19 Feb 2011

SPR Silap Sebut? Tiada Cadangan Atau Tiada Arahan?

SPR: Tiada cadangan perkenal syarat baru calon pilihan raya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang untuk mengkaji had umur dan menjadikan tahap kesihatan calon sebagai syarat sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya di negara ini, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat SPR dengan parti-parti politik komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak di sini hari ini, Abdul Aziz berkata setakat ini terpulang kepada budi bicara parti-parti politik sendiri untuk memilih calon sesuai bagi mewakili parti serta bertanding dalam pilihan raya.

“Itu urusan parti masing-masing,” katanya, dan menambah kata SPR tidak dapat berbuat apa-apa dalam perkara berkaitan dengan had umur atau tahap kesihatan calon kerana hal berkenaan di luar bidang kuasa SPR.

Dipetik Bernama, beliau berkata tindakan mengehadkan umur dan menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai syarat menjadi calon pilihan raya memerlukan pindaan undang-undang sedia ada.

Di Kangar, semalam, Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perlis mencadangkan SPR mengkaji semula Akta Pilihan Raya 1958 dengan memasukkan beberapa syarat baru berkaitan calon pilihan raya.

Yang Dipertua Perkasa Perlis Ameir Hassan dipetik sebagai berkata antara syarat baru yang dicadangkan ialah had umur calon tidak melebihi 65 tahun dan mereka juga perlu disahkan sihat, sekali gus memberi ruang generasi muda berkelayakan menjadi calon.

Ameir mendakwa wakil rakyat yang melebihi had umur sering mengalami tekanan dan ada di kalangan mereka meninggal dunia menyebabkan berlaku proses pilihan raya kecil yang memerlukan kos besar.

Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara berdepan 16 pilihan raya kecil membabitkan enam kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk tiga sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini iaitu di DUN Tenang, Merlimau dan Kerdau.

SPR membelanjakan kira-kira RM10.4 juta bagi pilihan raya kecil berkenaan.

Ulasan GB

Mungkin Pengerusi SPR tersebut tersilap sebut.

Yang sepatutnya diucapkan ialah ... tiada arahan dari UMNO BN untuk perkenal syarat baru calon pilihan raya.

Kerana rakyat semua tahu SPR selama ini bertindak mengikut arahan dari UMNO BN.

Mahathir Sekadar Menambah Koleksi Bahan Lawak Tentang Dirinya

Mahathir terlupa dirinya Menteri KDN ketika Ops Lalang Oleh Chang Teck Peng

Mahathir Mohamad sememangnya terkenal sebagai Perdana Menteri yang dominan, tegas ketika memberi kata duanya. Beliau tidak mengendahkan sindiran pengkritiknya, sebaliknya akan menyanggah kritikan mereka dengan sikap dan nada yang angkuh.

Sesungguhnya, jasa dan silap seseorang tokoh bakal dinilai sejarah. Untuk tokoh seperti Mahathir (gambar kiri), mustahil penilaian terhadapnya hanya berat sebelah.

Tokoh seperti Mahathir sering berkeupayaan untuk menghalalkan setiap dasar dan tindak-tanduknya, malah amat yakin dengan hujah dirinya - meskipun wacananya itu tidak semestinya diterima umum. Keyakinan ini, dari perspektif yang lain, ditafsirkan sebagai keberanian untuk bertanggungjawab - iaitu memikul tanggungjawab terhadap jasa dan silap yang dilakukan.

Namun demikian, sifat Mahathir ini semakin luntur dalam tempoh lapan tahun selepas beliau bersara. Contoh yang terdekat, Mahathir cuba lepas tangan begitu sahaja tanggungjawab politiknya dalam "Operasi Lalang" pada tahun 1987, dalam satu wawancaranya yang dibukukan dalam Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad, oleh Tom Plate. Mahathir mendakwa penangkapan pada 26 Oktober 1987 adalah keputusan polis, dan beliau hanya menerima keputusan itu. Malah, beliau mendakwa dirinya pernah berjumpa dan menjamin kepada pembangkang sebelum "Operasi Lalang", bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Sejumlah 106 orang, termasuk ahli politik, pejuang pendidikan Cina, pencinta alam dan pekerja agama ditahan dalam Operasi Lalang, malah 40 orang antaranya dilanjutkan penahanan dua tahun. Permit akhbar The Star, Watan, Sin Chew Jit Poh dilucutkan, dan hanya kembali beroperasi pada tahun 1988. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila Mahathir menafikan bahawa dirinya adalah dalang utama di sebalik operasi penekanan politik ini.

