16 Mac 2010

SPR Tak Perlu Bersandiwara Dalam Isu Pilihanraya PBT

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan pendiriannya minggu depan berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyorkan oleh kerajaan negeri, Pulau Pinang dan Selangor.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) berkata kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Katanya langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini.

“Kita akan hantar surat jawapan kepada kerajaan negeri itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan,” katanya pada sesi dialog bersama media pada majlis jamuan teh SPR bersama media di sini hari ini.

Abdul Aziz juga berkata sebagai badan bebas dan profesional, SPR tidak terikat dengan sesiapa sama ada pendapat Perdana Menteri, pihak pembangkang atau sesiapa sahaja dalam memutuskan perkara itu.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menulis surat kepada Pengerusi SPR pada 8 Mac lalu dengan memberi kuasa kepada mereka untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Semalam, kerajaan Selangor meminta SPR mengkaji peraturan dan memberi pandangan mengenai tindakan mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama itu tidak perlu diwujudkan semula.

Katanya proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih baik.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata SPR menerima banyak cadangan dan permohonan untuk mendaftarkan rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun sebagai pengundi secara automatik.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu memerlukan kajian teliti kerana melibatkan pindaan undang-undang dan peraturan pilihan raya. — Bernama


Ulasan GB

SPR tak perlu berlakon atau bersandiwara dengan rakyat. Rakyat semua dah tahu bahawa SPR tidak akan menyetujui pilihanraya PBT. Mana rakyat tahu? PM, Najib sendiri sudah menolaknya.

Dan semua orang tahu sudah lama hilang kredibilitinya sebagai badan bebas dan profesional. Mana tahu, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sendiri yang dah lama di dalam SPR tahu mengapa rakyat sudah tidak yakin dan percaya peranan yang dimainkan oleh SPR.


MCA BN Sudah Tidak Relevan, Pengundi Cina Tetap Bersama PR

Pakatan Rakyat yakin majoriti pengundi Cina di negara ini masih berpihak kepada gagasan itu ekoran kemelut dalaman berpanjangan MCA dan kegagalan Barisan Nasional berlaku adil kepada semua kaum.

Ahli Parlimen Anthony Loke berkata beliau yakin tahap sokongan padu yang ditunjukkan pengundi bukan Melayu terutamanya golongan Cina masih mantap dan kukuh.

"MCA yang mengatakan mereka sebagai jaguh masyarakat Cina akan mendapati sukar untuk mengembalikan keyakinan pengundi Cina kepada parti itu.

"Percakaran sesama sendiri dan krisis dalam MCA telah melemahkan parti itu sendiri dan dengan itu tidak mampu untuk menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat Cina," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen.

Walau bagaimanapun Loke berkata Pakatan Rakyat tidak boleh berasa selesa dengan sokongan tersebut dan perlu mengembeleng tenaga supaya tahap sokongan tersebut dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ditanya mengenai langkah bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding semula merebut jawatan tertinggi MCA itu, Loke berpendapat kemenangan mana-mana calon tidak akan menyelesaikan masalah parti tersebut.

"Apabila wujud fraksi dalam sesebuah parti politik keadaan itu akan melemahkan parti dan seterusnya menjejas prestasi parti tersebut dalam pilihan raya.

"Mungkin Ong Ka Ting boleh menang sebab beliau bukan tokoh yang kontroversi sementara Ong Tee Keat diselubungi skandal rasuah PKFZ manakala keperibadian Chua Soi Lek pula tercalar dengan skandal seksnya. Kalaupun Ka Ting menang fraksi Soi Lek sudah tentu tidak mahu bekerjasama dengan Ka Ting kerana akan menyalahkan beliau merosakkan rancangan bekas Menteri Kesihatan itu untuk menerajui MCA," ujar beliau lagi.

Loke meramalkan masalah dalaman MCA tidak mampu diatasi dalam masa terdekat walaupun dengan campurtangan Umno sebagai orang tengah.

Bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting hari ini mengumumkan akan kembali bertanding jawatan presiden parti itu menentang penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan 28 Mac ini.

