5 Nov 2011

Penoreh Menderita, Harga Getah Terus Jatuh

Pasaran getah Malaysia dijangka terus jatuh minggu depan berikutan permintaan yang lembap dan situasi tidak menentu ekonomi global.

Seorang peniaga berkata permintaan dijangka perlahan ekoran berita yang pembuat kereta Jepun akan terus menggantung kilang-kilangnya di Thailand kerana kekurangan alat ganti.

Banjir telah menular keseluruhan 64 daripada 77 wilayah Thailand dan menenggelami tujuh estet perindustrian di mana Honda dan pembuat bahagian auto mempunyai kilang.

Sementara itu, para peniaga berkata musim hujan di kebanyakan Negara pengeluar getah tidak akan menjejaskan bekalan kerana pelabuhan Qingdao China mempunyai simpanan stok yang tinggi iaitu kira-kira 180,000 tonne metrik.

Para pembeli dijangka terus kekal tidak memasuki pasaran dengan menjangkakan kelemahan yang seterusnya dalam harga komoditi itu, kata mereka.

Minggu ini, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 merosot 94.0 sen kepada 1,137.0 sen sekilogram sementara susu getah pukal turun 35.0 sen kepada 758.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi untuk SMR 20 berkurangan 89.5 sen kepada 1,136.5 sen sekilogram sementara susu getah pukal susut 37.0 sen kepada 757.5 sen sekilogram.

[WASPADA] Wang Palsu Beredar, Peniaga Tertipu Wang Kertas RM100

Alor Setar, Kedah – Seorang peniaga warga emas tidak menyangka dirinya menjadi mangsa sindiket wang palsu, menyebabkan dia kerugian RM90 selepas membayar duit baki kepada seorang wanita berumur 20-an.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mak Mah, 53, berkata, dia didatangi seorang wanita sambil mendukung anak kecil yang menangis, singgah ke gerainya di Jalan Shahab Perdana untuk membeli makanan.

“Wanita itu menghulurkan wang RM100 dan RM7 untuk membayar harga makanan sebanyak RM17. Saya tidak menyedari wang itu palsu sebab wang RM100 diletakkan di bawah, menutupi sebahagian besar wang RM7 berkenaan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan anak kecil wanita itu menangis tanpa henti, dia menyerahkan wang baki tanpa memeriksa wang RM100 yang diberikan.

“Sebaik sahaja membayar duit baki, ketika hendak menyimpannya dalam laci, saya lihat kedudukan wang berubah. Tetapi sudah terlambat, wanita itu sudah lesap,” katanya.

Mak Mah berkata, wanita itu menaiki sebuah kereta Viva berwarna putih yang diparkir agak jauh dari gerainya, dan kelibat tiga lelaki lain dilihat berada dalam kereta itu.

“Wanita itu bercakap dalam dialek Kedah dan Mak Mah sempat bertanya dia hendak ke mana. Katanya mahu ke Kuala Kedah. Mak Mah tak mengesyaki apa-apa sebab perwatakannya nampak baik sahaja,”
katanya.

Menurutnya, sejurus menyedari dirinya ditipu, Mak Mah segera memeriksa wang itu di sebuah stesen minyak berdekatan, dan terbukti ia palsu.

“Mak Mah harap peniaga kecil lebih berhati-hati kerana dipercayai ini perbuatan sindiket. Sejak berniaga lebih empat tahun, inilah kali pertama kejadian seperti ini menimpa Mak Mah,” katanya.

"Kemungkinan sindiket ini kembali aktif di Kedah, beberapa rakan memaklumkan, sebelum ini kes seperti ini memang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan menasihatkan orang ramai yang menerima wang palsu supaya membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan dengan lancar.

Adzaman berkata, sepanjang tahun ini, hanya satu kes wang palsu dilaporkan pada pertengahan Mei, manakala pada 2010 sebanyak lima kes. -SH


Suaram: Tunaikan 8 Tuntutan Bersih Sebelum PRU

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sekali lagi menuntut kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan semua tuntutan Bersih 2.0, sebelum Pilihan Raya Umum ke 13.

Suaram merupakan salah satu daripada 88 pertubuhan yang membentuk gabungan Bersih 2.0.