Mahathir terlupa

Rakyat bukan menuduh sembarangan apabila menuding jari terhadap Mahathir, sebagai dalang "Operasi Lalang". Setelah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Musa Hitam dicantas, Mahathir sebagai PM merangkap jawatan Menteri Dalam Negeri sejak tahun 1986. Jawatan Menteri Dalam Negeri ini hanya diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Abdullah Ahmad Badawi, selepas Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Meskipun Mahathir berdepan dengan sekta yang berlainan pada awal zaman pemerintahannya, namun beliau berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah bersama pasukan B-nya, dalam pergelutan kuasa yang sengit dalam UMNO. Mahathir berjaya mempertahankan kedudukan sebagai PM, Menteri Dalam Negeri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Polis Diraja Malaysia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri - adalah sesuatu yang tidak masuk akal bahawa polis berani mengingkari arahan Mahathir - jika dilihat kepada sifat Mahathir yang diktator.

Jikapun tidak membincangkan realiti hubungan politik pada ketika itu, Mahathir tetap tidak boleh memisahkan diri dari tanggungjawab "Operasi Lalang" seandainya disemak peruntukan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). 40 dari 106 orang tahanan dilanjutkan penahanan dua tahun, yang seandainya dirujuk kepada Seksyen 8 (1) ISA - adalah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan agar penahanan dua tahun dikenakan, seandainya pada budi bicara Menteri, tahanan tersebut mengancam keselamatan negara.

Menurut ISA, walaupun Seksyen 73 memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menangkap tanpa waran sesiapa yang boleh ditahan mengikut Seksyen 8, tetapi Seksyen 73(3) juga menyatakan bahawa tempoh penahanan ini tidak boleh melebihi 60 hari. Malah, jika penahanan melebihi 30 hari, Ketua Polis Negara perlu melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri tentang keadaan penahanan.

Oleh itu, seandainya Mahathir tidak merestui tindakan menindas yang tidak demokratik ini, beliau mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang untuk menghalang, dan bukannya menjurus kepada penangkapan. Pertama, mustahil polis tidak berunding dengan Mahathir sebelum operasi penangkapan yang sebegitu besar dijalankan. Namun, Mahathir tidak membantah, sebaliknya merestuinya. Kedua, selepas penangkapan 106 orang, suasana ketegangan (yang didakwa kerajaan) telah dikawal. Persoalannya, mengapa Mahathir tetap menandatangani arahan untuk melanjutkan penahanan selama dua tahun untuk 40 orang tahanan?

Seandainya Mahathir tidak bersetuju dengan penangkapan seawalnya, tetapi terpaksa akur kerana khuatir "berlakunya konflik perkauman" - maka beliau boleh membubuh noktah kepada operasi ini selepas penahanan 60 hari. Beliau tidak perlu menandatangani surat untuk melanjutkan tempoh penahanan - kuasa yang hanya dimiliki Menteri Dalam Negeri, dan bukan polis.

Sebagai PM, Mahathir adalah Ketua Eksekutif (kerajaan), maka beliau tidak terelak daripada tanggungjawab politik terhadap semua keputusan dan operasi kuasa eksekutif. Sebagai Menteri Dalam Negeri, Mahathir juga tidak terelak daripada segala tanggungjawab eksekutif terhadap keputusan dan tindakan PDRM. Kita boleh memahami keterbatasannya jikalau Mahathir sekadar Menteri Dalam Negeri - kerana Menteri Dalam Negeri mungkin membantah penangkapan polis, tetapi dihalang PM. Namun, Mahathir adalah PM merangkap Menteri Dalam Negeri - apa lagi alasan yang ingin dikemukakan untuk membela dirinya?


Menjadi bahan lawak

Bukan kali pertama Mahathir menafikan bahawa dirinya memainkan peranan yang negatif dalam pemerintahannya. Walaupun Mahathir adalah dalang di sebalik "krisis kehakiman 1988", namun beliau tetap berkeras untuk membela dirinya - bahawa bukan dirinya yang memecat Ketua Hakim Negara, Salleh Abas, serta dua orang Hakim Mahkamah Agung yang lain, Wan Suleiman dan George Seah, tetapi tribunal.

Krisis kehakiman 1988 bermula dengan niat Mahathir untuk mengawal kuasa kehakiman. Sebelum tercetusnya "krisis kehakiman", beliau telah bersilat lidah dengan Salleh Abbas dalam isu kebebasan badan kehakiman, kemudian dilanjutkan pula kes kelangsungan UMNO/UMNO Baru (UMNO 11). Tribunal yang menjatuhkan kesalahan "misconduct" (salah laku) ke atas Salleh Abas, ditubuhkan atas cadangan Mahathir kepada Yang Di-Pertuan Agung dengan kuasanya sebagai PM. Motifnya cukup jelas. Kini, Mahathir cuba mengasingkan diri daripada tanggungjawab ini - mungkin "muka tebal" tidak cukup untuk menyifatkan kenyataan sebegini.

Hujah-hujah Mahathir sepanjang lapan tahun yang lalu telah menghakis imejnya sebagai pemimpin dominan yang berkarisma. Seandainya Mahathir memilih untuk mengakui kesalahan politik dirinya, dan menunjukkan keikhlasan dirinya untuk bermuhasabah; atau tetap berpegang bahawa dirinya melakukannya demi kepentingan negara ketika itu, dan berdepan dengan segala tanggungjawab dan kritikan - ia semestinya lebih baik daripada apa yang dilakukan sekarang - enggan meminta maaf, sebaliknya menolak segala-galanya kepada orang lain.