Ka Ting berkata beliau menerima banyak panggilan daripada para anggota, veteran dan perwakilan parti di seluruh negara yang disampaikan kepadanya melalui pelbagai saluran media meminta beliau bertanding untuk presiden.

"Kepada semua anggota parti yang prihatin dan sayangkan parti, saya kata saya dapat dengar dengan lantang dan jelas.

"Oleh itu, saya ingin mengumumkan pencalonan saya bagi jawatan presiden MCA bagi pemilihan parti akan datang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sebelum itu, Pemilihan baru akan diadakan susulan perletakan jawatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA dan 21 anggota jawatankuasa pusat MCA berikutan krisis kepimpinan yang berlarutan lebih setahun.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota jawatankuasa kerja meletak jawatan. -SK

Lebih 3 Batu Nautika Bukan Alasan Tolak Royalti

Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub hari ini berkata jarak telaga minyak melebihi tiga batu nautika bukanlah alasan untuk Kelantan tidak memperoleh hasil royalti daripada Petronas.

Ini dibuktikannya melalui contoh dua dokumen perjanjian royalti Petroleum Kelantan pada 19 Mei 1975 melalui Menteri Besar ketika itu Allahyarham Datuk Nasir Muhammad serta dokumen perjanjian Petronas dengan kerajaan Terengganu pada 16 September 1978.

"Dalam surat yang dihantar Petronas kepada pegawai kewangan Terengganu pada 16 September 1978, telaga minyak di Terengganu itu berada di luar melebihi tiga batu nautika dan surat ini menyebut dengan jelas bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroleum pada tahun 1979 berjumlah RM3.2 juta.

"Malah penjanjian antara Petronas dan kerajaan Kelantan yang ditandatangani pada Mei 1975 oleh Menteri Besar ketika itu membuktikan tidak wujud syarat tiga batu nautika dalam hak untuk mendapatkan wang royalti minyak, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin berkata melalui kedua-dua contoh perjanjian tersebut jelas membuktikan isu jarak telaga minyak sejauh tiga batu nautika bukanlah alasan utama kerajaan Barisan Nasional enggan memberikan royalti kepada Kelantan selagi mana ia berada di pesisiran pantai negeri terbabit.

"Tidak timbul langsung isu tiga batu nautika, 'onshore' atau 'offshore', mahupun pemberian wang ihsan kerana yang penting selagi mana ia diletakkan di perairan negeri maka Petronas perlu membayar royalti 5 peratus," katanya.

Beliau menambah bukti ini sekaligus menepis dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menggariskan syarat perjanjian sesebuah negeri untuk menerima royalti.

"Dua dokumen yang saya kemukan ini merupakan hujah yang cukup kuat untuk kita menafikan langsung tentang isu tiga batu nautika dan isu wang ihsan sepertimana jawapan yang diberikan oleh PM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi Parlimen yang lepas,” katanya.

Berikutan itu, Salahuddin pada 10 Mac lalu menghantar usul untuk membahaskan isu ini dalam Dewan Rakyat semasa penangguhan sidang Parlimen bagi penggal ini nanti.

Namun usul itu ditolak Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini atas alasan isu ini bukanlah perkara yang perlu segera diselesaikan.

"Sebagai wakil rakyat Pakatan Rakyat Kelantan, saya berjanji akan terus perjuangkan isu ini dalam perbahasan akan datang kerana banyak lagi bukti dokumen yang akan dibawa kelak," katanya.


Dewan Rakyat Tolak Usul Royalti Minyak

KUALA LUMPUR, 16 MAC - Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub bagi menangguh sidang Parlimen kali ini untuk membahas atau memanjangkan isu royalti minyak Kelantan dengan alasan ia bukan perkara yang perlu disegerakan.

Salahuddin berkata, usul itu dihantar pada 10 Mac lalu selepas penemuan dua dokumen penting yang membuktikan jawapan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi Parlimen lepas merupakan jawapan yang sama sekali tidak menepati perjanjian digariskan oleh Petronas.