Sehubungan itu Penyelaras Suaram Johor, Fang Pei Fen berkata, satu jawatankuasa peringkat negeri oleh NGO yang mewakili Bersih perlu dibentuk dengan segera.

“Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab untuk mempromosikan “8 tuntutan reformasi sistem pilihanraya” di bandar-bandar dan desa-desa dalam negeri masing-masing, dan menggerakkan kerja-kerja menuntut reformasi sistem pilihanraya.

“Apa yang paling penting ialah mesti menggemblengkan rakyat jelata secara meluas untuk mengingatkan Najib dan kerajaan BN bahawa Pilihanraya umum ke-13 tidak harus diadakan sebelum “8 Tuntutan reformasi sistem pilihanraya” tercapai,” tegas Fang Fei.

Lapan tuntutan itu mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan Daftar Pemilih, mereformasikan undi pos; penggunaan dakwat kekal; akses media bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari; mereformasikan institusi awam’; serta menghentikan rasuah dan politik kotor.

Sebelum ini, Bersih mengumumkan akan menjelajah seluruh negara bagi mempromosi dan mengadakan kempen besar-besaran bagi memastikan rakyat mendapat maklumat mengenai Bersih secara langsung.

Jelajah yang sudah bermula di Perlis beberapa bulan lalu itu turut mengadakan dailog selain mengadakan kutipan amal bagi membiayai kempen tersebut.

Fang Fei dalam kenyataannya berkata, memorandum lapan tuntutan itu telah diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong dan kerajaan sejak tiga bulan lalu, namun sehingga kini tiada maklum balas.

“Pelbagai tanda menunjukkan golongan pemerintah BN yang diketuai oleh Najib sedang cuba memperdayakan rakyat, seperti mana yang selalu dilakukan, dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang kononnya berfungsi mereformasikan sistem pilihanraya demi terus menipu rakyat untuk mengekalkan pemerintahan mereka,” katanya. -KD

Rujuk Peguam Negara Hanya Protokol, Hakikatnya Kabinet Mahu Rayu Keputusan Mahkamah

Kes UKM4: Siapa kerajaan, BN atau Peguam Negara? Lau Weng San

Jikalau kerajaan BN membuat rayuan terhadap Mahkamah Rayuan terhadap keputusannya bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka ini menunjuk bahawa kerajaan BN memandang remeh terhadap prinsip pengasingan kuasa dan prinsip kebebasan kehakiman.

Sekiranya kerajaan BN di bawah Najib menganggap dirinya sebagai kerajaan transformasi yang ikhlas untuk memansuhkan atau meminda sebarang akta yang mencengkam hak-hak asasi manusia, maka ia perlu tegas dalam tindakannya dan tidak akan membuat rayuan lagi.

Malangnya, BN hanya bertolak-dalih dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan seolah-olah BN ingin menolak sebarang tanggungjawab untuk bertindak tegas dalam kes ini.

Tindakan BN ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan menimbulkan tanda soal: Siapakah yang menjadi kerajaan pusat? BN atau Jabatan Peguam Negara?

Jikalau BN boleh melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa seperti apa yang berlaku pada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar pada tahun 2009 sehingga beliau dikasari dan diheret keluar daripada DUN, adalah amat melucukan kita semua apabila BN pula ingin membuat rayuan dalam kes UKM4 atas alasan keputusan hakim bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa.

Cengkam kebebasan

Kita harus beringat bahawa semangat prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman yang diwarisi daripada British turut menekankan peranan hakim dalam membuat takrifan terhadap undang-undang yang sedia ada untuk memastikan keputusan yang dibuat bukan sahaja selaras dengan peredaran zaman tetapi turut mematuhi semngat asal perlembagaan persekutuan serta berlaku adil terhadap rakyat dan kerajaan.

Harus juga diingati bahawa keputusan salah seorang hakim dalam kes UKM4 ini, iaitu Yang Arif Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus (kiri) dalam keputusannya telah menetapkan bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi dan ia tidak membantu untuk melahirkan golongan berfikiran kritikal yang boleh membantu pembangunan negara.

