8 Feb 2009

Ulasan Isu Hangat 8 Feb 2009

Sebanyak 82% responden 7th Edition tidak bersetuju dengan gesaan Karpal Singh supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur dari memimpin Pakatan Rakyat.

Karpal Singh, Pengerusi DAP telah membuat gesaan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang dengan menuduh Ketua Umum itu yang mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.

Karpal Singh telah seringkali menimbulkan isu kontroversi di dalam Pakatan Rakyat. Tatkala masing-masing pimpinan PR berusaha untuk mencari titik persefahaman terhadap pelbagai isu yang yang menjadi masalah kepada keharmonian hubungan diantara kaum di dalam PR, Karpal Singh tidak membantu malah akan terus menyemarakkan perbezaan dan mempertajamkan perselisihan.

Ini dapat dilihat sewaktu PRK Kuala Terengganu. Pengerusi DAP ini lansung tidak turun membantu berkempen sebaliknya melontarkan isu Hudud yang diperjuangkan oleh PAS yang sedikit sebanyak telah memberikan impak negatif terhadap sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS semasa pilihanraya tersebut.

Sedangkan pemimpin DAP lain seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sendiri telah datang berkempen malah menghadiahkan LCD besar kepada Sekretariat Kempen PRK P036 waktu itu. Lain-lain pemimpin DAP telah turut hadir termasuklah Penasihat DAP sendiri, Lim Kit Siang, Ronnie Liu, Teresa Kok, Elizabeth Wong dan lain-lain.

Serangan Karpal Singh kepada Datuk Seri Anwar kali ini sebenarnya bukanlah kerana isu lompat parti seperti yang didakwa tetapi kerana Datuk Seri Anwar telah membuat kenyataan tidak menyokong langkah Karpal yang ingin menyaman Sultan Perak.

Karpal Singh menganggap seluruh DAP itu dia yang empunya, malah dengan nada yang angkuh menyatakan bahawa beliau pernah mengugut DAP supaya keluar dari Pakatan Rakyat. PAS dan PKR tidak pernah mempunyai masalah besar dengan mana-mana pemimpin DAP yang lain kecuali yang seorang itulah, dan yang itulah dijadikan bahan oleh BN untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussin Ali mempersoalakan "Bila melihat kenyataan dan telatah beliau sejak akhir-akhir ini, hati kecil saya tertanya-tanya, untuk siapa dan untuk apa beliau berkhidmat... untuk apa dan untuk kepentingan siapa."

Sudah sampai masanya DAP mencari pemimpin lain yang boleh bekerjasama dengan parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat setelah Karpal beberapa kali secara terbuka membuat onar tatkala Pakatan Rakyat perlu mengukuhkan keharmonian menghadapi musuh utama iaitu BN.

2 MENTERI BESAR DI MAJLIS THAIPUSAM DI GUNUNG CHEROH PERAK

Kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamalauddin dan Dr Zambry hadir untuk meraikan penganut ugama Hindu di kuil Subramaniam Gunug Cheroh Perak hari ini. Dr Zambry yang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk kerajaan haram BN di Perak kini menyedari menghadapi masalah dengan masyarakat kaum India Perak apabila kerajaan haram BN yang dipimpinnya tidak mempunyai seorang pun yang mewakili rakyat kaum India.

MALAM INI PERHIMPUNAN PERTAHAN KERAJAAN PR DI KEDIAMAN MENTERI BESAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim, TG Haji Abdul hadi Awang dan Lim Kit Siang dijangka akan bersama di dalam Perhimpunan untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di perak yang akan diadakan di kediaman Menteri Besar Perak bermula jam 8.00 malam ini.

MAJORITI RAKYAT PERAK TETAP MAHUKAN PILIHANRAYA DIADAKAN

Sekalipun terdapat rakyat Perak yang menyokong pihak Istana yang mengambil keputusan tidak membubarkan DUN namun rata-rata kebanyakan rakyat Perak merasakan mereka patut diberikan peluang untuk menentukan siapa yang sepatutnya menerajui kerajaan Perak.

Perhimpunan yang dipimpin oleh UMNO untuk menyokong tindakan Sultan Perak hanya dihadiri oleh sekitar 200-300 orang.

YAB Datuk Seri Nizar pula masih terus menerus menerima sokongan dari masyarakat pelbagai kaum di Perak dan rasanya tidak mungkin untuk sesiapa menafikan karisma beliau yang kini telah berjaya menambat hati pengundi-pengundi di Perak.