“Saya telah mendapat beberapa penemuan baru selepas parlimen ditangguhkan akhir tahun lepas. Dan kita tetap tidak bersetuju sama sekali dengan jawapan yang awal oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang isu tiga batu nautika,”katanya.

Dua dokumen yang diperoleh oleh Salahuddin itu membuktikan bahawa Terengganu telah menerima bayaran wang royalti sepertimana termaktub dalam perjanjian di antara Petronas dan kerajaan Terengganu.

“Yang pertama ialah surat Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu yang dihantar oleh Petronas pada 16 September 1978, kalau isu tiga batu nautika itu dipersoalkan, memang telaga-telaga minyak di Terengganu itu berada di luar, melebihi tiga batu nautika dan surat ini Petronas kepada pegawai kewangan yang menyebut dengan jelas bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroleum 1979 yang berjumlah RM 3.2 juta. Ini disebut sebagai bayaran royalty,”katanya.

Malah penjanjian di antara Petronas dan kerajaan Kelantan yang ditanda tangani oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohd Nasir pada 19 Mei 1975 membuktikan tidak wujud syarat tiga batu nautika dalam hak untuk mendapatkan wang royalti minyak.

“Ini telah menunjukkan bahawa tidak timbul langsung isu tiga batu nautika, onshore atau offshore, yang penting selagi mana ia diletakkan di perairan negeri tersebut maka Petronas perlu membayar royalti 5 peratus, jadi, dua dokumen yang saya kemukan ini merupakan hujah yang cukup kuat untuk kita menafikan langsung tentang isu tiga batu nautika dan isu wang ihsan sepertimana yang diberikan oleh jawapan oleh PM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi yang lepas,”katanya. -TVS




Rasuah, Urus Tadbir Tidak Telus Punca FDI Merudum

Ketua Umum KEADILAN mendakwa kemerosotan ketara pelaburan terus asing ke Malaysia adalah disebabkan gejala rasuah yang bermahajaralela serta ketidaktelusan kerajaan dalam urus tadbir negara.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pertanyaan kepeda Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berhubung faktor yang menyebabkan kemasukan FDI merudum dengan teruk walaupun kerajaan telah memperkenalkan liberalisasi sektor perkhidmatan.

“Beberapa pertimbangan penting perlu diambil kira. Berdasarkan kepada laporan Unctad pada Disember 2009 daya tarikan FDI Malaysia jatuh daripada tangga 62 kepada 66," komen Ketua Pembangkang setelah mendengar jawapan menteri.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhujah kemasukan FDI ke negara ini adalah pada tahap RM22.1 bilion berbanding RM75.5 bilion bagi Singapura dan Thailand serta Indonesia masing-masing merekodkan FDI sebanyak RM27 bilion.

“Mengapa Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara ini yang pada satu ketika dahulu ketinggalan jauh belakang Malaysia dari segi pembangunan?” tanya Anwar. SK/TVS



Ahli Parlimen PR Keluar Dewan Bantah Speaker

Kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi ini bertindak keluar daripada Dewan Rakyat selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak untuk membahaskan usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengemukakan usul agar Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bertanggungjawab memastikan semua laluan menghala ke Parlimen bebas daripada sebarang halangan.

Usul itu diluluskan selepas mendapat bilangan undi majoriti secara lisan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional namun mendapat bantahan daripada anggota Pakatan Rakyat yang mendesak agar perbahasan terhadap usul itu dibuka.

Pertelingkahan terjadi antara Ahli Parlimen Bagan Serai N. Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan Speaker dan Timbalannya, Datuk Ronald Kiandee sehingga memaksa semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar daripada Dewan.

Sementara itu Kit Siang dalam sidang media selepas keluar Dewan berkata tindakan Speaker itu menyekat hak kebebasan bersuara sebagai Ahli Parlimen.

"Pakatan Rakyat kesal dengan keputusan ini kerana Ahli Parlimen tidak diberi hak untuk bersuara walaupun usul sebegini pernah didebatkan pada tahun 1970-an," katanya. -SK

Peguam Anwar Fail Tarik Balik Rayuan Minta Hakim Digugur

Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya meminta Hakim Mahkamah Tiinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menggugurkan dirinya daripada mendengar kes liwat beliau.