Mungkin Mahathir ingin meninggalkan catatan bertulis untuk membersihkan tanggungjawabnya, agar mempertahankan reputasi sejarahnya. Tetapi perhitungannya silap. Tindakan ini sekadar menambah bahan lawak tentang dirinya dalam sejarah. -MR

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 15 Februari 2011

[Bergambar] PAS Telah Bersiap Sedia Ganti UMNO

PAS telah siap sedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara bagi menggantikan tempat yang selama ini didominasi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian semasa berucap dalam majlis perhimpunan 30 ribu Pemuda PAS seluruh Malaysia di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, pagi tadi.

Menurut beliau lagi dunia telah membuktikan kezaliman dan sikap diktator yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin tersungkur di tangan rakyat.

"Gelombang yang telah menggerakkan kebangkitan rakyat di Mesir adalah kebangkitan generasi muda. Kebangkitan rakyat kini sudah menular bukan saja ke Tunisia, malah telah merebak ke Yaman dan Algeria.

"Apakah gerakan ini tidak mungkin bangkit di negara ini? Adalah tidak mustahil bagi rakyat untuk bangkit bagi menumbangkan kezaliman dan melenyapkan kemungkaran yang selama ini menodai sistem pemerintahan dalam negara.

"Jangan bimbang dengan Umno dan BN. Mereka kini sudah hampir kepada penghujung jalan. Usia mereka sudah tidak dapat bertahan lama lagi sebagai pemerintah dalam negara ini," ujarnya lagi.

Salahuddin juga menyatakan perubahan juga berlaku di Amerika.

Katanya, imej yang dikagumi oleh masyarakat Inggeris bahawa hanya orang kulit putih saja yang boleh menerajui kerusi Presiden di White House juga sudah berubah apabila Obama yang berkulit hitam menerajui kerusi tersebut.

Oleh kerana itu, katanya PAS dan Pakatan Rakyat juga tidak mustahil untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai parti yang layak untuk menggantikan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani dan kepimpinan PAS negeri Kedah. -harakahdaily


Mahfuz: PAS popular di kalangan 'rockers'

Pelakon dan penulis lirik terkenal Bob Lokman hari ini mengejutkan banyak pihak apabila hadir ke himpunan besar Pemuda PAS dan di Alor Setar bagi memohon menyertai parti Islam itu.

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak yang juga pesuruhjaya PAS negeri.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, penyertaan golongan selebriti itu diharapkan memberi anafas baru kepada PAS supaya parti itu dianggotai pelbagai lapisan masyarakat.

"Kami rasa ini akan menarik perhatian lebih ramai golongan muda...," kata Mahfuz kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, tambahnya, Bob - penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Search - bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.

Sebelum ini terdapat juga artis lain seperti Akill Hayy dan Ito daripada kumpulan Blues Gang menyertainya, kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Sementara Amy Searh pula didakwa agak dekat dengan pemimpin PAS dan sering hadir ke program parti itu.

"Kami sebenarnya popular di kalangan rockers (penyanyi rock)," kata Mahfuz sambil berjenaka.

Katanya, penyertaan itu menunjukkan kepelbagaian dalam PAS. -mk


Gambar ehsan sedaka sejahtera/harakahdaily













Budak 7 Tahun Didera Teman Lelaki Ibunya

Dungun - “Papa pijak kaki, lepas tu dia hantuk kepala saya pada simen. Dia juga lempar saya atas batu, berdarah bibir.”

Demikian diceritakan seorang kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya.

Budak itu yang masih trauma dengan kejadian itu ketika ditanya Sinar Harian mengakui perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan teman lelaki ibunya ketika dia tinggal bersama ibunya.

Katanya, setelah ibunya berpisah dengan bapa kandungnya yang bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Dungun, dia sering menjadi mangsa keganasan teman lelaki ibunya.

"Setiap kali papa bergaduh dengan ibu, saya akan menjadi mangsa.

"Papa memukul dan juga menghumban saya dalam bilik air," katanya.

Akibat peristiwa itu, budak itu kini takut untuk kembali semula ke pangkuan ibunya yang difahamkan masih tinggal bersama teman lelakinya di Paka.

Anak tunggal itu berkata, peristiwa yang dialami membuatkan dia trauma, lebih-lebih lagi dia terpaksa menanggung penderitaan atas kecederaan dialami akibat didera lelaki yang dipanggil sebagai 'papa' walaupun bukan bapa kandung.

“Papa juga sering memukul saya dengan tali pinggang dan penyangkut baju serta hentak kepala saya," katanya.

Selepas kejadian itu, budak itu diserahkan untuk tinggal bersama bapa kandungnya di Kampung Baru Kuala Abang.