Perutusan MB Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin

BismilahirRahmanirRahim

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

Menteri Besar Perak

Sejarah Menunjukkan UMNO Menderhakai Raja

Media arus perdana terus memainkan sentimen kononnya Pakatan Rakyat khususnya Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah melakukan penghinaan terhadap Sultan Perak dengan keengganan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak sepertimana yang dititahkan kepadanya.

Persoalan kini, apakah benar tindakan Nizar menghina Sultan Perak dan yang kedua siapa sebenarnya yang telah menghina institusi Raja Melayu selama ini?

Menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar keputusan Sultan Perak dalam penyelesaian kemelut politik di negeri itu bukan suatu bentuk penderhakaan.

Beliau berkata, atas nama Islam, setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan di akhirat kelak.

"Ini bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung, tak kira raja, tok guru, setaraf semuanya dan mereka bertanggungjawab kepada Allah di akhirat kelak," katanya.

Sementelah lagi Nizar tidak ada mengungkap sebarang perkataan-perkataan yang boleh ditafsir atau dilihat sebagai menghina Sultan Perak.

Apabila Nizar pada 4 Feb 2009 menyatakan dia "mohon ampun dari Tuanku dengan Sembah Durhaka", banyak pihak memutarbelitkan ayat itu dan dijadikan sandaran kononnya Nizar telah menderhakai Sultan.

Itu tahap mentaliti Melayu UMNO. Terkinja-kinja mendengar perkataan "sembah derhaka" bak belut di ketil ekornya.

"Sembah derhaka" di dalam konteks berkomunikasi dengan pihak istana sebenarnya ialah untuk melahirkan rasa "ketidak-bersetujuan" dengan titah Tuanku, dalam ertikata lain "bermohon agar dipertimbangkan semula" titah Tuanku tersebut.

Justeru tidak timbul lansung Nizar derhaka kepada Sultan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan walaupun Nizar enggan menunaikan titah meletakkan jawatan kerana "sembah derhaka" telahpun disampaikan.

Kenyataan Ahli Parlimen Karpal Singh yang ingin menyaman Sultan Perak untuk membela Nizar pula kemudiannya digunakan untuk menjustifikasi kononnya pemimpin Pakatan Rakyat telah menderhaka dan cuba mengaibkan Raja Melayu.

Sebenarnya immuniti raja telah terhakis hasil usaha Perdana Menteri ke 4, (Tun) Dr Mahathir. Pada waktu itu UMNO dengan bantuan media arus perdanalah yang menyokong kuat tindakan TDM apabila setiap hari menghidang dan memaparkan "pembaziran" wang negara terhadap perbelanjaan raja-raja. Disiarkan di seluruh akhbar tentang istana-istana yang dimiliki oleh setiap orang sultan dan raja serta didedahkan semua perbelanjaan yang terpaksa ditanggung negara untuk raja-raja pada ketika itu untuk memburukkan institusi raja.

Malah sewaktu membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 pada 18 Januari 1993, PM telah menyatakan:

"Sementara halangan ke atas teguran ini dikatakan akan memelihara kemuliaan Raja, tetapi apabila Raja tidak ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan itu, mungkin lebih banyak kesalahan akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi lebih serius. Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja, bahkan juga boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Raja. Tidaklah benar jika dikatakan larangan terhadap mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja. Sebenarnya kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini."

"Kekebalan Raja atau Sovereign Immunity adalah suatu prinsip feudal -- satu konsep kononnya `The King can do no wrong`. Mengikut Dr. Hogg dalam bukunya `Liability of the Crown` konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri. Alasan ini sudah lama dipersoal dan ditolak oleh pakar-pakar undang- undang di Eropah seperti Adams yang merasakan tidak ada keraguan bahawa feudal lords diletak di bawah mahkamah mereka sendiri -- `No doubt at all of the subjection of feudal lords to their own courts`"

Dengan kelulusan terhadap Rang Undang-undang tersebut oleh Parlimen waktu itu, siapa sebenarnya yang telah mencabut immnuniti Raja jika bukan UMNO sendiri?

Kemudian kita melihat isu kekecohan perlantikan Menteri Besar Perlis selepas Pilihanraya Umum 2008 dimana Perdana Menteri ke 5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan UMNO telah bertindak lebih jauh ke hedapan dengan mengeluarkan watikan perlantikan yang mana watikah hanya boleh dikeluarkan oleh pihak istana.

Tidakkah itu boleh dikatakan lebih "derhaka" kepada Raja Perlis yang mana watikah perlantikan seseorang Menteri Besar adalah tugas pihak Istana bukan oleh PM atau Presiden UMNO?