Keputusan itu muncul secara mengejut ketika kritikan bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu sengaja melewatkan perbicaraan.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata permohonan difailkan di Mahkamah Rayuan pagi ini.

“Kami secara formal telah menarik balik rayuan terhadap permohonan meminta hakim kes Anwar tarik diri.

“Tarikh rayuan yang dijadual 19 Mac telah dibatalkan,” kata Karpal.

Ketika bercakap kepada pemberita di Parlimen, Karpal berkata pihaknya memutuskan demikian kerana mahu mempercepatkan kes liwat Anwar.

“Kami tidak mahu melewat-lewatkan perbicaraan. Kami kamu kes ini diteruskan secepat yang mungkin.

“Mengumpul dokumen untuk rayuan akan mengambil masa yang agak panjang. Sebab itu kami memutuskan untuk menarik balik rayuan, tarikh sebutan adalah 25 Mac,” katanya. -MI

26 April Mahkamah Tinggi Dengar Percubaan Anwar Ibrahim Batal Pembelaan

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 26 April untuk mendengar percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan pembelaan Datuk Hamzah Zainuddin dalam saman fitnah RM10 juta yang difailkan oleh Ketua Pembangkang itu.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Fatimah Rubi'ah Ali menetapkan tarikh itu setelah menemui peguam S.N.Nair dan Wan Anuar Shadat yang mewakili Anwar dan S.Murali bagi Hamzah dalam kamar Isnin.

Nair memberitahu pemberita bahawa Anwar memfailkan permohonan itu kerana Hamzah telah memfailkan banyak lagi kandungan dalam kenyataan pembelaan yang dibuat bukan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada 22 Ogos 2008, ketua pembangkang itu memfailkan saman tersebut terhadap Hamzah, yang ketika itu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerana dakwaan mengeluarkan kata-kata dan disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina Kwong Wah Jit Poh bertarikh 19 Ogos 2008, artikel fitnah itu ditulis "Anwar Harrassed My Wife".

Anwar mendakwa perkataan itu disiarkan dalam artikel berkenaan, bermakna dan difahami bahawa beliau telah secara langsung dan atau tidak langsung dan atau oleh innuendo, diberikan sebagai gambaran dan persepsi bahawa beliau terbabit dengan aktiviti hubungan seksual terlarang dan atau dalam aktiviti yang sama, ialah seorang yang bermoral rendah, seorang lelaki yang tidak ada nilai-nilai Islam dan berperangai buruk.

Beliau berkata bahawa artikel itu sangat cuai, tidak berhati-hati, tidak bertanggungjawab, dengan sengaja, berniat jahat dan bertujuan merendahkan kehormatannya di mata umum dan mendedahkannya kepada dendam, penghinaan, benci yang amat sangat, hina dan cemuhan.

Anwar berkata artikel itu menyebabkan fitnah yang sangat serius terhadap beliau dan mengakibatkan beliau malu yang amat sangat dan sengsara.

Beliau memohon RM10 juta sebagai ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.Hamzah, dalam pembelaan beliau pada 13 Nov 2008, berkata perkataan dalam artikel itu adalah wajar. -Bernama




Gagasan 1 Malaysia Najib Diuji Di Sidang Parlimen

Perbahasan sidang Parlimen bermula jam 10 pagi hari ini bermula dengan pertikaian terhadap gagasan 1 Malaysia yang dicanangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga bertanyakan Najib mengenai keberkesanan gagasan itu.

Suasana hangat apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh mempersoal sama ada gagasan 1 Malaysia itu selari dengan pelaksanaan kerajaan.

Pengerusi DAP Kebangsaan itu merujuk kepada kenyataan bekas pegawai khas Perdana Menteri, Nasir Safar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam ceramah 1 Malaysia di Melaka, baru-baru ini.

Nasir Safar dalam ceramahnya ketika itu membuat kenyataan bahawa rakyat India yang datang ke Malaysia adalah pengemis manakala wanita Cina menjadi pelacur.