Justeru, mesej yang ingin disampaikan oleh hakim kepada parlimen yang dikuasai BN ialah Seksyen 15(5)(a) ini tidak sesuai dengan zaman moden dan sudah sampai masanya untuk memansuhkan klausa-klausa yang menekan kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi.

Malangnya, pada pandangan BN, undang-undang hanya merupakan alat kegunaan BN sahaja untuk menekan perbezaan pandangan. Seruan dan mesej daripada keputusan ini langsung tidak dihirau.

Apa yang menyedihkan ialah walaupun keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak berasaskan sebarang kepentingan politik, Kabinet memilih untuk mendiamkan diri dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan. Ini menunjukkan bahawa BN langsung tidak ikhlas untuk melaksanakan sebarang pembaharuan.

Sebelum ini terdapat ahli-ahli politik BN yang menyeru kabinet agar tidak membuat rayuan. Mereka ini ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu serta Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin. Sekarang saya ingin bertanya mereka, apakah penjelasan mereka terhadap sikap kabinet yang bertolak-dalih ini?

Dolak-dalih

Ini bukan pun kali pertama kabinet membuat keputusan yang berdolak-dalih seperti ini. Dalam perbicaraan terhadap 21 individu yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan tanpa permit pada tahun 2008 sempena ulangtahun pertama BERSIH di Petaling Jaya, Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga berkata bahawa keputusan untuk melepaskan dakwaan terhadap semua 21 individu itu terletak di tangan Jabatan Peguam Negara.

Janganlah BN menghina kebebasan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa dengan tolak dalih seperti ini. Ketepikan rayuan itu dengan tegas, jangan mempertahankan undang-undang lapuk yang mecengkam hak-hak asasi manusia dan biarkan kebebasan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa antara kehakiman, eksekutif dan perundangan bertumbuh subur di bumi Malaysia ini. -mk

Ulasan GB

Daripada kenyataan-kenyataan beberapa menteri BN terutama Mohd Nazri Aziz dan Khaled Nordin sendiri sebagai Menteri Pengajian Tinggi yang mempertahankan AUKU dan memperkecilkan keputusan Mahkamah Rayuan, jelas menunjukkan bahawa mereka mahu supaya rayuan dikemukakan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Rujukan kepada Peguam Negara hanya untuk memenuhi protokol. Sedangkan kebenarannya, kabinet BERSETUJU untuk membuat rayuan. Samada Peguam Negara memberikan lampu hijau atau merah, ia adalah persoalan yang lain.

Dasar mentaliti menteri-menteri kabinet yang ada kini ialah: majoriti mereka berfikiran kolot dan lapuk.

Takut kekuasaan mereka tergugat lalu menjadikan politik boleh menjejaskan pencapaian akademik pelajar sebagai alasan untuk mereka terus memandulkan mahasiswa.

Tiada jalan lain: tukar kerajaan yang sedia ada.



Keluarga Mangsa Pemuda Ditembak Mati Oleh Polis Mahu Siasatan Lanjut Dilakukan

Keluarga mangsa tembakan, Khatir Oli Fakir Mohamad, 21, menghantar satu memorandum ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bagi menuntut siasatan lanjut selepas mangsa meninggal dunia 15 September lalu.

Dalam kejadian itu, Khatir Oli ditembak mati seorang anggota polis apabila didakwa cuba menyerang anggota terbabit dengan sebilah parang.

Dalam insiden yang sama, tiga lelaki lain juga ditahan ketika cuba menyamun sebuah kelab malam di Jalan Mustapha Al Bakri.

Anggota polis berusia 30-an yang terbabit mengalami kecederaan di muka dan badan kemuadiannya dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Laporan media mengatakan anggota polis itu menolong seorang wanita di kelab malam tersebut setelah mendengar jeritan meminta tolong.

Anggota polis itu mendapati wanita tersebut disamun empat lelaki masing-masing bersenjatakan parang.

Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang hadir pada majlis penyerahan memorandum berkenaan mahu hasil siasatan kes didedahkan kepada umum.

Menurut beliau, siasatan ini bagi mengelakkan kes-kes seperti ini tidak berulang memandangkan sebelum ini terdapat beberapa kes yang melibatkan anggota polis melepaskan tembakan seperti yang berlaku dalam kes Aminulrasyid Amzah di Shah Alam.