Berikutan kecederaan dialami dipercayai perbuatan teman lelaki ibunya itu, budak itu terpaksa ditahan selama tujuh hari di wad Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Susulan kejadian itu, bapa mangsa yang berumur 54 tahun membuat laporan di Balai Polis Dungun pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan telah menerima laporan itu dan kes sedang dalam siasatan sementara menunggu tindakan mahkamah. -SH

Jika Umno Bela Melayu Kenapa Perangi Kelantan

Shah Alam, 19 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan serangan mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tindakan terdesak parti itu yang bimbang dengan pengaruh PAS terhadap rakyat.

Beliau mempersoal tindakan pemimpin Umno menyelar PAS yang berpakat dengan DAP demi kepentingan politik, sedangkan Umno sendiri memusuhi PAS sejak dahulu lagi.

'Riak-riak kemenangan (PAS) sudah hampir tiba, justeru mereka (Umno BN) perhebatkan serangan melalui pelbagai cara.

"Kita dituduh berpakat dengan DAP hanya untuk menang pilihan raya. Soalnya PAS sudah dimusuhi sejak sekian lama oleh Umno, sebelum PAS berpakat dengan DAP dan PKR lagi.

"Umno berusaha menjatuhkan PAS di Kelantan sejak hari pertama saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar lagi," kata beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-Jaminan PAS, di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Menurut Nik Aziz juga, tiada salahnya jika PAS bermatlamat untuk memenangi pilihan raya kerana Umno BN sendiri dilihat menggunakan pelbagai cara untuk matlamat yang sama.

"Saya juga dituduh hanya ingin menang pilihan raya. Jika demikian apa salahnya menang pilihan raya?

Bahkan Umno sendiri guna pelbagai cara tidak kira halal atau haram untuk menang pilihan raya," katanya di hadapan hampir 500 hadirin.

Tambah beliau lagi, Umno ternyata gagal membela nasib majoriti Melayu di negara ini apabila mereka sendiri yang menggagalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Umno jaga Islam pun tidak, jaga Melayu jauh sekali. Ini dapat dibuktikan dengan fakta yang didedahkan bahawa tanah rezab Melayu di seluruh negara susut daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1990. Apakah ini satu pembelaan Umno terhadap orang Melayu?

"Dasar DEB digagalkan pemimpin Umno sendiri dan hanya mengkayakan kroni mereka sahaja,"
katanya.

Menteri Besar Kelantan itu juga mempersoal tindakan Umno BN yang mendakwa mereka pembela Melayu yang sejak dari dahulu lagi memusuhi Kelantan sedangkan majoriti rakyat Kelantan ialah orang Melayu.

"Jika benar Umno membela Melayu, untuk apa kami di Kelantan diperangi sedangkan majoriti pemimpin dan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam? soalnya.

Ujarnya lagi, PAS sebagai sebuah parti yang mencontohi pemerintahan Rasulullah SAW wujud bukan untuk memperjuangkan nasib Melayu sahaja, tetapi tidak sama sekali mengenepikan Melayu.

"Jika Rasulullah S.A.W. diutuskan ke dunia tidak dengan misi ketuanan Arab, begitu jugalah dengan PAS yang mencontohi Rasulullah, datang bukan dengan agenda memperjuangkan Melayu, tetapi tidak sesekali mengenepikan Melayu kerana Melayu bangsa domninan di negara ini.

"Namun PAS sering dtuduh mengenepikan Melayu dan seolah-olah orang Melayu akan mati tanpa Umno. Inilah yang sering ditanam dalam pemikiran rakyat," katanya.

Sementara itu, konvensyen hari ini diteruskan dengan pembentangan kertas kerja sehingga jam 5 petang ini.

Zambry Di Perak Lebih Dahulu Wujudkan Portfolio Hal Ehwal Bukan Islam

Portfolio khas: Kenapa serang Pulau Pinang tidak Perak, soal Guan Eng

SHAH ALAM, 19 Feb — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia secara terus-menerus menyerang pentadbiran negeri itu ekoran keputusannya mengadakan portfolio bagi hal ehwal agama-agama bukan Islam.

Jelas Lim, portfolio itu bukan perkara baru memandangkan kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mewujudkannya untuk menguruskan hal ehwal agama bukan Islam.

“Apabila saya buat portfolio, saya dihentam dengan begitu teruk... buat tak boleh, tak buat pun tak boleh.

“Portfolio ini bukan perkara baru kerana ia pernah dibuat oleh pemimpin Umno, Menteri Besar Perak yang tidak mendapat mandat rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di sini hari ini.

Kata Setiausaha Agung DAP ini, Zambry telah pun mewujudkan portfolio yang sama pada 2009 selepas merampas negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

“Menteri Besar Perak dulu yang tubuhkan portfolio bukan Islam pada 2009, kenapa tak serang, tak hentam? Kerana beliau pemimpin Umno.

“Bila beliau tubuhkan tidak jadi isu, bila kita buat jadi isu pula,” katanya.

Portfolio di bawah kerajaan negeri Perak itu diletakkan dalam Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon.