Najib apabila diasak persoalan itu, sebaliknya cuma menjawab pegawai yang membuat kenyataan bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia telah dikenakan tindakan tetapi tidak menjelaskan bentuk tindakan tersebut.

Gagasan 1Malaysia Jadi Gerakan Massa - Najib
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau kini sudah menjadi gerakan massa di peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata. Beliau juga bersyukur dan bangga dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan tersebut seperti yang disaksikan dalam lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street dan Brickfields tidak berapa lama dulu.

"Saya berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia telah menjadi kelaziman ramai pihak, tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenal pasti dengan lambang 1Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1Malaysia di antara empat pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri daripada dua pasangan Melayu, satu Cina dan satu India yang disaksikan oleh saya sendiri.

"Simbol 1Malaysia juga sudah menjadi sangat popular digunakan oleh badan korporat, badan sukarela dan juga sebagai simbol motif dalam bentuk pakaian," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Alexander Nantha Linggi (BN-Kapit) di sini.

Anggota Parlimen Kapit itu meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kejayaan Gagasan 1Malaysia dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama buat masa sekarang.

Najib berkata kejayaan dan populariti 1Malaysia juga telah menyebabkan ada pihak tertentu memperkenalkan konsep "Middle Malaysia".

"Apabila Gagasan 1Malaysia semakin popular, tiba-tiba timbul satu usaha baru, kononnya atas nama "Middle Malaysia, tapi pada pengamatan ramai, "Middle Malaysia" adalah rebranding kepada konsep "Malaysian Malaysia" yang sudah ditolak, terutama sekali rakyat pribumi kerana ia tidak pernah berpaksikan perlembagaan dan sejarah negara," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjayakan lagi gagasan 1Malaysia, komitmen semua pihak diperlukan kerana alternatif kepada kejayaan konsep tersebut adalah kewujudan sebuah negara Malaysia yang berpecah-belah, tidak stabil dan lemah.

"Demi untuk anak-anak kita... ini bukanlah masa depan yang kita dambakan. Kerajaan yakin dan percaya bahawa gagasan 1Malaysia boleh menjadi formula nasional yang boleh memupuk kewujudan bangsa Malaysia dan seterusnya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," kata beliau.

Beliau berkata penghalang terbesar bagi kejayaan pencapaian 1Malaysia atau perpaduan negara yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani.-BERNAMA



GST: PR Seru Kerajaan Jangan Ulangi Tabiat Tergesa-Gesa

.Pembatalan hasrat kerajaan Umno-BN untuk membentang cadangan pelaksanaan GST yang dijadual berlangsung di Parlimen pada sesi kali ini, mengundang reaksi dari pimpinan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional.

Rata-rata mahu pandangan rakyat diambil kira sebelum sebarang cadangan tersebut dibawa ke Parlimen dengan Ahli Parlimen Pakatan rakyat menyelar tindakan melulu itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mempersoalkan kerajaan Umno BN lantaran rang undang-undang yang masih belum dikaji sepenuhnya, hampir-hampir dibentang di Parlimen.

“Pertama sekali apabila mengatakan untuk tidak dibaca dalam sidang ini kerana untuk mendapatkan respon daripada rakyat, pertama ini menunjukkan kerajaan dalam membentang ini dalam keadaan gopoh gapah. Dia membentang tanpa mendapat respon daripada rakyat, sepatutnya dia mendapat respon rakyat terlebih dahulu baru dia kemukakan. Jadi sekarang saya minta kalau dia benar berhasrat untuk mendapat respon daripada rakyat dan mengambil respon rakyat itu untuk dirangka dalam GST ini, ia kena tarik terlebih dahulu," katanya.

Mahfuz menggesa kerajaan supaya meneliti sedalam-dalamnya sebarang dasar baru yang melibatkan kepentingan rakyat termasuk GST sebelum membawanya ke sidang Parlimen.

“ Rakyat Malaysia tidak bersedia ke arah itu sebab 900 peratus lebih rakyat Malaysia ini ialah pendapatan mereka tidak layak untuk dikenakan cukai pendapatan. Jadi menunjukkan pendapatan rakyat ini masih rendah. Jadi sepatutnya GST ini dilaksanakan di kebanyakan negara di dunia apabila pendapatan rakyatnya tinggi," tegas beliau.

Kenyataan Mahfuz itu turut disokong Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir walaupun sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berdiam diri dalam isu GST.

“ Ya, ini bermaksud kerajaan ingin mengambil sedikit masa untuk mendapatkan maklum balas dari semua pihak sebab apabila dilaksanakan nanti semua akan terlibat. Lebih baik kita mendapatkan maklum balas ini agar semuanya itu dipertimbangkan dalam rangkaan GST itu nanti, akhirnya apabila menjadi dasar dan diamalkan tidak ada lagi yang mengkritik atau memprotes mengenainya," kata Mukhriz.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menganggap bantahan Pakatan Rakyat terhadap cadangan pelaksanaan GST telah menyedarkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional supaya meningkatkan ekonomi rakyat terlebih dulu, bukannya membebankan rakyat dengan cukai baru semata-mata mahu menampung perbelanjaan negara.

“Perkata ini bukan senang untuk dilaksanakan, ia memerlukan banyak pentadbiran-pentadbiran yang kita rasakan akhirnya akan menyebabkan kos perkhidmatan dan barangan meningkat. Jadi oleh sebab itu, Pakatan Rakyat menyatakan ini bukan masanya dan saya sukacita perkara ini ditarik balik," kata Khalid, yang juga Menteri Besar Selangor.

Ahli Parlimen Rasah Loke Siew Fook walaupun mengalu-alukan penangguhan cadangan berkaitan GST menganggap kerajaan Umno BN dalam keadaan tertekan akibatan bantahan berterusan dari Pakatan Rakyat.

“Memang kita mengalu-alukan GST ditarik balik bacaan kali kedua untuk sesi ini dan ingin mengumpul pandangan daripada rakyat. Pandangan kita ialah setiap rang undang-undang itu perlu mendapat maklum balas daripada rakyat terlebih dahulu," tegas Loke. -TVS



Prof Hassan: Wakil Rakyat 'Bebas' Tidak Bertanggungjawab (updated)

Bertanding dan menjadi Ahli Parlimen Bebas tidak salah tetapi mengisytihar diri sebagai Ahli Parlimen Bebas sedangkan menang atas tiket parti politik tertentu, jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Demikian penegasan pengasas Zentrum Features Study Malaysia, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah kepada TV Selangor.

Kebelakangan ini beberapa Ahli Parlimen yang menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisyihar keluar parti tetapi enggan mengosongkan kerusi.

Sesetengah mereka pula mengaku sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra Barisan Nasional walaupun kemenangan mereka diraih atas kapasiti calon Pakatan Rakyat.

Abu Hassan mengkategorikan mereka yang melompat parti , kemudian mengaku sebagai Ahli Parlimen Bebas sebagai tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah rakyat.

“Ahli politik bebas itu adalah ahli politik yang berpaling tadah yang melompat keluar daripada parti dan kita dah sebut dari awal tadi dia menentang falsafah etika sebuah demokrasi sebab ketika mereka dipilih sebagai wakil rakyat mereka dipilih atas kapasiti parti yang mereka wakilkan," katanya.

Hassan menyifatkan calon Bebas yang sejati tidak bersifat partisan dengan menyokong parti tertentu dalam kebanyakan isu.

“Tetapi dalam pilihanraya ke 13 kemungkinan berkembang calon bebas ini yang lebih betul, iaitu calon bebas yang sebenar, mereka datang kerana kesedaran-kesedaran untuk memperjuangkan hak-hak minorita, hak-hak minority yang mereka wakilkan kemungkinan mereka jadi calon bebas tapi mereka tidak berpihak pada parti A parti B," tegasnya.



8 Senator Ikrar Sokong Anwar, Gobind Kembali Ke Dewan Rakyat

Lapan senator menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.

Senator Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menegaskan perikatan parti pembangkang tetap utuh meskipun empat wakil rakyat mereka isytihar keluar parti.

"Kita melahirkan keyakinan kami kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengepalai Pakatan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang," kata Senator Dr Syed Husin Ali kepada media, selepas Yang Di-Pertuan Agong merasmikan persidangan Parlimen hari ini.

"Kita adalah saksi bahawa Pakatan Rakyat semakin kuat sebagai satu gagasan. Di peringkat akar umbi, sokongan semakin membuak-buak. Kita bukan sahaja lebih bersatu, bahkan lebih ramai," tegas beliau.

Pendirian yang sama turut disuarakan Senator Mumtaz Mohd Nawi dari Kelantan dan Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim dari Pulau Pinang.

"Kita sentiasa bersama Anwar kerana pengalaman luasnya dalam kerajaan," tegas Mumtaz.

"DAP menyokong penuh kepimpinan Anwar. Sepertimana di Pulau Pinang, PR semakin kuat dan bersatu," tambah Tunku Abdul Aziz.

Deklarasi lapan senator ini menyusuli solidariti Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang.

Sementara itu, wakil rakyat bebas Zulkifli Noordin yang dipecat Parti Keadilan Rakyat minggu lalu atas masalah displin akan menyerang bekas ketuanya dalam sesi Parlimen akan datang.

Beliau akan membawa usul memecat Anwar selaku Ketua Pembangkang.

Dalam perkembangan yang sama, jagoan Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang digantung 12 bulan dari menghadiri persidangan sejak 12 Mac tahun lepas akan kembali beraksi di sesi Dewan Rakyat kali ini. -TVS



GST: Keikhlasan Kerajaan Pungut Input Rakyat Dipersoal (updated)

Kerajaan Umno BN perlu membuktikan keikhlasan mereka dalam mendapatkan input rakyat berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau sendiri tertanya-tanya sama ada kerajaan benar-benar serius mahu mendapatkan maklum balas rakyat dengan melakukan pungutan suara atau kaedah lain.

“Pelbagai pendekatan harus digunakan untuk mendapatkan maklum balas, pandangan dan juga kritikan supaya ianya tidak membebankan kerajaan sendiri.

“Isu ini sudah menjadi isu terbuka dan akan di debat baik di dalam atau di luar Parlimen. Akhirnya rakyat yang akan membuat penilaian sejauh mana kerajaan ikhlas manu menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hasrat kerajaan tidak jadi membentangkan rang undang-undang perlaksanaan GST kononnya kerana mahu mendapatkan input dari rakyat.

“Tetapi saya tidak tahu apakah kaedah yang akan dilaksanakan..apakah akan dilakukan pungutan suara, penghantaran sms, apakah akan dilakukan borang soal selidik dalam mengenalpasti apakah kesan dari pelaksanaan atau apakah masyarakat benar-benar tidak mahu ia dilaksanakan pada hari ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Umno-BN dilihat bertindak gopoh dengan membentangkan bacaan kali pertama rang undang-undang ini tanpa mendapatkan memperoleh reaksi rakyat.

Ia bagaimanapun ditentang hebat pembangkang kerana perlaksanaannya dilihat hanya akan membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Sivamurugan berkata, sangsi sama ada pandangan masyarakat telah diambilkira sebelum bacaan pertama rang undang-undang ini dibuat dan beliau berpendapat, mereka yang merangka perlaksanaan ini tidak berkomunikasi dengan kumpulan sasar sepenuhnya.

“Dalam konteks ini apa yang boleh dipelajari dalam apa sekalipun pelaksanaan dasar atau usaha merangka agenda bagi kumpulan sasar iaitu masyarakat atau rakyat harus dirunding dan diminta pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat supaya dasar itu tidak menjadi satu dasar yang tidak mampu kita laksanakan dan akhirnya boleh memberikan kesan kepada mana-mana pihak terutama dalam pilihanraya ke-13,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu berwaspada dan mengambil iktibar gelombang tsunami politik pada Mac 2008 sekiranya mahu melaksanakan GST selepas pilihanraya ke-13 kerana rakyat kini semakin matang.