"Kita simpati dengan keluarga Khatir Oli, khususnya isteri dan anak kecil supaya kita berkehendakan satu keadilan, kenapa dia ditembak. Cerita yang kita dengar dari saksi-saksi yang ada tidak seperti yang dibuat oleh ketua polis.

"Dalam akhbar ketua polis kata dia perompak dan penjenayah. Adakah ini betul? Kita mahukan satu siasatan yang betul dibuat dan didedahkan kepada rakyat, mengapa dia ditembak pada jarak dekat.

"Untuk itu baru kita dapat keadilan. Sekarang ini pertuduhan itu belum ada siasatan. Jadi kita mahukan siasatan menyeluruh dan dedahkan," katanya. -tvsnews



Isu PPSMI: Mahathir "Berperang" Dengan Muhyiddin


PPSMI: Saya telah bincang dengan PM, kata Muhyiddin

Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Muhyiddin, yang merupakan Menteri Pelajaran, berkata keputusan pemansuhan PPSMI yang diambil sebelum ini merupakan keputusan Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.

"Saya telah berbincang dengan perdana menteri (mengenai polemik PPSMI) sebelum beliau berangkat ke Mekah.

"Saya tidak ada kuasa (memansuhkan PPSMI). Keputusan juga tidak dibuat oleh Kementerian Pelajaran sahaja, lebih-lebih lagi ia satu polemik dan banyak pihak terlibat," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa Perdana Menteri boleh mengubah Muhyiddin berhubung pemansuhan PPSMI.

Dr Mahathir telah memperkenalkan PPSMI pada tahun 2003.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Perdana Menteri turut mengemukakan pandangan-pandangan untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Beliau (perdana menteri) bertanya sama ada kandungan Kesusasteraan Inggeris dimasukkan lebih daripada apa yang ada sekarang," katanya.

Mengenai kenyataan Tun Mahathir yang berharap rakyat tidak marah berikutan keputusan pemansuhan PPSMi dan terus menyokong Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata: "Saya pun berharap begitu".

Beliau berkata ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak yang terlibat dalam PPSMI tidak terjejas dan tiada apa-apa yang tergendala berikutan peralihan penggunaan bahasa dan ia tidak membangkitkan masalah kepada rakyat.

"Saya fikir Tun (Mahathir) pun faham. Dia penyokong kuat BN. Kita buat keputusan bukan kerana kita suka-suka membuat keputusan tetapi saya percaya rakyat sedia terima (keputusan), terutamanya ibu bapa di mana lebih 5.3 juta pelajar terlibat dalam sistem sekarang," katanya. - Bernama


Dr M berkata Najib masih boleh selamatkan PPSMI

LANGKAWI, 4 Nov — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih boleh menghalang timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dasar yang diperkenalkan oleh pentadbirannya.

Dr Mahathir, yang masih dilihat sebagai pemimpin yang berpengaruh dalam Umno selepas berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun berkata, Najib boleh berbuat demikian demi negara.

Beliau berkata demikian di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI muktamad.

Mengulas desakan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Muhyiddin berkata, tidak akan diadakan sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu pada 2009.

“Ia sudah pun diputuskan oleh Kabinet pada 2009 selepas dibincangkan di banyak peringakt, telah diluluskan di Parlimen, malah disokong oleh pembangkang. Tiada reaksi negatif ketika itu. Saya tidak tahu mengapa ia dibawa kembali,” kata beliau lagi.

“Kemungkinan mereka (pihak yang mendesak) sudah ketinggalan zaman,” kata beliau sambil menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan satu kumpulan kecil.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Beliau dijangka mengumumkan perkembangan penting berkaitan dasar itu petang ini.

PAGE sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

PAGE juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya kelmarin.

Muhyiddin juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang. -TMI


[Hairan] Najib Perlu Diberikan Kawalan Keselamatan Di Mekah?

Agak mengejutkan apabila PM, DS Mohd Najib Tun Razak terpaksa diberikan kawalan keselamatan sewaktu menunaikan hajinya di Mekah.

Ia memberikan pelbagai persepsi yang menghairankan seolah-olah Mekah sudah menjadi tempat yang tidak selamat dan kedua sudah ada "kasta" di dalam Islam yang membezakan seorang pemimpin negara dengan rakyat terbanyak, sekaligus mencemarkan ibadah haji yang sepatutnya menyamaratakan semua manusia tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta dan sumpamanya.

Berikut dipetik dari blog Tinta Hijau Dari Kaki Bukit:

Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad :





Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak :







Presiden Iran :

Beliau juga dikawal oleh tentera Arab Saudi tapi tidaklah sampai 23 pengawal tentera yang berpegangan tangan seperti Najib.Beliau lebih bebas bergerak bersama jamaah haji serata dunia.

Inilah falsafah haji sebenar, tiada kaya, meskin, hamba, bangsawan, orang putih atau hitam, mereka semua tiada beza disisi Allah...

Perdana Menteri Malaysia :

Ketika Najib dan Rosmah mengerjakan ibadah haji. Seramai 23 orang askar Arab Saudi diperlukan untuk mengepong mereka bagi memastikan tiada jemaah haji lain yang dapat datang menghampiri dan berasak-asak dengan mereka.

Fadhilat ditinggalkan, hanya kerja haji yang dibuat. Antara tujuan mengerjakan ibadah haji adalah merasai pengorbanan, keperitan, kesusahan para anbiya' terdahulu dengan tidak membezakan pangkat, darjat, kuasa, harta dan sebagainya.

Kesimpulan :

biarpun berisiko tinggi diapa-apakan oleh musuhnya, Presiden Iran ini hanya menerima kawalan keselamatan minimum semasa menunaikan haji. .Itu Presiden Iran, orang yang banyak musuh di dunia ini.

Apa hal pula dengan Najib yang sudah tentunya tidak bermusuh dengan AS atau Israel? Namun, apabila melihat puluhan pasukan keselamatan Saudi mengawalnya sambil berpegangan tangan, 1Malaysia (kecuali pencacai) berasa pelik dan hairan.


Anggota Polis Dituduh Merogol Pelajar Tkn 5 Dalam Balai Polis

Petaling Jaya - Seorang anggota polis berpangkat konstabel diarah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap dua tuduhan merogol dan memaksa seorang gadis berusia 17 tahun melakukan seks oral di Balai Polis Putra Height, Subang Jaya tiga tahun lalu.

Gambar: Jamil diarah membela diri atas tuduh merogol gadis di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.

Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz memutuskan demikian terhadap tertuduh Jamil Abdul Sah, 30, selepas mahkamah dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 20 Disember depan untuk tertuduh membela diri terhadap tuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, anggota polis itu didakwa merogol pelajar tingkatan lima itu di antara pukul 6 pagi dan 7 pagi, 18 Jun 2008 di Bilik Maklumat, Balai Polis Putra Height di sini.

Bapa kepada dua orang anak itu turut dituduh memaksa pelajar berkenaan melakukan seks oral di bilik sama dan pada waktu tersebut.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377B kanun yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 20 tahun juga sebatan jika sabit kesalahan. -kosmo

Ulasan GB

Apabila hudud dipinggir dan dihinakan, maka Tuhan buktikan pelaksana undang-undang pun bisa merogol...

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?

[Dedah] UMNO Dalang Perobohan Rumah Penduduk Pantai Jerejak P.Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pemimpin Umno adalah dalang di sebalik perobohan rumah penduduk kampung di Pantai Jerjak, Bayan Lepas.

Guan Eng pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menegaskan, kerajaan negeri setakat ini tidak pernah merobohkan sebarang rumah tanpa memberikan pampasan yang sewajarnya.

Kenyataan ini sekaligus menafikan fitnah pihak pembangkang Pulau Pinang dan tindakan mereka yang sering memfitnah kerajaan Pulau Pinang sebagai anti-Melayu.

"Saya selalu difitnah anti-Islam oleh Umno dan anti-bukan Islam oleh Gerakan kerana menambah peruntukkan kepada majlis agama. Dengan ini, yang anti sebenarnya di sini tidak lain tidak bukan Umno sendiri.

"Tindakan ini tidak memberikan apa-apa kepada rakyat termasuk orang Melayu sendiri malah menunjukkan keangkuhan umno sendiri dalam usaha menangani isu kemiskinan.

"Kerajaan Pakatan Rakyat berpendapat, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan oleh sesebuah parti yang dipimpin oleh pemimpin Umno terutamanya rumah yang diroboh dihuni oleh mereka yang berumur 70 tahun.

"Kerajaan negeri akan cuba membantu mangsa dan tidak membenarkan sebarang permohonan syarikat pembangunan pemaju sehingga mangsa tidak diberikan sebarang pampasan yang sewajarnya dan ini prinsip perjuangan Pakatan Rakyat," katanya.

Ujar beliau, selama ini pihak kerajaan negeri akan berunding dengan semua pihak terutamanya pemaju sebelum membuat apa-apa keputusan terutamanya membabitkan perobohan mana-mana kawasan.

"Kita selalu berusaha untuk berunding. Biasanya pemaju sedia berunding seperti yang disebutkan tadi. Hanya mereka yang mempunyai kuasa sahaja tidak ingin berunding iaitu khususnya yang ada kuasa tidak lain tidak bukan yang menjadi pemimpin Umno. Itulah yang mereka rakus, angkuh dan tidak mahu berunding.

"Selalu kerajaan negeri dipersalahkan. Selalu saya sendiri yang kena. Semuanya tiada kaitan dengan kerajaan negeri dan kita lihat yang akhirnya buat perobohan adalah seorang pemimpin. Kita lihat di sini, yang roboh rumah kampung melayu adalah UMNO dan bukanlah kerajaan negeri,
" katanya.

Beliau percaya, rakyat Pulau Pinang akan tahu siapa yang sebenarnya merobohkan kampung Melayu adalah pemaju Umno sendiri. -tvsnews

Pemaju Roboh Rumah Pusaka

INILAH rumah pusaka Ghazali Ibrahim di Kampung Sungai Nibong Kechil,
George Town sebelum dirobohkan.

GEORGE TOWN – Gara-gara gagal mendapat persetujuan, enam beradik terpaksa berputih mata apabila rumah pusaka milik keluarga yang berusia 80 tahun di Kampung Sungai Nibong Kechil dekat Jalan Tun Dr. Awang di sini diroboh pemaju semalam.

Operasi meroboh dijalankan berikutan notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau ke atas penghuni rumah tersebut ketika ini, Ghazali Ibrahim, 63, pada 14 Oktober lalu.

Rumah tersebut terpaksa dirobohkan kerana tanah tersebut kini diambil alih oleh Koperasi Tunas Muda Berhad untuk memajukan projek perumahan.

Rumah Ghazali paling akhir dirobohkan kerana rumah penghuni lain yang dibina di atas tanah yang sama sudah dirobohkan beberapa bulan lalu.

Peguam Koperasi Tunas Muda Berhad, Syamsul Jamil berkata, tindakan mengusir penghuni dan meroboh rumah tersebut sepatutnya berkuat kuasa Ogos lalu tetapi ditangguhkan atas budi bicara pihak mahkamah dan pemaju.

Menurut beliau, pemilik rumah tersebut pernah ditawarkan pampasan sebagaimana ditetapkan oleh mahkamah tetapi ditolak.

RUMAH pusaka Ghazali dirobohkan dengan jentolak dalam masa yang singkat.

Kosmo! difahamkan pemaju menawarkan pampasan berjumlah RM42,000 kepada Ghazali.

“Operasi hari ini (semalam) adalah mengikut perintah mahkamah dan tindakan meroboh terpaksa diteruskan,” kata Syamsul kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, adik Ghazali, Abd. Laziz, 61, berkata, dia kecewa kerana semua adik-beradik gagal mempertahankan rumah tersebut.

“Sekiranya abang saya (Ghazali) berbincang secara baik dengan pemaju, sudah tentu kami mendapat hak masing-masing (pampasan) yang setimpal.

“Sikap dia yang enggan berbincang dengan kami adik-beradik menjadikan masalah ini bertambah rumit sedangkan pemaju ada menawarkan sejumlah pampasan kepada pemilik rumah yang tanah mereka diambil,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin memberitahu, pihaknya berharap pemilik tanah dan pemaju masih dapat mempertimbangkan pampasan yang setimpal kepada keluarga tersebut. -kosmo



Ulasan GB

Siasatan terhadap latarbelakang pemaju iaitu Koperasi Tunas Muda Berhad yang bertindak merobohkan rumah di Georgetown tersebut untuk memajukan projek perumahan menunjukkan ia sebuah koperasi yang telah diasaskan di dalam tahun 1963 oleh beberapa pemimpin tempatan dengan sokongan UMNO Tanjung Ara.




Kes Hassan Ali: Pena Subky Latif Masih Tajam Rupanya!

Kes Hasan Ali tak perlu dipolemik oleh Subky Latif

KEHADIRAN Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Selangor dalam HIMPUNAN sejuta ummat di Stadium Shah Alam 22 Oktober lalu telah menjadi pertikaian panas dalam media.

Yang terjadi demikian ialah kerana partinya, PAS membuat keputusan tidak menyertai himpunan memprotes gejala murtad yang dianjurkan oleh beberapa NGO Islam.

Kerajaan Selangor yang dia adalah Exconya menyatakan tidak terlibat lalu menyerahkan kepada rakyat sama ada menyertainya atau berkecuali.

Lalu tiada mana-mana pemimpin PAS menjenguk ke stadium itu kecualilah Dr. Hassan. Demekian juga tidak diketahui mana-mana pimpinan kerajaan negeri hadir kecuali Dr. Hassan.

Dr. Hassan adalah pakar motivasi yang ulung. Sebelum bidang motivasi itu dikenali umum, maka Dr. Hassan sudah terjun ke situ. Ada dipercayai puluh ribu orang mendapat manfaat didikan dan latihan minda dari khidmatnya itu. Tidak terhingga bilangan orang yang telah terbuka mindanya setelah mendapat asuhan daripada kursus motivasi yang dianjurnya.

Jika sekalin yang kurang terbuka minda dari khidmatnya, maka tentulah sebagai pemecah kebekuan minda semua orang, lebih terbuka mindanya dari semua orang.

Tiada sebarang kesalahannya kepada partinya dan kerajaan yang didukungnya dengan kehadirannya itu. Partinya membuat keputusan tidak serta kerana menghormati penganjur tidak mahu ada penglibatan politik dalam himpunan itu, tetapi parti itu tidak melarang sesiapa menyertainya.

Jika pemimpinnya seperti Dato' Dr. Haron Din, atau Mohamad Sabu atau Mustafa Ali hendak pergi, maka mereka boleh pergi, bukan mewakili parti, tetapi atas nama diri sendiri. Bagaimana pun mereka menggunakan kelonggaran yang diberi oleh partinya.

Yang diketahui pergi Dr. Hassan. Tidaklah dia salah apabila dia menggunakan kelonggaran yang ada itu.

Kerajaan Negeri Selangor juga tidak melarang mana Exco dan kaki tangan kerajaan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri atau Penasihat Undang-Undang. Mereka boleh pergi dan boleh tidak pergi. Maka tiada exco yang dilihat kecuali Dr. Hassan. Kerana tidak larangan dari kerajaan, tiadalah salah bagi Dr. Hassan.

Dr. Hassan adalah pakar motivasi, pemecah segala fikiran yang buntu, pembuka saluran kepada pemikiran yang sempit. Jika dia boleh selesaikan semua masalah orang yang tersimpul, maka tentulah dia amat tahu apa yang dibuatnya.

Justeru itu kehadiran Dr. Hassan ke himpunan tidak wajar menjadi topik polemik mana-mana pihak kerana tindakannya tidak bercanggah dengan mana undang-undang dan prinsip demokrasi.

Partinya dan kerajaannya juga tidak membuat peraturan yang melarangnya hadir di majlis itu.

Hassan memiliki kelebihan dan keistimewaan dari lain-lain orang politik termasuk Dr. Mahathir. Orang lain payah pisahkan politiknya bila menyertai mana-mana kegiatan yang bebas politik. Kalau Dr. Mahathir dan isteri singgah ke mana-mana gerai di pasar malam atau Najib jenguk pondok India miskin, tanpa sebarang motif politik, tetapi orang kata adalah politiknya.

Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.

Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.

Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.


Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.

Dalam polemik kehadirannya itu dia telah menyatakan pendiriannya tentang mengapa dia hadir walau pun partinya membuat keputusan tidak hadir. Kenyataannya itu langsung tidak berbau politik dan tiada sebarang kesan politik. Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.

Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.

Kata saya, ‘Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.’

Dia menang. Dia kata pada saya, ‘Orang cepat naik, cepat juga turun...!’

Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya. -HD

Ulasan GB

Membaca tajuk dan beberapa perenggan pertama, GB semacam tak percaya tulisan di atas adalah dari seorang penulis yang GB amat kenal iaitu Sdra. Subky Latif. Walaupun Subky tak pernah kenal siapa GB walaupun GB pernah sekali-sekala menggantikan tempatnya sebagai penulis tamu di WATAN puluhan tahun dahulu.

Sebagai seorang yang tidak sekadar membaca yang tersurat, GB mencari apa yang tersirat di sebalik tulisan seorang penulis veteran dan bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan di atas dan akhirnya GB dapat tersenyum juga.

Pertama, satu sindirin yang kemas dan tajam di perenggan ini:

Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga.

Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding.

Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik.


Tinggi ya mertabat Hassan Ali berbanding dengan TG Nik Aziz!

Kedua, entah kesilapan menaip oleh beliau atau editor harakahdaily tak perasan.. di perenggan ini ada semacam lelucon terselit:

Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi.

Kemungkinan ia typo, tetapi hakikatnya, itulah yang tertulis di harakahdaily. Kalau ia typo, maka Allah s.w.t. jua yang menyebabkan penulis atau jurutaipnya disilap sebegitu.

Ketiga, ayat penulis veteran ini penuh makna dan sinis. Al-maklum penulis veteran, yang pernah menulis teks ucapan perbahasan Ahli Parlimen tunggal PAS satu ketika dulu, Nik Abdullah Arshad, ayahanda kepada Nik Amar yang sekarang ini ahli exco PAS Kelantan. Perhatikan perenggan ini:

Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling.

Masing-masing terutama ahli PAS kenal siapa dan apa "fikrah" Prof Zainal Kling. Ramai menggelarkan Prof itu sebagai professor kangkung, walaupun GB tidaklah sampai mengelar orang ke tahap itu. Sebab GB sentiasa bertemu dengan orang-orang yang dicapkan sebagai professor kangkung ini. Kebanyakan yang menjadi kangkung ini kerana kedudukan kerana pangkat kerana belum dapat hidayah.

Dan apabila Subky menyatakan Dr. Hassan Ali dikatakan disenangi oleh Prof Zainal Kling, maka fahamilah kita apa yang hendak disampaikan oleh Subky.

Sekangkungkah mereka berdua?

Keeempat di beberapa perenggan terakhir GB semakin senyum lebar.

Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya.

Kata saya, ‘Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.’

Dia menang. Dia kata pada saya, ‘Orang cepat naik, cepat juga turun...!

Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya.


Sekalipun usia Subky sudah agak lanjut, namun pena beliau masih tajam lagi rupa-rupaya.

Dan GB yakin Subky bukan jenis orang yang "berkecuali" kerana beliau tidak pernah bersetuju dengan sebarang "dasar berkecuali". Seingat GB, di dalam satu forum dengan Tan Sri Ainuddin bin Abdul Wahid (bekas Naib Canselor UTM) mengenai dasar berkecuali Malaysia, Subky menyatakan bahawa dasar berkecuali ialah dasar orang yang tak tahu nak buat apa-apa!

Begitu juga dengan kes Dr. Hassan Ali, Subky sepastinya tidak berkecuali sekalipun tajuknya menyatakan isu Hasan Ali tak perlu dipolemikkan kerana, orang awam dah tahu tentangnya, jadi buat apa berpolemik lagi?: cepat naik cepat turunnya, tak begitu? Bukankah itu hukum kebenaran?

Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam. Hanya jauhari dapat melihat pena Subky yang semakin tajam.