Azizah Mohd Dun.

Keputusan itu dibuat selepas pempetisyen gagal mengemukakan kesalahan pada petisyen mereka mengikut Seksyen 11 (1) (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya selain tidak mempunyai merit. -BH

Pak Lah Tolak Perkasa Sebagai Model Perjuangan Melayu


Tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum dan komuniti namun ia tidak seharusnya dilakukan dengan cara yang tidak sepatutnya seperti dilakukan Perkasa, kata bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam bukunya.

Melalui bukunya berjudul Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia, Pak Lah berkata menjadi kesalahan memperjuangkan satu-satu kaum dengan menolak kaum lain.

Kumpulan yang diketuai Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin mendesak agenda kanan, terutama konsep Ketuanan Melayu, dan mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang dilihat sebagai musuh Melayu dan Islam.

Menjelang pilihan raya, Perkasa mencetuskan kontroversi apabila mengugut untuk membakar Al-Kitab, Bible berbahasa Melayu, dan juga video menunjukkan Zulkifli mengkritik agama Hindu.

Menyentuh konsep Ketuanan Melayu, Abdullah berkata ia tidak seharusnya bermaksud sebagai kuasa mutlak Melayu.

"Apa maksud tuan? Bagaimana kamu menjadi tuan? Dengan melakukan apa yang kamu buat - sama ada dalam pembelajaran, profesion, perniagaan.

"Hanya kerana kamu Bumiputera, kamu tidak boleh jangka semuanya diserahkan kepada kamu dan panggil kamu sebagai tuan. Ketuanan bukanlah satu hak. Ia perkara yang kamu perlu kerjakan," kata Pak Lah dalam bukunya.

Beliau mengakui adanya kebimbangan sesetengah orang Melayu terhadap perjuangan bangsa mereka kerana banyak lagi yang ketinggalan.

"Bagaimanapun, kebimbangan itu boleh disalurkan melalui kaedah yang betul, dan bukan melalui cara yang kasar seperti mana tindakan Perkasa,"kata Abdullah.

"Saya yakin kita perlu ada sebab dan rasionalnya bila kita berbicara mengenai seseorang," kata Abdullah, yang dipaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2009 selepas Barisan Nasional (BN) yang diketuainya memperolehi keputusan yang teruk dalam pilihan raya.

BN buat pertama kali gagal mendapat keputusan dua pertiga dalam pilihan raya itu.

Perkasa sentiasa mendapat pembelaan dari bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mendesak Pak Lah berundur.

Ekoran itu ramai pemimpin Umno enggan menyuarakan kritikan terhadap kumpulan berkenaan secara terbuka, khuatir kesan akibat lidah Ibrahim dan akhbar Umno, Utusan Malaysia, satu lagi suara yang memperjuangkan agenda kanan. -TMI

Ikhwan Tidak Berganjak: Kembalikan Mursi Sebagai Presiden Sebagai Syarat Penyelesaian


Mesir: Ikhwan Muslimin menegaskan tidak akan menerima sebarang solusi yang dicadangkan mana-mana pihak kecuali pihak tentera bersetuju dengan syarat bahawa Dr Muhammad Morsi perlu dikembalikan sebagai Presiden Mesir yang sah.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin sebagai menjawab kepada pertemuan Wakil Menteri Luar Negeri AS, William Burns yang mahu memujuk Ikhwan menerima solusi damai terhadap krisis politik yang berlaku di Mesir.

Kunjungan utusan AS itu sendiri adalah yang terbaru dalam penerusan langkah diplomatik menjadi orang tengah antara pendukung Mursi dan pemerintah sementara yang dikuasai tentera.

Ikhwan mendakwa, pendirian mereka tidak berubah, agar pihak tentera yang merampas kuasa mengembalikan legitimasi Mesir dengan menyerahkan kembali pemerintahan kepada Morsi yang telah dipilih oleh rakyat negara itu secara sah.

Dalam pada itu, Ahram Online melaporkan, Menteri Luar Negeri UEA Abdullah Zayed bersama rakannya dari Qatar Khalid Al-Attiyah serta William Burns telah mengunjungi orang kedua Ikhwanul Muslimin Khairat Asy-Syatir di penjara Tora malam tadi.

Ianya sebagai usaha memujuk Ikhwan menerima inisiatif penyelesaian yang mahu dikemukakan bagi menamatkan krisis di negara itu.

Namun Al-Jazeera kemudian melaporkan, Asy-Syatir, yang telah ditahan atas "tuduhan rekaan" menghasut pembunuhan, menolak untuk bertemu dengan mereka bertiga itu.

“Muhammad Mursi adalah presiden sah Mesir. Mereka harus berbicara kepada Mursi,” kata Asy-Syatir seperti dipetik Al Jazeera.