“Jika dilaksanakan selepas pilihanraya ke-13, sudah pasti masyarakat akan membuat penilaian yang sewajarnya. Yang harus diutamakan sama ada pilihanraya ataupun tidak, yang akan dinilai oleh masyarakat adalah apa yang berlaku diantara pilihanraya ke-12 dan 13. Bermakna kerajaan harus prihatin dan berhati-hati dalam apa juga yang mereka lakukan dan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru baik sebelum atau selepas pilihanraya,”katanya.

Tambahnya, Najib juga tidak memerlukan mandat baru dengan mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat jika mahu memulihkan defisit negara.

“Tetapi jika ada tanggungjawab di kalangan semua pihak termasuk masyarakat maka mandat baru tidak diperlukan, yang diperlukan sejauh mana kita mampu melihat apa saja dasar itu sebenarnya memberi kesan kepada rakyat. Pihak pembuat dasar juga harus pelajari bahawa sesuatu dasar itu harus mengambil kira kepentingan keseluruhan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.



Talam Langsaikan RM241.36 juta Hutang Kepada MBI

Syarikat Talam Corp Bhd akan melangsaikan hutang sejumlah RM241.36 juta ringgit kepada Pemerbadanan Menteri Besar melalui penjualan hartanah dan wang tunai.

Dalam satu kenyataan hari ini, jumlah wang tunai yang dibayar kepada MBI mencecah RM12.67 juta manakala penjualan hartanah pula mencapai 228.69 juta ringgit.

MBI dan Talam Corp mencapai persetujuan ini pada Sabtu lepas.

MBI sebelum ini berjaya memungut RM50 juta dari keseluruhan hutang RM391.7 juta milik Talam Corp. Kerajaan Negeri November lepas mengambil inisiatif mengambil-alih hutang-hutang Talam kepada syarikat-syarikat milik Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah ini, yang berjaya dikumpul MBI disebalik kritikan ramai-pihak akan disalurkan ke program mikro-kredit kerajaan negeri untuk golongan miskin.

"Yang miskin, dan mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 untuk seisi rumah boleh memohon pinjaman kecil untuk membantu mereka memulakan atau membangunkan perniagaan," tegas Khalid. -TVS



Gobind Singh Deo Akan Kembali Ke Parlimen Hari Ini

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang digantung selama setahun akan kembali beraksi berbahas di Parlimen sessi ini.

Pengerusi Biro Perundangan Nasional DAP itu kesal kerana kerajaan Barisan Nasional sering mencari kesalahan dan menghukum pemimpin Pakatan Rakyat.

Trend ini menunjukkan ketidakadilan yang berlaku di negara ini. Jika seseorang dari Barisan Nasional membuat kesalahan, ia dianggap tidak melakukan kesalahan.

Beliau percaya trend yang tidak sihat itu akan berterusan jika BN terus berkuasa di negara ini.

Gobind telah digantung selepas mengaitkan timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz diluluskan melalui undi mulut selepas dibahas selama kira-kira 40 minit. Sewaktu pengundian dijalankan, kesemua ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda membantah.

Usul tersebut dibentangkan di hadapan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pembentangan usul tersebut dibantah keras oleh pembangkang, sehingga menimbulkan kebuntuan hampir satu jam.

Usul terhadap ahli parlimen Puchong kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Sebelumnya, anak lelaki Pengerusi DAP Karpal Singh itu digantung tugas sehari kerana kenyataannya tersebut.

“Tapi di sini saya nak bagi amaran lagi. Akan kita lihat lebih pemimpin-pemimpin pakatan rakyat dituduh dalam masa terdekat. Ia pastinya akan lebih banyak dan saya di sini mahu beritahu, perlulah kita berhati-hati. Di sini apa yang perlu adalah untuk rakyat,” katanya.

Beliau sebelum ini telah membayangkan untuk terus berjuang sehingga akhir dan terus menghangatkan Parlimen sebaik sahaja tempoh pergantungannya tamat hari ini.

“Saya nak bagi amaran kepada Umno, kalau awak rasa awak boleh mendiamkan Puchong? Kalau kamu berfikir bahawa Puchong akan berdiam diri kerana dihalau satu tahun, tidak, saya akan balik ke Parlimen March 16. Saya akan balik ke Parlimen,”
katanya.