Semenjak Lim mengumumkan untuk mewujudkan portfolio itu, Utusan Malaysia terus menyerang tindakan tersebut.


Tindakan Guan Eng wujud portfolio baru dikecam

GEORGETOWN: Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia membantah tindakan kerajaan Pulau Pinang menubuhkan portfolio baru membabitkan pengurusan hal ehwal agama Buddha, Kristian, Sikh, Taoisme dan Hindu.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Arshad Kassim berkata, portfolio yang dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu tidak sepatutnya diwujudkan berikutan keharmonian dan kebebasan beragama sudah lama diamalkan di Malaysia.

Selain itu, penubuhan portfolio berkenaan melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana hanya agama Islam saja termaktub sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara.
"Kami marah dan tidak berpuas hati kerana Guan Eng berani mewujudkan portfolio itu yang bukan saja tidak menjunjung dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, malah tidak prihatin terhadap sensitiviti umat Islam.

"Kami mahu beliau gugurkan hasratnya itu. Jangan sesuka hati dan cuba-cuba membangkitkan kemarahan orang Melayu...ini amaran keras daripada kami yang tidak akan membiarkan beliau bertindak sewenang-wenangnya,'' katanya sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Abdul Malik Abdul Kassim melalui pembantu mereka di sini, semalam.

Memorandum itu juga diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Rabu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan penubuhan portfolio baru untuk menjaga hal ehwal agama Buddha, Taoisme, Kristian, Sikh dan Hindu.
Arshad berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Islam negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menentang habis-habisan penubuhan portfolio itu kerana penubuhannya menyebabkan kuasa dan hak orang Islam di negeri ini terjejas.

"Ia adalah antara usaha mereka mengubah dasar sedia ada membabitkan bangunan, pengambilan tanah dan peruntukkan rasmi dana kerajaan," katanya. -BH


Ulasan GB

UMNO bantai tak semak dahulu. Di Perak, Menteri Rayuan dah lebih awal wujudkan portfolio Hal Ehwal Bukan Islam, kenapa tarak bising?

Jangan Mimpi Mahu Rampas Negeri Pakatan


Alor Setar, 19 Feb: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak berkata, PAS tidak akan memberi laluan mudah kepada Umno BN untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan pada waktu ini.

Bercakap sewaktu merasmikan Himpunan 30K Pemuda PAS di sini beliau berkata, kekuatan pemuda PAS yang hadir hari ini adalah senjata ampuh untuk menghalang Umno merampas negeri dengan pelbagai taktik kotor mereka.

Katanya, kehadiran 30 ribu pemuda PAS membanjiri dataran kompleks PAS Kedah hari ini membuktikan kesungguhan pemuda mempertahan kerajaan Kedah dan menyekat taktik kotor Umno yang mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kedah.

"Ini sudah cukup menggerunkan Umno, kita kena pertahankan.

"Umno jangan fikir dia sahaja nak menang, kita pun fikir nak menang.

"Saya dan rakan-rakan yang memikul amanah kepimpinan kerajaan negeri, tidak akan bagi laluan mudah kepada umno BN," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Hadir sama pada majlis perasmian pagi tadi adalah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Ahmad Abdullah, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan seluruh kepimpinan pemuda seluruh negara.

"Apakah kita nak biarkan keadilan yang kita buat ini dihancurkan Umno?" soal Azizan disambut laungan 'tidak' oleh kira-kira 30 ribu pemuda PAS yang hadir termasuk dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Sehubungan itu beliau turut mengarahkan pemuda PAS menggiatkan usaha mendaftar pemilih khususnya kepada anak muda.

Katanya, hanya dengan usaha itu PAS boleh kekal menegakkan keadilan bukan sahaja di negeri-negeri yang dikuasai malah seluruh negeri di Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Saya meletakkan harapan tinggi kepada pemuda, bangun menjalankan daftar pemilih.

"Hanya dengan mereka mendaftar, mereka boleh mengundi kita, baru kita boleh menang,"katanya lagi.

Hasrat menguasai Putrajaya juga katanya tidak mustahil berlaku, dengan semangat perubahan anak muda di seluruh dunia khususnya di Tunisia dan Mesir yang juga diharap sampai ke negara ini.

"Pemuda perlu mencetus perubahan, idea baru, menjadi tokoh negarawan, bukan sahaja banyak komen, tapi memberi cadangan penambahbaikkan," tegasnya.

Sementara itu, Nasruddin ketika ucapan aluannya pagi tadi meletakkan dua syarat utama jika mahu PAS menang dalam PRU akan datang.

"Setiap individu pemuda PAS mestilah mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjadi tentera Allah.

"Inilah kekuatan yang ada pada kita dan beberbeza dengan musuh," ujarnya.

Kedua katanya, ahli PAS perlu mengelak perselisiahan dalamam sehingga membolehkan parti itu diserang musuh sehingga menjadi lemah.

"Rapatkan saf atas dasar ukhwah, jangan bagi ruang walaupun satu lubang untuk musuh masuk pecahbelahkan kita," katanya.

Majlis perasmian hari ini turut menyaksikan selebriti terkenal, Bob Lokman, menyerahkan borang ahli PAS.

Borang tersebut diserahkan kepada Ustaz Azizan sebelum dipakaikan baju tema himpunan.

Himpunan 30K pemuda hari ini antara lain akan membincangkan tugasan dan gerak kerja berdepan PRU 13.

Program sehari hari ini akan berakhir malam nanti dengan program ceramah oleh dua pemimpin utama PAS, iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. -harakahdaily



Ribuan banjiri himpunan Pemuda PAS di Kedah

Sejak awal pagi tadi, ribuan membanjiri kompleks PAS Kedah di Kota Sarang semut dekat Alor Setar bagi menghadiri himpunan besar-besaran Dewan Pemudanya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Mereka mensasarkan kehadiran 30,000 - sekali ganda lebih banyak daripada perhimpunan yang sama pada 2006 di Kota Bharu.

Mereka pada mulanya bercadang berkumpul di Selangor tetapi ekoran percaturan politik bagi mengekalkan penguasaan kerajaan PAS Kedah, mereka menukar tempat program ke situ.

Antara yang hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Naib Presiden PKR Salehuddin Ayun dan Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. -mk


Bob Lokman Sertai PAS

Bob Lokman mengisytiharkan diri sebagai Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah sebentar tadi. Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada DS Ustaz Azizan Razak, MB Kedah Darul Aman.

Majlis ini telah dihadiri lebih 30 ribu pemuda dari seluruh negari. Kontinjen Negeri Kedah lebih dari 7 ribu. Selain itu, negeri Terengganu Darul Iman dan Selangor Darul Ehsan berjaya menghantar ramai pemuda ke Himpunan ini

Kesesakan jalanraya sepanjang lima kilometer di laluan ini dikawal dengan baik oleh para unit AMAL malaysia. Allah Akbar..!!!

Majlis bermula jam 9.00 pagi dengan perbarisan kontinjen dengan lagu Negaraku, lagu PAS dan lagu Amal. Ucapan Alu-aluan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad bin Yahya. Seterusnya ucapan oleh Pengarah Himpunan 30K. Ustaz Nasarudin Tantawi menyampaikan amanat untuk para pemuda agar berjuang dengan lebih gigih untuk menjana kemenangan.

Seterusnya ucapan perasmian oleh DS Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau begitu bersemangat dan gembira dengan himpunan yang besar begini. Dalam ucapannya beliau menyindir UMNO dengan katanya ‎'umno kini macam nyamuk kena ubat nyamuk, pening'. Selain beliau mengingatkan media agar tulis bagi betul ‎'Hari ini pemuda PAS berhimpun 30 ribu, tapi esok surat khabar tulis 300 sahaja" -detikdaily

Isu Tanah Bakal Jatuhkan BN Terengganu

PAS mendakwa rakyat Kuala Terengganu sedang marah kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam isu pengambilan tanah di beberapa tempat di daerah itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut ketika dihubungi semalam berkata, isu pengambilan tanah itu akan menyebabkan kerajaan negeri akan ditawan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

“Rakyat Kuala Terengganu sangat marah kerana kerajaan negeri memindahkan mereka tanpa menyediakan tempat lain sebagai ganti.

“Ke mana mereka hendak tinggal, di mana mereka hendak pergi?,” soal beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tanah beberapa kampung di Kuala Terengganu diambil kerajaan negeri untuk projek pembangunan bandar baru.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Pak Pa dan Kampung Panji dan penduduk marah kerana kadar bayaran pampasan yang tidak munasabah.

“Berbeza ketika PAS memerintah pada 1999 hingga 2004, kita sediakan tapak rumah apabila mengambil tanah penduduk,” jelasnya.

Wahid berkata, sebaliknya kerajaan negeri BN tidak menghiraukan suara rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Syed Azman Ahmad Nawawi berkata, isu pengambilan tanah telah menjadi perbualan hangat di sini.

“Orang marah kerana kerajaan negeri secara sesuka hati mengambil tanah rakyat. Isu ini besar kepada penduduk kampung kerana tanah adalah harta paling bernilai,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan pejabat tanah Kuala Terengganu telah menangguhkan pengambilan tanah tersebut. -FMT

Tipu Suami Pergi Kursus Jumpa Kekasih Warga Bangla

Kulim: Seorang isteri beranak tiga bukan saja menipu suaminya, malah sanggup datang dari Sungai Buloh, Selangor semata-mata untuk memadu asmara dengan kekasihnya seorang warga Bangladesh berusia 31 tahun di sini, kelmarin. Gambar hiasan

Wanita berusia 45 tahun itu menipu suaminya seorang pesara polis untuk pergi ke Pendang, Kedah bagi menghadiri kursus penyediaan mi segera bagaimanapun turun di hentian bas Kulim sebelum dijemput kekasihnya dan dibawa ke rumah kongsi di Sungai Ular.