Jika Pak Lah dan UMNOnya meletakkan alasan bahawa suara ramai itu perlu dihormati dan diakui oleh pihak istana, apa pula yang menghalang UMNO untuk menerima Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang telah diterima oleh sekalian rakyat Perak?



Ia kemudiannya diikuti dengan krisis perlantikan MB di Terengganu yang semakin runcing apabila UMNO secara rasminya membunyikan gendang perang terhadap Istana Terengganu dan Sultan Mizan Zainal Abidin Shah.



"Idris Jusoh mewakili sokongan menyeluruh dari semua perwakilan yang dilantik. Ini tidak berubah. Oleh itu perlantikan orang lain (yang dibuat Istana) ke jawatan itu telah mencabul Perlembagaan," kata Abdullah.

Kenyataan Abdullah menyusuli tunjuk perasaan ahli-ahli Umno yang berang dengan keputusan Istana menolak pemimpin mereka - Pengerusi Umno Negeri Idris Jusoh - di luar perkarangan Istana Tamu, Kuala Terengganu semasa berlangsungnya majlis penerimaan watikah perlantikan Menteri Besar baru.

Juga pada hari yang sama, kesemua 23 dari 24 Adun BN bertindak memboikot majlis watikah itu. Adun-adun terbabit sepakat mengikat ikrar meneruskan tentangan dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi di Kediaman Rasmi Seri Perdana, Putrajaya.

Abdullah Ahmad Badawi benar-benar mahu Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga “memaksa” kesemua 22 ADUN UMNO untuk menanda tangani satu perjanjian untuk terus berdiri memberikan sokongan kepada Idris Jusoh.

Tidakkah itu lebih derhaka namanya?

Kemuncak penderhakaan ialah pada hari yang sama Ahmad menerima watikah pelantikannya, sekumpulan penyokong Idris dan 22 wakil rakyat BN berdemonstrasi membantah wakil Kijal itu dekat kediaman menteri besar Terengganu.

Beberapa orang daripada mereka menaikkan kain rentang yang menyebut “Kami nak Idris, natang”.


“Natang”, dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang yang masing-masing sedia maklum perkataan itu ditujukan kepada Sultan Mizan yang tidak menerima Idris Jusoh yang dicadangkan oleh Abdullah.

Justeru itu sandiwara UMNO yang kononnya mereka pembela raja dan istana di dalam isu kemelut politik Perak adalah penipuan yang tiada taranya kepada rakyat di negara ini. Mereka cuba berlagak seperti doktor yang cuba merawat penyakit sedangkan mereka sebenarnya adalah sebahagian dari penyakit yang menyerang. Mereka cuba menunjukkan kononnya mereka jaguh pembela institusi Raja walhal mereka pada hakikatnya peruntuh dan penderhaka sebenar terhadap raja-raja.






Respons Rakyat Terhadap Kerajaan Haram BN

Nampaknya kemelut politik Perak tidak akan berkeseduahan selagi kedaulatan rakyat tidak diletakkan ke tempatnya yang lebih abadi.

Di saat masyarakat Tionghua masih menyambut Tahun Baru Cina, Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Kerajaan haram BN Perak yang tiba untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) di SJK (C) Yuk Choy, yang terletak berdekatan dengan kediaman rasmi Mentri Besar.telah disambut dengan batu nesan dan bunga kuning sembahyang kubur oleh warga Tionghua di sepanjang jalan menuju ke sekolah tersebut.

Di bahu jalan lilin dipasang sebagai tanda protes masyarakat Tionghua tentang demokrasi yang telah mati ekoran perlantikan MB untuk sebuah kerajaan yang tidak dipilih oleh rakyat.

Beratus-ratus penduduk setempat hadir dan hanya dimaklumkan melalui SMS dan telefon.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak hadir sekalipun beliau dijadual mempengerusikan Mesyuarat Barisan Nasional (BN) Perak pada pukul 5 petang sebelumnya di sekolah berkenaan.

Ketibaan Zambry telah disambut dengan pekikan dan cacian laungan pada kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Pemerhati politik berpendapat bagaimana mungkin beliau mampu untuk terus menjadi Menteri Besar jika gelombang rakyat di Perak rata-rata menolak penubuhan kerajaan haram BN yang didalangi oleh Najib serta diperkenankan pula oleh Sultan Perak.

