Himpunan Baju Merah 16 September 2015 papar wajah Melayu sebenar yang dipuji oleh Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak.
Berpagi dengan memaki hamun kaum Cina, dapat duit RM100 kerana menyertai perhimpunan terus ke kedai Cina beli nombor ekor dan minum arak. Hidup Melayu!!!
Antara merah dan maruah Oleh Yunus Tasim
Apa yang berlaku kelmarin sangat menyedihkan. Atas nama Himpunan Melayu Bersatu, Himpunan Maruah Melayu, anak-anak Melayu menjadi hamba kepada ‘tuhan-tuhan’ dan politikus usang Melayu. Apakah Melayu sudah mencapai objektif dari perhimpunan semalam.
Atau kita menanggung malu?
Terlalu cepat Ahmad Maslan mendabik dada? Terlalu pantas Najib mengambil kredit. Najib kata pada Annuar Musa yang dia terkejut dan terharu dengan himpunan seaman ini. Ahmad Maslan suruh Bersih belajar dari Baju Merah untuk perhimpunan aman. Tapi tak lama kemudian Allah menemplak mereka. Seramai lebih 800 baju merah cuba merempuh sekatan polis untuk ‘menceroboh’ Petaling Street. Polis terpaksa menggunakan air kimia dan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan. Ini tidak terjadi di Bersih 4 walaupun mereka telah berkampung dekat Dataran Merdeka selama 34 jam.
Siapa malu? Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya? Tidak, Melayu juga yang jadi mangsa.
Melayu perlu Jebat
Melayu harus sedar! Melayu tidak boleh terus jadi Hang Tuah. Tidak boleh kita terjun ke dalam kolam najis hanya untuk membuktikan kesetiaan untuk menyelamatkan kuda raja. Melayu mesti bijak. Ada cara lain, teknik lain untuk menyelamatkan kuda raja. Melayu tidak harus setia membuta tuli.
Di mana Hang Jebat sekarang ini? Di mana penegak kebenaran yang berjuang untuk rakyat?
Seharusnya perhimpunan semalam benar-benar dijadikan pentas untuk mengembalikan maruah Melayu yang luhur.
Maruah penegak kebenaran. Maruah menentang penyelewengan dan kezaliman. Maruah menyatakan dengan jelas Melayu tidak boleh dibodoh, ditipu dan diperkotak-katikkan lagi. Samada oleh negara lain, bangsa lain waima politikus dan pemimpin dari bangsa Melayu sendiri.
Melayu harus celik! Melayu harus bangkit! Melayu tidak boleh lagi digula-gulakan hanya dengan sekadar RM100, sehelai T-shirt merah untuk berhimpun, berjalan berbatu-batu dan kemudian merusuh di kawasan perniagaan Cina sedangkan ada pemimpin Melayu sendiri yang salahguna RM2.6billion. Dengan RM100 setiap seorang, sudah pasti pemimpin yang korup itu boleh bawa 26 juta anak Melayu untuk berhimpun di ibukota, jika anak Melayu begitu murah harganya.
Tidak salah kita berhimpun. Tapi biar perhimpunan itu mempunyai objektif yang jelas. Kita boleh buat lebih baik dari itu jika hanya untuk menunjukkan kita bersatu dan mempamerkan maruah diri.
Benarlah apa yang bekas ahli Umno Langkawi, Puan Anina kata, “Tidak guna berkumpul dan bersorak di tepi jalan jika Melayu tetap mempertahankan pemimpin Melayu yang jahat. Orang Melayu akan menjadi kuat jika sekiranya pemimpin Melayu berwibawa, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab”.
Kita tidak tolak Umno
Benarlah peribahasa Inggeris mengatakan “The fish rots from the head”, busuk ikan bermula dari kepalanya. Kita bukan tolak Umno. Kita bukan tolak pemimpin hanya kerana mereka pemimpin Umno. Tapi kita tolak pemimpin yang korup, pemimpin yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab yang dengan sewenang-wenangnya menyalah guna aparat kerajaan untuk mempertahankan kuasa, tidak kira mereka dari Umno atau parti-parti lain.
Melayu yang berhimpun semalam harus melihat dalam diri mereka sendiri. Kita yakin warganegara bukan Melayu telah dapat mesej sejelas-jelasnya yang Melayu itu sensitif dan Melayu itu tidak suka diperbodoh dan dikecil-kecilkan. Tapi janganlah maruah kita tercalar dan rosak jika kita berhimpun untuk mempertahankan pemimpin Melayu yang korup dan tidak amanah. Melayu juga akan berhimpun untuk menolak pemimpin apa sahaja yang korup dan zalim kepada rakyatnya tidak kira ianya Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.
Melayu harus meminta supaya penyiasatan terhadap 1MDB dipercepatkan supaya kebenaran terserlah. Mengapa penyiasatan mengambil masa terlalu lama. Mengapa pasukan penyiasatan dikuburkan? Melayu yang berhimpun semalam harus menolak penjelasan mudah dan terdesak yang wang RM2.6 billion itu adalah derma. Melayu baju merah harus mendesak supaya penderma itu dinyatakan, berapa baki dari wang RM2.6billion dan dimana baki itu sekarang. Gelombang Melayu merah semalam harus bangkit meminta janji ditepati supaya Najib menyaman Wall Street Journal dan Al-Jazeerah kerana mereka telah merosakkan maruah Malaysia, jika laporan mereka salah.
Sayang…. Hang Jebat sudah tiada. Yang tinggal hanyalah cucu-cicit Hang Tuah yang setia membuta tuli. Yang lebih parah, lebih banyak cucu-cicit Hang Lick-U yang menjadi pemimpin-pemimpin orang Melayu sekarang ini.
Entah sampai bila? -FMT
|