Menurut wanita itu, suaminya sendiri menghantarnya ke hentian bas di Selangor untuk ke Pendang tanpa mengesyaki niat sebenar wanita itu yang ingin bertemu kekasihnya di sebuah rumah kongsi.

Ketua Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, mereka mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran seorang wanita Melayu ke kawasan rumah kongsi yang didiami sekumpulan lelaki warga Bangladesh.

“Bertindak dari maklumat itu, penguat kuasa PADK datang ke rumah kongsi di Sungai Ular kira-kira jam 1.15 pagi untuk membuat pemeriksaan dan menemui pasangan itu di dalam sebuah rumah.

“Ketika pemeriksaan dibuat, wanita berusia 45 tahun itu hanya memakai baju kurung dan kain batik manakala lelaki warga Bangladesh itu hanya berbaju-T dan berkain pelekat,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pasangan itu adalah pasangan kekasih yang baru berjumpa pada malam itu dan mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

“Wanita itu bekerja sebagai juruwang di Damansara dan tiba di Hentian Bas Kulim kira-kira jam 10 malam sebelum menghubungi kekasihnya untuk mengambilnya seterusnya dibawa ke rumah kongsi di Sungai Ular.

“Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Kulim menggunakan van PADK untuk membuat laporan tangkapan dan lelaki Bangladesh kemudiannya ditahan di lokap Balai Polis Kulim sementara itu wanita itu ditahan di lokap Balai Polis Lunas,” katanya.

Pasangan itu bagaimanapun dilepaskan selepas membayar jaminan RM1,000 setiap seorang semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 kerana berkhalwat sabit kesalahan boleh dihukum setahun penjara atau denda RM2,000 seorang atau kedua-duanya sekali. -hm

Hidangan Air Mani Kuda Di Pesta Makanan New Zealand

Wellington: New Zealand yang dikenali sebagai destinasi sukan ekstrem seperti terjunan bungee dan luncur salji kini mengubah haluan kepada hidangan makanan apabila menyediakan air mani kuda kepada penggemar makanan eksotik.

Sajian itu akan disediakan dalam majlis tahunan Festival Makanan Eksotik di bandar Hokitika di Pulau Selatan bulan depan bersama hidangan lain seperti kala jengking, kumbang disalut cokelat dan ulat goreng.

“Sajian air mani kuda dapat memberi anda kekuatan seperti haiwan itu selama seminggu,” ujar penternak kuda lumba di Christchurch, Lindsay Kerslake. - AFP


Horse semen on the menu at N.Z. food festival

Long renowned for pioneering extreme sports such as bungee-jumping and heli-skiing, New Zealanders are now pushing culinary boundaries by serving up shots of horse semen to iron-stomached food lovers.

The equine delicacy will be on the menu at the annual Wildfoods Festival in the South Island town of Hokitika next month, along with other gastronomic delights such as raw scorpions, chocolate-covered beetles and deep-fried grubs.

"The idea is you'll have as much zizz as a stallion for a week afterwards," Christchurch racehorse breeder Lindsay Kerslake, who came up with the semen surprise, told Fairfax Media.

He said the shots being sold at this year's festival on March 12 would taste like a milkshake and be washed down with an energy drink chaser.

Organiser Mike Keenan said he expected many festival patrons would sample the shots as a dare, and he was prepared to put his own stomach on the line.

"Yeah, I'll give it a go," he told AFP.

Keenan said the festival began 22 years ago as a way of allowing city slickers to "get out of their comfort zone" and sample bush tucker.

While much of the fare such as venison and wild boar is relatively unchallenging for mainstream tastes, Keenan said organisers liked to spice up the menu with more unusual offerings.

In the past, these have included rams' testicles and bulls' penises, although Keenan admitted Kerslake may have set a new benchmark.

"He thought these flavoured horse semen shots would be something different," Keenan said. "He working on a number of flavours, from vanilla, right through to strawberry and chocolate.


Warga Mesir Berhimpun Kenang Pejuang Reformasi

Kaherah: Ribuan bendera dikibar di Dataran Tahrir, semalam, bagi meraikan kejatuhan Hosni Mubarak serta memberi tekanan berterusan kepada junta tentera Mesir.

Jumlah itu dijangka terus bertambah apabila warga Kaherah selesai menunaikan solat Jumaat.

Pada masa sama, sebuah pancaragam tentera yang lengkap beruniform memainkan lagu patriotik bagi meraikan orang ramai.

Aktivis reformasi menyeru orang ramai menyertai perarakan besar-besaran di dataran itu bagi memperingati penunjuk perasan yang syahid dalam memperjuangkan pembaharuan.

Ia juga memberi tekanan kepada junta tentera membebaskan ramai lagi tahanan politik di penjara Mesir.

Kumpulan penggerak reformasi Mesir, Gabungan Pemuda Revolusi, berkata rakyat Mesir perlu berhimpun bagi mengenang pejuang ‘kebebasan, maruah dan keadilan.’ Sekurang-kurangnya 365 orang maut dan 5,500 cedera dalam kebangkitan rakyat Mesir menggulingkan Hosni baru-baru ini. - AFP

Bapa Didakwa Bunuh Bayi Berusia 10 Hari

Kuala Lumpur: Seorang bapa yang didakwa menanam bayi perempuannya berumur 10 hari di belakang rumahnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan membunuh bayinya itu, minggu lalu.

IRINGI...pegawai polis bersama dua anggota mengiringi Muhammad Rafiq (dua dari kiri) yang dituduh membunuh anak di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.

Tertuduh, Muhammad Rafiq Suresh Abdullah, 37, hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Rafiq Suresh yang tidak bekerja didakwa membunuh bayi perempuan berumur 10 hari di rumahnya No 1, Jalan Kepong Batu 6 3/4, Jinjang, pada jam 11 pagi sehingga 6 petang, 13 Februari 2011.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Abu Hassan Ramli dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes. Harian Metro, pada 14 Februari lalu, melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara.

Kejadian jam 1.45 tengah hari itu disedari jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.

Sementara itu, menurut sumber, bayi itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an ditahan. -hm

Waspada: Pemuda Gila Seks Ambil Gambar Remaja Perempuan Guna Handfon

Telok Datok - Ibu bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak mereka terutama pada waktu petang berikutan terdapat aduan berkenaan seorang remaja lelaki berusia sekitar 20-an yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5, sering mengambil gambar anak perempuan menggunakan telefon bimbit.

Ketua Unit Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga Taman Seri Telok Datok, Zawalajam Mashod berkata, pada hujung tahun lalu, suspek pernah ditahan pihak SRS kerana mengambil gambar sekumpulan remaja perempuan.

Menurutnya, kini difahamkan sekali lagi remaja berkenaan menunjuk serta menyuruh remaja perempuan memegang kemaluannya sehingga menyebabkan kerisauan kepada ibu bapa penjaga.

“Dalam pada itu, suspek juga sering menghampiri mangsa atas alasan hendak bertanya alamat yang ada di dalam telefon bimbit tetapi apa yang tertera di skrin telefon bimbit miliknya ialah gambar lucah.

“Kebiasaannya suspek akan melakukan perbuatan tersebut di kawasan lorong yang kecil, bagaimanapun sehingga hari ini keluarga mangsa yang terlibat tidak membuat laporan polis,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zawalajam berkata, ibu bapa dinasihatkan membuat melaporkan segera kepada polis sekiranya perkara berkenaan berlaku kepada anak mereka.

“Kita tidak mahu aktiviti tidak sopan berkenaan berleluasa di taman berkenaan sehingga menyebabkan kebanyakan remaja perempuan berasa takut,” katanya. -SH

PRK Kerdau Serentak Dengan Merlimau, Ujian Berat Untuk PAS

Pilihan raya kecil Kerdau serentak Merlimau 6 Mac

Pilihan raya kecil kerusi DUN Kerdau, Pahang akan diadakan serentak dengan Merlimau bulan depan. Penamaan calon akan diadakan 26 Februari ini manakala hari pengundian pula pada 6 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya membincangkan perkara tersebut Ahad ini mengadakan mesyuarat khas lewat petang ini untuk memutuskan bahawa pilihan raya kecil Kerdau akan diadakan serentak dengan kerusi DUN Merlimau.

Tarikh pilihan raya kecil Merlimau diputuskan bulan lalu.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan mempercepatkan mesyuarat khas diambil ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam petang tadi yang mencapai keputusan mengenai kes kerusi DUN Pelabuhan Klang petang tadi.

Mahkamah memutuskan kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong.

SPR mengadakan mesyuarat khas susulan mesyuarat bulannya di sini petang ini.

Kerusi Kerdau kosong selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, daripada BN, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin mendapat 2,520 undi. -TMI

Ulasan GB

Pengumuman SPR untuk melaksanakan Pilihanraya Kecil Kerdau serentak dengan Merlimau merupakan satu ujian berat yang dihadapi oleh PAS.

Semua pemimpin dan ahli PAS perlu bangun dari tidur.

Tuan Ibrahim Tuan Man diharap dapat menyerahkan tugasnya sebagai Pengarah Pilihanraya bagi DUN Merlimau kepada pemimpin yang lain - samada kepada Timbalan Presiden Ust Nasaruddin Md Isa atau kepada Naib Presiden Mahfuz Omar atau kepada Ketua Penerangan, Ust Idris Ahmad.

Ini adalah untuk membolehkan Tuan Ibrahim menumpukan perhatian di PRK DUN Kerdau.

Samada beliau terpilih sebagai calon di DUN Kerdau adalah persoalan yang lain, tetapi tumpuan beliau di DUN berkenaan adalah lebih utama berbanding di Merlimau.

Jabatan Pilihanraya PAS hendaklah menyusun strategi dengan betul bagi kedua-dua pilihanraya kecil ini.

Masa untuk bekerja ialah SEKARANG!