Seandainya UMNO dan istana ingin meneruskan dasar mereka membelakangi kedaulatan rakyat, mereka akan terus menjadi sasaran kebencian rakyat Perak sehinggalah tuntutan supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta pilihanraya baru diadakan di negeri itu bagi pembentukan sebuah kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan dapat ditegakkan.

Prof Dr. Abdul Aziz Bari berpendapat pihak Istana perlu mengelak dari terlibat di dalam politik dan perlu bertindak neutral seperti yang dijanjikan oleh Raja Nazrin beberapa hari lalu dan jika masih terus di dalam keadaan begini, pihak istana tidak akan dihormati kerana rakyat melihat istnana telah tidak mengkotakan janjinya.





UMNO Terkena Sindrom Ular Berkepala Dua?

Ular Berkepala Dua. Itu ungkapan yang rasanya boleh menggambarkan keadaan pemimpin-pemimpin UMNO dewasa ini dari peringkat tertinggi sehinggalah ke yang paling rendah.

* Dalam peribahasa Melayu ungkapan ular kepala dua digunakan untuk menggambarkan hal orang yang hipokrit.

"Hari ini mereka berkata lain, esok lain pula," jelas seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang enggan namanya disiarkan.

"Ini dapat kita lihat dimana Presiden UMNO sendiri pada awalnya menyifatkan orang yang melompat parti adalah seorang yang lemah dan gagal dalam perjuangan sambil merujuk tindakan Datuk Nasaruddin Hashim yang melompat dari UMNO ke PKR."



"Begitu juga menantunya. Apabila kes rasuah dua exco PKR dibongkar tahun lalu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah mendesak kerajaan negeri Pakatan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin supaya menggantung kedua-dua exco itu."



Tiba-tiba selang dua hari Pak Lah berkata: (Mereka yang melompat parti) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN... menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)."


Bukankah itu amat melucukan sekaligus memualkan?

Wan Hamidi di dalam kolumnya di malaysianinsider menamakan fenomena ini sebagai "lidah tak bertulang".

Beliau memetik Ketua Penerangan Umno Johor Dr Mohd Puad Zarkashi yang menganggap lompat-melompat di kalangan wakil rakyat sebagai perbuatan khianat kepada pengundi yang akan mencemarkan imej negara.

Beberapa hari kemudian beliau mengulangi pendiriannya yang turut menyifatkan pemimpin Umno yang melompat parti sebagai individu yang tidak ada nilai kemanusiaan, tidak bermaruah dan seperti seekor katak.

"Mereka juga seperti penjenayah kerana mengkhianati kepercayaan yang diberikan pengundi sedangkan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu atas tiket BN," ujarnya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pula menyifatkan Nasarudin yang melompat menyertai PKR sebagai telah mencemarkan proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim yang juga Menteri Luar mahu Nasarudin yang menang atas tiket BN meletak jawatan kerana ia melibatkan soal kepercayaan rakyat kepada calon pilihan mereka.

Pada masa itu beliau mendesak wakil rakyat yang melompat parti supaya mengosongkan kerusi yang dimenanginya.

Tetapi selepas TPM, Najib mengumumkan pembentukan Kerajaan BN haram di Perak kerana adanya ADUN PKR melompat ke parti UMNO dan Bebas, suara-suara garang anti-lompat dalam Umno lenyap sama sekali. Mungkin bagi mereka, apa payahnya jika sekadar menggoyang lidah yang tak bertulang.

Wan Hamidi sebelum mengakiri tulisan menyatakan "Datuk Seri Najib Razak pula sebagai bakal Perdana Menteri sememangnya bangga dengan kejayaan Umno itu kerana ia menebus kembali kekalahan dalam pertandingan secara sah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kejayaan ini mencerminkan betapa cemerlang, gemilang dan terbilangnya Umno dan BN dalam soal membeli wakil rakyat, menggunakan segala aparatus milik negara dan mengetepikan mandat rakyat semata-mata untuk menang."

Kemudian kita mendengar Pemuda Umno Perak dan Pemuda Jasin membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Tetapi mereka terlupa siapakah puak yang memanggil Sultan Trengganu “Natang” (Bianatang) malah PM sendiri telah membelakangkan dan menghina DYMM Raja Perlis dan Tuanku Sultan Trengganu dengan mengatakan baginda berdua bertindak tidak mengikut perlembagaan?

Apa-apa pun itulah UMNO, ular kepala dua dan dah nak wat guana - memang benar bak kata Wan Hamidi - susah apa menggoyang lidah tak bertulang.

Jom rehat sebentar dengar lagu ni untuk menggambarkan mereka apa tah lagi yang ini: